WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- Anwar cabar PM berdebat
- Anwar Ibrahim: Malaysia bakal melewati batas hutang negara
- Sampai bila Malaysia akan diperintah oleh pemimpin yang gagal?
- PAS Ingati HIMPUN Agar Tidak Cetus Ketegangan Antara Agama
Posted: 17 Oct 2011 05:39 AM PDT Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini buat kesekian kalinya mencabar perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat "pada bila-bila masa." Kali ini, Anwar mahu peluang berdebat untuk menerangkan kepada Najib dasar Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga dan juga bajet bayangan yang ditawarkannya. "Saya usulkan untuk bantu rakyat terdedah kepada dua-dua dasar kerajaan BN dan pakatan, saya ulangi gesaan untuk adakan debat terbuka," katanya. Beliau juga mahu berdebat kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan Najib semalam yang menyifatkan bajet oleh Pakatan sebagai "belanjawan republikan aliran kanan yang gagal memahami kehendak rakyat." Ketika ditanya, Anwar berkata beliau telah menggunakan peluang dalam ucapannya di Dewan Rakyat untuk menerangkan belanjawan berkenaan. "Kita sudah (bahas) tapi seperti dialog dengan orang tuli," katanya yang menambah bajet bayangan itu telah menggariskan tumpuan untuk meringankan beban rakyat. "Gaji minimum, kenaikan gaji pekerja awam ditekankan dan konsesi termasuk penjana tenaga bebas, penswastaan juga ditekankan yang sendirinya akan mengurankan beban rakyat. "Daripada menyinggung kita dan buat kenyataan melulu begini, lebih baiklah berdepan supaya rakyat menilai. "Nak mohon masa lebih pun tak apa tapi beri ruang kepada kita untuk jelaskan bajet pakatan rakyat dan buku jingga," katanya |
Anwar Ibrahim: Malaysia bakal melewati batas hutang negara Posted: 17 Oct 2011 03:11 AM PDT Anwar Ibrahim: Malaysia bakal melewati batas hutang negara
Adalah suatu kritikan yang dangkal oleh Najib Razak menggelar Belanjawan Pakatan Rakyat 2012: Kesejahteraan Untuk Semua sebagai "belanjawan Republikan aliran kanan yang gagal memahami kehendak rakyat." Ini membuktikan Najib mengelak dari isu asas yang menjangkiti pentadbiran beliau seumpama tadbir urus yang goyah, rasuah berleluasa dan dasar Barisan Nasional yang memperkaya keluarga dan kroni. |
Sampai bila Malaysia akan diperintah oleh pemimpin yang gagal? Posted: 17 Oct 2011 03:07 AM PDT Najib Razak menyindir Belanjawan Pakatan Rakyat sebagai bajet yang "menjanjikan bulan dan bintang" yang bunyinya sama seperti ejekan budak-budak sekolah yang masih berhingus. Mungkin, ia bukanlah sesuatu terjangkau oleh fikiran mereka di pihak Barisan Nasional kerana Pakatan Rakyat bukan sekadar menjanjikan urus tadbir ekonomi yang baik malah menawarkan pentadbiran yang berintegriti dan telus seperti mana terbukti di negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat. Bukti-bukti kejujuran Pakatan Sebagai contoh, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang tidak berasaskan perkauman dan politik kronisme berjaya mencatatkan lebihan bajet untuk tiga tahun berturut-turut sejak 2008 melalui urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT). Kejayaan ini yang disahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara juga mendapat pujian Tranparency International di Malaysia kerana berjaya memerangi rasuah. Pentadbiran yang bersih itu telah menghasilkan "dividen anti-rasuah" yang dikumpulkan bagi mengadakan program untuk membantu warga emas, orang kurang upaya dan banyak lagi yang mana kebanyakan penerimanya adalah kalangan orang Melayu dan umat Islam negeri. Kerajaan Pakatan Selangor pula mengadakan banyak program membantu warga emas dan golongan miskin serta menghidupkan kembali projek perumahan rakyat yang terbengkalai sewaktu pemerintahan BN dahulu. Yang terbaru, statistik Malaysia Industrial Development Authority (MIDA) mengenai pelaburan di Malaysia bagi separuh penggal tahun ini menunjukkan Selangor sebagai negeri paling banyak mempunyai projek yang diluluskan. Sebanyak 158 projek perindustrian yang diluluskan di Selangor dan ini merupakan 31% daripada jumlah projek bagi seluruh Malaysia, menurut Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor bagi Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok. Kerajaan negeri Pakatan Kedah yang juga bebas rasuah telah berjaya mengamalkannya melalui cara kepimpinan melalui teladan di mana pimpinan negeri tidak menggunakan jet kerajaan, tidak tinggal di hotel mewah, malah membuat potongan gaji dan elaun yang dapat menjimatkan pentadbiran daripada pembaziran. Begitu juga kerajaan negeri Pakatan Kelantan yang telah sekian lama diterima oleh anak negeri kerana cara hidup sederhana dan anti-rasuah yang diamalkan sejak lebih 20 tahun lalu. Ini bererti Pakatan Rakyat mampu mentadbir negeri dengan baik, telus dan serius menangani masalah rakyat. Memang benar Pakatan menawarkan pemberian tunai dan pelbagai program kebajikan kepada rakyat sebagaimana yang ditiru oleh BN tetapi ada satu perbezaan besar yang tidak ditawarkan oleh BN - pentadbiran yang adil, bersih, telus dan anti-rasuah. Melihat Bajet BN 2012, ternyata bajet yang dibentangkan oleh Najib baru-baru ini bukan sekadar bajet pilihan raya tetapi memperlihatkan ketandusan idea pentadbiran BN, malah sebahagian daripadanya dicedok dari idea Belanjawan Pakatan Rakyat sendiri. BN gagal angkat martabat insan BN terdesak sehingga terpaksa mengulangi berapa banyak subsidi yang telah diberikan kerajaan kepada rakyat sedangkan perkara ini telah pun kita ketahui. Malah, lebih memalukan apabila BN yang sebelum ini bermati-matian mengatakan subsidi akan menjadikan negara bankrap terpaksa menelan ludah sendiri apabila terpaksa mengekalkannya. Sudah tentu ia bukan kerana BN sayangkan rakyat tetapi semata-mata mahu memancing undi dalam pilihan raya umum akan datang. Jika tidak, mengapa perlu lidah bercabang? Bukanlah Pakatan Rakyat lebih konsisten dalam membuat tawaran ikhlas kepada rakyat? Rakyat berhak mendapat subsidi yang lebih banyak dari sekarang memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan pelbagai sumber ekonomi. Jika kerajaan BN kesempitan wang, ia adalah berpunca daripada pentadbirannya yang penuh dengan ketirisan, kebocoran dan tidak telus. Ini menunjukkan bahawa BN gagal menangani masalah ekonomi dengan baik apatah lagi bergelut dengan pelbagai isu ketirisan wang negara yang parah. Kalangan rakyat yang tinggal di bandar terutamanya telah lama dihimpit masalah ekonomi yang kian mendesak. Apa yang Najib lakukan untuk membela nasib golongan ini? Menurunkan cukai, mengurangkan harga petrol? Jauh sama sekali. Malah, diskaun tambang LRT dan monorel yang amat diperlukan oleh pelajar, pekerja awam serta kakitangan swasta tidak dipedulikan; sebaliknya mahu diberikan kepada warga emas yang amat jarang menggunakan perkhidmatan pengangkutan itu. Apakah pengecualian yuran sekolah yang sememangnya hanya beberapa ringgit itu sudah cukup untuk memperbaiki status ekonomi rakyat? Apakah pemberian bonus untuk kakitangan awam sahaja mampu menyelesaikan masalah kemiskinan rakyat terbanyak? Sedangkan jumlah pekerja yang ramai adalah dari sektor swasta. Jadi di mana pelaksanaan gaji minima untuk mereka? Mengapa pula Akta Pekerjaan mahu dipinda untuk member lebih kuasa kepada majikan? Siapa sebenarnya yang dibela oleh kerajaan BN? Najib dan BN bukan sahaja gagal menangani masalah ekonomi rakyat malah gagal mengangkat martabat insan untuk mendapat keadilan dan kesaksamaan yang sewajarnya. Apakah kita sebagai rakyat wajar mendapat layanan sebegini dari sebuah kerajaan yang telah diberikan amanah? Dan sampai bilakah kita harus membiarkan negara ini ditadbir oleh orang-orang yang gagal? *Tulisan ini dipetik dari Roketkini. |
PAS Ingati HIMPUN Agar Tidak Cetus Ketegangan Antara Agama Posted: 17 Oct 2011 02:41 AM PDT SHAH ALAM 17 OKT : Kristianisasi bukan ancaman besar terhadap umat Islam, sebaliknya sikap perkauman, sekularisme dan meterialisme merupakan ancaman sebenar yang sekian lama melingkari umat Islam di negara ini. Perkara ini dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dr Abd Rani Osman dalam satu sidang media berkenaan Perhimpunan Sejuta Umat (HIMPUN) di Pejabat PAS Selangor di sini hari ini. Abd Rani menyeru pihak penganjur HIMPUN agar menumpukan perhatian dan tindakan kepada ancaman sebenar terhadap aqidah umat islam sekaligus meminggirkan usaha pihak tertentu untuk menimbulkan ketengangan di antara agama di negeri Selangor. "Sebarang usaha melaga-lagakan antara penganut pelbagai agama dengan tidak berserta sebarang bukti kesalahan yang diputuskan mahkamah perlu dijauhi." "Tindakan sebegini hanya bertujuan untuk menutup masalah sebenar yang menimpa umat Islam, di mana aqidah mereka dicemari oleh fahaman sekularisme dan sebagainya yang pada akhirnya meletakan kesalahan itu dibahu pihak lain." Perhimpunan Sejuta Umat (HIMPUN) akan di adakan di Stadium Shah Alam pada hari Sabtu, 22hb Oktober ini bermula jam 2 petang hingga 5.30 petang. Panganjuran HIMPUN adalah satu inisiatif dari pelbagai pertubuhan dan individu Islam sebagai satu wadah untuk menentang apa yang dikatakan percubaan untuk menyebar ajaran Kristian kepada orang Islam. "Begitu juga penyelewengan dan rasuah dipandang remeh serta kesalahan-kesalahan merampas hak rakyat dan mencabul kepentingan awam diambil mudah oleh sebahagaian umat Islam." Turut hadir, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Setiausaha PAS Selangor Khairuddin Othman dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor (DMPNS), Noraini Hussein. Khalid Samad berharap penganjuran HIMPUN mampu membuka mata umat Islam tentang kejahilan mereka serta tidak mencetuskan ketengangan antara agama sebaliknya mengambil pendekatan memperbaiki kelemahan yang ada didalam setiap institusi agama dan umat Islam. "Harapan kita penganjur memahami masalah yang sebenar membelenggu umat Islam, dan cara bagaimana untuk menyelesaikannya," "Kita perlu menangani masalah yang sebenar iaitu kejahilan umat Islam itu sendiri dan kegagalan pemimpin-pemimpin Islam yang ada dalam menunjukan sikap serta contoh tauladan." |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan