Selasa, 18 Oktober 2011

BRIGED MP SEGAMBUT

BRIGED MP SEGAMBUT


PAS dakwa ada ikrar sindiket IC

Posted: 18 Oct 2011 12:56 AM PDT

Pemuda PAS hari ini mendakwa terdapat "ikrar" seumpama akujanji diminta dilafazkan oleh warga asing yang didakwa terlibat dalam dakwaan 'sindiket' kad pengenalan dekat Putrajaya baru-baru ini.

"Ada ikrar dalam bas, tidak menggunakan microfon, yang memberi maksud kad pengenalan biru (warganegara) diberi dan diminta undi parti pemerintah," dakwa pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat dewan itu Suhaizan Kaiat.

Suhaizan yang juga ketua Pemuda PAS Johor berkata, pihaknya mempunyai saksi yang berada dalam bas yang membawa kumpulan itu dari Johor.

Bagaimanapun, saksi itu hanya rela tampil sekiranya kerajaan sudi menyiasatnya melalui penubuhan jawatankuasa bebas.

Bekas ADUN Sanggang meninggal dunia

Posted: 17 Oct 2011 07:39 PM PDT

Bekas ADUN Sanggang (kini dikenali sebagai DUN Kerdau), Datuk Abdul Halim Mohd Seth, 64, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 9.05 malam tadi akibat komplikasi jangkitan paru-paru dan buah pinggang.

Menurut bekas anggota DUN Kerdau, Datuk Ridzuan Harun, Allahyarham Abdul Halim meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selepas dimasukan ke hospital itu sejak lima hari lalu.

Allahyarham pernah menjadi wakil rakyat DUN Sanggang selama sepenggal dari tahun 1986 sehingga 1990.

"Jenazah akan disemadikan hari ini bersebelahan kubur ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Bangau Tanjung selepas sembahyang zuhur," katanya.

Abdul Halim meninggalkan seorang balu, Hasanah Putih, 53, dan empat anak yang terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan.

Allahyarham juga merupakan adik kepada bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Yahya Mohd Seth.

Beliau juga pernah menjadi Naib Ketua Umno Bahagian Mentakab selama sepenggal sebelum bahagian tersebut ditukar menjadi Umno Bahagian Temerloh.

"Beliau adalah seorang wakil rakyat yang baik dan sentiasa prihatin terhadap pengundi terutamanya mereka di DUN Sanggang yang kini telah dikenali sebagai DUN Kerdau setelah berlaku persempadanan semula DUN tersebut pada tahun 2004," kata Ridzuan.

- Bernama

Siasat pendatang asing bebas dapat IC

Posted: 17 Oct 2011 03:00 PM PDT

Okt: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, didesak menubuhkan satu badan penyiasat atau jawatankuasa bebas bagi menyiasat kejadian warganegara asing didakwa diberikan IC dengan mudah yang berlaku di Istana Dugang Country Resort, Sepang, Selangor pada 11 dan 12 Oktober lalu.

Bagi tujuan itu, semua pihak terbabit mesti dipanggil termasuk pengusaha Istana Dugang Country Resort, penganjur program, warga asing terbabit, pemandu bas, Pemuda PAS dan pihak polis.

Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam desakannya berkata, bagaimanapun pihaknya mahu satu jaminan bahawa semua pihak diberi kebebasan untuk memberikan keterangan kepada jawatankuasa bebas itu bukannya dipaksa menyatakan sesuatu yang tidak benar.

Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan agensi yang berkaitan dengan permohonan kewarganegaraan tidak perlu terlibat dalam jawatankuasa tersebut.

Menurut beliau, desakan agar ditubuhkan jawatankuasa tersebut dibuat berikutan kejadian 240 orang warga asing yang telah berkumpul di Istana Dugang Country Resort pada 12 Oktober lalu sehingga menimbulkan kecurigaan kepada Pemuda PAS berhubung beberapa perkara.

Katanya, kecurigaan pertama timbul ekoran kenyataan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman bahawa warga asing yang berkubu di resort itu bertujuan untuk kursus keusahawanan adalah tidak konsisten dengan bukti dan keterangan saksi.

"Antara keterangan yang diperolehi adalah pertama tiada sebarang kursus pun diadakan dalam tempoh 5 jam tersebut dan resort itu. Malah warga asing itu hanya mundar mandir dalam resort tersebut. Ini telah disahkan oleh petugas-petugas Pemuda PAS yang berada di lokasi kejadian," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Kecurigaan kedua, menurut beliau, tiada ekonomik suatu kursus dalam tempoh masa hanya 5 jam dengan jarak 800 KM pergi dan balik dari Johor Baharu ke Putrajaya untuk melatih 240 orang warga asing.

Katanya, ketiga, apakah keperluan untuk mengadakan kursus keusahawanan kepada warga asing yang tidak dibenarkan berniaga dalam negara ini.

"Justeru, pihak polis seolah-olah melindungi pihak-pihak tertentu dalam kejadian yang berlaku itu," katanya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Johor.

Katanya, menurut saksi kejadian, terdapat ikrar yang telah dibacakan tanpa menggunakan mikrofon dalam bas yang memberi maksud bahawa kad pengenalan biru akan diberikan kepada warga asing itu dengan diminta mengundi parti kerajaan yang memerintah.

"Menurut saksi kejadian, terdapat seorang wanita yang memakai jaket JPN telah menaiki bas dari hentian Rawat & Rehat (R&R) Kulai, Johor dan telah memberi taklimat tertentu di dalam bas tanpa menggunakan microfon, tetapi tidak bersama kumpulan warga asing itu semasa di resort tersebut.

Katanya, menurut saksi kejadian, arah perjalanan warga asing itu sering berubah-berubah, apabila mulanya atas tujuan mesyuarat di Putrajaya, kemudian ada ura-ura dipecahkan di beberapa lokasi di Johor dan setelah sampai di Putrajaya, mereka berpusing-pusing di Putrajaya dan akhirnya diarahkan ke resort itu.

"Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin seolah-olah lepas tangan dalam isu ini dengan kononnya mahu menyerahkan kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkaitan pilihan raya dan SPR.

"Pemuda PAS berpendapat bahawa Jawatankuasa Terpilih Parlimen ditubuhkan untuk memperbaiki sistem perjalanan pilihanraya di negara ini, bukannya bertujuan untuk memperbaiki sistem permohonan kad pengenalan warga asing yang melibatkan JPN," tegasnya.

Menteri Dalam Negeri juga, katanya, tidak mengetahui tujuan 240 orang warga asing itu berada di resort tersebut, sedangkan Ketua Polis Daerah Sepang mengetahui tujuan mereka berada di situ.

"Ini memberi isyarat bahawa Menteri Dalam Negeri seolah-olah melindungi pihak-pihak tertentu dalam hal yang berkaitan dengan mempermudahkan pemberian kad pengenalan kepada warga asing bagi tujuan-tujuan tertentu," ujar beliau.

Bersih 3.0 jawapan terbaik?

Posted: 17 Oct 2011 12:00 PM PDT

Memang membazirkan masa, wang ringgit dan tenaga. Namun, apalah pilihan yang ada kepada parti-parti pembangkang di negara ini. Tumpuan kini terpaksa dikerahkan untuk menyediakan padang permainan sama rata dan peraturan gelanggang yang lebih adil, berbanding persiapan untuk "bertarung" itu sendiri.

Segala kelebihan memihak parti pemerintah yang menguasai kerajaan persekutuan, yang menguasai segala sumber, jentera dan kemudahan, dan dengan itu boleh merencana serta melaksanakan apa juga taktik kotor untuk memintas Pakatan Rakyat.

Ketika kempen penerangan pihak oposisi bertembung pelbagai kesukaran, misalnya pemberian permit, kemudahan lokasi, sabotaj ketika berceramah, dan dinafikan liputan media, pada masa yang sama Umno-BN bukan sahaja terus selesa menguasai saluran televisyen, radio dan akhbar harian, malah mereka turut mengambil alih posisi "pengadil permainan".

Begitulah yang sering berlaku selepas mereka dikejutkan dengan keputusan pilihan raya yang memeranjatkan. Lihatlah operasi jahat selepas PRU 1999, khususnya persempadanan semula kawasan pilihan raya dan pendaftaran pemilih. Pengalaman kehilangan kuasa, meskipun setakat peringkat negeri, cukup memeritkan Umno.

Pastinya kita belum lupa tragedi di Terengganu sehingga kerajaan PAS ditumbangkan pada 2004. Senarai daftar pemilih cukup meragukan. Ramai yang mengundi lebih daripada sekali dan bertebaran "pengundi hantu". Khabarnya, kini bekas Menteri Besar, Idris Jusoh, terlibat dalam perancangan menawan negeri-negeri yang dikuasai Pakatan, khususnya Selangor, melalui "kaedah Terengganu" itu.

Ketika rakyat tidak puas hati dan marah dengan sistem demokrasi yang pincang, disusuli dua kali demonstrasi besar-besaran di ibu kota, terbaru 9 Julai lalu,  rupanya ia tidak cukup untuk menyedarkan pemerintah bahawa mereka perlu lebih serius dan jujur melakukan reformasi besar-besaran ke atas proses pilihan raya. Kalau pun ada perubahan, ia sekadar percubaan kosmetik untuk mengelirukan tanggapan umum.

Lapan tuntutan Bersih 2.0 - bersihkan senarai pengundi, reformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh berkempen minimum 21 hari, perkukuh institusi awam, hentikan rasuah dan tamatkan politik kotor - seperti tidak dipedulikan. Macam-macam daleh dijadikan perisai.

Kuasa mewajarkan segalanya buat Umno. Apatah lagi bagi orang seperti Najib Razak dan Noh Omar yang mengetuai Umno Selangor. Khazanah negara dipunggah semahunya untuk bekalan "membeli dan menyogok pengundi" dalam PRU13, tetapi sebelum itu, jalan pintasnya terbentang luas dengan memanipulasi senarai pemilih, terutama di kawasan yang menyaksikan BN kalah tipis. Di Selangor, sasarannya adalah kerusi Dun majoriti Melayu.

Ya, perit sekali menyertai pilihan raya di sebuah negara sedang membangun yang begitu rendah ranking ketiga-tiga indeks penting, iaitu demokrasi, kebebasan akhbar dan rasuah, seperti Malaysia. Usaha Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Exco Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat, untuk membuka ruang demokrasi lebih kondusif wajar dipuji.

"Jika konspirasi Umno bersama SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan JPN (Jabatan Pendaftaran Negara), dengan kerjasama pihak polis ini tidak dapat kita gagalkan, saya rasa BN dapat tawan balik Selangor. Dan BN pun nampak confident," kata seorang AJK PAS Pusat.

"Daripada kita menunggu sehingga selepas PRU13 untuk sekali lagi berarak di jalan raya, dan mungkin sudah terlambat ketika itu, kerana dibimbangi amarah rakyat sukar dikawal, maka adalah lebih baik kita cetuskan Bersih 3.0 sekarang," saya mencadangkan.

Berdasarkan komen anak-anak muda dalam facebook, saya perhatikan mereka cukup kecewa dengan siri pendedahan tidak berkesudahan tentang skandal Mykad dan juga sindiket pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing.

"Itu yang baru kita temui, entah macam-macam lagi konspirasi jahat Umno yang belum terdedah, apa ditunggu lagi? Bersih 3.0 jawabnya," tulis seorang bekas pemimpin mahasiswa. "Ya, banyak lagi kaedah yang mereka gunakan, dan sebahagian besarnya mungkin dibenarkan undang-undang. Tengok sajalah begitu ramai yang Umno daftarkan sebagai pengundi baru tahun ini," saya membalasnya.

Anak-anak muda yang tidak berpuas hati itu mereka merujuk berita serbuan Pemuda PAS Pusat yang mengepung 240 pendatang asing, yang didakwa diberikan kad pengenalan dan didaftarkan sebagai pemilih di sebuah resort di kawasan sekitar Putrajaya baru-baru ini. Kegiatan itu dikatakan berjalan rancak sejak akhir September lalu dan dibimbangi  berterusan hingga Disember ini, dengan andaian PRU13 mungkin Februari atau Mac 2012.

Setiausaha Perhubungan PAS Selangor,  Khairuddin Othman dilaporkan berkata pihaknya mempunyai bukti wujud pergerakan bas-bas yang membawa pendatang asing - yang didakwanya untuk diberi kad pengenalan dan didaftar sebagai pengundi - yang  dikesan berlaku hampir setiap hari.

"Kita memang ada bukti sahih, kita ada sumber dalaman yang mengesahkan ia melibatkan 10 hingga 15 buah bas. Modus Operandi itu dibuat secara terang-terangan membawa pendatang asing dengan bas," katanya, sambil menambah pendatang berkumpul di beberapa lokasi antaranya Paya Jaras, Hentian Sungai Buloh dan Hentian Serdang. Awal tahun ini PAS Selangor pernah menyerbu dua tempat berasingan dan menemui bukti.

Operasi seumpama itu bukan perkara baru. Ia pernah dilakukan di Sabah, terutama bagi menjatuhkan kerajaan PBS. Bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman khabarnya pernah mengesahkan lebih 60,000 kad pengenalan palsu dikeluarkan di Sabah untuk tujuan pilihan raya.

Amat wajar sekali lagi tekanan ke atas SPR dan pemerintah diteruskan, kempen seluruh negara dipergiatkankan, dan pendedahan disebarluaskan, namun cukupkah sekadar itu? Pemimpin Umno akan bersikap "pekak badak" menunggu PRU13 bagi menjayakan misi mereka.

Harakah turut diasak untuk memainkan peranan lebih proaktif menangani kemelut meruncing ini. "Takkan kita nak biarkan disembelih hidup-hidup begitu saja, seperti berlaku 2004, di Terengganu dan Kedah. Harakah kena fikirkan sesuatu," seorang pembaca mendesak.

Saya dapat menduga jawapan yang dikehendakinya tetapi belum mampu mengungkapkannya lagi ...

Bagaimanapun, seorang lagi pembaca dari Kedah mengingatkan dalam emel, sambil minta saya siarkan dalam kolum ini: "Janganlah kita terlalu sibuk melayan kerja jahat Umno-SPR-JPN sehingga melupakan tugas asasi mendekati rakyat akar umbi. Wakil-wakil rakyat kita mesti turun padang, jangan sombong, usah peraga kehidupan mewah, bantu orang susah yang meminta, ringan tangan berbakti.

"Jangan guna alasan takda peruntukan untuk elak menyantuni orang. Cari dana kebajikan walaupun sedikit. Di negeri Pakatan, mudahkan orang ramai mendapatkan bantuan, termasuk daripada kerajaan pusat. Sekali lagi, jangan ego dan besarkan diri."

II. Tanda tangan Najib dan tender rundingan

Fokus Fikrah kali ini menumpukan isu ketirisan dalam pelaksanaan pembangunan negara. Di sebalik riuh-rendah tawaran dan insentif one-off dalam belanjawan 2012, isu kegagalan sistem penyampaian perlu diketengahkan. Tidak sedikit projek yang diumumkan bajet terdahulu, sama ada gagal ataupun masih belum dilaksanakan.


Ketirisan dalam projek masih berlaku, terutama semasa pelaksanaan projek RMK10. Masih banyak projek-projek besar masih dikendalikan secara tender rundingan, sekadar contoh Institut Kemahiran MARA,  Institut Kanser Negara (IKN), Istana Negara dan Malaysian Institute of Aviation Technical (MIAT).

Kontroversi pembinaan Istana Negara tidak perlu diulang lagi, dengan kos awal melebihi RM1 bilion, sehingga menyebabkan Ketua Pengarah Kerja Raya Prof Ir Judin Abd Karim tersingkir. Kos IKN berjumlah RM700 juta, manakala MIAT, RM150 juta.

Perdana Menteri, Najib Razak masih lagi dilihat memberi sokongan kepada kontraktor kroni melalui tandatangan beliau dan mengarahkan Kementerian Kewangan memberikan projek kepada kontraktor berkenaan.

Dalam pada itu, ramai juga tidak berpuas hati dengan insentif RM3,000 kepada kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang telah tamat kontrak. Kedua-dua agensi itu berperanan sebagai agen Umno tetapi menggunakan wang rakyat sepenuhnya.

Saya cuba meninjau laman web Jasa, yang diketuai Fuad Hassan. Dalam kenyataannya sebagai Ketua Pengarah, beliau berkata: "Adalah menjadi harapan saya agar seluruh jentera keluarga besar Jasa berusaha untuk mendapatkan sokongan rakyat terhadap kerajaan (baca Umno-BN) melalui gagasan 1Malaysia."

III. Awang Sariyan  dan bahasa supranasional

Ucapan tokoh bahasa, Prof Dr Awang Sariyan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya, 11 Oktober lalu menarik perhatian saya. Ketika polemik PPSMI masih cuba ditimbulkan pihak tertentu dan kedudukan bahasa Melayu terus terpinggir di negeri sendiri, penegasan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China ini perlu direnung.


Dalam syarahannya itu, beliau menggariskan enam perancangan berkaitan dengan taraf dan peranan bahasa Melayu. Dr Awang menekankan keperluan peruntukan undang-undang tentang taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu perlu dipertegas dalam pelaksanaan dan penguatkuasaannya.

"Amatlah ironis halnya apabila penguatkuasaan undang-undang pembuangan sampah yang tidak menentu dan kesalahan lalu lintas, misalnya, diberi perhatian, tidak pula undang-undang melanggar peruntukan Perlembagaan negara yang berkaitan dengan dasar bahasa atau akta pendidikan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama tidak diberi perhatian sama sekali," ujarnya.

Mengenai taraf dan peranan bahasa Melayu, beliau berkata, mana-mana pengecualian yang tidak munasabah tidak harus wujud lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan atau akta-akta lain,  misalnya pengecualian penggunaan bahasa Melayu dalam sistem kehakiman dan  ekonomi (termasuk perdagangan).

Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia ini seterusnya mencadangkan penubuhan jabatan atau unit audit bahasa yang memantau penguatkuasaan dasar bahasa, terutama dalam bidang pentadbiran.

Beliau turut menyentuh langkah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa supranasional, iaitu bahasa serantau dan bahasa antarabangsa,  yang tidak terikat oleh batas geopolitik. Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa antarabangsa, khususnya dalam zaman bahasa Melayu klasik pada sekitar abad ke-15 dan beberapa abad berikutnya.

Menyinggung peranan penting DBP, beliau mahu kepemimpinannya   terus kreatif dan inovatif dalam gerak kerjanya, bukan mengurangkan atau menghentikan kegiatan dan projek.

"Penghematan berbelanja dalam pelaksanaan projek bererti halus dan teliti dalam cara berbelanja, tetapi tidak harus sampai tidak berbelanja untuk projek-projek yang penting untuk kemajuan bahasa, sastera dan ilmu semata-mata kerana hendak memberikan kesan kepada tuan politik bahawa pemimpin DBP pandai berhemat, tetapi sebenarnya tidak memenuhi amanah menjayakan misi memajukan dan mengembangkan bahasa dan persuratan negara," tegasnya, yang juga bekas pegawai kanan DBP

Menteri Dalam Negeri takut hadapi kenyataan

Posted: 17 Oct 2011 10:00 AM PDT

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin telah mengumumkan akan mendedahkan berkaitan pemberian kewarganegaraan kepada warga asing dan kad pengenalan palsu kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang akan bersidang tidak lama lagi.
Jawatankuasa Terpilih Parlimen ini ditubuhkan untuk memperbaiki sistem pilihan raya di negara ini bukannya memperbaiki sistem permohonan kewarganegaraan atau memperbaiki perjalanan Jabatan Pendaftaran Negara.
Saya berpendapat tiada keperluan Menteri Dalam Negeri untuk membentangkan tuduhan manipulasi kad pengenalan dalam jawatankuasa tersebut.
Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkenaan pilihanraya bertugas untuk menyiasat ruang manipulasi dalam pilihanraya bukannya ruang manipulasi kad pengenalan di negara ini.
Mungkin sebab teknikal ini Menteri Dalam Negeri akan terselamat daripada disoalsiasat oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen.
Sepatutnya Menteri Dalam Negeri menjelaskan kepada rakyat Malaysia berhubung dengan keraguan-keraguan yang Pemuda PAS bangkitkan seperti berikut:
1. Bagaimana terdapat lebih 5 Ribu identiti yang mempunyai nama yang sama dan nombor kad Pengenalan yang 83% sama seperti di bawah:
AZINAH BT MOHD FAZIN (800820-02-5150)
AZINAH BT MOHD FAZIN (800829-02-5150)
2. Bagaimana Mismah yang masuk ke negara kita tahun 1982, hanya perlukan masa 6 bulan sahaja boleh mendapat status penduduk tetap sedangkan syarat Jabatan Imigresen memberi syarat  5 tahun untuk membolehkan Mismah mendapat status penduduk tetap.
3. Kenapa rekod penduduk tetap seperti Mismah tidak dikemaskini lebih 7 bulan dalam pengkalan data Jabatan Pendaftaran Negara?
4. Bagaimana satu kad pengenalan lama dimiliki oleh dua individu yang sama. Seolah-olah kad pengenalan lama ini melahirkan dua kad pengenalan baru.  Contohnya:
Mariam Binti Su (No Kad Pengenalan lama: A2278510) (No Kad Pengenalan baru:  720616025472)
Mariam Binti Su (No Kad Pengenalan lama: A2278510) (No Kad Pengenalan baru:  720610025738)
5. Kenapa 240 orang warga asing diberi kursus keusahawanan di Istana Dugang Country Resort hanya 5 jam sahaja?
Bukankah warga asing ini tidak dibenarkan berniaga, kenapa perlu diberi kursus?
Kenapa Hishmuddin tidak tahu aktiviti 240 orang warga asing ini lakukan, sedangkan Ketua Polis Daerah Sepang tahu bahawa mereka terlibat dengan kursus keusahawanan?
Apakah Hishamuddin sudah tidak percaya kepada pegawainya sendiri?
Kenapa Hishamuddin mengangap isu ini sebagai isu kecil sedangkan ia melibatkan pengkhianatan kepada negara.
6. Kenapa ada jumlah yang terlalu ramai iaitu 170,818 pengundi yang mempunyai kad pengenalan berkod negara "71" dimana kod tersebut tidak ditafsirkan dalam Jabatan Pendaftaran Negara.
7. Kenapa ada begitu ramai warga asing yang didaftarkan sebagai warga negara selepas tahun 2008 hingga 2011 iaitu 27, 293 orang sedangkan rakyat kita sudah terseksa dengan pesaingan sektor pekerjaan dan perniagaan kecil di negara ini.
Saya  merasakan penjelasan Menteri Dalam Negeri terhadap ruang manipulasi dalam pemberian kad pengenalan tidak sesuai dijelaskan dalam Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkenaan pilihanraya kerana itu bukan saluran yang sebenar.
Saluran yang sebenar adalah menjawab setiap soalan yang dibangkitkan oleh Pemuda PAS Malaysia.
Malangnya Menteri Dalam Negeri seolah-oleh takut untuk menjawab setiap persoalan kerana beliau tahu Pemuda PAS Malaysia ada peluru yang banyak untuk menjawab balik setiap jawapan yang diberikan.
Atau pun Menteri Dalam Negeri takut terperangkap dalam agenda "kursus keusahawanan".
Jalan mudah maka Hishammuddin menyerahkan kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkenaan pilihanraya walaupun membentangkan pada saluran yang salah. Itulah lambang sebuah kerajaan yang lemah.
Penulis adalah Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia dan Ketua Pemuda PAS Johor

ramas buah dada, Lim enggan ulas

Posted: 17 Oct 2011 09:44 AM PDT

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng enggan mengulas laporan  dalam blog pro-Umno yang mendakwa anak lelaki seorang kenamaan di negeri itu mencabul kehormatan seorang rakan pelajar wanitanya.

NONESebaliknya, Lim yang juga setiausaha agung DAP mencabar Umno supaya menerbitkan dakwaan itu di akhbar-akhbar dan media milik mereka.

"Biarkan Umno menerbitkan berita itu dulu, kemudian anda boleh saksikan apa yang akan kami buat.

"Apa yang berlaku sekarang, mereka baling batu, sembunyi tangan. Mengapa harus saya menjawab mereka setiap kali?" soalnya pada sidang akhbar di Pulau Pinang hari ini.

Menurut Lim, beliua mempunyai tugas lain yang lebih mendesak bagi menguruskan kerajaan negeri daripada menjawap tohmahan seumpama itu.

Awla hari ini, isteri Lim, Betty Chew, juga enggan mengulas dan hanya berkata, "Tolong kemukakan soalan kepada KM".

Media di Pulau Pinang hari ini kecoh apabila blog pro-Umno mendakwa anak pemimpin tinggi politik mencabul kehormatan budak sekolah dan bagi menutup perbuatan itu, bayaran RM200,000 didakwa disogok kepada ibu bapa budak perempuan itu supaya tidak menghebohkannya.
Pindahkan anak
"Dek tidak dapat menanggung malu, bapa VVIP itu telah memindahkan anak beliau ke sekolah lain. Dan perkara ini hanya diketahui oleh mereka yang terlibat sahaja dan juga pegawai-pegawai penting VVIP tersebut!

"Siapalah VVIP negeri Pulau Pinang yang ada ilmu kira-kira dan matematik hingga dapat mengira RM100,000 untuk 1 buah dada yang diramas oleh anak lelaki beliau?" tulis blogger dengan nama Dr MiM di novandri.blogspot.

NONEBerikutan pendedahan itu, blog pro-Umno terus membuat spekulasi bahawa identi orang kenamaan yang dimaksudkan itu adalah Lim.

Anak lelaki ketua menteri itu yang berusia 16 tahun itu didakwa baru-baru ini dipindahkan dari sekolah Cina Heng Ee ke Sekolah St Xavier's Institution baru-baru ini keraja masalah disiplin.

Bagaimanapun pihak sekolah telah menafikan dakwaan berkenaan.

Sumber dari sekolah Heng Ee mengesahkan anak Lim memang dipindahkan ke sekolah lain dan proses dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Beliau menafikan dakwaan pemindahan ke St Xavier's Institution adalah kerana masalah disiplin seperti yang didakwa itu.

"Dia adalah seorang pengawas di sekolah dan mempunyai prestasi yang agak baik dalam bidang akademik. Kami tidak mahu dia meninggalkan sekolah ini.

"Malah ibu bapanya juga tidak mahu dia meninggalkan sekolah ini tetapi dia memilih untuk belajar di sekolah lain," kata sumber yang tidak mahu identitinya didedahkan

Tiada ulasan: