Isnin, 24 Oktober 2011

Senyum Tangis Sendu

Senyum Tangis Sendu


MSN Beli Kuda Pondan

Posted: 24 Oct 2011 05:00 AM PDT


Sebanyak 18 ekor kuda dibeli dengan kos hampir RM4 juta oleh Majlis Sukan Negara (MSN) tetapi tidak dapat diturunkan dalam persaingan World Endurance Championship (WEC) 2008 sebab tidak memenuhi syarat kelayakan termasuk masalah kesihatan.

Hanya lima ekor kuda layak untuk bersaing dalam kejohanan tersebut.

Kesemua 23 kuda itu dibeli dengan kos RM5.66 juta.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyebut "pihak Audit dimaklumkan 18 ekor kuda dengan kos perolehan berjumlah RM3.94 juta tidak layak bertanding kerana tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Persekutuan Equestrian Antarabangsa."

"Ini disebabkan kuda yang dibeli tidak mendapat latihan yang mencukupi memandangkan peroleh kuda dibuat dua bulan sebelum kejohanan.

"Di samping itu beberapa ekor kuda juga mengalami kecederaan sebelum kejohanan bermula," kata Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

Pada Februari 2007, MSN telah diminta untuk membeli enam ekor kuda bagi tujuan WEC 2008 dengan mendahulukan peruntukan sedia ada dan agensi itu telah membelanjakan RM1.98 juta bagi tujuan itu.

Pada Jun tahun yang sama, Kementerian Belia dan Sukan telah menetapkan spesifikasi dan bilangan kuda untuk ditambah sebanyak 17 ekor lagi menjadi 23 ekor untuk pertandingan tersebut.

Kata beliau, pada pandangan Audit perancangan perolehan kuda hendaklah dibuat secara teliti dengan mengambil kira tahap kesihatan dan kebolehan kuda untuk bertanding.

"ISN (Institut Sukan Negara) sepatutnya merancang perolehan dengan mengambil kira tempoh latihan yang diperlukan bagi setiap kuda untuk memenuhi syarat kelayakan FEI.

"Ini menyebabkan sebahagian besar kuda yang diberi tidak dapat menyertai (World Endurance Championship) WEC 2008," katanya.

Kata laporan, walaupun usaha dilakukan untuk memastikan kuda tersebut sihat, kesihatan kuda tidak dapat dijamin sempurna sepanjang masa.

Laporan Audit berkata pihaknya mendapati ISN perlu memastikan perolehan kuda digunakan untuk menyertai kejohanan peringkat antarabangsa dan pembangunan sukan berkuda bagi tempoh tertentu sebelum diserahkan kepada agensi kerajaan yang lain.

Gila! Binokular Harga 2,805 Peratus Lebih Mahal Dari Biasa

Posted: 24 Oct 2011 03:12 AM PDT


Laporan Ketua Audit Negara yang diserahkan  di dewan rakyat selepas tertangguh selama 17 hari ternyata mengandungi beberapa pendedahan mengejutkan.

Antaranya pembelian peralatan oleh Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) dengan harga kontrak yang jauh lebih tinggi dan tidak masuk akal berbanding harga pasaran.

Dalam laporan itu dinyatakan bahawa JTLM, iaitu agensi yang diletakkan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, tidak melakukan kajian pasaran dalam pembelian yang dibuat mereka.

"Semakan audit mendapati tiada bukti JTLM telah membuat kajian pasaran sewajarnya.

"Bagaimanapun, pihak JTLM mempunyai anggaran harga pasaran yang tidak dapat dikenal pasti asas perkiraannya.

"Analisis Audit mendapati perbezaan harga ketara antara 177 peratus hingga 2,805 peratus terhadap kadar harga yang ditetapkan dalam kontrak berbanding anggaran harga pasaran," kata laporan audit yang dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Di antara pembelian tidak masuk akal yang dibuat JTLM itu adalah dua teropong pandangan malam (night vision) yang berharga cuma RM1,940 dan RM2,827 setiap satu, tetapi dibeli secara kontrak pada harga RM56,350 setiap satu.

Perbezaan harga sebanyak RM54,410 dan RM53,523 itu adalah pembaziran sebanyak 2,805 peratus dan 1,893 peratus berbanding harga asal.

Manakala harga komputer riba Acer Aspire 3935 yang sepatutnya berharga RM3,428 pada harga pasaran dibeli dengan harga RM11,845.

Perbezaan harga sebanyak RM8,417 itu adalah 246 peratus lebih tinggi berbanding harga asal.

Selain itu, pemain LCD dan TV LCD dibeli dengan harga RM16,100 berbanding harga pasaran iaitu sekitar RM2,182 sahaja.

Sementara peralatan walkie talkie pula dibeli pada harga RM4,324 sedangkan harga pasaran hanyalah RM1,561 bagi setiap unit.

Wow! Monorel Melaka 8 Kali Rosak Dalam Masa 3 Minggu

Posted: 23 Oct 2011 09:00 PM PDT


Pada tahun 2010 Melaka telah diisytiharkan sebagai Melaka Maju 2010. Pada tarikh berkenaan telah beroperasi monorel yang telah menimbulkan kontroversi dan persoalan kepada rakyat di negeri ini. Adakah monorel itu untuk orang ramai bagi tujuan memudahkan perjalanan atau sebagai industri pelancongan di Melaka semata-mata. Berikut adalah kerosakan yang dialami oleh monorel di Melaka.

Pada tarikh 20 Oktober 2010 jam 4.00 petang, monorel telah mengalami kerosakan iaitu di bahagian 'slip ring holder' telah tercabut dari kenderaan tersebut dan tindakan yang telah diambil bagi menangani masalah ini ialah dengan menggantikan 'slip ring holder' dengan yang baru pada hari yang sama iaitu 20 Oktober 2010 jam 10.00 malam.

Selang kurang daripada 48 jam dari tarikh menggantikan 'slip ring holder' itu pada 22 Oktober 2010 jam 9.30 pagi, kerosakan yang telah dikesan adalah dua batang skru telah patah dan tindakan yang telah diambil ialah menggantikan skru yang rosak itu dan pemeriksaan skru yang lain selesai dibuat pada hari yang sama iaitu jam 12.30 tengah hari.

Keesokan harinya pula iaitu pada 23 Oktober 2010 jam 10.00 pagi, kerosakan yang berlaku ialah pintu gerabak tengah tersangkut pada 'hand rail' Stesen Monorail Hang Tuah dan tindakan yang telah diambil ialah pintu gerabak siap dibaiki pada hari yang sama iaitu jam 1.00 petang. 

Namun ia tidak bertahan lama apabila kerosakan lain pula dikesan jam 6.00 petang hari yang sama selepas lima jam pintu dibaiki. Kerosakan itu adalah lima batang skru tayar pula pecah. Tindakan yang telah diambil ialah kerja-kerja menggantikan tayar dengan yang baru pada hari yang sama jam 11.00 malam sehingga jam 6.00 pagi 24 Oktober 2010. Pada jam 8.00 pagi 24 Oktober 2010, pengujian monorel dijalankan.

Kurang daripada 12 jam selepas monorel diuji pada 24 Oktober 2010 iaitu jam 7.30 malam, gerabak monorel telah melanggar 'stopper' di Stesen Monorel Hang Tuah. Kerja-kerja pembaikan dilakukan dan monorel siap dibaiki serta pengujian dilakukan bagi memastikan semua sistem dalam keadaan baik selesai pada 25 Oktober 2010 jam 1.00 petang pada hari yang sama.

Kurang dari seminggu kemudian iaitu pada 30 Oktober 2010 jam 3.40 petang, dua batang skru tayar pula patah dan kerja-kerja untuk menggantikan skru tayar berkenaan siap dilaksanakan pada hari yang sama iaitu jam 8.00 malam 30 Oktober 2010.

Dua kemudian iaitu pada 2 November 2010 jam 4.00 petang, kerosakan pada 'shaft' tayar gerabak tengah telah patah. Pada jam 2.00 petang pada keesokkan harinya iaitu pada 3 November 2010, 'shaft' tayar yang baru siap diganti dengan yang baru.

Selepas enam hari kemudian iaitu pada 8 November 2010 jam 6.00 petang, kerosakan baru pula berlaku iaitu sebatang skru telah patah dan skru baru siap diganti pada hari yang sama. Kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan sistem monorel termasuk pengujian dijalankan oleh pembekal daripada China pada 15 November 2010 hingga 20 Disember 2010.

Lawatan pemeriksaan bagi penambahbaikan sistem monorel Melaka oleh Jabatan Keretapi Malaysia pada 21 Disember 2010 jam 12.00 tengah hari. Monorel telah beroperasi semula pada keesokan hari iaitu pada 23 Disember 2010 selepas diperiksa oleh Jabatan Keretapi Malaysia.

Kos untuk selenggara itu berjumlah RM16juta di mana merangkumi kos untuk Engineering dan Construction. Begitu hebat dan kencang duit rakyat dibazirkan pada monorel yang rakyat kebanyakkan tidak dapat menikmatinya.

Penyelia DUN Bukit Baru
Yusof Wahab

Sumber di sini

Guna Kemaluan Perangkap Wanita

Posted: 23 Oct 2011 05:04 PM PDT


IPOH: Wanita terutama kalangan ibu tunggal dinasihatkan berwaspada daripada menjadi pemuas nafsu seorang lelaki 'kasanova' yang sanggup melakukan apa saja helah bagi memerangkap mangsa termasuk menghantar gambar 'anunya' kepada wanita terbabit.

Perbuatan tidak bermoral dan jijik yang didakwa dilakukan seorang anggota beruniform yang bertugas di ibu negara itu dibongkar seorang wanita yang nyaris menjadi mangsa lelaki berkenaan.

Temberang lelaki bermulut manis berusia 30-an berasal dari sebuah negeri di pantai timur itu terbongkar apabila terjerat dalam perangkap dibuatnya sendiri.

Semuanya gara-gara wanita buruan paling dikehendaki lelaki kasanova itu menghidu setiap helah termasuk keteguhan imannya melawan gelora nafsu selama hampir lapan tahun sejak bercerai pada 2003 biarpun diumpan bukan satu tetapi tiga gambar 'anu' dalam posisi berbeza dihantar melalui lelaki terbabit melalui SMS.

Ia berikutan populariti wanita berusia awal 40-an itu apabila mendapat beberapa gelaran seperti janda gebu, montok dan seksi menyebabkannya lali dengan gangguan lelaki hidung belang yang kebanyakannya hanya mahukan seks dan hartanya.

"Saya percaya ramai wanita terutama janda yang menjadi mangsa lelaki yang mendakwa anggota polis dari Bahagian Risikan Jenayah, Bukit Aman dan saya rasa dia tidak berbohong berdasarkan cara percakapan dan pengetahuannya dalam bidang undang-undang.

"Justeru, selain mengelak lebih ramai wanita menjadi mangsa lelaki itu, saya tampil mendedahkan perkara ini bagi memastikan maruah dan imej pihak berkuasa itu terus terbela daripada dicemari tindak tanduk lelaki seperti 'Mohd Izham' jika memang benar dia anggota polis," kata wanita berkenaan.

Selepas beberapa kali gagal dan tertangguh, wartawan semalam menemui wanita terbabit yang kini dalam proses mengumpul maklumat dan bukti terhadap kegiatan lelaki berkenaan.

Namun demi menjaga maruah dan reputasi diri yang dikenali antara usahawan wanita berjaya di utara tanah air selain Kuala Lumpur dan Selangor, mangsa hanya mahu dikenali Siti (bukan nama sebenar).

Usaha mengatur pertemuan itu dibuat susulan maklumat diperoleh wartawan daripada sumber boleh dipercayai mengenai kegiatan seorang lelaki menjerat janda di negeri utara tanah air terutama Perak dan Kedah bagi mengikis harta mangsa selain menjadi pemuas nafsu.

Biarpun difahamkan sudah ramai wanita menjadi mangsa, namun lelaki terbabit masih meneruskan kegiatan jahatnya menjerat golongan ibu tunggal berikutan keengganan mangsa membuat laporan polis kerana mahu mengelak aib dan mahu merahsiakan daripada pengetahuan ahli keluarga dan rakan.

Namun jerat ayat cinta dan umpan terbaik lelaki berkenaan iaitu mengirim gambar 'anunya' akhirnya memakan diri apabila membawa kepada pembongkaran identiti sebenar serta kegiatan tidak bermoral kasanova berkenaan.

Ibarat pertembungan 'buku bertemu ruas', di sebalik tarikan fizikal janda berasal dari Kedah itu, lelaki miang terbabit tidak tahu selain menjalankan perniagaan, mangsa juga seorang peguam.

"Saya sudah biasa melayan kerenah lelaki termasuk yang boleh dikategorikan sebagai 'gersang melampau'. Biasanya mereka akan menghubungi atau menghantar SMS menyatakan minat berkenalan dengan saya.

"Disebabkan sibuk dan tahu niat buruk mereka, saya akan menjawab atau membalas SMS memberitahu secara elok status diri belum bersedia untuk kembali berpasangan," katanya.

Namun, berbeza dengan lelaki lain, menurut Siti, 'Mohd Izham' itu tidak berputus asa apabila terus menghubungi dan menghantar SMS bertanyakan khabar biarpun tidak dipedulikan.

Berbanding kebiasaan wanita dipermainkan dengan ditaburkan pelbagai janji, ayat manis, belaian kasih sayang melalui panggilan atau SMS, kini giliran kasanova berkenaan menjadi 'tikus' selepas Siti mengambil keputusan melayan kerenahnya bagi memastikan sama ada lelaki yang dikatakan mensasarkan golongan ibu tunggal di utara tanah air itu sebagai pemuas nafsu sejak awal tahun ini.

"Selepas berhubungan melalui telefon bimbit selama hampir tujuh bulan, lelaki ini akhirnya menunjukkan 'rupa' sebenarnya pada 29 September lalu apabila mula berbual mengenai seks dan nikmat melakukannya seminggu sebelum itu.

"Mungkin geram apabila tindakan itu masih gagal 'menewaskan' saya bagi memenuhi permintaannya supaya kami bertemu, dia akhirnya mengirimkan tiga keping gambar alat sulitnya dengan kali terakhir diterima pada 29 September lalu," katanya.

Tindakan itu meyakinkan Siti bahawa lelaki terbabit adalah kasanova sama yang diperkatakan dan mendorongnya melakukan siasatan bagi mengenal pasti identiti sebenarnya.

Hasil pemeriksaan terhadap nombor telefon bimbit digunakan lelaki terbabit mendapati ia didaftarkan atas nama seorang lelaki. Kasanova itu yang mengetahui temberang pecah sejurus Siti menghantar SMS nama berkenaan kepadanya, terus tidak lagi berhubungan dengannya.

"Saya meminta wanita terutama ibu tunggal yang pernah menjadi mangsa lelaki itu tampil membuat laporan polis atau mendapatkan bantuan mana-mana pihak berkaitan bagi membela nasib mereka seterusnya mengelak lebih ramai wanita menjadi mangsa.

"Saya menasihatkan wanita khasnya ibu tunggal yang tiba-tiba didekati lelaki yang tidak diketahui latar belakang dan hanya memperkenalkan diri sebagai anggota polis supaya berhati-hati bagi mengelak terjerat," katanya.

Tiada ulasan: