Selasa, 25 Oktober 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Bila Dah Tersepit Pandai Pula Tuduh Orang Putar Belit

Posted: 25 Oct 2011 12:30 AM PDT

Kenyataan isu anak Guan Eng diputar belit'

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menegaskan kenyataannya berhubung isu anak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, didakwa mencabul kehormatan seorang remaja perempuan, diputar belit media alternatif.

Timbalan Perdana Menteri berkata, media berkenaan mengeluarkan laporan tidak tepat dengan kenyataannya ditokok tambah sehingga dikaitkan dengan perkara lain yang tiada kena-mengena.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, dirinya diminta memberi pandangan berhubung isu berkenaan oleh media alternatif pada sidang media baru-baru ini, walaupun ingin mengelak perkara itu.

"Sebenarnya, saya tidak mahu campur urusan sebegitu. Saya sudah meneliti banyak penulisan dalam blog dan saya sedar tidak adil mengheret isu keluarga dan anak dalam kancah politik.

"Itu bukan tujuan saya tetapi ia sudah diputar belit sehingga menimbulkan salah faham," katanya menjawab celahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) ketika ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 bagi Kementerian Pelajaran, di Dewan Rakyat semalam.

Kit Siang mempersoalkan kenyataan Muhyiddin seperti dilaporkan media alternatif berhubung isu anak Guan Eng yang juga cucunya, didakwa mencabul kehormatan seorang remaja perempuan.

Muhyiddin berkata, beliau memahami perasaan Kit Siang sebagai seorang datuk tetapi orang ramai masih tidak berpuas hati dan mahu kes itu diteliti walaupun beberapa pemimpin pembangkang sudah memberi kenyataan.

Justeru, sebagai maklum balas banyak pihak yang juga sering diamalkan pakatan pembangkang, beliau berkata, cadangan terbaik ialah menyerahkan kepada polis menyiasat kes itu untuk mencari kebenaran.

"Yang Berhormat di sebelah sana (pembangkang) pun mencadangkan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja atau laporan polis (untuk kes lain sebelum ini), jadi respons biasa.

Jika hendak mendapatkan hak dan kebenaran, jika tidak melakukan perkara itu, biarlah pihak berkuasa siasat, jadi lepas daripada tohmahan.

"Apabila disiasat dan mendapat laporan tepat, di situ mungkin ada pembelaan. Itu tujuan (kenyataan) saya, bukan hendak campur (tangan). Jika tidak ada (dakwaan mencabul kehormatan tidak benar), apa Yang Berhormat bimbangkan. Ia akan diselesaikan dengan lebih mudah, ini bukan soal politik," katanya. -BH



Ulasan GB

Bila dah tersepit, bila Najib sendiri tak sokong kenyataan kamu, kamu pandai pulak pusing tuduh orang putar belit. Walhal semasa mengulas isu yang ditimbulkan blogger pro-UMNO, tidak pula kamu kata itu putar belit.

Tak apa kita tunggu, kita memang berharap kes itu akan disiasat. Ibu gadis berkenaan akan ambil tindakan undang-undang dan diharap Muhyiddin tidak akan mengelak di bila disapinakan sekali nanti.


Ibu pertimbang semua pilihan bagi lindungi Anya

Ibu kepada gadis muda yang gambarnya digunakan oleh blog pro-Umno untuk menuduh anak ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meramas buah dada teman sekelasnya berkata beliau akan menimbangkan semua pilihan dalam melindungi kepentingan anak perempuannya.

Ini, termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang menyebarkan khabar angin ke atas Anya Ann Corke, yang berusia 21 tahun, kata ibunya, Mei Sun.

"Sebagai ibu bapa Anya, saya akan semak pilihan yang ada untuk melindunginya daripada gangguan seumpama ini," katanya yang dipetik dalam akhbar South China Morning Post hari ini.

Anya, yang satu ketika dulu adalah juara catur satu Hong Kong kini menuntut di Amerika Syarikat. Beliau didakwa oleh penulis blog pro-Umno telah dicabul oleh anak remaja Lim dan akibat itu terpaksa dipindahkan dari sekolah SMK Heng Ee.

Ketua Menteri itu juga didakwa telah membayar wang pampasan kira-kira RM200,000 kepada ibu bapa Anya untuk menutup skandal berkenaan.

Anya, Lim dan pengetua SMK Heng Ee semuanya telah menafikan kejadian berkenaan.

Bagi Lim, celaan itu bertujuan memusnahkan kerjaya politiknya yang sekaligus cubaan meranapkan kehidupan anak remajanya yang dianggap "cukup keji dari segi moral dan tidak bertamadun".

Anya, pelajar tahun ketiga di sebuah kolej berkata beliau tidak pernah melawat Malaysia selama tujuh tahun lalu dan juga tidak pernah berjumpa ataupun mengenali nama-nama orang yang yang disebutkan dalam blog berkenaan.

"Saya juga nafikan bahawa pernah secara fizikal diserang dalam apa-apa cara sekalipun,"katanya. -mk


[Video] Buaya, Ancaman Baru Banjir Di Thailand

Posted: 24 Oct 2011 11:30 PM PDT

Bangkok - Thailand berterusan menerima dugaan yang turut dilihat sebagai ujian terbesar untuk kerajaan pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawtra apabila pihak berkuasa mengeluarkan amaran ribuan buaya kini berkeliaran di dalam air banjir di pinggir Bangkok.

Amaran itu dikeluarkan semasa penduduk diminta bersedia untuk menghadapi banjir berterusan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Kebanyakan buaya air tawar tersebut dipercayai terlepas dari taman hidupan liar selepas sangkar haiwan reptilia itu ditenggelami air.

Kerajaan turut menawarkan ganjaran untuk menangkap kesemua buaya tersebut tetapi pegawai taman hidupan haiwan memaklumkan mustahil untuk mengawal pergerakan haiwan itu jika banjir semakin buruk.

Sementara itu, Yingluck turut mengumumkan penghalang banjir dan pintu air sebagai zon larangan bagi menghentikan gangguan penduduk yang tidak berpuas hati dengan cara kerajaan menangani masalah tersebut.

Pihak berkuasa dan pegawai pentadbiran tempatan juga diberikan kuasa untuk meruntuhkan sebarang struktur yang menghalang operasi kawalan bencana itu.

Bangkok berjaga-jaga banjir besar

BANGKOK - Berjuta-juta penduduk di bandar raya ini bersedia untuk menghadapi banjir besar semalam selepas satu amaran dikeluarkan untuk memindahkan penduduk di beberapa zon bahaya.

"Jika sesuatu menimpa Bangkok, ia akan memberi kesan ke atas seluruh negara.

"Justeru, amatlah penting bagi memberi perhatian kepada Bangkok dalam usaha untuk negara menjadi selamat," kata Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra menerusi televisyen.

Beberapa bahagian di Bangkok ditenggelami air ketika kawasan di utara Thailand masih dilanda banjir. - Reuters




Caj 6% Parabayar: Sudah Ada Kedai Yang Mengenakan Bayaran Tambahan

Posted: 24 Oct 2011 09:19 PM PDT

Beberapa kedai prabayar kad tambah nilai telefon mudah alih dikesan mengenakan bayaran tambahan 60 sen walaupun empat syarikat pengendali utama telekomunikasi bersetuju menangguhkan caj cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus pada September lalu.

Peniaga didapati menjual kad prabayar dengan harga RM10.60, berbanding harga asal RM10.

Kerajaan perlu beri perhatian serius bagi mengelak pengguna tanggung kos. - Faidrus Aszmi Suhaimi, Pengguna Tindakan peniaga terbabit sudah pasti membebankan pengguna walaupun isu caj cukai perkhidmatan itu masih dalam kajian semula Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kegiatan itu bukan saja berlaku di sekitar Lembah Klang, sebaliknya di beberapa negeri seperti Pahang, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Wakil akhbar ini yang membeli kad prabayar di sebuah kedai runcit di Seksyen Tujuh, Bandar Baru Bangi di sini, turut dikenakan bayaran tambahan 60 sen ketika membeli kad prabayar berharga RM10.

Peniaga yang menjual kad prabayar terbabit ketika ditanya tindakannya mengenakan bayaran tambahan itu enggan memberi penjelasan.

Pelajar, Noor Atiqah Sulaiman, 18, berkata beliau berasa tertipu apabila dikenakan bayaran tambahan 60 sen ketika membeli kad prabayar berharga RM10 di kedai terbabit.

"Pada mulanya saya ingatkan peniaga terbabit mengenakan bayaran tambahan itu selepas kerajaan menaikkan caj cukai perkhidmatan enam peratus, tetapi selepas saya semak di laman web syarikat telekomunikasi, saya dapati pelaksanaannya masih ditangguhkan," katanya.

Seorang pembaca Berita Harian dari Jengka, Pahang, Noordayana Noordin, 23, berkata beliau juga terkejut perlu membayar RM10.60 ketika membeli kad prabayar di sebuah kedai di Terminal Bas Sementara Bandar Tun Abdul Razak.

"Saya ada bertanya kepada peniaga sama ada ia berkaitan dengan caj cukai perkhidmatan atau keuntungan sendiri namun peniaga tidak memberi seberang jawapan," katanya yang masih menuntut di Universiti Institut Teknologi Mara (UITM) Jengka, Pahang.

Seorang pengguna dari Bukit Kuang, Kemaman, Terengganu, Faidrus Aszmi Suhaimi, 27, berkata beberapa kedai runcit di bandar terbabit seakan kebal dari tindakan undang-undang mengenakan bayaran tambahan itu, tanpa dikenakan tindakan pihak berkuasa.

"Kerajaan perlu memberi perhatian serius bagi mengelak pengguna menanggung kos yang tidak sepatutnya dikenakan. Saya yakin ramai peniaga yang mengenakan bayaran itu," katanya.

Mohd Ridhuan Mohamed, 25, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, juga terpaksa membayar RM10.60 di sebuah kedai di medan selera berdekatan rumahnya dan menyifatkan tindakan peniaga terbabit sebagai tidak masuk akal.

Pada 13 September lalu akhbar melaporkan empat syarikat pengendali utama telekomunikasi di negara ini bersetuju menangguhkan caj cukai perkhidmatan enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar dikuatkuasa 15 September.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata persetujuan itu diputuskan secara bersama oleh empat syarikat terbabit selepas mengadakan perbincangan bersama kementerian itu di pejabatnya di Angkasapuri di sini. -Bh

Ulasan GB

SKMM lemah di dalam memantau dan mempastikan TIADA CAJ TAMBAHAN dikenakan kerana kerajaan sendiri sudah membuat keputusan penangguhannya (sekalipun rakyat menuntut pembatalan terus) terhadap cukai perkhidmatan 6% yang hendak dikenakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi.

Ini tidak, Prof Aziz Bari yang disusahkan. Terkejar-kejar untuk menyoalsiasatnya. Lain yang sepatutnya dilakukan, lain pula yang ditumpukan.


Remaja Mengandung Dibaham Abang Kandung Sendiri

Posted: 24 Oct 2011 07:57 PM PDT

Padang Besar: Seorang lelaki bertindak rakus apabila sanggup merogol adik perempuannya sendiri beberapa kali sejak Julai lalu menyebabkannya mengandung. Gambar fail.

Malah, remaja perempuan berusia 15 tahun itu turut diugut supaya menutup mulut berhubung kegiatan sumbang mahram yang berpunca akibat nafsu buas abangnya berusia 21 tahun.

Namun, tindakan kejam abangnya itu terbongkar apabila ibu saudara gadis berkenaan menyedari perubahan ke atas anak saudaranya yang kelihatan seperti orang mengandung pada Sabtu lalu.

Difahamkan, mangsa yang tinggal bersama bapa dan suspek yang bekerja sendiri di rumah mereka di Batu 18, Kaki Bukit, di sini, mendakwa dirogol berulang kali sehingga mengandung tiga bulan.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros berkata, mangsa dipercayai dirogol buat kali pertama oleh abang kandungnya sejak Julai lalu dan perbuatan itu dilakukan berulang kali selepas itu. -hm

Ulasan GB

Sampai ke tahap itu.

Itu sebab Rasulullah saw menyuruh dipisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan ialah sepertimana di bawah :

مروا أولادكم بالصلاة لسبع، واضربوهم عليها لعشر وفرقوا بينهم في المضاجع

"Perintahkanlah anak-anakmu dengan (menunaikan)solat pada umur 7 tahun. Dan pukullah mereka kerana (meninggalkan) solat pada umur 10 tahun , dan pisahkanlah antara mereka pada tempat tidurnya."

(HR Imam Ahmad , Abu Daud dan al-Hakim)


Hadis ini jelas menyuruh kita agar memisahkan tempat tidur antara lelaki dan perempuan apabila mereka berusia 10 tahun.

Ini kerana, pada masa itu kebanyakkan daripada anak perempuan telah pun mencapai usia baligh. Apabila ini berlaku, dibimbangi perbuatan atau perkara-perkara keji yang diilhamkan oleh syaitan akan berlaku antara mereka.

Mungkin kejadian yang berlaku di atas bukan semasa waktu tidur, tetapi paksaan si abang yang sudah kemaruk nafsu buas tak mengira masa dan tempat hasil daripada dunia yang semakin liar.

Justeru ibu/bapa perlu mengawasi perwatakan anak-anak terutama si lelaki agar jangan sampai ada ada anak yang menjadi sarang syaitan dibela di dalam rumah.

Mayat Ghaddafi Semakin Membusuk

Posted: 24 Oct 2011 06:00 PM PDT

Misrata, Libya - Mayat bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mula mereput dan berbau busuk selepas empat hari ditempatkan di dalam sebuah bilik sejuk simpanan daging di sini sejak Khamis lalu.

Pejuang-pejuang yang mengawal jenazah Gaddafi dan anak lelakinya, Motassim bertindak meletakkan lapisan plastik di bawah jenazah mereka ekoran cecair mayat mula mengalir di dalam bilik sejuk beku sebuah pasar tempat kedua-dua jenazah itu disimpan.

Warna kedua-dua mayat itu menjadi semakin hitam selepas tidak dikebumikan selama empat hari.

Para pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) mula memberikan topeng bedah kepada para pelawat untuk melindungi daripada terhidu bau busuk yang tersebar ke dalam bilik sejuk beku tersebut.

"Tuhan mencipta firaun sebagai teladan kepada manusia lain," kata seorang penduduk, Salem Shaka yang melawat kedua-dua jenazah itu semalam.

"Jika beliau seorang yang baik, kami pasti akan mengebumikannya.

Namun, beliau sendiri yang memilih jalan ini (jalan kehancuran)," tambahnya.

Gaddafi dan anak lelakinya, Motassim mati dibunuh di bandar kelahiran Gaddafi, Sirte selepas mereka ditangkap pada Khamis lalu.

Seorang lagi lelaki menyatakan dia memandu sejauh 400 kilometer untuk melihat mayat Gaddafi.

"Saya datang ke sini untuk memastikan dengan mata saya sendiri. Semua penduduk Libya mesti melihatnya," katanya.

Pengebumian Gaddafi masih menjadi perbalahan dalam kalangan anggota-anggota NTC yang memerintah Libya buat sementara waktu.

Para pemimpin NTC mahu mayat Gaddafi dikebumikan di sebuah lokasi rahsia supaya makamnya tidak dipuja.

Namun, suku kaum Gaddafi mahu mayatnya dikebumikan di bandar kelahirannya di Sirte. - Reuters

Ulasan GB

Adalah tidak wajar untuk menyamakan Ghaddafi sebagai Firaun kerana Firaun itu jelas engkarnya kepada Allah s.w.t. sedangkan Ghaddafi dikenali sebagai da'ei antarabangsa yang dibenci oleh dunia barat.

Terpengaruh dengan daayah pemimpin dunia barat, ramai umat Islam sendiri diperangkap dan terperangkap menganggap Ghaddafi sebagai musuh Islam yang kononnya mempunyai harta berbillion sedangkan buktinya sehingga kini belum ditemui.

Sepertimana yang GB pernah utarakan di dalam ulasan GB sebelum ini:

Terdapat laporan sebelum ini menyatakan mayat Gaddafi ditelanjangkan, malah diseret dan diberikan penghinaan oleh para pejuang NTC.

Jika laporan itu benar, maka bererti ia sudah keterlaluan. Apatah lagi tembakan dilakukan tatkala Gaddafi sudah mengeluarkan perkataan rayuannya "jangan tembak, jangan tembak...".

Hadith Nabi saw: Dari 'Aisyah Radliyallaahu 'anhu bahwa Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wa Sallam bersabda: "Janganlah mencaci maki orang-orang yang telah mati, kerana mereka telah sampai pada balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan." Riwayat Bukhari.

Jika dicacimaki orang yang telah mati itu tidak dibolehkan, apatah lagi disakiti, dikasari dan diaibkan mayat Gaddafi itu.

Dari 'Aisyah bahwa Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wa Sallam bersabda: "Mematahkan tulang mayit adalah sama halnya dengan mematahkannya dalam keadaan hidup." Riwayat Abu Dawud dengan sanad menurut syarat riwayat Muslim.

Kemurkaan Allah sengaja ditempah oleh rakyat Libya.


Apa yang dilakukan oleh mereka yang dikatakan "pejuang Libya" itu tidak pernah dilakukan oleh Nabi kita di dalam mana-mana peperangan walaupun terhadap musuh Islam paling jahat.

Justeru tiada justifikasi apa pun untuk memperlakukan mayat Ghaddafi sedemikian rupa selain dari hanya mendengar propaganda pemburukan watak beliau oleh dunia barat kerana bencikan Ghadaffi lantaran dakwah Islamnya.

Jabatan K'jaan Persekutuan Di Kelantan Sengaja Tak Gunakan Peruntukan Untuk Majukan Kelantan

Posted: 24 Oct 2011 03:28 PM PDT

Pretasi perbelanjaan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) negeri Kelantan adalah tidak memuaskan kerana daripada RM1.70 bilion yang diperuntukan bagi 10 jabatan, hanya RM715.23 juta atau 42.1 peratus telah dibelanjakan setakat Disember lalu.

Bagaimanapun, menerusi laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan hari ini, analisis audit menunjukkan enam jabatan telah mencapai prestasi perbelanjaan melebihi 50 peratus.

Enam jabatan itu adalah Pejabat Pembangunan Negeri (RM214.35juta), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri (RM9.02 juta), Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan (RM101.94 juta), Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri (RM29.97juta), Jabatan Pertanian Negeri (RM12.65 juta) dan Jabatan Perikanan Negeri (RM2.16 juta).

Sepanjang tempoh RMK-9 sebanyak 196 program telah dirancang untuk dilaksanakan. Daripada jumlah itu 134 program atau 68.4 peratus telah siap sepenuhnya.

"Manakala 51 projek atau 20 peratus sedang dilaksanakan. Sebanyak 11 program atau 5.6 peratus lagi masih belum dimulakan. Prestasi pelaksanaan projek sehingga akhir tahun 2010," kata Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dalam lapuran tersebut.

Jabatan Perhutanan Negeri mencatatkan jumpah program tertinggi dengan 60 dan 42 program telah pun siap. Diikuti dengan Pejabat Perbendaharaan Negeri dengan 25 program manakala 8 program sedang dilaksanakan.

Kumpulan wang disatukan

Sementara itu, kedudukan keewangan kerajaan negeri mengikut lembaran imbangan, Kumpulan Wang Disatukan pada akhir 2010 adalah berjumlah RM148.30 juta.

Jumlah itu terdiri daripada aset berbentuk wang tunai sejumlah RM131.97 juta dan pelaburan RM16.33 juta.

"Analisis Audit mendapati Kumpulan Wang Disatukan kerajaan negeri telah mengalami peningkatan ketara sejumlah RM51.07 juta atau 52.5 peratus iaitu daripada RM97.23 juta pada 2009 menjadi RM148.30 juta 2010. Peningkatan antara lain disebabkan peningkatan baki Akaun Amanah disatukan berjumlah RM54.53 juta atau 10.2 peratus pada 2010 iaitu RM589.87 berbanding RM535.34 juta pada 2009.

"Baki Wang Tunai pada 2010 berjumlah RM131.97 juta berbanding RM79.60 juta pada 2009. Analisis perbandingan kedudukan wang tunai pada 2009 dan 2010 menunjukkan peningkatan berjumlah RM52.37 juta," katanya.

Pinjaman ke atas kerajaan persekutuan meningkat

Kerajaan negeri dari semasa ke semasa menerima pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek pembangunannya.

Pada tahun 2010, baki hutang Kerajaan negeri meningkat sejumlah RM118.25 juta atau 11.9 peratus menjadi RM1,112 juta berbanding RM993.75 juta pada 2009.

Peningkatan ini disebabkan oleh Kerajaan negeri mendapat pinjaman baru daripada kerajaan persekutuan bagi projek membaikpulih loji rawatan pembentungan berjumlah Rn14.63 juta dan peningkatan pinjaman bagi projek bekalan air dari RM482.82 juta pada 2009 kepada RM589.74 juta pada tahun 2010.

Malah pada 2010 kerajaan negeri telah menghapuskan kira tunggakan hasil sejumlah RM0.38 juta yang merupakan cukai hiburan (bola sepak) yang dikenakan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sejak tahun 2003.

"Analisis perbandingan antara kutipan hasil sebenar pada tahun 2010 berbanding tunggakan hasil pada tahun 2010 mendapati prestasi kutipan hasil 2010 adalah memuaskan kerana kutipan hasil meningkat sejumlah RM44.83 juta dan tunggakan hasil turut mencatatkan peningkatan sejumlah RM0.23 juta," katanya.

Apa Kejadah RM4 Juta Beli Kuda Tapi Tak Boleh Berlumba, Beli Teropong Harga 29 Kali Ganda?

Posted: 24 Oct 2011 10:03 AM PDT

Sebanyak 18 ekor kuda dibeli dengan kos hampir RM4 juta oleh Majlis Sukan Negara (MSN) tetapi tidak dapat diturunkan dalam persaingan World Endurance Championship (WEC) 2008 sebab tidak memenuhi syarat kelayakan termasuk masalah kesihatan.

Hanya lima ekor kuda layak untuk bersaing dalam kejohanan tersebut.

Kesemua 23 kuda itu dibeli dengan kos RM5.66 juta.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyebut "pihak Audit dimaklumkan 18 ekor kuda dengan kos perolehan berjumlah RM3.94 juta tidak layak bertanding kerana tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Persekutuan Equestrian Antarabangsa."

"Ini disebabkan kuda yang dibeli tidak mendapat latihan yang mencukupi memandangkan peroleh kuda dibuat dua bulan sebelum kejohanan.

"Di samping itu beberapa ekor kuda juga mengalami kecederaan sebelum kejohanan bermula," kata Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

Pada Februari 2007, MSN telah diminta untuk membeli enam ekor kuda bagi tujuan WEC 2008 dengan mendahulukan peruntukan sedia ada dan agensi itu telah membelanjakan RM1.98 juta bagi tujuan itu.

Pada Jun tahun yang sama, Kementerian Belia dan Sukan telah menetapkan spesifikasi dan bilangan kuda untuk ditambah sebanyak 17 ekor lagi menjadi 23 ekor untuk pertandingan tersebut.

Kata beliau, pada pandangan Audit perancangan perolehan kuda hendaklah dibuat secara teliti dengan mengambil kira tahap kesihatan dan kebolehan kuda untuk bertanding.

"ISN (Institut Sukan Negara) sepatutnya merancang perolehan dengan mengambil kira tempoh latihan yang diperlukan bagi setiap kuda untuk memenuhi syarat kelayakan FEI.

"Ini menyebabkan sebahagian besar kuda yang diberi tidak dapat menyertai (World Endurance Championship) WEC 2008," katanya.

Kata laporan, walaupun usaha dilakukan untuk memastikan kuda tersebut sihat, kesihatan kuda tidak dapat dijamin sempurna sepanjang masa.

Laporan Audit berkata pihaknya mendapati ISN perlu memastikan perolehan kuda digunakan untuk menyertai kejohanan peringkat antarabangsa dan pembangunan sukan berkuda bagi tempoh tertentu sebelum diserahkan kepada agensi kerajaan yang lain. -TMI


Harga binocular zoom 29 kali lebih tinggi


Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) membelanjakan RM56,350 bagi sepasang 'binocular marine' atau teropong visi malam, 29 kali lebih tinggi daripada harga pasaran bernilai RM1,940, dedah Laporan Ketua Audit 2010.

Jabatan itu juga membayar jumlah yang sama bagi sepasang binocular visi malam jenama Bushnell, atau 1,893 peratus lebih tinggi daripada harga sebenar RM2,827.

Ia juga didapati 'terlebih bayar' RM38,470 dan RM13,918 bagi set radar Colour Marine berharga RM8,255 dan sebuah TV LCD dengan pemain cakera DVD bernilai RM16,100 dan RM2,182 masing-masing.

Barangan lain termasuk:

Komputer riba dan pencetak warna berharga RM3,428 pada harga RM11,845 (lebihan 246 peratus)

Hand-held portable VHF Transceiver berharga RM1,561 pada harga RM4,324 (lebihan 177 peratus)


"Semakan Audit mendapati tiada bukti JTLM telah membuat kajian pasaran sewajarnya. Bagaimanapun pihak JTLM mempunyai anggaran harga jabatan yang tidak dapat dikenal pasti asas perkiraannya.

"Analisis Audit mendapati perbezaan harga yang ketara antara 177 peratus hingga 2,805 peratus terhadap kadar harga yang ditetapkan dalam kontrak berbanding anggara harga pasaran," petik laporan itu.



Mara ditegur beli peralatan pada harga tinggi

Di sebalik membelanjakan peruntukan RM54 juta untuk menyediakan kursus latihan bagi golongan miskin tegar, Majlis Amanah Rakyat (MARA) membelanjakan wang untuk mendapatkan peralatan tertentu - seratus peratus lebih tinggi berbanding harga pasaran.

Laporan Audit 2010, yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, menyatakan bahawa dana yang disediakan di bawah program rangsangan ekonomi kedua untuk membantu golongan miskin meningkatkan pendapatan mereka.

Berikut beberapa barang yang dilaporkan dalam laporan berkenaan:

# Ketuhar berharga RM1,200 berbanding harga pasaran RM419, untuk membuat roti dan pastri bagi kursus di Kelantan

# Katil Boleh Lipat berharga RM500 berbanding harga pasaran RM100
Dapur gas dua pembakar pada harga RM200 setiap satu, dan bukannya RM59.90

# Mesin gunting rambut yang dibekalkan pada harga RM250 setiap satu, dan bukannya RM79

# Pengisar pada RM140 dan bukannya sebanyak RM60


Katil boleh lipat itu digunakan untuk kursus urutan secara tradisional bagi ibu selepas bersalin dan mesin gunting rambut digunakan untuk kursus menggunting rambut.

Laporan tersebut mencatatkan bahawa sebahagian besar pembelian dibuat melalui rundingan terus, tidak melalui tender terbuka - dan tanpa kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

Prosedur operasi standard tidak dibentangkan sebelum lembaga pengarah MARA meluluskannya,
kata laporan itu.

Laporan itu juga memberi komen bahawa Giatmara perlu menyatakan prosedur operasi standard secara mendalam dan terperinci bagi program yang hendak dijalankan di seluruh negara.

Beli peralatan, bekalan eletrik tiada

Laporan itu turut mencatatkan pembelian beberapa peralatan untuk peserta kursus yang dibuat tanpa mengambil kira keperluan yang betul.

Sebagai contoh, di Kapit, Sarawak, ketuhar dan mesin jahit disediakan tetapi tiada bekalan elektrik di pusat latihan tersebut.

Laporan itu juga mencatatkan beberapa peralatan termasuk pengadun dan pengisar yang dibeli di bawah tahap keupayaan sebenar untuk digunakan mengadun kek dan oleh itu, ia tidak boleh digunakan.

Giatmara juga membeli pengisar untuk mencampur makanan ikan dengan spesifikasi yang rendah dan peserta kursus boleh secara mudah mendapat makanan ikan di Perak.

Laporan Audit Negara mencadangkan Giatmara membuat penilaian sesuatu peralatan yang hendak dibeli mengikut kapasiti dan kesesuaian bagi mencapai hasratnya. -mk


Ulasan GB

Sudah nyata ada ketirisan yang besar di dalam pelbagai Jabatan di pelbagai Kementerian kerajaan pusat untuk menghabiskan dan menjahanamkan wang rakyat.

Berlaku salahlaku dan rasuah yang ketara. Memberi erti NKRA (untuk mengurangkan rasuah) kepunyaan Najib tercampak ke tong najis.

Siasat dan tangkap segera mereka yang terlibat.

[TERKINI] Kes Aziz Bari, UIA Tarik Balik Penggantungan, Diarah Lapor Diri Esok

Posted: 24 Oct 2011 08:30 AM PDT

Universiti Islam Antarabangsa (UIA) telah menarik balik arahan gantung tugas yang dikenakan ke atas pensyarah undang-undangnya Prof Abdul Aziz Bari hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh unit perundangan menerusi satu surat yang difakskan sekitar pukul 6.30 petang tadi, kata peguam beliau Dr Zulqarnain Lukman kepada The Malaysian Insider.

"Surat diterima petang sekitar 6.30 petang, selepas kami hantar respons kepada surat tujuk sebab petang tadi, ia ditandatangani oleh pegawai unit perundangan... UIA arah Prof Abdul Aziz Bari lapor diri kepada dekan Kulliyah Undang-undang," kata Zulqarnain.

Bagaimanapun kata beliau, surat petang ini menyebut bahawa siasatan akan dijalankan tetapi hanya penggantungan tugas ditarik balik.

Dalam laporan petang tadi, The Malaysian Insider memetik Zulqarnain berkata UIA memaklumkan akan mengumumkan keputusan hasil siasatannya ke atas Aziz esok.

Zulqarnain memberitahu, beliau telah dimaklumkan oleh pegawai unit perundangan hari ini bahawa siasatan pihaknya sudah selesai dan akan meneliti penjelasan Aziz yang diserahkan petang tadi.

"Berdasarkan apa yang diperkatakan oleh pegawai dari unit perundangan UIA, mereka akan meneliti penjelasan Prof Aziz dan akan memberikan jawapan... keputusan mereka sama ada akan mengambil tindakan susulan, meneruskan tindakan, berhenti di sini (setakat surat tunjuk sebab) atau sebaliknya,"
kata Zulqarnain.

Beliau menghantar surat penjelasan Aziz, menjawab surat tunjuk sebab UIA, kira-kira 3 petang tadi.

Zulqarnain berkata dalam responsnya, Aziz telah menjelaskan bahawa kenyataan beliau mengenai titah Sultan Selangor adalah satu bentuk kebebasan dalam memberi pandangan, yang sama sekali tidak bertentangan denagn Artikel 15(3) Peraturan-peraturan Disiplin Universiti dan juga Seksyen 3(2) Akta Hasutan.

"Asasnya penjelasan kami kepada UIA adalah begitu, apa yang dikatakan oleh Prof Aziz ialah ia kebebasan bersuara, tidak melanggar undang-undang dan peraturan negara... Seksyen 3(2) Akta Hasutan sendiri memberi pengecualian," katanya.

Pengurusan UIA mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Aziz berhubung kenyataan pensyarah undang-undang itu ekoran titah Sultan Selangor berkaitan isu Gereja Methodist Damansara Utama dan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru ini.

UIA telah memberi masa selama seminggu sehingga 4 petang esok kepada Aziz untuk menjawab surat tunjuk sebab itu.

Surat tunjuk sebab itu juga menyebut beliau digantung perkhidmatan sehingga siasatan selesai dan dilarang memasuki kampus UIA.

Jumaat lalu, Rektor UIA Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin berkata Aziz perlu menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin, Tatatertib dan Kakitangan UIA berhubung kenyataan mempertikaikan titah Sultan Selangor.

Beliau berkata jika Aziz tidak membalas surat tunjuk sebab itu dalam masa ditentukan, pensyarah berkenaan boleh dihadapkan ke Lembaga Displin, Tataterib dan Kakitangan UIA untuk dibicarakan.

Zaleha berkata kenyataan Aziz berhubung titah ucapan Sultan Selangor akan disiasat mengikut Peraturan 15 Peraturan Tatatertib Kakitangan universiti itu.


Najib didesak hormati kebebasan akademik

KUALA LUMPUR, 24 Okt: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendesak Perdana Menteri dan Kerajaan BN menghormati kebebasan akademik di negara ini yang kini amat tercalar dengan tindakan penggantungan terhadap Profesor Dr Abdul Aziz Bari oleh pihak pentadbiran UIA.

Pengerusi SMM, Ahmad Syukri Abdul Razak berkata, pihaknya amat berharap agar kejadian seperti yang terjadi ke atas Dr Aziz itu tidak akan berulang pada masa akan datang.

Menurutnya, namun dalam hubungan ini SMM amat kesal dengan sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak mengeluarkan sebarang kenyataan menyokong prinsip kebebasan akademik.

Katanya, sebaliknya kenyataan Perdana Menteri dilihat senada dengan rektor UIA yang jelas gagal untuk menyokong prinsip kebebasan akademik di negara ini.

"SMM menuntut agar Datuk Seri Najib menyokong prinsip kebebasan akademik dengan tuntutan universal yang termaktub dalam Deklarasi Prinsip Kebebasan Akademik dan Ahli Akademik 1970, Senarai Hak Akademik 2001 dan Kempen Akademik untuk Kebebasan Akademik," katanya pada sidang media di lobi Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Rektor UIA, menurut beliau, masih lagi berdegil dan angkuh, apabila penggantungan terhadap Aziz masih belum ditarik balik yang seolah-olah memandang remeh tuntutan mahasiswa yang berdemonstrasi Jumaat lalu.

Katanya, oleh itu, SMM akan menganjurkan satu lagi demonstrasi di UIA Gombak esok bagi menyerahkan memorandum kepada Najib yang akan hadir ke universiti itu untuk merasmikan Debat Piala Perdana Menteri sekitar jam 8.00 malam.

Sehubungan itu SMM menyeru mahasiswa seluruh negara hadir menyertai demonstrasi itu dalam menuntut kebebasan berakademik di negara ini.

"SMM juga akan menganjurkan kempen menuntut kebebasan berakademik melalui roadshow, forum awam, ceramah dan seumpamanya dalam masa yang terdekat ini," katanya.

Turut hadir pada sidang media itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Safuan Anang, Presiden MPMUM, Syahid Zaini dan beberapa orang kepimpinan SMM lain.

Sebelum itu, Nasir Zakaria berkata, penggantungan Aziz Bari merupakan satu lagi titik hitam sejarah negara yang sekali gus menghitamkan lagi rekod Barisan Nasional memerintah negara kita.

Katanya, penggantungan terhadap Aziz selaku pensyarah kanan UIA yang sudah berkhidmat selama 22 tahun sangat mengejutkan dan menyedihkan warga Malaysia.

"Beliau adalah antara putera terbaik Melayu yang merupakan pakar undang-undang perlembagaan. Adakah hanya kerana memberi pandangan berdasarkan pengalaman akademik dan pengalaman beliau dan beberapa laporan polis sudah cukup untuk menamatkan riwayat akademik beliau," katanya.

Prof Dr Aziz Bari, katanya, terkenal berani dan kontroversi. Beliau bukan sekadar berkongsi ilmu di media perdana, wacana, kelas toturial malah menjangkau kepada media alternatif yang mesra pembangkang.

"Beliau bukan sekadar mengkritik kerajaan tetapi pernah mengkritik kepimpinan pembangkang. Beliau berani dan tegas terhadap pandangan beliau walaupun berdepan cemuhan," ujarnya.

Sebelum itu, Ahmad Syukri dan rakan-rakannya turut menyerahkan memorandum bagi mendesak perlaksanaan kebebasan akademik di negara ini kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah menerusi pegawai khasnya, Shahmi untuk dipanjangkan kepadanya di bangunan Parlimen hari ini. -HD



Ulasan GB

Syabas kepada semua pihak yang menyokong Prof Abd Aziz Bari khususnya kepada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Kebenaran akan tetap tertegak juga.


[Bergambar & Video] Turki Diguncang Gempabumi, Lebih 200 Maut

Posted: 24 Oct 2011 07:03 AM PDT

Istanbul — Lebih 200 orang disahkan terbunuh dalam gempa bumi berukuran 7.2 yang memusnahkan bahagian barat Turki, kata Menteri Dalam Negeri Idris Naim Sahin hari ini.

Beliau yang menyelia operasi kecemasan di Ercis, salah satu bandar yang teruk dilanda gempa bumi, Idris berkata, seramai 117 orang disahkan maut di Ercis manakala 100 lagi terbunuh di Van.

Seramai 1,090 lagi dilaporkan cedera dalam gempa bumi yang melanda petang semalam, katanya.

Pegawai-pegawai mendakwa beratus-ratus orang masih belum dikesan.

Terdahulu, Perdana Menteri Tayyip Erdogan berkata sekurang-kurangnya 138 orang terbunuh dalam gempa bumi kuat yang menggegarkan Turki semalam, tetapi bilangan mereka yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan di wilayah Van masih belum diketahui.

Tayyip melawat bandar Ercis menggunakan helikopter untuk melihat tahap kerosakan dan kemusnahan.

Sebalik sahaja kembali daripada tinjauan, Tayyip dalam satu kenyataan disiarkan menerusi televisyen berkata, sekurang-kurangnya 93 orang disahkan terbunuh di bandar Van dan 45 lagi di Ercis.

Tayyip menambah Turki berupaya untuk menangani malapetaka itu dan mengucapkan terima kasih kepada negara-negara yang hendak menghulurkan bantuan termasuk Israel dan Armenia, kerajaan yang mempunyai hubungan dingin dengan Ankara sejak kebelakangan ini. — Reuters









Tiada Tindakan ke Atas Hassan Ali, Tapi Kena Terima Impak Dari Ahli

Posted: 24 Oct 2011 05:18 AM PDT

Exco Hal Ehwal Agama Selangor Datuk Dr Hasan Ali tidak akan dikenakan tindakan displin oleh PAS susulan menghadirkan diri dalam Perhimpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah (HIMPUN) di Stadium Shah Alam Sabtu lalu.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Dr Hasan yang juga ahli jawatankuasa parti itu berbuat demikian atas sifat peribadi sebagai "menyokong kesucian Islam".

Katanya, Dr Hasan berhak hadir untuk menyatakan pendirian bersatu menegakkan Islam serta menguatkan akidah, lapor sebuah harian berbahasa Melayu.

"PAS tidak akan mengenakan sebarang tindakan ke atas beliau atau mana-mana ahli parti yang turut serta dalam HIMPUN," beliau dipetik sebagai berkata.

PAS memutuskan tidak menyertai perhimpunan itu bagi menghormati pendirian penganjur yang tidak mahu melibatkan parti politik.

Manakala PAS Selangor mengarahkan ahlinya tidak terlibat dengannya selaras dengan arahan PAS di peringkat pusat.

Impak pada ahli

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman berpendapat, kenyataan Dr Hasan berkaitan perhimpunan itu bersifat peribadi dan bukan pandangan parti.

"Seperti mana yang beliau declare (isytihar) sendiri, beliau hadir bukan atas tiket PAS dan bukan sebagai exco agama kerajaan negeri.

"Kalau itu pendirian beliau, saya tidak boleh buat apa-apa, jadi hormati pendiriannya.

"Cuma impak kepada ahli, saya tidak dapat menapis setiap tanggapan ahli PAS terhadap beliau," beliau dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian hari ini.

Manakala Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pula dilapor berkata, beliau menghormati tindakan Hasan menghadiri perhimpunan itu dan tidak menghalang mana-mana kakitangan kerajaan negeri ataupun individu menghadirinya.

"Atas dasar hak individu dan (hak) asasi, saya tidak menghalang sesiapa pun," katanya kepada harin berbahasa Melayu itu lagi.

Sementara itu, Umno didakwa menggunakan Himpunan Sejuta Umat (Himpun), yang diadakan Sabtu lalu, sebagai satu lagi platform untuk menghidupkan semula perbincangan tentang kerjasama kedua-dua parti itu, dengan menggunakan dakwaan kononnya wujud ancaman daripada masyarakat Kristian, lapor The Malaysian Insider.

Umno, sejak pilihan raya umum 2008, berulang kali berkata bersedia untuk mengadakan perbincangan mengenai kerjasama dan perpaduan dengan PAS.

Tetapi pemimpin-pemimpin PAS telah menolak tawaran Umno itu, sebaliknya mahu kekal dengan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad memberitahu The Malaysian Insider bahawa penganjur Himpun telah menggambarkan Islam berhadapan dengan ancaman agar ahli-ahli PAS akan menghadiri dan menyokong kempen itu bersama Umno.

"Meskipun Umno telah mengatakan bahawa mereka tiada apa-apa kaitan dengan perhimpunan, saya fikir adalah ketara apabila anda bergabung dengan kumpulan-kumpulan seperti Perkasa yang mendakwa program itu telah menyatukan PAS dan Umno.

"Ia satu lagi usaha untuk mendesak supaya diadakan perbincangan perpaduan antara kedua-dua PAS-Umno... anda bermain dengan kad agama dengan PAS, anda cuba untuk melaga-lagakan kami dengan bukan Muslim, untuk menunjukkan bahawa kami ini kononnya ekstremis... mereka (Umno) cuba sekali lagi," kata Khalid.

PAS memutuskan untuk tidak menghadiri Himpun atas alasan ia bukan aktiviti parti politik, tetapi tidak menghalang ahli-ahlinya menghadiri perhimpunan tersebut atas kapasiti orang perseorangan.

Khalid berkata beliau percaya pihak-pihak yang ada hubungan dengan Umno cuba menggambarkan sudah ada gunung sedangkan yang wujud hanya "busut."

"Hanya disebabkan seorang pemimpin PAS hadir majlis itu ia tidak bermakna PAS dan Umno kini sudah bergandingan.

"Mengapa mahu mencetuskan ketegangan agama? Tiada bukti yang kukuh wujudnya ancaman Kristian. Lebih baik kami menggunakan masa dan usaha kami untuk memperbaiki perkara-perkara lain di negara ini — rasuah, (soal) urus tadbir baik," kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Semalam, Perkasa berkata meskipun Himpun gagal mengumpulkan 100,000 hadirin yang disasarkan tetapi ia berjaya menyatupadukan kaum Muslim segenap lapisan masyarakat.

Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata, baginya kempen semalam adalah sesuatu berjaya kerana membawa bersama pemimpin Umno dan PAS.

"Bagi saya ia satu kejayaan. Salah satu bahagian yang berjaya ialah ada pemimpin PAS dan Umno di pentas yang sama dan individu lain yang tidak menganggotai mana-mana parti.

"Saya percaya ahli-ahli Umno atau PAS dan Melayu dalam Keadilan, mereka semua sokong (Himpun) tetapi kemungkinan mereka kena ikut arahan daripada pemimpin mereka, yang saya tak faham mengapa mereka tidak dibenarkan," kata Syed Hassan.

Rogol Wanita Dalam Tandas, Penganggur Dipenjara 16 Tahun

Posted: 24 Oct 2011 03:52 AM PDT

Kuala Lumpur - Seorang penganggur hari ini dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan merompak dan merogol dua wanita di tandas awam, tiga bulan lalu.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap Endry Roni Afandi, 27, selepas dia menukar pengakuan bersalahnya hari ini dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh dia ditangkap pada 13 Julai lalu.

Sebelum menjatuhi hukuman, Emelia berkata, faktor kepentingan awam dan rayuan daripada peguam bela dipertimbangkan sebelum membuat keputusan.

"Tertuduh sebagai ketua keluarga sepatutnya tahu membezakan yang baik dan buruk serta faktor kemiskinan yang dihujahkan oleh peguam bela bukanlah alasan untuk tertuduh melakukan jenayah," katanya.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhi hukuman penjara enam tahun terhadap Endry kerana merompak seorang eksekutif bank, 32, dengan menggunakan sebilah pisau pemotong sayur di dalam tandas awam di bawah Stesen LRT Bandaraya, Dang Wangi di sini antara jam 5.15 hingga 5.30 petang, 8 Julai 2011.

Bapa kepada anak lelaki berusia lapan bulan itu didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Dia turut dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan kerana merogol mangsa di tempat, waktu dan masa yang sama, mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Sementara itu, mahkamah turut menjatuhi hukuman penjara enam tahun terhadap Endry kerana merompak seorang kerani, 24, dengan menggunakan senjata yang sama dan menjatuhi hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan kerana merogol mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tandas awam yang beralamat di Stesen Minyak Shell, Danau Kota, Setapak antara 2 hingga 5 petang, 10 Julai 2011.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan terhadap tertuduh berjalan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman terhadap kes pertama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahah Mohd Suah manakala tertuduh diwakili peguam S Letchiemanan. - BERNAMA


Husam Saman Blogger "Ruangbicarafaisal" Setengah Juta Kerana Memfitnah

Posted: 24 Oct 2011 02:15 AM PDT

Kota Bharu - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, di sini semalam berhubung kes saman malunya berjumlah RM500,000 terhadap blogger yang didakwa menyiarkan artikel memfitnahnya, dua tahun lalu.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Kelantan menuntut ganti rugi itu terhadap Mohd Faisal Rohban Ahmad, 37 berikutan penyiaran artikel bertajuk 'Husam & Tamrin Balun Balak Kelantan RM15 juta', di ruangbicarafaisal.blogspot.com pada Sabtu 3 Oktober 2009.

Antara kenyataan fitnah itu termasuk menyatakan plaintif sengaja berkonspirasi dan berkomplot dengan satu pihak ketiga untuk memberi 4,000 hektar tanah kawasan balak kepada seorang pihak ketiga bernama Tamrin Ghaffar.

Balak itu cuba dijual kepada seorang tauke dengan harga RM25 juta. Pembahagiannya pula adalah plaintif sebanyak RM10 juta, pihak ketiga pula RM10 juta dan Pas Pusat RM5 juta.

Plaintif mendakwa keseluruhan artikel tersebut juga sengaja memfitnahnya dengan mengatakan kawasan balak berkenaan tidak dapat dijual dengan harga RM25 juta dan hanya dijual dengan harga RM15 juta dan wang tersebut dibahagikan; plaintif mendapat RM5 juta, pihak ketiga RM6 juta dan Pas Pusat RM3 juta.

Artikel itu ternyata mahupun tersirat menuduh secara melulu bahawa plaintif adalah seorang yang korup dan tidak boleh dipercayai serta menyalahgunakan kuasa sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan.

Ketika memberikan keterangan, Husam menegaskan artikel itu secara terang terangan memfitnahnya dan menafikan dakwaan itu kerana beliau bekerja keras untuk menjaga keharmonian rakyat Kelantan.

"Saya kecewa, malu, tertekan kerana artikel fitnah itu yang merosakkan nama baik saya. Kesannya saya malu kerana dipandang serong masyarakat. Saya juga tertekan kerana ramai pihak yang bertanyakan perkara itu sehingga saya sukar fokus kepada kerja.

"Kesan akibat penyiaran artikel itu masih wujud berikutan masyarakat masih memandang serong dan ada sesetengah pihak yang masih memetik artikel berkenaan dan menyiarkannya sehingga kini," katanya ketika menjawab soalan peguam belanya, Hisham Fauzi.

Menurutnya, tuntutan saman itu dibuat bagi memberi pengajaran setimpal kepada defendan yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu dan teladan kepada masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya memfitnah seseorang.

Peguam bela defendan, Adzly Abdul Manas mempertikaikan kesahihan maklumat diberikan pihak ketiga yang membantu plaintif mendapatkan latar belakang Mohd Faisal Rohban termasuk nombor telefon, alamat dan pekerjaannya.

"Akibat artikel itu setujukah Datuk jika dikatakan kesan-kesan seperti tidak boleh fokus kerja, tertekan, dipandang serong yang dialami adalah rekaan. Tuntutan jumlah ganti rugi itu juga banyak," katanya dalam soal balas terhadap plaintif.

Dalam jawapannya, Husam berkata, sepatutnya Adzly sebagai peguam bersimpati terhadap nasibnya.

Saksi pihak plaintif yang hadir memberi keterangan semalam, Mohammad Syahfahrin Ali Rajkumar Abdullah, 40 yang menyerahkan notis saman itu kepada defendan di kediamannya di Selangor, 31 Mei tahun lalu.

"Saya diarahkan plaintif untuk ke rumah defendan, ketika tiba di rumahnya, saya dapati defendan terkejut apabila diberitahu tujuan kedatangan saya lalu beliau hubungi polis dan rakannya. Beliau juga mengaku bernama Mohd Faisal Rohban dan membaca notis writ saman yang saya berikan. Saya juga sempat mengambil beberapa keping gambar defendan menggunakan telefon bimbit saya," katanya yang mendakwa rakan plaintif dan tinggal di Dun Salor.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim kemudian menetapkan 12 dan 13 Disember ini sebagai tarikh sambung bicara kes itu.

Blogger berkenaan dijangka hadir memberi keterangan pada tarikh itu bersama dua saksi lain. -SH

Blogger sembunyi wajah ketika dirakam gambar

KOTA BHARU, 23 Okt: Saksi plaintif kes saman anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa terhadap blogger Mohd Faisal Rohban Ahmad memberitahu defendan cuba menyembunyikan wajah ketika gambarnya dirakam semasa beliau menghantar writ saman.

Mohd Shah Karim, 30 berkata, semasa menghantar writ saman kepada Mohd Faisal pada 31 Mei 2010 dia membantah ketika cuba dirakam gambar dengan telefon bimbit di hadapan rumahnya di Shah Alam.

"Ketika saya sampai di rumahnya dia baru tiba dan terkejut ketika diberitahu ada notis saman daripada Datuk Husam.

"Selepas itu beliau menghubungi rakan, peguam dan anggota polis. Tidak lama kemudian datang seorang anggota polis lengkap beruniform dan dua lagi berpakaian biasa serta peguam.

"Anggota polis yang datang dengan kereta Kancil itu membaca wris saman yang saya bawa, kemudian meminta kad pengenalan saya dan Faisal. Ketika itu saya nampak namanya pada kad pengenalan," katanya menjawab soalan peguam Adly Abdul Manas, mewakili Mohd Faisal pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini.

Kes terebut dibicara di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim. Plaintif diwakili peguam Hisham Fauzi.

Faisal dalam blognya ruangbicarafaisal.blogspot.com pada 3 Oktober 2009 menulis rencana berunsur fitnah terhadap Husam yang bertajuk, "Husam dan Tamrin Balun Balak Kelantan RM15 juta."

Husam dalam pernyataan tuntutannya menjelaskan artikel disiarkan dalam blog defendan adalah menggelirukan dan bermaksud memberi gambaran buruk serta tidak benar terhadapnya.

Ekoran itu plaintif melalui peguamnya mengemukakan notis menuntut defendan memohon maaf secara terbuka dan membayar gantirugi.

Husam menuntut defendan memohon maaf secara bertulis tanpa syarat kepadanya, menyiar permohonan maaf dalam blognya, mengiklan permohonan maaf dalam akhbar harian utama, membayar ganti rugi RM500,000.

Selain itu gantirugi teladan, gantirugi melampau, punitif, injuksi menghalang defendan atau agen mengulangi penerbitan kenyataan tersebut.

Mohd Shah seorang peniaga yang berasal dari Salor, merupakan saksi kedua kes tersebut.

Sebelum itu Husam dalam keterangan secara bersumpah memberitahu mahkamah sebelum artikel tersebut disiarkan beliau menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada Faisal.

Katanya, selepas artikel tersebut disiarkan, beberapa blog lain turut memetik rencana tersebut sehingga nama baiknya sebagai seorang ahli politik dan anggota pentadbir kerajaan terjejas teruk.

"Oleh itu saya berpendapat wajar dikenakan ganti rugi yang lebih tinggi kerana melemparkan fitnah sehingga menjatuhkan air muka seseorang," katanya.

Husam berkata, berdasar kepada pencarian dibuat blog tersebut didaftar bukan menggunakan namanya yang sebenar, sedangkan nombor kad pengenalan, tarikh lahir dan daerah mengundi merupakan milik Mohd Faisal.

Ketika disoal balas peguam defendan, Husam memberitahu Mohd Faisal menggunakan alamat yang sering berubah-rubah, namun rumah bapanya dikesan di Wakaf Bharu, Tumpat.

Menjawab soalan peguam lagi katanya, selepas menerima notis saman, defendan tiba-tiba berubah sikap di mana Faisal dalam SMSnya memberitahu mahu sertai PAS dan memohon balak.

Hakim kemudian menangguh kes tersebut dan menetapkan sambung bicara pada 12 dan 13 Disember hadapan.

Adly sebelum itu memohon penangguhan kes tersebut memandangkan anak guamnya sedang menunaikan haji.

Beliau juga memberitahu akan mengemukakan tiga saksi iaitu Mohd Faisal, wakil daripada Umno Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). -HD



Tiada ulasan: