Rabu, 19 Oktober 2011

Ajijoi

Ajijoi


Setelah Najib, kini Zambry pula diheret Hamidah ke Dun Sg Rapat

Posted: 19 Oct 2011 06:08 AM PDT

Kunjungan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak ke Dun Sg Rapat pada penghujung bulan September lalu sedikit pun tidak memberikan kesan dan impak yang positif kepada penduduk dan pengundi sepertimana yang diharap-harapkan oleh Adun Sg Rapat, Hamidah Osman.

Kedudukan Hamidah semakin panas dan tertekan ekoran terdapat 3 pihak lagi yang sedang giat melobi untuk bertanding dikerusi Dun Sg Rapat.

Selain Ketua Bahagian Umno Gopeng, Dato' Hamzah, Mejar (B) Roslan dan Hang Tuah merupakan musuh dalaman yang bakal menyingkirkan Hamidah daripada Dun Sg Rapat.

Sehubungan dengan itu, Hamidah kini mencuba nasib dengan membawa Menteri Besar Perak pula ke Dun Sg Rapat. Zambry Abdul Kader akan dibawa sehari kekawasan-kawasan di dalam Dun Sg Rapat dengan harapan agar dapat memulihkan sokongan terhadap Hamidah.

Kata sang cerdik pandai, jika seorang Perdana Menteri pun tidak bisa memberikan sokongan dan momentum kepada seseorang, inikan pula Menteri Besar.

Ada yang merasa agak hairan dengan gandingan Hamidah dan Zambry di dalam program pada hari Khamis (20.10.11) ini kerana Hamidah dikatakan sedang mengatur strategi untuk menyingkirkan Zambry daripada kerusi Menteri Besar. Selera besar Hamidah untuk bergelar Menteri Besar masih meluap-luap lagi, kata mereka.

Program Zambry turun padang ke Dun Sg Rapat Khamis ini, akan dimulakan dengan solat Dhuha di Masjid Kg Melayu Sg Rapat. Banner besar tajaan Hamidah bagi menyambut kedatangan Zambry untuk bersolat bersama Imam, Bilal dan Guru Kafa di Masjid tersebut agak menggelikan hati. Mungkin juga terdapat banner-banner yang sedemikian rupa dimasjid-masjid sekitar Dun Sg Rapat bagi solat-solat yang lain. Tetapi, barang perlu diingat, jika anda bukan Imam, Bilal mahupun Guru Kafa, mungkin anda tidak layak untuk ikut serta kerana Zambry hanya mahu bersolat bersama tiga golongan yang disebutkan itu sahaja.

Terdapat juga program 'kartun' anjuran Hamidah ini apabila Sekolah Agama Rakyat Al-Falah, Taman Song Choon, Ipoh yang belum siap pembinaannya, mahu dirasmikan oleh Zambry pada hari itu.

Menurut sumber Sekolah Agama Rakyat tersebut, pihak jawatankuasa sekolah agak terkejut dengan tindakan Hamidah itu kerana prasarana disekolah itu belum siap sepenuhnya dan kontraktor juga belum menyerahkan bangunan tersebut kepada jawatankuasa sekolah. Bagaimana mahu dirasmikan sebuah sekolah yang belum siap?

Majlis perasmian sekolah tersebut dijangka akan dirasmikan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani apabila sesi sekolah dibuka pada tahun hadapan dengan kelengkapan dan prasarana yang lengkap. Untuk merasmikannya diwaktu sekarang tanpa siap sepenuhnya adalah amat janggal dan 'kartun'.

Pihak jawatankuasa sekolah agama tersebut juga telah diarahkan untuk mendapatkan 'skrip' ucapan semasa perasmian tersebut. Ini memberikan gambaran yang tidak selesa kepada pihak jawatankuasa sekolah sehingga mereka mengambil keputusan untuk tidak terlibat dengan program tersebut.

Semakin hampir dengan pilihanraya umum ke 13, semakin panas kerusi Dun Sg Rapat. Namun, panas tersebut hanyalah dirasai dipihak Umno yang kian hebat bertarung untuk menentukan calon bagi bertanding disitu.

Apabila jawatan dilihat sebagai batu loncatan untuk meraih kesenangan dan mengaut keuntungan, perebutan sengit pasti berlaku. Sebaliknya, jika jawatan itu dilihat sebagai satu amanah yang perlu dipertanggungjawabkan dan dijawab dihadapan Allah Rabbul Jalil, pasti tiada perebutan yang akan berlaku.

Fikir-fikirkanlah.


Tidak libatkan parti politik, PAS tak sertai Himpunan Sejuta Umat

Posted: 18 Oct 2011 04:42 PM PDT

KUALA LUMPUR, 19 Okt — PAS memutuskan untuk tidak menyertai Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang akan berlangsung Sabtu ini atas alasan ia tidak melibatkan parti-parti politik.

Perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat khas biro politik parti itu yang diadakan di sini malam tadi.

"PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik, maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program," kata Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) dalam satu kenyaatan dikeluarkan tengah malam tadi.

Serentak itu, PAS Selangor juga mengambil pendirian tidak akan menyertai perhimpunan itu yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor bagi membincangkan isu murtad.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider awal pagi tadi, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman mengesahkan pendirian mereka.

"Sudah tentu," kata beliau apabila ditanya sama ada ia bermakna pihaknya juga mengambil pendirian yang sama.

Dalam satu pendirian dibuat kelmarin, Dr Rani berkata PAS Selangor tidak mahu perhimpunan itu diadakan dengan niat mahu melaga-lagakan masyarakat berlainan agama.

Dalam kenyataannya, Hadi menambah, PAS memperingatkan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran himpunan ini agar bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang negara demi menjamin keharmonian negara yang berbilang kaum dan agama.

Tegas beliau, sebarang usaha untuk menimbulkan polemik perkauman dan agama akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana- mana pihak.

"PAS memandang berat sebarang usaha mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik dan pilihan raya," kata beliau lagi.

Hadi menambah, agenda menyelamatkan akidah merupakan agenda murni tetapi ia mesti diurus dengan cara berhemah.

"PAS menyokong segala usaha memantapkan akidah oleh badan-badan NGO dan pelbagai pihak bagi memperkasakan akidah umat Islam," kata beliau.

Hadi juga berkata, PAS mengambil pendirian bahawa pengukuhan akidah umat Islam hendaklah dilaksanakan menerusi jalan dakwah secara damai sebagaimana Islam telah diterima oleh masyarakat rantau ini secara damai.

Petang semalam, Pakatan Rakyat memutuskan bahawa ia menunggu keputusan mesyuarat PAS sebelum membuat pendirian berhubung Himpun.

Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar berkata, mereka juga sedang mengumpul maklumat dari beberapa pihak berkenaan apa sebenarnya tujuan himpunan tersebut.

"Kita serah kepada kebijaksanaan PAS yang akan bermesyuarat malam ini (tadi). Kita sedang kumpul maklumat . . . adakah penglibatan pihak-pihak tertentu sama ada terlibat dengan Umno atau tidak," katanya.

Tiada ulasan: