Selasa, 11 Oktober 2011

:: @ AL-BAKISTANI @ ::

:: @ AL-BAKISTANI @ ::


ROGOL : HUDUD ATAU TAKZIR?

Posted: 10 Oct 2011 10:51 PM PDT

[1]

Manhaj [method] istinbat hanafi dan syafie tidak sama. Antara method yang tidak sama itu adalah tentang dalam membandingkan perkara yang ada nas [mansus] dengan perkara yang tiada nas [maskut]. 

Ia dinamakan juga sebagai qias. Tetapi, dalam beberapa keadaan, ia tidak dinamakan sebagai qias, iaitu apabila perkara yang tiada nas [maskut] itu melebihi berbanding perkara yang ada nas [mansus]. Ia dikenali dengan berbagai gelaran fiqh. Ada menamakannya sebagai fahw al-Khitab, mafhum muwafaqat, qias awla, dalalah al-dalalah, dalalah al-nas dan seumpamanya.

Dalam mazhab syafie, bentuk ini dikenali sebagai qias awla. Ekoran itu, dalam mazhab beliau, tidak boleh digunakan kaedah ini dalam perkara al-sawabit [perkara yang tidak boleh diijtihadkan kerana ia tidak menerima pertukaran]. Antara perkara sawabit ini adalah perkara ibadat, hukum jinayah syariah, faraid dan seumpamanya. Ini kerana, kaedah umum menyatakan bahawa "tiada qias dalam perkara ibadat". [Walaupun kaedah ini menyebut tentang perkara ibadat, tetapi perkara selain ibadat yang mempunyai sifat sawabit juga termasuk dalam maksud kaedah ini]

Keadaan ini berbeda dengan mazhab hanafi. Dalam aliran mazhab mereka, bentuk ini dikenali sebagai dalalah al-dilalah. Atau nama yang biasa digunakan adalah dalalah al-nas. 

Kaedah ini seiras-iras dengan qias awla dalam mazhab syafie, tetapi dari beberapa sudut, ia ada perbedaan. Dalam qias awla, illat [punca hukum] memerlukan kepada pengkajian yang mendalam, sedangkan dalam dalalah al-nas, memadai diketahui dengan pengertian bahasa.

Bagi contoh perkara ini adalah seperti nas mengatakan larangan berkata "oh" sahaja kepada ibu bapa. Sedangkan memukul ibu bapa tidak termaktub dalam al-Quran. Dalam mazhab syafie, pengharaman memukul ibu bapa dengan dengan merujuk kepada memukul dan mengatakan 'oh' itu mengandungi maksud 'aza', iaitu mengakiti. Ia terhasil dari kajian yang mendalam. Sedangkan dalam mazhab hanafi, larangan memukul dengan membandingkan dengan nas yang melarang mengatakan 'oh' itu difahami sekadar penggunaan bahasa sahaja.

Dari sudut penerimaan dalam penggunaan antara qias awla dan dalalah al-nas pula, ia agak berbeda sedikit. Ini kerana, dengan istilah qias awla, ia tidak boleh dibandingkan dalam perkara sawabit, sedangkan ia boleh berlaku dalam dalalah al-nas.

[2]

Dalam isu rogol, ada sebilangan ulama menyatakan ia dibawah hukum hudud. Dan sebilangan yang lain menyatakan ia dibawah hukum ta'zir. Perkara ini dikhilafi oleh ulama, kerana jenayah rogol ini tidak termaktub dalam nas [maskut], sedangkan yang termaktub dalam nas adalah zina [mansus].

Golongan yang mengatakan rogol dibawah hudud, sebenarnya mereka menggunakan teori mazhab hanafi yang menggunakan kaedah dalalah an-nas. Ini kerana, rogol dibandingkan dengan hudud dengan sama-sama mengandungi maksud melakukan persetubuhan haram. Ia difahami melalui uruf bahasa sahaja.

Sedangkan dalam mazhab syafie, ia tidak semudah untuk mengadaptasikan hukum rogol dengan merujuk kepada hukum zina dengan semata-mata mengatakan ia adalah persetubuhan haram. Ini kerana, antara zina dan rogol, ia mengandungi banyak perbedaan. Antaranya adalah, zina dilakukan dalam keadaan suka sama suka, sedangkan rogol dalam keadaan paksaan; zina tidak melibatkan kepada mangsa, sedangkan rogol wujud mangsa yang tidak bersalah dan sebagainya.

Disamping itu juga, hudud itu dikatakan wujud melalui nas yang muhkam, sedangkan rogol tidak termaktub dalam nas. Dan lagi, hudud adalah perkara sawabit; yang ia tidak boleh terhasil dari kaedah qias dan seumpama dengannya.

Ekoran itu, dalam manhaj mazhab syafie, ia tidak boleh diletakkan dibawah hudud, tetapi diletak dibawah takzir. 

[3]

Di Malaysia, berlaku polemic dalam menentukan status hukum rogol, apakah ia dibawah hudud atau dibawah ta'zir. Perkara ini, perlu diselesaikan di meja rundingan ilmuan. 

Disamping itu juga, mengadaptasikan hukum itu hendaklah berasaskan kepada kemaslahatan rakyat setempat, sepertimana umum menggunakan syarat geran kepada tanah yang diteroka dengan merujuk kepada mazhab hanafi, sedangkan dalam mazhab syafie [umum rakyat Malaysia bermazhab syafie] tidak mensyaratkan geran bagi tanah yang diteroka. Mengambil cara mazhab hanafi dalam menentukan hak milik tanah dengan geran mempunyai kemaslahatan masyarakat Malaysia berbanding mengambil cara mazhab syafie.

Jika dalam kes tanah diteroka pun, dijadikan mazhab hanafi sebagai cara yang diguna pakai kerana ia lebih memberi maslahah kepada rakyat setempat, maka begitujuga dalam isu penentuan hukum rogol di Malaysia.

Secara peribadi, aku lebih bersetuju mengatakan hukum rogol ini tidak diletakkan dibawah hukum hudud, tetapi diletakkan dibawah hukum ta'zir, kerana ia banyak memberi kemaslahatan kepada rakyat Malaysia. Jika diletakkan dibawah hudud, ia memberi polemic yang kedua, iaitu dalam menentukan pembuktian dengan merujuk kepada empat orang saksi, yang sudah pasti mangsa rogol sukar mendapat hak pembelaan.

Namun begitu, ia bukan bermakna mangsa rogol boleh menuduh orang sesuka hati sehingga boleh tersebar kezaliman. Penentuan takzir itu pun, hendaklah dibawah kerangka maqasid ammah, iaitu mencapai keadilan dan menolak dari berlaku kezaliman di atas muka bumi Allah SWT.

Sekian

Wallahu 'Alam


Tiada ulasan: