DUNIACACAMARBA |
- Wanita Minta Izin Pakai Tudung di Penjara
- Ingat Berita Amil TIBAI Duit Zakat? Susulannya di Sini
- Lelaki Didakwa Rogol Adik Ipar
- Lelaki BUNUH, SIMEN Gadis Didakwa
Wanita Minta Izin Pakai Tudung di Penjara Posted: 29 Oct 2011 06:15 AM PDT
Majlis Berkaitan dengan Hubungan Islam-Amerika di Minnesota meminta Jabatan Syerif memberikan kemudahan kepada banduan untuk memakai tudung selepas seorang wanita Islam yang didapati bersalah berhubung dengan dakwaan keganasan terpaksa membuka tudungnya semasa berada dalam tahanan. Tertuduh, Amina Farah Ali, 35, dan rakannya, Hawo Mohamed Hassan didapati bersalah pada minggu lalu kerana menyalurkan wang kepada "kumpulan pengganas" Al-Shabab di Somalia. Peguam wanita itu, Dan Scott berkata, anak guamnya mahu memakai tudung kerana mematuhi ajaran Islam. Menurutnya, Amina perlu menutup aurat apabila berada di sisi lelaki yang bukan muhrim. "Dia mahu memakai pakaian tradisinya (tudung). Pemakaian tudung itu amat penting baginya," kata Scott. "Dia kini di penjara. Justeru, apa yang dia mahu tidak semestinya dia dapat. Tetapi dia berhak mengamalkan ajaran agamanya," tambah peguam itu. Mengulas isu tersebut, Syerif Daerah Sherburne, Joel Brott berkata, Amina tidak boleh memakai tudung di penjara atas faktor keselamatan. Pakaian awam termasuk tudung katanya, tidak dibenarkan dipakai di penjara kerana pakaian itu mungkin digunakan sebagai senjata atau menyembunyikan identiti banduan. Namun, ujar Brott, pihaknya sedang berunding dengan pihak berkuasa persekutuan sama ada untuk memberikan pengecualian kepada Amina atau sebaliknya. | ||
Ingat Berita Amil TIBAI Duit Zakat? Susulannya di Sini Posted: 29 Oct 2011 05:14 AM PDT Saya petik: [Kosmo] JOHOR BAHRU - Disebabkan malu wajahnya disiarkan di akhbar, bekas imam di sebuah masjid di Kulaijaya di sini akhirnya menyerah diri kepada polis semalam bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan wang zakat fitrah tahun lepas. Menurut Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Supritendan Mohd. Luthfi Ismail, bekas imam itu, dikenali sebagai Redzuan Mohd. Said itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya kira-kira pukul 8 pagi semalam. Katanya, suspek bertindak demikian apabila dihubungi ahli keluarga yang memujuk agar dia menyerah diri setelah malu wajahnya disiarkan di televisyen dan akhbar. "Hasil siasatan awal polis mendapati suspek mengaku selama ini dia berada di Ipoh, Perak dan bekerja sebagai guru tahfiz. "Dia kini ditahan untuk membantu siasatan dan reman akan dibuat esok (hari ini). "Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak media kerana membantu kami menyiarkan maklumat sehingga suspek sendiri membuat keputusan menyerah diri kepada polis," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. Kosmo! semalam melaporkan polis sedang memburu suspek yang dipercayai terlibat dengan penipuan wang zakat tahun lepas. Suspek yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) sebagai Amil Fitrah bagi kawasan Kulaijaya disyaki gagal menyerahkan kembali wang kutipan zakat sebanyak RM18,000. Sementara itu, Pengerusi MAIJ, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, satu mesyuarat akan diadakan minggu hadapan untuk mencari sistem terbaik bagi mencegah insiden penipuan wang zakat daripada berulang. Katanya, meskipun kes penipuan yang membabitkan suspek merupakan kes terpencil, namun ia secara tidak langsung menjejaskan nama baik banyak pihak. "Seingat saya, ini merupakan kes pertama seumpamanya yang berlaku di MAIJ tetapi kami akan mengambil tindakan lanjut bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang. "Saya akan memanggil semua pegawai saya minggu hadapan dan mengadakan mesyuarat bagi memperkemas sistem kutipan dan penyerahan wang zakat," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. Menurut Zainal, pada mesyuarat terbabit, pihaknya akan cuba mencari jalan mendapatkan kembali wang kutipan zakat yang dilaporkan hilang itu. Katanya, kutipan zakat sepatutnya diserahkan kepada MAIJ sebaik sahaja selesai tempoh bayaran tetapi disebabkan cuti perayaan dan kesibukan, wang tersebut seringkali lewat diserahkan. "Mungkin selepas ini kami akan tetapkan wang kutipan diserahkan seminggu sekali dan tidak perlu menunggu sehingga habis tempoh kutipan ataupun mana-mana amil yang dipertanggungjawabkan tidak boleh menyimpan wang melebihi RM10,000 atau sebagainya," katanya. Sementara itu di Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berharap semua Majlis Agama Negeri berhati-hati dalam memilih dan seterusnya melantik golongan amil bagi mengutip wang zakat pada masa akan datang. Menurutnya, walaupun setiap tahun diadakan semakan berkenaan pemilihan golongan amil oleh setiap negeri tetapi ia perlu dilakukan dengan lebih teliti bagi membendung masalah ini berulang. "Soal songlap duit ia tidak kira siapa, jadi pihak majlis agama kena berhati-hati pada pelantikan golongan amil pada masa akan datang," katanya di sini semalam. Berita awal di sini. | ||
Lelaki Didakwa Rogol Adik Ipar Posted: 29 Oct 2011 04:00 AM PDT [SH] KUANTAN- Seorang pemuda berdepan hukuman penjara sehingga 60 tahun dan 20 sebatan selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas dua tuduhan merogol adik iparnya yang masih di bawah umur dalam dua kejadian berasingan pada pertengahan April 2009 dan 10 Oktober lalu. Tertuduh berusia 25 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Amalina Zainal Mokhtar di hadapan Hakim Fathiyah Idris, semalam. Tertuduh yang tidak diwakili peguam dibenarkan diikat jamin RM8,000 manakala 17 November depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan untuk tertuduh melantik peguam. Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu buat pertama kali pada pertengahan April 2009 kira-kira jam 3 pagi di sebuah rumah di Taman Seri Inderapura dekat sini. Ketika itu, mangsanya baru berusia 14 tahun 7 bulan dan dikategorikan sebagai gadis bawah umur. Manakala bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengulangi perbuatan itu pada gadis yang sama ketika itu sudah berusia 16 tahun 11 bulan di sebuah rumah dipercayai kediaman mereka di Taman Seri Inderapura. Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 9.30 pagi 10 Oktober lalu sebelum dia ditahan polis hari berikutnya. Perbuatan yang dilakukan lelaki itu, bukan sahaja menyalahi undang-undang dan hukum agama malah menyimpang dari adat dan kebiasaan dimana tertuduh dan mangsa tidak dibolehkan untuk berkahwin. Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika disabitkan kesalahan bagi setiap tuduhan dihadapinya. | ||
Lelaki BUNUH, SIMEN Gadis Didakwa Posted: 29 Oct 2011 02:59 AM PDT Saya petik: [SH] BANTING - Seorang penganggur yang dipercayai melarikan diri setelah terlibat dalam pembunuhan tragis seorang gadis dengan mayatnya disumbat dan disimen dalam lubang, akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok, di sini, semalam, selepas tujuh tahun berlalu. Kher Then Hock, 37, didakwa membunuh See Sheau Fang, 18, di sebuah rumah, Jalan Wira 24, Taman Perwira, Sijangkang, Telok Panglima Garang, antara 9.30 pagi dan 5.30 petang, 28 Februari 2004. Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Tiada pengakuan direkodkan terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Pendaftar, Rozaidi Yaacob. Selain dituduh membunuh, lelaki tersebut turut didakwa atas tuduhan melarikan diri daripada tahanan polis ketika dia ditahan dalam lokap Balai Polis Tanjung Sepat, Kuala Langat di sini, antara 6.30 dan 7.30 pagi, 13 Mac 2004 . Kali ini dia didakwa mengikut Seksyen 224 kanun sama dan jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Ridhuan Abdullah dan kes akan disebut 8 November depan. Berdasarkan laporan sebelum ini, selepas dibunuh mayat gadis malang itu disumbat dalam lubang sedalam 1.52 meter yang digali dengan jengkaut, kemudian disimen di hadapan rumah tersebut. Sebelum itu, mangsa dilaporkan hilang pada 26 Februari 2004 dan kali terakhir dilihat ke-luar makan bersama beberapa rakannya menaiki sebuah kereta. Then Lock dikatakan melarikan diri menerusi siling tandas balai polis itu, selepas lima hari ditahan berhubung siasatan terhadap pembunuhan itu. Selepas tujuh tahun menjadi pelarian dipercayai menggunakan identiti dan kad pengenalan lain, dia ditangkap pada 5 Oktober lalu di Masai, Johor selepas dipercayai terlibat dalam kes curi sebuah kereta mewah. |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan