Hudud Dan Komitmen Pas KelantanSEBELUM bertolak balik Kelantan jam 3:30 petang kelmarin saya menghubungi seorang rakan di Kelantan bertanyakan keadaan cuaca di sana kerana dari maklumat boleh dikatakan setiap hari bumi Kelantan disirami hujan. Hujan walaupun nikmat dan rezeki tetapi bagi saya ia melecehkan. Hujan juga boleh meragut keinginan orang dari melakukan sesuatu.
Rakan itu mengesahkan akan apa yang saya ketahui. Kelantan hujan, kadang kala katanya dari pagi sampai petang, tak celik mata. Waktu petang pula ia disulami dengan angin ribut. Berita itu menyebabkan saya agak berat untuk pulang. Tetapi mengenangkan majlis itu -
Himpunan Kesyukuran Hudud penting, lagi pun sudah lama saya tidak menyaksikan puluhan ribu khayalak di stadium Sultan Muhammad Ke IV menyebabkan saya melupai akan kelecehan hujan itu. Keinsafan saya seorang muslim kerdil yang dituntut memberi sokongan maka saya melupai halangan dan masalah peribadi lain.
Sewaktu berlangsung ceramah tuntutan rolyati minyak yang dihadiri sama Tengku Razaligh Hamzah saya tak pulang kerana kebetulan masa dan hari sama saya ke Jakarta.
Di tengah perjalanan, sebelum masuk terowong di Genting, hujan sudah mulai turun rintik-rintik. Bukit bukau di sekelilingnya diselimuti kabus tebal tipis. Petanda itu telah memberi petunjuk bahawa Kota Bharu tidak ceria dan bakal ditimpa hujan. Kebimbangan sudah mulai tumbuh dalam hati saya, majlis kesyukuran itu mungkin tidak semeriah diharapkan.
Selain dari suasana alam itu, notis atau pemberitahuan upacara itu diadakan juga pendek. Ia diuruskan dalam masa tidak sampai seminggu. Katanya, upacara itu tercetus selepas isu hudud di antara sesama komponen Pakatan Rakyat yang dicetusi dan diputar belit UBN dapat disepakati dengan baik. Tok Guru sangat bersyukur atas ketentuan itu.
Tok Guru Nik Azizlah khabarnya sangat gembira atas perkembangan itu sehinggakan beliau meminta diadakan majlis himpunan untuk menyatakan kesyukuran atas apa yang berlaku. Mulanya majlis itu hendak diadakan di Pondok Pasir Tumbuh, secara kecil-kecilan tetapi dipindah ke stadium memandang majlis itu mungkin
grand kerana ia turut sama mengundang Anwar Ibrahim bersama Abdul Hadi Awang dan pensyrah kuliah undang-undang UIA, Abdul Aziz Bari.
Dua hari sebelum majlis kemuncak malam tadi, sudah diadakan majlis penerangan mengenai hudud di seluruh 14 kawasan pilihan raya di seluruh Kelantan. Sebanyak tujuh kawasan diadakan pada malam 4 Oktober dan tujuh lagi lagi pada 5 Oktober.
Rata-rata majlis di peringkat kawasan sambutannya sedarhana saja. Faktornya kerana keadaan cuaca yang tidak menentu dan juga notis atau pemakluman program itu pendek dan tidak meluas. Bagaimana kehadiran dalam walaupun keadaan sebegitu sudah boleh dibanggakan.
Saya sempat hadir majlis dan melihat sendiri majlis diadakan di kawasan Pasir Mas yang diadakan di To Uban. Kehadiran malam itu sekitar 250 orang saja. Jumlah itu sudah dapat dibayangkan akan sambutan di tempat lain dan juga yang akan diadakan di stadium kelak.
Upacara itu meskipun untuk menyatakan kesyukuran atas 'selesainya' pertikaian hudud, tetapi ia tidak dapat lari daripada dilihat sebagai agenda politik. Sambutan itu akan dieksplotasikan sebagai himpunan politik, sebagai
test merket pengaruh terkini Pas. Makanya jumlah kehadiran dan senario sambutan sangat penting.
Kerana ada unsur-usnur berkenaan, kalau majlis di stadium tidak hangat dan jumlah yang hadirnya tidak sampai 50,000 bagi saya ianya tidak mencapai sasaran diharapkan. Dalam kata lain sambutan kesyukuran itu bukan boleh diambil sebagai petanda keadaan Pas Kelantan dalam suasana selesa masa ini untuk berhadapan dengan UBN dalam pilihan raya umum kelak.
Ternyata seperti mana menjadi kebimbangan saya, sambutan majlis kesyukuran itu kurang bersemangat. Jumlah yang hadir tidak mencapai angka yang disasarkan, 50 ribu. Masih ada sesuku ruang pandang stadium yang kosong manakala di bangku pula banyak kosong kecuali di bawah tempat duduk berbumbung yang padat dengan orang ramai. Secara jujur angka kehadiran malam tadi sekitar 20,000 saja dan ia tidak membimbangkan Umno.
Bagaimana pun jumlah itu sudah cukup untuk memberi kepuasan kepada hati Tok Guru Nik Aziz secara peribadi. Dalam notis yang singkat himpunan itu sudah berjaya mengumpulkan jumlah itu, satu kehebatan. Mungkin kalau ia diuruskan dengan baik dan diperluaskan hebahan target untuk mengumpul 50,000 berjaya malahan angkanya lebih dari itu.
Dari sudut lain majlis di stadium itu memberi pengertian dan signifiken lain yang cukup membanggakan. Apa yang jelasnya para pemimpin Pas sudah mula mengubah sikap dan sudah mula mengukuhkan barisan pertahan parti untuk berhadapan dengan pilihan raya. Sikap nafsu nafsi dan saling memulau majlis di antara satu sama lain sudah tidak berlaku lagi.
Malam semalam boleh dikatakan semua pemimpin tertinggi Pas hadir. Saya dapat melihat semua barisan Exco Kerajaan Kelantan berada di pentas atau pun berada di dalam stadium. Sikap sesetengah pemimpin Pas yang memandang dingin di antara satu sama lain sebelum ini sudah berubah. Mereka bersalaman dan berpelukan penuh mesra dan kerinduan. Inilah keistimewa yang ada kepada Pas, mereka akan berubah sikap apabila saat mereka diserang dan dipalu oleh musuh. Sebenarnya rahsia ini jugalah yang menjadi benteng ketahanan Pas sebagai sebuah jemaah Islamiyah.
Sebelum majlis bermula saya sempat menenumui Tok Guru dan mengucapkan tahniah ke atas pendirian tegasnya mengenai hudud. Apa dapat saya simpulkan atas kebangkitan baru beliau untuk sedia melaksanakan hudud dan bertegas tidak akan tunduk kepada tekanan politik, adalah satu pendirian yang sudah lama hendak dilakukan. Malam tadi menerusi himpunan itu Tok Guru dapat tidur nyenyak kerana beliau berjaya meletakkan kembali hudud menjadi agenda utama perjuangan dan kerajaanya.
Kali ini Menteri Besar Kelantan itu tidak menoleh ke belakangkan lagi mengenai hudud dan kritikan-kritikan pihak lain yang jahil atau lebih bersifat untuk menjaga kepentingan politik, ia tidak perlu dihiraukan lagi. Yang penting hudud perlu diperjuangkan hingga berjaya.
"Tahniah Tok Guru atas pendirian mengenai hudud. Majlis malam ini menandakan bahawa pendirian Tok Guru disokong oleh rakyat Kelantan, tahniah!," kata saya kepadanya yang baru selesai makan sambil mengucup salamnya sedalam mungkin. Turut sama berada dalam bilik itu ialah Husam Musa berbaju Melayu hijau pucuk pisang dan beberapa pemimpin lain termasuk anak dan isterinya, Tuan Sabariah.
"Letih la.... ana dah tak leh bergerak macam orang muda lagi...," itulah rungutnya kepada saya seakan sedikit terkilan. Hati saya terus menyebak. Sekuntum senyuman yang dikembang di bibirnya menggambarkan Tok Guru berpuas hati dengan apa yang berlaku. Beliau puas dengan sokongan rakyat dari segenap lapisan.
"Enta sebagai penulis, tulislah dengan baik biar orang faham akan tuntutan Tuhan ini. Itu tugas enta," ujarnya seperti selalu dan saya menerima amanah itu dengan penuh tanggungjawab.
Malam tadi saya nampak sekali Tok Guru gembira dan bahagia dengan apa yang berlaku. Pertama kerana isu hudud tidak lagi menjadi masalah kepada Pakatan Rakyat, kedua rakyat memberi sokongan padu untuk melaksanakan hukum Tuhan itu atas dasar ianya adalah satu tuntutan. Dan tentulah juga beliau gembira kerana usaha Umno untuk menjadikan hudud sebagai isu untuk meleraikan perjuangan Pas tidak berjaya apabila semua komponen Pakatan Rakyat faham dan akur dengan kehendak beliau serta kerajaan Pas Kelantan itu.
Iya walaupun sambutan malam itu tidak hangat dan kurang bersemangat, tetapi apa yang lebih berertinya masalah hudud dapat dibingkaskan kembali oleh Tok Guru. Besar harapan semoga selepas ini hudud tidak akan menjadi isu bermusim seperti mana kata Ketua Hakim Syariah Kelantan, Mohammad Daud. Biarlah hudud tetap menjadi satu kewajiban dan cita-cita kerajaan Pas Kelantan yang tidak boleh ditukar ganti dengan apa-apapun keadaan dan tuntutan sekalipun.
Selamanya kalau Pas diberikan masa oleh Allah untuk memerintah Kelantan maka soal hudud tidak boleh diketepikan dalam apa jua keadaan. Hudud perlu diperjuangkan menjadi legasi terhebat Nik Aziz untuk Kelantan yang menjadi kepala kepada beberapa legasi dan perubahan lain yang dilakukan sejak 20 tahun lampau.
Sepanjang perjalanan pulang sejauh lebih 600 km dari Kota Bharu menerusi lebuh raya baru Terengganu Jabur - Kuantan dan Kuala Lumpur malam tadi saya merungut sendiri, apalah Tok Guruku ini ada maunah dan keramat tersendiri atau dia seorang sangat didengari Tuhannya akan bisikan dan rayuannya, kerana sepanjang hari majlis kesyukuran hudud itu cuaca menjadi cerah cemerlang, langit menjadi putih bersih sedangkan beberpa hari sebelumnya hujan menyiram bumi Kelantan hampir setiap hari.
Ah mursyiduku rindu ini tertancak di kalbu. [wm.kl. 8:01 pm 07/10/11]
Catatan: Saya tidak aktif mengambil gambar malam tadi, kalau ada mana-mana kawan ikhlas nak bagi gambar untuk dimuat dalam catatan ini sila kirimkan ke email saya. Atas kesudian diucapakan berbanyak terima kasih. MSO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan