Kadang-kadang lucu + geram apabila pengarah dan pelakon mempertahankan sebuah filem atau lakonan yang penuh dengan unsur maksiat dengan mengatakan bahawa semua itu dibuat untuk PENGAJARAN/TELADAN/KEBAIKAN kepada penonton.
Misalnya, pelakon dalam berita di atas menyatakan "jadi jangan kata saya sanggup ketepikan agama semata-mata untuk berjaya dalam bidang lakonan..." ketika menjawab pertanyaan yang membabitkan aksi panasnya dalam filem yang bakal ditayangkan nanti. Cerita lanjut, sila baca keratan berita di atas.
Cuba fikirkan...
Mereka (pelakon/pengarah) melakonkan/mengarahkan aksi berpelukan, bercumbuan, mendedahkan aurat, berpegangan tangan, aksi porno ringan, dan sebagainya. Namun, semua "maksiat" itu seolah-olah dikecualikan daripada DOSA, seolah-olah semua perlakuan itu mengelakkan bapa dan suami daripada menjadi DAYUS kerana membiarkan si isteri atau anak dipegang, dipeluk, dicumbu, dan mendedahkan aurat kepada umum semata-mata kerana lakonan untuk menjadi pengajaran kepada orang ramai.
Padahal (hakikatnya), aksi yang dipertonton itu menjadi ikutan kepada generasi muda. Remaja/kanak-kanak yang tidak mengetahui "merempit", "kongsi gelap", "bohsia", "ringan-ringan", "seks" kini sudah mengetahuinya dan paling malang ada yang menjadikan unsur dan perlakuan tersebut sebagai cara hidup sehari-hari. Tidak percaya? Sila baca bagaimana aksi negatif mempengaruhi pemikiran kanak-kanak di sini.
Aduhai! -DCM
P/s: Pada TM, filem ini dan filem seumpamanya hanya menggalakkan orang muda hanyut dengan dunia hedonisme!
48 dan 15 peratus berisiko mati sakit jantung, angin ahmar
[BH] LONDON: Kajian terbaru menunjukkan tidur nyenyak dan mencukupi pada waktu malam penting untuk kecergasan fizikal dan mental tetapi kini masalah tidur tidak cukup semakin meningkat, dengan penyelidikan membuktikan seorang daripada setiap lima orang, berasa letih luar biasa dan seorang daripada 10 mengalami keletihan berpanjangan.
Pengarah Pusat Tidur Universiti Glasgow, Profesor Colin Espie, berkata tidur ialah cara semula jadi yang membekalkan rehat, pemulihan dan tenaga kepada manusia dan tiada sesuatu lain yang melakukan perkara sama.
Bagaimanapun, ramai daripada kita menganggap tidur cuma satu komoditi. Kita tidak menghormati pengambilan tidur nyenyak mencukupi, menganggap ia seperti pengacau. Mendapatkan tidur nyenyak pada waktu malam tidak pernah dianggap penting, katanya.
Menurut kajian Universiti Warwick menunjukkan mereka yang tidur kurang enam jam sehari dan terganggu berisiko 48 peratus menghidap atau meninggal dunia akibat sakit jantung dan 15 peratus risiko menghidap atau mati akibat serangan angin ahmar.
Amalan tidur lewat dan awal pagi sebenarnya umpama bom jangka kepada kesihatan. Jadi, bertindak sekarang untuk mengurangkan risiko menghidap penyakit membahayakan nyawa seperti itu, kata penulis bersama kajian, Profesor Francesco Cappuccio.
Lelaki berusia lebih 65 tahun yang kurang tidur nyenyak yang cukup berisiko tinggi mendapat tekanan darah tinggi, menurut kajian terbaru Fakulti Perubatan Harvard. Kajian ke atas 784 pesakit, yang disiarkan dalam jurnal Hypertension, mendapati mereka yang kurang mendapat tidur nyenyak berisiko 83 peratus mendapat penyakit itu berbanding yang tidur nyenyak yang panjang.
Tekanan darah tinggi meningkatkan risiko serangan jantung, angin ahmar dan masalah kesihatan lain.
Kurang tidur menyebabkan tekanan pada tubuh, memaksa jantung berdegup lebih pantas, kata pakar. Namun tidur yang terlalu panjang, lebih sembilan jam, mungkin juga menjadi petanda kepada penyakit termasuk kardiovaskular.
Satu kajian ke atas 472 pesakit obes, yang disiarkan dalam International Journal of Obesity, membabitkan peserta memakan 500 kurang kalori setiap hari, disertai senaman kebanyakan hari. Mereka yang tidur terlalu pendek atau terlalu lama kurang kehilangan berat badan dalam tempoh enam bulan. - Agensi
[HM] KUALA LUMPUR: "Saya bersyukur kerana akhirnya tidak lagi bergelumang dengan daging babi selepas pelbagai pihak menawarkan pekerjaan dan menghulurkan bantuan sejurus berita mengenai saya disiarkan Metro Ahad.
"Terima kasih kerana menyiarkan kisah saya dan baru saya tahu masih ramai sudi membantu umat Islam seperti saya," kata Abdul Latif Lee Abdullah yang kini lebih yakin menjalani kehidupan seorang Muslim.
Kisah hidup Abdul Latif disiarkan Metro Ahad 14 Ogos lalu apabila dia dilaporkan terpaksa bekerja sebagai tukang masak Bak Kut Teh (masakan berasaskan daging babi) dan hidup merempat di Kuala Terengganu.
Dia yang sebelumnya tidak mahu nama dan gambarnya dirakamkan, kini membenarkan identitinya disiarkan kerana gembira dan bersyukur dengan keprihatinan masyarakat terhadapnya.
"Sejurus keperitan hidup saya disiarkan, pelbagai pihak menghubungi dan menemui saya untuk menawarkan pekerjaan, menyebabkan saya datang ke ibu negara untuk bekerja kerana di sini, saya dekat dengan anak yang dijaga bekas isteri.
"Bagaimanapun, sepanjang di sini saya tidak berpeluang menemuinya (anak), menyebabkan saya akan pulang semula ke Terengganu untuk mendalami ilmu agama kerana seorang lelaki menawarkan kelas agama berserta sedikit wang belanja," katanya.
Tindakan itu diambil kerana dia menghadapi sedikit masalah dengan tukang masak di tempat kerja barunya, menyebabkan suasana kerja jadi kurang selesa.
"Maklumlah, saya tukang masak baru dan dia sudah lama, apapun saya tidak kisah dengan perkara itu kerana majikan saya baik, tetapi sebagai orang baru saya rasa lebih baik saya mengundurkan diri.
"Lagipun saya mempunyai pilihan lain dan akan mendalami agama selain mengumpul wang bagi membolehkan saya membawa kes tuntutan anak ke mahkamah," katanya.
Bagi memastikan dia mendapat hak penjagaan anak, Abdul Latif akan memastikan nasibnya lebih terbela dan mampu menjaga dan menguruskan diri seperti ibu bapa lain.
"Saya berjumpa peguam yang menawarkan perkhidmatan percuma (Biro Bantuan Guaman) mengenai masalah saya dan dimaklumkan mereka boleh membantu tetapi saya hanya perlu menjelaskan RM200 untuk caj perkhidmatan.
"Bagaimanapun, mereka tidak boleh menjamin saya boleh memenangi kes itu atau tidak," katanya.
Apapun, katanya, dia kini semakin tenang dengan kehidupan harian, terutama selepas mengetahui masih ramai bersimpati dengannya, menyebabkan dia mengambil keputusan mendalami agama.
[HM] GEORGETOWN: Meskipun sudah beristeri dan ada dua anak, nafsu buas seorang lelaki berstatus suami dan bapa masih tidak dapat dikawal apabila dicekup berkhalwat bersama wanita bukan Islam di hotel di Jalan Irving, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 3 petang, lelaki berusia 30-an itu ditemui bersama seorang wanita juga berusia 30-an yang ketika itu hanya berkemban menggunakan tuala.
Ketua Unit Operasi, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Khairul Azman Azizan berkata, pemeriksaan di dalam bilik itu menemui seorang lelaki di dalam bilik dan pemeriksaan mendapati suspek beragama Islam dan mengaku berkahwin serta mempunyai dua anak.
Katanya, lelaki itu mengaku membayar RM40 kepada wanita terbabit untuk mengurut badannya di bilik hotel.
Najib seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian menegaskan bahawa kerajaan tidak mengumumkan kenaikan harga rokok dalam Bajet 2012 bagi mengelakkan peningkatan penggunaan rokok haram yang kini mencecah 40 peratus.
Kata Najib, kerajaan tidak boleh menaikkan harga rokok terlalu mendadak kerana penggunaan rokok haram sudah terlalu tinggi. Kali ini tidak pula Najib bimbang akan kesihatan perokok tegar. Jika sebelum ini, kenaikan harga rokok dikaitkan dengan kesihatan walaupun sebenarnya kenaikan harga itu MENGUNTUNGKAN pengeluar dan kerajaan.
Wahai perokok tegar (saya bekas perokok tegar- sudah berhenti "berasap" 5 tahun lalu), anda jangan terlalu gembira dengan kenyataan Najib kerana kata-katanya selepas itu bisa mengundang pelbagai persoalan. Jangan senyum melampau!!
Walau bagaimanapun, kerajaan boleh menimbangkan kenaikan (harga rokok) pada BILA_BILA MASA sekiranya dirasakan perlu, kata Najib pada sidang media selepas menghadiri majlis Nurani Rakyat, Sayangi Selangor Bersama Perdana Menteri di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Kundang semalam.
Nampak? Faham?
Kesimpulannya, Bajet 2012 tidak mengumumkan kenaikan harga rokok kerana bajet itu ialah BAJET PRU 13. Apa-apa yang "membebankan" dan membuatkan rakyat "marah" tidak akan diumumkan dalam bajet itu. Ada apa-apa yang diumumkan oleh Najib Jumaat lalu membuatkan anda MARAH? - DCM
P/s: Bagaimana rokok haram dijual secara berleluasa sehingga penggunaannya mencecah 40 peratus? Adakah penguat kuasa yang bekerja di sempadan, di pintu masuk negara, di pejabat semakin terpalit dengan RASUAH dan PENYELEWENGAN???
ZAINAB AWEIS, 20, yang merupakan orang Islam Somalia bergambar di hadapan bendera Amerika Syarikat di Seattle.
Saya petik:
[Kosmo] SEATTLE, Amerika Syarikat (AS) – Seramai 34 pemandu syarikat sewa kenderaan tempatan Hertz digantung kerja kerana bersolat semasa waktu bertugas.
Pihak pengurusan Hertz sebaliknya memberitahu, tindakan disiplin itu diambil kerana mereka menyalahgunakan waktu rehat.
Disokong kesatuan sekerja, semua pemandu terbabit mengadakan protes di luar kaunter syarikat Hertz di Lapangan Terbang Seattle-Tacoma di sini bagi membantah tindakan majikan mereka.
"Penggantungan ini merupakan pencabulan terhadap hak para pekerja terbabit sekali gus satu diskriminasi agama," kata setiausaha perbendaharaan sebuah kesatuan sekerja tempatan, Tracey A. Thompson.
Menurutnya, penganut agama Islam dituntut melakukan solat sebanyak lima kali sehari.
Namun, pihak pengurusan Hertz ketika mengulas isu penggantungan kerja itu memberitahu, mereka yang terlibat melanggar perjanjian hak pekerjaan saksama yang dipersetujui dua tahun lalu.
"Isu ini tiada kaitan dengan agama. Beberapa pekerja Islam lain tidak digantung kerja kerana mereka mematuhi masa rehat 10 minit yang diberikan untuk bersolat. Mereka yang digantung kerja sebaliknya mengambil rehat lebih panjang," kata seorang jurucakap syarikat Hertz, Rich Broome.
Menurutnya, kakitangan yang ingin melakukan solat perlu merekodkan waktu rehat mereka dengan menggunakan kad perakam waktu.
Kenyataan tersebut bagaimanapun disangkal oleh seorang pemandu syarikat berkenaan, Zainab Aweis.
Dalam wawancara bersama akhbar The Seattle Times Zainab memberitahu, beberapa pengurus syarikat Hertz memberitahunya bahawa beberapa kakitangan wanita yang ingin mengerjakan solat telah diarahkan supaya pulang.
"Dia (pengurus berkenaan) berkata, jika anda mahu solat lebih baik anda pulang dan tidak bekerja di sini lagi.
"Saya bertanya kepadanya, adakah ini peraturan baru syarikat, di seterusnya menjawab, ya," kata Zainab. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan