Jumaat, 23 September 2011

Senyum Tangis Sendu

Senyum Tangis Sendu


Hadiah Mayat Untuk Hari Lahir Teman Lelaki

Posted: 23 Sep 2011 12:30 AM PDT

SUNGAI SIPUT: Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun bertindak menggantung diri sebagai hadiah hari jadi buat bekas teman lelakinya dalam satu kejadian di Taman Tun Sambanthan, di sini, pagi semalam.

Lima minit sebelum mengambil keputusan menggantung diri, mangsa dikenali L Valarmathi yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Haji Abdul Wahab itu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada bekas teman lelakinya itu.

Gambar hiasan

Difahamkan, mangsa baru putus cinta dengan teman lelakinya itu yang juga pelajar tingkatan empat sebuah sekolah lain bertindak demikian kerana mengalami tekanan perasaan. Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, Valarmathi ditemui maut apabila menggantung diri pada kipas di dalam biliknya menggunakan sehelai kain sari.

Mayat mangsa ditemui ibubapanya yang bergegas pulang ke rumah selepas mendapat panggilan daripada bekas teman lelaki anaknya yang memaklumkan mengenai SMS yang mengejutkan itu.

Bapa mangsa, M Lingam, 46, ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Sungai Siput semalam berkata, dia mendapat panggilan daripada bekas teman lelaki anaknya itu sebelum bergegas pulang bersama isteri ke rumah.

Beliau berkata, sebaik tiba di rumah, dia cuba memanggil anaknya yang berada di dalam bilik, namun tidak berjawab sebelum menendang pintu bilik berkenaan.

"Saya terkejut mendapati badan Valarmathi tergantung pada kipas dengan leher dililit sehelai kain sari dan muka kebiruan.

"Ketika kejadian, Valarmathi keseorangan di rumah, manakala saya dan isteri keluar bekerja selain anak yang lain bersekolah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim ketika dihubungi berkata, mangsa bertindak membunuh diri dipercayai kerana mengalami masalah peribadi dan tekanan perasaan.

Katanya, kejadian itu disedari bapa mangsa yang pulang ke rumah kira-kira jam 11.30 pagi sebelum menemui mangsa sudah tidak bernyawa.

"Mangsa tidak ke sekolah pada hari kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat dan punca kejadian masih disiasat. Kes ini boleh diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Budak 2 Tahun Dirogol

Posted: 22 Sep 2011 11:10 PM PDT


PETALING JAYA: Seorang budak perempuan berusia dua tahun yang baru dibawa pulang ibunya dari rumah pengasuh dipercayai dirogol selepas mengadu sakit pada kemaluannya di Kota Damansara, di sini, kelmarin.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, ibu mangsa yang baru pulang dari tempat kerja menjemput anaknya seperti biasa di rumah pengasuh terbabit.

Bagaimanapun, setibanya di rumah, kanak-kanak itu menangis dan mengadu sakit di kemaluan dan selepas diperiksa, terdapat luka dan bengkak di bahagian berkenaan.

"Ibu mangsa membawa anaknya itu ke pusat kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.

"Wanita itu terperanjat apabila doktor mengesahkan terdapat kesan kecederaan pada kemaluan anaknya akibat tusukan objek keras," katanya.

Menurutnya, ibu mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan awal mendapati semua penghuni di rumah pengasuh terbabit adalah wanita, namun tidak menolak kemungkinan suspek adalah orang dikenali mangsa.

Dibunuh Kerana Ditolak Permintaan Seks

Posted: 22 Sep 2011 05:30 PM PDT

SHAH ALAM – Polis semalam mendedahkan pembunuhan seorang remaja perempuan yang mayatnya ditemui dengan kesan terbakar hampir 80 peratus di dalam semak berhampiran loji kumbahan di Jalan Bukit Belacan 5 September lalu berikutan keengganannya untuk melakukan hubungan seks.

Menurut polis, akibat penolakan tersebut, teman lelaki mangsa yang juga suspek dalam kes itu disyaki cuba memperkosa remaja berkenaan. Suspek merupakan seorang pelajar institut pengajian tinggi awam berusia 19 tahun dari Ukay Perdana, Ampang.

Pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan itu ditahan pada pukul 12 tengah hari, 12 September lalu di Seri Iskandar, Perak.

Ketika ditahan, polis merampas sebuah telefon bimbit milik mangsa dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil milik keluarga suspek yang didapati mempunyai keterangan-keterangan fizikal seperti rambut yang diyakini ada hubung kait dengan kes bunuh itu.

Siasatan awal ketika itu mendapati, suspek membeli petrol di dua buah stesen minyak di kawasan Ampang Jaya untuk membakar mangsa.

GAMBAR fail menunjukkan anggota polis menjalankan siasatan di tempat mayat Nurul Awatif dibakar di Jalan Bukit Belacan, Ampang Jaya pada 5 September lalu.

Mangsa dikenali sebagai Nurul Awatif Syakir, 19. Dia merupakan pelajar Maahad Tahfiz Al-Tijarah, Selayang, Gombak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, siasatan pihaknya setakat ini mendapati suspek dikatakan mengambil tindakan drastik untuk membunuh mangsa selepas berang apabila permintaannya ditolak.

Katanya, polis juga telah mendapatkan laporan penuh bedah siasat ke atas mangsa tetapi enggan mendedahkannya sehingga siasatan selesai.

"Sehubungan itu, permohonan kita untuk melanjutkan tempoh reman ke atas suspek telah dibenarkan sehingga 27 September ini bagi membantu polis menjalankan siasatan," katanya.

Mayat seorang remaja perempuan ditemui berhampiran loji itu pada 5 September lalu dengan kesan terbakar hampir 80 peratus badannya pukul 1.35 petang.

Sebelum itu, ahli keluarga mangsa membuat laporan mengatakan mangsa tidak pulang selepas keluar pada pukul 8.30 malam sehari sebelum itu dan pengecaman dibuat berdasarkan cebisan baju kurung serta sepasang anting-anting.

Tiada ulasan: