Isnin, 31 Oktober 2011

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Gambar : Bukti PERKASA adalah penentu kemenangan dalam Pilihanraya..

Posted: 31 Oct 2011 05:01 AM PDT



Setelah melihat gambar lautan manusia yang menghadiri ceramah Ibrahim Ali atau dikenali juga dengan Tok Him ini (sila lihat diakhir entry) aku yakin memang benarlah apa yang dikata oleh Ibrahim Ali bahawa Perkasa akan berjaya menjadi kuasa penentu dalam pilihan raya akan datang..


Baca laporan ni dulu..

Perkasa tak undi calon guris perasaan Melayu

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali memberi amaran bahawa anggota pertubuhan itu tidak akan memberi sokongan kepada wakil rakyat tertentu yang dianggap sering membuat kenyataan mengguris perasaan golongan Melayu.

Katanya, Perkasa boleh berbuat demikian dengan mudah melalui kiriman SMS kepada ahlinya yang memberi arahan untuk tidak mengundi calon tertentu.

Ditanya, beliau berkata wakil rakyat yang diperhatikan itu bukan sahaja dari kalangan Pakatan Rakyat.

"Jadi pihak yang mahu sokongan Perkasa itu hendaklah dapat mendekati kita," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama di perhimpunan agung pertubuhan itu di Setiawangsa hari ini.

Ibrahim juga yakin Perkasa akan berjaya menjadi kuasa penentu dalam pilihan raya akan datang apabila keanggotaan pertubuhan itu dijangka mencecah 500,000 orang.

"Nanti lepas pilihan raya baru dia tahu, bila kalah 600 undi sebab orang Perkasa tidak undi.

Bagaimanapun, Perkasa sendiri tidak akan meletakkan calon untuk bertanding, malah pertubuhan itu juga tidak akan menjadi parti politik, katanya lagi.


Lihatlah!! lautan manusia yang mendengar ceramah Ibrahim ALi @ Tok Him ini..





Ha..Ha..Ha.. Guane nih Tok Him??

Anak Najib belanja RM180,000 di Australia? .. Boros macam Mak dia laa...

Posted: 31 Oct 2011 03:27 AM PDT

Benarlah seperti kata orang tua-tua: "Kuah tidak akan kemana tumpahnya, kalau tidak ke nasi.."

Adakah anak perempuan Najib ini berbelanja sebanyak RM180,000.00 seperti yang dilaporkan akhbar West Australian ini menggunakan wang yang disimpannya sejak dari kecil juga?

Akhbar Australia melaporkan anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membelanjakan kira-kira RM180,000 atau AU$60000 untuk barangan jenama di David Jones- sebuah gedung terkemuka di negara itu.

Najib dan isterinya minggu lalu berlepas ke Perth mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).


Rombongan berkenaan turut disertai Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M.Kayveas.

Menurut laporan akhbar West Australian, kesempatan menghadiri persidangan Komanwel itu memberi peluang kepada rombongan berkenaan berbelanja.

"Beberapa peniaga di bandar, memperoleh untung besar, apabila seorang wanita pertama diketahui membeli $150,000 untuk mutiara di West Australia, sementara anak perempuan perdana menteri Najib Razak dipercayai membelanjakan & $60,000 di David Jones," petik akhbar itu.

Richard Muirheand, State Director bagi CHOGM 2011 berkata, masa berbelanja dan aktiviti lapang telah diatur untuk delegasi di luar jadual CHOGM.


http://www.keadilandaily.com/?p=22353

Demo lagi di Pulau Pinang.. Mat Rempit pula diperkuda mereka..

Posted: 31 Oct 2011 02:22 AM PDT

Aku yakin kalaulah Mat Rempit-Mat Rempit ini tahu bahawa suatu masa dulu masa PRK P044 bahawa kawan-kawan mereka telah diperdaya oleh Parti yang kononnya memperjuangkan Bangsa dan Agama.. Mati hidup balik pun budak-budak ni tak akan diperkudakan sekali lagi..



Kira-kira 200 mat rempit mengadakan tunjuk perasaan di bangunan bersejarah jam besar Pulau Pinang yang berhampiran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menuntut 'litar perlumbaan' dibina bagi kegunaan mereka.


Kumpulan, yang diketuai oleh Ahmad Shahabuddin - wakil Pertubuhan Islam Gabungan Amal - berbaris di sepanjang kawasan itu dengan motosikal mereka kira-kira jam 1 tengahari dan membunyikan hon selama kira-kira 15 minit sebelum disuraikan oleh polis.




Tindakan mereka dipercayai didalangi parti politik kerana kebanyakan penunggang berkemeja-T berwarna kuning dengan tertera perkataan 'LGE rasis' - merujuk kepada ketua menteri Lim Guan Eng - dan projek 'Selamatkan Pulau Pinang'.

Mereka juga membawa sepanduk yang berbunyi "Kami mahu litar lumba".

Topi kaledar

Lima penunjuk perasaan, termasuk Shahabuddin, ditahan polis yang telah mengekori sebahagian daripada ahli kumpulan itu dari bangunan Komtar, tempat pentadbiran negeri.




Adalah difahamkan bahawa mat rempit itu bermula dari Jalan Pulau Pinang dan bergerak ke bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui Jalan Street Light.

Semasa tangkapan itu, berlaku pergelutan kecil di antara polis dan penunjuk perasaan yang terus menjerit. Ada juga yang mencampakkan topi kaledar.

Sebahagian bangunan Komtar sebelum ini telah dicemari dengan grafitti tulisan "Guan Eng tipu Melayu" tetapi tidak dapat dipastikan sama ada kumpulan mat rempit itu yang bertanggungjawab.




Ketua Polis Daerah Georgetown Gan Kon Meng berkata kumpulan berkenaan merancang untuk menyerahkan memorandum kepada Lim berhubung beberapa isu yang melibatkan mereka.

"Kami benarkan mereka untuk menyerahkan memorandum itu kerana ini negara demokrasi. Tetapi jika (himpunan itu) tidak aman, ia boleh menimbulkan keadaan huru-hara dan menyebabkan kehilangan hartabenda," kata Gan.

Mereka yang ditahan akan disiasat kerana menyertai perhimpunan haram di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis.


Berita dari Malaysiakini

Laporan polis dibuat terhadap UMNO Online

Posted: 31 Oct 2011 01:47 AM PDT



Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini membuat laporan polis terhadap laman web Umno kerana didakwa memetik laporan palsu dan memfitnah majikannya.


Zairil Khir Johari berkata, sehingga hari ini, terdapat sembilan laporan dimuatkan dalam Umno-Online yang mendakwa anak Lim mencabul seorang pelajar perempuan dan beliau dikatakan membayar RM200,000 kepada keluarga pelajar itu.

"Yang paling teruk sekali, laporan-laporan tersebut terus disiarkan dan dimainkan dengan semberono walaupun bukti sudah pun dikemukakan oleh pelbagai pihak untuk membidas tuduhan-tuduhan yang liar itu," katanya.

Sebelum ini, beberapa penulis blog pro-Umno mendakwa anak remaja Lim mencabul kehormatan rakan sekelasnya dan dan akibat itu terpaksa dipindahkan sekolah.

Dalam kenyataan hari ini, gadis yang dituduh Anya Ann Corke, pemain catur terkemuka, Lim dan pengetua sekolah berkenaan menafikan kejadian itu.

Beliau juga mendakwa laman itu memetik "laporan palsu" yang didakwa disiarkan oleh akhbar Cina Guang Ming Daily berhubung perkara itu.

Sembilan laporan berkaitan dimuatkan antara 18 hingga 28 Oktober lalu.

Justeru, beliau berpendapat, Umno-Online melakukan kesalahan jenayah bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan, Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Malaysiakini

Tariff Elektrik akan naik lagi?

Posted: 31 Oct 2011 12:14 AM PDT



Munasabahkah kalau tarif elektrik naik lagi selepas ini? Kalau ikut rekod keuntungan TNB sebelumnya, TENAGA Nasional Bhd (TNB) telah peroleh untung bersih sebanyak RM3.2 bilion dalam tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2010. Kemudian, Tenaga Nasional Bhd (TNB) berjaya peroleh untung bersih untuk tempoh berikutnya, separuh masa pertama berakhir 28 Februari lalu sejumlah RM1.343 bilion….


KUALA LUMPUR : Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatatkan kerugian bersih RM453.9 juta pada suku keempat tahun kewangan semasa ekoran kekurangan bekalan gas dialami oleh syarikat itu. Sehubungan itu, keuntungan bersih syarikat tersebut bagi tahun kewangan 2011 merosot 84 peratus kepada RM499.5 juta berbanding RM3.2 bilion pada tahun kewangan 2010.

Dalam kenyataan pada sidang media hari ini, kumpulan itu berkata, keadaan itu telah menyebabkan pertambahan kos bahan api RM2.1 bilion ekoran kekurangan bekalan gas, sekali gus memaksanya menggunakan minyak dan sulingan yang berharga tinggi untuk menjana tenaga elektrik.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, beliau berpandangan bahawa akan menjadi satu cabaran bagi Petronas untuk memulihkan sepenuhnya bekalan gas semula jadi dan ekoran penggunaan bahan api ganti yang mahal, keputusan suku pertama tahun kewangan semasa syarikat utiliti itu juga dijangka sama sebagaimana dialami pada suku keempat tahun kewangan lalu.

Katanya, TNB sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan mengenai soal mendapatkan pampasan daripada Petronas. "Pampasan dalam bentuk tertentu diperlukan," kata Che Khalib. (Sumber : The Malaysian Insider)



Untung adat meniaga. Ada untung, ada rugi. Tapi sungguh tidak patut kalau TNB boleh rugi teruk. Takkan TNB monopoli pun boleh rugi banyak? Kemudian pada pertengahan tahun, tarif elektrik baru sahaja dinaikkan dengan purata kenaikan sebanyak 7.12%. Walaubagaimanapun, TNB tak setuju yang mereka monopoli industri tenaga sekarang ini…..

Jawapan mereka ada pada paparan (gambar) di bawah ini…




Antara beberapa alasan yang popular diberikan rugi setiap kali menerima kerugian tempoh-tempoh tertentu beberapa tahun kebelakangan ini, sehingga adakala menyebabkan mereka bertindak menaikkan tarif elektrik beberapa kali sebelum ini :

1.ringgit lemah berbanding euro/yen/etc
2.kenaikan harga minyak/gas dunia
3.kekurangan bekalan gas
4.kenaikan harga arang batu
5.kemerosotan permintaan



Gambar Barisan pemain utama IPP di Malaysia

Dan…kena tambah satu lagi faktor yang menyebabkan kadar keuntungan TNB jatuh adalah disebabkan pembelian mahal kuasa yang dihasilkan oleh Pengeluar Tenaga Bebas (IPP). Untuk rekod, TNB terpaksa menanggung RM12.5 billion untuk beli kuasa daripada IPP berbanding tahun kewangan sebelumnya 2009 dengan RM11.8 billion. Tahun 2011, berapa pula tanggungan TNB terhadap IPP?




Punca kerugian TNB kali ini adalah disebabkan kebakaran pada Disember 2010 di blok Bekok yang terletak di pesisir 200km dari Pantai Timur Semenanjung. Penyambungan semula bekalan penuh dah berkali-kali ditangguhkan. Sehingga akhirnya TNB terpaksa beralih kepada bahanapi lain yang lebih mahal. Itu sebab mereka rugi banyak kali ini berdasarkan kenyataan TNB baru-baru ini.

Pelik, setahu kami Malaysia ini kaya dengan rizab gas asli. Jadi mengapa Petronas boleh menghadapi kekurangan bekalan gas, yang telah mengakibatkan kerugian kepada Tenaga Nasional? Kalau sebelum ini, Petronas mampu membekalkan 1200 juta mmscfd sehari kepada sektor penjanaan kuasa tetapi sekarang turun mendadak kepada hanya sekitar 900 juta mmscfd pada tahun ini.

Menurut Petronas, kekurangan gas kerana harga gas subsidi (ha…yang ini siapa yang paling banyak dapat?) dan penggunaan gas sebagai ganti kepada arang batu dan ini telah mendorong permintaan tinggi terhadap gas.

- Petronas jual gas pada harga yang rendah (bersubsidi) kepada IPP
- IPP jual kuasa elektrik kepada TNB pada harga mahal
- TNB pun naiklah tarif elektrik apabila tiba masa yang mereka rasakan bersesuaian
- Semuanya angkara perjanjian berat sebelah antara IPP dan TNB dahulu sehingga menyebabkan CEO TNB pada masa itu, Tan Sri Ani Arope meletak jawatan kerana tidak berpuas hati.
- Akhirnya, siapa yang kena bahananya?

Tambah Petronas lagi,

Subsidi gas telah diberikan sejak tahun 1997 lagi sehingga menyebabkan permintaan gas sebagai ganti kepada arang batu dan minyak meningkat melebihi keperluan.

Yang menjadi persoalannya sekarang, adakah jika bekalan bekalan dari Bekok C walaupun berjaya dipulihkan sepenuhnya, kekurangan gas akan berjaya diselesaikan? Secara faktanya, Malaysia bukan calang-calang rizab gasnya sehingga Malaysia diletakkan pada kedudukan ke-14 di dunia dari segi rizab gas, mengikut laman web Malaysia Gas.

Setakat ini ada cadangan telah dikemukakan yang mana beberapa pengeluar tenaga bebas perlu berkongsi kos yang tinggi ketika ini. Mahu atau tidak, tidak diketahui lagi.

Pendapatan daripada gaji CEO dan elaun orang-orang di belakang pengurusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) :

Sila lihat di SINI

RM20,000 untuk cat pintu?

Posted: 30 Oct 2011 10:40 PM PDT



Pelajar di beberapa sekolah agama di Sabah terpaksa tidur berkongsi katil dengan tilam yang koyak dan mandi di pili yang terletak di luar bangunan asrama, walaupun kerajaan negeri memperuntukkan jutaan ringgit untuk kerja-kerja menaiktaraf sekolah berkenaan.


Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2010, sejumlah RM1.7 juta dibelanjakan untuk kerja-kerja naiktaraf di lima buah sekolah berasrama penuh. Namun tinjauan mendapati sama ada kerja-kerja yang dilakukan itu tidak memuaskan atau belum dimulakan meskipun bayaran telah dibuat sepenuhnya.

"Kontraktor yang gagal menyiapkan kerja mengikut spesifikasi mestilah disenaraihitamkan dan bayaran tidak sepatutnya dibuat sebelum kerja dilakukan," petik laporan itu.

Laporan audit itu juga mendesak supaya siasatan dan tindakan diambil terhadap mereka yang didapati cuai atau terlibat dalam unsur-unsur rasuah.

Di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Tambunan, RM1.35 juta dibayar sepanjang tempoh 2009 hingga 2010 tetapi tidak ada apa-apa kerja menaik taraf yang pernah dilakukan.

Perkara yang sama berlaku di SMAN Pantai Manis di mana kontraktor yang dilantik secara terus, Milure Solution dibayar antara RM2,000 hingga RM24,000 bagi setiap kerja dilakukan yang bagaimanapun tidak pernah dilakukannya ataupun dibiarkan tanpa siap.

Syarikat Pembinanan Umum Kasariah pula, yang antara lain, dilantik melalui rundingan terus, dibayar RM20,000 untuk semata-mata mengecat semula sebuah pintu lama yang sepatutnya digantikan oleh syarikat berkenaan.

Sejumlah RM15,000 lagi dibayar kepada syarikat yang sama untuk membekalkan besen tangan, tetapi sinki besen itu tidak dapat dikesan.

Di SMAN Menipir, yang merupakan antara satu daripada 13 buah sekolah yang dikunjungi untuk diaudit, pihak audit mendapati kerajaan negeri membayar harga RM6,600, atau 340 peratus lebih tinggi daripada yang sepatutnya bagi membeli 60 kerusi plastik. Malah kerusi yang dibekalkan itu juga bukan daripada jenama yang telah dijanjikan kepada mereka.

Semua 13 sekolah yang dilawati itu juga didapati mempunyai pelbagai masalah. Antaranya menghadapi ancaman tanah runtuh kerana tembok rintangan yang sepatutnya dibina tidak menjadi kenyataan.


Malaysiakini

Bila kena Batang Hidung sendiri..

Posted: 30 Oct 2011 08:17 PM PDT



Jika kita meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2010, kita akan melihat terlalu banyak ketirisan yang berlaku dalam Jabatan-Jabatan Kerajaan yang ditadbir oleh Kerajaan UMNO/BN.


Malah beberapa peralatan yang dibeli oleh Jabatan Kerajaan itu layak untuk disenaraikan dalam Guiness Book of Record kerana terlalu mahal dan paling mahal di dunia.

Nak diletakkan 100% kesalahan itu ke bahu kakitangan bawahan bukanlah satu tindakan yang wajar.

Ini kerana mereka mungkin hanya menjalankan tugas dan mereka juga mungkin terlalu menurut pertintah dalam pada itu mereka juga mungkin mencontohi apa yang pemimpin atasan mereka lakukan..

Kan orang tua-tua ada berkata… busuknya seekor ikan itu bermula dari kepala.. kepalanya siapa?? Takkan Anwar Ibrahim kot….

Bacalah.. Puad Zarkashi mempertikaikan Laporan Ketua Audit Negara kerana mendedahkan terlalu banyak pembaziran yang dilakukan oleh Kerajaan UMNO/BN..


*******************

Elak tanggapan negatif

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Laporan Ketua Audit Negara 2010 sepatutnya lebih bersifat komprehensif dengan menjelaskan secara terperinci bagaimana sesuatu perkara itu diklasifikasikan sebagai perbelanjaan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia penting bagi mengelakkan tanggapan negatif rakyat bahawa berlaku penyelewengan dan salah laku oleh pegawai atau kakitangan kementerian serta agensi dalam perbelanjaan yang dilaporkan.

"Sebagai contoh, Kementerian Pelajaran dikatakan berbelanja melebihi peruntukan sebenar bagi perbelanjaan pengurusan 2010.

"Hakikatnya, kementerian telah mendapat peruntukan tambahan kerana peruntukan yang diterima untuk perbelanjaan tersebut termasuk elaun perjalanan guru tidak mencukupi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2010 bahawa sembilan kementerian atau jabatan berbelanja RM3.73 bilion melebihi peruntukan keseluruhan yang diluluskan.

Sembilan kementerian itu adalah Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Mohd. Puad turut hairan bagaimana laporan berkenaan projek bekalan air bersih di luar bandar menerusi program Perigi Tiub (Tube Well) hanya menyentuh dua syarikat iaitu Rossington Consolidated Sdn. Bhd. (RCSB) dan Duta Sierra Development Sdn. Bhd.

Katanya, sebuah lagi syarikat iaitu Azair Sdn. Bhd. juga mempunyai kelemahan dan patut ditegur dalam melaksanakan program tersebut di Sabah dan Sarawak.

Berhubung laporan bahawa hanya dua daripada 300 makmal komputer sekolah rendah yang dirancang dibina dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Sabah berjaya disiapkan, beliau berpendapat Ketua Audit Negara sepatutnya membuat pendedahan yang lebih telus.

Katanya, ini termasuk mendedahkan bahawa masalah yang berbangkit adalah berpunca daripada pihak kontraktor yang tidak bertanggungjawab dan ingin mengaut keuntungan semata-mata.

"Bagaimanapun, setiap laporan Ketua Audit Negara perlu diambil secara positif walaupun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki," ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon mendesak pihak berkuasa terutama SPRM mengambil tindakan segera menyiasat kes penyelewengan dalam perbelanjaan di jabatan kerajaan seperti yang didedahkan dalam laporan audit itu.

Tsu Koon berkata, langkah itu akan membuktikan komitmen kerajaan untuk menjadi lebih telus.

"Siasatan perlu dilakukan segera terutama bagi kes berkaitan pembelian barang yang dibayar dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga pasaran. Perkara ini sudah menjadi buah mulut orang ramai," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Deepavali Parti Gerakan di sini hari ini.

Tsu Koon memberi contoh, pendedahan laporan audit mengenai harga tiga barang yang dibeli oleh Jabatan Taman Laut Malaysia berjumlah RM56,350 amat mengejutkan ramai pihak sedangkan harga pasarannya tidak semahal itu.


Lidah Rasmi UMNO

Tiada ulasan: