Jumaat, 7 Oktober 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Parlimen akan dibubar Isnin?

Posted: 07 Oct 2011 04:50 AM PDT

Maclean Patrick, Wong Choon Mei, Malaysia Chronicle



Ada desas-desus yang mengatakan pada hari Isnin, 10 Oktober nanti, Parlimen akan dibubarkan dan pilihanraya akan diumumkan.

Langkah itu mengekori pembentangan Belanjawan 2012 oleh Perdana Menteri Najib Razak, perancangan perbelanjaan yang dikatakan ramai dicipta untuk menarik kembali undi kepada BN. Dan sudah pasti, untuk mengesahkan mandat rakyat ke atas dirinya untuk meneruskan jawatannya sebagai Perdana Menteri keenam itu.

Secara jujurnya, permainan teka-teki waktu pilihanraya umum ke-13 ini sudah menjadi hangat semenjak permulaan tahun ini lagi. Ramai yang meneka Mac, Julai, November dan juga Mac 2012. Tetapi walaupun tekaan yang tepat itu mungkin pada Mac tahun depan, masih ada kemungkinan besar yang Najib akan mengorak langkahnya itu pada bulan depan.

Jika begitu, maka beliau 'haruslah' membubarkan Parlimen pada hari Isnin. Sudah tentu beliau boleh lakukannya selepas pembentangan belanjawan petang ini, ataupun pada hujung minggu, tetapi ramai ahli-ahli politik berkata ia akan berlaku pada hari Isnin, sekiranya PRU-13 jatuh pada November.

Kenapa Isnin

Alasannya mudah, sekiranya Najib tidak membubarkan Parlimen menjelang Isnin, Belanjawan 2012 haruslah dibahas pada Isnin itu jufa, yang akan membazirkan waktu kerana pilihanraya hanya sebulan sahaja lagi.

Kedua, kenapa beri peluang untuk pihak pembangkang untuk mengacau rencana besarnya itu yang sudah pasti akan dipuji-puji di media semasa, radio dan televisi, yang semuanya dikawal kerajaan.

Ya, langkah itu membenarkan BN untuk melontarkan 'imbuhan' sementara meninggalkan Pakatan Rakyat terkontang-kanting mencari area perdebatan. Ia adalah jalan pintas untuk mendiamkan rakyat. Dan apabila Belanjawan itu dibentang semula, sekiranya BN menang, Najib masih boleh mencari jalan untuk perlahan-lahan mengelak daripada mengotakan janjinya.

Dua kem

Di dalam UMNO, jelas kelihatan adanya pertembungan di antara dua pihak yang tidak dapat dinafikan lagi oleh penyokong tegarnya pun. Kem Najib mahukan pilihanraya awal sebelum perjumpaan tahunan parti itu pada Disember untuk mengelakkan daripada dipaksa mengumum rencana pertukaran kuasa kepada timbalannya, Muhyiddin Yassin.

Jelaslah Muhyiddin, dan lebih-lebih lagi Mahathir Mohamad, bekas pemimpin yang masih berpengaruh itu, mahukan PRU-13 berlaku pada tahun hadapan. Mereka bimbang skanda-skandal Najib akan melemahkan peluang BN untuk menang dan mahu untuk bertanding dalam PRU-13 dengan persoalan kepimpinan sudah selesai, suaya rakyat akan merasa selesa untuk kembali mengundi BN.

Ya, PRU-13 amatlah bergantung kepada perjumpaan agung UMNO yang akan datang. Terdapat banyak tanda-tanda peperangan dan perebutan kuasa sedang berlaku dan keributan untuk majlis tertinggi UMNO mencalonkan pengganti pucuk kepimpinan. Samalah seperti apa yang dilalui Abdullah Badawi pada tahun 2008.

Inilah rasional yang dibangkitkan oleh mereka yang meramalkan PRU-13 akan berlangsung pada bulan November. Mereka meneka Najib akan mencantas pergolakan dalam UMNO dengan mendapatkan mandat rakyat, dan sekiranya dia berjaya mengekalkan status quo atau malah berjaya merampas semula Selangor daripada genggaman Pakatan, maka dia telah memastikan kedudukannya untuk satu terma lagi.

Dan dalam terma keduanya, Najib dan isterinya Rosmah Mansor tidak akan bermain-main lagi. Dan ini adalah sesuatu yang Mahathir dan Muhyiddin harus beri perhatian.

Faktor Anwar

Terdapat juga isu Anwar Ibrahim, yang pada waktu ini terjebak dengan tuduhan Liwat II. Perbicaraan sedang berlangsung dan sekiranya pilihanraya berlaku sekarang, adalah sukar untuk Anwar berkempen bermati-matian.

Ini adalah mata tambahan untuk Najib, di mana dia berhasrat untuk menyingkirkan Anwar daripada dunia politik dan meraih sokongan ketua-ketua UMNO yang tidak mahu Pakatan Rakyat berlegar-legar lagi mengganggu urusniaga mereka.

Membubarkan Parlimen sejurus selepas Belanjawan dibentangkan juga boleh dilihat sebagai langkah untuk manyelesaikan perkara. Terpengaruh oleh hubungan awamnya yang positif dan selesa dengan delusi yang rakyat di luar kota akan tetap mengundi BN, Najib kelihatan akan mengorak langkah pada bulan November.

Mahathir masih 'tulang belakang'

Walau bagaimanapun, dengan mengamati tanda-tanda terkini yang semakin jelas selepas Pakatan Rakyat melancarkan Belanjawan Bayangan 2012 Prosperity For All, kemungkinan untuk berlangsungnya PRU pada tahun ini semakin nipis.

Dengan insiden Bukit Kepong dan isu hudud yang makan tuan, sebagai mana taktik licik itu terbaca oleh rakyat Malaysia, lebih berkemingkinan untuk Najib mengalah kepada Mahathir.

Walau demikian sekali pun, untuk pengesahan dan sehinggalah Najib sendiri menafikan PRU-13 akan berlaku tahun ini, seluruh perhatian akan diberikan kepada Najib selepas dia membentangkan Belanjawan 2012 hari ini. Sekiranya dia berdiam diri, maka Isnin lah yang akan menjadi hari keputusan bilakah PRU-13 akan berlangsung.

Sudah pasti, ini akan membawa kepada teka-teki 2012, dan sebenarnya, PRU-13 tidak semestinya berlaku pada Mac/April 2012!

- Malaysia Chronicle

Tiba masanya mengharamkan asbestos di Malaysia

Posted: 07 Oct 2011 04:48 AM PDT

SM Mohamed Idris


Sejak tahun 2001, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menggesa pihak berkuasa supaya mengharamkan sepenuhnya segala bentuk asbestos. Gesaan tersebut dibuat berikutan peningkatan kes-kes penyakit yang dikaitkan dengan asbestos disebabkan penggunaan besar-besaran asbestos pada masa lalu, dan hakikat bahawa beberapa buah negara, termasuk Malaysia, masih terus menggunakan asbestos chrysotile.

Dalam perbincangan dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) pada 28 Mac lalu, satu persetujuan telah dicapai berhubung pengharaman asbestos, termasuk chrysotile. Bagaimanapun perwakilan dari APCO Worldwide membantah kemasukan chrysotile ke dalam pengharaman tersebut dengan alasan Malaysia akan mengalami kerugian ekonomi jika berbuat demikian. Mereka yang hadir dan DOSH sendiri menekankan bahawa penggunaan chrysotile sedang dikeluarkan secara berperingkat-peringkat oleh industri terbabit.

APCO telah membuat bantahan supaya menghentikan pengharaman tersebut kepada DOSH dan kerajaan Malaysia. APCO juga membawa masuk Dr David Berstein, ahli toksikologi yang beribu pejabat di Switzerland yang telah menjalankan pelbagai kajian ke atas merokok dan asbestos chrysolite yang dibiayai oleh industri tembakau dan asbestos sendiri, ke Malaysia untuk meyakinkan kerajaan bahawa produk itu selamat untuk kegunaan.

Pandangan dari sudut saintifik adalah cukup jelas bahawa semua bentuk asbestos, termasuk asbestos chrysotile, boleh menyebabkan penyakit seperti mesotelioma, kanser paru-paru, kanser jenis lain dan asbestosis, dan penggunaan yang selamat adalah sesuatu yang mustahil. Tambahan pula, asbestos adalah salah satu karsinogen pekerjaan yang paling penting, membabitkan kira-kira separuh daripada bilangan kematian akibat kanser pekerjaan. Malah, ia membunuh lebih ramai pekerja di banyak negara berbanding kecederaan ketika bekerja.

Menurut WHO, di negara-negara yang telah mengharamkan asbestos sejak awal tahun 90-an sekalipun kes kematian yang dikaitkan dengan asbestos terus meningkat. Ini disebabkan tempoh lama yang dikaitkan dengan penyakit tersebut. Dengan menghentikan penggunaan asbestos sekarang, kita berharap dapat melihat penurunan dalam kes-kes kematian yang dikaitkan dengan asbestos cuma selepas beberapa dekad.

Sementara itu, Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengadakan kempen secara global untuk membasmi penyakit yang dikaitkan dengan asbestos, dan ia dijalankan dengan menghentikan penggunaan semua jenis asbestos.

Lebih daripada 55 buah negara telah menyahut gesaan ini dan negara terakhir yang berbuat demikian ialah Thailand. Pihak berkuasa Thai mendapati bumbung rumah di bandar yang tidak menggunakan asbestos menambah kos pembinaan rumah sebanyak $65 atau ½ peratus kos membina rumah di Thailand. Memandangkan keadaan di Thailand dan Malaysia mempunyai beberapa persamaan, adalah selamat untuk mengatakan bahawa kerugian ekonomi yang disebutkan oleh APCO adalah tidak signifikan.

Sehubungan itu, Malaysia perlu turut menyertai kempen global ini iaitu ke arah mengharamkan penggunaan segala jenis asbestos dan tidak tunduk kepada tekanan kumpulan-kumpulan yang lebih mementingkan keuntungan daripada kesihatan orang ramai.

SM Mohamed Idris adalah Presiden CAP.

Mangsa polis Bersih 2.0 wajar dibayar pampasan

Posted: 07 Oct 2011 04:45 AM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) tidak boleh menerima kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Hussein yang menyatakan bahawa isu keganasan polis semasa perhimpuanan Bersih 2.0 diperbesarkan dan pihak polis tidak boleh disalahkan sepenuhnya.

Penyelarasnya, Yap Heng Lung berkata, dalam insiden itu, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar perlu meminta maaf dengan segera di atas kekerasan polis terhadap peserta himpunan Bersih 2.0.

Katanya, kerajaan juga perlu membayar pampasan dan ganti rugi terhadap semua mangsa keganasan polis termasuk keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad yang meninggal dunia semasa perhimpunan tersebut.

"Kami mengecam tindakan kerajaan yang membelanjakan sebanyak RM22,855.76 termasuk kos penggunaan 226 peluru gas pemedih mata (TS Shell) dan 36 bom pemedih mata (TS Grenades) untuk menyuraikan peserta perhimpunan aman Bersih 2.0," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tindakan tersebut adalah satu penyelewengan duit rakyat dan amat tidak professional.

Menurutnya, penggunaan senjata sebegitu jelas melanggar hak rakyat untuk bebas bersuara dan berhimpun seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga Deklarasi Hak Asasi Manusia.

Selain itu, ujarnya kerajaan juga melanggar prinsip asas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam penggunaan kekerasan dan senjata api.

"Kami inginkan penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri dan juga Ketua Polis Negara, kenapa wujudnya perbezaan jumlah orang yang ditangkap di mana mengikut statistik Kementerian Dalam Negeri (KDN), jumlah yang ditangkap adalah 1,509 orang padahal kenyataan polis menyatakan sebanyak 1,697 orang.

Katanya, Suaram berpendirian, KDN dan Ketua Polis Negara perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden kekerasan polis yang berlaku pada 9 Julai lalu.

Tambahnya, tindakan memberikan alasan yang tidak munasabah dan tidak mengaku kesilapan yang dilakukan oleh polis semasa perhimpunan Bersih 2.0 akan mengecewakan rakyat dan menunjukkan kerajaan tidak mempunyai kehendak politik untuk menambahbaikan institusi polis seperti yang diinginkan oleh rakyat jelata.

Fungsi Biro Tatatertib dalam Polis Diraja Malaysia dalam menangani anggota polis yang melanggar garis panduan operasi polis (SOP) sememangnya tidak cukup kerana tidak telus dan laporan tatatertib adalah sulit.

"Kami menyeru kerajaan pimpinan Najib Tun Razak untuk segera menunaikan permintaan rakyat untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Salah Laku dan Aduan Polis (IPCMC).

"Hanya dengan kewujudan suruhanjaya tersebut yang adil dan bebas yang membolehkan institusi polis untuk ditambahbaik dengan berkesan," katanya.

Lesen kelas F diberi kepada bukan Bumiputera

Posted: 07 Oct 2011 04:41 AM PDT

Keputusan kerajaan negeri Selangor itu sangat mencabar kedudukan kontraktor Bumiputera, kata Yang Di Pertua Perkasa negeri, Abdullah Mansor.



PETALING JAYA: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendakwa kerajaan negeri Selangor telah mengeluarkan lesen kontraktor kelas F kepada bukan Bumiputera di negeri itu.

Dakwaan itu dibuat oleh Yang Di Pertua Perkasa Selangor, Abdullah Mansor yang dihubungi pagi ini.

"Keputusan kerajaan negeri Selangor itu sangat mencabar kedudukan kontraktor Bumiputera. Bagaimana kelas F boleh dikeluarkan oleh kerajaan negeri?

"Keputusan itu adalah satu cubaan merampas hak Bumiputera yang telah dipersetujui sekian lama bahawa kelas F hanya untuk mereka," katanya.

Kementerian Kerja Raya hanya mengeluarkan lesen kontraktor kelas F kepada Bumiputera dengan nilai kerja RM250,000 dan ke bawah.

Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Xavier Jeyakumar mengumumkan kerajaan negeri mengeluarkan sendiri lesen kelas F kepada kontraktor negeri itu tanpa mengira kaum pada 12 September lalu.

Tindakan itu, menurut beliau sebagai usaha memberi peluang sama rata dan lebih menyeluruh kepada semua syarikat-syarikat kontraktor.

Kedai Cina

Bagaimanapun, Abdulalh mendakwa perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri Selangor.

Beliau menambah, kontraktor Bumiputera kelas F masih belum mampu bersaing dengan kontraktor kaum Cina kerana bahan binaan yang dikawal oleh kaum berkenaan.

"Pasir, simen, kayu atau apa saja bahan binaan dibekalkan oleh kedai-kedai kaum Cina.

"Jika projek-projek kelas F diperolehi oleh bukan Bumiputera, kaum Bumiputera tidak akan dapat apa-apa pun. Mereka jadi kuli mereka sahaja," kata Abdullah.

Beliau mendakwa ramai ahli Perkasa Selangor yang menjadi kontraktor di negeri itu dan meminta Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipersalahkan jika dasar itu kekal.

Katanya, tidak guna ada menteri besar di kalangan orang Melayu jika tidak dapat membantu orang Melayu.

"Lepaslah jawatan itu kepada bukan Bumiputera," katanya dengan sinis.

Ling minta KDSB bangunkan projek di Pulau Indah

Posted: 07 Oct 2011 04:39 AM PDT



MALAYSIA KINI

Seorang bekas pegawai kanan kementerian kewangan hari ini menegaskan bahawa bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik telah membuat permintaan supaya syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) membangunkan tanah di Pulau Indah.

Bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan kementerian terbabit, Datuk Abdul Rahim Mokti berkata, Dr Ling meminta pertimbangan kementerian kewangan supaya KDSB membangunkannya menerusi pemberian tender, dalam satu mesyuarat pada Januari 2002.

Abdul Rahim berkata, walaupun tidak membuat sebarang catatan pada minit mesyuarat, beliau tetap yakin bahawa Dr Ling ada menyatakannya.

azlanBeliau yang merupakan saksi ke-13 pendakwaan berkata demikian di dalam pemeriksaan balas oleh peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Dr Ling dan turut menegaskan sekali lagi bahawa maklumat di dalam lampiran yang dihantar kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad oleh Ling, meletakkan kadar faedah berganda.

Selain itu, Abdul Rahim turut menegaskan bahawa nilaian tanah di Pulau Indah adalah sebanyak RM25 sekaki persegi (skp) termasuk faedah dan ia dicatatkan pada dokumen untuk rujukan Jemaah Menteri. Bernama

Graduan ISMP terperangkap dengan pengangguran

Posted: 07 Oct 2011 04:37 AM PDT

MALAYSIA KINI

Ribuan graduan ijazah sarjana muda pendidikan (ISMP) kini seolah-olah terperangkap dalam dunia pengangguran apabila gagal ditempatkan sebagai guru dan dalam masa sama sukar diterima di sektor swasta.

Penyelaras Gabungan Graduan ISMP Malaysia (GGIM) Abdul Rahman Usman (bawah) berkata, masalah itu berpunca daripada penempatan mereka sebagai Guru Sandaran Terlatih (GST) masih belum diumumkan.

penyelaras gabungan draduan ismo malaysia ggim abdul rahman usmanKatanya, graduan ISMP mempunyai latihan khusus dalam pendidikan yang menjadikan meerka sukar diterima di pasaran kerja dan tiada pilihan selain menjadi guru.

"Buktinya ramai Graduan ISMP di tolak mentah-mentah oleh majikan swasta atas alasan tidak kekal lama dan akan mengambil hak graduan bidang lain," kata Abdul Rahman.

Menurutnya, penempatan kedua mereka sehingga kini masih menjadi persoalan setelah hanya satu penempatan diumumkan bagi tempoh Disember 2010 sehingga awal Oktober tahun ini.

Pengumumkan itu bagi graduan yang mengisi borang e-GST pada Disember tahun lalu.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini, Abdul Rahman menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang "membekukan" perjawatan guru GST - tetapi membuka penempatan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) dan Kursus Pendidikan Lepasan Ijazah (KPLI).

Acuh tak acuh

Daripada maklum balas yang diterimanya juga, GGIM mendakwa hanya graduan lepasan institut pendidikan guru dan ISMP dari institus pengajian tinggi awam sahaja layak berkhidmat.

"Melihat dari sudut ini, di manakah keadilan untuk graduan dan mahasiswa IPTS (institut pengajian tinggi swasta) dalam bidang pendidikan," katanya lagi,

Selaras dengan kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Puad Zarkashi Julai lalu bahawa 13,000 GSTT diserap kepada guru berjawatan, Abdul Rahman juga menimbulkan persoalan sama ada ia bermaksud pengambilan kedua GST akan dibekukan.

"Pihak GGIM melihat pihak kerajaan tidak dapat merealisasikan perancangan mensifarkan GSTT semasa perlaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang sudah pun berlalu, di mana isu GSTT masih berlarutan hingga kini dan menimbulkan banyak kecelaruan dalam penempatan GST," katanya.

Abdul Rahman juga menyelar tindakan KPM yang didakwanya tidak dapat memberitahu tarikh tepat borang penempatan dikeluarkan dan sering menasihatkan graduan terlibat selalu menyemaknya di laman web.

"Bagi pihak GGIM, ini bukanlah jawapan yang positif dan bersifat umum serta satu bentuk alasan yang boleh digelarkan sebagai acuh tak acuh," katanya.

"Dengan ini, pihak GGIM menuntut agar Menteri Pelajaran Malaysia iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat satu kenyataan rasmi berhubung penempatan GST secara khusus dari segi masa dan jumlah penempatan yang akan di buat seperti mana yang di buat oleh timbalannya."

GGIM ditubuhkan pada September 2011 ekoran masalah penempatan tersebut. NGO itu dianggotai 3,600 daripada 7,000 graduan pendidikan seluruh negara.

Beri tanah; Mad Said sekadar papar 'Siaran Ulangan' Program kerajaan PAS

Posted: 07 Oct 2011 04:06 AM PDT


Merujuk kepada laporan BERNAMA yang menyatakan Kerajaan Negeri Terengganu telah mengagihkan 158 geran tanah kediaman dan tanah pertanian di dun Batu Rakit kepada penduduk semalam.

Menteri Besar dipetik sebagai berkata, pembahagian lot-lot kediaman dan tanah pertanian itu adalah sebagai merakyatkan pentadbiran dan mendemokrasikan pembahagian tanah kepada rakyat.
Diberitakan bahawa daripada 158 lot tanah berkenaan, 114 adalah untuk lot tapak rumah manakala selebihnya untuk tanah pertanian.

Untuk berlaku adil, kita perlu berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri pimpinan Ahmad Said dengan keperluan rakyat walaupun tindakan yang diambil adalah sekadar ulangan apa yang pernah dilakukan dizaman pemerintahan PAS dahulu. Apakah ini langkah terdesak pemulihan imej menjelang Pilihan Raya Umum ke 13, atau memang kerana keikhlasan kerajaan untuk merealisasikan slogan merakyatkan pentadbiran? Terpulanglah kepada rakyat untuk menilainya.

Penilaian secara luarannya, memang boleh dipersoalkan. Kenapa program yang diadakan di Dewan Sivik, Maras itu disekalikan dengan penyerahan e-book kepada 454 murid yang tentunya mewajibkan kehadiran ibu-bapa dan guru-guru dan kenapa pula bendera Umno memenuhi kawasan program? Penyampaian geran tanah adalah urusan kerajaan dan bukannya Umno, apatah lagi penyerahan e-book!

Tiada siapa pun yang menafikan keperluan rakyat kepada kediaman dan sebidang tanah pertanian untuk bercucuk tanam mencari rezeki. Atas keperluan inilah, Kerajaan pimpinan PAS Terengganu dahulu walaupun dalam usia singkat telah mengambil langkah bijak mengagihkan lot-lot tanah kediaman dan pertanian dalam bentuk Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) kepada rakyat yang berhak.

Agenda yang menjadi antara fokus utama Kerajaan Terengganu pimpinan PAS antara tahun 1999 – 2004 telah menyelesaikan agihan kira-kira 60 ribu lot tanah RTB untuk diagihkan kepada rakyat yang tidak bertanah dalam bentuk pemberian Lesen menduduki Sementara (LMS) di seluruh negeri sebelum proses pemberian geran kekal dilakukan. Langkah Kerajaan BN Terengganu ini juga secara langsung mengiktiraf perancangan rapi dan tindakan bijak Kerajaan Terengganu pimpinan PAS sebelum ini.

Perlu dimaklumi bahawa usaha murni peninggalan Kerajaan PAS Terengganu itu bukan hanya telah dimusnahkan oleh Idris Jusoh, bahkan Ahmad Said sendiri, disebalik cuba menampilkan imej prihatin dan cakna rakyat, beliau sebenarnya turut terlibat. Perampasan lebih 60 lot tanah RTB Kubang Labi, Banggol DUN Permaisuri untuk diserahkan kepada Syarikat Blue Archipelago Berhad dengan taraf pajakan selama 30 bagi dimajukan dengan projek kolam udang berlaku di zaman beliau sebagai MB.

Andainya pengagihan geran sebagai bukti kerajaan pimpinan Ahmad Said memang serius melaksanakan slogan merakyatkan pentadbiran, ianya perlu juga disertai dengan tindakan pembetulan kesilapan kerajaan terdahulu dan pengembalian semula hak rakyat yang dirampas. Tidak betul kalau MB bersikap sebelah tangan menghulurkan madu, sebelah lagi mencurahkan tuba.

Kalau sekadar tindakan untuk cuba memulihkan imej dengan menyalahgunakan program kerajaan, bermodalkan lagak prihatin dengan keperluan rakyat menjelang disaat hampirnya PRU 13, tentu ianya tak lebih dari sekadar ulangan gimik politik yang tak berkesudahan.

Dr Azman Ibrahim
Naib YDP Setiu
AJK Badan Perhubungan PAS Terengganu

Wardina Nasihat Rakan Artisnya Rujuk Pakar Dahulu Sebelum Komen Hudud

Posted: 07 Oct 2011 04:04 AM PDT

KELAB GREENBOC

Kuala Lumpur: "Saya sarankan kepada rakan artis supaya tidak memberikan pandangan mengenai hukum hudud berbentuk peribadi, sebaliknya rujuk kepada pakar (ulama) terlebih dulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan," kata pengacara TV3, Wardina Saffiyah Fadlullah Wilmot, 32.

Itu antara luahan hati Wardina berhubung laporan sebuah akhbar bertarikh 25 Oktober lalu, apabila beberapa selebriti tempatan memberikan pandangan peribadi mengenai hukum hudud sama ada wajar atau tidak dilaksanakan di negara ini.

Antara artis memberikan pandangan mereka adalah Datuk Aziz Sattar, Ayu Raudhah, Enot, Alif Satar, Cat Farish dan Heliza AF.

Menurut Wardina, hukum hudud satu perkara sensitif yang seharusnya dirujuk kepada ulama dan pengamal undang-undang bukannya boleh dikeluarkan pandangan sesuka hati saja.

"Kita (artis) perlu tahu bahawa analogi hudud adalah perkara yang sangat teknikal dan sensitif yang mana sekiranya pendapat yang dikeluarkan salah, maka ia boleh menyinggung hati banyak pihak," katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, artis dan selebriti sewajarnya memberikan fokus hanya pada bidang yang diceburi mereka seperti pengalaman, seni, filem, muzik dan lakonan. -hm

Ulasan GB

Terima kasih dan syabas Wardina kerana memberikan saranan baik untuk rakan artisnya di dalam isu hudud.

Itulah kebenarannya iaitu: jika tidak tahu seseuatu mengenai hukum Islam, maka rujuklah pakar (ulama) terlebih dulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Jangan amalkan sikap memberi pandangan kepada sesuatu hal yang kita tidak tahu atau tidak mempunyai ilmu mengenainya.

Bukan tidak boleh memberi pandangan, tetapi hendaklah sekurang-kurangnya kita tahu tentang subjek yang hendak kita berikan pandangan itu kerana:

Firmanullah s.w.t.

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً


Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak ketahui; sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan ditanya apa yang dilakukan. Surah : Al Israa : 36

Intipati Bajet 2012: Ada Apa Pada Bajet 2012? [updated]

Posted: 07 Oct 2011 04:03 AM PDT

KELAB GREENBOC

Intipati BAJET 2012

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membentangkan Belanjawan 2012, belanjawan yang kedua di bawah tempoh pelan pembangunan lima tahun Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10).

Dewan Rakyat dijadual mula membahaskan Belanjawan 2012 minggu depan.

Jumlah bajet - RM232.8 bilion
Perbelanjaan Operasi - RM181.6 bilion
Perbelanjaan Pembangunan - RM51.2 bilion

* Tahun lalu, perkembangan pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia adalah paling kukuh di Asia bagi enam bulan pertama tahun ini dan mencecah RM21.2 bilion.

* Kerajaan jangka pertumbuhan ekonomi terus mantap - antara 5 dan 5.5 peratus tahun ini. Pertumbuhan bagi 2012 dijangkakan antara 5 dan 6 peratus, meskipun ekonomi global diramalkan perlahan.

* Defisit bajet buat kali ke-15 akan diturunkan kepada 4.7 peratus daripada GDP 2012.

* Ini lebih kecil daripada 5.4% bagi 2011. Defisit berjaya dikurangkan daripada 7.4 peratus pada 2009 kepada 5.6 peratus pada 2010.

Peruntukan rancakkan pembangunan

Kerajaan memperuntukan RM978 juta untuk merancakkkan pembangunan untuk lima projek, iaitu lebuh raya JB-Nusa Jaya, muzium warisan Taiping, projek agropolitan Besut, projek tandan sawit Lahad Datu dan bekalan air Samalaju.

Kereta hibrid
Pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais bagi mengimport kereta hibrid serta elektrik akan dilanjutkan sehingga 2013.

RM1 bilion untuk sekolah
Kerajaan akan wujudkan RM1 bilion untuk penambahkaikan sekolah.
RM500 juta diberikan pada sekolah kebangsaan.

Manakala M100 juta diperuntukkan masing-masing kepada sekolah jenis kebangsaan (Cina), sekolah jenis kebangsaan (Tamil), sekolah mubaligh, sekolah agama bantuan kerajaan dan Maktab Rendah Sains Mara.

Felda
Peneroka Felda akan terima "durian runtuh". Jumlahnya akan diumumkan sebelum Felda GVH disenarai di Bursa Malaysia sebelum pertengahan 2012.

Penyenaraian dilakukan dalam dalam usaha mengumpul dana menjadikan Felda syarikat konglomerat global.

RM400 juta diperuntuk untuk naik taraf infrastuktur bekalan air di kawasan Felda terpilih.

Yuran sekolah
Kerajaan memansuhkan yuran pendidikan rendah dan menengah di semua sekolah kerajaan.

Ini termasuk pemansuhan bayaran bagi kegiatan ko-kurikulum, insurans takaful dan sebagainya. Semua ini bermula penggal sekolah tahun depan.

Pencen

600,000 pesara kerajaan akan menikmati kenaikan pencen tahunan sebanyak 2 peratus.

Kakitangan awam
Kerajaan akan wujud lebih banyak mata gaji. Ini bermakna, penjawat awam akan mendapat gaji maksimun lebih tinggi, sehingga kepada 37.7 peratus.

Kakitangan awam akan mendapat kenaikan gaji antara RM80 hingga RM320

Umur wajib bersara dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun.

Polis
RM200 juta peruntukan khas akan diberikan untuk perbelanjaan pembangunan polis, meliputi projek perumahan anggota, penambahbaikan balai dan pusat latihan.

Keluarga tentera
RM3,000 akan diberi secara one off kepada angggota keluarga, duda dan balu anggota berjumlah 62,000 orang.

Subsidi
Beras - Bagi setiap kilogram beras super tempatan, harga asal RM2.40, rakyat hanya bayar RM1.80. Subsidi kerajaan 60 sen.

Gula - bagi setiap kilogram gula, harga asal RM2.50, rakyat hanya bayar RM2.30. Subsidi kerajaan berjumlah 20 sen.

Minyak masak - harga RM4.75, rakyat hanya bayar RM2.50

Tepung - harga asal RM1.90, rakyat bayar RM1.35

Skim rumah pertama
Kerajaan cadangkan had maksimum harga rumah Skim Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM400,000.

Skim Amanah Rakyat 1Malaysia

Skim ini dibuka kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang akan memanfaatkan 100 ribu isu rumah. Pelabur boleh mohon pinjaman RM5,000 dengan tempoh bayaran balik lima tahun.

Subsidi rumah
Kerajaan akan memberikan subsidi RM20,000 untuk pembelian Program Rumah Mesra Rakyat.

Mereka yang tidak memiliki rumah atau tinggal di rumah usah boleh dapatkan pembiayaan untuk membeli rumah berharga RM65,000 dengan harga RM45,000. RM200 juta diperuntukkan untuk program ini.

Teksi persendirian
Pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan.

Pengecualian bayaran balik duti eksais dan cukai jualan ke atas teksi yang berusia lebih tujuh tahun yang dijual atau tukar milik.

Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milik persendirian.

Pemberian bantuan RM3,000 bagi melupuskan teksi lama berusia lebih tujuh tahun tetapi kurang 10 tahun. Bagi teksi berusia 10 tahun dan ke bawah, bantuan RM1,00 akan diberikan.

Perlindungan kepada gelandangan
Kerajaan menyediakan pusat khidmat sosial dikenali Anjung Singgah sebagai perlindungan sementara kepada gelandangan sekitar Kuala Lumpur.

Seramai 1,400 orang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan 250 dengan Anjung Singgah.

Simpanan persaraan - KWSP
Caruman majikan dinaikkan daripada 12 peratus kepada 13 peratus bagi pencarum yang menerima gaji bulanan RM5,000 dan ke bawah. Langkah ini akan memanfaatkan seramai 5.3 juta pencarum KWSP.

Pinjaman TEKUN
Menteri kewangan mencadangkan peruntukan TEKUN ditambah sekali ganda daripada RM120 juta kepada RM300 juta.

Penjawat Awam
Tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM 500 ringgit untuk penjawat awam dan bayaran bantuan RM500 ringgit kepada pesara kerajaan. Bayaran ini akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember 2011.

Meringankan Kos Sara Hidup
Bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ringgit dan ke bawah. Pemberian ini melibatkan peruntukan sebanyak 1.8 bilion ringgit.

Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos;

Bantuan persekolahan RM100 ringgit diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara.

Pemberian baucar buku bernilai RM200 ringgit kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara.

Rancangan Tebatan Banjir
Kerajaan akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Perlis, Perak dan Johor dengan kos satu bilion ringgit.

Di Perlis, dua projek RTB iaitu naik taraf empangan Timah Tasoh Fasa 2 dan melebar serta mendalam Sungai Arau akan dilaksanakan.

Di Perak, tiga projek RTB di Sungai Kerian, Sungai Kurau dan Kolam Bukit Merah.

Manakala bagi Johor, projek RTB akan dilaksanakan di bandar dan Sungai Segamat.
-mk

Intipati Belanjawan 2012

* Kerajaan akan memperuntukkan RM2.5 bilion bagi Dana Mudahcara, di mana RM300juta bagi usahawan Bumiputera.

* Kerajaan akan memperuntukkan RM978 juta bagi mempercepatkan pembangunan di lima koridor wilayah.

* Pengecualian cukai pendapatan 70 peratus bagi lima tahun dicadangkan bagi Syarikat Multinasional (MNC) untuk menubuhkan perkhidmatan pengurusan perbendaharaan di Malaysia.

* Juga dicadangkan kepada MNC, pengecualian cukai pegangan ke atas pembayaran faedah pinjaman dan pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian perkhidmatan.

* Pengecualian cukai pendapatan 100 peratus bagi tempoh 10 tahun dan pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian perkhidmatan bagi syarikat berstatus KLIFD.

* Elaun bangunan industri dan elaun modal dipercepat dan pengecualian cukai pendapatan 70 peratus bagi tempoh lima tahun bagi pemaju hartanah di KLIFD.

* Potongan cukai ke atas perbelanjaan penerbitan sukuk wakala diberikan tempoh 3 tahun mulai tahun taksiran 2012.

* Pengecualian cukai pendapatan bagi penerbitan sukuk bukan ringgit dantraksaksi dilanjutkan bagi 3 tahun lagi sehingga 2014. -Bernama


Ulasan GB

Bajet Pilihanraya. Tiada apa yang signifikan sangat kecuali:

Felda nak disenaraikan di BSKL.

Seorang penganalisis berpendapat:


Yang menyedihkan pengurusan Felda dan warga peneroka adalah perkara ini tidak dibincangkan secara menyeluruh terdahulu dan keputusan ini menampakkan Felda benar-benar kesusutan dana sedangkan Felda tidak memerlukan sebarang dana hasil dari penyenaraian tersebut.

"Pihak yang bakal untung besar tentulah CIMB (milik Nazir Razak -adik Najib) yang menikmati hasil jutaan ringgit seperti hasil menyenaraikan syarikat gula MSM milik Felda sebelum ini serta syarikat kroni Isa dan Najib yang berusaha memiliki perniagaan-perniagaan Felda yang selama ini sangat menguntungkan walaupun tidak disenaraikan dalam bursa,"


Bonus Penjawat Awam

Harapan Cuepacs dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) masing-masing memohon kerajaan memberi bonus dua bulan tidak kesampaian. Tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM 500 ringgit untuk penjawat awam dan bayaran bantuan RM500 ringgit kepada pesara kerajaan saja diberikan kepada penjawat awam di hujung tahun nanti.

PADAN MUKA NAK SANGAT!!! PERKASAM dan UMNO nak kacau ceramah Mat Sabu tapi lari lintang pukang kena halau

Posted: 07 Oct 2011 03:44 AM PDT

Oleh; EDYES @ edyesdotcom


Harta rampasan!! 5 kain rentang yang dibawa oleh puak pengacau ditinggalkan setelah mereka lari melintang pukang!!

Antara kain rentang yang dikutip semula oleh Unit Amal

Alhamdulillah, Abg Mat Sabu tetap hadir ke Rembau dengan selamat walaupun diancam oleh puak-puak yang serba-serbi tidak bertamadun. Di atas kawalan keselamatan yang baik dari SAMM dan Unit Amal, semua program berjalan lancar di pentas walaupun terdapat kekecohan diluar pagar tempat ceramah.

Kedatangan lalat sememangnya tidak diundang. Cubaan untuk membuat kacau menjadi sebaliknya apabila puak PERKAKAS yang datang berarak hanya seramai lebih kurang 20-30 orang bertempiaran lari hampir 2kilometer. Ini berikutan kerjasama utuh di antara SAMM dan Unit Alam bersama penduduk tempatan mula bergerak ke arah puak pengacau.

Habis semua banner-banner berkos tinggi yang dibawa berarak oleh puak pengacau ditinggalkan di atas jalan. Lintang pukang mereka lari seolah-olah tak cukup tanah, walaupun sebelumnya menggelarkan diri mereka pahlawan. Ini pahlawan tahi kucing! Mungkin mereka akan gunakan efek ubat batuk sebagai alasan mengapa mereka cabut lari.

Pertembungan kali ini tidak seperti apa yang berlaku di Seremban tempohari. Puak pengacau tidak sesekali berani mengambil risiko membaling batu kerana jumlah mereka jauh lebih kecil berbanding anak muda dan penduduk tempatan yang bangkit pertahankan Md Sabu yang ketika itu duduk di pentas ceramah. Syabas kepada penduduk tempatan kerana bermatian pertahan Md Sabu, yang dialu-alukan sebagai tetamu kehormat.

Merujuk dari akhbar Sinar 6 Oktober 2011, puak 'geng jahat' mengeluarkan kenyataan mahu mengumpul sejumlah seribu bekas perajurit bersama mereka. Nyata 'geng jahat' tidak diberi sambutan oleh golongan bekas perajurit malah ramai juga bekas perajurit yang hadir terus mendengar ceramah Md Sabu. Perajurit juga bersama Mat Sabu kerana jika ruyung sejarah tidak dipecah oleh beliau, maka bekas-bekas perajurit ini pastinya kurang diberi perhatian sepertimana yang dilaporkan - 70% dari mereka hidup menderita.

Perkasa dah lari meninggalkan panji berupa banner-banner yang mahal. Itulah lemahnya jika datang dengan niat dan tujuan yang jahat, itulah natijahnya ketika hadir hanya berikhlaskan wang ringgit. Banner-banner tersebut kemudiannya dirampas selepas ditinggalkan berterabur di atas jalan. Ada di antara mereka yang keciciran handphone jenis nokia edisi paling cokia buat penyendal pintu, aduhai rata-rata pencacai yang hadir itu juga orang yang susah serba ketinggalan. Kalau sokong Umno BN menjadikan pencacai ini kaya-raya, itu tidaklah mengapa.

Kekecohan berterusan di kawasan yang agak jauh dari tapak ceramah yang juga dipenuhi wanita dan kanak-kanak. Ini merupakan satu kejayaan buat SAMM, Unit Amal dan penduduk tempatan kerana dari sudut ini walau pembaling batu bertaraf olimpik sekalipun tidak mampu sampai batunya di tapak ceramah. PERKASA berkumpul tidak mahu pulang dan kembali berterabur lari apabila kami menghampiri. Begitulah keadaan berulang kali berlaku.

Akhirnya che'GuBard meninggalkan pentas dan tampil ke zon kekecohan untuk selesai masalah. Sebagai perunding berkaliber dan dihormati, puak pencacai diberi peluang menghantar wakil bagi menyerahkan memorandum kepada Abg Mat.

Sifirnya mudah, kita cukup bertamadun untuk berbincang dan penyerahan memorandum adalah suatu yang tidak perlu dihalang. Namun di atas ancaman awal dan kejadian baling batu di Seremban, keadaan itu memaksa SAMM dan Unit Amal memastikan kedudukkan Perkasa jauh dari pimpinan dan orang awam di tapak ceramah. Difahamkan ketika itu Abg Mat telah sedia untuk menerima memorandum.

Selaku pemimpin yang cukup berpengalaman menghadapi pelbagai krisis serta konfrontasi, che'GuBard berjaya mengawal keadaan lalu membenarkan 2 orang wakil dari Perkasa bagi menghantar memorandum. Che'GuBard juga meletakkan tanggungjawab penuh supaya kedua-dua wakil tersebut tidak diapa-apakan.

Hasilnya kedua-dua wakil Perkasa itu berjaya dibawa masuk bertemu Abg Mat dan turut menyerahkan memorandum. Namun mereka 'dibasuh' kaw-kaw oleh Abg Mat dalam pertemuan itu. Abg Mat tidak bagi peluang selain memberi tarbiyah tentang apa yang sebenarnya berlaku dan menyindir keras salah seorang wakil berusia muda kerana tidak berusaha mencari kebenaran selain hanya tertumpu kepada Utusan dan TV3.

Tertekan dengan pidato Abg Mat hingga apa jua yang mereka celah dijawab kemas oleh Abg Mat, kedua-dua wakil akhirnya meminta maaf kepada Abg Mat sebelum mereka beredar. Dengan muka yang pucat wakil-wakil pencacai meninggalkan tapak ceramah juga diiringi oleh che'GuBard dan SAMM bagi memastikan 'tetamu' tidak diundang ini berjaya keluar.

Selesai semua masalah, program ceramah diteruskan. Kelantangan che'GuBard dan Abg Mat berpidato sedikit pun tidak terjejas dengan kejadian sebentar tadi. Dari aspek ini dapat kita lihat bahawa kehadiran puak pengacau untuk mengganggu majlis adalah satu usaha yang GAGAL dan memalukan melayu Umno.

Difahamkan juga beberapa laporan polis telah dibuat kerana kononnya ada di antara pencacai-pencacai barua British ini tercedera. Itu mereka punya pasal sebab masuk kawasan orang mencari pasal. Ketika lari lintang pukang, ada antara mereka yang terjatuh dan ada juga yang tersembam ke dalam longkang. Nasib kau lah labu.

Ada juga seorang aktivis blogger yang dipukul dari belakang menggunakan haler (pembesar suara). Tetapi sebab itu blogger aktivis fisabiLillah, maka Allah pun turut melindungi pejuang jalanNya dan ia sedikit pun tidak terkesan. Cuma sedikit hairan Perkasa yang kononnya berani, rupanya hanya berani memukul dari belakang dan menggunakan haler sebagai senjata.

Justeru itu, sebagai sebuah negara yang punya undang-undang, Abg Mat akan tetap menyampaikan pidatonya di bumi mana sekalipun. Sesungguhnya rakyat terbanyak bersama Pakatan Rakyat, ia termasuklah bekas-bekas perajurit yang menunjukkan signal jelas tiada ruang buat pencacai menghasut mereka. Allah juga bersama pejuang yang menegakkan jalanNya!!

Kepada para pembaca yang budiman, tidakkah anda tertanya-tanya di manakah gerangannya pak polisi?? Barangkali tertelan ubat batuk gamaknya...

Hadirin penuh hingga ke luar pagar!!
che'GuBard dan Abg Mat menanti giliran untuk berucap
Black Maria ada, tapi pulisnya macam tidak ada! - PASPB


Pakatan Rakyat Kemuka Bajet RM220 bilion, jimat RM14 bilion daripada BN

Posted: 07 Oct 2011 03:42 AM PDT

. Oleh Naeem Rafi



KUALA LUMPUR: Suri rumah, golongan kelas bawahan dan warga emas bakal mendapat perhatian istimewa di dalam bajet Pakatan Rakyat 2012 yang dilancarkan empat hari sebelum kerajaan Barisan Nasional yang akan membentangkan belajawan mereka sendiri.

Menerusi Bajet mereka, yang bertemakan " Kesejahteraan Untuk Semua", Pakatan juga berjanji akan memecahkan monopoli-monopoli di dalam sektor-sektor kritikal negara seperti penjanaan kuasa, pembuatan beras dan pemberian lesen teksi.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Belanjawan 2012 akan memperuntukan RM220 bilion berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4% daripada KDNK.

Ia bakal memberi penjimatan RM 14 bilion daripada kadar yang sekarang dibelanjakan oleh Barisan Nasional.

"Keupayaan Pakatan Rakyat menghasilkan sebuah belanjawan menyeluruh yang berlandaskan semangat reformasi rakyat adalah bukti mercu tanda kematangan dan kesediaan Pakatan Rakyat menjadi kerajaan persekutuan yang baru," katanya ditaklimat Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat di Parlimen hari ini

Kita yakin melalui pengurusan wang negara yang lebih berhemah, telus, bertanggungjawab dan berkesan, jumlah RM220 bilion ini akan memberi 20% nilai tambah kepada rakyat, berbanding apa yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional selama ini.

"Belanjawan Pakatan Rakyat akan mengekalkan peruntukan subsidi sebanyak RM22 bilion dengan mengambil kira unjuran harga minyak mentah terkini.

Pakatan akan memberi bonus warga emas sebanyak RM1,000 setahun kepada mereka yang layak, berdasarkan pendapatan kurang dari RM18,000 setahun.

Manakala suri rumah yang layak bakal menerima RM1,000 untuk mengurangkan bebanan keluarga dan menggalakkan mereka menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Belanjawan Pakatan Rakyat juga akan menggunapakai mekanisme penetapan gaji minima sebanyak RM1,100 untuk diangkat dan dikuatkuasakan seperti mana yang dijanjikan dalam Buku Jingga.

"Pengenalan gaji minima dijangka akan memanfaatkan 300,000 orang kakitangan awam yang berada di bawah RM1,100",ujar Anwar.

Anwar berkata Pakatan berhasrat mangalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada program khusus untuk mengurangkan bebanan rakyat.

Selain itu, tumpuan khusus juga akan diberikan untuk menambahbaik sistem penyampaian subsidi agar ia sampai terus kepada rakyat yang memerlukan, bukannya ditadbir dan tersekat di pertengahan akibat monopoli yang diberikan kepada syarikat tertentu.

"Penghapusan subsidi korporat yang selama ini menguntungkan golongan mahakaya dan kroni mereka seperti pemilik-pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh BERNAS, monopoli lesen teksi oleh golongan berkepentingan dan lain-lain."

Peneroka Bandar Kampung Seri Temenggong Dapat Rumah Mampu Milik

Posted: 07 Oct 2011 03:39 AM PDT

Oleh Afeeqa Afeera


SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor telah mencapai persetujuan dengan penduduk peneroka bandar Kampung Seri Temenggong, Gombak untuk membina rumah mampu milik di kawasan itu, menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Setinggan, Iskandar Abdul Samad.

Iskandar yang ditemui dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkata, kerajaan negeri mengkhususkan untuk membina sejumlah 450 unit rumah mampu milik bagi menggantikan kediaman setinggan 29 buah keluarga yang menetap di situ.

"Dengan persetujuan penduduk untuk keluar daripada tapak tersebut, maka perancangan kerajaan negeri untuk membina rumah mampu milik di situ akan berjaya," katanya.

Menurutnya, rumah mampu milik yang akan dibina di kawasan lapang itu nanti berharga antara RM90,000 hingga RM120,000 dengan keluasan antara 850 dan 1000 kaki persegi.

Iskandar yang juga ADUN Chempaka berkata, pembinaan rumah mampu milik ini adalah bukti kejayaan kerajaan negeri kerana 29 penduduk itu tidak dapat dikeluarkan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) ekoran mereka tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun kerajaan Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat berjaya menawarkan rumah mampu milik dengan tawaran potongan harga.

"Ini menunjukkan bahawa kerajaan sekarang ini dalam menyelesaikan masalah peneroka bandar, kita telah berjaya menghasilkan satu penyelesaian yang lebih baik dan lebih kreatif daripada kerajaan yang lepas. Kita lihat bahawa seperti mana yang berlaku di Bukit Botak kita telah berjaya menyelesaikan masalah tersebut," jelasnya.

Tambah Iskandar, pembinaan rumah mampu milik di kampung berkenaan adalah sebahagian daripada 2,000 unit rumah jenis itu yang akan dilancarkan selewat-lewatnya Mac 2012.

Pada masa ini, katanya, kerajaan negeri telah memulakan pembinaan 124 unit rumah berkenaan di Bangi.

Kerajaan Selangor bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengambil inisiatif positif dengan mengenalpasti beberapa lokasi lain di negeri ini untuk membina rumah mampu milik, antaranya Seksyen 3 Bandar Baru Bangi, Antara Gapi dan Bernam Jaya di Hulu Selangor, Gombak, Petaling serta Taman Sains 2 di Sepang.

Pakatan Akan Gubal Undang-Undang Hapus Monopoli Dan Konsesi Tidak Adil

Posted: 07 Oct 2011 03:37 AM PDT

Oleh Afix Redzuan


SHAH ALAM: Bajet Alternatif Pakatan Rakyat 2012 akan menghapuskan sistem monopoli di dalam sektor-sektor penting negara sebagai langkah mengurangkan kos sara hidup serta meningkatkan pelaburan.

Ini akan dilakukan dengan mengamalkan dasar tender terbuka untuk perolehan kerajaan dan mengubal sebuah akta untuk menghapuskan konsesi yang tidak adil, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Thong.

Katanya, penghapusan sistem monopoli ini akan membuka ruang persaingan sihat kepada ramai usahawan yang selama ini kekurangan peluang daripada kesan sistem monopoli.

"Kita tidak boleh memberikan angka tetap melalui hasil penghapusan monopoli. Namun kita percaya persaingan tanpa monopoli akan mengurangkan kos kehidupan rakyat," katanya.

Melalui sistem monopoli ini merupakan satu langkah 'membunuh' pesaing lain yang mungkin turut terlibat dalam industri sama.

Antara contoh monopoli ialah monopoli Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) untuk mengimport beras, Telekom Malaysia (TM) untuk perkhidmatan jalur lebar dan Astro untuk perkhidmatan televisyen setelit siar terus berbayar, kata Liew.

Satu Akta Kontrak Awam Tidak Adil akan digubal untuk mengkaji semula konsesi dan perjanjian yang dikenalpasti sebagai tidak adil dan bertentangan dengan kepentingan umum. Ia juga akan mengembalikan semula profesionalisme dengan memberikan ruang penyertaan kepada semua pihak.

Selain itu, Akta Persaingan 2010 akan diperluaskan kepada semua sektor ekonomi termasuklah syarikat telekomunikasi dan sektor tenaga yang paling banyak menyaksikan herotan harga akibat monopoli.

Perkara ini dinyatakan Liew dalam Forum Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 yang berlangsung di Quality Hotel, di sini.

Untuk mengembalikan semula kecemerlangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Pakatan akan memastikan mereka bebas dari gangguan politik dan dibenarkan untuk beroperasi berdasarkan keutamaan perniagaan.

Dalam majlis sama, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan pendapatan rakyat haruslah ditingkatkan dulu sebelum memperkenalkan Good and Services Tax (GST).

Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk kerajaan melaksanakan Goods Service Tax atau ringkasnya GST, kata Dzulkefly.

Katanya, Pakatan tidak menolak mentah-mentah perlaksanaan GST namun ianya perlu dilihat dari sudut yang rasional terutama dari segi aspek kemampuan rakyat untuk membayarnya.

"Kenapa rakyat tidak mampu membayar cukai? Kerana pendapatan mereka berada di bawah paras untuk melayakkan mereka untuk membayar cukai," katanya.

Indeks jenayah: Ketua Polis Negara sokong Lim Guan Eng?

Posted: 07 Oct 2011 03:36 AM PDT

WarkahDaily


Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar semalam telah menjelaskan bahawa pihak polis menjalankan tugas dan memberi khidmat mereka tanpa meletakkan kepentingan politik mana-mana pihak walaupun pernah mengeluarkan kenyataan berbaur politik sebelum ini berkaitan pemansuhan Akta ISA yang mungkin boleh memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum.

Katanya, pihak polis menjalankan tugas tidak kira di negeri Pakatan Rakyat (PR) atau tidak, sebaliknya tanggungjawab dilaksanakan dengan menyeluruh untuk memastikan rakyat hidup dalam keadaan aman damai.

"Polis tidak bersikap pilih kasih dalam menjalankan tugas walaupun sesebuah negeri itu ditadbir parti pembangkang.

"PDRM selaku agensi penguatkuasaan di negara ini berkhidmat bagi memastikan keamanan terkawal, memerangi serta mencegah jenayah. Jadi, khidmat yang kami berikan ini, sememangnya secara menyeluruh," kata Ismail.

Ismail menjelaskan, PDRM tidak akan berat sebelah bahkan tidak membiarkan jenayah berleluasa di negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

"Tidak timbul isu jika sesebuah negeri itu ditadbir oleh pembangkang, PDRM akan bersifat berat sebelah dan membiarkan jenayah berleluasa di sana," katanya selepas perasmian Hari Terbuka Polis 2011 oleh Timb. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Merdeka, kelmarin.

KPN bersetuju dengan KM Pulau Pinang

Menurut Ismail lagi, pihak polis dapati indeks jenayah secara keseluruhan adalah turun tidak kira di Johor, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak atau Kelantan.

Ismail mengulas kadar jenayah yang berlaku berikutan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang menyatakan jenayah di negeri pentadbirannya berjaya dikurangkan.

Jelas, kenyataan Ismail berkaitan penurunan indeks jenayah itu turut membenarkan apa yang didakwa Lim Guan Eng bahawa Pulau Pinang lebih bersih, lebih hijau dan juga lebih selamat berkaitan keselamatan dan indeks jenayah berkurangan begitu ketara sekali berbanding negeri lain.

Buktinya, Ismail secara terang seolah-olah mengiyakan kenyataan Lim Guan Eng seperti yang didakwa TV3 itu apabila turut mengaitkan pihak polis yang tidak bersikap pilih kasih menjalankan tugas mengurang indeks jenayah di negeri itu walaupun ianya ditadbir oleh PR.

Pihak polis, katanya sentiasa berusaha supaya indeks jenayah berkurangan selari dengan matlamat PDRM sekarang.

Sebelum ini, TV3 mendakwa, Lim Guan Eng burukkan Johor adalah negeri tidak selamat berbanding Pulau Pinang ketika majlis makan tengah hari dengan Persatuan Wartawan Asing Singapura pada 12 Ogos lalu. Namun ianya dinafikan oleh Ketua Menteri itu dan beliau tidak pernah bermaksud demikian.

Kerana laporan media pro Umno-BN, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dilaporkan tersinggung terhadap tuduhan Lim Guan Eng ke atas Johor itu.

Lim Mohon maaf

Walau bagaimanapun, Lim Guan Eng (gambar kanan) kelmarin telah memohon maaf kepada Sultan Johor kerana menyinggung perasaan baginda berhubung satu kenyataan yang didakwa memburukkan negeri Johor.

"Sebagai rakyat Malaysia yang setia kepada Raja dan negara, patik ingin memohon maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor, atas rasa tersinggung DYMM Tuanku terhadap kenyataan berikutan dengan Johor yang telah dibuat oleh patik," pohon Lim Guan Eng dalam kenyataan penuhnya kelmarin.

Lim turut memohon maaf terhadap rakyat Johor atas perkara yang sama dan beliau menafikan berniat untuk memburukkan Johor.

"Patik tidak berniat untuk memburukkan Johor atau mana-mana negeri atas apa-apa sebab dan alasan sekali pun.

"Dalam laporan media, DYMM Sultan Johor juga bertitah bahawa Baginda tidak mahu diseret ke dalam arena politik. Patik bersetuju dengan titah DYMM Sultan Johor.

"Saya merasakan bahawa saya telah disalah lapor oleh media massa yang dikawal oleh Barisan Nasional.

Kerana dituduh demikian, Lim akan membawa kes itu di mahkamah untuk menentu kebenaran ucapannya itu.

"Saya akan membawa perkara ini ke mahkamah untuk menentukan kebenaran tentang di mana saya membuat ucapan saya, apa yang sebenarnya yang diperkatakan, bagaimana ia dikatakan dan dalam konteks apa kenyataan itu dibuat," kata Lim dalam kenyataan terbukanya itu.

Malaysia tiada dalam senarai 400 universiti terbaik dunia

Posted: 06 Oct 2011 09:54 PM PDT

Roketkini.com


KUALA LUMPUR– Daripada 400 universiti terbaik di dunia, universiti-universiti di Malaysia langsung tidak tersenarai, sebaliknya semakin menjunam taraf.

Senarai itu dikeluarkan oleh Times Higher Education (THE) 400 Top World University Ranking untuk sesi 2011/2012 semalam.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata laporan THE yang terbaru itu menunjukkan tiada satu pun universiti-universiti Malaysia tersenarai.

Bagi membandingkan di antara Malaysia dan negara Asia lain, Kit Siang menyenaraikan universiti-universiti dari Asia yang tersenarai dalam laporan THE itu.

Mengikut urutan ranking, universiti-universiti Asia itu ialah:

30 – University of Tokyo (Jepun)

34 – University of Hong Kong (Hong Kong)

40 – National University of Singapore (Singapura)

49 – Peking University (China)

52 – Kyoto University (Jepun)

53 – Pohang University of Science and Technology (Korea Selatan)

62 – Hong Kong University of Science and Technology (Hong Kong)

71 – Tsinghua University (China)

94 – Korea Advanced Institute of Science and Technology (Korea Selatan)

108 – Tokyo Institute of Technology (Jepun)

119 – Osaka University (Jepun)

120 – Tohoku University (Jepun)

124 – Seoul National University (Korea Selatan)

151 – Chinese University of Hong Kong (Hong Kong)

154 – National Taiwan University (Taiwan)

169 – Nanyang Technological University (Singapura)

192 – University of Science and Technology of China (China)

193 – City University of Hong Kong (Hong Kong)

"Walau pun tiada sebuah pun dari Malaysia yang tersenarai, negara Thailand sekurangnya melalui Universiti Mahidol turut tersenarai walau pun dalam kategori paling belakang iaitu antara 351-400," kata Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Beliau juga membandingkan laporan oleh QS World University Ranking bagi tahun 2011/2012 telah menunjukkan empat institut pengajian tinggi awam Malaysia semakin menjunam berbanding 2010.

Universiti-universiti Malaysia yang jatuh itu ialah:

* Universiti Kebangsaan Malaysia jatuh kepada kedudukan ke 279 (263 pada tahun lepas)

* Universiti Sains Malaysia pada ranking 335 (309 tahun lepas)

* Universiti Putra Malaysia, 358 (319 tahun lepas)

* Universiti Teknologi Malaysia berada di antara tangga 401 dan 450 (365 tahun lepas). –

Pakatan mahu gaji minimum dilaksanakan

Posted: 06 Oct 2011 09:48 PM PDT

Roketkini.com


KUALA LUMPUR – Belanjawan Pakatan Rakyat yang menawarkan penetapan gaji minimum RM1,100 bertujuan menarik keluar majoriti pekerja berpendapatan rendah dari lubuk kemiskinan.

Ia juga bakal mengangkat maruah pekerja dan golongan miskin ke tahap yang lebih tinggi kerana selama ini golongan paling besar yang menyumbang kepada pembangunan negara telah diabaikan oleh kerajaan UMNO-Barisan Nasional, kata Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago.

Beliau berkata gaji minimum yang disyorkan dalam belanjawan Pakatan itu merupakan satu proses bagi membaik pulih ekonomi rakyat, produktiviti pekerja dan secara tidak langsung memberi lebih kuasa memilih dan membeli kepada mereka.

"Dengan syor gaji minima sebanyak RM1,100 oleh Pakatan, ia akan memberi kuasa kepada pekerja untuk berunding dengan majikan tentang hak dan kepentingan ekonomi mereka," katanya kepada Roketkini.

Charles yang juga Naib Pengerusi DAP Selangor berkata, gaji asas kebanyakan pekerja di Malaysia hanya dalam lingkungan RM500 sebulan walau telah bekerja selama berpuluh tahun.

"Bermula sedekad lalu, produktiviti pekerja meningkat tinggi, malah produktiviti syarikat juga naik, tetapi ia tidak selari dengan gaji pekerja yang dalam tempoh itu hanya naik kepada 2.6 peratus sahaja," katanya.

Justeru, dengan ketetapan gaji minimum untuk semua sektor, Charles menjelaskan bahawa angka itu akan memberi lebihan kewangan kepada pekerja untuk berbelanja dan meningkatkan taraf hidup mereka dan keluarga mereka.

"Selain itu, dengan lebihan wang itu juga ia akan mendorong kepada lebihan aktiviti ekonomi dan secara tidak langsung juga meningkatkan ekonomi Malaysia. Ini bakal menjadi suntikan dan kenaikan ekonomi kepada Malaysia," katanya.

Pada 4 Oktober lalu, Pakatan Rakyat telah membentangkan Belanjawan bertema Kesejahteraan Untuk Semua yang menerangkan usaha telus Pakatan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, selain membetulkan kembali kerosakan-kerosakan angkara BN kepada Perlembagaan Persekutuan.

Belanjawan itu dilancarkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menjelaskan bahawa kuasa untuk menentukan gaji minimum terus dipusatkan di tangan Menteri, justeru Akta Majlis Rundingan Gaji Kebangsaan yang dibentangkan baru-baru ini tidak lebih dari helah untuk menutup keengganan BN melaksanakan gaji minimum.

Berhubung Majlis Rundingan Gaji Kebangsaan, Charles berkata, BN dan majlis itu sebenarnya tidak mempunyai political will sejak sekian lama.

"Hanya selepas desakan dari Pakatan, kesatuan-kesatuan pekerja, dan NGO-NGO, barulah mereka merasakan satu keperluan," katanya.

Beliau turut mempersoalkan intergriti majlis rundingan tersebut sama ada gaji yang bakal ditetapkan mereka itu akan meliputi Sabah dan Sarawak, semenanjung Malaysia, atau berasaskan industri-industri sahaja.

"Sangat lembab usaha mereka… Mereka masih belum bincang," katanya, menambah bahawa Pakatan dalam tempoh hanya beberapa bulan telah pun berupaya menetapkan satu angka gaji minimum, berbanding majlis yang dianggotai lebih 20 orang itu.

Belanjawan PR demi rakyat – Oleh Adil Mat Selamat

Posted: 06 Oct 2011 09:46 PM PDT

Roketkini.com


Belanjawan alternatif Pakatan Rakyat 2012 – Kesejahteraan Untuk Semua – yang dikemukakan baru-baru ini bukan sekadar mencerminkan keinginan PR untuk memerintah Malaysia, sebaliknya ia adalah azam politik yang akan dilaksanakan selepas berjaya mengambil alih pemerintahan negara.

Memang ini adalah azam dan cita-cita. Dasar belanjawan Pakatan Rakyat ini bukanlah semata-mata untuk menyaingi dasar UMNO-Barisan Nasional, sebaliknya ia adalah satu dasar yang menyeluruh dan condong memberi kuasa kepada rakyat terbanyak.

Kuasa atau kecenderungan kepada rakyat merupakan satu keperluan yang pertama sekali perlu diberikan. Dalam hal ini, PR telah berjaya memahami dan melakarkannya secara tuntas.

Kekuatan rakyat dalam konteks kuasa untuk memiliki atau membeli adalah lebih utama dari belanjawan yang menghambat mereka dengan pelbagai cukai, hutang dan tanggungan bil kepada syarikat-syarikat gergasi dan kerajaan.

Maksud 'kuasa kepada rakyat' dalam dasar belanjawan PR ini juga memberi makna 'kuasa memilih' bagi rakyat.

Dengan pendapatan yang kompetitif, elaun atau imbuhan yang berpatutan, semua golongan rakyat baik lelaki dan wanita, tua dan muda, pekerja atau suri rumah akan mampu menjadikannya sebagai satu dorongan untuk mereka lebih produktif melalui dorongan Belanjawan Pakatan Rakyat.

Suri rumah dan warga emas

Bayangkan, sebagai suri rumah yang saban hari dirinya lusuh dengan rutin yang sama, menerima bantuan sebanyak RM1,000 dan elaun RM700 setahun bagi penjagaan anak berumur 12 tahun ke bawah.

Paling tidak kesannya adalah golongan terbanyak ini akan mula merancang bagaimana cara terbaik untuk menggunakan wang itu. Biasanya suri rumah memang menjadi 'menteri kewangan' rumah tangga.

Jangan kita pandang rendah terhadap intelek dan keupayaan golongan suri rumah ini kerana umum juga ketahui bahawa golongan ini bijak menggunakan wang atau aset yang kecil untuk menjaga, mengurus dan mencambah pendapatan isi rumah, malah lebih kreatif dan rajin dengan mengambil upah menjahit kain, baju, langsir dan pelbagai lagi.

Justeru, bantuan sebegini akan mampu meransang keupayaan golongan suri rumah untuk merencana sesuatu demi kebaikan keluarga dan rumah tangga.

Begitu juga dengan warga emas. Bonus RM1,000 di samping bantuan berterusan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (tidak termasuk duit Hari Raya/Krismas/Deepavali dan Tahun Baru Cina), amat bermakna bagi golongan ini.

Walau pun golongan ini dari aspek ekonomi sudah dianggap golongan yang kurang produktif, mereka tetap mempunyai peranan besar dalam konteks pembangunan keluarga dan masyarakat.

Pelajar dan anak muda

Bagaimana pula dengan golongan muda?

Mengikut laporan media, pelajar-pelajar kita secara umumnya mengalami masalah stress (tekanan) yang amat tinggi.

Pelbagai fakta dan laporan termasuk andaian beberapa pihak telah dikemukakan tentang punca para pelajar kita mengalami stress. Barangkali dalam hal ini, wajar persoalan itu kita tujukan kepada dasar pendidikan negara termasuk pendekatan-pendekatan yang telah dan sedang digunakan oleh kementerian terbabit.

Secara konsepnya, warga muda yang mengalami tekanan perasaan atau stress, selain dari faktor dirinya sendiri, ia juga berpunca dari gaya hidup keluarga dan persekitaran semasa.

Kisah yang sering diungkapkan oleh golongan muda (pelajar) ini adalah 'kebebasan' baik dari keluarga, sekolah, persekitaran termasuk apa jua kegiatan yang dipaksakan ke atas mereka.

Ruang mereka untuk mendekati dan menguji kebebasan disekat dan dihantui dengan pelbagai momokan. Maka, golongan ini bukan sahaja akan gagal dalam pendidikan malah turut menyebabkan emosi dan intelek mereka beku dan lesu.

Kita tak dapat nak membayangkan dengan usia yang masih muda, masih belum banyak tanggungjawab dan peranan tetapi telah mengalami masalah tekanan perasaan yang kronik.

Maka, fenomena ini harus ditangani dengan berhati-hati dan komprehensif.

Jika kita melihat belanjawan PR dalam membantu golongan muda, RM100 juta akan diperuntukkan kepada program Pilihan Anak Muda, yang melibatkan anak muda Malaysia berumur bawah 30 tahun untuk mengimplimentasikan projek-projek dan program-program pilihan mereka.

Malah RM50 juta akan diperuntukkan kepada sebuah dana khas untuk meningkatkan penglibatan anak muda dalam aktiviti-aktiviti berdasar kreativiti dan mewujudkan lebih banyak ruang riadah dan rekreasi.

Menggalakkan kebebasan dan kreativiti

Jika kita memahami konteks sebenar bantuan ini, ia bukan sekadar jumlah wang yang berjuta-juta. Wang itu jangan menggelapkan mata kita.

Sebaliknya ia menunjukkan satu sifat yang ketara di mana kerajaan memberi golongan ini satu 'lesen' untuk mereka memilih, bergerak, beraktiviti, merancang, berkreatif dan memanfaatkan ruang sosial dalam konteks demokrasi yang matang.

Di samping imbuhan bantuan ini, jangan kita lupa bahawa kerajaan PR juga akan memansuhkan Akta Universiti dan Universiti Kolej (AUKU) demi memastikan golongan muda benar-benar aktif dan dapat memainkan peranan dalam masyarakat dengan lebih berkesan.

Anak muda tidak akan belajar dengan cara paksaan. Tetapi daya tarikan mampu menyebabkan golongan ini dapat dipandu dengan lebih fokus dan terarah.

Inilah nilai yang ada dalam belanjawan PR, belanjawan untuk rakyat Malaysia. Ia bukan umpan untuk memancing undi. Ia telah mengambil kira kepentingan hari ini dan masa depan. –

Fitnah II: Peguam tetap mahu Najib- Rosmah disepina

Posted: 06 Oct 2011 09:44 PM PDT

Oleh: Ahmad Fadli

KUALA LUMPUR: Peguam Karpal Singh yang mewakili Ketua pembangkang, Datuk Seri akan memfailkan rayuan terhadap keputusan permohonan mengenepikan sepina oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad


Zabidin Mohd Diah hari ini menerima permohonan Najib dan Rosmah yang enggan hadir ke mahkamah memberi keterangan dalam kes Fitnah II.

"Kami bercadang untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan hakim hari ini.

"Petang esok kami akan failkan rayuan," kata Karpal Singh di luar Mahkamah Tinggi sebentar tadi.

Najib dan Rosmah adalah saksi penting dalam kes Fitnah II.

Najib sebelum ini dilaporkan menemui pengadu kes Fitnah II, Saiful Bukhari Azlan pada 24 Jun 2008, dua hari sebelum tarikh beliau memfitnah Anwar meliwatnya.

Rosmah pula dilaporkan pernah bertemu dengan sahabat karib Saiful, Mohd Rahimi Osman.

Malah, beliau juga pernah dirakam kenyataannya oleh pegawai penyiasat Fitnah II, DSP Jude Blacious Pereira.

Mengulas lanjut, Karpal berkata perkara yang paling dikesalkan beliau dalam penghakiman hari ini adalah tindakan Hakim Zabidin yang tidak mengemukakan sebarang asas penghakiman dalam keputusannya menerima permohonan Najib dan Rosmah.

"Malangnya, hakim tidak memberikan sebarang sebab kenapa sapina itu ditolak.

"Hakim sepatutnya memberikan sebab memandangkan beliau mengambil masa (dua hari) untuk membuat keputusannya," kata Karpal

Keganasan Bersih: Menteri Dalam Negeri, KPN perlu bertanggungjawab

Posted: 06 Oct 2011 09:41 PM PDT

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: KEADILAN mahu Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara bertanggungjawab terhadap keganasan yang dilakukan oleh polis dalam menangani perhimpunan Bersih pada 9 Julai lalu.

Naib Presidennya, N Surendran berkata, sejumlah besar gas pemedih mata yang dilepaskan ketika kejadian boleh diklasifikasi sebagai jenayah dan cubaan membunuh.


"Kami menggesa menteri dalam negeri dan KPN mengambil tanggungjawab terhadap tindakan tidak mengikut undang-undang oleh anggota polis pada 9 Julai, dan kami menggesa Peguam Negara mendakwa pegawai terlibat tanpa mengira pangkat dan kedudukan," kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas jawapan bertulis Kementerian Dalam Negeri di parlimen hari ini yang menyatakan 262 kanister gas pemedih mata dan 36 bom asap dilepas kan ketika kejadian.

Selain itu, Menteri bertanggungjawab, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut menyatakan kerajaan membelanjakan RM22,855.76 bagi tujuan tersebut.

"Keseluruhan tembakan sebanyak 262 kanister itu tidak mengikut undang-undang, tidak bertanggungjawab, semborono dan bahaya," kata Surendran.

Beliau dalam masa sama juga menyifatkan polis diperguna untuk kepentingan politik BN bagi menggagalkan pergerakan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya bebas dan adil.

Pada 9 Julai lalu, berpuluh tembakan gas pemedih mata secara rambang dilepaskan di beberapa lokasi di ibu kota, termasuk ketika orang ramai berada di terowong KL Sentral.


Antara mereka yang berada di situ termasuk Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden KEADILAN, Dr Datuk Seri Wan Azizah Ismail, pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Seorang pengawal Anwar, Fayadh Al Bakhry cedera akibat tembakan kanister gas dan terpaksa dimasukkan ke hospital akibat kecederaan parah di muka, manakala Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula menerima jahitan di kepala.

"Tiada tindakan diambil terhadap Ketua Polis Brickfields ACP Wan Abdul Bari yang secara peribadi mengarahkan tembakan, atau terhadap anggota polis lain yang terlibat," kata Surendran.

Jelasnya lagi, meskipun laporan polis dan permintaan untuk tindakan diambil kepada mereka yang bersalah, namun sehingga kini Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri masih bersikap membisu.

Pelakon nafi peluk, cium pasangan khalwat

Posted: 06 Oct 2011 09:37 PM PDT



PETALING JAYA - Pelakon dan penyanyi Abdul Razak Ahmad menafikan dirinya berkelakuan tidak senonoh dengan memeluk, mencium serta menyentuh seorang ahli perniagaan wanita yang ditangkap khalwat bersamanya lima tahun lalu.

Razak, 44, berkata, mustahil perbuatan itu berlaku kerana dia pergi ke sebuah premis stor dengan niat untuk mencuba pakaian yang ditaja oleh Selamah Sahudin, 45.

Razak menyatakan demikian sewaktu pemeriksaan balas oleh Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli dalam perbicaraan bela diri atas tuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Tertuduh bagaimanapun bersetuju dengan Shafezan bahawa dia berada di premis stor menyimpan pakaian milik Selamah itu selama satu jam setengah sebelum diserbu oleh suami wanita itu pada pukul 2.15 pagi.

Menurut Razak, dari pukul 1 pagi hingga 2.15 pagi, dia mencuba tiga pasang baju dan ketika serbuan dilakukan dia hanya memakai singlet tanpa lengan dan seluar kerana sedang mengeringkan peluh di dalam bilik utama premis itu.

Ditanya sama ada tujuannya membuka baju adalah untuk 'bersama' dengan Selamah, Razak menafikan.

Namun artis tersebut mengaku dia bukan mahram kepada Selamah dan tidak menegah Selamah menutup pintu utama selepas mereka masuk.

Menurut Razak, sebelum itu dia dan Selamah berjanji berjumpa di premis berkenaan dan kedua-dua mereka bergerak dari rumah masing-masing.

"Saya bergerak dari Pelabuhan Klang pada pukul 12 malam dan itu merupakan kali pertama saya ke sana, jadi saya beberapa kali menelefon Selamah bertanyakan arah dan jalan ke sana," katanya.

Razak dalam pada itu mendakwa hubungan dia dan Selamah hanya antara penaja dan artis, namun selepas diasak oleh Shafezan, dia akhirnya akur apabila memberitahu telah mengenali Selamah sejak 1982.

Razak yang diwakili peguam syarie, Mohammad Azman Karim didakwa berada bersama Selamah dalam keadaan yang menimbulkan syak di No. A-4-19, Blok A, Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan di sini pada pukul 2.15 pagi 1 April 2006.

Ketika pertama kali didakwa pada 14 September tahun yang sama, Abdul Razak memohon dibicarakan tetapi Selamah didenda RM2,850 atau penjara tujuh bulan selepas mengaku bersalah.

Jika sabit kesalahan, Abdul Razak boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya. Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad bersambung 10 November ini.- Kosmo

Iwan seru rakan artis berubah

Posted: 06 Oct 2011 09:35 PM PDT

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Penyanyi irama dangdut, Iwan, menyeru rakan-rakan artisnya supaya segera berubah bagi mendapatkan keampunan Allah.

Menurut beliau, artis-artis yang ingin berubah tidak sepatutnya melengah-lengahkan keinginan itu supaya dengan itu mereka akan menjadi lebih dekat kepada Allah SWT.

Katanya, perubahan para artis ke arah yang lebih baik merupakan satu perkara yang penting bagi membolehkan mereka bersama-sama umat Islam lain melakukan perubahan ke arah yang lebih baik pula terhadap masyarakat.

"Marilah kita bersama-sama kembali kepada Allah, kembali kepada fitrah, inilah yang lebih baik. Kalau nak menyanyi tu menyanyilah lagu-lagu yang boleh memberikan manfaat kepada kita dan kepada peminat-peminat kita," katanya ketika ditemui Harakahdaily di sini, malam tadi.

Menurut beliau, perubahannya berpunca dari banyak sebab dan beliau bersyukur kepada Allah kerana telah memberikan kesempatan kepadanya untuk berfikir supaya berubah.

"Tapi yang pentingnya bagi saya, saya bersyukur dalam keadaan saya sekarang yang lebih tenang dan lebih suka untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT," katanya.

Iwan yang mula kelihatan berubah sejak 5 tahun lalu berkeupayaan memperlihatkan perubahan yang ketara pada diri dan kehidupannya sejak 2 tahun lalu dan beliau bersyukur kepada Allah kerana diberikan sokongan padu oleh para peminatnya.

Beliau yang kini lebih suka menyanyikan lagu-lagu yang berkonsepkan nasyid turut menghasilkan sebuah album seperti itu yang diberi judul Segalanya Allah.

"Alhamdulillah, saya lebih senang menyanyikan lagu-lagu seperti ini. Saya tak segan-segan untuk menyanyikan lagu-lagu ini," jelas beliau ketika ditemui sempena kunjungannya ke Markas PAS Taman Melewar, di sini, malam tadi bagi mengadakan persembahan pada program Rapat Rakyat anjuran PAS Kawasan Batu.

Kepada peminat-pemintanya, beliau tidak lupa mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberian sokongan yang padu terhadap album tersebut.

'Doakan saya untuk saya selalu beristiqamah dengan lagu-lagu macam ini untuk anda semua. Harapan saya dengan lagu-lagu macam ini juga dapat mendorong masyarakat untuk mendekatkan diri kepada Allah.

"Tujuan saya supaya apabila lagu-lagu ini sampai ke telinga orang, khususnya peminat-peminat saya yang masih tenggelam dalam arus dunia seperti saya dulu, kita sama-sama melakukan perubahan yang lebih baik ke arah mendekatkan diri kepada Allah SWT," ujarnya.

Album Segalanya Allah mengandungi 10 buah lagu. Kesemua lagu dan liriknya dicipta oleh Iwan sendiri. Album tersebut telah berada di pasaran sejak 2 bulan lalu.

Menerusi kemunculan album terbarunya itu, beliau yang sebelum ini hanya dikenali dengan Iwan turut melakukan perubahan terhadap namanya dengan menamakan dirinya sebagai Iwan Syahman.

PM akan umumkan Felda Holding ke BSKL?

Posted: 06 Oct 2011 09:34 PM PDT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka akan mengumumkan penyenaraian Felda Holding ke dalam Bursa Saham Malaysia dalam perbentangan Belanjawan 2012 Jumaat nanti.

Langkah ini dipercayai adalah klimaks dari pertembungan antara pihak berkuasa politik dengan pihak pengurusan dan warga Felda yang menentang usaha ini selama ini.

Ia bakal memberikan implikasi besar kepada Felda di masa akan datang, kata sumber Felda kepada Harakahdaily.

Yang menyedihkan pengurusan Felda dan warga peneroka adalah perkara ini tidak dibincangkan secara menyeluruh terdahulu dan keputusan ini menampakkan Felda benar-benar kesusutan dana sedangkan Felda tidak memerlukan sebarang dana hasil dari penyenaraian tersebut.

"Pihak yang bakal untung besar tentulah CIMB yang menikmati hasil jutaan ringgit seperti hasil menyenaraikan syarikat gula MSM milik Felda sebelum ini serta syarikat kroni Isa dan Najib yang berusaha memiliki perniagaan-perniagaan Felda yang selama ini sangat menguntungkan walaupun tidak disenaraikan dalam bursa," kata sumber itu.

Menurutnya, warga Felda kini berdebar-debar kerana meletakkan nasib warga Felda di kalangan pelabur bursa bermakna segalanya tentang duit dan bukan lagi budaya tanggungjawab sosial Felda iaitu syarikat perlu menyumbang kepada KPF, Felda dan juga menyokong program sosial dan pembangunan Felda.

"Penyenaraian bermakna ada kakitangan yang bakal dibuang atas dasar kecekapan penggunaan sumber manusia, sumber dana KPF dan Felda yang semakin berkurang serta tiada lagi peruntukan yang diutamakan kepada program sosial dan pembangunan warga Felda secara percuma (pelabur pasti bertanya tentang ROI)," kata sumber itu lagi.

Dr Mahathir boleh dikenakan tindakan hina Dun

Posted: 06 Oct 2011 09:33 PM PDT

M Faqih


KOTA BHARU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad boleh dikenakan tindakan menghina Dewan Undangan Negeri (Dun) kerana menghalang Kelantan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II).

Pakar undang-undang perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari berhujah surat Perdana Menteri kepada Menteri Besar Kelantan pada 1994 dianggap sebagai suatu penghinaan terhadap Dewan Undangan Negeri (Dun).

Menurutnya anggota Dun di kalangan penyokong kerajaan boleh mengusulkan dalam dewan untuk diambil tindakan terhadap Perdana Menteri.

"Tak kan pula surat yang pernah dihantar Perdana Menteri menghalang hudud dilaksanakan di Kelantan ada tarikh luputnya.

"Perdana Menteri boleh dipanggil menghadap Jawatankuasa Terpilih Dewan kerana surat yang dihantar boleh disifatkan sebagai menghina keputusan Dun," katanya pada wacana pelaksanaan hudud di Kelantan di Kota Darulnaim petang ini.

Turut bertindak sebagai ahli panel pada wacana tersebut dua orang yang terbabit menggubal rang undang-undang hudud iaitu Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohamad dan bekas anggota Exco, Datuk Mohamed Daud Iraqi.

Jawatankuasa pengubal rang undang-undang tersebut diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas. Anggota lain termasuk Mufti Kelantan, Datuk Shukri Mohamad, Prof Ahmad Ibrahim dan bekas Pendakwa Syarie, Abu Bakar Abdullah Kutty.

Dr Abdul Aziz yang juga pensyarah kanan UIAM berkata, tindakan sama boleh dikenakan terhadap bekas Ketua Polis Terengganu yang pernah mengeluarkan kenyataan tidak mahu memberi kerjasama kepada kerajaan Terengganu yang juga melulus enakmen hudud ketika di bawah pentadbiran PAS.

"Sepatutnya ada pihak yang membuat usul pada persidangan Dewan kerana tindakan seumpama itu boleh ditakrifkan sebagai menghina Dewan," katanya.

Sedangkan menurutnya di bawah Akta Polis disebut dengan jelas pasukan itu berperanan melaksanakan tugas sama di bawah undang-undang sivil atau syariah.

Sebelum itu pada hujah awalnya beliau berkata, tidak ada lagi sesuatu pelik di negara ini apabila kerajaan melanggar sesuka hati undang-undang dan perlembagaan.

Contohnya hal ehwal agama adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukannya persekutuan.

Namun katanya, kerajaan pusat melanggar peraturan apabila turut menubuh agensi agama sendiri.

Malah kata Dr Abdul Aziz banyak lagi perlanggaran perlembagaan dilakukan kerajaan pusat termasuk menghapus imuniti raja-raja Melayu dan kuasa perkenan yang dimiliki Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Beliau sekali lagi mengulangi pendiriannya tidak perlu kepada pindaan perlembagaan dengan mendapat majoriti dua pertiga bagi melaksana hukum hudud di Kelantan.

Ketua Hakim Syarie pula mencadangkan pelaksanaan hukum hudud dijalankan terlebih dahulu, biar pun ada pihak yang mahu mencabarnya.

"Kita buat dahulu biar orang cabar perundangan itu kemudiannya. Perundangan tersebut mengambil masa agak lama untuk dilaksanakan bagi meredakan pertikaian di kalangan masyarakat," ujarnya.

Beliau juga memberitahu Jadual 9 Perkara 2 Perlembagaan membenarkan negeri melaksanakan hukum syariat.

Begitu juga Perkara 11 berkaitan kebebasan mengamalkan agama membawa maksud membolehkan perundangan Islam dilaksanakan kerana termasuk dalam perkara membendung jenayah.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, polemik pelaksanaan hudud di Kelantan kini semakin terelai apabila banyak pandangan baru dicetus melalui siri wacana yang diadakan.

"Perbincangan pada hari ini nampaknya memberi nafas baru kepada kerajaan Kelantan ke arah pelaksanaan undang-undang hudud.

"Tidak banyak lagi halangan untuk kita laksanakan kerana selama ini kita memikirkan ada krisis perlembagaan.

"InsyaAllah kita akan bincang dalam persidangan Dewan Undangan Negeri yang terdekat ini," katanya.

Menurutnya kemungkinan pada 17 Oktober ini kelab penyokong kerajaan (BBC) akan mengemukakan sesuatu usul dalam Dewan berkaitan hudud.

Mengenai dua mahkamah khas syarie yang dicadangkan Ketua Hakim Syarie katanya, ia hanya dari aspek teknikal sahaja.

Belanjawan Pakatan jadikan Umno BN sesak nafas

Posted: 06 Oct 2011 09:30 PM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno BN termasuk Tun Dr Mahathir sesak nafas apabila melihat pembentangan Belanjawan Pakatan Rakyat pada 4 Oktober lepas.

AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, belanjawan yang dibentang Pakatan untuk kesejahteraan rakyat, maka dengan spontan mereka akan menjawab itu tidak realistik dan boleh bawa negara muflis.

"Ini jawapan yang berbentuk skema daripada pemimpin yang muflis idea dan tidak ada jiwa rakyat," ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, ketika Kelantan mula diperintah oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar, mereka membayangkan Kelantan tidak mampu mentadbir, tanpa bantuan Kerajaan Pusat.

Hakikatnya, kata beliau Kelantan mampu ditadbir dengan baik dengan kejayaan menurun kadar kemiskinan daripada nombor dua kepada nombor enam.

Beliau menambah, Kelantan berjaya melunaskan hutang lapuk kerajaan BN selama 12 tahun sebanyak RM220 juta setakat tahun 2010 di mana hutang yang ditinggal oleh Umno ialah RM718 juta.

Menurutnya, pemimpin BN jangan melihat kemampuan PR, dengan sikap boros dan korup kerajaan BN selama 54 tahun.

"Memanglah cara BN mengurus negara akan menuju muflis, seandainya Allah anugerahkan 100 bukit emas setinggi gunung Kinabalu masih tidak cukup.

"Pakatan Rakyat yakin boleh lakukan, kerana di negeri yang miskin seperti Kedah dan Kelantan pun kita mampu, telahan lagi negeri yang kaya seperti Selangor dan Pulau Pinang," ujarnya.

Katanya, BN melihat hairan melihat kemampuan Kedah yang berjaya memacu ekonomi dengan baik dan teratur walaupun terpaksa memikul hutang lapuk BN sebanyak RM2.3 bilion.

Tambahnya, pengurusan kewangan dan balak yang dipuji oleh Ketua Audit Negara.

Jelasnya, hasil balak daripada RM8 juta kepada RM53 juta pada tahun 2010, semuanya hasil ketelusan dan kebijaksanaan mengurus.

Beliau berkata, Belanjawan Pakatan Rakyat yang dibentang akan menjadi kenyataan jika diberi mandat untuk memerintah peringkat pusat.

"Sekiranya negeri yang miskin kita mampu tadbir, maka sudah pasti negara yang kaya akan diurus dengan baik untuk kesejahteraan rakyat," ujarnya.

Menurutnya lagi, pemimpin BN hanya akan menggigit jari jika Putrajaya bertukar kuasa kerana rakyat sudah cerdik dan pandai membuat perbandingan antara negeri PR dengan negeri BN.

Katanya, kadang-kadang telah menjadi bahan ejekan antara penduduk di negeri yang ditadbir oleh BN dengan negeri PR apabila mereka bertemu antara satu sama lain.

Ujar beliau, penduduk di negeri PR mendapat macam-macam imbuhan, sedangkan penduduk di negeri BN berada di tahap yang sama.

Siasat syarikat monopoli benih padi

Posted: 06 Oct 2011 09:29 PM PDT

Muhammad Faizal


KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin berhadapan dengan kekurangan bekalan beras apabila petani di Kedah dan Perlis tidak dapat mengikut jadual penanaman yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Kegagalan petani mengikuti jadual penanaman yang disediakan oleh MADA itu disebabkan kegagalan syarikat yang dilantik oleh Kementerian Pertanian Malaysia dalam membekal benih padi kepada petani.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar melahirkan rasa kekesalan kerana kegagalan serta kelembapan pihak kementerian mengatasi masalah kekurangan benih padi di sana.

"Perkara ini sudah hampir sebulan berlaku di Kedah dan Perlis terutama di kawasan MADA.

"Kebanyakan petani tidak dapat mengikuti jadual penanaman padi yang disediakan oleh pihak MADA kerana kegagalan syarikat terbabit membekal bekalan benih padi kepada petani," jelasnya ketika ditemui di lobi Parlimen, petang semalam.

Mahfuz juga memberitahu faktor ketiadaan benih padi ini adalah disebabkan faktor monopoli kerana hanya dua syarikat sahaja dilantik oleh kerajaan.

"Faktor utama berlakunya isu ketiadaan benih padi adalah kerana hanya dua syarikat sahaja dilantik oleh kerajaan dan dalam keadaan ini akan wujud sistem monopoli," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau difahamkan dua syarikat terbabit adalah Seri Merbok dan juga Haji Mohd Nor dari Sungai Besar.

"Apa yang kita tahu kedua-dua syarikat tersebut tidak memproses benih padi tapi sebaliknya padi benih itu diproses menjadi beras untuk dijual.

"Walaupun mereka tidak memproses benih padi tetapi mereka tetap menuntut subsidi dari kerajaan," katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan perlu menyiasat segera kedua-dua syarikat terbabit yang dilihat telah menimbulkan masalah kepada sektor pertanian padi di Utara Semenanjung.

"Siasatan perlu dilakukan segera kepada syarikat tersebut agar masalah kekurangan benih padi ini dapat diatasi selain itu juga tindakan hendaklah diambil jika terdapat penyelewengan yang dilakukan oleh mereka ke atas padi benih yang dibekalkan oleh mereka.

"Sikap berlengah atau pandang ringan yang diambil oleh kerajaan akan menyebabkan negara ini mengalami kekurangan beras pada masa yang akan datang," sambungnya lagi.

Tiada ulasan: