Selasa, 25 Oktober 2011

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


BOIKOT - PAS JELEBU BANTAH KENAIKAN HARGA TIKET BOLASEPAK FINAL PIALA MALAYSIA

Posted: 25 Oct 2011 11:17 AM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

BARU-baru ini saya ada menulis mengkritik FAM kerana bertindak melampau dengan menaikkan harga tiket Perlawanan Akhir Bolasepak Piala Malaysia di antara Negeri Sembilan menentang Terengganu pada 29 Okt 2011 nanti bertempat di Stadium Shah Alam. Baca di sini.

Sekiranya FAM masih berdegil dengan keputusannya, saya merasakan adalah wajar peminat-peminat bolasepak memboikot perlawanan akhir tersebut dengan tidak hadir ke stadium cuma menonton di televisyen sahaja. Terbaru, Shabery Cheek Menteri yang menjaga kebudayaan dan sukan turut mengeluh dengan tindakan FAM berkenaan. Apakah seorang Menteri hanya boleh mengeluh sahaja dengan kelakuan FAM itu? Siapa lebih berkuasa? Atau, adakah keluhan menteri ini benar-benar ikhlas atau sandiwara semata-mata?

Sebentar tadi, saya ada bertemu dan berbual dengan Timb YDP PAS Jelebu, Sdr Nooranif Selamat yang kebetulan `classmate' saya semasa bersekolah rendah dahulu. Beliau turut merasa kesal dengan tindakan FAM tersebut. Tidak munasabah harga tiket bagi semua tempat duduk berharga RM 50 bagi dewasa. Mengapa peminat bolasepak yang kini semakin memberi perhatian dan sokongan kepada bolasepak negara dilayan sedemikian rupa? Tidak cukupkah keuntungan yang diperolehi sepanjang musim liga tahun ini ditambah pula setiap pasukan mendapat tajaan untuk pasukan mereka?

Akibat kenaikan melampau ini, tidak pasal-pasal Kerajaan Terengganu terpaksa keluarkan wang yang banyak bagi memberikan subsidi 50% kepada para penyokong Terengganu yang ingin menyaksikan perlawanan tersebut. Bagaimana pula dengan penyokong Negeri Sembilan?
Adakah Kerajaan Negeri Sembilan akan terpaksa belanjakan wang rakyat hanya untuk menampung harga tiket buat para penyokong Negeri Sembilan?

Sdr Nooranif berkata, PAS Jelebu membantah tindakan tidak berperikemanusiaan FAM ini. Hari ini, PAS Jelebu akan mengadakan sidang akhbar untuk menyuarakan bantahan terhadap tindakan FAM ini. Di saat rakyat hidup tertekan dengan kenaikan harga barang dan bagi kaum India yang baru sahaja merayakan Hari Deepavali, kenaikan harga tiket tersebut dilihat sebagai tidak bertanggungjawab.

Sekiranya FAM masih mengekalkan keputusan menaikkan harga tiket perlawanan akhir itu nanti, PAS Jelebu akan melancarkan kempen memboikot perlawanan akhir tersebut dengan mengajak peminat-peminat bolasepak menonton melalui TV sahaja dan tidak hadir ke stadium./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: