Ahad, 30 Oktober 2011

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


PEGAWAI-PEGAWAI FAM TERMASUK PRESIDEN FAM DISERU LETAK JAWATAN

Posted: 30 Oct 2011 08:00 PM PDT


Oleh: WFAUZDIN NS


SIAPA juara Piala Malaysia sudah terjawab. Negeri Sembilan muncul Juara dan Terengganu juga boleh berbangga kerana melangkah ke Final. Sejarah Final kali ini bukan kerana Negeri Sembilan Juara atau Terengganu melangkah ke Final, tetapi sejarah tercipta apabila FAM mula menunjukkan lagaknya.



Kain rentang untuk orang ramai tanda tangan membantah keputusan FAM

Jika dahulu peminat amat marah jika kehabisan tiket, tetapi kali ini mereka mengamuk bukan kerana tiada tiket, tetapi tiket dijual teramat mahal. Kemarahan mereka sehinggakan laman web FAM digodam dan dimaki sehari sebelum perlawanan akhir. Diberitakan juga wisma FAM disimbah cat merah. Mengapa mereka marah sangat kepada FAM?



Laman web FAM digodam dan dimaki...logonya ditukar dengan logo yang memalukan...

Pertama, FAM telah menaikkan harga dengan menetapkan harga tiket RM50 bagi semua tempat duduk. Harga yang dikenakan itu amat tidak munasabah dengan perlawanan yang mahu dipertontonkan apatah lagi dengan keadaan stadium yang rendah kualitinya.

Kedua, FAM kononnya memberi alasan bahawa harga tiket itu telah dipersetujui oleh kedua-dua pasukan iaitu Negeri Sembilan dan Terengganu. Namun, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan selaku MB Negeri Sembilan menafikan bahawa Negeri Sembilan bersetuju dengan harga tiket yang ditetapkan oleh FAM itu. Ertinya, FAM menipu peminat bolasepak khususnya peminat bolasepak dari Negeri Sembilan.

Ketiga, Setiausaha Agung FAM seorang bekas pegawai tentera, Dato' Azzuddin di dalam memberikan respon terhadap bantahan peminat-peminat bolasepak itu dengan angkuhnya menyebut bahawa terpulang kepada peminat sendiri samada mahu boikot hadir ke stadium atau tidak, kerana Malaysia ini negara mengamalkan demokrasi. Suatu jawapan yang tidak bertanggungjawab kerana beliau lupa FAM pernah merayu agar orang ramai kembali memenuhi stadium untuk memartabatkan mutu bolasepak negara.

Keempat, apabila peminat mahu Presiden FAM campurtangan agar harga tiket ini tidak terlalu mahal, amat malang sekali Presiden FAM iaitu Sultan Pahang berkata jangan pedulikan harga tiket, apa yang penting penuhilah stadium.

Kuasa Menteri? Sahih Menteri tiada kuasa di dalam isu ini. Menteri yang menjaga hal ehwal sukan, shabery Cheek hanya mampu mengeluh sama juga seperti Rais Yatim yang mengeluh bila Astro menaikkan harga perkhidmatannya. Nampaknya FAM yang kawal Menteri, Astro juga mengawal Menteri.

Justeru itu, peminat bolasepak tiada pilihan. Mereka tetap hadir juga ke stadium walaupun dengan hati yang `terbakar' dengan gelagat sombong FAM. Mereka berdemontrasi di luar stadium malam itu, tetapi banner yang ingin dibawa masuk ke dalam stadium ditahan oleh pihak berkuasa.

Saya seru agar kita giatkan kempen agar kesemua pegawai FAM termasuk Presiden FAM supaya meletakkan jawatan. Malang sekali, ketika mutu bolasepak negara semakin meningkat, mereka pula mahu mengambil kesempatan dan tidak pernah memikirkan pengorbanan peminat-peminat yang selama ini banyak membantu meningkatkan mutu bolasepak negara hingga ke tahap ini./wfauzdin.blogspot.com

Foto: Ihsan Milosuam

TAHNIAH, RUSA TIDAK PATAH TANDUK, PENYU YANG MENANGIS...

Posted: 30 Oct 2011 08:20 AM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

TAHNIAH, itu sahaja ucapan yang dapat saya berikan kepada Pasukan Bolasepak Negeri Sembilan yang telah muncul sebagai Juara Piala Malaysia malam tadi dengan menewaskan Terengganu di Stadium Shah Alam.

Dari awal saya menyatakan selaku anak Negeri Sembilan, sudah tentu saya menyokong pasukan negeri kelahiran saya namun hati kecil saya menganggap Terengganu mungkin menjadi Juara. Ini adalah kerana saya melihat perkembangan pasukan Pantai Timur tersebut di samping saya merasa bimbang dengan pasukan Negeri Sembilan yang boleh dikatakan pemain-pemain harapan pasukan tersebut dikatakan tidak begitu cergas akibat kecederaan sebelum ini.

Akhirnya malam tadi menjadi penentu di mana perkiraan saya silap dan Negeri Sembilan bermain dengan begitu baik dan bersemangat apatah lagi ketinggalan awal dengan 0-1. Bukan mudah untuk bangkit dengan 2 jaringan di dalam masa lebih kurang 10 minit sahaja melainkan dengan memiliki kekuatan mental yang tinggi.

Syabas, Negeri sembilan.....

Tiada ulasan: