Ahad, 16 Oktober 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[Bergambar] Bangkok Dilanda Banjir Terburuk Sejak 50 Tahun

Posted: 16 Oct 2011 01:16 AM PDT

Bangkok - Pekerja-pekerja penyelamat bertungkus-lumus mengukuhkan tembok-tembok guni pasir sekitar bandar raya ini semalam ketika ibu kota Thailand berkenaan diancam banjir terburuk dalam tempoh 50 tahun selepas semua wilayah di utara ditenggelami air bah.

Gambar: GUNI-GUNI pasir disusun di sekeliling ibu pejabat Bangkok Bank di Bangkok semalam. - AP

Pada masa yang sama, Perdana Menteri Yingluck Shinawatra cuba meyakinkan 12 juta penduduk di sini bahawa mereka akan terlepas daripada bencana alam itu yang telah menenggelamkan lebih satu pertiga negara berkenaan sejak Julai lalu.

Sekurang-kurangnya 297 orang disahkan terkorban dengan kerugian akibat banjir yang menukar banyak perkampungan dan kawasan industri menjadi tasik itu kini mencecah AS$3 bilion (RM9.37 bilion).

Bahagian utara, timur laut dan tengah Thailand paling teruk terjejas manakala ibu kota Thailand yang berada cuma dua meter dari aras laut turut terancam selepas air dari beberapa empangan di utara melimpah ke dalam Sungai Chao Phraya yang mengalir menerusi kota metropolitan itu.

Yingluck bagaimanapun berkata, ibu kota Thailand itu cukup terlindung selepas pihak berkuasa meninggikan tebing di tiga kawasan di luar bandar raya ini.

Di sebalik jaminan pihak berkuasa, penduduk bertindak menyimpan barangan keperluan seperti air minuman, mi segera, beras dan makanan dalam tin dengan beberapa pasar raya utama di sini kehabisan stok makanan.

"Jika kami tidak membuat persediaan, sukar untuk membayangkan apa yang akan terjadi kepada kami jika kerajaan lambat menghulurkan bantuan," kata seorang pekerja bank di sini, Sompong Pinmaninsab.

Setakat ini, 25 daripada 77 wilayah Thailand digenangi air banjir. Sejumlah 1.62 juta tanah pertanian atau sekitar 16 kali ganda saiz pulau Hong Kong ditenggelami air.

Hampir 800,000 kediaman pula musnah atau rosak dengan ribuan penduduk terpaksa bersesak tinggal di pusat-pusat penempatan sementara.

Wilayah Ayutthaya, Pathum Thani dan Nakhon Sawan di utara bandar raya ini mengalami kesan yang paling buruk.

Banyak rumah, jalan raya dan taman perindustrian musnah dilanda air bah.

Dalam usaha melindungi ibu kota Thailand, pihak berkuasa mengukuhkan pertahanan terakhirnya iaitu tembok penghadang banjir sejauh 4 kilometer di sepanjang sebuah terusan dan pintu air di wilayah Pathum Thani di utara bandar raya ini.

Banyak pejabat, kedai dan restoran di wilayah berkenaan ditenggelami air paras dada dengan penduduknya terpaksa berulang-alik dengan menaiki bot. - Reuters/Kosmo

Air bah wilayah Utara landa Bangkok esok

Air banjir dari wilayah utara dan tengah dijangka tiba di ibu kota Bangkok sama ada esok atau Isnin ini.

Ketua Pengarah Pengairan Chalit Damrongsak malam ini berkata air banjir itu dijangka pada ketinggian antara 2.3 dan 2.4 meter di atas paras purata laut.

Ketinggian tembok banjir di Bangkok ialah 2.5 meter.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar negara itu mengunjurkan sebelum ini bahawa 16 bilion meter padu air banjir akan tiba di Bangkok.

Lapan bilion meter padu air adalah dari wilayah Nakhon Sawan, enam bilion meter padu dari Ayutthaya, manakala dua bilion meter padu dari Phatum Thani.

Chalit juga berkata keadaan air pasang laut yang tinggi ketika ini akan berterusan bagi tempoh dua hari akan datang.

Kira-kira satu pertiga daripada Thailand masih dibanjiri, dengan 2.3 juta penduduk dari lebih 10,000 kampung di 24 wilayah di utara dan tengah terjejas akibat banjir yang melanda negara itu secara berperingkat sejak 25 Julai lepas, dengan 297 kematian dicatat setakat ini. -- Bernama














Guru Dicekup Sedang Berasmara Dengan Kontraktor

Posted: 16 Oct 2011 12:25 AM PDT

Changkat Jong - Gara-gara tidak dapat menahan nafsu, sepasang kekasih sedang berasmara di dalam sebuah rumah di Kampung Batu 9, di sini, dicekup penduduk, polis dan pegawai penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Hilir Perak, pagi kelmarin. Gambar Hiasan.

Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Baru Batu 9, Ahmad Baharom, 59, berkata, penangkapan itu dilakukan setelah penduduk mengintip gerak geri pasangan itu selama dua minggu di rumah milik ibu bapa lelaki yang menjadi port melepaskan nafsu mereka.

Menurutnya, sebelum ini, ibu bapa lelaki berkenaan dikatakan telah menasihatkan anaknya supaya bernikah dengan gadis pilihannya tetapi lelaki tersebut sengaja melengah-lengahkan untuk berkahwin.

"Ketika serbuan dibuat ibu bapa lelaki itu tidak ada di rumah, memaksa kami memecahkan pintu depan rumah yang dikunci dari dalam kerana pasangan itu enggan beri kerjasama.

"Lelaki berusia 30-an adalah seorang kontraktor di kawasan Changkat Jong manakala teman wanitanya yang berusia 25 tahun berasal dari Terengganu, adalah seorang guru yang bertugas di sebuah sekolah menengah di Setapak Kuala Lumpur" katanya ketika ditemui pemberita.

Ahmad berkata, ketika serbuan dilakukan, lelaki berkenaan didapati hanya memakai tuala sahaja sementara teman wanitanya berselimut dan berada di atas tilam.

Katanya, pasangan kekasih itu juga gagal menunjukkan dokumen mengatakan mereka pasangan suami isteri yang sah ketika diminta oleh pegawai penguatkuasa Jaipk Hilir Perak.

Pegawai penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Hilir Perak enggan memberi maklumat dengan alasan semua kenyataan akhbar hanya boleh dibuat Pegawai Penguatkuasa di lbu pejabat Jabatan Agama lslam Perak di lpoh.

Ulasan GB

Moralnya: Guru kencing berdiri, murid kencing berlari... (yang ni special case... guru tu perempuan plak tu.. )

Kerajaan Pusat Hutang Kelantan RM9.4b - Husam

Posted: 15 Oct 2011 10:35 PM PDT

Putrajaya perlu men jelaskan hutang tertunggak RM9.4 bilion kepada Kelantan, mencakupi hasil royalti minyak dan pampasan tanah yang diambil untuk dijadikan kawasan Taman Negara.

Exco Kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa berkata, anggaran hutang merangkumi RM7 bilion bagi hasil royalti minyak dan RM2.4 bilion bagi pampasan kawasan Taman Negara.

"Jumlah itu besar dan Kerajaan Pusat sepatutnya bertanggungjawab dengan perkara ini," katanya semasa menjadi berucap di Majlis Forum Rakyat di Balai Islam di sini, yang turut dihadiri Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.

Husam yang juga Naib Presiden Pas berkata, tuntutan di Taman Negara melibatkan kawasan 1,043 kilometer persegi termasuk kawasan hutan.

"Berdasarkan kajian awal tuntutan itu ada asas, berikutan kerajaan kehilangan nilai sewa ekonomi terlepas kerana hutan balak daripada hutan kekal tidak dibenarkan dengan nilai bersih terkini iaitu RM1.2 bilion.

"Asas kedua adalah pulangan terlepas bagi menerokai sektor perladangan kelapa sawit dengan nilai bersih terkini RM585 juta seluruh kawasan.

"Manakala, bagi komoditi getah untuk lateks dan balak pula, kerajaan kehilangan yang dianggarkan bernilai RM353 juta, manakala ladang getah hutan kini bernilai RM242 juta," katanya di hadapan 1,000 penyokong Pakatan Rakyat. -SH

Surau Pun Jadi Tempat Pasangan Remaja Lampias Nafsu

Posted: 15 Oct 2011 08:58 PM PDT

Bukit Mertajam – Surau adalah kemudahan yang disediakan kepada orang awam untuk menunaikan solat bagi umat Islam.

Namun, disebabkan keadaannya yang terbiar, ada yang tergamak mengambil kesempatan dengan menjadikan tempat itu sebagai lokasi pemuas nafsu.

Di Kompleks Bukit Mertajam umpamanya, surau yang terletak di tingkat dua bangunan usang itu dilihat menjadi lokasi popular untuk pasangan bercinta memadu kasih.

Malah, lebih menyedihkan ramai dalam kalangan yang terlibat terdiri dari pelajar sekolah.

Pekerja di sebuah premis dekat kompleks berkenaan, Ramzam Shah Mohd Abu Bakar, 36, berkata, pernah ada peniaga di situ terserempak dengan pasangan berbogel sedang asyik melakukan hubungan seks di dalam surau berkenaan.

Menurutnya, keadaan itu sudah pun berlarutan sejak beberapa tahun lalu menyebabkan tiada sesiapa dalam kalangan pekerja mahu pun pengunjung yang naik ke sana.

"Bukan sahaja surau yang terbiar, malah Kebanyakan kemudahan yang disediakan sudah rosak, malah pengunjung yang datang ke sini juga semakin berkurangan.

"Jika dahulu, kompleks ini riuh-rendah dengan kehadiran pengunjung, tetapi, kini suram. Jika dahulu ramai yang menyewa kedai di sini, tetapi, kini hanya tinggal kira-kira tujuh sahaja yang kebanyakannya mengusahakan kedai jahit," katanya.

Justeru, dia berharap pihak bertanggungjawab dapat memantau keadaan di surau itu bagi membendung gejala tidak sihat dari terus berlarutan.

Ulasan GB

Pergaulan bebas di kalangan remaja - satu penyakit sosial yang hebat melanda masyarakat namun dibiarkan tanpa sebarang usaha serius membendungnya.

Jawapannya: baca entri sebelum ini.

Pasangan Remaja Dihempap Pokok Pulai, Seorang Mati

Posted: 15 Oct 2011 05:40 PM PDT

Rembau: Hasrat seorang remaja menghabiskan cuti hujung minggu bersama rakan dipercayai teman lelakinya meragut nyawanya selepas dia terbunuh dihempap dahan pokok pulai seberat lapan tan di Hutan Lipur Gunung Datuk, di sini, semalam.

Nor Syahira Mat Edde, 14, dari Kem Terendak, Melaka dikejarkan ke Hospital Tampin kerana cedera parah di badan, tangan dan kaki, namun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di bilik kecemasan.

Rakannya, Mohammad Zul Afiq Abdullah, 22, turut dihempap pokok berkenaan namun hanya cedera di kepala.

Difahamkan, dalam kejadian jam 11.40 pagi, kedua-dua mangsa baru meletakkan motosikal yang ditunggangi berhampiran pokok berkenaan.

Menurut saksi yang juga penyelia hutan lipur itu, Abdul Rahman Idrus, 40, ketika kejadian, dianggarkan lebih 200 pengunjung dan pendaki berada di kawasan tapak kaki gunung itu.

"Difahamkan dua remaja dari Kampung Melekai, Johol, itu baru meletakkan motosikal berhampiran pokok berkenaan.

"Kami kemudian terdengar jeritan kuat dan terkejut melihat seorang lelaki dan perempuan cedera di kepala dan kaki selepas dihempap pokok. Selain itu beberapa kenderaan dan motosikal turut dihempap dahan pokok," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian itu pertama kali berlaku di hutan lipur berkenaan sepanjang menyelia kawasan itu sejak November tahun lalu.

Sementara itu, seorang lagi saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad, 45, berkata ketika kejadian dia mencari tempat letak kenderaan selepas menurunkan empat anaknya untuk mandi di kawasan jeram itu.

Menurutnya, sebaik meletakkan kereta, dia dikejutkan dengan bunyi kuat seperti benda jatuh.

"Saya terperanjat mendapati dahan pokok jatuh dan terkena bahagian depan kereta, mujur ketika itu hanya saya di dalamnya," katanya. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Zamrus Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.58 pagi dan enam anggota serta sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

"Pasukan bomba mengambil masa 30 minit untuk membersihkan laluan yang terhalang dengan dahan pokok.

"Siasatan mendapati pokok pulai dipercayai berusia 200 tahun seberat lapan tan itu sudah reput, menyebabkan ia tumbang," katanya.

Kejadian itu menyebabkan kecederaan dan kerosakan pada kenderaan lain membabitkan dua kereta, dua motosikal dan satu basikal. -hm

Ulasan GB

Pada setiap sesuatu bencana yang menimpa ada pengajaran yang tersembunyi untuk yang hidup.

Tidak ada satu pun ciptaan atau kejadian dari Allah itu sia-sia.

[Video] The 99: Komik Adiwira Islam Berperwatakan Terpuji

Posted: 15 Oct 2011 11:00 AM PDT

Kuwait City - Jabbar adalah remaja dari Arab Saudi dikurniakan kekuatan luar biasa. Jami, si genius dari Eropah mempunyai kepakaran untuk mencipta alat serta senjata dan Sami pula dianugerahi deria pendengaran yang melangkaui kebolehan manusia biasa.

Mereka adalah antara watak adiwira di dalam komik The 99, iaitu kumpulan remaja Islam dari seluruh dunia yang memerangi kejahatan.

Idea penghasilan komik itu dicetuskan ahli psikologi Kuwait, Naif Al-Mutawa yang mahu The 99 menjadi watak contoh dan memberi pengaruh positif kepada kanak-kanak Islam.

Tidak seperti adiwira di negara Barat yang melawan musuh dengan pakaian menyolok mata, watak komik ini, terutama wanita, mengenakan kostum sesuai dengan budaya Timur Tengah.

Namun, komik unik ini berhadapan pelbagai cabaran awal termasuk larangan pemasarannya di Arab Saudi. Tetapi semua halangan itu berjaya diharungi dan kini, The 99 dipasarkan di Timur Tengah, India, Indonesia dan Amerika Syarikat (AS).

Malah, komik ini juga mungkin dijadikan siri animasi televisyen selepas sebuah syarikat penerbitan Belanda dilihat berminat dengan karya Naif itu.

Dan jangan terkejut kerana "The 99" turut mendapat perhatian Rumah Putih semasa Sidang Keusahawanan, April tahun lalu, apabila Presiden AS, Barack Obama memuji usaha Naif kerana mencipta watak adiwira yang menunjukkan sikap terpuji.

Maklumat lanjut mengenai komik ini boleh didapati dengan melayari laman sesawang http://www.the99.org/




Tsu Koon "Kemaluan": Perwakilan Mahu Beliau Lawan Guan Eng, Wanita Bidas BN

Posted: 15 Oct 2011 08:16 AM PDT

Demi maruah Gerakan, Dr Koh mesti lawan Guan Eng'

Tiga perwakilan Gerakan hari ini menggesa presiden parti itu, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bertanding di Pulau Pinang kerana ia berkaitan dengan maruah parti tersebut.

Berucap di Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-40 tengah hari ini, wakil Johor Teng Koh Keng menggesa presiden parti itu berdepan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di kerusi Parlimen Bagan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Yang terbaik ialah untuk presiden kita untuk kembali ke Pulau Pinang dan berdepan dengan Lim Guan Eng," katanya dengan disambut sorakan dan tepukan hadirin.

Menurutnya, jika Koh bertanding di bekas kubu kuat parti itu, maka ia akan menaikkan semangat mereka dan menyatukan parti.

"Menang atau kalah adalah perkara lain, sekurang-kurangnya kita akan mengembalikan maruah kita."

Ia ekoran spekulasi sengit bahawa Dr Koh akan bertanding kerusi Parlimen sama ada di Perak, Kuala Lumpur atau Johor.

Gerakan telah memerintah kubu kuatnya Pulau Pinang selama hampir 39 tahun tetapi tumbang dalam pilihan raya umum lepas selepas ia kalah semua kerusi di negeri itu.

Perwakilan Kedah, Ngooi Ah Fatt juga bersetuju bahawa Koh harus kekal di Pulau Pinang jika beliau memilih untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Bercakap kepada Malaysiakini kemudiannya, Ngooi berkata: "Saya berharap beliau kembali ke Pulau Pinang untuk bertanding, ia akan meningkatkan motivasi Gerakan dan akan meningkatkan peluang kita untuk menang."

Turut bersetuju ialah wakil Terengganu, Feng Swee Heng yang berkata terdapat perdebatan hangat sama ada Koh patut bertanding di Pulau Pinang dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau secara berseloroh berkata nama Koh bermaksud "anak Jantan" dalam bahasa Melayu, bagi menangkis kritikan bahawa dr Koh tidak berani berdepan dengan musuh politiknya.

Bagaimanapun, perwakilan Pulau Pinang Lee Boon Tien mengingatkan hadirin "jika Koh boleh menang di Pulau Pinang, ia adalah baik, tetapi bagaimana jika beliau kalah?"

Bercakap pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu, Dr Koh berkata beliau mengambil maklum sentimen para perwakilan parti.

"Saya dengar apa yang mereka katakan, tetapi di mana saya akan bertanding, saya akan membuat pengumuman tidak lama lagi." -mk

Ketua Wanita Gerakan malu kepimpinan parti 'lemah'

Dalam satu serangan yang berlapik tetapi menyengat terhadap Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, ketua Wanitanya, Datuk Tan Lian Hoe berkata sayap itu malu dengan kepimpinan parti itu yang lemah.

Katanya, mereka malu menjadi bahan teguran dan dipandang rendah kerananya.

Tan menegaskan demikian dalam ucapan dasarnya di persidangan perwakilan kebangsaan Gerakan hari ini.

Tanpa menamakan Koh, beliau berkata, "tulisan sudah terpampang di dinding" dan pucuk pimpinan tidak boleh menafikannya.

"Jika anda perlu berundur, maka berundurlah," katanya sambil menambah, sekiranya rakyat telah menolak seseorang pemimpin, maka akurlah dengan kehendak mereka.

Beliau yang juga ahli parlimen Grik turut membidas BN, yang disertai parti itu pada 1973, dengan mendakwa ia gagal belajar daripada pilihan raya umum lepas.

Katanya, kekalahan dalam pilihan raya umum ke-12 tidak menjadi pengajaran kepada kepimpinan parti-parti komponen dalam BN.

Malah, tegasnya, semangat permuafakatan "hanya dibibir saja".

Ini, katanya, ialah kerana ahli gabungannya angkuh, begitu tamak hingga merebut kerusi sesama sendiri serta bergaduh dan mensabotaj antara satu sama lain.


Beliau kemudiannya menggesa kepimpinan semua parti komponen supaya membiarkan pucuk pimpinan BN membuat keputusan mengenai "calon yang mampu menang". -mk


Mentua Tawar RM20 Untuk Seks

Posted: 15 Oct 2011 06:45 AM PDT

Kampung Raja - Seorang isteri muda tersentak apabila mendakwa bapa mentuanya menawarkan sejumlah wang sebagai usaha memujuk wanita itu melakukan hubungan seks ketika ketiadaan anak lelakinya di rumah. Gambar fail

Bapa saudara perempuan itu yang hanya mahu dikenal sebagai Man, 40-an memberitahu, dia dihubungi adiknya iaitu ibu wanita itu memberitahu besan anaknya memujuk untuk melakukan hubungan seks.

Menurutnya, sebelum itu mangsa yang berusia lingkungan 15 tahun ditawarkan wang sebanyak RM20 oleh bapa mentuanya agar melakukan perbuatan terkutuk itu.

"Kejadian terakhir dikatakan berlaku pada Aidilfitri lalu dan terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya," katanya.

Man berkata, anak saudaranya berkahwin bawah umur selepas terlanjur dengan anak lelaki itu manakala suami wanita bawah umur itu juga menghadapi masalah tertentu.

Katanya, bagaimanapun lelaki yang didakwa menetap di sebuah kampung dekat Jertih belum sempat melakukan apa-apa terhadap menantunya kecuali pernah memegang paha dan tangannya.

"Mujurlah lelaki durjana itu tidak sempat melakukan apa-apa kepada anak saudara saya yang sanggup menawarkan wang untuk melakukan perbuatan terkutuk," katanya yang pulang dari Kuala Lumpur semata-mata untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Beliau berkata, anak saudaranya kini tinggal berasingan dengan bapa mentuanya dan bekerja sebagai pembantu jualan di Kampung Raja.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi memberitahu pihaknya tidak ada menerima laporan mengenai kejadian itu setakat ini. -SH


Keluarga Sarbaini Desak Suruhanjaya Diraja Ditubuhkan

Posted: 15 Oct 2011 05:23 AM PDT

Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed yang ditemui mati April lalu menuntut agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk mengendalikan inkuiri berhubung kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor terbabit.

Tuntutan itu disuarakan peguam yang mewakili keluarga, N Surendran meminta supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihati kabinet dan seterusnya Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk menubuhkan RCI tersebut.

Surendran menegaskan tindakan itu bukan bertujuan untuk menentang sesiapa tetapi demi menuntut keadilan di atas kematiannya.

Beliau mendakwa tiada ketelusan dalam inkues yang dijalankan kerana keterangan bahawa Sarbaini menerima rasuah adalah tidak berasas sama sekali dan hanya dibawa untuk merosakkan reputasi Sarbaini seperti mana yang berlaku dalam kes kematian Teoh Beng Hock.

"Koroner yang menjalankan inkues membelakangkan undang-undang sedia ada apabila menerima keterangan yang tidak berasas bahawa Sarbaini menerima rasuah.

"Memandangkan Sarbaini tidak dapat menjawab tuduhan rasuah itu, bagaimana boleh bergantung dengan kenyataan tersebut?

Keterangan ini dibawa untuk merosakkan reputasi Sarbaini maka inkues telah terjejas kerana ia bukan bertujuan untuk mencari keadilan.

"Maka tiada cara lain untuk dapatkan keadilan yang telus melainkan dengan menubuhkan RCI," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu termasuk ibu Sarbaini, Aishah Abd Raof, adik ipar arwah Makhtar Mansor, wakil keluarga Beng Hock dan seorang lagi wakil peguam keluarga terbabit Fadiah Nadwa Fikri.

Surendran turut mempertikaikan pelantikan Datuk Shafie Abdullah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sedangkan semua sedia maklum bahawa agensi terbabit mempunyai peguamnya sendiri.

"SPRM awal-awal lagi tidak berminat dengan kes ini. Mereka hanya berminat untuk membela diri sendiri. Sepatutnya mereka berusaha untuk mencari kebenaran.

"SPRM dibiayai oleh pembayar cukai. Agensi terbabit menggunakan RM150,000 hanya untuk membayar peguam Umno untuk membela mereka. SPRM kena jelaskan mengapa wang RM150,000 itu digunakan untuk membayar Shafie Abdullah?," soalnya.

Sarbaini 56, ditemui mati di tingkat satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pada April lalu.

Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam. -FMT

Ulasan GB

GB sudah ulas beberapa kali kes kematian Allahyarham Sarbani. Diantaranya:

Persoalan kini, relevankah inkues? Mengapa tidak terus tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja?

Ini kerana rakyat menjadi hairan sudah tiga inkues membuat keputusan yang hampir serupa - tidak menemui "pembunuh sebenar" kepada mangsa. Pergi balik pergi balik mahkamah yang kita perolehi, keputusan yang tidak ada keputusan.

1) Inkues kematian Gunasegaran di mana di dalam kes berkenaan koroner Siti Shakirah Mohtarudin memberikan "keputusan terbuka" berhubung inkues bagi menentukan kematian R Gunasegaran semasa dalam tahanan polis kerana tidak boleh dibuktikan dengan muktamad.

2) Inkues kematian Teoh Beng Hock di mana koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan bahawa kes inkues itu juga adalah satu kes "keputusan terbuka" dengan beralasan yang serupa di atas: keterangan yang ada tidak mencukupi atau tidak mencapai tahap yang dikehendaki untuk merekod lain-lain keputusan.

3) Inkues kematian pengawal Istana Kelantan, Ramli Mohamad, Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat juga memberikan "keputusan terbuka" kerana dikatakan tidak mempunyai keterangan yang mencukupi untuk menyabitkan mana-mana individu yang menyebabkan kematian itu.

Apa cerita ni? Buang masa, buang wang negara dengan pewujudan inkues.

Hakim-hakim seperti "takut" untuk menetapkan hukuman dan seperti mahu melindungi pihak tertentu kerana ketiga-tiga kes di atas melibatkan pihak polis & pegawai SPRM sendiri.

Jika demikianlah keadaannya, rakyat wajar persoalkan peranan Istana Keadilan (Palace of Justice), peranan hakim-hakim dan peranan institusi kehakiman negara yang sepatutnya menjadi payung kebenaran dan keadilan tetapi kini musnah akibat dari sikap para hakim yang tidak bertaggungjawab.

Di dalam inkues kematian Sarbaini ini, apa yang nyata koroner TIDAK lansung mengarahkan siasatan mengapa CCTV tiba-tiba tidak berfungsi selama 22 jam dan rakaman termasuk tempoh apabila Ahmad Sarbaini datang ke premis agensi itu telah dipadamkan. Itu kecacatan paling besar di dalam inkues kematian Ahmad Sarbaini.

Ia adalah penting tetapi koroner mengabaikannya. GB sudah juga ulas hal ini. Petikan:

GB melihat isu ini sama seperti isu kematian Teoh Beng Hock - bahawa - Ahmad Sarbani adalah mangsa kepada pegawai-pgawai SPRM yang salahguna kuasa, angkuh dan sentiasa berdusta apabila memberi keterangan.

Kita masih tertanya-tanya: Siapa padamkan rakaman CCTV sewaktu Ahmad Sarbani disoalsiasat? Itu perlu diberikan penekanan di peringkat awal siasatan.

MUSTAHIL samasekali CCTV terhenti atau tidak berfunsi di dalam keadaan itu sedangkan CCTV dapat merakam ketibaan Ahmad Sarbani di pejabat SPRM dengan menaiki motorsikal sebelumnya. Ini bererti pihak orang dalam SPRM atau PDRM yang menyiasat TELAH menghapuskan rakaman CCTV berkenaan.


JUSTERU ITU, rakyat berpersepsi bahawa Suruhanjaya Siasatan perlu ditubuhkan. Tiada alasan lain lagi selepas ini. Jika sebelum ini pihak kerajaan menyatakan bahawa inkues perlu diadakan terlebih dahulu sebelum Suruhanjaya Siasatan, maka kini keputusan koroner itu amat tidak memuaskan kerana seperti menutup kepincangan di dalam SPRM seperti yang berlaku di dalam kes Teoh Beng Hock. Justeru itu Suruhanjaya Siasatan perlu ditubuhkan untuk membongkar misteri sebenar kematian ALlahyarham Ahmad Sarbaini.


Kampuchea Larang Rakyatnya Bekerja Sebagai Amah Di Malaysia

Posted: 15 Oct 2011 04:30 AM PDT

Kerajaan Kampuchea mengeluarkan larangan pada warga negaranya bekerja sebagai amah di Malaysia. Perdana Menteri Kamboja Hun Sen mengeluarkan arahan tersebut setelah terdapat laporan penderaan dan pemerkosaan atas pekerja dari Kamboja di negara ini.

Langkah Kampuchea ini mengikuti langkah Indonesia yang telah membekukan pengiriman tenaga kerja untuk bekerja sebagai amah di Malaysia.

"Saya mengucapkan tahniah kepada perdana menteri atas pembekuan ini," kata ahli parlimen pembangkang dari Parti Sam Rainsy kepada Reuters.

Sebuah badan sukarela masyarakat Kampuchea yang berkait rapat dengan para pekerja Kampuchea di Malaysia mendedahkan tiga orang pekerja amah Kampuchea telah dibunuh di Malaysia dan dua orang lain diperkosa.

Indonesia telah melarang penduduknya bekerja sebagai amah di Malaysia pada 2009 selepas beberapa kejadian penderaan yang dilakukan oleh majikan di Malaysia, yang telah menyebabkan demonstrasi anti-Malaysia di Jakarta.

Malaysia selama ini bergantung pada pekerja migran yang mencapai dua juta orang atau 21 peratus dari jumlah tenaga kerja dari Indonesia. Indonesia merupakan sumber terbesar tenaga kerja migran Malaysia, di mana seorang dari 16 warga Malaysia mengupah satu warga Indonesia.

Kampuchea pula memiliki 50 ribu tenaga kerja di Malaysia. An Bunhak, Presiden Pertubuhan Agensi Rekrutmen Kampuchea menyatakan pihaknya akan segera melaksanakan arahan Perdana Menteri itu. -thesun

Ulasan GB

Ini sebahagiannya menyentuh kes "menteri rogol amah" juga.

Beritanya telah tersebar di seluruh dunia. Sekalipun kononnya ada penafian daripada mangsa bahawa dia dirogol, tetapi ia bukan dari mulut amah itu sendiri. Ia hanya secebis tulisan di atas kertas yang belum lagi disahkan kebenarannya yang tersiar di sebuah akhbar Indonesia.

Menteri berkenaan pula tidak menyaman Migrant Care yang tetap dengan pendiriannya dan tidak menarik balik tuduhannya bahawa amah Indonesia itu dirogol.

Demi kebenaran dan keadilan, menteri itu sepatutnya menyaman Migrant Care jika tuduhan itu palsu dan fitnah ke atas dirinya.

Tiada ulasan: