Selasa, 27 September 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Rafizi: Undi BN bermakna sokong cukai baru?

Posted: 27 Sep 2011 05:53 AM PDT

Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) seperti yang dicadangkan oleh Barisan Nasional adalah satu perkara besar yang membawa kesan mendalam kepada rakyat. Dalam keadaan inflasi yang masih tinggi secara berterusan, pelaksanaan GST dalam masa terdekat dijangka akan menambah bebanan sara hidup rakyat.

Kenyataan Perdana Menteri sebelum ini adalah samar-samar. Pada masa beliau terus menyatakan komitmen untuk melaksanakan GST, beliau tidak pula menetapkan tarikh pelaksanaan GST. Walaupun Barisan Nasional mengumumkan satu lagi tumpuan keberhasilan negara iaitu untuk mengurangkan kos sara hidup, sehingga sekarang Perdana Menteri tidak menghuraikan pelan pelaksanaan GST walaupun ia akan mempunyai kesan besar kepada kos sara hidup.

Oleh yang demikian, KEADILAN menyeru Barisan Nasional supaya menjelaskan pendiriannya mengenai pelaksanaan GST termasuklah tarikh pelaksanaan sebelum pilihanraya umum ke-13 (PRU13) diadakan, untuk membolehkan rakyat membuat keputusan yang telus dan tepat. Di kebanyakan negara-negara yang telah melaksanakan GST, isu ini telah dibawa menjadi isu utama pilihanraya dan keputusan pilihanraya menjadi referendum sama ada rakyat mempersetujui pelaksanaan GST atau tidak. Sewajarnya PRU13 juga digunakan sebagai referendum kepada GST untuk mengambil kira pandangan rakyat mengenai pelaksanaan cukai baru ini.

Pendirian KEADILAN mengenai GST adalah jelas.

KEADILAN tidak menolak GST sebagai satu kaedah percukaian, tetapi mempertikaikan kesesuaian pelaksanaannya pada ketika hanya 1.7 juta rakyat Malaysia dianggarkan layak membayar cukai pendapatan. Sebahagian besar rakyat Malaysia tergolong di dalam kategori yang dikecualikan dari membayar cukai pendapatan kerana gaji yang rendah.

Di negara-negara yang telah melaksanakan GST, cukai ini diperkenalkan sebagai ganti kepada cukai pendapatan. Kadar cukai pendapatan diturunkan serta merta apabila GST diperkenalkan, lantas rakyat tidak mengalami bebanan cukai tambahan kerana sumbangan cukai dari rakyat hanya dialihkan dari cukai pendapatan kepada GST.

Sekiranya GST dilaksanakan di Malaysia dalam masa terdekat, 10 juta rakyat Malaysia yang selama ini tidak layak membayar cukai terpaksa menanggung bebanan cukai baru. Ini akan menambah beban mereka yang terpaksa berdepan dengan persoalan gaji yang rendah, inflasi yang meningkat dan bebanan cukai yang baru.

Oleh sebab itu, KEADILAN berpandangan bahawa tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha-usaha melonjakkan pendapatan rakyat melalui campur tangan terus kerajaan. Apabila taraf pendapatan rakyat telah dilonjakkan, barulah saiz kumpulan pembayar cukai dapat dibesarkan dan memberi ruang untuk GST dilaksanakan.

Pelaksanaan GST akan memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia dan sewajarnya menjadi isu besar PRU13. Rakyat berhak mendapat pengesahan dari Perdana Menteri sama ada dengan mengundi Barisan Nasional dalam PRU13, adakah itu bermakna mereka juga turut mengundi untuk membayar cukai baru?

*Kenyataan media oleh Mohd Rafizi Ramli (gambar kiri) selaku Pengarah Strategi PKR.

Jho Low: Rosmah bukan "mak angkat" saya

Posted: 27 Sep 2011 05:39 AM PDT

"Rosmah (Mansor) bukan 'mak angkat' saya. Beliau adalah kawan baik saya," demikianlah "tafsiran" yang diberikan Jho Low kepada Kwong Wah Yit Poh, ketika ditanya hubungannya dengan keluarga Perdana Menteri, Najib Razak. Rosmah Mansor adalah isteri kepada Najib Razak.

Beliau menjelaskan, "Anak Rosmah (Mansor) adalah rakan saya ketika menuntut di Britain. Saya mengenali anak Perdana Menteri dahulu, sebelum saya mengenali Perdana Menteri. Saya memperkenalkan ramai pelabur kepada Malaysia, justeru itu saya sering bertemu dengan PM."

Malah, Jho Low mendakwa dirinya mengenali ramai "putera" di negara yang berlainan, termasuk Abu Dhabi, Kuwait, Saudi Arab dan sebagainya. Oleh itu, Jho Low berkata dirinya mampu membawa ramai pelabur dari Timur Tengah ke Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Kayuhan Amal 1Malaysia Untuk Pelajaran di Straits Quay, Tanjong Tokong, Pulau Pinang pada 25 September 2011. Laporan ini disiarkan Kwong Wah Yit Poh pada 26 September, pada muka surat A5.

Sebelum ini, Jho Low dikatakan sebagai kenalan rapat dengan anak Perdana Menteri Najib Razak, lantas mencungkil keraguan orang ramai sama ada Jho Low berperanan sebagai proksi, berikutan kemampuan graduan Wharton Business School ini dalam mengumpul kekayaan pada umur 20-an tahun.

Ketua Angkatan Muda, Shamsul Iskandar (gambar kanan) ketika menyampaikan ucapan dasarnya dalam Kongres Nasional AMK yang diadakan di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan, Kota Bahru, pada 28 Mei 2010, memetik laporan New York Post pada tahun 2009, yang diulas kemudiannya oleh tabloid tempatan Malay Mail, bahawa seorang pemuda bernama Taek Jho Low membelanjakan USD 50 ribu hingga 60 ribu, atau RM 170 ribu ke RM 205 ribu setiap hari.

Malah, Shamsul Iskandar ketika itu mendesak agar PM menjawab, dan mengesahkan sama ada tuduhan bahawa Jho Low mendapat kontrak pembangunan TUDM Sungai Besi yang bernilai kira-kira RM500 juta, dan memainkan peranan sebagai penasihat di sebalik Terengganu Investment Authority yang mengurus dana royalti minyak itu benar atau tidak.

Baca: Ketua AMK: Negara bankrap kerana rasuah, bukan subsidi

*Kaleidoskop adalah "digest" kandungan media cetak. Akhbar yang dirujuk adalah Kwong Wah Jit Poh pada 26 September 2011, wawancara akhbar tersebut dengan Jho Low. Laporan dibuat berdasarkan teks asalnya dalam bahasa Cina.

PAS Selangor Setuju Masjid Tidak Diguna Untuk Berpolitik

Posted: 27 Sep 2011 05:37 AM PDT

SHAH ALAM, 27 SEPT: PAS Selangor bersetuju pada dasarnya agar masjid tidak digunakan sebagai medan berpolitik demi memastikan perpaduan di negeri ini terjamin.

Di samping itu, PAS Selangor juga berpuas hati dengan hasil penerangan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bahawa agensi itu tidak menjadi alat mana-mana parti politik termasuk Umno kerana ia tetap berpegang dengan asas penubuhannya.

Perkara itu dijelaskan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman kepada TV Selangor selepas menghadiri pertemuan itu di sini.

Menurut Dr Rani dalam pertemuan itu, pihaknya tidak membangkitkan isu larangan menyampaikan ceramah politik oleh ahli -ahli politik PAS kerana parti itu mempunyai banyak cara sendiri untuk menyampaikan ceramah.

"Jika tidak boleh berceramah di masjid kita akan melakukan kegiatan yang sama di tempat-tempat lain. Banyak alternatif," katanya.

Menurut Dr Rani kunjungan PAS adalah bagi mengeratkan pertalian dengan agensi itu sebagai salah satu parti yang mentadbir Selangor.

Turut serta dalam kunjungan itu ialah timbalannya Khalid Abdul Samad dan Iskandar Abdul Samad serta wakil daripada Pemuda dan Muslimat.

Menyentuh mengenai persiapan PAS Selangor dalam menghadapi pilihan raya, Rani berkata pihaknya sentiasa siap sedia pada bila-bila masa.

"Andai kata pilihan raya diumumkan akan diadakan minggu depan, kita sudah bersedia dengan calon-calonnya," kata Dr Rani.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa Pakatan Rakyat akan terus mentadbir Selangor daam pilihan raya akan datang. Ini berdasarkan pembaharuan-pembaharuan yang dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat negeri sejak tiga tahun mentadbir.

Menurut Dr Rani, rakyat kini pandai menilai kerajaan mana lebih baik untuk mentadbir Selangor yang dapat membela nasib rakyat di masa hadapan.

Tiada ulasan: