Ahad, 9 Oktober 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Warga Emas, Pekerja Swasta Rasa Nasib Tidak Dibela Dalam Belanjawan 2012

Posted: 09 Oct 2011 07:38 AM PDT



SHAH ALAM 9 OKT: Golongan warga emas dan dan kakitangan swasta, merupakan antara golongan terpenting di dalam masyarakat, menzahirkan rasa kecewa dengan belanjawan 2012 kerajaan persekutuan yang dilihat tidak holistik dan releven.

Tinjauan TVSelangor mendapati seorang pesara, yang hanya mahu dikenali sebagai Nagesvary berkata belanjawan kerajaan kali ini tidak menjamin kehidupan golongan pesara yang selama ini berkhidmat untuk negara.

Menurut Nagesvary yang juga seorang warga emas, peningkatan kos perubatan, saban hari menekan kehidupan golongan seperti beliau untuk menyara kehidupan mereka.

"Menyentuh soal warga emas, golongan kami ini telah lama berkhidmat dalam negara dalam apa jua sektor untuk memajukan negara, yang akhirnya mengimpikan suatu kehidupan yang lebih sempurna apabila bergelar pesara, ini penting kerana kos perubatan semakin meningkat"

"Yang penting kebajikan kami orang yang bersara, lihatlah sekarang pendatang asing lagi gembira duduk didalam negara berbanding rakyat yang turun mengundi."

Semalam, kerajaan membentangkan akan memberi caj percuma untuk pendaftaran pesakit luar di semua hospital, klinik kesihatan serta klinik pergigian kerajaan sebagai langkah menghargai jasa warga emas.

Selain itu, warga emas juga diberikan diskaun 50 peratus tambang LRT dan Monorel.

Namun, tawaran itu tidak membantu golongan pesara dan warga emas yang terpaksa berdepan dengan kos perubatan yang semakin meningkat dan apa yang diberikan tidak relevan dengan pengorbanan warga emas yang sekian lama berkhidmat di dalam negara, katanya.

Melihat kepada belanjawan ini, Nagesvary percaya rakyat mampu menilai dan membuat keputusan terbaik dalam pilihanraya.

"Pada saya, rakyat akan memilih pemerintah yang dirasakan mampu memberi pelbagai kebajikan kepada mereka, kuasa memilih ditangan rakyat, jadi kalau rakyat telah memilih parti itu, dia harus menjalankan tanggungjawabnya dengan pastikan rakyat berpuas hati dengan kerja mereka."

Sementara itu, bagi seorang kerja sektor swasta, Saravanan Tamilveran mempersoalkan sikap terlepas pandang kerajaan keatas kebajikan pekerja sektor swasta.

Saravanan mengalu-alukan usaha kerajaan memperkasa kehidupan kakitangan kerajaan, namun ianya tidak menyeluruh kerana kakitangan swasta juga merupakan rakyat yang sepatutnya menerima manfaat dalam peruntukan belanjawan negara.

Sambil menyifatkan ia suatu yang tidak menyeluruh, belanjawan kali ini juga dilihat sebagai gula-gula politik untuk memastikan pekerja kerajaan terus menyokong kerajaan dalam pilihanraya akan datang.

"Tiga Puluh Lima peratus daripda jumlah pengundi di Malaysia datangnya dari pekerja kerajaan, sebab itu kerajaan janjikan macam-macam dalam belanjawannya untuk mereka, mahu tarik hati pekerja kerajaan untuk terus menyokong barisan nasional, ini jelas dengan pengenalan terbaru pemberian bonus setengah bulan gaji atau RM500."

Kerajaan dalam belanjawannya semalam, memberikan pelbagai kelebihan kepada kakitangan kerajaan termasuklah menambah baik sturktur gaji penjawat awam dengan kenaikan antara 7 peratus hingga 13 peratus.

Sementara, tambahan bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 juga bakal diterima kakitangan kerajaan.

Selain itu kakitangan kerajaan juga diberi kenaikan gaji tahunan antara RM80 hingga RM320 mengikut tangga gred.


Bajet 2012 Gagal Perkasa Kehidupan Rakyat

Posted: 09 Oct 2011 07:37 AM PDT

SHAH ALAM O8 OKT : Belanjawan 2012 kerajaan persekutuan semalam hanya lunak didengar menurut penyokong Pakatan Rakyat dan gagal memperkasa kehidupan rakyat terbanyak.

Aktivis akar umbi Pakatan yang ditemui juga berkata belanjawan kerajaan persekutuan hanya tertumpu kepada sesetengah golongan masyarakat semata-mata.

Tinjauan TVSelangor mendapati mereka menyifatkan belanjawan tahun hadapan sebagai gula-gula politik untuk menawan hati rakyat menjelang pilihanraya yang bakal diumumkan pada bila-bila masa.

Pegawai Khas Adun Kota Anggerik, Mohd Redwan Alias melihat pendekatan yang cuba dibawa kerajaan mirip Pakatan Rakyat yang berkiblatkan kebajikan rakyat.

Namun pihaknya khuatir pihak kerajaan mengunakan isu kebajikan sebagai modal berpolitik semata-mata yang akhirnya kebajikan rakyat tidak terbela.

"Bajet yang dibentang semalam banyak berkisarkan tentang kebajikan kepada rakyat, ianya suatu yang dialu-alukan, namun sejauh mana kekuatan dan sumber kewangan yang kerajaan ada melunaskan janjinya kepada rakyat,"

"Saya yakin dan percaya bahawa bajet yang dibawa oleh Pakatan Rakyat jauh lebih bagus, malah ini terbukti pendekatan Pakatan Rakyat lebih releven sebagai contoh kerajaan negeri Selangor yang dipimpin Pakatan Rakyat, dari rakyat untuk rakyat, mengagihkan hasil negeri kepada rakyatnya tanpa ada salahguna kuasa dan korupsi"katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Wanita Keadilan Shah Alam, Anizan Othman menyifatkan belanjawan kerajaan mudah dibaca rakyat hari ini, sekaligus mencerminkan sejauh mana keihklasan kerajaan dalam membela nasib rakyat terbanyak.

Semalam, kerajaan membentangkan bahawa akan memberi caj percuma untuk pendaftaran pesakit luar di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk Klinik 1 Malaysia serta pergigian milik kerajaan sebagai langkah menghargai jasa warga emas.

Selain itu, warga emas juga diberikan diskaun 50 peratus tambang LRT dan Monorel.

"Benda ini memang mempermain-mainkan rakyat, kos pendaftaran perubatan diberi percuma, sedangkan ianya hanya Rm2, jangan la memperbodohkan rakyat, ianya tidak relevan."

"Saya bercakap bukan kerana saya taksub kepada Pakatan Rakyat, tetapi memikirkan belanjawan yang dibawa ini perlu menyentuh kepentingan keseluruhan, nasib generasi akan datang dan rakyat terbanyak, saya menyokong penuh bajet yang di draf Pakatan Rakyat berbanding bajet Kerajaan pusat,"katanya

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa PKR cabang Shah Alam, S.Kumaravel menolak belanjawan kerajaan ekoran ianya tidak bersifat menyeluruh dan sementara selain tidak berkeupayaan memacu pembangunan rakyat yang selama ini terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Belanjawan mereka seolah-olah menggambar bahawa mereka membela nasib rakyat miskin, pada kertas ianya nampak membela, tetapi pada amalan dan tata-kelola bagi saya ianya tidak, ianya hanya belanjawan untuk mengaburi mata rakyat."katanya

Dua Ribu Hadir Demonstrasi Anti-Lynas

Posted: 09 Oct 2011 07:35 AM PDT

KUANTAN 9 OKT : Sekurang-kurangnya 2,000 orang membanjiri pantai Taman Gelora, disini hari ini bagi menzahirkan bantahan terhadap pembinaan logi nadir bumi di Gebeng.

Perhimpunan yang digelar "Himpunan Hijau 109" ini, bagaimanapun terhalang apabila anggota polis bertindak menghalang penceramah membuat ucapan.

Permit berhimpun dalam program NGO alam sekitar itu ditarik balik malam tadi ekoran terdapat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Bagaimanapun pagi ini, mereka tetap berkumpul mulai jam 8.30 pagi di bawah pemerhatian kira-kira 50 anggota polis.

Orang ramai kelihatan enggan berganjak dan membina benteng manusia, namun kumpulan itu diasak pihak polis, dipetik laporan Malaysiakini.

Ketua Polis Daerah Kuantan Mohd Jasmani Yusof bagaimanapun tetap menegaskan supaya orang ramai bersurai, lapor portal web itu.

Pembinaan loji kontroversi ini menjadi titik pertembungan antara Barisan Nasional dan kumpulan Anti-Lynas yang disokong Pakatan Rakyat.

Kumpulan Anti-Lynas mendakwa loji itu akan menyebabkan keracunan radiasi terhadap masyarakat dan lingkungan sekitarnya.

Mereka tidak percaya terhadap jaminan yang diberikan dari Kerajaan Persekutuan bahawa operasi kilang itu kononnya menghasilkan tahap radiasi yang amat rendah.

Projek yang diusahakan oleh firma Australia, Lynas dijangka akan menghasilkan 20,000 tan sisa radioaktif setahun apabila beroperasi kelak.

Hasil daripada tekanan bantahan rakyat, kerajaan persekutuan telah mengarahkan Agensi nuklear PBB - Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk menubuhkan sebuah panel pakar untuk memberi nasihat mengenai potensi risiko radiasi dari kilang tersebut.

Tiada ulasan: