Kelab Greenboc |
- Waduh... Banyaknya Kes Khalwat Di Dungun! Siap Jumpa Kondom Lagi...
- Najwan Halimi Dedahkan Saiful Sokong BN, Suka Publisiti, Benci Anwar
- Saksi Misteri Tampil Di Mahkamah, Najwan Halimi, Rakan Sekampus Saiful! [updated]
- Bersih 2.0 Pertubuhan Haram? Mahkamah Sudah Benarkan Bersih Cabar Perintah Hisyamuddin
- Terapi Ikan Tidak Bersih Malah Boleh Sebarkan Penyakit
- Aduuui... Di Selayang, Ada Bayi Dicampak Melayang Masuk Longkang
- Baru Ku Tahu: Ada Peti Surat Dalam Laut!
- Kerajaan Peralat Parlimen Untuk Redakan Kemarahan Rakyat Terhadap Proses Pilihanraya
- Najib & Rosmah Saksi Penting, Saiful Menemui Mereka Sebelum Buat Aduan Diliwat
- Ong Tee Keat Rela Potretnya Diturunkan Drp Digantung Bersebelahan Soi Lek
- Sekali lagi, Nong Chik Cuba Menipu Penduduk Kg.Baru
- MCA Lalui Zaman Gelap, Bakal Hilang Dari Peta Politik Negara
- PR Namakan Dr.Hatta, Antony Loke & Azmin Untuk PSC, Bersih Bagi PSC Peluang [updated]
- Penerbit Filem, Datuk Adzhar & Dua Anaknya Dihukum Penjara Dan Denda
Waduh... Banyaknya Kes Khalwat Di Dungun! Siap Jumpa Kondom Lagi... Posted: 04 Oct 2011 12:40 AM PDT Sekotak kondom jadi bukti Dungun - Alasan sepasang kekasih berkhalwat kerana membuat persediaan untuk mendirikan rumah tangga selain akan melangsungkan pertunangan dalam masa terdekat ketika mengemukakan rayuan kepada mahkamah tidak dapat mengubah ketegasan seorang hakim syarie menjatuhkan hukuman. Justeru, masing-masing didenda RM2,500 selepas didapati bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan persediaan melakukan persetubuhan di sebuah hotel, dekat sini. Selain itu, pasangan terbabit diarahkan dipenjarakan dua bulan jika gagal menjelaskan denda dikenakan apabila mahkamah diadili Hakim Syarie, Shamsuddin Ngah mendapati kedua-duanya bersalah mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001. Hukuman ditetapkan selepas mendengar fakta pertuduhan, pengakuan bersalah dan mengambil kira rayuan kedua-dua tertuduh. Perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah pagi semalam menyaksikan tertuduh, Hafiz Ibrahim, 22, dari Marang, Terengganu dan pasa-ngannya, Nurul Afifah Hussein, 21 dari Alor Tembesu, Dungun, menghadapi dakwaan kesala-han jenayah syariah selepas mereka ditahan sepasu-kan anggota Penguat Kuasa Syariah ketika berada di sebuah sebuah hotel di Jalan Paka, Dungun Terengganu pada jam lebih kurang 1.35 pagi, 25 Julai 2011. Berdasarkan kepada fakta kes, ketika serbuan tersebut dilakukan, pintu bilik dibuka oleh seorang lelaki (tertuduh lelaki). Hasil pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa mendapati seorang perempuan sedang tidur atas katil sambil berselimut dan kedua-duanya setelah disoal siasat tidak mempunyai sebarang hubungan muhrim yang sah. Sementara itu, sehelai seluar dalam lelaki milik tertuduh yang bekerja sebagai juruteknik mekanikal dan sehelai seluar dalam perempuan milik tertuduh perempuan yang bekerja kerani, baju T, sekotak kondom termasuk dua daripadanya sudah digunakan turut dirampas sebagai bahan bukti serta dibawa ke mahkamah untuk mensabitkan kesalahan ke atas kedua-dua tertuduh. Bagaimanapun, pasangan terbabit bernasib baik daripada menjadi penghuni tirai besi selepas kedua-duanya menjelaskan bayaran RM2,500 kepada mahkamah sebagai hukuman yang dijatuhkan untuk membolehkan kedua-duanya dibebaskan. 2. Pegawai JPAM dituduh berkhalwat, keluar tingkap elak dicekup Seorang Pembantu Pertahanan Awam, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) didenda RM2,000 atau dua bulan penjara selepas didapati bersalah berkhalwat dengan pasangannya, seorang kerani di sebuah bilik penginapan pada 13 November 2010. Dalam prosiding berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Dungun pagi semalam, tertuduh lelaki, Ridzuan Che Yahya, 27 yang beralamat di Kampung Delong, Dungun didakwa mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001. Dia didapati berkhalwat dengan pasangannya Noor Shafira Mohd Yusof, 23 yang turut menghadapi pendakwaan bersama selepas ditahan di sebuah bilik bernombor C-28 Six Villa Inn, Jalan Paka Dungun kira-kira jam 1.00 pagi, November lalu. Menurut fakta kes dibentangkan Pendakwaraya Syarie, Wan Abdul Hakim Wan Khairul Anwar, ketika bilik tersebut diserbu, salah seorang anggota penguat kuasa melihat seorang lelaki meloloskan diri melalui tingkap bilik lalu melarikan diri ke dalam semak. Bagaimanapun, selepas pintu bilik dibuka tiga minit kemudian oleh seorang wanita, selain pasangannya, pihak penguat kuasa turut menemui barangan serta pakaian lelaki dan wanita. Wanita terbabit mengakui lelaki yang keluar dari bilik tersebut adalah tunangnya lalu penguat kuasa bertindak menahan wanita itu sebelum dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk siasatan lanjut. Akhirnya, pada jam 4.25 pagi, pasangan lelaki melarikan diri itu hadir menyerah diri dan soal siasat mendapati kedua-duanya tidak mempunyai hubungan muhrim. Sebaik mendengar fakta kes yang dikemukakan dan selepas ditanya beberapa kali oleh Hakim Syarie sama ada ingin mengaku salah atau lawan bicara, kedua-dua tertuduh yang kini sudah bergelar suami isteri itu bagaimanapun membuat pilihan dengan sukarela mengaku salah dan bersedia menerima hukuman bakal dijatuhkan. Bagaimanapun, Hakim Syarie selepas mendengar rayuan kedua-dua tertuduh yang memohon agar diringankan denda memandangkan mereka sudahpun berkahwin manakala tertuduh wanita kini sedang mengandung. Hakim telah membuat teguran kerana pasangan yang disabitkan kesalahan itu ketika mengemukakan hujah rayuannya didapati tidak menunjukkan rasa keinsafan atas keterlanjuran dilakukan. Selepas mengambil kira hujah pendakwaraya serta menimbang rayuan tertuduh, akhirnya Hakim Shamsuddin Ngah memerintahkan agar kedua-duanya membayar denda RM2,000 sebagai hukuman dan pengajaran atas kesalahan dilakukan, jika tidak kedua-duanya bakal dipenjarakan dua bulan. Tertuduh lelaki yang berpakaian serba hitam bersama pasangannya yang berbaju kurung ketika hadir untuk prosiding perbicaraan itu bagaimanapun menjelaskan denda untuk membolehkan mereka dibebaskan mahkamah. 3. Dituduh berkhalwat dengan bakal ipar Tindakan seorang tukang rumah menginap di rumah tunangnya membawa padah apabila dia dicekup anggota Penguat Kuasa Syariah. Bagaimanapun nasib malang menimpanya kerana ketika ditahan, yang ada di dalam rumah itu bukanlah tunangnya, sebaliknya bakal adik ipar perempuannya. Walau apapun, kesalahan dilakukan di rumah di Taman Kenangan, Balai Besar 14 April 2011 jam 10.05 pagi itu menyebabkan mereka dihadapkan ke Mahkamah Syariah tudu-han berkhalwat mengikut Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001. Selepas melalui prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Shamsudin Ngah, tertuduh lelaki yang dikenal sebagai Mohd Zam Hussain, 34 dan pasangannya Nurfarsheila Abdul Rasheed yang juga seorang pelajar kolej didenda RM1,800 atau satu bulan penjara jika gagal menjelaskan denda. -SH Ulasan GB Warga Dungun, bersiap-siaplah... Ada hadith yang perlu jadi renungan: "Apabila maksiat sudah merajalela di kalangan umatku, Allah akan menurunkan siksa dari sisi-Nya kepada mereka secara merata..." -HR. Ahmad |
Najwan Halimi Dedahkan Saiful Sokong BN, Suka Publisiti, Benci Anwar Posted: 03 Oct 2011 11:16 PM PDT Identiti dan watak sebenar Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes fitnah membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus dibongkar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, apabila peguam memanggil saksi terbaru mereka. Saksi misteri yang ditampilkan peguam itu adalah bekas rakan sekolej Saiful sendiri, yang pernah bersama belajar di Universiti Tenaga Nasional (Uniten). Mohd Najwan Halimi dipanggil pada jam 11.22 pagi ketika mahkamah bersambung selepas mendengar keterangan Pengarah Jabatan Forensik, Jabatan Kimia, Lim Kong Boon. Beliau kini merupakan pembantu Anwar selaku Penasihat Ekonomi Selangor. Dalam keterangannya di mahkamah, Najwan memberitahu beliau mengenali Saiful sejak 2003 dan tinggal berdekatan biliknya di Uniten. "Saiful mahasiswa yang aktif dan mempunyai kualiti kepimpinan. Saya dan Saiful terlibat dalam program Baktisiswa. "Dia ada kepimpinan tetapi suka publisiti," katanya. Menurut Najwan, program itu dilancarkan bekas menteri dalam negeri Tan Sri Syed Hamid Albar dan Saiful ketika itu timbalan presiden program dan Setiausaha Majlis Pimpinan Pelajar. Najwan berkata, beliau melihat laman sosial Friendster milik Saiful dan melihat banyak gambarnya dengan pemimpin BN, termasuk Syed Hamid Albar, Mustapa Mohamed dan Azalina Said Othman. "Pada 2008, Saiful meletakkan dirinya sebagai penyokong BN dan menyisytiharkan bahawa Anwar munafik," katanya di mahkamah. Menurut Najwan, Saiful juga pernah membantu kempen pilihan raya untuk Barisan Nasional (BN) pada 2008. Beliau menafikan Saiful mengagumi ketokohan Anwar, sebaliknya sangat membenci Ketua Umum KEADILAN itu, seperti diakui Saiful sendiri. "Dia benci Anwar," kata Najwan. Ketika disoal balas oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Najwan menjelaskan beliau pernah berkhidmat dengan ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad, Kementerian Pengangkutan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum itu. -kd klik untuk baca |
Saksi Misteri Tampil Di Mahkamah, Najwan Halimi, Rakan Sekampus Saiful! [updated] Posted: 03 Oct 2011 10:14 PM PDT Kredibiliti pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan dalam kes perbicaraan fitnah II, musnah berkecai apabila pihak peguam menampilkan saksi terbaru mereka. Saksi berkenaan ialah Mohd Najwan Halimi, bekas pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan rakan sekampus kepada Saiful Bukhari. Beliau juga merupakan aktivis Anwar Ibrahim Club yang pernah menulis secara bersiri mengenai latar belakang Saiful dalam blognya, Riwayathayat.blogspot.com Beliau memberi amaran mengenai kredibiliti Saiful dalam tiga siri tulisan bertajuk "Awas! Ada Musang Berbulu Ayam" Siri (1), (2) & (3). Sebelum itu, Pengarah Jabatan Kimia Kuala Lumpur, Lim Kong Boon memberi keterangan sebagai saksi. 9.48am: Mahkamah bermula dengan hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah memulakan prosiding. Pengarah Forensik dari jabatan Kimia, Lim Kong Boon dipanggil sebagai saksi. Lim, 57 yang menjadi saksi pada fitnah I berkata, pada 2005, beliau mengetuai unit jenayah jabatan kimia. Menjawab soalan peguam Ram karpal Singh, Lim berkata sejak 2005, bahagian berkenaan diletak di bawah Legacy programme of the American Society of Crime Laboratory Directors Laboratory Accreditation Board ASCLD. 10.14 pagi: Ram Karpal bertanya samada Jabatan Forensik Jabatan Kimia mempunyai ekreditasi dalam kelayakan lain. Lim berkata ia diakreditasi dengan program pengurusan. Saksi berkenan kemudian beredar. Sankara meminta mahkamah berehat sementara menuggu saksi terbaru mereka. Peguam Cara negara II , Yusof Zainal Abiden bertanya apakah relevan saksi berkenaan dipanggil, kerana ia tidak ada dalam senarai pendakwaraya. 11.11 pagi: Mohd Najwan muncul di bilik saksi, memakai pakaian kot hitam dan kemeja putih lengan panjang. Saksi berkenaan diiringi pembantu Sankara Nair. 11.22 pagi: Mohd Najwan dipanggil. Beliau berkata beliau bekerja sebagai pembantu Anwar atas kapasiti Anwar sebagai penasihat Ekonomi Selangor. 11.24 pagi: Mohd Najwan berkata beliau mengenali Saiful sejak 2003, dan tinggal di asrama berhampirannya di United. "Saiful pelajar aktif dan ada kualiti kepimpinan. Saiful dan saya terlibat dalam program Baktisiswa. "Dia mempunyai kepimpinan, tetapi suka mencari publisiti. 11.30 pagi: Najwan berkata beliau melihat Friendster Saiful, dan ternampak gambar Saiful dengan ramai pemimpin BN, termasuk Syed Hamid ALbar, Mustapa Mohamed dan Azlina Othman "Pada 2008, Saiful adalah penyokong BN dan mengumumkan Anwar sebagai munafik," katanya. Najwan juga berkata beliau pernah ternampak Saiful dalam satu ceramah politik. 11.31 pagi: Najwan berkata, Saiful berkempen untuk BN pada 2008. 11.33 pagi: Beliau menafikan Saiful mengagumi Anwar. "Dia (Saiful) membenci Anwar" katanya. 11.34 pagi: Najwan disoal balas oleh Yusof. Beliau berkata beliau bekerja dengan Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad. "Sebelum ini saya bekerja dengan menteri pengangkutan dan Uitm," ujarnya. -KD Saksi misteri tampil |
Bersih 2.0 Pertubuhan Haram? Mahkamah Sudah Benarkan Bersih Cabar Perintah Hisyamuddin Posted: 03 Oct 2011 08:57 PM PDT Hisham: BERSIH 2.0 masih pertubuhan haram Di sebalik ikrar kerajaan untuk menjadi 'negara terbaik demokrasi di dunia', namun pentadbiran BN tidak melihat sebarang alasan kukuh bagi menarik balik pengharaman terhadap BERSIH 2.0 - NGO yang menuntut pembaharuan dan penambahbaikan sistem pilihan raya di negara ini. Dalam jawapan bertulis kepada Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah), Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan pertubuhan itu masih diisytihar tidak sah menurut Akta Pertubuhan 1966. Ini berikutan BERSIH 2.0 didakwa "bergerak aktif bagi menimbulkan kekacauan awam". Menurut menteri itu, aktiviti itu cuba dilakukan melalui: * menyebarkan propaganda untuk menghasut rakyat supaya menjatuhkan kerajaan dengan mengedarkan bahan bercetak tertentu. * aktiviti yang dianggap negatif kepada imej negara, dan juga boleh mengancam ketenteraman awam, keselamatan dan kemakmuran ekonomi serta kedaulatan negara. "Oleh sebab itu, BERSIH tetap pertubuhan haram yang tidak sah," kata Hishammuddin lagi. Beliau juga menambah, status BERSIH 2.0 tidak berubah dengan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung penambahbaikan sistem pilihan raya. Jawatankuasa yang ditubuhkan semalam membabitkan sembilan ahli parlimen yang terdiri daripada lima daripada BN, tiga dari Pakatan Rakyat dan seorang wakil Bebas. Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Menteri, Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili dan ahlinya terdiri daripada Datuk Alexander Nanta Linggi, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, Tan Sri Fong Chan Onn dan P Kamalanathan. Pakatan Rakyat pula semalam mengumumkan pihaknya akan diwakili oleh Azmin Ali, Dr Hatta Ramli dan Antony Loke. Manakala Bebas diwakili oleh ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong. -mk Bersih 2.0 Peroleh Kebenaran Cabar Perintah Isytihar Ia Kumpulan Haram |
Terapi Ikan Tidak Bersih Malah Boleh Sebarkan Penyakit Posted: 03 Oct 2011 08:00 PM PDT Rawatan gigitan ikan kecil di spa jejas kesihatan ABU DHABI: Pakar perubatan memberi amaran rawatan kaki menggunakan gigitan ikan kecil sambil merendamkan kaki di dalam air yang kian popular termasuk di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak tahun lalu boleh memberi kesan negatif ke atas kesihatan. Gambar fail. Rawatan yang menggunakan ikan dikenali sebagai Garra Rufa atau juga dikenali dengan nama seperti ikan doktor, ikan digunakan untuk memakan sel kulit mati kaki dan buku lali pelanggan. Ikan berkenaan biasanya ditemui dari sungai terutama di Turki, Syria, Iraq dan Iran yang tidak mempunyai gigi tetapi menggigit kulit mati pada kaki. Sebelum digunakan untuk rawatan beratus-ratus ekor ikan akan dibiarkan tanpa makan bagi membolehkan mereka memakan sel kulit apabila diperlukan. Rawatan itu biasanya mengambil masa 20 minit diikuti dengan rawatan kaki tradisional kerana bukan semua sel kulit mati dikeluarkan ikan itu. Rawatan ini membabitkan kos kira-kira 95 Dirham (RM82). Bagaimanapun pakar kesihatan dan doktor meminta pengguna menjauhkan spa ikan ini kerana air tangki terbabit mungkin menjadi tempat paling subur untuk pembiakan pelbagai jenis jangkitan bakteria dan kulat. "Prosedur ini diharamkan di UAE kerana air yang tidak bersih boleh memindahkan penyakit seperti HIV," kata Khalifa Mohammad Al Rumaithi, pengarah kesihatan awam di Perbandaran Abu Dhabi. Seorang pakar dermatologi, Dr P Moham Kumar dari Lifeline Hospital berkata tiada manfaat saintifik daripada prosedur terbabit. – Agensi Ulasan GB Hal ini telah agak lama diketahui tetapi diberikan lagi pendedahan kerana masih ramai yang terpedaya. Di Amerika rawatan sebegini telah diharamkan kerana ia tidak sanitari dan juga tidak mengikut piawaian kesihatan. Di Malaysia menterinya tidur. |
Aduuui... Di Selayang, Ada Bayi Dicampak Melayang Masuk Longkang Posted: 03 Oct 2011 05:58 PM PDT Bayi sendiri diperlakukan bagaikan sampah apabila seorang gadis berusia 19 tahun tergamak mencampak bayi yang baru dilahirkan ke dalam longkang dari tingkat dua Flat Taman Selayang Segar 2, Selayang Baru di sini semalam. Mayat bayi perempuan malang itu ditemui oleh seorang lelaki pada pukul 7 pagi yang kebetulan melalui kawasan itu. Ibu bayi itu yang mendakwa panik sebaik melahirkan anak di dalam tandas bertindak mencampak bayinya ke dalam longkang menerusi tingkap. Ketika ditemui, bayi yang dalam keadaan bogel dan mempunyai kesan cedera di kepala itu berada dalam keadaan tertiarap di dalam longkang berkenaan. Bayi yang cukup sifat itu dipercayai baru dilahirkan kerana masih mempunyai tali pusat. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, susulan penemuan mayat bayi dalam keadaan menyayat hati itu, polis menahan seorang gadis berusia 19 tahun yang tinggal di flat tersebut. Menurut beliau, gadis itu belum berkahwin dan polis mengesyaki dia mengandung angkara hubungan sulit dengan teman lelakinya. "Suspek yang bekerja sebagai pelayan restoran itu mengaku melahirkan bayi berkenaan di dalam tandas rumahnya pada pukul 4 pagi ini (semalam). "Suspek mendakwa ketika dilahirkan, bayi terbabit sudah tidak bernyawa menyebabkan dia membuang anaknya itu ke dalam longkang," katanya ketika dihubungi di sini semalam. -kosmo Ulasan GB Gejala buang bayi semakin menjadi-jadi. Ia akibat dari sistem hidup yang jauh dari nilai-nilai agama, apa tah lagi di dalam keadaan dan suasana kejahilan ummah yang kini tidak segan silu mempersendakan pula hukum Allah. Akhirnya, buang anak menjadi-jadi, sebab zina sudah macam tak kisah lagi. Aduh... siksaan Allah akan tiba juga nanti... sebab ada umat Islam sendiri menempelak dan mencaci-maki hukum Ilahi kebelakangan ini. |
Baru Ku Tahu: Ada Peti Surat Dalam Laut! Posted: 03 Oct 2011 04:12 PM PDT Peti Surat Bawah Laut Tarikan Terbaru Pelancong Ke Indonesia JAKARTA: Indonesia telah memperkenalkan peti surat bawah laut pertama di republik ini dan kedua di dunia di Pantai Amed, daerah Karangasem, Bali, mulai semalam sebagai usaha mengembangkan industri pelancongan dan tarikan kepada pelancong yang gemar menyelam. Syarikat Pos Indonesia melancarkan peti surat tersebut berbentuk gapura atau pintu gerbang berupa tembok batu pintu pagar tempat ibadat dan bangunan mengikutciri khas terdapat di Pulau Dewata itu. Pelancaran peti surat itu merupakan sebahagian daripada acara perayaan ulang tahun ke 265 syarikat peninggalan penjajah Belanda itu. "Kami ingin menyokong pelancongan bahari (laut) di Amed, yang berdasarkan kajian kegemaran penyelam luar negeri. Kami ingin memperkenalkan pantai Amed supaya pelancong tidak hanya bertumpu ke Pantai Kuta sahaja," kata Pengarah Utama Pos Indonesia I, Ketut Mardjana yang dipetik akhbar harian Kompas pada Isnin. Mardjana berkata pengiriman dan pengambilan surat melalui peti surat bawah laut itu sama seperti yang dilakukan di darat cuma pos bawah laut perlu menggunakan kertas kalis air disediakan di Pejabat Pos Amed. Dengan bayaran pos Rp10,000 (RM3.50) lengkap dengan cap dan sampul surat khusus yang kalis air, penyelam boleh memasukkan sendiri suratnya di peti surat berkenaan.Untuk khidmat pengambilan dari peti surat itu, Pos Indonesia bekerjasama menggunakan khidmat para penyelam tempatan. Peti surat bawah laut pertama di dunia ialah di perairan laut Australia. -BERNAMA Ulasan GB Apa tujuannya menghantar surat melalui peti surat bawah laut ini? Mungkin untuk memberitahu kepada si penerima bahawa surat itu diposkan melalui peti surat bawah laut di Bali, lantas akan menjadikan si penerimanya kaget dan teruja untuk ke Bali. Dengan cara itu pelancongan Bali pun meningkat. Itu yang GB boleh fikirkan. Atau atau sebab lain? |
Kerajaan Peralat Parlimen Untuk Redakan Kemarahan Rakyat Terhadap Proses Pilihanraya Posted: 03 Oct 2011 09:15 AM PDT Kenapa tiada jaminan menjelang JK Parlimen siapkan tugas? KUALA LUMPUR, 3 Okt: PAS mendakwa kerajaan tidak serius untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen untuk memperbaharui sistem pilihan raya. Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar(gambar) berkata, ianya terbukti apabila kerajaan tidak dapat memberi jaminan pilihan raya tidak akan diadakan dalam tempoh enam bulan jawatankuasa tersebut menjalankan tugasnya. "Pakatan minta jaminan pilihan raya tidak akan diadakan sehingga selesai tempoh enam bulan jawatankuasa ini menjalankan tugas mereka. "Tapi kerajaan tidak dapat beri jaminan dan (Datuk Seri) Nazri (Aziz) kata itu hak Perdana Menteri untuk nak bubar Parlimen dan adakan pilihan raya," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini. Naib Presiden PAS itu juga berkata, kerajaan seolah-olah menggunakan Parlimen untuk meredakan kemarahan rakyat yang sedar berlakunya penyelewengan dalam proses pilihan raya. "Kerajaan main-main, menggunakan dewan ini untuk mempermainkan hasrat hati rakyat untuk melihat sistem pilihan raya yang bersih, sekadar nak redakan kemarahan rakyat," katanya. Selain itu kata Mahfuz, kerajaan juga tidak dapat memberi jaminan segala keputusan jawatankuasa tersebut digunapakai walaupun melibatkan proses undang-undang. "Satu lagi kita minta jaminan supaya rumusan dan cadangan jawatankuasa ini hendaklah diterima dan dibawa untuk memastikan proses pembaikan. "Kalau sampai peringkat membabitkan undang-undang dan sebagainya kena diterima, selepas itu baru boleh buat pilihan raya," katanya. Nada yang sama turut disuarakan seorang lagi Naib Presiden, Salahuddin Ayub yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian. Salahuddin sewaktu bangun mencelah ketika usul tersebut dibahaskan mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz memberikan jawapan yang konkrit mengenai perkara tersebut. "Izinkan jawatankuasa khas bersidang dalam masa enam bulan dan tidak ada pilihan raya dan kalau ada keputusan penting, itu tanggungjawab kerajaan untuk menunaikannya. "Adakah jaminan itu boleh diberi oleh menteri yang senior dan kami mengharapkan jaminan yang konkrit, bukan berdolak dalih," katanya. -HD |
Najib & Rosmah Saksi Penting, Saiful Menemui Mereka Sebelum Buat Aduan Diliwat Posted: 03 Oct 2011 08:25 AM PDT Karpal: Keterangan Najib, isterinya sangat penting KUALA LUMPUR, 3 Okt — Keterangan Datuk Seri Najib Razak dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sangat penting kerana ia akan membantu mengenal pasti keadaan mental pengadu, kata peguam utama Ketua Pembangkang, Karpal Singh. Karpal berhujah bahawa Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan pada sebelah malam 24 Julai 2008 sebelum pengadu mendakwa Anwar telah meliwatnya. Kata Karpal, keterangan Perdana Menteri tentang apa yang berlaku ketika pertemuan itu akan membantu mahkamah dalam perbicaraan ini. Peguam berkata afidavit Najib ada menyebut bahawa Perdana Menteri telah menasihati Saiful agar membuat laporan polis selepas dia mendakwa pada 24 Julai bahawa Anwar telah meliwatnya. "Adalah perlu untuk memperoleh keterangan daripada Perdana Menteri berkenanan keadaan fikiran SP1 (Saiful) dan sama ada dia takut atau sama ada Perdana Menteri kemungkinan mengharapkan SP1 akan mematuhi nasihat beliau," kata Karpal. "Sudah pasti, seseorang akan mematuhi nasihat personaliti tidak kira pangkat, terutama seorang timbalan perdana menteri (ketika itu), yang nasihatnya diperoleh," katanya. Tetapi peguam-peguam Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor berhujah bahawa keterangan kedua-dua mereka tidak relevan dalam kes Anwar. Datuk Hisyam Teh, peguam mewakili Najib dan Rosmah berkata, Ketua Pembangkang telah gagal menyediakan bukti bahawa keterangan kedua-dua mereka adalah penting. -TMI Peguam: Najib, Rosmah bukan saksi relevan dalam kes liwat Anwar |
Ong Tee Keat Rela Potretnya Diturunkan Drp Digantung Bersebelahan Soi Lek Posted: 03 Oct 2011 07:44 AM PDT Bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata beliau tidak kisah jika potretnya diturunkan daripada ibu pejabat parti itu di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Ini kerana katanya, beliau juga tidak mahu potretnya digantung bersebelahan "orang yang korup dari segi moral." Adalah menjadi tradisi MCA untuk meletakkan potret presiden di ibu pejabat parti itu. Justeru, menurut Ong, legasi beliau terhadap parti Cina itu juga bukan bagi presiden MCA sekarang, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek untuk memutuskannya. "Beliau mempunyai kuasa untuk mengeluarkan potret saya dari ibu pejabat MCA jika mahu berbuat demikian. Lagipun, tidak apa yang seronoknya bagi potret seseorang (digantung) bersebelahan dengan orang yang korup dari segi moral," katanya dalam satu kenyataan media semalam. Ong mengulas serangan lisan yang dibuat oleh Chua terhadapnya semasa perhimpunan agung parti itu semalam. Chua menyifatkan Ong sebagai "nota kaki" dalam sejarah MCA. Ong juga mengulas kenyataan Chua mendesaknya meletak jawatan jika dia tidak lagi percaya atau menaruh ketyakinan terhadap parti itu. "Benar, saya telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau tetapi ini sama sekali disalah fahamkan sebagai hilang kepercayaan terhadap parti saya pilih untuk menyertai pada tahun 1981." Mengenai desakan supaya beliau meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Pandan, Ong berkata mandatnya itu diberikan oleh pengundi pada pilihan raya umum Mac 2008 dan bukannya datang daripada Chua. "Adalah menjadi kewajipan saya untuk mengingatkan beliau bahawa tidak ada seorangpun presiden sebelum ini yang secara terbuka mengarahkan seseorang ahli meninggalkan parti itu semata-mata kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan seseorang kerana MCA bukan harta persendirian presiden. "Begitu juga, parti tidak harus ditadbir sebagai sebuah pertubuhan mafia semata-mata mengikut kehendak penerajunya, jika beliau benar-benar menghormati demokrasi." -mk |
Sekali lagi, Nong Chik Cuba Menipu Penduduk Kg.Baru Posted: 03 Oct 2011 06:40 AM PDT RUU Kg Baru: Kata tarik balik, kenapa bentang baru KUALA LUMPUR, 3 Okt: PAS kesal dengan tindakan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin membentangkan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kg. Baru (RUU PPKB) yang baru tanpa sebarang perbincangan dengan wakil penduduk kampung terlebih dahulu. Raja Nong Chik di Dewan Rakyat pagi tadi mengumumkan penarikan balik RUU PPKB yang lama namun membentangkan RUU PPKB yang baru. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, meskipun pihaknya menyambut baik penarikan RUU PPKB yang lama itu, namun tetap kecewa dengan pembentangan RUU PPKB baru yang disifatkan sebagai membelakangkan pandangan penduduk Kg. Baru. "Walaupun Rang Undang-Undang yang lama ini dimansuhkan pagi tadi tapi tetap menggambarkan sikap kerajaan yang tak mengambil kira pandangan penduduk apabila membentangkan Rang Undang-Undang baru. "Tak sewajarnya Rang Undang-Undang ini dimasukkan tanpa menteri memanggil sekretariat bagi mendraf Rang Undang-Undang ini," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. Justeru Salahuddin berkata, PAS akan mengambil masa paling singkat seminggu untuk meneliti RUU tersebut dan merujuk kepada panel peguam yang menguruskan Kg. Bharu sebelum menyatakan sebarang pandangan. "Kami belum ada masa untuk meneliti Rang Undang-Undang ini kerana baru dibentangkan tadi. "Kami melalui panel dan sekretariat akan meneliti Rang Undang-Undang baru ini dan akan kami ulas kemudian. "Kami memerlukan masa mungkin seminggu untuk rujuk kepada panel peguam Kg Baru," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian. Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden yang juga ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mahu wakil penduduk Kg. Baru khususnya Lembaga Pentadbiran Kg Bharu dipanggil untuk membincangkan RUU yang baru itu. "Kerajaan seharusnya sebelum membentangkan Rang Undang-Undang ini,seharusnya ia dirujuk kepada penduduk Kg Baru sebab ia khusus kepada penduduk Kg Bharu "Kalau terus bentang di Parlimen yang akan bahas bukan orang Kg Bharu, mesti tak dapat gambaran sebenar. Buktikan 90 peratus setuju RUU PPKB Salahuddin dalam pada itu sekali lagi mencabar Raja Nong Chik membuktikan dakwaannya bahawa 90 peratus penduduk Kg Bharu bersetuju dengan RUU PPKB. "Kita cabar menteri dedahkan referendum yang diedar kepada penduduk itu dan betulkah 90 peratus setuju. "Kalau betul 90 peratus setuju kenapa Rang Undang-Undang ditarik balik? Banyak perkara yang disembunyikan dalam Rang Undang-Undang ini," katanya. Raja Nong Chik dalam kenyataannya minggu lalu berkata sebanyak 90 peratus penduduk Kg Bharu bersetuju dengan RUU PPKB dan akan meneruskan bacaan kali ke-2. Namun pagi tadi beliau mengumumkan RUU tersebut ditarik balik kerana mengambil kira pandangan penduduk. -HD |
MCA Lalui Zaman Gelap, Bakal Hilang Dari Peta Politik Negara Posted: 03 Oct 2011 05:50 AM PDT Peranan kaum Cina kepada pembangunan dan kestabilan politik negara sangat besar dan sesiapa pun tidak boleh menafikannya. Sejak sekian lama, sejak sebelum merdeka lagi, MCA menjadi tunjang kepada pergerakan dan penyatuan masyarakat Cina dalam pembangunan negara bersama Umno dan MIC. MCA dan komponen Barisan Nasional (BN) atau lebih awal yang dipanggil Perikatan sama-sama menuntut kemerdekaan daripada penjajah British dan kemudiannya memakmurkan negara seperti yang ada hari ini. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA di Kuala Lumpur semalam dengan tegas memperakui bahawa MCA merupakan komponen penting kepada BN dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) ini. "Apa makna kepada BN jika MCA berpecah belah," kata pengerusi BN yang membawa maksud bahawa MCA mesti sentiasa bersatu padu dan kuat sepanjang masa. Peringatan Presiden Umno itu berkait rapat dengan kekalahan besar MCA dalam PRU 2008; ia kekalahan terbesar MCA dalam sejarah politik negara. PRU 13 yang dijangka tahun depan akan menjadi penentu kepada MCA, seperti kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Masa depan parti itu ditentukan oleh ahli parti sendiri. Saat sukar Tetapi MCA hari ini bukan lagi seperti MCA 10 atau 20 tahun lalu. Tidak keterlaluan jika dikatakan MCA sedang menghadapi saat-saat sukar untuk mengembalikan kepercayaan pengundi Cina. Ugutan jika MCA kalah teruk dalam PRU 13 bahawa parti tidak akan menerima jawatan menteri kabinet menggambarkan bahawa parti itu sangat terdesak untuk memenangi semula kerusinya. Umum mengetahui bahawa MCA dicabar hebat DAP sejak sekian lama. Keputusan PRU 2008 menunjukkan MCA sudah hampir tidak relevan lagi kepada orang Cina. Walaupun sudah tiga tahun PRU 2008 berlalu belum nampak tanda-tanda MCA pulih sepenuhnya. Kepimpinan Dr Chua, bekas menteri kesihatan yang menewaskan Datuk Ong Tee Keat dalam pemilihan parti tahun lalu seperti masih tidak diendahkan oleh ahli parti itu sendiri. Ketika beliau menyampaikan ucapan dasar presiden dalam bahasa Mandarin, banyak kerusi yang kosong di barisan depan dan belakang di Wisma MCA di ibu negara itu. Beberapa perwakilan yang ditemui memberitahu, orang Cina tidak percaya lagi kepada MCA kerana terlalu mengikut BN yang dikawal Umno. Zaman gelap "Kredibiliti Dr Chua sebagai presiden penuh tanda tanya. Adakah beliau boleh menjadi lebih baik dari Tan Sri Ong Ka Ting atau pun Tun Dr Ling Liong Sik. "MCA menghadapi zaman gelap di bawahnya," kata Kuan Wei Hong dari Pulau Pinang. Sudah tentu MCA menjadi tidak relevan jika orang Cina terus menolaknya. Malang sekali ditolak kerana kesilapan sendiri. Krisis kepimpinan MCA yang berpanjangan menyebabkan parti ini lemah secara perlahan dan diam-diam. Umum mengetahui MCA tidak pernah sunyi dari krisis kepimpinan namun semuanya berjaya diselesaikan menjadikan parti itu kekal relevan. Sudah tiba masanya untuk MCA kembali ke pangkal jalan dengan menjadi parti nombor satu bagi orang Cina di negara ini. Sayang jika sumbangan dan pengorbanan selama ini dilupakan begitu sahaja. Kini musuh MCA bukannya DAP walaupun parti serpihan PAP dari Singapura itu menang cemerlang dalam PRU 2008. Musuh nombor satu MCA tidak lain tidak bukan adalah berpunca dari krisis kepimpinan yang berpanjangan, yang telah memusnah kepercayaan dan menghakis keyakinan ahli kepada parti. Dengan PRU 13 semakin hampir, MCA sudah tidak ada masa untuk terus berkocak dari dalam. Jika kalah lagi, MCA akan hilang dari peta politik negara. -FMT |
PR Namakan Dr.Hatta, Antony Loke & Azmin Untuk PSC, Bersih Bagi PSC Peluang [updated] Posted: 03 Oct 2011 04:22 AM PDT Dr Hatta, Azmin, Antony Loke wakil Pakatan di PSC Pakatan Rakyat hari ini mengulangi pendirian mereka menyokong pembentukan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen berhubung pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini tetapi menegaskan bahawa tindakan itu tidak sepatutnya dijadikan alasan bagi Suruhanjaya Pilihan Raya bagi tidak melaksanakan reformasi atas usaha mereka sendiri. "Kami tidak mahu PSC dijadikan sebagai alasan kepada SPR untuk menangguh, menunggu dan tidak melaksanakan sebarang reformasi," kata ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada siadang media bersama dengan PAS dan DAP di dewan Rakyat hari ini. Beliau juga mengumumkan bahawa tiga perwakilan dari Pakatan akan menganggotai jawatankuasa berkenaan. "Dari PKR adalah Azmin Ali, dari PAS pengarah pilihan rayanya, Dr Hatta Ramli dan dari DAP pula adalah juga pengarah pilihan rayanya Anthony Loke," katanya. "Pendirian Pakatan Rakyat sepakat untuk beri laluan dan kerjasama. Serta saya ingatkan jangan jadikan alasan melengahkan dan untuk ketepikan tuntutan BERSIH. "Jaminan belum ada. Kalau Perdana Menteri serius dia patut bangun dan pertahankan prinsip SPR yg bebas dan adil," katanya. Sebelum itu Anwar pada sidang Dewan Rakyat hari ini mempersoalkan peranan SPR yang mengabaikan tanggungjawab untuk menguruskan pilihan raya secara adil dan bersih. Beliau menyatakan SPR seolah-olah mengambil sikap bersahaja terhadap tuntutan gabungan BERSIH 2.0 pada Julai lalu. -mk Bersih "bagi can" kata PSC |
Penerbit Filem, Datuk Adzhar & Dua Anaknya Dihukum Penjara Dan Denda Posted: 03 Oct 2011 03:00 AM PDT Tiga Beranak Peneraju Noradz Travel & Services Dihukum Penjara, Denda KUALA LUMPUR: Seorang penerbit filem, Datuk Adzhar Sulaiman dan dua anak perempuannya yang menerajui syarikat pelancongan, Noradz Travel & Services pada Isnin, dihukum penjara dan denda selepas disabitkan bersalah atas tuduhan menerima deposit berjumlah lebih RM100 juta tanpa lesen dan 360 tuduhan aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM59 juta. Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Rozana Ali Yusoff memerintahkan Adzhar, 56, dihukum penjara selama dua tahun dan menjelaskan denda RM1 juta atau berhadapan dengan penjara 10 bulan, bagi kesalahan mengambil deposit tanpa lesen, dan bagi tuduhan mengubah wang haram, dia dihukum penjara selama tiga tahun. Sementara itu, anak perempuannya, Noradzma, 35, yang turut menghadapi tuduhan mengambil deposit secara haram dihukum penjara selama setahun dan denda RM500,000 atau jika gagal membayarnya diarahkan menjalani hukuman penjara selama enam bulan. Selain itu, Noradzma yang berstatus ibu tunggal dan mempunyai seorang anak perempuan berusia lapan tahun juga diarahkan untuk menjalani hukuman penjara selama dua tahun atas kesalahan menggubah wang haram. Syarikat Noradz Travel & Services juga diarahkan untuk menjelaskan denda sebanyak RM5 juta atas tuduhan mengambil deposit tanpa lesen yang sah. Pada prosiding sama, seorang lagi anak wanita Adzhar, Noradzrin, 26, yang pernah mencuba nasib dalam bidang seni menerusi lagu Pujaan Malaya juga diarahkan untuk menjalani hukuman penjara selama setahun atas tuduhan menggubah wang haram. Pada penghakimannya, Rozana berkata pembelaan yang dikemukakan oleh tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi danm pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah. "Keterangan yang dikemukakan oleh tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata tanpa disokong oleh keterangan lain, selain keterangan tersebut juga tidak konsisten dan sering berubah-ubah. Ini mengakibatkan mahkamah sukar untuk mempercayai keterangan bersumpah tertuduh," kata Rozana. Rozana juga menolak pembelaan tertuduh yang mendakwa mereka tidak mempunyai pengetahuan berhubung perjalanan syarikat kerana berpendapat keterangan yang dikemukakan di mahkamah pada perbicaraan menunjukkan semua tertuduh memainkan peranan yang aktif dalam syarikat tersebut. Selain itu, Rozana turut mengharapkan supaya hukuman yang dijatuhkan beliau akan menginsafkan tertuduh-tertuduh supaya mereka semua boleh kembali semula ke pangkal jalan. "Mencari kekayaan bukan dengan cara ini, mengambil kesempatan terhadap orang ramai yang tidak mengetahui perjalanan perniagaan kamu," tambahnya. Rozana seterusnya membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara yang dimohon oleh peguam Afifuddin Mohd Hafifi kerana akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini, dan memerintahkan supaya jaminan tertuduh sebanyak RM1 juta dengan cagaran RM500,000 ditambah lagi RM500,000. Pada 22 Disember 2009, Adzhar mengaku tidak bersalah atas 28 pertuduhan terlibat dalam pengurupan wang haram manakala Noradzma dan Noradzrin masing-masing menghadapi 166 pertuduhan. Mereka didakwa menggunakan wang haram tersebut membeli beberapa hartanah di Perak dan Pahang serta membeli produk insurans selain pelaburan dan memindahkan wang ke dalam akaun milik anak syarikat tersebut. Kesalahan itu didakwa dilakukan di bebarapa buah bank di sekitar ibu negara seperti EON Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, Ambank (M) Berhad antara 14 Ogos 2007 dan 6 Januari 2009. Pendakwaan dikendalikan mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Selain itu, syarikat tersebut, Adzhar dan Noradzma turut didakwa atas kesalahan menerima deposit daripada orang awam tanpa memegang lesen yang sah di antara Julai 2006 hingga Oktober 2008 di No 14-1A, Jalan 3/10, Pandan Jaya, di sini. Bagi kesalahan itu mereka didakwa di bawah seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989(Akta 372) yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Syarikat Noradz mempunyai beberapa rangkaian syarikat yang terlibat dalam perniagaan penyewaan kereta, agensi pelancongan, pelaburan dan penerbitan filem seperti filem lakonan Saiful Apek bertajuk 'Shhh...Dia Datang' dan beberapa drama. Penerbit Syyh.. Dia Datang, Datuk Adzhar Sulaiman (lima dari kiri) bersama-sama barisan pelakon Syh.. Dia Datang para majlis pelancaran filem tersebut Pada prosiding itu, pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman dan Pegawai-Pegawai Pendakwa dari Bank Negara, Anthony Kularaj Kulasingam dan Fahmi Abd Moin manakala tertuduh diwakili peguam Afifuddin Mohd Hafifi. Sehingga berita ini ditulis, tertuduh masih belum menjelaskan denda. -mstar Siapakah Dato' Adzhar Sulaiman? |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan