Kelab Greenboc |
- Mat Indera Telah Mati Untuk Jawab Kata Nista UMNO Terhadapnya
- HIMPUN: PAS Pusat Belum Buat Keputusan, Pemuda PAS Pula Sudah Umum Sertainya
- Bayi Ditemui Mati Dikelar Di Asrama Sekolah
- 8 Kenderaan Berlanggar, 19 Cedera Dalam Kemalangan Di Seremban
- Diam-diam TM Sudah Kenakan Cukai 6% Sejak Mac
- ‘Ini Ujian ALLAH Menguji Keimanan Kami’ - Komuniti Islam Thailand Hadapi Banjir
- Hanya Zaman Najib Laporan Audit Tidak Diserahkan Kepada Ahli Parlimen
- Gagal Halang Mat Sabu & Guan Eng, Rumah YDP PAS Segamat Disimbah Cat Merah
- "Buang Saja Undi Pos, Ia Tak Mustahak Lagi" - Bekas Tentera Komando
- Menara Jam Di Mekah Rekaan Anak Malaysia
Mat Indera Telah Mati Untuk Jawab Kata Nista UMNO Terhadapnya Posted: 18 Oct 2011 12:55 AM PDT Serangan ke Jantung UMNO Oleh Hasmi Hashim Belanjawan 2012 yang dibentang Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada sebelah siang, tidak mengalih pandangan untuk perbincangan soal sejarah yang sekian lama dimanipulasi sebagai alat parti pemerintah. Lebih 120 orang memenuhi ruang dewan yang sepatutnya hanya mampu memuatkan 100 orang sahaja. Rata-rata adalah anak muda selain tokoh politik dan ahli akademik. Memandang keadaan dan minat yang tak pernah terasa begini hebat, terutama sejak Reformasi 1998, subjek sejarah kini menjadi hantu yang bergantayangan di kepala pemerintah. "Mampukah sejarah menumbangkan UMNO-BN?" begitu soalan yang kemudiannya menyusul. Terlebih dahulu saya siapkan halaman karangan yang dibahagi-bahagikan kepada hadirin yang hadir. Allahyarham Mat Indera tak ada peluang menjawab satu pun tuduhan dan kata nista yang dilempar kepadanya. Walaupun beliau punya tempoh setahun terdekam dalam penjara - ditangkap pada 1952 sebelum digantung mati pada 1953 - beliau tetap tak mahu tunduk sujud di bawah telapak duli Inggeris. Betapa pun batang tubuhnya diseksa. Orang yang tak pernah dizalimi, mungkin tak mengerti apa artinya kezaliman; namun aneh andai anak bangsa yang pernah ditindas penjajahan, tak merasa peri-perihnya penjajahan. Sungguh tak dapat dimengertikan bagaimana segelintir orang akademik bergelar "profesor" terbelit dengan persoalan mainan istilah dan semantik sehingga ketepi kenyataan bahawa bangsanya pernah dijajah. Hal ini jadi bahan tawaan orang apabila penyataan "Malaysia tak pernah dijajah" dihembur tanpa bukti kajian dan jilid ilmiah terperinci untuknya. Ia hanya dilontar dalam satu sidang media Majlis Profesor Negara (MPN) dan disusuli satu-dua forum awam. Tujuannya pula lebih hanya untuk meyakinkan rakyat dalam jangka masa pendek; bukan menyatakan kebenaran dan perincian fakta sejarah yang sesungguh-sungguhnya. Dalam kata lain, MPN melalui dua-tiga orang profesor yang bersekongkol menyatakan "Malaysia tak pernah terjajah" lebih berperanan sebagai "orang politik". Bukan sebagai juru akademik dan ilmuan. Sidang media oleh MPN berhubung isu itu diadakan pada 9 September 2011. 12 hari kemudian, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pun dihadap ke mahkamah, atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam. Bukan kelaziman polemik sejarah jadi perbicaraan mahkamah. Apakah yang sangat ditakuti dengan kenyataan daripada isi ceramah Mat Sabu? Atau mengapa ada yang begitu gementar dengan Mat Indera; seorang lelaki guru agama kelahiran Batu Pahat, Johor yang menganggotai sayap Angkatan Pemuda Insaf (API)? Di bawah direkodkan kembali sepotong kenyataan media oleh MPN yang barangkali boleh membuka kotak pandora untuk menjawab soalan-soalan di atas: Golongan kiri atau radical dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ingin menentang dengan kekerasan kerana mereka adalah terpengaruh dan terikut dengan gerakan anti-penjajahan Indonesia terutama oleh Sukarno dan Hatta. Sejak sekian lama, murid-murid sekolah diajarkan bahawa Malaysia mencapai kemerdekaan dengan "jalan rundingan". Tunku Abdul Rahman diangkat sebagai Bapa Kemerdekaan. Tunku adalah Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Sejak 1957, UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah perikatan tunggal yang memerintah. Parti itu jua yang dikatakan memperolehi kemerdekaan dari Inggeris, dengan jalan rundingan: "merdeka cara aman". Keperluan menyokong UMNO-BN pada hari ini bukan sahaja kerana UMNO-BN telah berjasa memerdekakan tanahair, tetapi kemerdekaan itu tanpa tumpah darah - di sinilah titik khianat di dalam sejarah yang dipertahan segelintir orang itu. Biar bagaimanapun bobrok kepimpinan elitnya, atau dasar-dasar yang sudah tidak sesuai dengan zaman, namun, tetap UMNO-lah yang harus didukung kerananya Malaysia merdeka. Gambaran ini berderai apabila muncul nama Mat Indera. Di belakang nama Mat Indera, tak dapat ditutup lagi hakikat ada pertubuhan dan parti lain, selain UMNO, yang dibentuk lebih awal daripada UMNO, yang, berjuang untuk memerdekakan Tanah Melayu. Parti-parti seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Hizbul Muslimin diharamkan Inggeris - bagaimanakah Inggeris boleh mengharamkan parti-parti ini kalau bukan Inggeris yang berkuasa? Ini juga satu bukti bahawa tak punya beza pengertian antara "tanah lindungan" dengan "tanah jajahan" macam yang didakwa. Yang dibenarkan bergerak hanya UMNO: sebuah parti yang ditubuhkan selepas Perang Dunia ke-2, iaitu tempoh waktu untuk "menyambut" kedatangan Inggeris kembali ke Tanah Melayu. Orang Melayu sebagai kaum majoriti haruslah disatukan di bawah satu pertubuhan politik bagi tujuan itu. Onn Jaafar, si pendiri UMNO, juga akhirnya terhindar keluar apabila beliau melihat bahawa gagasan parti satu kaum akan mendatangkan mudarat bagi masa hadapan Tanah Melayu. Terutamanya selepas merdeka. Buah fikiran parti pelbagai kaum, bukan idea Inggeris; tidak cocok dengan Inggeris, dan kerana itu Dato' Onn harus dikesamping daripada barisan elit UMNO. Malayan Union digemparkan untuk ditubuhkan. Berserta itu, orang-orang Melayu ditakut-takutkan. Terasa pula bahawa Inggeris seakan tidak serius. Inggeris-dengan segala kekuatan yang ada padanya- boleh sahaja meneruskan gagasan Malayan Union kalau mereka mahu; kala mana kuasa sultan-sultan Melayu berada dalam keadaan cukup lemah. Namun kenyataan sejagat pertengahan abad 20 ialah memiliki wilayah jajahan bukan lagi keutamaan mana-mana empayar Eropah. Ketika sama, Barat sudah cukup matang wacananya mengenai imperialisme, kebebasan, hak-hak asasi manusia dan kerakyatan. Daripada perspektif dan latar ini, mencanangkan Malaya Union tak lebih hanya justifikasi agar UMNO (parti anak emas Inggeris) itu jadi releven. Sementara di mata "golongan kiri", tanpa atau dengan Malayan Union, Inggeris tetap penjajah yang harus dihalau. Pengalaman Indonesia tentulah munasabah untuk dijadikan contoh rujukan. Indonesia merdeka dan terbangun sebagai sebuah negara-bangsa pada 1945; 12 tahun lebih awal daripada kemerdekaan Tanah Melayu. Entah apa yang dimaksudkan "radikal" sepertimana dalam kenyataan media MPN, kalau bukan sebermula kenyataan API iaitu "merdeka dengan darah", yang turut dipetik daripada perjuangan nasionalis sebelum Indonesia merdeka. Ia, sesungguhnya lebih awal dari itu… Saudara Syed Shahir mengutarakan pandangan ketika sesi soal jawab. Kemerdekaan India - satu lagi koloni Inggeris - adalah kemerdekaan yang datang daripada semangat penentangan sama, iaitu menolak kerjasama dengan penjajah. India merdeka pada 1947. Mahatma Ghandi, pejuang dan bapa pendiri India berslogan "lakukan atau mati", yang menjadikan sosok tubuhnya sebagai "senjata". Yang dimaksudkan sebagai "lakukan" ("do") adalah "merdeka". Demikian sembang-sembang mengenai "siapa Mat Indera" membuka selera dan semangat baru kepada kita hari ini untuk selidiki lebih mendalam mengenai sejarah bangsa berhubung perjuangan kemerdekaan. Adalah sesuatu yang angkuh bila dikatakan kesedaran kemerdekaan di Tanah Melayu terputus dengan kesedaran di negeri-negeri lain yang sama terjajah, sama ada Indonesia (Belanda), Filipina (Sepanyol) mahupun India (Inggeris), misalnya. Sendal-sendal dan alang-alang sejarah aliran pemerintah pun ada yang mulai patah. UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerintah negara ini sejak merdeka, dan sejak itu tak pernah sekalipun anak watan dapat melihat sejarah daripada versi yang bukan versi pemerintah UMNO-BN. Catatan dan buku-buku sejarah yang bukan ditulis dan diterbitkan pemerintah, dianggap tidak berwibawa meskipun ditulis oleh individu pencipta sejarah itu sendiri. Misalan yang ada ialah buku Merintis Jalan Ke Puncak, iaitu memoir Ahmad Boestaman. Buku 188 muka surat ini pertama kali diterbitkan oleh Penerbitan Pustaka Kejora pada 1972. Sejak penerbitan sulung, tidak ada usaha untuk ulang terbitkannya kembali. Di dalam buku itu, turut diceritakan bagaimana PKMM yang mulanya salah sebuah badan gabungan UMNO, keluar daripada UMNO kerana ingin menentukan lambang atau bendera UMNO. Persoalan yang timbul bukanlah tertumpu sangat kepada Sang Saka Merah Putih sepertimana yang dicadangkan oleh KMM, tetapi sistem undian yang memberi hak satu badan dengan dua undi; tanpa mengira kecil atau besar sesuatu pertubuhan berkenaan. Cadangan PKMM, kalah dengan hanya satu undi. Sidang pertama UMNO itu diadakan di Ipoh, Jun 1946. Maka tidak hairan, bagaimana asas bendera UMNO sepertimana yang wujud hari ini adalah daripada Sang Saka Merah Putih, sama seperti bendera Indonesia. Sama juga seperti bendera PAS mahupun bendera Republik Singapura. Hanya bendera UMNO dibubuh lingkung bulat kuning yang di tengahnya diletakkan imej keris tanpa sarung. UMNO adalah parti aliran kanan. Sebuah parti perkauman yang tidak menjadikan slogan "merdeka" sebagai slogan awal mereka. Slogan awal UMNO ialah "hidup Melayu". Slogan merdeka dibawa awal oleh parti-parti kiri, termasuklah PKMM. Hanya selepas mendapati ada ruang di mana Inggeris mahu memberikan kemerdekaan ke atas Tanah Melayu, barulah UMNO mengguna-pakai slogan merdeka sebagai slogannya. Dengan yang demikian, tidakkah UMNO secara tak sedar menerima dan mengakui bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan itu adalah kesedaran awal oleh parti-parti dan tokoh-tokoh lain di luar UMNO? Begitulah sejarah yang jelas nyata ini tak juga selesai, demi survival UMNO khususnya. Atas sebab itu jualah, nama pejuang seperti Mat Indera begitu ditakuti. Membuka kenyataan sejarah ini bakal menjadikan teras sejarah UMNO terbongkar dan tercabut. Kesannya psikologinya ialah, generasi muda takkan lagi terasa terhutang budi untuk terus menyokong sebuah parti yang memerintah Malaysia sekian lama. Mat Indera bukan hanya telah menyerang Bukit Kepong, sepertimana 61 tahun lalu. Dia juga kini sedang menyerang titik tengah kekuatan parti pemerintah. Kepada UMNO, barangkali keadaan inilah yang paling ditakutinya. *Karangan ini asalnya adalah bahan bacaan sisipan bertajuk Siapa Takut dengan Mat Indera? yang disediakan untuk forum awam "Malaysia dan Sejarah yang Belum Selesai" anjuran Akademi Pak Sako di Hotel Quality, Shah Alam pada 7 Oktober 2011 (Jumaat), jam 8 malam. **Hasmi bin Hashim, 35 - seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Budi Hekayat. |
HIMPUN: PAS Pusat Belum Buat Keputusan, Pemuda PAS Pula Sudah Umum Sertainya Posted: 17 Oct 2011 10:45 PM PDT Pemuda sokong sertai Himpunan Sejuta Umat, pendirian PAS malam ini Sementara PAS Pusat hanya akan mengadakan mesyuarat khas malam ini membincangkan penyertaan dalam Himpunan Sejuta Umat (Himpun), sayap pemuda itu menyokong perhimpunan tersebut yang bermatlamat mahu menegaskan pendirian mempertahankan akidah Islam dengan memfokus isu murtad. Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan berkata, pihaknya akan memberi sokongan sebagaimana diperlihatkan ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. Semalam, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman berkata, kepimpinan pusat akan mengadakan mesyuarat khas malam ini dan keputusan itu akan menentukan sama ada mereka akan menyertai Himpunan yang akan diadakan di Stadium Shah Alam, Selangor Sabtu ini. "Dewan Pemuda PAS Malaysia mengambil pendekatan serupa sewaktu menyokong gabungan lebih 60 buah NGO Bersih 2.0 yang berjuang menuntut pemulihan sistem demokrasi dan pengurusan pilihan raya negara kita. Pemuda PAS bersama dengan himpunan dan denyut nadi puluhan ribu rakyat pada 9 Julai yang lalu. "Insya-Allah, saya dan rakan-rakan Dewan Pemuda PAS mengambil sikap yang sama terhadap Himpunan Sejuta Umat pada 22 Oktober kelak," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini. Nasrudin menambah, "semoga himpunan tersebut berjaya mencapai matlamat dan menepati objektif yang digariskan bersama berkat dan rahmat Allah." "Sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada semua NGO Islam yang terlibat. "Kami Pemuda PAS senantiasa bersama anda semua dalam meneruskan cita-cita perjuangan Islam dan mempertahankan akidahnya di bumi bertuah ini," katanya lagi. Menurut Nasrudin, Himpun hasil gabungan besar yang mencecah 1,000 NGO Muslim adalah julung kali dianjurkan di negara ini, bakal menyatukan pelbagai lapisan umat Islam. Semalam, PAS Selangor berkata akan hanya menyokong Himpunan Sejuta Umat jika penganjurannya bertujuan memantapkan akidah umat Islam dan bukannya menimbulkan ketegangan agama di negara ini. Dr Rani, yang juga Adun Meru berkata, PAS berharap penganjuran himpunan itu tidak dijadikan agenda politik yang bertujuan menyerang kerajaan Pakatan Rakyat. "Sebarang usaha untuk melaga-lagakan antara penganut-peganut pelbagai agama dengan tidak terdapat sebarang bukti kesalahan yang diputuskan di mahkmah perlu dijauhi. "Tindakan seperti ini hanya bertujuan untuk menutup masalah yang menimpa umat Islam, di mana akidah mereka dicemari oleh fahaman sekularisme dan sebagainya dan sebaliknya meletakkan kesalahan itu kepada pihak lain," kata beliau dipetik laporan media. -TMI Ulasan GB Pendirian Pemuda PAS semakin pelik. Setiap kali sesuatu isu timbul, Pemuda PAS akan terburu-buru membuat pendirian sekalipun PAS Pusat belum pun memberikan lampu hijau atau membuat kata putus mengenainya. Sikap yang ditunjukkan oleh Ketua Pemuda PAS itu tidak mengikut kaedah 'Amal Jamaiyy' dan bertentangan dengan Fiqh al-Harakah. Mana mungkin anda boleh mmbuat dan menentukan keputusan sebelum PAS Pusat mengizinkannya? Sekalipun ada kemungkinan PAS Pusat akan membuat keputusan malam ini membenarkan ahli PAS menyertainya, Pemuda PAS tetap bersalah kerana telah melanggar adab dan akhlak tanzim. Kekalahan Perang Uhud tidak dijadikan pelajaran. Seperkara lagi, Himpunan Sejuta Umat tidak boleh samasekali disamakan dengan Himpunan Bersih 2.0. Himpunan Sejuta Umat ada motif tersirat disebaliknya. Permit polis begitu mudah diperolehi. Sedangkan permit Bersih dulu tidak diberikan. Mengapa? Tidak mungkin polis boleh memberi permit begitu mudah kepada Himpunan Sejuta Umat jika ia tidak memberikan apa-apa menafaat kepada pihak tertentu. Hanya jauhari mengenal mutu manikam! Pergilah berarak bersama-sama UMNO, Perkasa, Zul Noordin dan sekalian watak-watak yang menentang PAS selama ini. Apakah PAS bakal terperangkap lagi dengan kebodohan Pemuda PAS seperti isu kenyataan Hassan Ali menyokong tindakan JAIS dan kes Hantu Bonceng? GB teringat kata-kata Presiden PAS satu ketika dulu: "Jika mereka mahu kepada Islam merekalah yang perlu masuk ke dalam saf kita, bukan kita berpaling ke arah mereka." Di dalam isu murtad, kristianisasi dan seumpamanya GB sudah ulas sebelum ini. Petikan: .... "kemenangan" Islam ke atas agama lain ialah "hujjah". Bukan kerana tekanan, bukan disebabkan tunjuk perasaan, bukan dengan demonstrasi, bukan juga dengan undang-undang. |
Bayi Ditemui Mati Dikelar Di Asrama Sekolah Posted: 17 Oct 2011 08:58 PM PDT Betong: Seorang bayi perempuan yang dipercayai dilahirkan kurang daripada 24 jam lalu, ditemui mati dengan kesan kelaran di bilik asrama perempuan sebuah sekolah menengah, di sini, Isnin. Gambar: ANGGOTA polis membawa mayat bayi perempuan yang dikelar sehingga mati oleh seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Betong. (17/10/2011) -hm Pemangku Ketua Polis Daerah Betong ASP Hendry Nyuhai berkata susulan kejadian itu, polis menahan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun pada 9.15 pagi tadi bagi membantu siasatan. "Selepas menerima laporan daripada pihak sekolah, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Betong ke lokasi kejadian dan menemui seorang bayi perempuan yang sudah meninggal dengan beberapa kesan luka di bahagian leher, perut dan belakang badan," katanya kepada Bernama, di sini. Beliau berkata mayat bayi malang itu ditemui terbaring bersebelahan katil pelajar perempuan berkenaan. Katanya polis turut merampas sebilah pisau yang ditemui disorokkan dalam selimut di tempat kejadian. Pelajar perempuan itu dihantar ke Hospital Umum Betong bagi mendapat rawatan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -BERNAMA |
8 Kenderaan Berlanggar, 19 Cedera Dalam Kemalangan Di Seremban Posted: 17 Oct 2011 05:50 PM PDT Seremban: "Apabila tiba di lampu isyarat itu, saya terkejut mendengar bunyi dentuman kuat dan ternampak sebuah kereta Proton Iswara 'terbang' menghempap bumbung kereta lain," kata Rizal Adnan, 20, saksi kemalangan membabitkan lapan kenderaan di persimpangan lampu isyarat Taman Bukit Emas, di sini, semalam. Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Senawang dan terkejut menyaksikan kejadian ngeri itu. Rizal berkata, dia bergegas ke tempat kejadian dan melihat pemandu kereta Mercedes Benz yang merempuh deretan kenderaan itu tersepit di tempat duduk pemandu. "Saya bersama orang awam lain cuba mengeluarkannya, namun kehadiran bomba di tempat kejadian tepat pada masanya," katanya. Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, pemandu Proton Iswara itu bagaimanapun terselamat daripada maut walaupun keretanya rosak teruk. Kemalangan itu turut membabitkan enam kereta, sebuah van sekolah dan sebuah lori. Kenderaan berkenaan berada di laluan bertentangan sebelum dirempuh kereta jenis Mercedes Benz terbabit dipercayai dipandu laju dari Jalan Seremban-Tampin, di sini. Difahamkan, akibat kesan hentaman kuat itu, lima mangsa di dalam kereta berasingan cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) untuk menerima rawatan. Berikutan kemalangan terbabit, laluan Senawang ke Seremban berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di sini sesak sepanjang tiga kilometer. Jurucakap polis berkata, kemalangan berlaku dari arah Senawang menghala ke Seremban membabitkan 19 mangsa berusia 20-an hingga 40-an. Difahamkan, 14 mangsa lain yang turut berada di dalam kenderaan tidak cedera. "Siasatan awal mendapati Mercedes Benz dipandu lelaki berusia 62 tahun itu tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum menghentam kenderaan lain," katanya. Menurutnya, kejadian itu menyebabkan enam kenderaan lain tidak sempat menekan brek berikutan jarak antara kenderaan terlalu dekat dan terkejut melihat sebuah kereta melambung tinggi sebelum 'terbang' ke atas dua kereta lain di laluan bertentangan. Katanya, pemandu kereta Mercedes Benz itu tersepit di tempat duduk pemandu dan orang ramai terus menghubungi balai bomba berdekatan. Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Seremban, S Gunaselan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.33 pagi. "Tiga jentera bomba dari Balai Bomba Seremban bersama 18 anggota dan pegawai tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian. "Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit mengeluarkan mangsa tersepit berikutan kenderaan bertindih dengan sebuah kereta Proton Iswara," katanya. -hm |
Diam-diam TM Sudah Kenakan Cukai 6% Sejak Mac Posted: 17 Oct 2011 04:52 PM PDT Para pengguna telefon, khususnya pelanggan-pelanggan Telekom Malaysia Berhad (TMB) yang mendapatkan perkhidmatan komunikasi dan multimedia di negara ini, mungkin tidak menyedari cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 6 peratus sudahpun dikenakan ke atas mereka sejak bulan Mac lalu. Meskipun terdapat kenyataan daripada pihak TM yang mengatakan pengguna Unifi dan Streamyx akan dikenakan cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 6 peratus mulai 1 Januari 2012 nanti, kenyataan tersebut ternyata meleset. Seorang pelanggan TMB, Rizal Ibrahim, 37, dari Damansara Damai, Selangor, menjelaskan, kenyataan itu boleh dibuktikan menerusi bil yang diterima pada bulan Mac lalu khususnya bagi bil bulan Februari 2011. Menurut beliau, perkara itu disedari setelah beliau meneliti bil TMB yang diterimanya pada bulan Mac lalu yang didaftarkan atas nama isterinya, Rosyati Omar bagi mendapatkan perkhidmatan telefon dan multimedia daripada syarikat itu. Katanya, beliau amat terkejut apabila menyedari perkara itu kerana sebelum itu para pelanggan hanya dikenakan cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 5 peratus sahaja. (Gambar atas) "Ini menunjukkan cukai tersebut telah dinaikkan dalam diam. Untuk menyembunyikan cukai sebanyak 6 peratus itu pula, ia tak ditulis di bahagian depan bil seperti sebelumnya, tetapi di bahagian belakang bil, manakala di bahagian hadapan hanya ditulis dikenakan cukai perkhidmatan kerajaan sahaja," katanya ketika menghubungi Harakahdaily. (Gambar bawah) Harakahdaily pada 11 Oktober lalu melaporkan, pengguna Unifi dan Streamyx akan dikenakan cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 6 peratus mulai 1 Januari 2012 nanti. Berdasarkan laporan sebuah blog really.tigaline.com, perkara itu disahkan sendiri oleh operator TM net yang ditugaskan untuk melayan pertanyaan pelanggan-pelanggan mereka. Blog itu telah menyiarkan rakaman perbualan dengan operator TM bagi membukti perkara itu. Ini bermakna hanya cukai prabayar sahaja yang ditangguhkan oleh kerajaan ekoran bantahan yang dibuat oleh rakyat Malaysia baru-baru ini. 12 September lalu, media melaporkan, cadangan pelaksanaan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar yang dijadualkan mulai 15 September ditangguhkan sehingga kajian mengenainya selesai. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, keputusan tersebut dicapai setelah kementeriannya mengadakan pertemuan bersama empat pengendali utama telekomunikasi di negara ini. "Perundingan yang melibatkan pengurusan utama Celcom, Maxis, Digi dan U-Mobile itu berlangsung dalam suasana cukup baik dan kesemua mereka telah bersetuju untuk menangguhkannya dan tidak dilaksanakan seperti yang diumumkan sebelum ini. "Mereka menerima baik nasihat kementerian, pandangan kerajaan serta sentimen yang dilahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut di Angkasapuri, di sini, pada hari itu. Antara yang hadir dalam pertemuan tersebut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly; CEO Kumpulan Maxis, Sandip Das; CEO Kumpulan Digi, Henrik Clausen dan CEO U-Mobile, Dr. Kaizad Heerjee. Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Rizal berkata, beliau amat kesal dengan tindakan pihak TMB kerana menaikkan cukai tersebut tanpa dimaklumkan secara rasmi kepada para pelanggannya terlebih dahulu. "Selain itu, tindakan tersebut telah dilakukan lebih awal dari yang dinyatakan itu sehingga menyebabkan para pelanggan keliru dan tertipu dengan realiti sebenar," katanya yang juga seorang peniaga. -HD |
‘Ini Ujian ALLAH Menguji Keimanan Kami’ - Komuniti Islam Thailand Hadapi Banjir Posted: 17 Oct 2011 10:35 AM PDT Bangkok - Komuniti Islam di wilayah Nonthaburi adalah antara paling teruk terjejas selepas banjir besar menenggelami sebahagian daripada Thailand, tetapi jauh sekali untuk merungut, kebanyakan penduduk menganggapnya sebagai cara Tuhan menguji ketahanan mereka. "Kami anggap ini sebagai ujian ALLAH untuk melihat betapa kuatnya kami dan bagaimana kami mampu mengharungi bencana ini," menurut ketua sebuah kampung di Tha It, Sompol Larnthong kepada akhbar Bangkok Post. Daerah Tha It di Nonthaburi, wilayah yang terletak bersebelahan dengan Bangkok mempunyai penduduk seramai 14,542 orang dan dikelilingi dua laluan air utama, iaitu Sungai Chao Phraya di timur dan Terusan Bang Bua Thong di utara. "Semasa banjir tahun lalu, air mencecah paras lutut tetapi kali ini, ia mencecah paras dada di sesetengah tempat," menurut pegawai daerah Tha It, Sawad Thinkham. Kedalaman banjir itu menyebabkan penduduk Islam di kawasan tersebut tidak dapat mengunjungi masjid yang turut ditenggelami air. "Banjir ini bukan salah sesiapa. Kami tidak mempersalahkan mana-mana pihak," kata Sompol dan dipersetujui ramai penduduk Tha It, di mana 2,000 rumah di lima kampung terjejas akibat banjir terburuk dalam tempoh 50 tahun di negara itu. Namun, walaupun penduduk Islam di Thailand menerima bencana itu dengan redha, mereka tetap mengharapkan lebih banyak bantuan daripada kerajaan pimpinan Yingluck Shinawatra. "Buat masa ini, kami memerlukan kenderaan seperti bot yang boleh membawa orang ramai dari rumah mereka ke tempat kerja dan jika boleh, kami ingin meminta kerajaan membina tembok di sepanjang Sungai Chao Phraya," menurut Sompol. Sehingga kini, air banjir melumpuhkan empat kawasan industri utama di Thailand sehingga menjejaskan pengeluaran dalam negara dan dijangka memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara itu. Sementara itu, kerajaan Thailand, semalam, menyuarakan keyakinan bahawa Bangkok tidak akan terjejas teruk selepas benteng penahan banjir dilihat berfungsi dan paras air di bahagian utara mula menurun. Sistem penghalang banjir termasuk tembok, terusan, benteng dan terowong bawah tanah dibina bagi menghalang air banjir memasuki Bangkok, pusat pentadbiran negara itu yang didiami hampir sembilan juta penduduk. |
Hanya Zaman Najib Laporan Audit Tidak Diserahkan Kepada Ahli Parlimen Posted: 17 Oct 2011 07:48 AM PDT Ketua audit ditekan supaya tapis laporan?' Anggota parlimen Pakatan Rakyat menuntut penjelasan sama ada ketua audit negara ditekan untuk menyunting laporan tahunannya. Menyelar kelewatan penyerahan laporan itu, anggota parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua bertanya sama ada kerajaan takut akan hasilnya. Bercakap di lobi parlimen, Pua berkata, semasa pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, laporan itu dibentangkan sekali dengan belanjawan. "Tahun lalu, laporan audit negara lewat seminggu dan kali ini masih belum dibentangkan di Parlimen. "Saya ulang, adakan sebarang tekanan supaya laporan itu disunting," katanya. Sebelum itu Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) mempersoalkan kelewatan itu dan mahukan penjelasan Timbalan Speaker Ronald Kiandee. Salahuddin berkata, sejak minggu lalu pihaknya sudah bertanya tentang alasan di sebalik langkah yang tidak selalu berlaku itu. -mk Mengapa Laporan Audit Negara masih tidak diserah? |
Gagal Halang Mat Sabu & Guan Eng, Rumah YDP PAS Segamat Disimbah Cat Merah Posted: 17 Oct 2011 07:00 AM PDT Segamat, 17 Okt: Rumah Yang Dipertua PAS Segamat, Firdaus Masood, telah dilontar cat merah dipercayai dilakukan pihak-pihak yang begitu marah setelah merasakan pengaruh mereka tergugat dan tercabar berikutan kehadiran dua tokoh Pakatan Rakyat, baru-baru ini. Kehadiran Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada 10 Oktober dan diikuti dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dua hari kemudian (12 Oktober), benar-benar telah menimbulkan kemarahan pihak-pihak terbabit sehingga bertindak di luar batas moral. Terdahulu dari itu Firdaus turut mendakwa menerima ugutan melalui telefon termasuk membakar pejabatnya jika meneruskan hasrat untuk mengadakan ceramah oleh Mohamad Sabu pada 10 Oktober lalu. Firdaus ketika ditemui di rumahnya kelmarin memberitahu, beliau tidak akan lemah semangat dengan ugutan-ugutan itu sebaliknya akan meneruskan perjuangan untuk menjatuhkan Umno BN Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. "Ugutan dan simbahan cat ini adalah petanda bahawa Umno BN memang dalam keadaan yang sangat terdesak sekarang ini, sebab itu mereka cuba menghalang pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mendedahkan segala kepincangan mereka selama ini. "Mereka cuba menghalang program ceramah kita kerana menyedari Segamat adalah kawasan hitam bagi mereka" katanya. Firdaus yang juga pengamal undang-undang seterusnya menyifatkan, tindakan itu merupakan permulaan kepada cabaran-cabaran yang mungkin lebih besar lagi selepas ini, namun terus bertekad untuk meneruskan perjuangan. "Perjuangan ini akan tetap diteruskan bahkan insiden yang berlaku ini akan menambahkan lagi semangat juang setiap pendukung PAS dan Pakatan Rakyat khususnya di Segamat ini," ujarnya. Ekoran insiden itu, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Segamat, kira-kira jam 1.00 petang kelmarin. Pada satu majlis di Labis, 7 Oktober lalu, seorang petugas Jabatan Amal Johor, Shahril Sulaiman, tercedera dan menerima tujuh jahitan setelah dilontar dengan objek keras ketika cuba menghalang kira-kira 50 penunggang motorsikal yang cuba membuat bising untuk mengganggu majlis tersebut. Sementara itu cubaan untuk mengganggu ceramah Mohamad Sabu di Kampung Tahang Rimau Segamat pada 10 Oktober lalu berjaya digagalkan, kehadiran ratusan petugas Jabatan Amal dan Angkatan Muda Keadilan yang mengawal lalu lintas menyebabkan taktik sama yang cuba dilakukan kumpulan penunggang motosikal untuk membuat bising bagi mengganggu ceramah, tidak menjadi. -HD
|
"Buang Saja Undi Pos, Ia Tak Mustahak Lagi" - Bekas Tentera Komando Posted: 17 Oct 2011 04:57 AM PDT Marang - Salah seorang bekas anggota tentera yang menjadi pengasas pasukan komando Malaysia, menggesa kerajaan memansuhkan undi pos dan memberikan peluang kepada anggota tentera mengundi secara biasa. Haji Tuan Mahmod bin Tuan Baharu (gambar), 73, berkata undi pos sudah tidak mustahak kerana negara Malaysia bukan lagi dalam keadaan darurat. "Saya rasa undi pos ini tidak mustahak dah, (malaysia) bukan dalam darurat, kita dalam aman, kita naik kapalterbang (selama) dua jam (kita boleh) sampai ke Sarawak, "kalau kita (kena) mengundi di Sarawak, kita naik kapalterbang je, apa salah (nya), buang sahaja undi pos itu,"ujarnya ketika ditemui dirumah sewanya di Kampung Sentul patah, disini. Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan 'Ayah Ku', kini adalah ahli Kelab Veteran Komando Ngeri Terengganu. Beliau memulakan kariernya dalam anggota tentera memasuki tentera udara British pada tahun 1955 sehingga tahun 1960. Diantara tahun 1960 hingga tahun 1962, Ayah Ku ditugaskan sebagai tenaga kerahan dalam Unit Keselamatan Kawasan (Areal Security Unit). Kemudian beliau diserapkan kedalam anggota tentera Malaysia pada tahun 1963, sehinggalah bersara pada tahun 1976. Ayah Ku juga mengesahkan dakwaan bahawa bukan anggota tentera yang mengundi bagi pihak diri mereka ketika belaku sesuatu pilihanraya. "bukan (anggota tentera yang mengundi) saya dalam tenetra Malaysia tidak pernah mengundi, tak pernah mengundi, nak kata pangkah macamana, borang (apa-apa) pun saya tak tahu, "orang lain (yang pangkah) kita tak tahu, macamana kita 'merendek' dalam hutan (nak pangkah macamana), pilihanraya pun kita tak tahu, apa dia pilihanraya?,"katanya. Beliau menegaskan bahawa undi pos tidak boleh dianggap mewakili undi dan suara anggota tentera kerana jelas menurutnya. orang lain yang memangkah kertas undi tersebut. -buletinonline |
Menara Jam Di Mekah Rekaan Anak Malaysia Posted: 17 Oct 2011 03:47 AM PDT Makkah: Rakyat Malaysia boleh berbangga melihat struktur menara jam yang tersergam indah menghadap Masjidil Haram di sini, Menara Hotel Jam Diraja Makkah atau dikenali sebagai Abraj Al-Bait, kerana ia sebenarnya mempunyai 'sentuhan anak Malaysia'. Wan Nazri Wan Aria, 31, adalah jurutera syarikat dari Jerman, SL Rasch, yang bertanggungjawab menampilkan reka bentuk dan pembinaan menara jam gergasi itu. Katanya, menara itu memerlukan 'struktur keluli tidak berat' untuk menyokong jam gergasi itu, dan kejituan teknologi Jerman dengan kerjasama tenaga pakar Syarikat Premier Composite Technology dari Dubai, diperlukan untuk menyempurnakan tanggungjawab berkenaan. Uniknya, 14 tenaga pakar Premier Composite Technology itu juga adalah daripada kumpulan anak muda Malaysia yang diberi tanggungjawab untuk memasang jam gergasi yang memukau perhatian jutaan jemaah dari serata dunia mengerjakan haji dan umrah. Dengan ketinggian 601 meter, ia adalah menara jam tertinggi dan terbesar dunia, mengalahkan struktur menara jam lain yang terkenal di seluruh dunia seperti Menara jam Palace of Culture and Science di Warsaw Poland, Menara jam The Big Ben di London, dan Menara jam Ann-Bradley di Milwaukee Amerika Syarikat. "Ia tiga kali lebih besar daripada Menara Big Ben di London," kata pemuda kelahiran Melaka, yang menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Mara pada 2002 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Stuttgart, Jerman. Nazri (gambar) bersama beberapa jurutera Premier Composite Technology ditemui kumpulan media Tabung Haji yang menikmati teh tarik di Restoran Felda D'saji di Safwa Tower berhampiran Masjidil Haram di sini. Katanya, beliau amat berbangga dapat menjadi sebahagian tenaga pakar yang melakar sejarah di Makkah, apabila dibabitkan dalam kerja membina mercu tanda terbaru yang dapat membantu jemaah mengenal pasti kedudukan Masjidil Haram dari jauh lagi, di tengah kota di Tanah Suci itu. Jam gergasi yang dihias replika bulan sabit itu dikatakan boleh dilihat dari jarak sehingga 17 kilometer pada waktu malam dan 12 kilometer pada waktu siang, manakala cahaya daripada dua juta lampu LED yang menghiasinya berkerlipan setiap kali azan berkumandang pula boleh dilihat dari jarak sehingga 28 kilometer pada waktu malam. Selain itu, 90 juta kaca mozek keemasan digunakan menghiasi keempat-empat permukaan jam berkenaan. Nazri berkata, menara jam yang dilaporkan bernilai RM9 bilion itu dijangka siap sepenuhnya pada Februari depan sebelum diserahkan kepada pemaju dan kontraktornya, Kumpulan Binladin pada Mei, dan beliau bersama kumpulan pakar Premier Composite Technology akan terus berada di Makkah bagi memantau dan menyelia kerja akhir pembinaan menara jam itu. Sementara itu, menceritakan pengalaman kerja di sebuah syarikat Jerman, Nazri berkata, beliau mengambil masa lama sebelum kepakarannya mendapat perhatian, pengiktirafan dan diberi peluang menerajui projek itu. Rakannya, jurutera Premier Composite Technology, Armazizul Arifin pula berkata, bahan komposit adalah satu bidang baru dan tidak banyak syarikat dunia mempunyai kepakaran serta teknologi berkaitan bahan itu. Beliau berkata, bekerja dalam satu kumpulan tenaga pakar dari negara sama menjadi satu kelebihan, dan menurutnya, beliau bersama kumpulannya turut terbabit dalam beberapa projek besar membabitkan pemasangan struktur binaan logam yang kukuh tetapi ringan itu. Beliau bersama kumpulan rakannya juga terbabit dalam pemasangan kubah bergerak di Masjid Al-Nabawi di Madinah dan juga kubah di Masjid Putrajaya. – BERNAMA |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan