Nuffnang

Pengikut

Politiksukusakat

sumber :-

Politiksukusakat


Mengintai Belanjawan 2012

Posted: 05 Oct 2011 06:20 AM PDT

Oleh DR ROSLI BIN YAAKOB (Pakar Ekonomi)

Dijangka Belanjawan 2012 yang bakal dibentang Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan 1 (PM-MK1) pada 7 Oktober 2011 ini berpremiskan dua perkara utama, iaitu, Pilihan Raya Umum Ketigabelas (PRU13) dan jangkaan kemelut ekonomi dunia, khasnya ekonomi Eropah dan Amerika yang dihantui krisis hutang. Oleh kerana Eropah dan Amerika adalah rakan dagang utama Malaysia, kemelut ekonomi yang bakal melanda itu dijangka membawa impak negatif yang bukan kecil kepada ekonomi Malaysia.

Oleh itu, Belanjawan 2012, pada bahagian pentingnya, pastinya mengandungi langkah-langkah untuk menangani impak negatif itu. Justeru, bolehlah ditelah bahawa PM-MK1 akan mengemukakan dasar fiskal mengembang (expansionary fiscal policy), iaitu, meningkatkan perbelanjaan bagi melawan arus kemelesetan (counter-cyclical). Ini pasti memburukkan lagi defisit fiskal.

Pilihan raya Umum Ketigabelas (PRU13) akan diadakan pada bila-bila masa sebelum bulan Mac 2013, mungkin sebaik-baik saja selepas pembentangan belanjawan, iaitu, se awal bulan November 2011 atau bulan Februari - Mac 2012. Kalau tidak, mungkin pada satu tarikh dalam bulan Jun - November 2012. Tetapi, iannya tidak mungkin terlalu dekat dengan tarikh luput parlimen sekarang.

Telahan bahawa PRU13 akan di adakan dalam bulan Februari-Mac 2012 lebih meyakinkan kerana PM-MK1 memerlukan ruang selesa untuk membaiki populariti beliau yang dilaporkan merudum sejak kebelakangan ini. Kalau PRU13 diadakan terlalu lambat, kemelesetan ekonomi akan tiba dan mengadakan PRU13 dalam keadaan ekonomi yang meleset pastinya menghakis sokongan rakyat kepada UMNO-BN. Namun, tarikh sebenarnya hanya beliau dan isteri yang tahu.

Sekiranya PRU13 akan diadakan dalam tempoh yang terdekat ini, maka Belanjawan 2012 pastinya belanjawan plilihanraya yang di dalamnya terkandung tawaran-tawaran manis untuk membeli hati pengundi dan mengagihkan "minyak pelincir" kepada jentera pilihanraya UMNO-BN dalam bentuk pemberian kontrak-kontrak kecil yang boleh dilaksanakan dengan segera – digelar sebagai "projek mi segera." Projek-projek ini dilulus dan dilaksanakan segera dan kontraktor (orang parti) mendapat bayaran segera – beberapa jam dan hari sahaja selepas projek siap - supaya sempat dibelanjakan semasa kempen pilihanraya.

Dana mesti dimasukkan ke dalam saku ketua-ketua cawangan dan bahagian. Kalau tidak mereka tidak akan mampu menggerakkan jentera pilihanraya. Pemacak bendera, pemasang poster dan semua pekerja pilihanraya kena dibayar. Pengundi luar yang hendak balik kampung perlu diberi alaun. Kalau dana tidak ada dalam saku, macetlah jentera. Takkan ketua cawangan dan bahagian hendak mengeluarkan duit sendiri. Menteri-menteri pun tidak pernah mengeluarkan duit sendiri untuk membiayai pilihanraya, takkanlah ketua cawangan dan bahagian hendak berbuat begitu.

Berdasarkan pengumuman awal pihak berkuasa dan analisis yang dibuat ahli ekonomi, pengarang cuba mengintai perkara-perkara yang besar kemungkinannya dimuatkan di dalam Belanjawan 2012.

Sudah ada pengumuman awal bahawa belanjawan 2012 akan mengandungi langkah-langkah meringankan beban kos hidup rakyat menyedari bahawa kajian pelbagai pihak menunjukkan inilah isu utama dalam PRU13 ini. Pakatan Rakyat telah mengemukakan pelbagai langkah untuk meringankan beban kos hidup yang meningkat ke atas rakyat terbanyak. Sudah tentu kerajaan UMNO-BN mahu mengemukakan satu "versi tawaran yang lebih menarik" bagi menyaingi tawaran-tawaran PR itu.

Mengurangkan kos sara hidup bermakna mengurangkan kos butir-butir utama dalam perbelanjaan isirumah yang terdiri dari belanja perumahan (sewa atau ansuran bulanan rumah), ansuran bulan kereta (atau tambang bulanan perkhidmatan pengangkutan), belanja makan minum (belanja dapur), minyak kenderaan dan belanja makan di luar rumah dan belanja penjagaan dan pendidikan anak-anak.

Tetapi, perbelanjaan surirumah juga merangkumi perbelanjaan pelbagai yang lain seperti pakaian, hiburan, perubatan, membayar hutang, membaik pulih kereta, membaik pulih rumah, sumbangan kepada ibu-bapa yang tua, tabungan, belanja menyambut pelbagai perayaan dan lain-lain perbelanjaan luar jangka.

Secara umumnya, sesebuah isirumah bersaiz sederhana (terdiri dari bapa, ibu dan empat orang anak) perlu beberlanja seperti berikut: Rumah (sewa atau ansuran bulanan) – RM800 sebulan, kenderaan (sewa beli atau tambang kenderaan) – RM400 sebulan, minyak kenderaan – RM100 sebulan, belanja dapur – RM250 sebulan, makan di luar rumah – RM100 sebulan dan belanja pendidikan anak-anak – RM200 sebulan. Belanja di atas butiran-butiran utama ini sudah berjumlah RM1,850. Kalau ini dicampur dengan perbelanjaan pelbagai yang dianggarkan kira-kira RM400 sebulan, maka sebuah isirumah yang bersaiz sederhana memerlukan pendapatan bawabalik ke rumah (take-home pay) tidak kurang dari RM2,250 sebulan untuk menikamati taraf hidup yang asasi dalam dunia yang serba moden ini. Oleh kerana masih ramai rakyat Malaysia berpendapatan RM1,500 dan ke bawah sebulan, sesuatu memang perlu dilakukan untuk membolehkan segolongan besar rakyat Malaysia memenuhi tuntutan hidup yang asasi ini. Tentunya, hidup secara mewah diluar jangkauan golongan ini.

Ada dua kaedah yang boleh dilaksanakan untuk meringankan beban kos hidup. Pertama, mengurangkan kos butiran-butiran utama perbelanjaan supaya kuasa beli setiap ringgit pendapatan akan meningkat dan yang kedua, menambahkan pendapatan bolehguna (disposable income) bulanan, iaitu, menambahkan wang dalam saku rakyat supaya dalam keadaan harga yang stabil dan terkawal, kuasa beli akan meningkat. Berasaskan kepada dua keadah ini, maka boleh diramalkan bahawa Belanjawan 2012 yang bakal dibentangkan akan, di antaranya, mengandungi perkara-perkara berikut:

1. Menambahkan subsidi ke atas barangan keperluan seperti petrol, gula, tepung, beras dan minyak masak, diperkasakan dengan penguatkuasaan kawalan harga barangan dan langkah-langkah membendung inflasi. Tidak bijak namanya untuk membiarkan rakyat membayar harga pasaran yang tinggi bila harga itu ditentukan secara tidak adil oleh pemanupulasi pasaran atau pembekal monopoli. Harga petrol di stesyen pam minyak mungkin dikurangkan 10 sen lagi. Harga lain-lain barangan keperluan asasi akan dikurangkan, mungkin sebanyak 5-10 sen lagi. Atau, mungkin juga kerajaan akan memperkenalkan "food stamps" sebagaimana yang diamalkan di Amerika dan lain-lain negara maju dan memberi "cash vouchers" untuk meringankan beban kos utiliti (letrik dan air) bagi golongan rakyat berpendaptan rendah. Ini pasti menambahkan beban fiskal kerajaan tetapi dalam usaha untuk memancing undi, disiplin fiskal duduk belakang. Harus disedari bahawa sebarang langkah untuk meringan kos hidup rakyat terbanyak yang gagal mengambilkira butiran-butiran utama perbelanjaan tidak akan berkesan.

2. Mengurangkan bayaran tol sebanyak 5-10% kerana ini akan mengurangkan kos pengangkutan. Langkah ini mampu dilaksanakan memandangkan keuntungan tinggi yang dikecap pemegang-pemegang konsesi lebuhraya di negara ini. Memang ada bantahan rakyat terhadap kenaikan bayaran tol. Kerajaan dirasa akan tunduk kepada asakan-asakan rakyat. Langkah ini mungkin diperkuatkan dengan meluaskan lagi sistem pengangkutan awam dengan memberi bantuan kewangan kepada syarikat pengangkutan awam (milik kerajaan mahu pun swasta) untuk meningkatkan operasi masing-masing.

3. Memotong lagi cukai pendapatan perseorangan (personel income tax) supaya ia selaras dengan kadar cukai korporat (sekarang ini 25% sedangkan cukai pendapatan persorangan 26% bagi jeda pendapatan yang tertinggi). Kerajaan juga mungkin mengurangkan pelbagai jenis cukai yang lain, memberi pengecualian cukai (tax waiver) dan rebat (rebate). Sementara itu, "sin tax" (cukai minuman keras, rokok dan seumpamanya) dan cukai eksais dan cukai jalan ke atas kereta mewah berkapasiti tinggi (2500 cc ke atas) mungkin dinaikkan. Dikira wajar, kalau cukai eksais bagi kereta berkapasiti rendah diturunkan sebagai langkah meringankan beban kenaikan kos pengangkutan bagi berjuta-juta pemilik kereta. Walaupun ada desakan dari Kumpulan Wang Antarabangsa (IMF) supaya Malaysia melaksanakan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Belanjawan 2012 tidak akan mempekenalkan cukai ini memandangkan ianya masih belum popular di kalangan rakyat.

4. Kakitangan awam dan pesara kerajaan yang masing-masing berjumlah 1,000,000 dan 550,000 orang mungkin menerima durian runtuh sekali lagi seperti yang mereka terima dalam Belanjawan 2007 yang lalu. Dalam tahun 2007, kakitangan kerajaan dalam kategori pengurusan kanan menerima kenaikan gaji sebanyak 7.5% dan kakitangan sokongan Kategori Dua 35%. Anggota polis dan tentera pula menerima kenaikan gaji sebanyak 20%. Berkemungkinan besar tawaran yang sama akan diberikan kepada kakitangan sektor awam, mungkin quantumnya saja yang berbeza. Kerajaan juga mungkin memperkenalkan bonus - satu atau dua bulan gaji - kepada kakitangan awam, dibayar pada hujung tahun 2011 atau awal tahun 2012. Harus diingat bahawa struktur gaji kakitangan sektor awam masih relatif rendah berbanding struktur gaji sektor swasta. Sekiranya, struktur gaji sektor awam tidak ditingkatkan dari masa ke semasa selaras dengan peningkatan struktur gaji sektor swasta mulai sekarang sehingga menjelang tahun 2020 nanti, maka visi untuk Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi akan terjejas memandangkan sektor awam menyumbang sehingga 20-30% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


5. Ditelah bahawa kerajaan tidak akan bersegera melaksanakan sistem upah minimum seperti yang diamalkan oleh tidak kurang dari 140 buah negara di dunia kecuali mengumumkan pelbagai "stalling mechanism" untuk meredakan tekanan dari pekerja. Pertama, kerana sikap kerajaan yang amat mesra pemodal (employer friendly). Kedua, kerana kerajaan masih memiliki kuasa kuku besi ke atas pekerja melalui penguasai proksi-proksi kerjaaan dalam kesatuan sekerja. Ketiga, masih tersedia dengan banyaknya buruh import yang sedia menerima gaji murah di bawah upah pasaran.

6. Kemelut ekonomi yang dijangka menimpa dunia dalam tahun 2012 akan menyebabkan permintaan luaran (external demand) bagi barangan Malaysia jatuh lalu menjejaskan permintaan dalam negeri. Justeru, langkah-langkah bagi meningkatkan permintaan dalam negeri (domestic demand) perlu dilaksanakan. Di antara langkah-langkah yang boleh dilaksanakan untuk merangsangkan permintaan dalam negeri termasuklah mengurangkan caruman pekerja dalam Kumpulan Wang Simpanan Perkerja (EPF) dari 11% sekarang ke 9%. Ahli ekonomi menganggarkan langkah ini mampu menyuntik dana sebesar RM700 - 800 juta setahun ke dalam saku rakyat. Namum, jika inflasi gagal dikawal, kuasa beli rakyat akan terus terhakis dan rakyat terus menanggung kos sara hidup yang kekal tinggi. Langkah-langkah lain termasuklah meningkatkan perbelanjaan ke atas infrastruktur dan merangsangkan pertumbukan sektor pembinaan kerana pertumbuhan sektor ini mampu membawa kesan "multiplier effect" yang tinggi ke atas penggunaaan dalam negeri. Biasanya, projek infrastruktur dianugerahkan kepada kroni yang akan memberi sumbangan dana pilihanraya. Projek infrastuktur kecil pula bertujuan memenangi hati budi pengundi luar bandar (kampung tradisi) dan bandar kecil dan menyuntik dana kepada jentera pilihan raya.

Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, pertumbuhan hasil cukai terencat, kekal pada sekitar RM150-160 bilion. Dengan kelembapan ekonomi, dijangka hasil cukai tidak akan bertambah dengan ketara. Juga, pergantungan yang semakin besar ke atas sumber hasil dari sektor petroleum dan gas boleh menyebabkan kedudukan hasil cukai menjadi tidak menentu kerana sektor ini amat terdedah kepada turun naik ekonomi dunia. Oleh itu dijangka, dengan pertambahan perbelanjaan yang ketara, iatu, 15-20% lebih tinggi berbanding tahun 2011, defisit belanjawan akan terus melebar dalam tahun 2012. Sepatutnya, dalam tahun-tahun ekonomi berkembang, di sana ada lebihan belanjawan agar lebihan yang terlonggok yang boleh digunakan dalam masa ekonomi meleset. Displin fiskal nampaknya tidak wujud di dalam kepala pemimpin kerajaan.

Subang Jaya
2 Oktober 2011
Belanjawan 2011

Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT