SIASAH |
Tolak Himpun, PAS ambil jalan selamat Posted: 19 Oct 2011 12:02 AM PDT PAS telah mengambil keputusan rasmi tidak terlibat dalam Perhimpunan Sejuta Umat atau Himpun yang dijadual 22 Oktober ini di Stadium Shah Alam. Sebelum itu, PAS Selangor telah menunjukkan rasa tidak bersetuju dengan perhimpunan itu, yang kesannya boleh menjejaskan kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu yang dikuasai PKR dan DAP. Ekoran keputusan pusat itu, PAS Selangor pimpinan Dr Rani Osman mengeluarkan arahan kepada ahlinya supaya tidak menghadiri perhimpunan itu. Himpun menggabungkan kumpulan-kumpulan Islam pelbagai aliran dan dipengerusikan secara bersama oleh aktivis sosial Azmi Abdul Hamid dan Dr Yusri Mohamad dari Pertubuhan Pembela Islam, Pembela, yang aktif dalam menangani isu berkaitan Islam yang kurang mendapat perhatian parti-parti politik sejak kebelakangan ini. Himpun telah mendapat sokongan banyak kumpulan Islam, pertubuhan pelajar dan parti politik, termasuk Dewan Pemuda PAS dan pemuda dan wanita Umno, dua parti utama Melayu yang bertentangan dalam politik. Salah sebuah penganjur bersama Himpun, Forkad atau Front Bertindak Anti Murtad digerakkan oleh aktivis PAS, termasuk setiausahanya Kamaruzaman Mohamad yang juga seorang pemimpin Pemuda PAS peringkat pusat. Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan dalam kenyataan 17 Oktober lalu menyatakan sokongan kepada Himpun yang sama dengan pendiriannya terhadap perhimpunan Bersih kedua Julai lalu. "Dewan Pemuda PAS mengambil pendekatan serupa sewaktu menyokong gabungan lebih 6 buah NGO Bersih 2.0 yang berjuang menuntut pemulihan sistem demokrasi dan pengurusan pilihan raya negara kita," menurut Nasrudin. "Insya Allah, saya dan rakan-rakan Dewan Pemuda PAS mengambil sikap yang sama terhadap Himpunan Sejuta Umat pada 22 Oktober kelak. Semoga himpunan tersebut berjaya mencapai matlamat dan menepati objektif yang digariskan bersama berkat dan rahmat Allah SWT." Pendirian PAS ini dilihat sebagai satu jalan selamat untuk tidak bersama satu aksi massa yang boleh memberi kesan negatif terhadap kerajaan negeri Selangor, negeri tempat berlaku kontroversi paling panas berhubung isu menyentuh sensitiviti umat Muslim terutama murtad dan penjualan arak. Himpun secara efektif boleh menjadi satu program yang menjejaskan kerajaan negeri Selangor dan PAS di negeri itu yang mengambil pendirian selamat berhubung isu penggunaan nama Allah oleh Kristian Katolik dan siasatan pihak berkuasa agama terhadap sebuah gereja beberapa bulan lalu. PAS dan PR kelihatan mengesyaki peranan Umno dalam perhimpunan itu, yang mempunyai rancangan merampas kembali negeri Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Walau bagaimanapun, pendirian PAS ini menambahkan lagi kritikan bahawa parti itu tunduk kepada DAP dan PKR yang sekular dan liberal. Perkembangan ini juga menyaksikan sikap pragmatik PAS yang banyak diperlihatkan sejak pilihan raya umum yang lalu, terutama di negeri Selangor. PAS mengambil pendirian berseberangan dengan Umno dalam banyak kes, sehingga kelihatan seolah-olah kedua-dua parti tersebut telah mengubah posisi. PAS satu masa dahulu pernah mendesak penutupan kilang-kilang arak di Selangor, dalam kritikan konsistennya terhadap Umno yang menguasai Selangor. Walau bagaimanapun, selepas menjadi sebahgian kerajaan negeri, parti itu dikritik kerana tidak berupaya menghalang penjualan arak di kedai 24 jam di kawasan majoriti Muslim di negeri Selangor, langkah yang jauh lebih kecil berbanding menutup kilang arak. PAS juga sebelum ini mengkritik hebat kerajaan Umno Selangor dalam beberapa isu besar berkaitan Islam, termasuk melibatkan pemecatan mufti negeri satu masa dulu, Allahyarham Datuk Ishak Baharom ekoran kes penangkapan peserta ratu cantik beragama Islam. Pendirian PAS itu juga memperlihatkan perbezaan dalaman berhubung isu sensitif tersebut. Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali menunjukkan sokongan kepada perhimpunan itu, dan menyatakan pendirian tegas dalam waancara dengan Mingguan Malaysia Ahad lalu. Hasan, yang sering bertentangan pendapat dengan Khalid Samad yang kini timbalan pesuruhjaya di Selangor, sebelum ini dikritik hebat ekoran sokongannya terhadap siasatan terhadap sebuah gereja Metodis yang didakwa menjalankan usaha memurtadkan orang Muslim. Sikap terhadap Himpun juga dipercayai turut disebabkan oleh penggerak-penggeraknya yang turut melibatkan Yusri, bekas presiden Abim yang kini bertentangan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bekas pemimpin pertubuhan itu yang masih menguasai haluannya. Himpun disifatkan sesetengah pihak sebagai anti-Kristian dan dibimbangi dieksploit oleh pihak tertentu yang berkepentingan, dan dikritik sebagai mengambil pendekatan salah dalam menangani isu akidah umat Muslim. Yusri, pengerusi bersama Himpun walau bagaimanapun dilapor berkata pertubuhan itu tidak dikuasai mana-mana parti politik dan tidak dilaksanakan untuk menjadikan bukan Muslim sebagai musuh. |
Pendatang asing tanpa izin: Malaysia tunggu saat kehancuran? Posted: 18 Oct 2011 11:50 PM PDT Isu pendatang tanpa izin ialah satu isu yang sukar untuk ditangani oleh pihak berkuasa Malaysia kerana pelbagai sebab. Antaranya Malaysia memerlukan tenaga kerja yang besar di pelbagai sektor, membuka ruang dan permintaan kepada buruh murah yang menjadi faktor kedatangan pendatang asing. Terkini, media tempatan mula memberi perhatian kepada pendatang asing, yang dikaitkan dengan pengundi hantu dan juga pendatang yang menjadi penjenayah. Artikel di bawah, tulisan ARIF ATAN, diterbitkan dalam akhbar Siasah pada Jun, 2010. Alangkah ramainya pekerja asing yang mencari rezeki di negara ini. Tidak kurang juga pendatang asing yang masuk secara haram. Sebahagia besar hanya datang sebagai penjenayah termasuk perompak dan pengedar dadah serta pelacur di sebalik "topeng" permit kerja, pas pelajar dan pelancong. Dalam persidangan Dewan Negara pada 3 Mei 2010 lalu, didedahkan statitik Jabatan Imigresen. Sehingga 31 Disember 2009, terdapat seramai 1.92 juta pendatang asing berpermit masuk ke tanahair ini iaitu warga Indonesia (991,940 orang), Bangladesh (319,020), Nepal (182,668), Myanmar (139,731) dan India (122,382). Namun, melihatkan kelibat mereka yang berada di mana-mana sahaja sehingga juruwang pusat beli-belah, pelayan restoran mewah dan pekerja hotel pun mereka juga walaupun tempat itu boleh diisi oleh anak tempatan, pastilah angka mereka jauh lebih besar lagi! Apakah yang akan berlaku kepada aspek ekoposial (ekonomi-politik-sosial) Malaysia nanti paling kurang 50 tahun akan datang? Kita semua maklum akibat kecuaian raja-raja Melayu dahulu maka satu demi satu negeri-negeri Melayu jatuh ke tangan penjajah melalui tipu helah yang dibayangi dengan tawaran harta dan kuasa. Antaranya, bagaimana sultan Melaka boleh mudah terpedaya dengan Belanda yang mulanya konon mahu membeli tanah sebesar belulang lembu dengan wang sepenuh-penuhnya di atas belulang tersebut. Singapura yang kini berwajah Hong Kong pun adalah akibat dijual raja. Mudah benar raja dan para pembesarnya menurunkan tandatangan dalam surat perjanjian dengan Inggeris. Akibatnya, nama Stamford Raffles yang dibanggakan sebagai pengasas Singapura pada tahun 1819 sekaligus menutup sejarah republik itu yang sebenarnya bermula dengan pemerintahan bangsa Melayu. Begitu jugalah yang berlaku kepada Pulau Pinang yang terlepas ke tangan Francis Light, Pattani ke tangan Siam dan negeri-negeri Melayu lain. Kedatangan dan penguasaan penjajah khususnya Inggeris membawa bersama-samanya masuk beratus-ribu tenaga kerja asing dari China dan India. Akibatnya, berlaku perubahan mendadak dari segi komposisi penduduk Tanah Melayu. Kaum pendatang yang juga dahulunya digelar juga "orang-orang dagang" bertambah ramai sehingga mengatasi jumlah bangsa Melayu serta membolot kekayaan hasil-mahsul atau kek ekonomi tanahair ini. Misalnya, jumlah penduduk Cina di Singapura telah meningkat daripada 3,000 orang pada tahun 1820 kepada 50,043 pada tahun 1860 (LA Mills dalam British Malaya 1824-1867 (1966), Itu baru dalam tempoh tidak sampai separuh abad! Menurut catatan WL Blyte dalam Kamaruzzaman Abd Kadir (1987) pula, jumlah imigran Cina di Selangor telah mencecah 65 peratus daripada penduduk negeri itu pada tahun 1901. Di Kuala Lumpur dan Selangor juga, penglibatan orang Melayu dalam perniagaan runcit dan pasar pada tahun 1850-an jauh berkurang berbanding awal tahun 1830-an akibat daripada kemasukan ramainya kaum imigran terutamanya Cina. Demikian kenyataan daripada Hj Abdullah Hukum bin Abdul Rahim, pengasas Kampung Abdullah Hukum (kini tinggal sejarah) serta antara tokoh penting yang meneroka Kuala Lumpur dalam temubual pengarang Warta Ahad dari 6 Oktober 1935 hingga 17 November 1935. (Maklumat lanjut dalam Adnan Hj Nawang, Kuala Lumpur: Haji Abdullah Hukum (1997) Jadi, dengan angka berjuta-juta pendatang asing termasuk dari Myanmar, Vietnam, Nepal dan Afrika yang merebut rezeki secara halal mahupun haram di Malaysia yang enggan diambil peduli oleh pemerintah tidak mustahil akan mengulang "musibah" yang pernah berlaku dahulu dan meranapkan kelangsungan rakyat Malaysia terutamanya bangsa Melayu kelak. Berhubung dengan impak buruk kebanjiran imigran, disertakan petikan dari novel sebelum Perang Dunia Kedua bertajuk Melati Kota Bharu karya Abdul Kadir Adabi (1901-1944) untuk renungan kita bersama: "..kita sendiri memperlemahkan diri kita dan kita terima polisi pintu terbuka itu dengan tiada bergerak-gerak …jikalau polisi itu tiada diubahkan di dalam beberapa tahun ke hadapan ini … kita menderita keazaban …dan merbahayanya …seperti yang ditanggung oleh ummah Palestin … atau jika tidak maka tiadalah jauh watan kita Semenanjung Tanah Melayu ini … seperti Chzechoslovakia…" Melihatkan sejarah lalu dan "amaran" oleh pengarang silam akan bahayanya kebanjiran pendatang asing tanpa kawalan, apakah kita mahu hanya berpeluk tubuh menantikan saat kehancuran itu? |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan