Selasa, 25 Oktober 2011

SETIAWANGSA@KL

SETIAWANGSA@KL


PERUTUSAN DEEPAVALI PRESIDEN PKR

Posted: 25 Oct 2011 12:36 AM PDT

Perayaan Deepavali diserikan dan diraikan dengan "cahaya" untuk mengenang dan mempermuliakan kemenangan yang baik atas yang jahat. Lalu disusun lampu 'agal vilakku' yang bercahaya dan berseri-seri. Kita di sini beruntung kerana dapat berkongsi merayakan perayaan ini dengan masyarakat Malaysia yang beragama Hindu. Tidak dapat dinafikan bahawa tamadun daripada pengaruh agama Hindu turut menyumbang kepada proses ketamadunan di Nusantara. Kehebatan yang terserlah ialah, apabila kedatangan Islam, kedua tamadun ini dapat terjalin dengan baik dan tanpa sebarang ketegangan atau kesusahan.

Ujian sebenar ialah hari ini. Sebagai salah satu kaum utama di Malaysia, masyarakat India khususnya yang beragama Hindu masih tercicir. Lihat sahaja bagi mereka yang tinggal di estet-estet, keadaannya masih daif. Berulang kali disebutkan, termasuk di dalam Parlimen bahawa angka banduan, keciciran pendidikan di sekolah dan gangsterisme masih ramai yang melibatkan belia dari masyarakat India. Yang jelas ialah kepercayaan sekian lama yang mereka berikan kepada pemerintah sediakala telah dikhianati. Malah kita dengar bagaimana saham berbilion ringgit yang diperuntukkan kepada masyarakat kita yang keturunan India, lenyap begitu sahaja. Pembelaan bagi pihak semua masyarakat yang memerlukannya adalah tunggak perjuangan Keadilan sejak penubuhannya.

Dalam konteks ini, masyarakat India tidak boleh dibiarkan terkebelakangan mengakibatkan keseluruhan corak masyarakat Negara menjadi tidak seimbang. Inilah ujian dan cabaran yang sedang dihadapai oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kesejahteraan. Parti Keadilan Rakyat tidak memandang sambil lewa hal ini. Kita dengan sepenuh daya upaya mahukan agar masyarakat India tidak lagi ketinggalan, dan keberadaan mereka bukan hanya tempelan di kaca TV untuk menampakkan keharmonian yang serba pura-pura.

Menjelang hari mulia 26 Oktober 2011 ini, saya mewakili seluruh barisan kepimpinan dan ahli-ahli Keadilan mengucapkan Selamat Hari Deepavali. Mari kita bersama membawa cahaya kebaikan ke semua warga negara kita yang tercinta.


Dr. Wan Azizah Ismail

Presiden

Parti Keadilan Rakyat


Tiada ulasan: