Sabtu, 29 Oktober 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Terlebih Bayar RM270 Juta, Ng Yen Yen Tiada Asas Nafi Audit

Posted: 29 Oct 2011 01:31 AM PDT

Exco Pelancongan Negeri Selangor, Elizabeth Wong mempersoalkan asas penafian Menteri Pelancongan berhubung lebihan pembayaran RM270 juta untuk iklan kementerian itu tahun lalu.

Penafian Datuk Seri Ng Yen Yen itu dibuat meskipun Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan kementerian itu memilih untuk menggunakan tempahan terus dan bukan tender terbuka bagi iklan berkenaan.

"Semua dakwaan ataupun teguran jabatan audit perlulah diterima dan jika pihak tertentu mahu menafikan, ia perlu dijawab dengan fakta yang betul,"

"Saya rasa kenyataannya melucukan dan hanya sandiwara. Beliau (Ng Yen Yen) jangan sekadar nafi tetapi perlu memberi penjelasan," kata Elizabeth Wong.

Menurut Adun Bukit Lanjan itu, bagi sesuatu projek yang besar, kementerian pelancongan pada prinsipnya perlu melaksanakan pemberian tender terbuka dan bukan rundingan terus.

"Banyak tender secara langsung diberikan dan sekiranya tender terbuka dibuat, ia memberi lebih banyak persaingan antara syarikat yang boleh menawarkan harga (iklan) yang jauh lebih murah,"

"Ini adalah penting untuk ketelusan dan menyemak latar belakang syarikat," tambah beliau.

Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini dipetik berkata, kementerian berkenaan terlebih bayar RM270 juta untuk iklan apabila ia memilih untuk menggunakan tempahan terus dan bukan tender terbuka.

Laporan itu menyatakan kementerian juga telah melanggar peraturan-peraturan Perbendaharaan seperti yang ditetapkan dalam pekeliling pada tahun 2007.

Selain itu, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia membeli sebanyak 1,000 unit rak besi risalah Visit Malaysia 2007 berjumlah RM1.95 juta juga dibuat secara runding terus tanpa kelulusan kementerian kewangan.

Bagaimanapun menterinya Ng Yen Yen hari ini menafikan perkara itu tanpa memberikan sebarang asas.

Elizabeth sebelum ini pernah menggesa Ketua Audit Negara menyiasat kontrak luar biasa RM1.8 juta untuk laman Facebook Kementerian Pelancongan yang dianugerahkan kepada sebuah syarikat.

Tender untuk kontrak selama tiga tahun itu diberikan kepada syarikat tersebut yang dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan rakan Ng Yen Yen.

Keupayaan syarikat itu bukan saja dipersoalkan, malah ia didapati turut tidak mempunyai laman web sendiri. -KD

Ketua Audit Negara: Kementerian Pelancongan terlebih bayar RM270m untuk iklan

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) - Kementerian Pelancongan terlebih bayar hampir RM270 juta untuk iklan apabila ia memilih untuk menggunakan tempahan terus dan bukan tender terbuka, Ketua Audit Negara hari ini melaporkan.

Laporan itu menyatakan bahawa dalam berbuat demikian, kementerian juga telah melanggar peraturan-peraturan Perbendaharaan seperti yang ditetapkan dalam pekeliling pada tahun 2007.

Kementerian juga membelanjakan mencecah RM1.95 juta untuk membeli 1000 rak - RM1, 950 setiap rak - untuk memegang risalah pelancongan, kata laporan itu, sekali lagi menunjukkan langkah itu dilakukan tanpa kelulusan perbendaharaan.


Papan iklan di Indonesia tanpa kelulusan Kementerian Kewangan

Semakan Jabatan Audit Negara mendapati perolehan pemasangan lima papan pengiklanan berjumlah RM3.64 juta di Medah, Surabaya dan Jakarta, Indonesia untuk tempoh setahun telah dibuat secara rundingan terus tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.

Semakan lanjut jabatan itu mendapati pemasangan papan iklan di Indonesia telah dibina pada 27 Januari 2009 sebelum mengambil kira ulasan dan maklum balas daripada pengawai Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) cawangan Medan melalui emel bertarikh 26 Januari 2009.

Pegawai tersebut juga tidak bersetuju dengan pemasangan billboard di lokasi tersebut disebabkan perkara berikut:

1. bilangan kenderaan yang melalui kawasan adalah terhad terutamanya pada waktu punak.

2. terletak di kawasan perumahan dan di lokasi pinggiran Kota Medan.

3. Bilangan billboard yang terlalu banyak dibina di sekitar lokasi tersebut.

Perkara ini dibangkitkan dalam laporan maklum balas Perbendaharaan terhadap isu utama dalam laporan Ketua Audit Negeri mengenai aktiviti badan berkanun bagi 2010.

Laporan itu menyebut, pihak Audit berpendapat LPPM perlu melaksanakan perolehan papan iklan mengikut peraturan yang ditetapkan bagi memastikan harganya kompetitif.

Selain itu, katanya, LPPM juga perlu memilih lokasi yang sesuai untuk pemasangan papan iklan tersebut.

Dalam penjelasannya, LPPM berkata pengiklanan tersebut perlu dilaksanakan dengan segera memandangkan menteri pada ketika itu akan membuat lawatan rasmi ke Indonesia pada 28 Januari 2009.

Lawatan tersebut, tambahnya, turut bertujuan untuk melancarkan kempen pengiklanan bagi pasaran Indonesia melalui TV, media cetak dan billboard.

Bagi mendapatkan impak yang tinggi hasil daripada lawatan itu, tambah LPPM, papan pengiklan di Indonesia terpaksa dinaikkan pada 27 Januari 2009.

Menurutnya lagi, bahagian pengiklanan mengambil maklum akan maklum balas TM Medan bertarikh 26 Januari 2009 tersebut.

Lanjutan daripada itu, tambahnya, pegawai bahagian pengiklanan telah meninjau sendiri lokasi papan pengiklanan tersebut pada 8 Februari 2009 bagi memastikan ia tidak menjejaskan kempen pengiklanan ini.

Tinjauan tersebut, tambahnya, turut disertai wakil media, pengarah dan timbalan pengarah TM Medan.

Hasil daripada tinjauan tersebut, jelas LPPM, TM Medan bersetuju bahawa lokasi tersebut sebenarnya adalah bersesuaian dan strategik serta visual yang dipaparkan adalah jelas.

Mengenai pemasangan papan pengiklanan di dalam negara, lawatan audit di lokasi pengiklanan sekitar Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Lembah Klang mendapati lokasi pemasangannya kurang strategik, papan pengiklanan roboh dan tidak dipasang lampu.

Pihak audit berpendapat LPPM perlu mengenal pasti lokasi yang strategik bagi pemasangan papan pengiklanan dan memastikan ia dipantau supaya dalam berkeadaan baik.

"Ini bagi memastikan perbelanjaan pengiklanan yang dibuat dapat memberi manfaat untuk menarik pelancong dalam negeri," tambahnya.

Dalam penjelasannya, LPPM berkata pemasangan papan pengiklanan di Jalan Tanjung Tokong, Pulau Pinang adalah untuk menarik pengunjung kompleks membeli belah di pasaraya Island Plaza, Pulau Pinang dan pejalan kaki di sekitar kawasan terseburt dan bukan bermaksud untuk kenderaan di jalanan.

Katanya, kedudukan papan pengiklanan yang roboh di Lebuhraya Utara Selatan telah diambil maklum oleh LPPM dan pembayaran kepada agensi pengiklanan tidak dibuat dan pihak agensi pengiklanan juga bersetuju tidak akan membuat sebarang tuntutan pembayaran.

Manakala tempahan ruang pengiklanan di Mid Valley yang tidak dipasang lampu adalah khusus untuk menarik tumpuan pengguna lebuh raya pada waktu siang sahaja, terutamanya pengunjung yang ingin pusat membelibelah itu.

Oleh itu, tambahnya, LPPM tidak memasng lampu untuk menarik perhatian pengguna jalan raya pada waktu malam.

Mengenai kehilangan lampu papan pengiklanan di Batu 3, Shah Alam, LPPM menjelaskan bahawa ia telah dimaklumkan kepada agensi pengiklanan dan surat amaran telah dikeluarkan.

LPPM, katanya, tidak akan membuat pembayaran papan pengiklanan kepada agensi tersebut bagi tempoh berkenaan.-mk

BN Tumbang Jika Teruskan Pindaan Akta Pekerja - MTUC Beri Amaran Kepada Najib

Posted: 29 Oct 2011 12:40 AM PDT

Batal pindaan Akta Kerja atau hadapi kesan masa PRU, MTUC beri Najib amaran

SUBANG JAYA, 28 Okt ― Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini memberi amaran keras kepada Datuk Seri Najib Razak bahawa undi melibatkan 5.7 juta pekerja akan menjadi penentu dalam arah aliran sokongan ketika pilihan raya umum ke-13 melainkan pindaan Akta Kerja 1955 yang menjadi kontroversi sekarang ditarik balik.

Kami minta perdana menteri mendengar permintaan kami, suara kami bagi pihak 5.7 juta pengundi (pekerja).

"Ada 5.7 juta pekerja yang berdaftar. Ini isyarat kami kepada beliau," kata Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor pada sidang media di sini hari ini.

Badan induk kesatuan sekerja yang dianggotai 390 gabungan mewakili 802,323 ahli telah merancang untuk mengadakan piket peringkat nasional pada 3 November ini.

MTUC mengesahkan bahawa piket itu, yang kedua selepas tindakan di kawasan bangunan Parlimen pada 3 Oktober lalu, akan diadakan 20 lokasi di seluruh negara.

Pergerakan itu mendakwa Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu akan memberi laluan mudah kepara para pelabur dan majikan mengambil rakyat Malaysia sebagai pekerja kontrak berbanding tenaga kerja kekal.

Jelas Halim, pihaknya sudah menghantar surat kepada Najib dan timbalannya minggu lepas berhubung permohonan mereka mendesak pertimbangan semula pindaan berkenaan Akta Kerja, namun sehingga kini belum mendapat respons.

"Sekiranya masih lagi tiada jawapan, kemungkinan besar kami akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung isu ini," tegasnya lagi.

Kata Halim, MTUC lebih rela menyelesaikan kemelut ini secara domestik berbanding melibatkan pihak luar.

Namun begitu, sekiranya ia menemui jalan buntu, pihaknya akan membawa isu ini ke Persidangan Serantau Pertubuhan Tenaga Buruh Antarabangsa di Kyoto, Jepun pada 4 Disember ini.

Terdahulu, sebanyak 107 pertubuhan bukan kerajaan dalam dan luar negara menyokong pendirian MTUC, memprotes pindaan Akta Kerja 1955, yang membolehkan kontraktor tenaga kerja dianggap sebagai majikan yang sahih.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, pihak berkenaan menegaskan kekecewaan mereka dengan tindakan kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia bertegas dengan pendirian membawa Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat awal bulan ini.

Ia telah pun diluluskan di Dewan Rakyat minggu pertama bulan ini dan kini tunggu giliran perbahasan Dewan Negara.

Laporan The Malaysian Insider kelmarin menyebut pertemuan antara MTUC dengan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam Selasa lalu gagal mengelak piket peringkat nasional badan induk kesatuan sekerja itu 3 November ini.

Kedua-dua pihak terbabit tidak menggunakan pertemuan itu yang berlangsung kira-kira sejam untuk menghindar pertikaian berkaitan dengan Rang Undang-undang Kerja (Pindaan 2011).

Kementerian Sumber Manusia juga dikatakan tidak meminta MTUC agar menggugurkan rancangan berpiket kali kedua bulan depan.

Presiden MTUC Khalid Atan berkata, Dr Subramaniam juga tidak menimbulkan sebarang pertanyaan mengenai piket mereka ― yang kedua ― yang akan diadakan di seluruh negara secara serentak awal bulan depan.

MTUC memutuskan piket nasional pada mesyuarat majlis am pada 10 Oktober lalu.

Piket pertama berkaitaan rang undang-undang itu telah diadakan pada 3 Oktober lalu di kawasan bangunan Parlimen.

Justeru tegas, MTUC akan meneruskan piket kebangsaan 3 November bagi memberi penjelasan kepada orang ramai khususnya kaum pekerja mengenai kesan pindaan Akta Kerja 1955.

MTUC juga meletakkan harapan pada anggota Dewan Negara untuk menangguhkan pelaksanaan undang-undang itu.

Piket 3 Oktober lalu diadakan bagi mendesak Kementerian Sumber Manusia menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja (Pindaan 2011) di Parlimen tetapi desakan dan rayuan MTUC tidak dilayan pihak kerajaan.

MTUC mendakwa ia tidak membantah keseluruhan pindaan Rang Undang-undang Kerja sebaliknya hanya beberapa peruntukan baru termasuk sistem kontraktor bagi tenaga kerja. -TMI

Pensyarah Terlampau Cabul Pelajar Dalam Bilik Pejabat

Posted: 28 Oct 2011 09:59 PM PDT

Pensyarah minta tubuh

KUALA LUMPUR: Pensyarah miang. Itulah gelaran buat seorang lelaki yang juga pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang berusia 50-an apabila mencabul seorang pelajar perempuan dalam biliknya di universiti berkenaan, kelmarin.

Lebih keji, pensyarah itu didakwa cuba memaksa pelajar berusia 23 tahun berkenaan melakukan aksi ringan-ringan dengan mengumpan untuk meluluskan pelajar itu dalam peperiksaan selepas mangsa enggan melayani kehendak seksualnya.

Bagaimanapun, keengganan mangsa memenuhi permintaannya menyebabkan pensyarah itu mula bertindak kasar dengan meraba serta mencium gadis terbabit menyebabkan berlaku pergelutan dalam bilik berkenaan.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa bernasib baik apabila berjaya keluar dari bilik pensyarah berkenaan sebelum membuat aduan kepada pensyarah lain dan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini.

Sumber berkata, kejadian bermula ketika mangsa mahu ke bilik pensyarah berkenaan bagi menghantar tugasan yang diberikan.

"Namun, dia terserempak lelaki itu di luar bilik sebelum mangsa diberikan kunci dan diarah menunggu di dalam bilik itu.

"Pensyarah itu muncul kira-kira 10 minit kemudian. Sebaik masuk ke biliknya, pensyarah berkenaan terus memegang pipi mangsa sebelum duduk di kerusinya," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang bingung dengan tindakan itu memberitahu mahu menghantar tugasan.

"Bagaimanapun, pensyarah itu mendakwa tidak mahukan tugasan berkenaan sebaliknya memberitahu mahukan benda lain," katanya.

Sumber berkata, mangsa yang tidak faham kemudian bertanya apa yang dimahukan pensyarahnya itu.

"Dengan bersahaja, pensyarah itu bangun dan mengunci pintu bilik sebelum menarik tangan mangsa serta memeluknya. Lelaki terbabit kemudian memberitahu mahu mencium mangsa.

"Mangsa cuba menolak dengan baik, namun lelaki itu terus meraba badannya walaupun dia merayu tidak diperlakukan demikian," katanya.

Katanya, mangsa yang bengang dengan tindakan itu memarahi pensyarah terbabit.

"Difahamkan, lelaki itu dengan bersahaja mengumpan untuk meluluskan mangsa jika memenuhi kehendak seksualnya," katanya.

Biarpun diumpan dengan keputusan cemerlang, mangsa masih berkeras menolak pelawaan lelaki itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka. Pelajar terbabit bernasib baik kerana berjaya keluar dari bilik sebelum membuat aduan kepada pensyarah dan kakitangan universiti berkenaan. Mangsa yang trauma dengan insiden itu kemudian tampil membuat laporan di IPK Kuala Lumpur, selepas dinasihatkan rakan, pensyarah lain dan keluarganya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK). -hm



Budak Maut Dirempuh Kereta Cikgu

Posted: 28 Oct 2011 07:52 PM PDT

Kepala Batas - Seorang kanak-kanak menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila kepalanya dikatakan pecah selepas dirempuh dan digilis sebuah kereta dalam kejadian di luar Sekolah Kebangsaan Pasir Gebu di sini semalam.

Gambar: MOHD. ZAMRI (kanan) mengangkat mayat Nor Afina yang maut selepas dirempuh sebuah kereta di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.

Kejadian pukul 12.10 tengah hari itu menimpa Nor Afina Khalida Zamri, 3, ketika dia sedang duduk di atas motosikal bersama bapanya, Mohd. Zamri Hashim, 36. Ketika itu, dua kakaknya, Nor Ellys Najwa, 9, dan Nor Alia Farhana, 7, baru hendak menaiki motosikal tersebut.

Tanpa diduga, motosikal itu terus dirempuh sebuah kereta dipandu seorang guru sebuah sekolah di Kuala Muda yang terbabas menyebabkan Nor Afina tercampak sebelum digilis kenderaan terbabit.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Supritendan Suhaimi Mohd. Noor berkata, kereta itu hanya berhenti selepas bergesel dengan sebuah lagi kenderaan yang diletakkan di luar sekolah.

Katanya, sebaik diperiksa, mangsa yang tinggal di Kampung Permatang Rawa di sini didapati tidak lagi bernyawa akibat cedera parah di kepala.

"Dua kakak mangsa mengalami luka di beberapa bahagian badan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kepala Batas manakala Mohd Zamri tidak cedera.

"Pemandu kereta itu yang cedera turut dirawat di hospital itu sebelum dia ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai dan membahayakan," katanya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakau Tua di sini semalam. -kosmo

[Bergambar] Najib Diberikan Sambutan "Hangat" Oleh BERSIH Di Australia

Posted: 28 Oct 2011 05:37 PM PDT

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di Perth Rabu lepas bagi menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel(CHOGM) dan mesyuarat berkaitan.

Delegasi dari 54 negara Komanwel menghadiri persidangan 3-hari di Pusat Konvensyen Perth pada Okt 28 dan kesempatan tersebut diambil oleh, Rangkaian Tindakan CHOGM (CAN), untuk menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap situasi politik di Malaysia.

CAN dianggotai oleh serangkaian besar gerakan sosial termasuklah Bersih.

Najib yang mengetuai delegasi Malaysia ke CHOGM yang disertai Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Mustapa Mohamed serta pegawai kementerian berkenaan telah diberikan sambutan hangat oleh rakyat Malaysia yang berada di Australia yang berpakaian kuning berhampiran pusat konvensyen berkenaan.

"CHOGM adalah satu persidangan antarabangsa dan ini merupakan masa terbaik untuk memberitahu dunia apa yang sebenarnya yang berlaku Malaysia," kata Chom Lee told FMT, jurucakap CAN.

"Masyarakat luarnegara telah terpedaya dengan penipuan kerajaan dan ramai beranggapan Malaysia mengamalkan demokrasi yang sebenarnya, sedangkan kikatnya adalah disebaliknya."

Beliau berkata CAN berharap agar ketua-ketua Komawel menyoal Najib mengenai tuntutan Bersih 2.0 mengenai 8 perkara dan juga mengenai rasuah dan isu pengasingan kuasa di Malaysia.

Beliau memberikan beberapa contoh penyalahgunaan kuasa dan rasuah termasuk kematian mereka yang disoalsiasat SPRM dan polis, pembelian kapalselam Scorpene dan kekayaan luarbiasa Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud.

Lee, yang kini menetap di Perth sejak 10 tahun lalu, menyatakan keluarganya menghantar beliau keluar dari Malaysia kerana mendakwa beliau menjadi mangsa kepada sistem yang korup.

"Saya kini telah bekerja sepenuh masa di sini disamping memperjuangkan hak generasi yang akan datang kembali ke tanahair," he said.

Lebih seribu orang beratur dan membuat demonstrasi aman dengan mendapat kerjasama baik dari polis Australia.













kredit gambar: Facebook Bersihkan Malaysia

RM55 Billion Wang KWSP Diberikan Pinjaman TANPA Sokongan Kerajaan

Posted: 28 Oct 2011 03:47 PM PDT

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah meluluskan pinjaman bernilai RM55.1 bilion tanpa sokongan jaminan kerajaan.

Bagaimanapun, Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendapati hanya satu daripada 13 peminjam yang layak mendapatkan pinjaman tanpa jaminan tersebut. Peminjam berkenaan diberi pinjaman RM21.3 bilion.

Daripada 12 baki penghutang tersebut, dua daripadanya dikecualikan daripada jaminan kerajaan kerana mereka mempunyai penarafan kredit yang tinggi.

Pinjaman kepada kedua-dua pihak berkenaan berjumlah RM7.3 bilion.

(Penjelasan dalam laporan maklum balas Perbendaharaan terhadap isu utama dalam laporan Ketua Audit Negeri mengenai aktiviti badan berkanun bagi 2010 - menyebut kedua-duanya ialah Khazanah Nasional Berhad dan Tenaga Nasional Berhad).

Menurut Laporan Kedua Audit Negara itu lagi, KWSP juga telah meluluskan 15 pinjaman bernilai RM35.69 bilion sehingga 31 Disember 2010.

Daripada 15 pinjaman yang diberikan - menurut laporan itu - dua diluluskan kepada syarikat bukan subsidiari kerajaan walaupun mempunyai jaminan kerajaan - masing-masing bernilai RM1.24 bilion dan RM5 bilion.

(Penjelasan dalam laporan maklum balas Perbendaharaan terhadap isu utama dalam laporan Ketua Audit Negeri mengenai aktiviti badan berkanun bagi 2010 - menyebut kedua-duanya ialah Assets Global Network [AGN] dan Valuecap Sdn Bhd.)

KWSP menjelaskan AGN dimiliki sepenuhnya Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan oleh itu, merupakan syarikat subsidiari kerajaan.

Valuecap dimiliki oleh tiga syarikat induk, iaitu Khazanah, Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan masing-masing memerang peratus kepentingan yang sama.

Menurut penjelasan itu lagi, Valuecap adalah mirip kepada agensi kerajaan memandangkan dua daripada pemegang sahamnya adalah merupakan agensi kerajaan. -mk

Ulasan GB

Dilaporkan "satu daripada 13 peminjam yang layak mendapatkan pinjaman tanpa jaminan tersebut. Peminjam berkenaan diberi pinjaman RM21.3 bilion."

Apakah nama 1 peminjam yang menerima pinjaman sehingga RM21.3 billion itu?

Apakah FELDA?

Aiseh, Lelaki Tumbuk Sepupu Wanitanya Hingga Patah Hidung

Posted: 28 Oct 2011 11:22 AM PDT

Kuantan - Seorang lelaki menumbuk sepupu wanitanya sehingga patah hidung kerana geram dengan wanita itu yang mengambil dompetnya sebagai satu gurauan. Gambar fail.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Supritendan Mohd Haris Daud berkata, sebelum kejadian, lelaki berusia 22 tahun itu pergi berjumpa sepupunya yang bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai perabot di Raub, pagi semalam.

Beliau berkata, sebelum beredar, dompet lelaki terbabit telah diambil oleh sepupunya berusia 24 tahun tanpa disedari sebagai satu gurauan.

"Kira-kira 12 tengah hari itu, wanita tersebut ke rumah sepupu lelakinya di Taman Raub Jaya untuk memulangkan semula dompetnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, selepas memulangkan dompet berkenaan, mangsa yang hendak pulang telah dihalang oleh sepupu lelakinya itu, yang melepaskan tumbukan ke bahagian muka sepupunya selain menyepak dan menghantuk mangsa ke dinding, kerana dipercayai geram dengan gurauan itu.

Beliau berkata, lelaki itu dipercayai terlalu marah kerana memerlukan kad pengenalannya untuk belajar memandu. - Bernama

Kes Beng Hock: Nazri Jangan Berdalih Lagi, Keluarga Beng Hock Buat Laporan Polis

Posted: 28 Oct 2011 08:31 AM PDT

Keluarga Teoh Beng Hock menuntut polis menyiasat tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya diraja berhubung kematian bekas setiausaha politik DAP itu.

Tengah hari tadi keluarga itu membuat laporan polis dengan harapan satu siasatan jenayah akan dijalankan.

"Bukan kami tidak ada kesabaran. Kami sudah lama bersabar dan telah diambil kesempatan (ekoran kesabaran kami)," kata kakak Beng Hock, Lee Lan selepas membuat laporan di balai polis Tun H.S. Lee di sini.

"Kami sudah lama menunggu dan tiada tindakan serius daripada kerajaan," tambah Lee Lan.

Peguam yang mewakili keluarga Teo, Gobind Singh Deo pula berkata, laporan polis dibuat berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz di Dewan Rakyat Isnin lalu bahawa kerajaan tidak mengenakan tindakan pendakwaan ke atas tiga pegawai SPRM terbabit meskipun mereka dinamakan dalam laporan dikeluarkan tiga bulan lalu berikutan tiada laporan polis dibuat.

"(Jadi) hari ini kami membuat laporan polis ekoran penemuan suruhanjaya diraja untuk memastikan siasatan dijalankan dan tindakan sewajarnya di ambil ke atas mereka yang bertanggungjawab di atas kematian Teoh Beng Hock," katanya.

Gobind juga menyuarakan kekecewaannya terhadap kenyataan Nazri kerana tiada tindakan diambil terhadap tiga pegawai terbabit sedangkan laporan suruhanjaya diraja sudah membuktikan perkara itu.

"Kes ini telah berjalan dua tahun lebih tetapi masih tiada tindakan diambil, saya mencabar Nazri untuk ambil tindakan.

"Saya juga kecewa dengan kenyataan Nazri Aziz berikutan tiada siasatan akan dijalankan terhadap pegawai terbabit kerana tiada laporan polis dibuat, adakah pihak polis sendiri tidak boleh membuat laporan?" katanya.

Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider semalam keluarga Beng Hock mendakwa pentadbiran Najib seolah-olah "memperkudakan" mereka dengan tidak mengambil tindakan ke atas tiga pegawai SPRM meskipun siasatan suruhanjaya diraja mendapati mereka telah menyumbang kepada kematian bekas setiausaha politik itu dua tahun lalu.

Menurut keluarga itu, ketiadaan tindakan susulan di pihak kerajaan menimbulkan keraguan yang serius, bukan sahaja ke atas suruhanjaya diraja malah hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Datuk Seri James Foong Cheng Yuen yang telah bertindak sebagai pengerusinya.

Isnin lalu, Nazri memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak akan mengenakan tindakan pendakwaan ke atas tiga pegawai SPRM meskipun mereka dinamakan dalam laporan yang dikeluarkan tiga bulan lalu sebab tiada sesiapa pun membuat laporan agar dibuat sedemikian.

Kata keluarga itu, mereka ragu-ragu dan sangsi dengan sikap kerajaan dan laporan suruhanjaya itu dan dengan perkembangan hanya membiarkan SPRM mengetuai satu lagi siasatan mereka sendiri ke atas pegawai-pegawainya.

Mereka menekankan bahawa ketiga-tiga pegawai berkenaan telah menggunakan tindakan yang tidak sewajarnya untuk mendapatkan maklumat daripada Beng Hock, yang merupakan satu-satunya saksi ketika siasatan dikendalikan di bangunan Plaza Masalam di Shah Alam — premis mendiang ditemui mati.

Selain itu keluarga berkenaan juga menekankan bahawa suruhanjaya diraja telah menamakan ketiga-tiga pegawai terdiri daripada pegawai penyiasat Mohd Anuar Isamil, yang digambarkan sebagai "pembuli", Mohd Ashraf Mohd Yunus sebagai "yang penganiaya" dan bekas pengarah SPRM Selangor Hishammuddin Hashim sebagai "pemimpin yang angkuh".

Menurut Nazri, Jabatan Peguam Negara belum mengambil sebarang tindakan terhadap tiga pegawai SPRM yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya diraja kematian Beng Hock kerana tidak ada laporan polis dibuat berhubung perkara itu.

"Sepanjang pengetahuan jabatan ini, belum ada apa-apa laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berhubung penemuan pihak suruhanjaya itu dan tiada kertas siasatan dibuka untuk siasatan lanjut.

"Oleh itu, tidak timbul isu Peguam Negara takut untuk mengambil tindakan kepada pegawai SPRM tersebut," kata Nazri.

Nazri berkata, berikutan laporan yang dikeluarkan suruhanjaya diraja, SPRM menubuhkan satu pasukan siasatan khas untuk menzahirkan fakta dalam laporan berkenaan berkaitan tiga pegawai SPRM itu.

"Selanjutnya, satu laporan tatatertib akan disediakan sekiranya wujud kesalahan dan pelanggaran peraturan dan prosedur dalam proses siasatan," katanya.

Laporan mengenai siasatan dalaman terhadap ketiga-tiga pegawai dibentangkan kepada jawatankuasa aduan yang dibentuk di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jawatankuasa aduan telah minta siasatan lanjut diadakan sebelum laporan dikemukakan kepada jawatankuasa tatatertib bagi membolehkan tindakan diambil terhadap tiga pegawai tersebut yang dinamakan dalam laporan.

"Satu siasatan terperinci akan dilakukan oleh polis berdasarkan oleh laporan jawatankuasa tatatertib dan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

"Jika ada kes jenayah, kertas siasatan akan dibuka untuk mendakwa mereka yang terlibat di bawah kanun keseksaan, atau undang-undang yang sesuai, selaras budi bicara Peguam Negara mengikut Akta 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk membuat pertuduhan jenayah atau pendakwaan," katanya.

Ulasan GB

Akhirnya saranan GB diterima. Sebelum ini GB menyatakan bahawa peguam Teoh Beng Hock perlu membuat laporan polis terhadap pegawai-pegawai SPRM yang menyalahgunakan kuasanya itu. Kita tidak boleh memberi ruang kepada Nazri atau sesiapa juga di dalam kerajaan untuk memberikan apa-apa alasan dan dalih untuk tidak bertindak keatas pegawai SPRM tersebut. Petikan:

Ini satu kelemahan pihak peguam Teoh Beng Hock.

GB berharap para peguam TBH perlu membuat laporan polis dengan kadar segera terhadap pegawai-pegawai SPRM yang telah terang dan nyata disebutkan di dalam laporan Suruhanjaya Siasatan melakukan penyalahgunaan kuasa.

Pegawai-pegawai SPRM tersebut TIDAK BOLEH dilepaskan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Gobind Singh Deo, where are you?


Laporan sebelum ini
klik untuk baca





PANAS: Aktivis Pakatan, Wartawan Diserang Semasa Tinjauan 'Projek IC'

Posted: 28 Oct 2011 06:30 AM PDT

Sepang 28 OKT : Sekumpulan aktivis Pakatan Rakyat diserang beberapa lelaki semasa membuat tinjauan terhadap satu operasi yang disyaki percubaan memberikan kad pengenalan kepada warga asing di sebuah resort berhampiran Putrajaya di sini.

Turut diserang krew TvSelangor yang mengikuti tinjaun aktivis tersebut - gerakan 'Jingga 13'.

Kumpulan lelaki tersebut menyerang dengan menghentak dan menendang kenderaan aktivis dan wartawan TvSelangor dalam kejadian itu.

Namun tiada sesiapa yang tercedera dalam kejadian jam 6.20 petang semalam.

Sebelum itu, Pasukan Pemimpin PKR dari cabang Sepang berkata mereka menerima maklumat dari sumber yang dipercayai berhubung operasi itu dan bertindak membuat tinjauan kasar.

Ketua Cabang Keadilan Sepang, Borhan Aman Shah ketika ditemui TvSelangor berkata operasi tersebut ada kaitannya dengan pengundian pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

"Hari ini ada empat buah bas yang dikenal pasti telah membawa warga Indonesia, saya telah menemu bual pemandu bas dimana beliau telah mengesahkan ada membawa kumpulan warga asing ini dari Greenwood, Gombak. Menurut pemandu bas tersebut, warga asing itu dibawa untuk satu kursus keusahawanan.

"Warga asing ini dikatakan dibawa masuk ke resort untuk mengikuti kursus keushawanan, persoalannya sekarang adakah golongan ini datang ke Malaysia untuk berniaga ataupun untuk bekerja, kalau benar mereka mengikuti kursus keushawanan, atas fakta apa mereka mengikutinya," katanya.

Borhan berkata sekiranya benar terdapat satu usaha untuk memberi IC kepada warga asing, mereka bukan sahaja menjadi warganegara malah akan layak mengundi pada pilihanraya umum akan datang.

"Ini kali kedua, sebelum ini tersebar luas di media dimana enam buah bas memuatkan warga asing masuk ke kawasan ini dan hari ini kita jelas ada empat buah bas.

"Saya tidak menuduh, tetapi perkara seumpama ini tidak seharusnya berlaku."

Ekoran daripada maklumat tersebut, Pasukan Jingga 13 bergerak ke resort itu bersama-sama krew TVSelangor untuk meninjau lokasi yang dimaksudkan.

Setiausaha Gerakan 'Jingga 13', Saifuddin Shafi Muhammad berkata tujuan mereka adalah untuk melihat sendiri sama ada dakwaan yang dimaksudkan itu benar.

"Waktu itu hujan renyai-renyai, kami berhenti seketika di dalam kawasan resort untuk membuat pusing 'u' (ekoran jalan terlalu sempit), kemudian kami diserang dan diancam oleh sekumpulan lelaki, saya menganggarkan lebih kurang lima orang lelaki.

"Tindakan mereka mengamcam kami dari awal membuatkan kami tidak selesa dan bertindak melarikan diri.

"Apa yang sempat kami rakam ialah imej seorang lelaki yang bertindak menyerang kami, saya juga percaya lelaki yang sama ini turut menendang kenderaan wartawan TvSelangor."

Akibat kejadian tersebut, Krew TvSelangor yang terlibat membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. Manakal PKR Cabang Sepang telah membuat laporan di IPD Sepang. -tvsnet



Ulasan GB

Kalau tak ada apa-apa, masakan tempua bersarang rendah!

Jika ada tak apa-apa rahsia di resort berkenaan, takkan tiba-tiba nak serang orang.

Ini membuktikan bahawa "Projek IC" itu memang benar wujud.

Ketirisan Wang Rakyat RM12 Billion Oleh Kementerian Pertahanan

Posted: 28 Oct 2011 03:58 AM PDT

Bagaimana anda rasa sebagai pembayar cukai jika seseorang memberitahu anda bahawa Kementerian Pertahanan (Kementah) membayar sebanyak RM7.55 bilion untuk membeli kereta perisai yang harga sebenar hanya seperempat dari jumlah itu?

Jika anda benar-benar tahu berapa nilai RM7.55 bilion (atau RM7,550 juta) itu, anda mungkin terperanjat dan sukar untuk mempercayai dan memekik: "Adakah kerajaan kita begitu teruk? Adakah mereka begitu berani?"

Jawapannya ialah ia; dan tirai drama mula dibuka di parlimen kita, tidak seperti di setengah-setengah laman web yang membuat dakwaan yang tidak berasas.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua menyoal Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kenapa Kementah membayar harga yang sangat mahal, sebanyak RM7.8 bilion untuk 257 buah kereta perisai.

Zahid menjawab bahawa kementeriannya tidak tahu bahawa harganya RM7.8 bilion seperti mana yang didakwa oleh Pua dan harga kontrak muktamad ialah RM7.55 bilion.


Beliau juga menyatakan bahawa beliau tidak tahu menahu tentang urusniaga yang membolehkan pembekal mendapatkan kenderaan- kenderaan tersebut dari Turki pada harga seperempat dari harga yang dibayar oleh Kementah.

Namun penafian Zahid itu akhirnya terbongkar apabila Pua mendedahkan bahawa Zahid sendiri menyaksikan majlis menandatangani perjanjian urusniaga itu di Ankara, Turki pada bulan Februari lalu.

Perjanjian itu ditandatangani di antara syarikat pembekal Malaysia, Deftech dan pengeluar kenderaan pertahanan Turki FNSS, syarikat usahasama di antara BAE Systems Inc. dari United Kingdom dan Nurol Holding dari Turki.

Perjanjian ini dilaporkan dalam satu kenyataan akhbar bertarikh 3 Jun 2011 di laman web BAE System Inc. melibatkan kontrak bernilai USD559 juta yang diberi kepada FNSS untuk "merekabentuk, membangun dan mengeluarkan" sebanyak 257 DEFTECH AV-8 8X8 kereta perisai beroda dan Sokongan Logistik Berintergrasi untuk Angkatan Tentera Malaysia.

Kenderaan-kenderaan tentera yang diberi nama 'DEFTECH', sebenarnya direkabentuk oleh FNSS PARS 8X8, kenderaan serbaguna, pelbagai misi, kenderaan beroda lengkap dengan peralatan senjata.

Harga melambong

Ini bermakna Kerajaan Malaysia membayar Deftech sebanyak RM7.55 bilion (RM29.4 juta untuk sebuah), yang kemudian membayar FNSS sebanyak RM1.7 bilion untuk 257 buah kereta perisai itu (RM6.6 bilion sebuah).

Jika anda seorang pembayar cukai yang marah dengan 'rompakan di siang hari' melibatkan RM6 bilion dari dana awam, tunggu dulu sehingga anda mendengar harganya di pasaran, yang jauh lebih rendah dari yang ditawarkan oleh FNSS.

Pua dalam satu kenyataannya bertarikh 9 Mac 2011, dalam blognya melaporkan bahawa harga-harga berikut untuk kereta perisai yang setanding yang ditawar dan diurusniagakan dalam pasaran.

* Pasukan tentera Portugal membayar RM4.4 juta sebuah untuk kereta perisai Pandur II 8X8 (EUR364 juta untuk 353 buah)

* Model terbaru Pirahan III 8X8 kereta perisai beroda yang dikeluarkanoleh Swiss MOWAG GmBH bernilai RM3.9 juta (USD1.2 juta) untuk tiap-tiap sebuah.

Dengan harga-harga ini sebagai rujukan, adalah wajar untuk kita mengharapkan supaya Kementah membuat tawaran tender terbuka dan mencapai keputusan muktamad.

Kita boleh mengurangkan harga tidak melebihi RM4.5 juta dari RM30 juta untuk sebuah kenderaan pada ketika ini dan mengurangkan nilai kontrak kepada RM1.15 bilion dari RM7.55 bilion.

Ini bermakna kerajaan Barisan Nasional telah melambongkan harganya sebanyak enam hingga tujuh kali ganda mengikut dasar pembelian peralatan pertahanan yang sama sekali tidak bersifat telus dan bertanggungjawab.

Jumlah yang sebegitu tinggi amat memeranjatkan yang mungkin tidak pernah kita dengar walaupun dalam sebuah negara yang paling korup di dunia sekali pun.

Perbelanjaan yang menggila

Urusniaga ini adalah salah satu dari kes bagaimana Kementah membelanjakan wang berbilion ringgit untuk membeli bot peronda dan helikopter dengan harga yang begitu tinggi.

Sebagai contoh, Kementah membeli enam buah kapal peronda luar pantaidari Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd pada harga sebuah RM1 bilion (jumlah RM6 bilion).

Harga yang dibayar ini adalah lima kali ganda dari apa yang dibayar oleh Royal New Zealand Navy untuk pembelian OPV, diperolehi pada harga hanya RM210 juta sebuah (NZ$90 juta) dari syarikat kedua terbesar di dunia, BAE Systems.

Begitu juga dengan pembelian helikopter jenis Eurocopter EC725 pada harga RM190 juta setiap sebuah (RM2.3 bilion untuk 12 buah) manakala Brazil membeli helikopter jenis yang sama pada harga hanya RM82 juta sebuah.

Melihat kepada tiga kontrak ini sahaja – kereta perisai, kapal peronda dan helikopter – menyaksikan ketirisan sebanyak RM12 bilion ekoran transaksi Kementah ini.

Dengan wang sebanyak ini, kita boleh membina rumah kos rendah untuk 250,000 keluarga, menyediakan kemudahan perumahan kepada sejuta rakyat yang tidak mampu.

Dasar pembelian pihak pertahanan melibatkan rasuah yang begitu bermaharajalela sememangnya diketahui ramai di kalangan para pegawai dan eksekutif pertahanan antarabangsa seperti mana yang didedahkan oleh Wikileaks.

Wikileaks mendedahkan kabel dari Kedutaan Amerika Syarikat tentang rakaman perbualan di antara saudara mara dan rakan-rakan ahli-ahli politik ketika pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku perdana menteri dan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai timbalannya pada sekitar tahun 2004 hingga 2009.

Di samping mendedahkan jenis rasuah secara spesifik, kabel Amerika itu juga mendedahkan bahawa rasuah menjadi sumber pendapatan utama sebagai dana politik bagi mengekalkan kuasa pihak pemerintah.

Melihat dari perspektif yang lebih besar, ketirisan akibat tiga kontrak ini merupakan sebahagian kecil sahaha dari ketirisan-ketirisan yang berlaku dalam sistem pembelian kerajaan Barisan Nasional, sebagaimana didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Laporan-laporan tahunan seperti ini, yang mendedahkan amalan rasuah dan salah guna pengurusan (hingga ada yang sukar dipercayai) sering menjadi peringatan bahawa kita terperangkap dengan sistem tadbir urus yang buruk dan akibatnya akan terus menerus mengeringkan sumber dana negara.


Tetapi jika kita menyedari bahawa Laporan Ketua Audit itu adalah sebahagian kecil dari ketirisan yang berlaku setiap tahun, kerana ianya meliputi laporan sebahagian kecil sahaja dari jumlah ratusan jabatan-jabatan kerajaan yang ada maka tentu kita amat bimbang dengan keadaan ini.

Dan adakah perubahan terhadap institusi-institusi telah dan akan berlaku di bawah pimpinan politik sekarang? -FMT

Tiada ulasan: