Jumaat, 16 September 2011

PRO REFORM

PRO REFORM


Guan Eng: Najib mansuh satu ISA, mahu gubal dua ‘ISA’

Posted: 16 Sep 2011 03:15 AM PDT

Oleh Clara Chooi

GEORGE TOWN, 16 Sept — Lim Guan Eng menegaskan langkah pentadbiran Najib mahu menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan dua undang-undang baru satu perkembangan yang mengecewakan dan penjenamaan semula akta yang kontroversial itu.

Justeru kata beliau, inisiatif pembaharuan politik yang diumumkan malam tadi adalah sesuatu yang tidak bermakna jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu mengadakan undang-undang baru bagi tujuan yang sama.

"Ya, sudah pasti ia berita yang baik tetapi jika anda mahu menggantikan dengan dua undang-undang baru, maka ia akan menjadi dua ISA?


"Kami tidak mahu melihat satu situasi di mana anda memasukkan wain yang lama dalam satu botol yang baru," kata beliau pada sidang media hari ini.

Lim (gambar), seorang bekas tahanan ISA berkata, rakyat Malaysia mahukan elemen peruntukan boleh menahan seseorang tanpa perbicaraan dibuang daripada mana-mana undang-undang pencegahan yang mahu diadakan.

Setiausaha Agung DAP menambah, satu tempoh yang pendek boleh dibenarkan bagi penahanan tetapi tahanan mesti dibicarakan di mahkamah.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia semalam, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Kata Najib, dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah "semangat serta payung" Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan, kata Najib semalam.

Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, Putrajaya seharusnya memansuhkan undang-undang berkaitan media selari dengan usaha memansuhkan ISA.

"Saya juga mangsa PPPA . . . saya ditahan selama 18 bulan," kata beliau.

Lim juga membidas pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA, Gerakan dan MIC kerana menyokong pembaharuan diumumkan oleh Najib kerana mereka juga menyokong ISA sebelum ini.

"Sekarang, mereka cuba untuk mengambil kredit dengan pengumuman Najib," kata Lim lagi.

Sehubungan itu kata Lim, rakyat Malaysia seharusnya diberikan pujian atas pengumuman Najib semalam, yang dilihat sebagai hasil perubahan landskap politik menerusi pilihan raya umum 2008.

Pilihan raya umum 2008 menyaksikan tsunami politik dengan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dinafikan dan lima negeri dikuasai komponen Pakatan Rakyat.

"Mereka menyokong pembangkang yang berjuang untuk kebebasan yang lebih luas. Ia juga kesan kebangkitan di negara-negara Arab . . . jadi kerajaan-kerajaan, diktator-diktator jatuh pada era moden ini, ia tidak lagi berfungsi lain," katanya lagi.

- TheMalaysianInsider

" Ya.. Allah.., berilah hidayat, hifazat dan maghfirahMu kepada pemimpin kami Imam Mahadi Al-Muntazar walau di mana baginda berada. Selamatkanlah baginda, bantulah baginda, begitu juga para pejuang Islam yang akan bergadai nyawa di sisinya. Ya.. Allah.., selamatkanlah seramai mungkin umat ini dari fitnah dan sihir Dajjal. Ya.. Allah.., bantulah kami menghadapi gelombang-gelombang ujian yang bakal mendatang "

Rakyat Harus Tahu Sejarah Sebenar Perjuangan, Kata Anwar

Posted: 15 Sep 2011 10:12 PM PDT

SHAH ALAM 16 SEPT : Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak memahami erti kemerdekaan dan maksud sebenar pembentukan Malaysia bahawa ia adalah hasil usaha semua pihak tanpa mengira ideologi.

Malah, Anwar menegaskan negara kini berada di persimpangan sementara rakyat mahu mengetahui sejarah sebenar perjuangan kemerdekaan serta berhasrat menolak cerita dongeng ciptaan pemerintah.

"Sejarah diseleweng demi kepentingan sesetengah pihak sahaja sekaligus menafikan perjuangan golongan lain yang bersama bertungkus lumus menentang penjajahan.


"Mana mungkin, kita menafikan perjuangan tokoh-tokoh yang dilatari pelbagai faham perjuangan, baik dari gerakan Islam, aliran kiri mahupun dari aliran kanan. Mereka ini walaupun berbeda pandangan, hakikatnya punyai matlamat yang sama, iaitu mahu tanah air kita merdeka dari penjajah," tegas beliau dalam kenyataan itu.

Beliau berkata demikian merujuk pada pertikaian dan polemik yang timbul ekoran beberapa pihak cuba menafikan terus sumbangan golongan kiri seperti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya, Angkatan Pemuda Insaf, Parti Komunis Malaya serta lain-lain yang langsung tidak dipedulikan oleh UMNO sebagai menyumbang demi kemerdekaan sebaliknya dianggap pengkhianat kerana memusuhi British.

Katanya, walaupun PKR menolak ideologi Komunisme, namun mereka tidak menafikan sumbangan mereka dalam menentang penjajah tidak patut dianggap sebagai mengkhianati negara.

Sebaliknya Anwar berkata, pengkhianatan sebenar adalah penindasan dan kezaliman yang digunakan sewenang-wenangnya oleh mereka yang berkuasa.

"Polemik Mat Indera yang tercetus baru-baru ini menggasak pimpinan Umno bertindak balas dengan nada emosi. Retorika seumpama pengkhianat dan tidak kenang budi dicanang seluruh negara sedangkan rujukan seperti karya berjudul "Pengukir Nama Johor" terbitan Yayasan Warisan Johor serta disunting Profesor Dato' Abu Bakar A. Hamid dan Md Ismail Zam Zam itu menjelaskan Mat Indera antara mereka yang gigih menentang penjajahan British,"

Menurut Anwar lagi, menjadi keangkuhan jika sumbangan golongan yang dianggap tidak sehaluan langsung tidak diperdulikan sedangkan mereka turut berkorban dan menyumbang khidmat demi memastikan kedaulatan tanah air yang tercinta.

"Jikalau kita jujur berhadapan dengan sejarah, ternyata selain dari Dato' Onn dan Tunku Abdul Rahman, ramai lagi seumpama Dr Burhanuddin al Helmi, Ishak Haji Muhammad, V.T Sambathan, Tan Cheng Lock, Rosli Dhobi di Sarawak dan Mat Salleh di Sabah ternyata gigih menentang penjajahan terutamanya penjajahan British.

"Tidak wajar dilupakan juga sumbangan tokoh persuratan seumpama Syed Sheh al Hadi dan Pendita Zaaba yang berusaha membina kesadaran membawa pembaharuan kepada masyarakat," katanya.

Beliau turut membidas peranan intelektual yang hanya tahu membodek golongan berkuasa tanpa perasaan hormat ibarat satu pembelotan kepada kebenaran.

"Teguran Almarhum Profesor Syed Hussein Alatas sepertimana yang terkandung dalam karyanya Intelektual Masyarakat Membangun janganlah dikesampingkan. Intelektual atau para sarjana jangan dihinggapi penyakit "Bebalisme," suatu penyakit malas berfikir, kelesuan intelektual dan takut menyatakan yang benar," kata beliau

Justeru, Anwar menyeru agar rakyat menghayati erti sebenar kemerdekaan sebagai sebuah negara yang benar-benar bebas dan mengamalkan pentadbiran yang adil serta bebas tanpa menindas sesiapa.

"Kita rakyat Malaysia tidak mahu suatu pemerintahan yang sekadar menggantikan regim penjajah, sekadar bertukar bekas sedangkan isi dicurah dan disisihkan. Oleh kerana itu kita tuntas menuntut agar dikembalikan Semangat Kemerdekaan dan dipenuhi pula Makna Pembentukan Negara Malaysia itu," kata beliau.

- TVSnews

" Ya.. Allah.., berilah hidayat, hifazat dan maghfirahMu kepada pemimpin kami Imam Mahadi Al-Muntazar walau di mana baginda berada. Selamatkanlah baginda, bantulah baginda, begitu juga para pejuang Islam yang akan bergadai nyawa di sisinya. Ya.. Allah.., selamatkanlah seramai mungkin umat ini dari fitnah dan sihir Dajjal. Ya.. Allah.., bantulah kami menghadapi gelombang-gelombang ujian yang bakal mendatang "

Tiada ulasan: