Khamis, 29 September 2011

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


ISU LIM GUAN ENG - BAGAIMANA DENGAN KELANTAN YANG BERPULUH TAHUN DIBURUKKAN?

Posted: 29 Sep 2011 10:38 AM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS



APABILA Ketua Menteri P.Pinang, Lim Guan Eng sentuh sikit pasal Johor kononnya, maka hiruk pikuk media pencacai dan pengampu Umno termasuk beberapa pemimpin yang bankrap idea mengulas dan mencaci Lim Guan Eng. Hampir seminggu isu tersebut dimainkan di dalam media, dan semalam di TV 3 suku, berita berkenaan Lim Guan Eng ini menjadi pembuka tirai dan penutup tirai berita.

Mulanya tersasul dengan menyebut kononnya Lim Guan Eng memburukkan Johor di Australia, bila menyedari ianya suatu kesilapan yang membodohkan maka diubah dari Australia kepada Singapura pula. Bila disemak tiada bukti di dalam teks ucapan rasmi Lim Guan Eng, maka rakaman audio/visual pun jadilah asalkan dapat dibuat modal sampai basi. Biasalah, video hitam putih pun TV3 suku sanggup kutip di dalam tong sampah.

Jikalah benar Lim Guan Eng sentuh Johor seperti yang mereka dakwa itu, itu baru sekali beliau menyebut. Itu pun Lim Guan Eng nafikan dan beliau akan membuat laporan Polis terhadap rakaman visual yang ditayangkan hampir setiap malam itu bagi mengesahkan kebenarannya. Katalah memang benar, itu baru kali pertama Johor dikatakan sedemikian.

Baik, cuba kita renung kembali berapa tahun pula Negeri Kelantan diburuk-burukkan samada oleh pemimpin mahu pun kerajaan negeri di bawah Bn bahkan pemimpin Kerajaan Pusat sendiri? Semenjak mula PAS mengambil alih Kelantan, lebih 21 tahun Kelantan diburuk-burukkan malahan di sabotaj sehingga rakyat Kelantan sudah `lali' mendengarnya. MB Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz tetap bersabar dan Sultan Kelantan juga `relaks' sahaja melihat gelagat dan aksi `badut-badut' murahan ini. Tidak menjadi pelik di Kelantan, pemimpin Umno Kelantan juga sama-sama menghina negeri berkenaan. Pelik apanya, Sultan Kelantan pun mereka pernah `tabal'kan yang lain. Kalau tidak percaya, cuba tanya Anuar Musa yang kini menjadi orang kuat `Red Warrior' itu.

Adakah kita lupa ada seorang pemimpin Umno yang kini menjadi Ketua Menteri Melaka yang terlibat dengan rasuah semasa pemilihan Umno dulu, beliau pernah mengeluarkan arahan kepada semua Jabatan Kerajaan Negeri Melaka agar tidak melawat Kelantan? Adakah tindakan itu sesuatu yang bijak dan patut dipuji? Mengapa ketika itu tidak diperdebatkan dan di mana suara tokoh-tokoh atau cendikiawan di dalam negara ini yang berani bersuara? Mengapa kali ini mereka berebut-rebut untuk muncul di kaca TV menghentam Lim Guan Eng?

Muhyiddin selaku TPM pun mahu terlibat sama mengutuk dan meminta Lim Guan Eng memohon maaf kepada Kerajaan Negeri Johor. Beliau tidak pernah pun meminta maaf selaku Menteri yang dulu ada kes budak sekolah mati sewaktu mengikuti perkelahan akibat kecuaian pihak sekolah. Adakah Muhyiddin pernah meminta maaf apabila terdapat sekolah yang melarang pelajar dari mengambil peperiksaan? Lebih baik Muhyiddin suruh KM Melaka itu memohon maaf kepada Kerajaan Negeri Kelantan terlebih dahulu kemudiannya ia boleh ditiru oleh Lim Guan Eng.

Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat boleh dikatakan kerap kali diburukkan oleh pemimpin Umno termasuk ditokok tambah oleh media syaitan ini. Kerajaan Negeri Kedah di bawah PAS pernah diburukkan kononnya tidak mengambil tahu tentang kesusahan rakyat Kedah di musim banjir yang lalu. Begitu juga di Selangor, walaupun terbukti dalam Laporan Audit Negara bahawa Selangor sewaktu di bawah PR adalah terbaik pengurusan kewangannya, negeri ini tetap diburukkan oleh pemimpin Umno dan media. Kerajaan Pusat juga pernah memburukkan negara luar untuk menunjukkan negara kita ini lebih baik.

Jelas, semua ini adalah serangan yang sengaja dilakukan kepada pemimpin Pembangkang khususnya kepada Pakatan Rakyat agar rakyat dapat diperbodohkan. Mereka sudah kehabisan modal untuk mencari kelemahan pemimpin Pakatan Rakyat. Mereka ingin tonjolkan mereka lebih baik daripada Pakatan Rakyat sedangkan rakyat semakin bijak menilai tindak tanduk mereka. Politik murahan dari mereka menunjukkan tanda-tanda kejatuhan rejim Umno/Bn di dalam PRU akan datang./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: