SIASAH |
Makna kenyataan Pakatan Rakyat tentang hudud Posted: 29 Sep 2011 07:18 AM PDT Kata sepakat parti-parti Pakatan Rakyat dicapai hasil pertemuan empat jam pemimpin-pemimpin semalam. Keputusan yang dicapai ialah kompromi yang boleh dijangka bagi sebuah gabungan parti politik berbeza ideologi. Apa yang dicapai dalam mesyuarat pemimpin PR itu sebenarnya bukan sesuatu yang baharu, kerana sekadar menegaskan sekali lagi bahawa PR ialah satu gabungan dengan agenda bersama. PR telah bersetuju dengan dasar bersama dan agenda yang dicatat dalam Buku Jingga yang dilancarkan pada konvensyen gabungan itu pada Disember tahun lalu. Hal yang tidak dipersetujui, yang berkaitan dengan ideologi tidak menjadi agenda PR, termasuk pelaksanaan hukum jenayah hudud dan undang-undang Islam lain, seperti yang diluluskan di Kelantan dan Terengganu di bawah pimpinan PAS. Semua parti terlibat, terutama PAS, perlu menyedari apa yang dimaksudkan dengan agenda bersama ini, dan bersedia berkompromi dalam hal-hal tertentu. Di sinilah letaknya had kerjasama parti-parti PR. PAS juga perlu menyedari bahawa parti-parti PR yang lain secara ideologinya tidak akan bersetuju dengan hudud dan undang-undang Islam lain. Apa yang dinyatakan oleh Karpal Singh, pemimpin veteran DAP di konvensyen tahun lalu sebenarnya telah menjelaskan dengan terang pendirian DAP, iaitu bersedia berkompromi tetapi tidak menerima agenda negara Islam (termasuk hudud) PAS. Pendirian Karpal dalam pertikaian terkini dengan PAS hakikatnya tidak berbeza langsung dengan apa yang disebut semasa konvensyen itu, seperti dirakam SiasahDaily: "PAS sama sekali tidak boleh membaca dengan berlebihan kenyataan Karpal Singh itu dan menganggap debat isu tersebut sebagai sudah selesai dan DAP menerima ide negara Islam PAS. "Apa yang berlaku hanya satu kompromi, dan menunjukkan PR ialah satu usaha sama parti-parti pembangkang dalam hal yang dipersetujui sahaja." Setiap parti sememangnya akan membawa agenda yang difikirkan mewakili kepentingan nasional untuk diangkat sebagai agenda perjuangan PR, dan PAS tidak boleh terkecuali daripada usaha ini. Banyak agenda dan pendekatan parti DAP dan PKR turut tidak selari dengan dasar Islam PAS, dan kedudukannya sebagai salah sebuah parti utama orang Melayu. Ini bermakna PR ialah satu ruang dan peluang kerjasama politik, dan tidak boleh dianggap hujung jalan perjuangan PAS. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan