WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- Soalan Pemuda PAS Untuk Mahathir
- Dunia Mula Faham, Islam Agama Keamanan- Anwar Ibrahim
- Kontrak Untuk Semua, Selangor Mahu Keluarkan Lesen Kontraktor
- Ku Li, Afdlin dan Namewee Terpilih Nyanyi Lagu 'Undilah'
Soalan Pemuda PAS Untuk Mahathir Posted: 12 Sep 2011 04:11 AM PDT SHAH ALAM 12 SEPT : Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan para sarjana sejarah didesak memberi penjelasan berhubung kenyataan beliau bahawa British tidak menjajah Tanah Melayu sebaliknya 'dijemput' Sultan Melayu ke negara ini. Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia Suhaizan Kayat menyatakan pelbagai kekeliruan telah timbul berikutan tindakan Mahathir yang mempertahankan kenyataan Majlis Profesor Negara (MPN) melalui jurucakapnya Prof. Zainal Kling, kononnya Tanah Melayu tidak pernah dijajah. "Penjelasan itu dapat menjawab pelbagai persoalan yang kita ada. Sebab itu kita nak penjelasan. Hakikatnya siapa yang memerintah, British atau Sultan ? Peristiwa Tok Janggut bagaimana ? Tok Janggut penderhaka atau pejuang? Selepas isu Mat Indera, kemerdekaan dan sebagainya barulah isu ini timbul. Sejak 1948 hingga 1957, masih banyak lagi perkara yang tak dapat konsensus sejarawan dan sarjana- sarjana negara kita," kata Suhaizan kepada TV Selangor hari ini. Pagi tadi, Mahathir telah menyatakan bahawa secara teknikalnya memang Tanah Melayu tidak pernah dijajah kerana Sultan telah memutuskan untuk menjemput British manasihat baginda berkenaan pentadbiran negara ini. Persolan yang dikemukakan Pemuda PAS ialah :- 1. Siapakah pemerintah sebenar pada zaman sebelum 31 Ogos 1957 ? Sultan atau British. 2. Apakah rakyat Tanah Melayu sebelum merdeka wajib patuh kepada pemintah pada masa tersebut? 3. Apakah status penderhaka atau pengkhianat yang kita boleh berikan kepada Tok Janggut yang telah membunuh mata-mata terdiri daripada orang Melayu beragama Islam semasa kumpulan tersebut menyerang kepentingan pemerintah di Kota Baharu pada tahun 1915 ? 4. Apakah status yang boleh kita berikan kepada pegawai-pegawai Melayu beragama Islam yang bermati-matian mempertahankan pemerintah pada masa tersebut? 5. Apakah ada propaganda pemerintah pada sebelum 31 hb Ogos 1957 yang menyatakan bahawa sesiapa yang berlawan dengan pemerintah bererti menderhaka kepada baginda Sultan? 6. Apakah salah kita menanggap UMNO sebagai anak emas perintah setelah tidak diharamkan oleh pemerintah pada masa darurat 1948 sedangkan semua pertubuhan lain diharamkan? Dalam pada itu, Suhaizan turut menyelar sikap Kerajaan yang seolah bersikap dingin dan tiada perancangan jangka panjang dalam beberapa isu besar. Beliau menyatakan sikap "Seperti Pahat dengan Penukul" ini perlu diubah agar negara tidak dilihat sebagai negara 'ad hoc' yang hanya mengambil kira isu tertentu setelah ia kecoh di kalangan rakyat. "Saya khuatir semua jadi ad-hoc comitee sahaja. Bila sentuh SPR baru nak baiki, bila sentuh sejarah, baru nak baiki. Jadi macam tak ada pelan jangka panjang. Patutnya kerajaan yang stabil ada pelan jangka panjang, banyak kajian harus dilakukan. baru orang tak panggil negara ad- hoc commitee," kata beliau Suhaizan turut menyatakan media sepatutnya memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat dalam masyarakat untuk meransang daya fikir rakyat negara ini terutamanya dalam isu besar seperti ini. Dalam media ni benda remeh selalu masuk. Contohnya untuk sejarah ni, perbanyakkan filem mengenai sejarah. Tak ada filem mengenai Tok Janggut atau Burhanuddin Helmi misalnya. Media kita khususnya media Melayu tak mendidik rakyat untuk cerdik dan berfikir di negara ini. |
Dunia Mula Faham, Islam Agama Keamanan- Anwar Ibrahim Posted: 12 Sep 2011 01:43 AM PDT MUNICH 12 SEPT : Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan negara majoriti Muslim kini telah mula meninggalkan persepsi bahawa Islam dilihat sebagai mundur, dikaitkan dengan keganasan dan pentadbiran zalim dan bergerak ke arah sederhana dengan pembaharuan demokratik pentadbiran mereka. Beliau menyatakan pemberontakan Arab di negara seperti Mesir, Libya dan Syria merupakan tanda bahawa majoriti Muslim memilih demokrasi dan keadilan sebagai pegangan mereka berlandaskan prinsip Islam. Anwar turut memberi contoh Turki di bawah pimpinan Tayyib Recep Erdogan sebagai contoh negara Muslim sederhana yang progresif, berdaya saing dan mempunyai wawasan untuk merubah sistem dan moden. "Islam dan demokrasi amat serasi. Kita telah menyatakan berkali- kali bahawa Turki adalah contoh apa yang boleh dicapai negara Islam jika pemimpin mereka benar- benar menurut prinsip asas Islam," tegas Anwar dalam ucapan pembukaan di Perhimpunan Keamanan Antarabangsa di Munich semalam. Anwar mengimbau memori serangan ke atas bangunan Pusat Perdagangan Dunia di New York, Amerika Syarikat pada 11 September 2001 ketika beliau masih dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh ketika itu. Menurut Anwar serangan dashyat itu berniat jahat dan ia membuka ruang kepada negara Amerika Syarikat dan negara barat lain menempiaskan rasa marah mereka kepada dunia Islam. Namun menurut Anwar, persepsi tersebut mula berubah dan beliau berharap agar paranoia masyarakat barat terhadap Islam dapat dihilangkan dengan cara dialog dan memahami kepercayaan masing- masing. Anwar menyatakan prinsip keamanan Islam dapat difahami dan dikongsi bersama ke seluruh dunia. "Dalam dunia hari ini, kita tidak dapat menafikan bahawa pergerakan untuk merubah menuju demokrasi dan keadilan telahpun berkembang pesat. Dalam proses ini, perkongsian cita- cita universal bersama akan melahirkan keamanan dan keharmonian yang kita mahukan. Ini adalah cita- cita yang menggerakkan kita untuk mencari kebenaran, keadilan dan belas kasihan," kata Anwar. Pada awal pagi 11 September 2001, 19 orang perampas mengambil alih pengemudian empat buah pesawat penumpang komersil yang berada dalam perjalanan ke San Francisco dan Los Angeles dari Boston, Newark, dan Washington, D.C. Dua kapal terbang tersebut telah merempuh menara timur dan barat World Trade Center (WTC) di New York dan satu kali berjaya merempuh bangunan Pentagon di Washington DC. Amerika Syarikat ketika itu di bawah pimpinan George W Bush kemudiannya melancarkan 'Peperangan ke atas Keganasan' ke atas Osama Laden dan Al Qaeda yang mengaku bertanggungjawab terhadap tindakan tersebut dan menakhluk Iraq serta Afghanistan sehingga kini. Menurut Anwar keadaan ini perlu dilihat dari sudut berlainan dan seluruh dunia yang berbeza kepercayaan agama perlu belajar untuk bersatu dalam memastikan keamanan dan keharmonian. Kecuali kita menerima kepelbagaian agama sebagai kuasa yang menyatukan, terlalu kurang kemajuan yang boleh dicapai," kata beliau lagi. Anwar turut menegaskan bahawa konsep jihad dalam Islam tidak boleh digunakan untuk menjustifikasikan tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan, sebaliknya sebagai satu bentuk pembersihan jiwa. "Al-Quran mengajar bukan sekadar kepada rohani tetapi juga kebijaksanaan...Ia (Jihad) panggilan jiwa kepada mereka yang taat untuk melakukan kebaikan, menjauhi kejahatan, membangunkan keadilan dan membantu mereka yang miskin yang lemah. Paling penting, Jihad menyuruh Umat Islam untuk menjaga keamanan dan keharmonian serta memelihara kesucian nyawa dan harta," kata beliau. |
Kontrak Untuk Semua, Selangor Mahu Keluarkan Lesen Kontraktor Posted: 12 Sep 2011 01:41 AM PDT SHAH ALAM 12 SEPT : Kerajaan negeri Selangor akan mengeluarkan sendiri lesen kontraktor Kelas F bagi memastikan setiap kontraktor di negeri Selangor mendapat peluang yang sama rata dalam mendapatkan projek- projek pembangunan dinegeri ini. Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, pengeluaran lesen kontraktor itu akan merangkumi bumiputera dan bukan bumiputera. "Sekarang di Selangor akan ada lesen Kelas F untuk semua kontraktor. Saya telah mencadangkan perkara ini pada mesyuarat exco tertutup," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam sebuah forum anjuran Persatuan Perniagaan India Malaysia (MIBA) baru- baru ini. Forum berjudul 'Pertempuran Memenangi Hati Dan Undi Masyarakat India' itu mengumpulkan ahli politik daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang, ahli akademik, masyarakat sivil dan ahli perniagaan. Xavier juga berkata, cadangan untuk mengeluarkan lesen kontraktor itu adalah untuk membuktikan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim telus dan tidak mendiskriminasikan mana- mana kaum dalam mendapatkan kontrak kerajaan negeri. Berpegang kepada prinsip "kontrak adalah untuk semua", Xavier berkata cadangan ini akan mewujudkan persaingan sihat dikalangan kontarktor untuk membida kontrak pembangunan kerajaan negeri. Beliau menambah, meskipun cadangan itu berdepan dengan banyak rintangan diperingkat persekutuan, namun sekurang- kurangnya ia diluluskan diperingkat kerajaan negeri. Sehingga kini, Xavier menjelaskan beberapa projek besar telah pun ditenderkan oleh kerajaan negeri Selangor. Antaranya, projek pemuliharaan Sungai Klang dan skim perumahaan dan pembangunan bandar campuran di Tanjung Dua Belas, Bukit Beruntung dan Ijok. |
Ku Li, Afdlin dan Namewee Terpilih Nyanyi Lagu 'Undilah' Posted: 12 Sep 2011 01:28 AM PDT KUALA LUMPUR 12 SEPT : Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bersama pelakon Afdlin Shauki dan penulis lirik kontroversial Namewee merupakan antara individu terpilih untuk mendendangkan lagu "Undilah" ciptaan komposer Pete Teo. Teo berkata lagu itu akan dilancarkan Jumaat ini sempena sambutan Hari Malaysia, lapor Malaysian Insider. "Lagu ini sebagai pemberitahuan kepada masyarakat untuk daftar sebagai pengundi dan menggalakkan rakyat Malaysia mengundi pada pilihan raya umum ke-13," kata beliau dipetik Sinar Harian hari ini. Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat. Kira-kira empat juta rakyat negara ini yang layak untuk mengundi belum mendaftar sebagai pemilih. "Orang ramai boleh memuat turun video dan lagu berkenaan setelah ia dilancarkan," kata Teo lagi. Video klip berdurasi 4.38 minit itu turut menampilkan 40 personaliti termasuk ahli politik Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Turut disenaraikan ialah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei, Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes. "Secara keseluruhan lebih 180 orang terlibat dalam penghasilan lagu Undilah, sebahagian video klip itu yang berdurasi 1.11 minit kini ditayangkan di YouTube," katanya lagi. Sebelum ini, Teo pernah menghasilkan beberapa lagu antaranya Pergi yang dinyanyikan oleh Aizat dan dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu Ke-24. |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan