Rabu, 26 Oktober 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Persoalan Kemanusiaan: Yue Meninggal Dunia Setelah Koma Dilanggar Dua Kali

Posted: 26 Oct 2011 01:00 AM PDT

Yue, anak seorang peniaga yang mati digilis oleh dua buah kenderaan barangan, dilaporkan telah meninggal dunia.

Dalam rakaman video yang ditampilkan di berbagai media massa televisi dan internet ini memperlihatkan gadis kecil Yue yang berjalan di tengah jalan yang ketika itu sedang sepi telah dilanggar dan digilis kali pertamanya oleh sebuah van, kemudianoleh sebuah lori kecil pengangkut barangan.

Laporan awal bahawa dia mengalami mati otak juga diubah kepada koma yang sangat mendalam.

Kanak-kanak itu bagaimanapun hanya mampu bernafas menggunakan alat bantuan dan tanpanya dia pasti akan mati.

Kejadian malang melibatkan kanak-kanak itu berlaku Khamis lalu di sebuah pasar sibuk di Foshan yang terletak dalam Wilayah Guandong.

Apa yang paling menyayat hati ialah, 18 orang berjalan di sebelahnya selepas itu dan tiada siapa pun yang berhenti membantu.

Hanya seorang makcik tua pengutip sampah bernama Chen Xianmei yang tampil memberikan bantuan.

Sehingga ke hari ini, sikap 18 orang itu dan pemandu-pemandu van berkenaan menjadi topik yang paling hangat diperkatakan di laman-laman sosial negara China.

Malah ia juga antara topik yang paling hangat diperkatakan di seluruh dunia ketika ini.

Beberapa pakar psikologi di China menyatakan, 18 orang yang berlalu pergi tanpa membantu Yue Yue harus sama dipertanggungjawabkan atas keadaan kanak-kanak itu.

Menurut Pakar Psikologi berlesen di Guangzhou, Annaliza Chan, ibu bapa Yue Yue juga harus dipersalahkan kerana mereka nyata lalai dalam kejadian itu.

"Mengapa mereka membiarkan dia berseorangan di atas jalan raya," soalnya seperti yang dilaporkan oleh akhbar dalam talian Chinadaily.com.cn.

Ibu bapa kanak-kanak malang memiliki sebuah kedai barangan logam di kawasan pasar itu.

Menurut beberapa pekedai berhampiran, ibu bapa kanak-kanak itu kerap membiarkan Yue Yue bermainan di luar kedainya.

"Adakalanya selepas satu jam baru ibu bapa kanak-kanak itu akan datang melihatnya," katanya.



Ketua Jabatan Audit Boleh Didakwa Kerana Libatkan Kabinet - Aziz Bari

Posted: 26 Oct 2011 12:06 AM PDT

Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari menegaskan, tindakan melibatkan kabinet dengan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) merupakan kesalahan dan bertentangan dengan semangat perlembagaan.

Katanya, Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan menyebut LKAN perlu disediakan oleh ketua audit negara dan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.

"Perkara ini salah dan saya percaya boleh dibawa ke mahkamah. Dalam perlembagaan, di mana ada kabinet disebut (terlibat)? Lagi pun, kabinet sebahagian daripada player," kata pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.

"Secara logiknya juga, kalau bentang pada kabinet, buat apa perlu ada (jawatan) ketua audit negara."

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang pada 21 Oktober lalu menjelaskan, sejak 1982, LKAN dimaklumkan kepada kabinet sebelum dibentangkan supaya kerajaan dapat mengetahui isu yang dibangkitkan dan bersedia memberi penjelasan apabila diperlukan.

Beberapa anggota parlimen Pakatan Rakyat baru-baru ini mempersoalkan ketiadaan laporan itu semasa pembentangan Belanjawan 2012, antaranya anggota parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong yang mahu perdana menteri menjelaskan kelewatan itu.

Amat misteri

Liew yang juga anggota jawatankuasa eksekutif pusat DAP berkata, beliau tidak mempersoalkan amalan itu tetapi menjadi tanggungjawab kabinet memutuskan bila ia patut dibentangkan.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Aziz berkata, walaupun perlembagaan tidak menyatakan tempoh tertentu untuk LKAN dibentangkan di parlimen, tetapi demi menjaga integritinya, Jabatan Audit Negara patut melakukannya segera.

"Jadi, ketua audit negara mesti jelaskan kenapa lambat," katanya sambil menegaskan kedudukan tinggi ketua audit negara yang dilantik Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Majlis Raja-Raja itu.

Aziz menjelaskan, proses untuk laporan itu sampai ke Dewan Rakyat tidak memerlukan masa yang lama kerana baginda tidak perlu menyemak apa-apa kerana ia melibatkan perbelanjaan kerajaan.

Setakat ini, tambahnya, kelewatan itu masih "amat misteri".

Ditanya tentang gesaan Liew kepada perdana menteri, Aziz berkata kenyataan itu mungkin dibuat dalam konteks yang lain.

"Kalau perdana menteri (kena) perjelas, saya kira tidak betul," katanya lagi. -mk

Ulasan GB

Jangan ada pulak si bebal buat laporan polis kah terhadap kenyataan Prof. Aziz Bari di atas.

Setiap ahli akademik berhak menyuarakan pandangan, pendapat malah kritikannya. Hanya mereka yang termakan cili terasa pedasnya, lantas melompat tak tentu pasal.


Mayat Gaddafi Dikebumikan Di satu Tempat Rahsia Di Gurun

Posted: 25 Oct 2011 10:18 PM PDT

Selepas dikecam banyak pihak kerana menangguhkan pengebumian pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, 69, anaknya, Mutassim, 34, dan bekas Menteri Pertahanan, Abu Bakar Younis Jaber, 59, akhirnya Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) mengumumkan jenazah ketiga-tiganya dikebumikan di sebuah tanah perkuburan rahsia di kawasan gurun pasir di negara itu, semalam.

Jurucakap NTC menyatakan jenazah Gaddafi dan anaknya, Mutassim didakwa semakin mereput selepas ia dipertontonkan kepada umum selama lima hari di sebuah pasar daging lama di Misrata.

Bagaimanapun, NTC enggan mendedahkan lokasi sebenar pengebumian tersebut bagi memastikan ia tidak akan menjadi mangsa vandalisme dan tempat pemujaan pihak tertentu pada masa hadapan.

Sebelum ini, kerajaan sementara Libya dan pemberontak bersenjata bertelagah kerana gagal mencapai persetujuan mengenai siapa yang berhak untuk melaksanakan pengebumian jenazah ikon negara Afrika itu.

Minggu lalu, puak asal Gaddafi di Sirte, suku kaum Gaddadfa turut menuntut jenazah beliau dalam satu rundingan yang diadakan bersama kumpulan anti-Gaddafi tetapi tidak berhasil selepas NTC memutuskan mereka akan menyempurnakan pengebumian tersebut.

Dalam satu kenyataan, pengerusi NTC, Mustafa Abdel Jalil berkata, kerajaan telah menubuhkan satu jawatan kuasa untuk menyiasat kejadian pembunuhan Gaddafi selepas pemimpin veteran itu ditangkap dan ditembak mati dipercayai angkara pemberontak di Sirte, minggu lalu.

"Mereka yang kononnya 'membantu' Gaddafi pada hari kejadian sebenarnya dalang di sebalik insiden pembunuhan tersebut," menurutnya tanpa memberi butiran lanjut.

Tindakan itu diambil selepas beberapa badan hak asasi manusia antarabangsa menggesa satu siasatan penuh dijalankan selepas beberapa rakaman video mengerikan berhubung kejadian penangkapan Gaddafi seakan mencetuskan persoalan kerana berlaku percanggahan fakta antara satu sama lain.

Kerajaan sementara Libya pimpinan NTC kini berhadapan cabaran untuk merealisasikan impian rakyat untuk membentuk sebuah negara demokrasi dan bebas berikutan negara antarabangsa mula mempertikaikan kredibiliti mereka selepas insiden pembunuhan Gaddafi yang telah menggemparkan masyarakat dunia.



Semua Petunjuk Kewangan P.Pinang Meningkat, Berjaya Lupus 95% Hutang Peninggalan BN

Posted: 25 Oct 2011 08:44 PM PDT

Mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2010, kedudukan kewangan negeri Pulau Pinang yang diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat di bawah ketua Menteri Lim Guan Eng telah bertambah baik dari 2009 hingga 2010.

Laporan Audit berkenaan mendedahkan semua petunjuk kewangan di negeri ini telah meningkat pada tahun lepas.

Kumpulan Wang Disatukan Negeri telah meningkat RM29.28 juta atau 2.7% kepada RM1.13 bilion

Manakala baki Akaun Hasil Disatukan telah juga meningkat RM33.54 juta atau 6.2% sehingga mencapai RM572.49 juta

Hasil yang dikutip pada tahun 2010 telah meningkat sebanyak RM34.19 juta atau 9.1% kepada RM410.70 berbanding dengan 2009, RM376.51 juta.

Aset negeri yang terdiri daripada wang tunai dan pelaburan meningkat RM29.28 juta atau 2.7% kepada RM1.13 bilion (RM1.10 bilion pada tahun 2009)

Sementara itu, beberapa hari sebelum Laporan Audit 2010 dikeluarkan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah membentang Bajet 2012 yang mencatat defisit RM213.71 juta walaupun kerajaan negeri Pulau Pinang mempunyai Simpanan Terkumpul Negeri sebanyak RM572.49 juta, sehingga Disember 2010.

Ketika membentangkan Bajet 2012, berkata berkata belanjawan defisit tahun ini dijangka tidak akan melibatkan kepada pengurangan yang drastik kepada jumlah Simpanan Terkumpul Negeri.

"Sungguhpun defisit sebanyak RM107.78 juta telah dijangka dalam bajet tahun semasa 2011, namun dijangka kerajaan negeri masih berupaya mencatatkan lebihan iaitu untuk empat tahun berturut-turut," ujarnya di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang, Georgetown.

Beliau berkata, kira-kira RM600.47 juta atau 95.29 peratus hutang kerajaan negeri berjaya dilangsaikan sejak Mac 2008 dan baki semasa hutang kerajaan negeri ialah RM29.66 juta sahaja.

Baki hutang semasa ini adalah meliputi RM27.51 juta untuk 11 Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) dan RM2.15 juta bagi projek 'Indoor Archade & Seafood Centre di Batu Kawan.

"Dengan kata lain, Pulau Pinang mencatatkan pengurangan hutang RM600.47 juta ataupun 95.29 peratus dalam tiga setengah tahun ini; iaitu kadar yang paling cemerlang dia antara semua negeri di Malaysia," ujar beliau.

[Bergambar & Video] Bayi Usia 2 Minggu Dikeluarkan Dari Celah Runtuhan Di Turki

Posted: 25 Oct 2011 07:05 PM PDT

Ercis, Turki - Bayi perempuan berusia dua minggu dikeluarkan dari celah-celah runtuhan sebuah bangunan apartmen 72 jam setelah gempa bumi berukuran 7.2 pada skala Richter melanda timur Turki.

Imej-imej di televisyen semalam menunjukkan beberapa anggota penyelamat yang memakai pakaian berwarna oren bertepuk tangan semasa bayi berkenaan dikeluarkan dari celah-celah runtuhan.

Seorang anggota penyelamat mengendong bayi dalam keadaan bogel itu yang bernama Azra Karaduman.

Bayi itu kemudian dibalut dengan selimut dan diserahkan kepada anggota-anggota paramedik.

Ibu bayi itu mendakap bayi tersebut di dada semasa para anggota penyelamat menemui mereka.

Mereka turut melakukan usaha untuk mengeluarkan ibu bayi itu termasuk neneknya yang masih hidup.

"Saya amat teruja. Apa lagi yang perlu saya perkatakan. Biarkan Tuhan membantu mereka," kata seorang lagi nenek bayi itu, Sevim Yigit kepada Reuters.

Menurutnya, bayi itu dilahirkan dua minggu lalu.

Gempa bumi itu yang berlaku pada Ahad lalu telah meruntuhkan lebih 2,000 bangunan dan menyebabkan 366 orang terbunuh. - Agensi









Laporan Audit: Penyata Kewangan Kerajaan Selangor Meningkat 20.2%

Posted: 25 Oct 2011 04:38 PM PDT

Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan semalam secara umumnya berpuas hati dengan prestasi kewangan yang ditunjukkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Secara keseluruhannya, analisis Audit mendapati kedudukan kewangan Kerajaan Negeri adalah memuaskan," laporan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang itu dipetik.

Menurutnya, Kumpulan Wang Disatukan kerajaan negeri meningkat sejumlah RM266.91 juta (20.2 peratus) kepada RM1,586.88 juta pada 2010.

Bagaimanapun hasil kerajaan negeri berjumlah RM1,571.50 juta menurun RM192.36 juta berbanding 2009 sebanyak RM1,763.86 juta.

Perbelanjaan mengurus pula menurun sejumlah RM382.56 juta menjadi RM1,447.26 juta, sekaligus menunjukkan perbelanjaan berhemat yang dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Dalam laporan itu juga dinyatakan kerajaan negeri berjaya mengurangkan tunggakan hasil berjumlah RM99.87 juta kepada RM502.05 juta berbanding tahun sebelumnya.

"Usaha memperkukuhkan ekonomi, menambah hasil dan belanja berhemat tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan, sistem penyampaian awam dan sumbangan kepada rakyat dapat membantu mempertingkatkan lagi kedudukan kewangan kerajaan negeri," laporan itu dipetik.

Namun, pulangan atas pelaburan jangka panjang yang dilakukan tidak memuaskan di mana secara purata, kerajaan Selangor hanya mendapat pulangan dividen sejumlah RM5.89 juta (1.6%).

Manakala pencapaian pengurusan kewangan jabatan dan agensi negeri pula, secara umumnya dicatatkan berada pada tahap sangat baik, jelas laporan itu.

Analisis Audit menunjukkan pada tahun 2010, baki hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan menurun sejumlah RM58.91 juta (5.5%) menjadi RM1,004.64 juta berbanding RM1,063.55 juta pada tahun 2009.

Penurunan ini disebabkan Kerajaan Negeri telah membayar balik hutang sejumlah RM58.91 juta bagi menjelaskan pinjaman bagi Rumah Awam Kos Rendah dan Projek Ladang Hutan masing-masing sejumlah RM52.42 juta dan RM6.49 juta.

Dalam rumusannya, Kerajaan Negeri disyorkan supaya meneruskan perbelanjaan berhemat dan terus berusaha mengutip baki pinjaman boleh dituntut di samping usaha berterusan terhadap kutipan tunggakan bayaran pinjaman boleh dituntut.

"Kerajaan Negeri juga hendaklah mengambil tindakan terhadap syarikat subsidiari Kerajaan Negeri bagi mendapatkan pulangan dividen terhadap pelaburan yang dibuat," jelasnya. -KD


Penyata Kewangan Kerajaan Selangor Meningkat 20.2 Peratus

Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan keadaan kewangan Kerajaan Negeri Selangor tahun lepas bertambah baik berbanding tahun 2009 di mana ia mencatatkan penambahan sebanyak 20.2 peratus.

Kedudukan kewangan ini disifatkan sebagai memuaskan dengan menyaksikan Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri meningkat sejumlah RM266.91 juta atau 20.2 peratus kepada RM1,586.88 juta pada tahun 2010 berbanding RM1,319.97 juta pada tahun 2009.

Kumpulan Wang Disatukan bermaksud segala hasil dan wang yang diterima oleh negeri dan kumpulkan menjadi satu "kumpulan wang". Hasil ini tidak termasuk dari sumber Zakat, Fitrah, Baitulmal atau hasil agama Islam yang lain.

Perkara ini termaktub di dalam Perkara 97(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Hasil Kerajaan Negeri yang berjumlah RM1,571.50 juta menurun sejumlah RM192.36 juta atau 10.9 peratus berbanding tahun 2009 yang berjumlah RM1,763.86 juta.

Perbelanjaan mengurus yang dilakukan turut menurun sejumlah RM382.56 juta atau 20.9 peratus menjadi RM1,447.26 juta pada tahun 2010 berbanding RM1,829.82 juta pada tahun 2009.

Selain itu, laporan audit juga membuktikan Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat berjaya mengurangkan tunggakan hasil negeri sejumlah RM99.87 juta atau 16.6 peratus kepada RM502.05 juta pada tahun 2010 berbanding RM601.92 juta pada tahun 2009.

Usaha memperkukuhkan ekonomi, menambah hasil dan belanja berhemat tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan, sistem penyampaian awam dan sumbangan kepada rakyat adalah elemen yang membantu mempertingkatkan lagi kedudukan kewangan Kerajaan Negeri. -tvsnews





PRU13 Lebih Awal Kerana Najib Khuatir Rahsia Terbongkar

Posted: 25 Oct 2011 09:40 AM PDT

Semua jentera pilihanraya PAS dan Pakatan Rakyat diminta meneruskan kerja-kerja untuk mencapai kemenangan pada pilihanraya umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali meramalkan, PRU13 akan diadakan sekitar bulan Februari hingga April tahun hadapan (2012).

Menurutnya, walaupun Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mahu PRU13 dilewatkan, namun Najib dijangka mememanggilnya lebih awal keana beliau takut rahsianya terbongkar.

"Najib nak cepat sikit, Mahathir dengan Muhyiddin nak lewat lagi, pasal apa begitu, Najib nak cepat takut rahsianya terbongkar,

"dia (Najib) nak cepat kerana dia takut dipanggil menjadi saksi dalam perbicaraan di mahkamah Perancis," ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Ceraah Penerangan di Kampung Kubu Pengkalan Berangan dekat sini, Isnin 24 Oktober.

Kataya, menurut sumber, Mahkamah di Perancis sudah mengemukakan kes yang membabitkan dakwaan memberikan rasuah kepada pemimpin Malaysia termasuk Najib.

Sekiranya, Najib dipanggil menjadi saksi dalam kes tersebut, kata beliau, ia akan memberikankan imej yang huruk bukan sahaja kepada Najib malah kepada Malaysia.

Oleh itu, katanya, Najib akan memanggil PRU-13 sebelum beliau dipanggil menjadi saksi dalam perbicaraan yang turut berkait dengan kes pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya.


Mengulas lanjut tentang tarikh pilihanraya, menurut Dato' Musatafa, PRU13 tidak akan diadakan kecuali selepas sambutan Tahun Baru Cina pada bulan Januari.

"Bulan sebelas (November) musim orang pergi Haji, tak mungkin diadakan (PRU13) pada musim Haji, awal bulan Dua Belas (Disember) Perhimpunan Agung Umno

"dan akhir bulan, Najib nak menikahkan anaknya, bulan Januari Tahun baru Cina, jadi sebab itu, pada saya (PRU1) akan diadakan selepas raya Cina,"jelasnya.

Beliau menambah, PRU13 akan diadakan selewat-lewatnya pada bulan April, kerana 13 Mei adalah tarikh 'khurafat' bagi Umno yang takut kepada peristiwa rusuhan tersebut yang berlaku pada tahun 1969. -buletinonline



Siasat Kegagalan Projek Lembu Anak-Beranak Sharizat Jalil RM250 Juta

Posted: 25 Oct 2011 08:18 AM PDT

Kerajaan didesak perjelas projek lembu RM250j

Kerajaan diminta menjelaskan kegagalan projek RM250 juta Pusat Feedlot Kebangsaaan yang dikaitkan dengan seorang menteri Umno yang dikatakan gagal walaupun menelan belanja besar.

"Kajian awal oleh PKR ini jelas menunjukkan bahawa projek ini telah gagal walaupun menelan belanja jumlah wang rakyat yang besar dan kurniaan tanah seluas 5,000 ekar.

"Malah, ada petani dan penternak kecil yang mempunyai operasi yang lebih besar dan berkesan walaupun tidak mendapat apa-apa bantuan kerajaan," kata Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin.

Dakwanya, projek syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd itu dikendalikan suami dan anak-anak menteri itu, bawah Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) untuk memenuhi sasaran 40 peratus (1,500 ekor sehari) permintaan dan pengeluaran daging lembu untuk pasaran tempatan.

Sebaliknya, berdasarkan tinjauan PKR, projek yang beroperasi di Gemas, Negeri Sembilan itu didakwa hanya mengeluarkan sekitar 1,000 ekor lembu dipelihara dan sebanyak 20 ekor lembu disembelih setiap hari.

Sehubungan itu, PKR berpendapat isu itu perlu diberikan perhatian serius kerana ia salah contoh utama bagaimana "penyelewengan" wang rakyat dan mempunyai kesan mendalam kepada kenaikan harga barang.

"Rakyat memerlukan penjelasan segera mengenai kegagalan projek nasional yang menelan belanja besar ini," katanya.

Ahli parlimen Ampang itu juga mendesak Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin - yang didakwa terlibat menganugerahkan projek itu - tidak boleh terus berdiam diri. -mk

PKR kutuk Shahrizat: Buat kenyataan segera berkenaan Nat'l Feedlot Corp

KEADILAN menyambut baik keputusan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) untuk memulakan siasatan ke atas National Feedlot Corporation Sdn Bhd yang dimiliki oleh suami dan anak-anak kepada Dato' Seri Shahrizat Jalil, seorang menteri kanan dan Ketua Wanita Umno.

KEADILAN telah membawa isu ini ke perhatian rakyat sejak awal tahun 2010 lagi memandangkan kedudukan strategik projek seperti yang didakwa oleh kerajaan dan peruntukan besar yang terlibat.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9, Pusat Feedlot Kebangsaan yang dimiliki dan dikendalikan oleh National Feedlot Corporation Sdn Bhd diberi status Projek Berimpak Tinggi dengan sasaran memenuhi 40% permintaan dan pengeluaran daging lembu untuk pasaran tempatan.

Pada hari Khamis, 20 Oktober 2011 satu pasukan peninjau KEADILAN yang diketuai oleh Saudara Mohd Rafizi Ramli (Pengarah Strategi) dan YB Aminuddin Harun (ADUN Sikamat) telah membuat kunjungan tidak rasmi ke Pusat Feedlot Kebangsaan seluas 5,000 ekar di Gemas untuk menentukan prestasi pencapaian pusat tersebut memenuhi sasaran yang ditetapkan.

Hasil dari temuramah dengan pekerja-pekerja, maklumat yang diperolehi adalah seperti berikut:

Jumlah lembu yang dipelihari pada satu-satu masa: Sekitar 1,000 ekor
Asal-usul lembu: Diimport dari luar negara
Anggaran sembelihan setiap hari: Sekitar 20 ekor
Pasaran: Hypermarket seperti Giant, Carrefour dan lain-lain
Anggaran daging lembu yang dikeluarkan sehari (dikira): 3,000 kg
Anggaran daging lembu yang dikeluarkan setahun (dikira): 900,000 kg atau 900 tan

Prestasi operasi ini perlu dibandingkan dengan sasaran yang ditetapkan memandangkan projek tersebut dikurniakan tanah kerajaan seluas 5,000 ekar di Gemas dan mendapat bantuan kewangan kerajaan berjumlah RM250 juta. Oleh itu, prestasi Pusat Feedlot Kebangsaan:

Jumlah penggunaan daging lembu Malaysia setahun: 162,357 tan
% permintaan yang dicapai oleh Pusat Feedlot (dikira): 0.6%
Sasaran % permintaan yang perlu dicapai ditetapkan RMK9: 40%
Jumlah lembu yang perlu disembelih untuk mencapai sasaran: 1,500 ekor sehari
Jumlah lembu yang kini disembelih: 20 ekor sehari

Kajian awal oleh KEADILAN ini jelas menunjukkan bahawa projek ini telah gagal walaupun menelan jumlah wang rakyat yang besar dan kurniaan tanah seluas 5,000 ekar.

Malah, ada petani dan penternak kecil yang mempunyai operasi yang lebih besar dan berkesan walaupun tidak mendapat apa-apa bantuan kerajaan.

Penyelidikan KEADILAN juga menunjukkan bahawa sehingga kini, komponen-komponen operasi yang lain yang diamanahkan kepada syarikat milik suami dan anak-anak Dato' Seri Shahrizat Jalil masih belum dilaksanakan walaupun mendapat peruntukan besar.

Selain dari aktiviti mengimport lembu, syarikat ini juga dilantik oleh kerajaan untuk:

1) Membangunkan penternak kecil melalui konsep "penternakan satelit" untuk menggandakan pengeluaran lembu
2) Membangunkan makanan lembu berkualiti
3) Membangunkan baja dari operasi penternakan lembu

KEADILAN berpendapat bahawa isu ini perlu diberi perhatian serius kerana ia salah satu contoh utama bagaimana penyelewengan wang rakyat akibat ketirisan mempunyai kesan mendalam kepada kenaikan harga barang yang menekan rakyat.

Projek ini dilancarkan oleh kerajaan bertujuan untuk mengurangkan import makanan yang memainkan peranan utama kepada kenaikan harga barang makanan yang terpaksa ditanggung rakyat. Walau bagaimana pun, sebahagian besar dari peruntukan kepada projek-projek pertanian dan makanan untuk mengurangkan pergantungan kepada import tidak sampai dan diselewengkan sehingga mengakibatkan import makanan mencecah RM30 bilion setahun sehingga akhir 2010.

Dato' Seri Shahrizat Jalil sebagai menteri yang berkepentingan dalam projek ini dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bekas Menteri Pertanian dan Agro Industri yang terlibat menganugerahkan projek ini kepada rakan menteri beliau tidak boleh lagi terus berdiam diri. Rakyat memerlukan penjelasan segera mengenai kegagalan projek nasional yang menelan belanja besar ini.

Sekiranya kedua-dua mereka masih berdiam diri sehingga Isnin minggu depan, KEADILAN dan Wanita KEADILAN akan menganjurkan satu lawatan menjejaki lembu ke Pusat Feedlot Kebangsaan di Gemas untuk mendedahkan perkara ini dengan luas kepada rakyat.

YB ZURAIDA KAMARUDDIN, KETUA WANITA KEADILAN/AHLI PARLIMEN AMPAN
RAFIZI RAMLI, PENGARAH STRATEGI KEADILAN
YB AMINUDDIN HARUN, ADUN SIKAMAT, SEREMBAN


Siapa Dibelakang National Feedlot Corporation Sdn Bhd

Projek ini telah dianugerahkan terus kepada sebuah syarikat, National Feedlot Corporation Sdn. Bhd (NFC) yang mana yang mana antara tulang belakang disebalik syarikat ini adalah – Gambar dari (kiri), Wan Izzana Salleh (anak Sharizat) selaku Pengarah Ekskutif NFC, Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail (suami Sharizat) selaku Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Wan Shahinur Izran (anak) dan juga Wan Izran Salleh (anak). Wan Izzana Salleh pada ketika "menerima anugerah" melaksanakan projek melibatkan pelaburan sejumlah RM250 juta ini sahaja berumur 20 tahun dan tidak pernah ada pengalaman di dalam sektor penternakan lembu secara besar-besaran seperti ini.

Jururawat Melecur Dibakar Suami Meninggal Dunia Pagi Tadi

Posted: 25 Oct 2011 06:27 AM PDT

Kuala Lumpur: Seorang jururawat yang bertarung nyawa dan tidak sedarkan diri selama 10 hari akibat melecur lebih 80 peratus pada badannya selepas dibakar suami sendiri dipercayai bermotifkan cemburu, akhirnya meninggal dunia pagi tadi.

Mangsa Suriani Yahaya, 28, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 4.30 pagi selepas kecederaan yang dialami mangsa bertambah teruk dan gagal diselamatkan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, ketika dihubungi mengesahkan mangsa yang bertugas di HKL itu meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya itu.

Katanya, sehingga kini polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat daripada pihak hospital yang dijangka diperoleh selewat-lewatnya esok.

"Suspek yang juga suami mangsa kini masih dalam tahanan reman dan dijadualkan akan tamat esok. Namun, polis akan cuba mendapatkan permohonan baru untuk sambung reman selama seminggu bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Setakat ini, polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan bergantung kepada hasil laporan sama ada perlu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam Ahad lalu, mangsa yang baru tiba di rumahnya di Kampung Baru dikatakan memasuki bilik air untuk mandi sebelum suaminya didakwa sengaja membuang puntung rokok ke bilik berkenaan menyebabkan satu letupan kuat berlaku.

Difahamkan, sebelum mangsa tiba di rumahnya, suspek berusia 28 tahun itu dikatakan terlebih dulu menyimbah petrol selain meletakkan bom petrol dalam bilik air itu sebelum bertindak membuang puntung rokok sebaik melihat isterinya memasuki bilik berkenaan.

Lelaki Rancang Bunuh Isteri

KUALA LUMPUR: Suami setan! Itu ungkapan layak diberikan kepada seorang lelaki berusia 28 tahun apabila didakwa bertindak kejam 'meletupkan' isterinya menggunakan bom petrol ketika mangsa sedang mandi di rumahnya di Kampung Baru di sini, tengah malam kelmarin.

Perbuatan keji yang dipercayai bermotifkan cemburu itu menyebabkan mangsa, 28, yang juga jururawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, kritikal apabila lebih 80 peratus tubuhnya melecur.

Semuanya bermula jam 12.20 tengah malam apabila mangsa yang baru pulang kerja, masuk ke bilik air di rumahnya untuk membersihkan badan.

Menurut sumber, sebelum insiden itu suami mangsa dipercayai sudah menyimbah petrol selain meletakkan bom petrol di dalam bilik air berkenaan.

"Sebaik isterinya masuk, suspek dengan sengaja membuang puntung rokok ke kawasan berkenaan menyebabkan tercetusnya api sebelum satu letupan kuat berlaku.

"Api hasil letupan kuat itu menjilat pakaian dan tubuh mangsa menyebabkannya menjerit meminta bantuan daripada suami," katanya.-hm


[Waspada] Kerana Tergilakan IPAD, Bil Telefonnya Melambung

Posted: 25 Oct 2011 04:36 AM PDT

Kerana terlalu inginkan sebuah iPad sempena Deepavali, seorang lelaki kini terpaksa menanggung bil telefon bimbit hampir RM2,000 selepas mengambil bahagian dalam peraduan menerusi talian telefon bimbit.

Mangsa, M. Tirunovakarsan, 62, berkata, dia mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan selepas menerima satu emel yang dihantar syarikat telekomunikasi terbabit ke alamat emelnya pada 19 Oktober lalu.

Menurutnya yang juga merupakan Pengerusi MIC Cawangan Bukit Beruang, emel berkenaan memaklumkan mengenai hadiah menarik yang boleh dimenanginya dengan hanya menjawab beberapa soalan mengenai sejarah Malaysia.

"Bagaimanapun, sebelum saya boleh menjawab soalan berkenaan melalui komputer, saya perlu menghantar satu pesanan ringkas (SMS) kepada penganjur. Penganjur kemudiannya menghantar satu kata laluan bagi membolehkan saya mengambil bahagian.

"Setiap kali saya merasakan saya gagal menjawab, saya akan mendapatkan kata laluan baru untuk bermula sekali lagi," katanya kepada media, di sini semalam.

Menurut Thirunavokarsan, beliau mengambil kira-kira sejam untuk menjawab kesemua soalan yang dikemukakan sebelum perkataan 'tahniah' terpampang pada skrin komputernya selepas itu.

Menurutnya, walaupun daripada pesanan diterimanya, dia sepatutnya dihubungi penganjur bagi memaklumkan bila serta di mana boleh mengambil hadiahnya, namun sehingga kini, dia masih belum menerima sebarang maklumat.

"Saya ingin sekali mendapatkan iPad berkenaan untuk diberikan sebagai hadiah Deepavali kepada anak saya yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam ujian percubaan Sijil Persekolahan Malaysia (SPM) baru-baru ini," katanya.

Menurutnya, harapannya itu akhirnya berkecai apabila dia menerima bil telefon berjumlah RM1,989,20.

Bagaimanapun, menurut Tirunavokarsan, dia kecewa dengan kegagalan syarikat telekomunikasi menghadkan penggunaannya, sedangkan kredit maksima untuk taliannya adalah RM300. -SH

Ulasan GB

Usah percaya apa-apa tawaran yang datang melalui email.


Peguam Teoh Beng Hock Perlu Buat Laporan Polis Segera!

Posted: 25 Oct 2011 03:18 AM PDT

Nazri: Tiada laporan polis, tiada tindakan ke atas tiga pegawai SPRM

Jabatan Peguam Negara belum mengambil sebarang tindakan terhadap tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya diraja kematian Teoh Beng Hock kerana tidak ada laporan polis dibuat berhubung perkara itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

"Sepanjang pengetahuan jabatan ini, belum ada apa-apa laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berhubung penemuan pihak suruhanjaya itu dan tiada kertas siasatan dibuka untuk siasatan lanjut.

"Oleh itu, tidak timbul isu Peguam Negara takut untuk mengambil tindakan kepada pegawai SPRM tersebut," kata beliau semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 berkaitan jabatan itu pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dipetik Bernama Online, Nazri berkata, berikutan laporan yang dikeluarkan Suruhanjaya Diraja, SPRM menubuhkan satu pasukan siasatan khas untuk menzahirkan fakta dalam laporan berkenaan berkaitan tiga pegawai SPRM itu.

"Selanjutnya, satu laporan tatatertib akan disediakan sekiranya wujud kesalahan dan pelanggaran peraturan dan prosedur dalam proses siasatan," katanya.

Nazri berkata laporan mengenai siasatan dalaman terhadap ketiga-tiga pegawai dibentangkan kepada jawatankuasa aduan yang dibentuk di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"Jawatankuasa aduan telah minta siasatan lanjut diadakan sebelum laporan dikemukakan ke jawatankuasa tatatertib bagi membolehkan tindakan diambil terhadap tiga pegawai tersebut yang dinamakan dalam laporan.

"Satu siasatan terperinci akan dilakukan oleh polis berdasarkan oleh laporan jawatankuasa tatatertib dan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

"Jika ada kes jenayah, kertas siasatan akan dibuka untuk mendakwa mereka yang terlibat di bawah kanun keseksaan, atau undang-undang yang sesuai, selaras budi bicara Peguam Negara mengikut Akta 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk membuat pertuduhan jenayah atau pendakwaan," katanya. -TMI

Ulasan GB

Ini satu kelemahan pihak peguam Teoh Beng Hock.

GB berharap para peguam TBH perlu membuat laporan polis dengan kadar segera terhadap pegawai-pegawai SPRM yang telah terang dan nyata disebutkan di dalam laporan Suruhanjaya Siasatan melakukan penyalahgunaan kuasa.

Pegawai-pegawai SPRM tersebut TIDAK BOLEH dilepaskan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Gobind Singh Deo, where are you?

Tiada ulasan: