Kelab Greenboc |
- Putrajaya Tarik Balik Rang Undang-undang Kg Baru
- Apabila Pengarah Seronok Pungut Jutaan Ringgit Hasilkan Filem Hantu Perbodohkan Rakyat
- Kesatuan Sekerja Berpiket Depan Parlimen Bantah Pindaan Akta Pekerjaan
- Penduduk Protes Di Jalanraya Bantah Amah Diberikan Hak Penduduk Tetap
- Lelaki Dakwa Hospital Cuai, Isterinya Darah O Tapi Diberi Darah B
- Dua Peragut Lakukan Ragutan Ke Atas Wanita Dicekup
- 4 Nyaris Maut Pesawat Kecil Rempuh Roda Ferris
- Angkara Manusia Durjana, Dia Kini Tidak Mempunyai Mata Lagi
- UMNO Kalah Besar Jika PRU-13 Sekarang, Kena Balik Pada Pejuangan "Semangat 46" - TDM
- Pemuda PAS Tiba-tiba Sudah Jadi "Hantu Bonceng" Kepada Penerbit Filem?
- Hadi: PAS Bertanggungjawab Laksana Hudud, DAP Berhak Untuk Bantah
- Jika Benar Kata-kata Najib MCA Penentu Kemenangan BN, Bererti BN Memasuki Era Keruntuhan
Putrajaya Tarik Balik Rang Undang-undang Kg Baru Posted: 03 Oct 2011 12:36 AM PDT Rang undang-undang Kg Baru ditarik balik Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin menarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru yang sepatutnya dibaca kali kedua di parlimen hari ini. Bagaimanapun, menurutnya, undang-undang kontroversi itu akan digantikan dengan versi baru yang ditambah baik selepas mendapat maklum balas pelbagai pihak. Sebelum itu, Pakatan mengisytiharkan kemenangan terhadap perjuangan menentang rang undang-undang itu selepas menteri menariknya kembali dalam sidang parlimen ke-12 yang bersambung hari ini. "Viva, kejayaan untuk Pakatan Rakyat dan arwah Dr Lolo," kata Tian yang juga naib presiden PRK, merujuk kepada bekas anggota parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Ghazali yang meninggal dunia Mei lalu akibat barah. PAS menjadi peneraju utama kempen menentang rang undang-undang itu. Mereka menuntut termanya dirunding semula dengan penduduk, pemilik tanah dan kampung tradisional Melayu. Rang undang-undang yang antaranya bertujuan menubuhkan perbadanan bagi mengambil alih pembangunan di Kampung Baru dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 14 Disember, 2010. Bacaan kedua rang undang-undang itu sepatutnya dibuat semasa persidangan Parlimen pada Mac, tetapi ditangguhkan bagi membolehkan tuan tanah dan waris mereka memberi maklum balas. -mk Putrajaya tarik balik akta baru pembangunan Kg Baru Ulasan GB Walau bagaimanapun Pakatan Rakyat perlu berhati-hati taktik licik UMNO BN ini. Mereka mungkin sedang mengatur penipuan, rang undang-undnag yang sama bakal dibentangkan semula selepas pilihanraya umum ke 13. Hubaya-hubaya! sila klik untuk baca |
Apabila Pengarah Seronok Pungut Jutaan Ringgit Hasilkan Filem Hantu Perbodohkan Rakyat Posted: 02 Oct 2011 11:22 PM PDT Pengarah: Jangan hukum filem genre seram, hantu KUALA LUMPUR, 3 Okt — Penggiat dan pengarah filem hantu dan seram menafikan karya mereka menjadi punca kepada suburnya amalan kepercayaan tahyul di kalangan penonton atau merosakkan akidah mereka, selain percaya ia mempunyai banyak nilai positif seperti kekeluargaan dan agama. Ada antara mereka berpendapat filem sedemikian lebih bercorak hiburan, mendapat permintaan tinggi dan diselitkan dengan unsur komedi, bukan untuk meracuni minda masyarakat. Pengarah yang banyak menghasilkan filem seram, Ahmad Idham Ahmad Nadzri turut dilapor mempertikaikan cadangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mahu bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan isu lambakan filem itu kerana ia disifatkan sebagai tidak adil, sekali gus berniat untuk membunuh kerjaya mereka. Sebaliknya beliau meminta Majlis Fatwa Kebangsaan menemui pemain-pemain utama industri filem bagi membincangkan pengisian yang sepatutnya, sekali gus mengawal lambakan filem genre sebegitu. "Jangan menghukum filem genre seram atau menjadikannya alat untuk kepentingan politik," kata beliau dipetik Berita Harian hari ini. Laporan media semalam memetik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, lambakan cerita hantu yang ditayangkan di televisyen dan menerusi filem ketika ini boleh menggalakkan kepercayaan karut yang tidak membantu membina masyarakat berproduktif, termasuk menyelesaikan masalah dengan pendekatan saintifik. Beliau berkata lambakan cerita hantu yang berasaskan mitos banyak menyumbang kepada serangan histeria di kalangan pelajar perempuan Melayu. "Filem dan drama televisyen memaparkan kisah hantu hanya menggalakkan kepercayaan tahyul yang tidak mempunyai asas sama sekali. "Kita, terutama umat Islam, perlu tahu bahawa hanya Allah mempunyai kuasa ke atas segala-galanya," kata Dr Mahathir. "Sebagai contoh, dalam bidang perubatan, manusia mempunyai apa yang dipanggil sebagai 'peripheral vision'. "Jadi sekumpulan pelajar perempuan di asrama yang bercerita mengenai hantu akan melihat imbasan lembaga atau bayang-bayang melalui ekor mata dan terkena serangan histeria," kata beliau. Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia kini perlu memberi tumpuan kepada usaha mencari kaedah lebih saintifik untuk menyelesaikan masalah. Majlis Fatwa Kebangsaan pula mahu kerajaan membincangkan isu lambakan filem atau drama hantu kerana dikhuatiri boleh memesongkan akidah terutama di kalangan remaja Islam. Ahli jawatankuasa majlis itu, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, pihaknya mahu kerajaan memperincikan kawalan terhadap penerbitan filem atau drama hantu yang jelas berunsur khurafat dan mempromosikan karut. Mengulas lanjut, Ahmad Idham yang baru-baru ini menjadi fokus kontroversi filem Hantu Bonceng juga berkata dalam filem seram perkara yang perlu diberi perhatian oleh pembikin filem ialah isi kandungan filem itu sendiri. "Dengan lambakan filem seram sejak kebelakangan ini, satu perkara yang dapat membezakan setiap filem seram itu adalah isu kandungannya. "Isi kandung filem hantu perlu dikaji semula supaya pemikiran penonton tidak terus dibelenggu dengan kepercayaan karut," katanya. Malah katanya, "sebelum ini pun saya pernah menghasilkan filem seram yang tidak bergantung kepada jampi serapah atau bomoh sebagai penyelesaian." Misalnya, kata beliau, filem Damping Malam menggunakan pendekatan saintifik seperti yang dikatakan oleh Dr Mahathir apabila "pelakon filem mendapatkan pakar khidmat terapi untuk menyelesaikan masalah mereka." Turut bersetuju dengan Ahmad Idham ialah pengarah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Zombie Kampung Pisang, Mamat Khalid yang memberitahu bahawa tidak semua cerita seram menyuburkan kepercayaan kolot di kalangan penontonnya. "Kalau filem seram melambak di pasaran dan kebanyakan mesej di dalamnya positif, saya tidak anggap ia salah. "Lainlah jika filem itu dalamnya yang boleh merosakkan akidah, memang patut disekat," kata beliau. Pengarah urusan Cube Film Sdn Bhd dan juga pengarah yang banyak menghasilkan drama seram, Michael Ang berkata, kebanyakan judul seram dihasilkannya memberi pengajaran kepada penonton. "Saya terbitkan filem seram bukan sekar untuk menakutkan penonton, tetapi sebagai memberikan hiburan kepada mereka. Setengah penonton mendakwa perasaan takut sewaktu menonton filem hantu memberikan keseronokan buat mereka," katanya yang pernah menghasilkan filem Hantu Kum Kum, Pontianak Kampung Batu dan Dendam Sundel Bolong. Lagipun katanya, kebanyakan "filem seram kami dibuat dalam bentuk komedi dan juga bukanlah daripada cerita hantu yang asal." -TMI Ulasan GB Demikian hebat perwatakan pengarah dan penerbit filem genre hantu dan seram sehinggakan sanggup melawan dan menentang sesiapa saja kerana mengaut keuntungan tanpa memperdulikan kaedah dan cara. Kita juga ingin tahu tinggi manakah ilmu agama Ahmad Idham itu sehingga sudah berani mempertikaikan cadangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mahu bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan isu lambakan filem hantu dan seram? Semata-mata kerana filem sedemikian kononnya bercorak hiburan, mendapat permintaan tinggi dan diselitkan dengan unsur komedi yang mempersendakan agama diabaikan? Malah beliau menuduh pula tindakan majlis Fatwa itu berniat untuk membunuh kerjayanya sedangkan kerjayanya itu sendiri telah disalahgunakan untuk hasilkan filem-filem yang merosakkan aqidah dan mempersendakan nilai-nilai agama! Beliau juga menuduh Majlis Fatwa ada mempunyai kepentingan politik. "Jangan menghukum filem genre seram atau menjadikannya alat untuk kepentingan politik," katanya. Kepentingan politik siapa Ahmad Idham maksudkan? UMNO? PAS? BN? PR? Kita ingin ulangkan kepadanya, ini bukan soal kepentingan politik. Tetapi sekali lagi kita tegaskan, ia soal penyelewengan akidah dan pemunduran minda rakyat! Ahmad Idham juga meminta Majlis Fatwa Kebangsaan menemui pemain-pemain utama industri filem bagi membincangkan pengisian yang sepatutnya, sekali gus mengawal lambakan filem genre sebegitu. Demikian, keceluparan Ahmad Idham sudah melampau. Banyak besar pangkat kamu sampai orang terpaksa jumpa dan tunduk kepada kamu semata-mata kamu sekarang sudah kaya-raya kerana pungutan hasil filem sedemikian? Sepatutnya kamu yang mengadap Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum menghasilkan filem-filem berkenaan. Justeru itu, rakyat perlu MENGHUKUM mereka ini dengan mempastikan filem-filem hantu dan seram ditolak dan kerajaan perlu proaktif bagi mempastikan tiada lagi unsur khurafat, syirik dan tahyul dibenarkan ditayangkan kepada masyarakat. |
Kesatuan Sekerja Berpiket Depan Parlimen Bantah Pindaan Akta Pekerjaan Posted: 02 Oct 2011 09:54 PM PDT Aktivis piket bantah pinda akta pekerjaan Kira-kira 120 anggota Kesatuan Pekerja (MTUC) hari ini mengadakan piket di hadapan parlimen membantah pindaan undang-undang terhadap Akta Pekerjaan 1955. Ini kerana mereka mendakwa pindaan akta tersebut "tidak menyebelahi pekerja" dan kerajaan tidak mengadakan rundingan dengan kesatuan itu sebelum pindaan dibuat. Piket tersebut bermula jam 10.55 dengan membawa beberapa kain rentang yang mendesak menteri sumber manusia menarik balik pindaan undang-undang buruh yang menghakis hak pekerja. Mereka berbaris diluar pintu parlimen sambil melaung "Tarik Balik Undang-undang Buruh" dan "Hidup MTUC". Nyanyian dan laungan bantahan mereka juga diiringi dengan paluan kompang menghangatkan suasana piket mereka. -mk Laporan sebelum ini:
|
Penduduk Protes Di Jalanraya Bantah Amah Diberikan Hak Penduduk Tetap Posted: 02 Oct 2011 08:42 PM PDT Hong Kong – Kira-kira 500 penduduk Hong Kong berarak di bandar raya ini bagi membantah satu keputusan mahkamah yang membenarkan ribuan amah asing hak untuk menjadi penduduk tetap. Gambar: SEJUMLAH penunjuk perasaan duduk di sebatang jalan raya di Hong Kong semalam bagi menentang hak amah asing memohon taraf penduduk tetap. Tunjuk perasaan itu dibuat selepas seorang amah dari Filipina, Evangeline Banao Vallejos yang tinggal di sini sejak 1986 berjaya dalam kesnya di mahkamah. Pada Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa undang-undang imigresen yang melarang amah asing kebanyakannya dari Filipina dan Indonesia tinggal secara tetap di Hong Kong adalah sebenarnya melanggar perlembagaan mini pulau ini yang dikenali sebagai Undang-Undang Asas. "Kami tidak mahu amah untuk datang ke Hong Kong secara tetap, mereka akan mengambil keuntungan sosial kita," kata seorang penunjuk perasaan, Dennis Leung selepas tunjuk perasaan tersebut berarak melalui bandar raya ini ke pejabat kerajaan. Warga asing boleh tinggal di Hong Kong selepas tujuh tahun, memperoleh akses untuk mengundi dan hak tinggal di bandar raya ini tanpa visa kerja. Amah turut termasuk dalam peruntukan itu. Menerusi taraf penduduk tetap, seorang amah tidak lagi terikat kepada majikan, boleh melakukan sebarang pekerjaan dan mendapat manfaat daripada skim perumahan awam. Pihak pemerintah kini membuat rayuan terhadap keputsuan mahkamah itu. – AFP Ulasan GB Demikian kisah rakyat sebuah negara yang tidak mudah untuk menerima warga asing diberikan hak penduduk tetap. Berbeza yang berlaku di Malaysia, semata-mata untuk menjaga kepentingan survival parti pemmerintah, warga asing begitu mudah diberikan hak penduduk tetap, malah kewarganegaraan pun turut diberikan. JPN dan SPR punya kerja. |
Lelaki Dakwa Hospital Cuai, Isterinya Darah O Tapi Diberi Darah B Posted: 02 Oct 2011 06:42 PM PDT Kuala Lumpur: Seorang wanita yang baru melahirkan anak ketiganya mengalami komplikasi yang didakwa berpunca daripada kecuaian kakitangan hospital yang tersilap memasukkan darah jenis berlainan ke tubuhnya. Kejadian itu berlaku 22 September lalu dan Faridah Abd Aziz, 34, yang juga pegawai bank kini terpaksa menjalani rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas beberapa hari terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama. Suaminya, Ku Nazri Ku Yaakob, 34, mendakwa petugas hospital berkenaan memasukkan darah jenis B ke tubuh isterinya yang mempunyai darah jenis O dan kesilapan itu boleh mengundang maut. "Ketika kejadian, isteri saya baru melahirkan anak ketiga kami secara pembedahan, jadi dia kekurangan darah dan memerlukan doktor memasukkan darah ke dalam tubuhnya," katanya yang ditemui di Balai Berita di sini, semalam. Ku Nazri berkata, isterinya terpaksa menjalani rawatan susulan dan terlantar sakit di HKL serta diberitahu akan dibenarkan pulang dalam tempoh dua minggu lagi. Katanya, kejadian itu memberi kesan emosi yang teruk terhadap mereka sekeluarga, malah anak ketiganya itu tidak dapat diberikan susu ibu. "Saya mengambil cuti sejak 10 hari lalu untuk menjaga isteri di hospital dan membawa ibu berusia 74 tahun dari kampung di Jitra, Kedah, untuk menjaga bayi kami," katanya. Katanya, pihak pengurusan hospital sudah memanggilnya dan mengakui kesilapan mereka yang cuai terhadap pesakit, malah satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat kejadian terbabit. Susulan itu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang 23 September lalu dan Kementerian Kesihatan Malaysia. "Saya sudah memanjangkan perkara ini kepada pihak berkuasa, namun sehingga kini saya tidak dihubungi bagi mendapatkan penjelasan perkembangan semasa kes isteri saya," katanya. Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan terbabit dan memberi maklum balas dalam masa terdekat. -hm |
Dua Peragut Lakukan Ragutan Ke Atas Wanita Dicekup Posted: 02 Oct 2011 04:52 PM PDT Kuala Lumpur: "Saya meragut sebab tak ada duit... lagipun saya baru habis belajar," demikian pengakuan salah seorang daripada dua suspek yang ditahan selepas cuba meragut beg seorang wanita di Jalan Sultan Ismail di sini, awal pagi semalam. Gambar: DUA peragut yang ditahan selepas cuba meragut beg seorang wanita di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, awal pagi semalam. Mereka yang ditahan empat anggota polis ketika melakukan rondaan cegah lumba haram pada jam 4 pagi, turut mengaku melakukan empat jenayah ragut di sekitar ibu negara sejak sebulan lalu untuk mencari wang belanja harian. Kedua-dua suspek, seorang bekas penuntut sebuah kolej swasta di Bangi dan seorang lagi pekerja stor syarikat utiliti air ditangkap ketika cuba meragut beg mangsa di hadapan sebuah pusat hiburan. Bagaimanapun, tindakannya menggenggam kuat beg tangannya berjaya menggagalkan cubaan ragut itu, namun mangsa cedera selepas diseret tiga meter. Pada ketika sama, sepasukan empat anggota polis dari Unit Khas Polis Trafik Kuala Lumpur yang kebetulan sedang menjalankan tugas meronda di kawasan berkenaan menyaksikan kejadian itu bertindak mengejar kedua-dua lelaki terbabit. Menyedari mereka dikejar, kedua-dua suspek berusia 20 dan 23 tahun itu bertindak memecut motosikal yang dinaiki mereka ke arah Jalan Kuching sebelum ditahan di Jalan Kinabalu, empat kilometer dari tempat kejadian dan dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk siasatan lanjut. Hasil siasatan mendapati motosikal Yamaha 125-Z yang dibaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu. "Kami jarang dapat wang tunai, kadang-kadang kami hanya dapat melarikan telefon bimbit yang kemudian dijual untuk dapatkan wang belanja," katanya kepada pegawai penyiasat. Kedua-dua mereka kemudian diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan tanpa senjata. -bh |
4 Nyaris Maut Pesawat Kecil Rempuh Roda Ferris Posted: 02 Oct 2011 02:30 PM PDT Canberra: Sebuah pesawat ringan merempuh roda Ferris di kawasan hiburan di timur Australia, semalam, menyebabkan dua kanak-kanak yang menaiki alat permainan itu terperangkap selama hampir dua jam. Gambar: Empat orang termasuk kanak-kanak dilaporkan terperangkap di bahagian roda Ferris selepas dirempuh pesawat ringan di lokasi pesta di Taree, Australia, hari ini. — Foto Reuters Turut terperangkap, dua yang lain dalam pesawat ringan berkenaan. Bagaimanapun, tiada kecederaan serius dilaporkan. Pesawat Cheetah S200 itu membawa dua lelaki tersangkut di bahagian atas roda Ferris berkenaan. Kanak-kanak yang terperangkap itu berusia sembilan dan 13 tahun. Juruterbang berkenaan berusia 52 tahun, manakala penumpangnya 32 tahun. Jurucakap bomba berkata, mereka menggunakan kren untuk menyelamatkan semua empat mangsa. - AP |
Angkara Manusia Durjana, Dia Kini Tidak Mempunyai Mata Lagi Posted: 02 Oct 2011 10:30 AM PDT Mangsa asid tiada biji mata PADANG BESAR – Deria penglihatannya terpaksa dibuang, manakala kedua-dua kelopak mata ditutup serta dijahit dan sedikit lubang ditinggalkan bagi membolehkan air matanya mengalir keluar. KEADAAN wajah Muhamad Hanif selepas terkena simbahan asid di Padang Besar, Perlis. Begitulah sengsara ditanggung seorang pemandu lori, Muhamad Hanif Sunaid @ Shuib, 25, yang menderita akibat disimbah asid oleh seorang individu di Kampung Sentang, Utan Aji dekat sini pada Mei lalu. Muhamad Hanif menjadi sedemikian rupa disebabkan simbahan asid tersebut terkena matanya yang mengakibatkan pancaindera tersebut terpaksa dibuang selain dia melecur hampir 50 peratus di muka dan badan. Dia memberitahu, kulit pada belakang badan, paha dan kaki dijadikan pengganti kulit di bahagian muka dan badan depannya yang rosak teruk terkena simbahan asid tersebut. "Kini seluruh badan saya terpaksa berbalut kerana sedang bersalin kulit dan ini menyukarkan saya bergerak selain hanya mampu terlantar di atas katil. "Dulu saya tidak macam ini tetapi kini dah jadi begini, saya hanya mampu reda dan cuba menyesuaikan diri," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Baru, Batu Bertangkuk dekat sini semalam. -kosmo Ulasan GB Banyak perkara boleh menimpa kebidupan kita, namun kisah di atas diantara yang menyayatkan hati kita. Marilah sama-sama kita berdoa agar Allah kurniakan ketabahan dan ketenteraman di jiwa Muhammad Hanif disamping memberikannya kekuatan untuk mengahadapi kehidupan. Seterusnya kita berdoa agar yang durjana itu diberikan pembalasan yang setimpal. |
UMNO Kalah Besar Jika PRU-13 Sekarang, Kena Balik Pada Pejuangan "Semangat 46" - TDM Posted: 02 Oct 2011 08:30 AM PDT Orang UMNO perlu balik ke perjuangan asal untuk menang pilihan raya: Tun M JITRA: Ahli UMNO perlu balik pada perjuangan asal parti demi agama, bangsa dan tanah air dengan mengetepikan kepentingan diri untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang dijangka tidak lama lagi. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata hanya dengan cara itu penyakit yang menjadi 'duri dalam daging' iaitu mencantas atau menikam belakang dalam diri orang-orang UMNO akan terhapus. "Dulu orang UMNO berkorban apa saja untuk parti, sanggup gadai barang kemas dan sebagainya untuk bantu parti tetapi sekarang mereka pegang jawatan sebab hendak dapat kontrak, jadi calon atau sebab tertentu. "Jika diadakan PRU waktu ini, UMNO boleh kalah besar kerana sokongan dan semangat mereka telah pudar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan 'Bicara Negarawan' pada perhimpunan perdana Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) siri kedua peringkat negeri di Dewan Wawasan di sini, hari ini. Hampir 2,000 pengerusi dan setiausaha JKKKP dari seluruh negeri hadir mendengar bicara beliau yang berlangsung selama sejam. Hadir sama pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah, timbalannya Datuk Mukhriz Mahathir serta jawatankuasa Perhubungan UMNO Kedah. Dr Mahathir berkata Barisan Nasional (BN) bagaimanapun boleh menang besar pada PRU ke-13 sekiranya penyakit dalam diri orang UMNO ini terhapus. Beliau yang ditanya adakah sesuai PRU diadakan sekarang, menjawab: "Pada pendapat saya sekarang belum sesuai. Banyak lagi yang perlu dilakukan lagipun UMNO belum cukup kuat." "Dalam UMNO masih ada puak. Saya fikir perpecahan masih kritikal. Kalau ada kesedaran dan perasaan syukur dan terus bersatu, BN boleh menang. Orang UMNO seharusnya buang sifat tidak puas hati. Walaupun tidak dapat apa yang dihajati mereka tetap menikmatinya dalam bentuk lain," katanya. Mengenai parti PAS yang mengulangi hendak melaksanakan hukum hudud, beliau berkata: "Mereka buat begitu kerana rasa nak kalah." "Negara ini mengandungi penduduk berbilang agama dan bangsa. Kalau 100 peratus Islam tiada masalah. Hudud yang hendak dilaksanakan terhadap orang Islam sahaja seperti kata (Datuk) Nik Aziz Nik Mat (Mursyidul Am Pas), itu betul... tidak adil. Islam menuntut keadilan dalam semua perkara. "Dalam satu kes melibatkan seorang Islam dan seorang bukan Islam, orang Islam dihukum potong tangan dan bukan Islam dijel....adilkah itu. Bagi Nik Aziz adillah, bagi saya tidak adil. "Kalau nak potong tangan, sama-sama kena potong tangan, kalau jel, sama-sama masuk jel. Jenayah sama hukuman pun patut sama. "Kerajaan bukan tidak setuju dengan hukum hudud tetapi keadaan dalam negara kita tidak sesuai. Berapa banyak negara Islam yang benar-benar melaksanakan hukum hudud," soal Dr Mahathir. Beliau yang ditanya seorang wartawan akhbar Cina mengenai sama ada kerajaan akan membenarkan Chin Peng yang dilaporkan sakit untuk balik ke Malaysia, Dr Mahathir berkata rakyat masih marah pada komunis. "Dia pilih untuk mengkhianati negara.... kita kena ambil kira perasaan orang kerana ramai jadi mangsa komunis, kehilangan keluarga, putus kaki. Ramai orang tidak maafkan dia. Kita kena fikir perasaan mereka bukan Chin Peng," katanya. Dr Mahathir menegaskan Chin Peng berjuang kerana hendak mendirikan kerajaan komunis bukan menuntut kemerdekaan, berlainan dengan perjuangan Datuk Onn Jaafar, Tun Sambanthan dan beberapa lagi tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan. - BERNAMA Ulasan GB Pertama: Kembali kepada perjuangan "asal" UMNO. Kata Mahathir: Ahli UMNO perlu balik pada perjuangan asal parti demi agama, bangsa dan tanah air dengan mengetepikan kepentingan diri untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang dijangka tidak lama lagi. Apa ertinya balik pada perjuangan asal parti? Maksudnya ialah, kembali kepada semangat penubuhan UMNO yang ada pada tahun 1946, Semangat 46! Tetapi sayang Semangat 46 sudah berkubur, tidak akan hidup balik. Maka yang ada kini ialah UMNO Baru yang Mahathir sendiri tubuhkan yang perjuangan UMNO sekarang, menurut Mahathir sendiri, mereka pegang jawatan sebab hendak dapat kontrak, jadi calon atau sebab tertentu. Sudah tidak dapat hendak dihidupkan semangat 46 itu lagi sampai bila-bila. Kedua: Mengenai parti PAS yang mengulangi hendak melaksanakan hukum hudud, beliau berkata: "Mereka buat begitu kerana rasa nak kalah." "Negara ini mengandungi penduduk berbilang agama dan bangsa. Kalau 100 peratus Islam tiada masalah. Kita ingin bertanya kepada Mahathir, buktikan negara mana di atas dunia ini yang penduduknya 100% umat Islam. Negara Arab Saudi yang Islam diturunkan pun tidak mempunyai 100% penduduk Islam. Ketiga: Hudud lagi Kata Mahathir: "Dalam satu kes melibatkan seorang Islam dan seorang bukan Islam, orang Islam dihukum potong tangan dan bukan Islam dijel....adilkah itu. Bagi Nik Aziz adillah, bagi saya tidak adil. "Kalau nak potong tangan, sama-sama kena potong tangan, kalau jel, sama-sama masuk jel. Jenayah sama hukuman pun patut sama. Memang benar sebarang undang-undang atau hukum sepatutnya dikenakan "sama" untuk semua penduduk tak kira hukum Islam atau bukan. Tetapi jika Mahathir & UMNO yang mengaku Islam sendiri menolak hudud, bagaimana hendak meyakinkan orang bukan-Islam terhadap hukum tersebut? Itu sebab mengapa PAS hendak menjalankan hukum hudud kepada umat Islam terlebih dahulu. Untuk memperlihatkan keindahan dan keadilan undang-undang Islam. Kemudian apabila ianya diterima oleh semua, ada kemungkinan yang bukan Islam juga akan tertarik dan akan meminta hukum itu dilaksanakan kepada mereka. Sama seperti perbankan Islam satu ketika. Pada awalnya masyarakat bukan Islam prejudis terhadapnya, tetapi apabila ia dilaksanakan, ramai pula yang bukan Islam turut menyertai sistem kewangan dan perbankan Islam yang tiada riba malah perbankan konvensyenal juga turut menyediakan produk-produk Islam. Hujjah-hujjah kamu sudah kami patahkan. Berhijrahlah kepada perjuangan "Islam" kerana UMNO akan berkubur tidak berapa lama lagi dari sekarang. |
Pemuda PAS Tiba-tiba Sudah Jadi "Hantu Bonceng" Kepada Penerbit Filem? Posted: 02 Oct 2011 06:42 AM PDT Hantu Bonceng: Usah cepat halalkannya oleh Mohd Firdaus Mohamed Khairi Isu filem Hantu Bonceng yang dikatakan mempersendakan kalimah syahadah akhirnya dikatakan selesai selepas Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) yang diwakili Nasrudin Hassan menerima penjelasan daripada penerbit filem tersebut Ahmad Idham Ahmad Nadzri. Lembaga Penapisan Filem (LPF) juga menyatakan bahawa pihak lembaga tiada masalah dengan Filem Hantu Bonceng. Pengerusinya, Datuk Raja Azhar Raja Abdul Manap berkata, pihaknya telah menonton dan meneliti filem itu sebelum ia ditayangkan kepada umum dan mendapati tiada unsur penghinaan terhadap agama. "LPF sejak kali pertama menapis filem ini telah memberi perhatian yang teliti sebelum membuat keputusan. Lembaga sentiasa berpegang kepada empat elemen utama dalam sesuatu penapisan iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosio budaya, ketertiban dan ketatasulisaan." Malah penerbit filem itu juga menyatakan bahawa filem ini telah ditonton oleh empat ulamak sebelum filem ini diluluskan. Di dalam semua watak ini. Hanya "Zizan" sahaja sebagai watak utama telah memohon maaf kepada semua. Usaha Dewan Pemuda PAS sewajarnya dipuji kerana ketegasannya menarik perhatian khalayak masyarakat untuk sensitif terhadap isu mempersenda agama dalam hiburan. Namun begitu terdapat beberapa elemen yang terlepas pandang apabila diperhalusi isu ini khasnya didalam filem "Hantu Bonceng". Kebanyakan pihak hanya menumpukan satu isu sahaja iaitu isu kalimah tauhid berbanding pelbagai mesej yang cuba disampaikan di dalam filem ini. Keadaan ini berlaku apabila media hanya menggaris besar hanya satu isu sahaja mengenai kontravensi dalam filem ini. Apabila saya membaca blog Ketua Dewan Pemuda PAS, jelas melihat beliau memperjuangkan isu ini dalam banyak sudut. Semua pihak wajar melihat isu ini daripada pelbagai sudut. Apa yang dikesali ialah apabila pertemuan antara kedua pihak di akhiri dengan penerimaan penjelasan daripada penerbit dan penerbit berasa bangga. Sepatutnya pertemuan ini wajar diakhiri dengan resolusi. Apakah tiada pendirian tegas untuk memastikan isu ini tidak akan timbul lagi sedangkan penerbit dan pengarah ini sudah acapkali mempersendakan agama didalam filem-filemnya. Terutama filem seramnya. Untuk lebih memahami isu ini mari kita lihat beberapa mesej yang cuba disampaikan dalam filem ini. Samada kita sedar atau tidak. a. Menghalalkan tinggal serumah lelaki dan perempuan bukan mahram Di dalam filem ini abang kepada kekasih "Zizan" tinggal berkesedudukan serumah dengan kekasihnya sehingga wanita itu hamil. Di dalam filem ini tiada satu mesej yang menyatakan bahawa perkara ini salah. Malah wanita ini pada akhir cerita ini sanggup menunggu kekasihnya yang cedera parah selepas kemalangan seolah-olah perkara ini tidak salah. Malah di dalam filem ini juga "Zizan" telah membantu adik kepada mangsa kemalangannya (yang menjadi hantu) tinggal serumah dengannya. Babak-babak ini seolah-olah memberitahu kita bahawa tidak mengapa tinggal serumah kerana terdapat bilik yang berasingan. Malahan mereka tinggal bertiga. Mesej yang disampaikan seolah-olah tidak mengapa untuk tinggal serumah dengan mahram kerana niat kita untuk membantunya. Yang peliknya ketika ketika kekasih "Zizan" minta tolong daripada "Zizan" untuk menumpang dirumahnya kerana tidak lagi tinggal serumah dengan abangnya. Boleh pula pengarah mengarahkan "Zizan" untuk menyebut dialog bahawa tinggal serumah itu haram. Nanti timbul fitnah. Tidakkah ini mempersendakan agama? b. Saya kuat agama Babak kekasih Kunyit yang menyatakan bahawa dia kuat agama. Ketika itu wataknya memakai tudung. Malah ada ketikanya dia begitu memarahi watak kekasih kepada abang kekasih "Zizan" kerana telah hamil seolah-oleh mencipta watak bahawa kuat agama yang penting adalah dalaman. Tidak mengapa walaupun tidak menutup aurat dengan sempurna. Keadaan ini juga berlaku didalam filem gagal "Karipap-karipap cinta" Yang cuba menggambarkan walaupun bekas penuntul Al-Azhar, tetapi tidak mengapa untuk tidak menutup tudung/aurat dengan sempurna. Saya tidak berniat untuk mengkritik mereka yang tidak bersedia untuk bertudung. Memang kita tidak tahu hati budi seseorang. Namun demikian sekurang-kurang mereka yang memakai tudung dengan sempuran telah mematuhi perintah Allah SWT yang memerintahkan kita menutup aurat dengan sempurna. Dialog yang menyebut kuat agama tetapi tidak memenuhi syraiat yang telah diperintahkan jelas menyampaikan mesej yang mengelirukan umat Islam. Tidakkah ini mempersendakan agama? c. Bergurau-senda terlampau di tempat ibadah antara mahram Pada babak yang lain watak "Kunyit" yang sedang membantu bergotong royong di surau dilihat sedang bergurau dengan kekasihnya secara melampau. Tanpa mengira sesentiviti surau sebagai temapt ibadah umat Islam. Mereka mengenyit mata sambil kunyit mempamerkan otot-otot tangannya kepada kekasihnya.Apakah mesej yang cuba disampaikan oleh adegan ini? Mungkin ada yang berpendapat kita tak perlu terlalu sensitif dengan perkara yang dianggap mungkin kecil ini. Tetapi sekira kita tidak mula sensitif dengan perkara yang dianggap kecil ini. Kelak perakara ini akan merebak dan parah. Tidakkah ini mempersendakan agama? d. Mengucapkan kalimah syukur selepas membonceng bersama kekasih bukan mahram Penonton yang telah menyaksikan filem ini pasti tidak akan terlepas menonton adegan ini. Dalam adegan ini jelas memperlihatkan "Zizan" mengucapkan ucapan "Alhamdulillah" yang bermaksud "Segala Puji Bagi Allah". Dialog di dalam adegan ini jelas diucap "Zizan" dengan sekuntum senyuman. Apakah penulis dialog dan pengarah filem serta penerbitnya tidak memahami maksud ayat ini? Ucapan yang kita pelajari sejak kecil yang tidak memerlukan kita mempunyai kelulusan tinggi dalam bidang agama ini pasti mudah kita fahami malah penonton yang mahu mengkritik adegan ini juga tidak perlu mengisytiharkan bahawa mereka mempunyai kelulusan yang tinggi. Kanak-kana pra-sekolah juga dapat memahami maksud "Alhamdulillah" ini dengan baik. Adakah kita perlu mengucap syukur setelah membuat perkara haram?. Agama memang mudah. Namun jangan kita permudahkan agama dengan sesuka hati mengikut kehendak nafsu kita. Tidakkah mengucapkan ucapan ini merendahkan agama. Tidakkah ini mempersendakan agama? e. Menggunakan Bacaan Surah Al-Ikhlas untuk menumpaskan sihir nasi kangkang Inilah kesalahan yang kerapkali digunakan oleh penerbit dan pengarah ini. Malah kebanyakan pembikin filem kerap menggunakan perkara ini untuk filem seram mereka. Namun yang lebih menyedihkan pada kali ini ialah apabila surah yang mulia ini digunakan untuk menewaskan sihir nasi kangkang. Tidakkah adegan ini menghina dengan jelas agama,al-Quran dan surah al-Ikhlas itu sendiri. Adakah layak adegan sehina ini disama tarafkan dengan surah al-ikhlas yang kedudukan ayat ini ialah sama dengan satu pertiga isi al-Quran. Takutlah kita dengan perbuatan yang melampau dan zalim seperti ini. Kita tidak mahu seringkali ayatsuci al-Quran digambarkan sebagai alat penghalau hantu sahaja. Penggunaan secara meluas aspek agama sebagai komedi wajar dibendung Saya sebagai penulis ingin memohon kemaafan andai banyak ayat di dalam tulisan ini kasar bunyinya. Namun kita tidak wajar melihat agama terus dilonggarkan lagi. Filem bercorak agama dan nasihat wajar tidak menjadikan agama sebagai bahan komedi. Jika mahu menjadikan filem agama menjadi komedi sekali pun. Biarlah senario kehidupan biasa dijadikan adegan lawak. Bukan kalimah agama,para ustaz dan ulamak, bukan pada ibdah, bukan syariat dijadikan bahan komedi. Kita tidak mahu filem komedi agama negara menjadi seperti filem komedi negara barat yang terus menjadikan para paderi mereka atau orang agama mereka sebagai bahan lawak. Malah dalam salah satu cerita barat "Tuhan" juga dijadikan bahan lawak. Secara sedar atau tidak sedar ini semua adalah usaha secara halus untuk kita semua tidak menjadikkan agama sebagai jalan kehidupan. Ini semua adalah jarum halus untuk mengakarkan faham sekularisme dalam minda kita semua. Memisahkan agama daripada kehiudpan kita tanpa sedar. Meskipun pengarah itu membuat jaminan bahawa para ulamak juga telah menonton filem ini sebelum diluluskan. Namun ini bukanlah jaminan bahawa filem ini bebas daripada unsur persendakan agama. Dua kesan besar yang akan didapati apabila filem dan drama ditafsir sesuka hati oleh para pembikin filem. 1. Salah faham mengenai ajaran Islam sebenar terutamanya dari segi aspek Tauhid, Fekah dan Tasauf. Ketiga-tiga ciri ini adalah asas yang paling asas dalam ajaran Islam. Apabila Iblis dimenangkan, pergaualan bebas dibenarkan. Tarbiyah seperti zikir dianggap sebagai simbol ajaran sesat. Maka akan rosaklah ajaran Islam yang sebenar. Ini memandangkan kuasa media yang sangat besar. 2. Lebih membawa kerosakan. Hujah ini berdasarkan bahawa kebanyakkan filem atau drama ini cuba memaparkan betapa bahaya dan betapa dasyatnya apabila manusia membuat dosa. Malangnya filem dan drama inilah yang menunjukkan cara-cara untuk melakukkan dosa. Terdapat juga adegan yang sebenarnya membahaya bahaya besar kepada negara secara khususnya. Seperti yang dinyatakan diatas bahawa terdapat filem dan drama yang mengajar penonton bagaiaman mahu membuat jenayah terancang seperti pencolekan, pembunuhan, rogol, penipuan malah cara untuk membuat bom. Kesan ini sangat besar samada kesan jangka pendek ataupun kesan jangka panjang. Kesan salah tafsir ini sangat penting untuk dibendung. Kesan besar media Menurut Dennis Mcquail (1996:53) seorang tokoh didalam dunia media massa pernah menyatakan bahawa antara peranan media ialah. 1. Berperanan meluaskan pengalaman dan pandangan kita dan memungkinkan kita memahami apa yang terjadi di sekitar kita, tanpa campur tangan pihak lain atau sikap memihak. 2. Pentafsir yang menjelaskan dan memberi makna terhdap peristiwa atau hal lain yang terpisah dan kurang jelas. 3. Pemberi dan pengantar informasi dan pendapat. 4. Jaringan interaktif yang menghubungkan komunikator dengan penonton melalui berbagai kaedah interaksi. 5. Penunjuk arah yang menunjukkan arah, memberikan bimbingan atau arahan kepada penonton. 6. Penyaring yang memilih bahagian mana senario yang yang perlu diberikan perhatian khusus dan menyisihkan senario yang lainnya, baik secara sedar dan penyisihan dan pengambaran sistematik maupun tidak. 7. Cermin yang memantulkan citra masyarakat terhadap masyarakat itu sendiri, biasanya pantulan citra itu mengalami perubahan kerana adanya penonjolan terhadap segi yang ingin dilihat oleh para anggota masyarakat, atau sering pula segi yang ingin mereka hakimi atau kritik. 8. Tirai atau penutup yang menutupi kebenaran demi pencapaian tujuan propaganda atau pelarian daripada suatu kenyataan. Membina Karya Hasanah Ainon Mohd dalam buku beliau iaitu "Panduan Menulis Novel :Teknik Surah Yusuf" menggariskan bahawa terdapat beberapa garis besar yang perlu dijadikan panduan untuk membina karya Hasanah. Karya Hasanah adalah dimaksudkan karya yang baik. Iaitu karya yang mampu memandaikan masyarakat dan memberi ilmu yang benar. Beliau menyatakan bahawa ciri-ciri karya tidak hasanah adalah seperti berikut. 1. Mempromosikan Idea yang mengatakan Tuhan tidak wujud. 2. Mempromosikan idea-idea yang tidak selaras dengan ajaran di dalam al-Quran dan hadis. 3. Menimbulkan kesan psokologi dan emosi yang menyebabkan timbul keinginan pembaca/penonton mahu melakukkan perkara yang dilaran al-Quran dan hadis. 4. Memberi kemenangan moral kepada si pendosa, yakni watak yang melakukan perbuatan salah. 5. Memberi status rendah kepada Islam manakala agama lain diberikan status yang tinggi dan mulia. "Piawaian Filem Patuh Syariah" Sudah sampai masanya filem negara perlu patuhi "Piawaian Filem Patuh Syariah". Oleh itu adalah wajar industri hiburan bertemakan Islam diadakan badan pengawas seperti JAKIM mengawal produk halal negara. Badan penilai ini bolehlah mempunyai ciri yang sama dengan FINAS yang melakukan penapisan filem yang sesuai ditayangkan di negara kita. Filem atau drama yang ingin di tayangkan dalam kosnesp karya Islamik perlulah melepasi piawaian patuh syariah atau "syariah compliant". Saranan ini sangat penting memandangkan kesan media sangat besar terutamanya kepada generasi muda Negara. Kita tidak mahu fahaman mengenai syariah sebenar kacau bilau. Konsep Sastera Patuh Syariah adalah konsep yang di ketengahkan oleh Ainon Mohd. Beliau banyak mengetengahkan teori Surah Yusuf sebagai panduan untuk menghasilkan sastera Islamik yang patuh syariah. Seperti senario diatas , banyak keadaan senario drama dan filem bertemakan Islamik adalah tidak patuh syariah. Oleh yang demikian panel pengawasan untuk filem dan drama Malaysia perlu segera diwujudkan untuk memastikan kemurniaan dan kesucian Islam. Sekarang adalah masa yang terbaik memandang banyak usaha pengeluar filem dan drama sedang menghasilkan filem dan drama bertemakan Islam dan seram tahyul. (Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persipan untuk) menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan Kami. Al-A'raf : 51 Penulis adalah fellow penyelidik di Assembly of Intellectual Muslim (HAKIM) dan mantan Timbalan Presiden Kebangsaan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia. Ahmad Idham Dan Dewan Pemuda PAS Malaysia Bertemu Dalam Suasana Mesra Ulasan GB Sebenarnya banyak pihak yang tidak bersetuju malah membantah sikap Pemuda PAS yang tidak istiqamah di dalam pendiriannya. GB menerima banyak email yang menyatakan bahawa tindakan Pemuda PAS lebih banyak mendatangkan kemudaratan kepada perjuangan Islam di negara ini, malah dilihat telah bersekongkol dengan penayangan filem hantu, syirik dan khurafat khususnya filem Hantu Bonceng yang kini sedang hangat diperkatakan. Pagi tadi GB sudah pun membuat ulasan. Petikan: Menyentuh mengenai kontroversi filem Hantu Bonceng yang dihebohkan ada beberapa perkara yang memusykilkan. Lembaga Penapis Filem melalui Pengerusinya Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap mendakwa JAKIM telah meluluskannya. Mana buktinya? Siapa pegawai JAKIM itu? Bila masa dilakukan pertemuaan JAKIM dan Lembaga Penapis Filem? Mana kenyataan rasmi JAKIM? Seorang pengunjung blog ini bernama Yong memberi komennya: Yong said... Tetapi, memang benar, tindakan Pemuda PAS tersebut cukup dan hina dan memalukan, terutama di hal mempersendakan agama di dalam filem berkenaan. Tiba-tiba di akhir pertemuan kedua pihak, kita dapati Pemuda PAS sudah jadi Hantu Bonceng kepada penerbit filem tersebut! Seperti soalan GB sebelum ini kepada yang menghalalkan filem berkenaan, sanggupkah kamu-kamu menanggung dosa sekalian yang menonton? Sekarang, quo vadis Pemuda PAS? |
Hadi: PAS Bertanggungjawab Laksana Hudud, DAP Berhak Untuk Bantah Posted: 02 Oct 2011 04:34 AM PDT Kepala Batas, 2 Okt — Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS serius dalam melaksanakan undang-undang hudud dan mengakui orang bukan Islam termasuk DAP mempunyai hak untuk bersuara menyatakan pendirian masing-masing dalam perkara itu. Jelas Hadi (gambar), PAS telah melaksanakan kewajiban untuk melaksanakan undang-undang syariah Islam dengan menggubal Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 walaupun ia tidak dapat dikuatkuasakan. "Kita telah tunaikan tanggungjawab kita di negeri, rakan-rakan bukan Islam tidak bersetuju, itu hak mereka... kita tak boleh halang. "Orang Islam mempunyai tanggungjawab, jika ada masalah semua pihak perlu selesaikan masalah dan PAS sedia untuk selesaikan masalah ini," kata beliau pada Rapat Umum Perdana sempena Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di sini malam tadi. Minggu lalu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, beliau lebih rela jika DAP mahu keluar dari Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam. Nik Aziz berkata, beliau akan tetap dengan pendiriannya untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya itu. Kata Mursyidul Am PAS ini, tiada sesiapa pun termasuk DAP berhak menolak hukum hudud selagi semua manusia menumpang di bumi Allah ini dan hukum Islam yang mahu ditegakkan itu adalah kerana ia hukum Allah, bukannya manusia. Rabu lalu, Pakatan Rakyat mengambil pendirian tegas bahawa hukum hudud tidak akan menjadi sebahagian daripada dasar bersama perikatan itu sehingga kesemua parti komponen menzahirkan persetujuan dan konsensus. Walaupun agak sukar untuk dilaksanakan, namun Nik Aziz masih menaruh harapan hukum hudud dapat dilaksanakan di negara ini sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke-13. Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, undang-undang jenayah syariah perlu dilaksanakan kerana ia adalah tuntutan agama dan bukan kehendak PAS. "Ini tanggungjawab Islam, bukan PAS... ini tanggungjawab orang Islam seluruhnya. Ini adalah undang-undang Allah. "Jadi tanggungjawab PAS ialah kita bersedia untuk berbincang secara ilmiah dengan semua pihak bukan polemik Utusan Malaysia yang bebal," katanya. Hadi turut melahirkan rasa kesal kerana ada pihak tertentu yang cuba mempermainkan ajaran Islam. "Mereka permainkan hukum Allah, mempermainkan hukum Allah boleh jadi murtad. Orang Islam tidak boleh main-main dan PAS tidak akan bermain-main dalam hal ini. "Kita telah tunaikan kewajiban dan tanggungjawab kita walaupun ada yang kata kita main-main, Islam tidak pisahkan politik dan agama kerana politik bukan main-main tapi sungguh-sungguh," katanya. Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tetap mempertahankan pendirian parti itu untuk menolak hukum hudud. "Pendirian DAP jelas, kita tidak setuju dengan hudud, Umno pun tidak bersetuju... DAP tidak setuju, Umno juga tidak setuju tapi itu tidak bermakna kami tidak bekerjasama. "Hudud kita tidak setuju tapi kita banyak persamaan dengan PAS, kita menentang perkara yang kita tidak bersetuju tapi kita setuju banyak perkara lain," katanya. -TMI Ulasan GB Tidak hairan jika DAP dan yang bukan Islam menentang hudud, tetapi amat menghairankan jika yang mengaku Islam sendiri seperti UMNO menentangnya, malah encaci dan menghina hukum Allah tersebut. |
Jika Benar Kata-kata Najib MCA Penentu Kemenangan BN, Bererti BN Memasuki Era Keruntuhan Posted: 02 Oct 2011 03:25 AM PDT Najib: MCA penentu kemenangan BN KUALA LUMPUR: Perdana Menteri berkata, MCA merupakan komponen terpenting kepada BN. Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, MCA akan menjadi penentu kemenangan BN dalam pilihan raya umum akan datang. Datuk Seri Najib Tun Razak bagaimanapun berkata, apa makna kepada BN jika MCA berpecah belah. "Ada team A, ada Team dan mungkin Team C. "Apa guna parti besar tetapi tidak bersatu padu. MCA mesti bersedia menghadapi pilihan raya," katanya ketika merasmikan perhimpunan agung tahunan MCA ke 58 hari ini. Bagaimanapun, kata Najib yang juga Pengerusi BN berkata sudah isyarat bahawa MCA sudah menjadi semakin kuat. Menurut perdana menteri, parti yang takut berubah akan menjadi tidak relevan. "Jadi jangan takut kepada perubahan," tegasnya. Najib juga memberitahu perwakilan MCA bahawa beliau mendengar suara rakyat kaum Cina. petikan FMT MCA bukan lagi pilihan orang Cina? KUALA LUMPUR: Ramai perwakilan MCA tidak yakin MCA akan menang besar dalam pilihan raya umuk akan datang. Mereka mendakwa MCA bukan lagi parti tunggal kaum Cina kerana DAP lebih menonjol dan lebih ke depan dalam isu masyarakat Cina. Weng Suen Tan berkata, dalam banyak perkara DAP lebih ikhlas membantu masyarakat bawahan orang Cina yang miskin dan tinggal di kampung. "Kita tengok masyarakat Cina Pulau Pinang gembira dengan kerajaan negeri DAP Pulau Pinang. "Mereka kata pemimpin DAP Pulau Pinang lebih bagus dari menteri MCA," katanya. Perwakilan Melaka, Kian Peng berkata, ramai pengundi Cina hilang keyakinan kepada MCA. Katanya, MCA belum dapat menunjukkan parti itu benar-benar berjiwa rakyat. "MCA selalu mengungkitkan mereka hanya mereka parti orang Cina yang terbaik. "Tapi rakyat tidak suka dengan ungkapan seperti ini. "Tidak semua orang Cina menyokong MCA kerana MCA juga berpecah. Ramai yang tidak boleh menerima kepimpinan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek," katanya. -FMT
Ulasan GB Jika benar kata-kata Najib bahawa MCA penentu kemenangan BN, sedangkan MCA sendiri sudah tidak diyakini sebagai parti yang mewakili masyarakat Cina, bererti benarlah bahawa BN kini sedang menghadapi zaman keruntuhan. Hanya penipuan boleh menyelamatkan seperti penipuan di Pekan pada 2004 & 2008. Tetapi kemenangan dengan penipuan adalah kemenangan yang rapuh, kemenangan yang tiada keberkatannya. Kita tunggu dan lihat sama-sama. |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan