Khamis, 20 Oktober 2011

Ajijoi

Ajijoi


Pilih pemimpin kerana akhlaknya - Pesuruhjaya Pas Perak

Posted: 19 Oct 2011 11:20 PM PDT

IPOH, 20 Oktober - Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain hari ini mengajak semua ahli politik, untuk sama-sama mencerminkan akhlak yang mulia sebagai pemimpin-pemimpin negara.

Dalam ucapan tersebut, beliau mengingatkan bahawa, walau sehebat mana propaganda, manipulasi dan permainan media yang dibuat, semua itu hanyalah bersifat kulit dan sementara.

Beliau juga mengingatkan bahawa kuasa adalah amanah, jika mereka yang menjadi pemimpin rakyat menonjolkan akhlak yang buruk, menayangkan video lucah untuk tatapan orang ramai, tidak mustahil rakyat yang dipimpin mereka akan melihat ianya sebagai suatu tindakan yang dibolehkan dan mengikut perbuatan tersebut.

Menurut Pesuruhjaya PAS Perak itu lagi, sebagai contoh, jika hari ini pemimpin Negara di kalangan pemimpin UMNO menonjolkan video lucah kepada orang ramai untuk menjatuhkan kredibiliti politik pemimpin Pakatan Rakyat, esok pula cara yang sama akan digunakan oleh rakyat dalam kes yang lain pula.

Bagaimana pula kalau yang mengikuti tingkah-laku pemimpin tersebut adalah keluarga atau orang terdekat dengan mereka? Bukankah budaya fitnah dan kerosakkan akhlak akan tersebar, soal beliau.

Oleh sebab itu, beliau mengajak pemimpin negara serta ahli politik seluruhnya untuk mencerminkan akhlak yang mulia. Malah beliau mengajak kepada rakyat untuk memilih seseorang pemimpin tersebut berdasarkan kepada akhlak dan tingkah-lakunya.

 Menurut beliau, memberikan ucapan dan dakwaan pihak itu benar atau pihak itu salah serta memberi janji adalah suatu perkara yang mudah bagi mana-mana ahli politik, tetapi yang betul-betul menentukan sama ada ahli politik tersebut sesuai menjadi pemimpin atau tidak ialah akhlak serta tingkah-lakunya. Lagi dekat akhlak seseorang pemimpin tersebut dekat dengan akhlak Nabi s.a.w., lebih layak seseorang itu menjadi pemimpin rakyat. 

Beliau mengingatkan agar seluruh pemimpin mengambil pengajaran dari Firman Allah SWT:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)" (Surah Al-Ahzab:21)

Penduduk Bandar Seri Iskandar Membantah Penubuhan Panggung Wayang

Posted: 19 Oct 2011 07:25 PM PDT

Bandar Seri Iskandar , 20 Oktober 2011 – Penduduk di Bandar Seri Iskandar menyuarakan bantahan kepada penubuhan panggung wayang Lotus Five Star Cinemas di sebuah pasaraya yang sedang dibina di sini. Bantahan ini telah mendapat sokongan padu penduduk tempatan sejak papan tanda pembinaan wayang dinaikkan beberapa minggu lalu dan dibuktikan dengan kutipan ribuan tandatangan protes pembinaan panggung wayang tersebut.

Jawatankuasa bertindak penduduk telah mengambil langkah menyerahkan ribuan tandatangan protes penduduk beserta memorandum bantahan tersebut kepada En Roslan Mohd Lodin, Yang Di Pertua Majlis Daerah Perak Tengah di pejabatnya pada petang semalam.

Semasa ditemui selepas sesi penyerahan memorandum tersebut, Ustaz Abid Mohd Nor,37 selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Bandar Seri Iskandar melahirkan rasa amat tidak bersetuju dengan pandangan En Roslan yang menyatakan keperluan untuk menubuhkan pusat hiburan dan panggung wayang sebagai penarik pelabur-pelabur untuk datang ke Bandar ini.

"Hiburan dan kemajuan adaah dua perkara yang berbeza. Adakah apabila wujud panggung wayang barulah kita akan menjadi maju? Ini adalah pemikiran barat yang mahu merosakkan umat Islam!" tambah Ustaz Abid lagi.

Ustaz Abid menegaskan lagi bahawa penduduk tempatan mahukan Bandar Seri Iskandar ini menjadi "Bandar Ilmu dan Pendidikan "dan bukannya Bandar Hiburan. Kewujudan beberapa Institusi Pengajian Tinggi di dalam Daerah Seri Iskandar dan lambakan sekolah menengah dan rendah seharusnya dilengkapi dengan kewujudan kedai-kedai buku, perpustakaan, dan akses-akses pendidikan yang perlu untuk menjadikannya sebagai "Bandar Ilmu dan Pendidikan " dan bukannya dengan menubuhkan panggung wayang.

Di penghujung bual bicara dengan Ustaz Abid, beliau melahirkan rasa bimbang sekiranya penubuhan panggung wayang ini diteruskan akan merosakkan akhlak anak-anak penduduk dan remaja setempat dan dikhuatiri meningkatkan gejala sosial di sini.

Tiada ulasan: