Khamis, 20 Oktober 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[WASPADA] Van Putih Culik Nurin Muncul Semula

Posted: 20 Oct 2011 12:35 AM PDT

Ampang: Tragedi kes culik dan pembunuhan kejam Nurin pada 20 Ogos 2007 hampir berulang apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun hampir diculik dua lelaki menaiki van putih persis kenderaan yang didakwa melarikan Nurin. Gambar fail

Menggunakan taktik hampir sama seperti kes penculikan sebelum ini, kanak-kanak lelaki terbabit diculik dan dibawa lari beberapa meter sebaik berjalan keluar dari sekolahnya berhampiran Kampung Melayu Ampang, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, mangsa terselamat apabila sempat melarikan diri sebaik pintu van berkenaan terbuka akibat tindakannya yang meronta-ronta ketika ditahan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa baru tamat waktu persekolahan dan mahu pulang ke rumahnya yang terletak berhampiran.

"Ketika sedang berjalan tiba-tiba seorang lelaki tempatan memakai kemeja-T terus keluar dari van putih diletakkan di tepi jalan lalu menghampiri kanak-kanak berkenaan yang baru keluar dari pintu utama sekolah.

"Lelaki itu dikatakan memeluk lalu menangkap mangsa dari belakang. Akibat terkejut dengan tindakan itu, mangsa meronta dan cuba melepaskan diri,"
katanya ketika dihubungi semalam.

Namun, mangsa dibawa masuk menaiki van dipandu seorang lagi lelaki tempatan dipercayai untuk dibawa lari.

"Dalam perjalanan itu, mangsa terus meronta-ronta melepaskan diri. Disebabkan keadaan van yang bergegar, pintu van itu terbuka.

"Mangsa segera melompat keluar dari van itu dan melarikan diri. Kedua-dua suspek yang panik dengan tindakan mangsa kemudian memecut van berkenaan,"
katanya.

Berikutan itu, mangsa pulang ke rumahnya dan menceritakan kejadian itu kepada ibu bapanya sebelum dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk membuat laporan.

Amiruddin berkata, polis kini sedang giat memburu suspek dan menasihati orang awam supaya peka keadaan sekeliling dan memaklumkan polis sekiranya melihat keadaan mencurigakan menggunakan van putih.

Dalam kejadian sebelum ini, Nurin Jazlin Jazimin, 8, diculik selepas mengunjungi pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 20 Ogos, 2007. Mayat mangsa ditemui disumbat dalam beg berhampiran PJS1, Petaling Jaya. Dua bulan selepas itu, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun nyaris diculik berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju tidak jauh dari tempat Nurin dilaporkan hilang.

Dalam kejadian itu, mangsa yang cuba ditarik masuk ke dalam van sempat melawan sebelum dilepaskan penjenayah yang terkejut dengan jeritan ibu mangsa. Kejadian sama berulang apabila seorang lagi kanak-kanak perempuan, Sharlinie Mohd Nashar, 5, turut dilaporkan hilang pada awal Januari 2008 selepas didakwa turut dilihat bersama seorang suspek dalam sebuah van di Cheras. Mangsa gagal ditemui sehingga kini.

[Video & Bergambar] Derita Buah Zakar Terlampau Besar

Posted: 19 Oct 2011 10:26 PM PDT

Las Vegas: Seorang lelaki Nevada, Wesley Warren Jr, memerlukan RM3 juta bagi membolehkannya menjalani pembedahan membetulkan buah zakarnya yang besar melampau.

Selama ini, lelaki berusia 47 tahun itu hanya mendiamkan penderitaannya, namun semalam dia membuat rayuan terbuka bagi membolehkan pembedahan dijalankan dan mampu menjalani hidup seperti biasa.

Warren memiliki buah zakar seberat 44.5 kilogram.

Disebabkan pembesaran melampau pada buah zakarnya, Warren tidak boleh memakai seluar, selain terpaksa bergantung kepada pemakanan antibiotik dan ubat setiap hari.

Apabila keluar rumah, Warren perlu mengenakan seluar besar yang diubah suai.

Katanya, bukan mudah bergerak dari satu tempat ke tempat lain dengan keadaannya begitu.

"Masalah ini memaksa saya menghabiskan lebih banyak masa di rumah," katanya.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak menjadikan Warren terlalu kecewa.

Menurutnya, selain mempunyai sahabat, dia mahu menjalin hubungan cinta dengan wanita idamannya.

"Di sebalik kekurangan ini, saya tidak kecewa, berputus asa atau terfikir untuk membunuh diri," katanya.

Kata Warren, dia percaya masalah itu berpunca daripada insiden pada 2008.

"Saya terkepit kemaluan ketika tidur dan keesokan harinya, ia membesar seperti bola," katanya.

Sementara itu, doktor berkata, Warren menghadapi masalah limfatik pada zakarnya menyebabkan berlaku takungan cairan pada organ berkenaan dan ia membengkak secara melampau. - TS








"Si Tanggang" Dihukum Denda RM3,000 Kerana Ugut & Cuba Tikam Ibu Sendiri

Posted: 19 Oct 2011 08:50 PM PDT

Kangar – Seorang anak yang tergamak mengugut untuk menikam ibu kandung sendiri menggunakan besi penebuk susu semata-mata melebihkan teman wanitanya dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Muhammad Fuad Halipah, 22, dari Kampung Bunga Emas, Simpang Empat di sini didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan ugutan jenayah ke atas ibunya, Azani Saad, 53, mengikut kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Dia dituduh berniat menyebabkan ibunya berasa cemas apabila mengancam hendak menikam dengan alat penebuk susu dalam satu pertengkaran antara mereka di kantin pentadbiran Martikulasi Arau dekat sini pada 12 Oktober lalu.

Perselisihan antara dua beranak itu difahamkan berlaku setelah Azani tidak berpuas hati dengan tindakan Muhammad Fuad yang mahu memberi pinjam Toyota Vios kepada teman wanita anaknya itu.

Tertuduh yang merupakan seorang penganggur ditahan 13 Oktober lalu kira-kira pukul 6 petang di Taman Lanchang Jejawi, Arau setelah ibunya membuat laporan polis berhubung ancaman anaknya itu.

Tidak cukup dengan itu, beberapa hari kemudian pada 20 Oktober lalu tertuduh didakwa memaksa ibunya menyediakan wang sebanyak RM1,500 serta geran kereta kerana mahu dibawa ke Thailand.

Dalam pendengaran kes tersebut, Muhammad Fuad mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Zuhair Rosli. -kosmo

Surat Tunjuk Sebab : Tindakan UIA Yang Memalukan Warga Orang Berilmu

Posted: 19 Oct 2011 06:59 PM PDT

Jangan ugut Aziz Bari, kemuka hujah balas

KUALA LUMPUR, 19 Okt: Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) ingin menarik perhatian terhadap tohmahan dan tekanan di dalam media terhadap tokoh akademik Profesor Abdul Aziz Bari.

"Gerak merasa terkilan atas celaan berbentuk peribadi yang telah dikenakan terhadap beliau," kata setiausaha agungnya, Rosli H Mahat kepada Harakahdaily.

Jelasnya, Abdul Aziz adalah seorang yang berwibawa dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional dalam bidang kepakaran beliau.

Menurutnya lagi, mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau sepatutnya menghujah balas secara rasional dan profesional tanpa sebarang ugutan atau celaan peribadi.

Tambahnya, sebagai seorang ahli akademik, Prof Abdul Aziz berhak menyatakan pendapat seperti yang telah dilakukannya.

Ini, ujarnya adalah sebahagian dari kebebasan akademik yang dipunyai oleh setiap ahli akademik.

Beliau menjelaskan, mana-mana negara yang mahukan universiti mereka disanjungi dan dihormati sebagai universiti bertaraf dunia pasti menyokong, menghormati dan melindungi kebebasan akademik.

"Kebebasan akademik ini telah disaran oleh UNESCO melalui satu dokumen bertajuk Recommedation Concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel," ujarnya lagi.

Dokumen itu, terangnya telah diluluskan oleh perhimpunan agung UNESCO pada 11 November 1997.

Katanya, kebebasan akademik ada termaktub dalam artikel 26 dan 27 Recommendation tersebut.

Antara hak yang dinyatakan dalam Recommendation tersebut ialah: "hak untuk menyumbang kepada perubahan sosial melalui kebebasan menyatakan pendapat mereka terhadap dasar-dasar negara dan dasar-dasar yang memberi kesan kepada pendidikan tinggi. Mereka tidak seharusnya dikenakan apa-apa penalti semata-mata kerana mengguna hak tersebut".

Justeru itu, ujarnya Gerak menyeru semua pihak supaya menghayati dan menghormati kebebasan akademik.

Katanya, semua pihak hendaklah akur terhadap recommendation tersebut pada bila-bila masa.

"Keperihatinan pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders) dalam perkara ini amat perlu untuk memertabatkan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi antarabangsa dengan universiti-universitinya bertaraf dunia," katanya.


Surat tunjuk sebab kepada Aziz Bari hina UIA

KUALA LUMPUR, 19 Okt: Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berkata, tindakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pensyarah undang-undang, Profesor Abdul Aziz Bari adalah tragedi baru serta satu penghinaan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) yang dihormati di negara ini.

"Saya berpendapat tindakan tersebut adalah satu tragedi dan juga penghinaan kepada institusi pengajian tinggi terutamanya UIAM, yang mana kita tahu universiti tersebut adalah sebuah universiti antarabangsa yang mendapat pengiktirafan dunia.

"Saya melihat seolah-olah ada tangan-tangan tentu yang mengarah agar dikeluarkan surat tunjuk sebab kepada Abdul Aziz," jelasnya ketika ditemui di parlimen.

Tambah Nizar lagi, pemberian surat tunjuk sebab itu sebenarnya telah menaikkan martabat Abdul Aziz sebagai seorang profesor.

Katanya, ia merupakan penghinaan kepada tokoh-tokoh akademik yang telah menggunakan kebijaksanaan mereka untuk berbincang serta membahas isu-isu yang ada di negara ini tetapi dikenakan tindakan jika tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu.

"Saya tekankan di sini seolah-olah ada satu arahan yang dibuat oleh pihak atasan barangkali ada pihak dalam Umno Barisan Nasional yang merasakan apa yang didedahkan oleh Abdul Aziz itu akan memberi kesedaran yang meluas kepada warga akademik dan juga rakyat.

"Sepatutnya yang dilakukan oleh kerajaan mahupun institusi pengajian tinggi adalah memberi kebebasan untuk mereka meluahkan pendapat kerana ia tidak melibatkan politik, malah beliau merupakan seorang profesor dan pakar dalam Perlembagaan Malaysia sudah tentu ia mempunyai sebab tertentu untuk berhujah jadi kenapa ia dihalang," sambungnya.

Nizar juga berpendapat tindakan itu merupakan satu sekatan untuk tokoh akademik bebas berpendapat serta merupakan satu sejarah baru dalam dunia akademik negara ini dan akan menyebabkan seluruh dunia memandang serong kepada institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Sebelum itu, Abdul Aziz mengundang kontroversi berhubung kenyataan mengenai perlembagaan dan Raja-Raja Melayu.

Menurut sumber, Abdul Aziz diberikan surat tunjuk sebab itu petang tadi tetapi tidak jelas mengenai kandungan surat tersebut.

Abdul Aziz kini disiasat mengikut Akta Hasutan berikutan laporan polis Senator Ezam Mohd Nor pada 13 Oktober lalu.

Difahamkan sekurang-kurangnya lima laporan polis dibuat berhubung perkara yang sama. -HD


Aziz Bari terima surat tunjuk sebab dari UIA

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pensyarah undang-undangnya Profesor Abdul Aziz Bari, yang baru-baru ini mengundang kontroversi berhubung kenyataan mengenai perlembagaan dan Raja-Raja Melayu.

Menurut sumber, Abdul Aziz diberikan surat tunjuk sebab itu petang tadi.

Tidak jelas mengenai kandungan surat itu kerana pakar perlembagaan itu tidak dapat dihubungi.

Malaysiakini juga belum dapat mengesahkan perkara itu dengan pihak universiti kerana ketika berita ini ditulis, waktu pejabat telah berakhir.

Abdul Aziz kini disiasat mengikut Akta Hasutan berikutan laporan Senator Ezam Mohd Nor pada 13 Oktober lalu.

Difahamkan sekurang-kurangnya lima laporan polis dibuat berhubung perkara yang sama.

Sementara itu, Malaysiakini terus dikunjungi oleh pihak berkuasa berhubung kenyataan Abdul Aziz yang disiarkan oleh portal berita berkenaan.

Malaysiakini terus disiasat

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyoal siasat wartawan Malaysiakini pada Isnin lalu, sekali lagi datang dengan dua pegawai yang sama bagi mendapatkan butiran lanjut daripada kakitangan lain.

Editor berita, Wee Yu Meng disoal selama sejam dan diminta mengesahkan bahawa Abdul Aziz mengirimkan emelnya kepada portal berita berkenaan dan sejauh mana ketepatan berita yang disiarkan.

Selain SKMM, Malaysiakini hari ini juga disiasat oleh pihak polis berhubung isu yang sama.

Pegawai penyiasat dari ibu pejabat polis daerah Shah Alam, ASP Effandi Main merakamkan kenyataan daripada Wee selama satu jam setengah.

Beliau disoal sejauh mana dirinya mengenali Abdul Aziz dan berhubung kredibiliti pensyarah kanan undang-undang itu.

Pihak polis juga meminta dibekalkan salinan emel kenyataan yang dibuat oleh Abdul Aziz tetapi Wee berkata salinan yang dimilikinya telah dipadamkan setelah berita itu dimuat-naik.

Abdul Aziz dipercayai disiasat mengikut Akta Hasutan.

Beliau pada 11 Oktober lalu berkata tindakan Sultan Selangor campurtangan dalam isu pemeriksaan gereja Methodist di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu, bukan tindakan lazim.

Selaras ajaran Islam

Menurutnya, sebagai ketua agama Islam negeri, baginda mempunyai hak untuk campurtangan tetapi ia perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

Selepas dikritik pelbagai pihak, Abdul Aziz sehari kemudian menjelaskan bahawa Akta Hasutan 1948 memperuntukkan bahawa tidak menjadi kesalahan mengkritik Raja-Raja Melayu asalkan mereka tidak menuntut pemansuhan institusi itu.

Tidak puas hati dengan kenyataan itu, Ezam dan beberapa aktivis NGO tampil membuat laporan serentak dengan mendakwa Aziz berlaku biadap dan derhaka kepada institusi raja Melayu.

Sultan sebelum itu bertitah bahawa baginda amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di Selangor.

Titah baginda, cubaan memesongkan akidah umat Islam itu berjaya dibuktikan hasil siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tetapi ia tidak mencukupi untuk diambil tindakan undang-undang.-mk

Siapa Pemimpin PAS Yang Akan Sertai Himpun?

Posted: 19 Oct 2011 04:52 PM PDT

Himpunan: Penganjur sahkan penyertaan pemimpin PAS

PETALING JAYA: Penganjur Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang dijadualkan pada 22 Oktober ini di Stadium Shah Alam mengesahkan bahawa sebahagian pemimpin PAS Selangor akan menyertai perhimpunan itu.

Jurucakap Gabungan Cegah Murtad (GCM) Hamidzun Khairuddin, penganjur perhimpunan tersebut, berkata, mereka adalah pemimpin PAS yang dipinggirkan oleh parti. Ini termasuk NGO-NGO yang ada kaitan dengan PAS telah menyatakan komitmen untuk hadir.

Kenyataan itu bertentangan dengan mesyuarat PAS malam tadi yang membuat keputusan untuk tidak menyertai program tersebut.

Himpunan yang akan bermula jam 2 petang hari Sabtu ini dianjurkan bertujuan untuk mempertahankan akidah dari serangan gejala- gejala yang tidak diingini di samping memperaga penyatuan dan kekuatan umat Islam di negara ini.

Bagaimanapun, Hamidzun menjelaskan pihaknya tidak menjemput parti politik menghadiri program tersebut tetapi mereka boleh datang atas kapasiti peribadi.

Malam tadi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan PAS tidak menyertai perhimpunan itu atas alasan "PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam Himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program."

Kumpulan penyokong Hasan?

Difahamkan kumpulan pemimpin PAS yang akan menghadiri Himpunan tersebut merupakan kumpulan penyokong bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali. Beliau tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan dakwaan GCM tersebut.

Hamidzun turut mengecam keputusan PAS untuk tidak menghadiri perhimpunan tersebut dengan menyifatkan sebagai 'hipokrit tertinggi'.

Katanya, sehingga ini Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan beberapa NGO Islam lain menyatakan persetujuan untuk hadir. Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria juga akan hadir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharum dilapurkan mempertahankan tujuan perhimpunan itu diadakan.

"Untuk pertahankan Islam demi penyatuan umat," kata bekas mejar tentera itu. -FMT

Ulasan GB

Dengan keputusan PAS untuk tidak terlibat di dalam Himpunan Sejuta Umat, penganjur HIMPUN seperti kehilangan arah. Menuduh yang bukan-bukan terhadap PAS, kononnya PAS "hipokrit tertinggi" walhal empat jarinya menunjuk ke arah diri mereka sendiri.

Kemudian diwarwarkan ada pemimpin PAS yang akan trut serta sedangkan PAS Selangor sudahpun mengarahkan ahlinya untuk tidak turut serta di dalam himpunan tesebut.

Mereka gagal untuk memerangkap PAS, lantas membuat kenyataan yang merapu kononnya ada pemimpin PAS yang akan turut serta.

Dan jika sekalipun benar ada pemimpin PAS yang pergi ke himpunan, GB percaya ia di atas kapasiti peribadi. Jika tidak, maka ia hanya satu helah untuk mencari pintu keluar dari rumah PAS.

Pengetua Sekolah Sangkal Dakwaan Anak Guan Eng Cabul Pelajar

Posted: 19 Oct 2011 08:13 AM PDT

Dakwaan atas anak Guan Eng tidak benar, kata pengetua Heng Ee

KUALA LUMPUR, 19 Okt ─ Pengetua SMK Heng Ee menegaskan dakwaan kononnya anak lelaki Lim Guan Eng pernah mengganggu seorang pelajar perempuan sekolah itu secara seksual tidak benar sama sekali.

Goon Boon Poh berkata beliau terkejut apabila membaca dakwaan itu dalam akhbar dan mahu mengakhiri isu ini kerana ia boleh menjejaskan nama baik sekolah.

"Dakwaan ini sama sekali tidak benar. Sangat mudah, ia tidak benar sama sekali," kata Goh kepada The Malaysian Insider."Blog-blog berkata insiden ini berlaku Mei tahun ini. Anak Ketua Menteri tidak menjadi pelajar sekolah ini sejak awal tahun ini," katanya lagi.

Malah kata Goh, gambar-gambar yang diposkan dalam blog bukan anak Lim dan mangsa yang didakwa juga bukan pelajar SMK Heng Ee.

Pengetua ini menjelaskan pegawai-pegawai dari Jabatan Pendidikan telah mengadakan siasatan berkenaan dakwaan kelmarin dan mereka berpuas hati dengan penjelasannya.

"Jika saya senyap, ia akan menyebabkan saya, sekolah berada dalam situasi memalukan. Sangat mudah, jika ia benar-benar, pastinya saya tahu, bukan begitu?

"Tiada pelajar yang membuat dakwaan sedemikian," kata Goh.

Awal hari ini DAP mendedahkan gambar, yang digunakan oleh blog-blog pro-Umno untuk melontarkan dakwaan serangan seksual terhadap anak lelaki Lim, sebenarnya merupakan juara catur berusia 21 tahun, Anya Sun Corke dari Hong Kong.

Corke yang kini mewakili England tiada kaitan dengan Pulau Pinang dan tidak pernah belajar bersama dengan anak lelaki Lim di George Town.

Sebaliknya dia sedang mengikuti pengajian di Wellesley College, Amerika Syarikat.

Pemblog-pemblog pro-Umno termasuk ketua Umno Bukit Gelugor Dr Novandri Hasan Basri mendakwa anak lelaki Ketua Menteri telah mengganggu rakan satu kelas yang berusia 16 tahun dan telah cuba mengelak hukuman dengan menggunakan nama bapanya.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua menunjukkan paparan skrin dari blog Dr Novandri dan Papagomo dan dipadankan dengan gambar-gambar dari laman web www.chessbase.com-TMI

DAP: Blog guna gambar palsu fitnah anak Lim

Penulis blog yang dikaitkan dengan Umno dikatakan menggunakan gambar palsu bagi memfitnah anak ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang hanya berusia 16 tahun meramas buah dada teman sekolahnya.

Menurut setiausaha publisiti DAP, Tony Pua, gambar yang digunakan oleh penulis blog berkenaan dikenalpasti sebagai Anya Sun Corke, 21, seorang warga Britain.

Gadis itu juga dikatakan tidak mempunyai kaitan dengan Pulau Pinang mahupun pernah berhubungan dengan anak Lim, kata Pua.

"(Beliau) sekarang pelajar tahun ketiga di sebuah kolej di Amerika Syarikat. Semua ini membuktikan bahawa dakwaan oleh cybertrooper Umno adalah pembohongan," katanya.

Pua menyifatkan tindakan keji penulis blog berkenaan yang mengheret anak Lim itu sebagai "memalukan bangsa, agama dan negara" mereka dan bertujuan memusnahkan masa depan remaja itu.

"Malah, penulis blog cuba memberi kredibiliti pendustaan mereka dengan menyiarkan gambar gadis muda itu," kata Pua merujuk blog yang turut memuat-naikkan gambar mangsa-mangsa berkenaan.

Menurut Pua, tembelang penulis blog itu berjaya dibongkar oleh pengurus IT DAP Goh Kheng Teong yang mengesan identiti gadis itu selepas gambarnya dimuat-naikkan di blog mereka.

"Tidak ada sesiapa di sekolah anak Lim yang mengenali siapa gadis itu, termasuk pengetua dan guru-guru.

"Tidak memeranjatkan kerana gadis itu tidak pernah belajar di Pulau Pinang dan bukan juga warga Malaysia," katanya.

Corke, yang kini menuntut di Wellesley College, adalah pemain catur yang terhandal dan menjadi wanita pertama yang mewakili universitinya dalam Liga Catur Amerika Syarikat.-mk


Laporan sebelum ini
Sila klik imej untuk baca


Lim Guan Eng


PAS Selangor Larang Ahli Sertai HIMPUN, Mujahid Pertikai Sikap Double Standard Polis

Posted: 19 Oct 2011 06:48 AM PDT

Badan Perhubungan PAS Selangor mengarahkan semua ahlinya tidak menyertai Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang dijadualkan 22 Oktober ini, harakahdaily melaporkan.

Dalam SMS yang dihantar kepada Harakahdaily, Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman memberitahu, arahan tersebut dikeluarkan berikutan penegasan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang malam tadi yang memutuskan bahawa PAS tidak terbabit dalam Himpun.

"Presiden PAS telah menyatakan bahawa PAS tidak terlibat dalam Himpunan Sejuta Umat, oleh itu Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman mengarahkan semua ahli PAS di Selangor, agar tidak terlibat dalam himpunan tersebut," tegas beliau.

Tegas Khairuddin, arahan terebut dikeluarkan Pesuruhjaya PAS Selangor selaras dengan arahan yang diterima daripada Presiden PAS.

Dalam kenyataan Presiden PAS selepas mesyuarat Lujnah Politik PAS Pusat malam tadi menegaskan bahawa PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program yang tidak mahu melibatkan parti politik.

Keputusan diambil PAS, dialu-alukan pemimpin Pakatan Rakyat di semua peringkat.

Sementara itu, Harakahdaily turut melaporkan bahawa Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada Himpunan Sejuta Umat (Himpun) di Shah Alam pada Sabtu ini.

Perhimpunan tersebut adalah anjuran NGO Islam yang akan membawa isu-isu Islam untuk diperjuangkan bersama oleh umat Islam.

Walaupun tujuan murni perhimpunan bawah tema memelihara aqidah umat Islam adalah sesuatu yang wajar namun demikian, namun beliau berhak untuk berasa bimbang perhimpunan akan lari dari hasrat murni penganjur.

"Saya berasa ada sesuatu yang tidak kena pada perhimpunan ini bukan kerana usaha mengumpulkan sejuta umat tetapi persolannya ialah sifatnya yang mungkin mengancam usaha-usaha keharmonian hubungan antara agama di negara ini," ujarnya yang juga Pengerusi Dialog Antara Agama Rantau Asia Tenggara kepada Harakahdaily.

Beliau menggariskan lima alasan untuk berasa khuatir dalam konteks hubungan antara agama di negara ini.

Katanya, perhimpunan itu diadakan dalam suasana hubungan antara agama di negara ini dalam keadaan rapuh dan apa sahaja suasana permusuhan tidak akan membantu usaha usaha mewujudkan keharmonian hubungan antara agama di negara ini.

Di samping itu, ujarnya perhimpunan itu dikhuatiri akan dieksploitasikan oleh pihak tertentu yang sememangnya mahu mencetuskan keadaan tegang dalam hubungan antara agama.

"Lebih buruk ia dikhuatiri satu perancangan jahat yang menjadi agenda parti yang terdesak untuk terus berkuasa dengan cara mencetuskan ketegangan," ujarnya yang juga AJK PAS Pusat.

Selain itu, tambahnya dikhuatiri nama baik Islam tercemar dan sekaligus membawa imej Islam sebagai agama permusuhan dan menggalakkan benci membenci antara satu sama lain.

Baginya, tema memelihara aqidah tidak salah tetapi mempersoalkan apakah dengan sekadar perhimpunan akan menyelesaikan masalah.

Bukankah, katanya dialog antara agama adalah lebih berkesan untuk menegaskan sikap Islam kepada pemurtadan dan isu-isu sensitif yang lain.

"Dan akhirnya saya merakamkan rasa kesal saya terhadap pihak polis yang double standard memberikan permit dalam perhimpunan ini dan melarang Bersih untuk berhimpun dalam bilangan peserta yang lebih kecil.

"Jelas ia satu sikap yang di bawah telunjuk pihak tertentu,"
katanya.

Ulasan GB

Sebelum ini pun GB sudah pertikaikan sikap double standard polis. Bagaimana mereka begitu keras menghlang pemberian permit kepada perhimpunan Bersih 2.0 yang lalu di atas pelbagai alasan seperti keselamatan, kesesakan dan bermacam-macam lagi. Tetapi bahi HIMPUN, semua alasan sudah tidak ada lagi, terus dapat permit.

Kedua, kita pun hairan bagaimana gerombolan yang satu ketika menentang hukum Allah dilaksanakan tiba-tiba kini bergegak gempita nak berhimpun mempertahankan aqidah umat Islam?

Sedangkan perjuangan menegakkan hukum Allah itu sendiri adalah sebahagian dari impilikasi daripada aqidah?

Alangkah hipokritnya mereka!

Bekas Juara Formula1, Jody Scheckter Gesa Anaknya Tinggalkan Perlumbaan IndyCar

Posted: 19 Oct 2011 05:35 AM PDT

Las Vegas: Kematian Dan Wheldon (gambar kecil) dalam tragedi perlumbaan Ahad lalu bagaikan tidak boleh dielakkan.

Pemandu dari Britain itu sedang bersaing untuk memenangi perlumbaan yang menawarkan hadiah cepumas sebanyak AS$5 juta dalam perlumbaan Indy 300 Las Vegas apabila kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan nyawa pemandu berusia 33 tahun itu.

Wheldon, yang pernah menjadi juara dua kali Indianapolis 500, gagal menjadi pemandu sepenuh masa pada kempen musim ini.

Barangkali telah menjadi suratan, beliau mengambil bahagian kerana ketua IndyCar, Randy Bernard, menawarkan AS$5 juta untuk pemandu bukan sepenuh masa untuk turut mengambil bahagian.

Ayah dua anak, Wheldon memulakan perlumbaan pada kedudukan ke-34 dan kemudian berada di tempat ke-24 pada pusingan ke-13 apabila sebanyak 15 kereta terlibat dalam nahas yang mengerikan itu.

Kereta yang dipandu oleh Wheldon tercampak tinggi sehingga ke kawasan pagar keselamatan sebelum ia terhempas semula ke litar perlumbaan.

Beberapa jam sebelum insiden itu, Wheldon telah mencapai persetujuan untuk mengambil alih tempat Danica Patrick dalam perlumbaan Andretti Autosport pada musim akan datang.

Beberapa pakar menegaskan bahawa perlumbaan itu tidak seharusnya dianjurkan.

Bekas juara Formula Satu, Jody Scheckter, menyifatkan perlumbaan ini sebagai perlumbaan tidak siuman.

Bahkan, beliau menggesa anaknya, Tomas, meninggalkan perlumbaan IndyCar.

'Ia adalah perlumbaan kereta yang paling berbahaya. Saya harap insiden ini akan memberikan kesedaran kepada anak saya dan ada banyak perkara yang boleh dilakukan daripada perlumbaan ini.'


Tetapi Tomas tetap menegaskan: 'Saya akan meneruskan perlumbaan ini. Tetapi saya akan menggesa para pemandu lain supaya hadir apabila peraturan perlumbaan ini dibuat nanti.

'Kami tahu tentang risiko perlumbaan ini tetapi kami tidak mahu melakukan sesuatu yang bodoh semata-mata untuk hiburan.'

Perlumbaan Formula Satu tidak selaju perlumbaan IndyCar. Bayangkan, Fernando Alonso menjuarai perlumbaan Grand Prix Formula Satu British dengan purata kelajuan 207.6 kilometer satu jam.

Sejauh ini, empat pemandu perlumbaan IndyCar telah terkorban sejak kematian Ayrton Senna di Imola pada 1994.

Bekas pelumba IndyCar, Mark Blundell, berkata: 'Apabila kereta anda terlalu hampir dengan kereta-kereta lain, nahas bagaikan tidak boleh dielakkan jika sesuatu terjadi dalam perlumbaan tersebut.' - Reuters.

[Bergambar & Video] Kecelakaan Babitkan 15 Kereta Lumba IndyCar, Seorang Maut
Sila klik imej bawah

Wheldon


Dungun Lagi: 3 Lelaki Dihadapkan Ke Mahkamah Hari Ini Kerana Rogol Pelajar

Posted: 19 Oct 2011 04:19 AM PDT

Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Seysen Kuala Terengganu hari ini atas kesalahan merogol seorang remaja perempuan bawah umur di Dungun.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan dipercayai merogol secara bergilir-gilir seorang pelajar perempuan sekolah menengah di sebuah rumah kosong di Kampung Alor Mak Bah minggu lepas.

Sebelum kejadian, mangsa, 13 tahun dikatakan keluar rumah kira-kira jam 8.15 malam untuk membeli air minuman dan ubat di sebuah kedai runcit berdekatan rumahnya.

Bagaimanapun, selepas kesucian gadis remaja yang sedang menuntut di tingkatan satu dinodai oleh remaja lelaki bernafsu syaitan berkenaan, mangsa dikatakan ditinggalkan di sebuah pondok di tepi jalan dekat Nibong sebelum ditemui penduduk kampung yang bertindak menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan gadis berasal dari Gong Pasir itu.

Berikutan laporan yang diterima di Balai Polis Dungun berkaitan kejadian terbabit, polis melancarkan gerakan memburu suspek disyaki.

Hasilnya, beberapa suspek berusia antara 19 hingga 22 tahun ditahan dalam lima serbuan berasingan di Kampung Alor Mak Bah kerana disyaki terlibat merogol pelajar yang difahamkan bersekolah di Sekolah Menengah Balai Besar itu.


Tak Cukup SKMM, Polis Pula Tekan Aziz Bari Di Bawah Akta Hasutan

Posted: 19 Oct 2011 02:27 AM PDT

Profesor Dr Abdul Aziz Bari dipanggil untuk memberi kenyataan kepada polis berkaitan pandangan beliau tentang titah Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama baru-baru ini.

Aziz (gambar) yang dihubungi memberitahu bahawa beliau telah dihubungi polis Shah Alam semalam dan diminta untuk hadir memberi kenyataan berhubung isu tersebut di bawah Akta Hasutan.

"Saya ada dipanggil polis semalam, mereka mahu menyiasat saya di bawah Akta Hasutan . . . saya akan pergi bersama peguam saya hari ini," kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa ini kepada The Malaysian Insider.

Kelmarin beliau diambil kenyataan oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia berhubung isu yang sama ekoran satu laporan yang telah dibuat Jumaat lalu.

Minggu lalu, beberapa pihak membuat laporan ke atas Aziz.

Antaranya, Senator Ezam Mohd Nor menggesa agar portal berita MalaysiaKini dan Aziz disiasat dibawah Akta Hasutan 1948 atas alasan mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama.

"Aziz Bari telah berlaku biadap dan derhaka kepada Institusi Raja Melayu dengan menghasut orang ramai untuk membenci institusi Raja-raja Melayu.

"Kenyataan Aziz ini dikeluarkan oleh laman portal MalaysiaKini," kata Ezam selepas membuat laporan polis di Shah Alam.

Katanya, Aziz dan MalaysiaKini menunjukkan sikap biadap, kurang ajar, dan melampaui batas yang dipercayainya perbuatan terancang dan mempunyai agenda jahat disebaliknya.

Aziz dipetik berkata tindakan Sultan Selangor untuk campur tangan berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja itu bukan sesuatu tindakan yang biasa terjadi.

Menurutnya, sebagai ketua agama Islam di negeri itu, baginda mempunyai hak untuk campur tangan tetapi ini perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

Beberapa Ahli Parlimen juga membidas Aziz kerana kenyataannya ketika menyertai perbahasan di Dewan Rakyat. -TMI

Ulasan GB

Masing-masing nak tunjuk kuasa sekarang nak pulas telinga Aziz Bari.

Tak cukup dengan SKMM, kini polis pula melakukan siasatan ke atasnya di bawah Akta Hasutan.

Entah ayat yang mana dikatakan menghasut di dalam kenyataan Aziz kita pun pelik.

Lebih pelik lagi polis dilihat mengambil sikap berpilih di dalam tindakan mereka.

Berapa banyak laporan polis dari mereka yang tidak berpihak kepada kerajaan dan UMNO BN tetapi tidak pernah disiasat oleh polis?

Kenyataan-kenyataan berbaur perkauman yang lantang disuarakan dan ditulis oleh mereka dari kalangan yang menyokong kerajaan tidak disentuh malah adakalanya diberikan perlindungan. Sampaikan tulisan "parang sudah diasah" pun boleh didiam dan dibiarkan hanya semata-mata kerana ianya dilakukan oleh mereka yang pro-UMNO.

Tidak mengapa. Hukum kebenaran akan mengambil tempat di akhirnya. Tindakan polis yang pilihkasih dan berpihak itu akan dihukum oleh rakyat dengan mengalahkan UMNO BN di dalam pilihanraya akan datang.

Dan pembersihan terhadap agensi/institusi kerajaan terutama polis akan dilakukan sejurus itu supaya mereka bertindak dengan lebih profesyenal, bukan dengan dipengaruhi sentimen sehingga dilihat oleh rakyat, mereka hanya diperkudakan oleh kerajaan yang sedia ada.

Tiada ulasan: