Isnin, 19 September 2011

Politiksukusakat

Politiksukusakat


Akta bakal ganti ISA akan lebih zalim?

Posted: 19 Sep 2011 08:38 PM PDT

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR : Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Pusat menyambut baik langkah Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Namun, dalam masa yang sama bimbang dengan sebarang langkah kerajaan untuk memperkenalkan akta baharu yang jauh lebih zalim, kata Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi.

"Tetapi masih timbul tanda tanya kerana pemansuhan ISA itu bukanlah pemansuhan mutlak tanpa bersyarat malah berikutan pemansuhan itu, Kerajaan bakal memperkenalkan dua lagi akta baru bagi menggantikan ISA tersebut.

"Menteri Dalam Negeri pula mendedahkan bahawa dua akta baru yang akan diperkenalkan oleh Kerajaan tersebut adalah berasaskan kepada Patriot Act di Amerika Syarikat dan Anti-Terrorism Act di United Kingdom," kata Ahmad Zamri dalam satu ulasannya kepada Harakah 19 September lalu.


Ganti Patriot Act (sub tajuk)


USA Patriot Act atau lebih dikenali sebagai Patriot Act adalah singkatan kepada Uniting (and) Strengthening America (by) Providing Appropriate Tools Required (to) Intercept (and) Obstruct Terrorism Act of 2001 dan telah diperkenalkan oleh Presiden George W. Bush pada 6 Oktober 2001, kata beliau.

Akta ini diperkenalkan selepas Amerika mengalami serangan 11 September 2001, ujarnya.


Akta ini telah memberikan lebih kuasa kepada agensi penguatkuasa undang-undang untuk menyiasat rekod panggilan telefon, emel, perubatan, kewangan dan mengurangkan halangan undang-undang kepada agensi berkenaan untuk menjalankan aktiviti risikan khususnya ke atas warga dan entiti asing.

Akta ini juga meluaskan kuasa agensi itu berkaitan budi bicara menahan atau menghantar pulang mana-mana warga asing yang menjadi suspek dalam aktiviti keganasan, katanya.

Perlaksanaan akta ini telah mendapat tentangan daripada badan hak asasi manusia, katanya.

Bantahan itu kerana sifat akta ini yang zalim khususnya penahanan tanpa had masa ke atas suspek, kuasa menggeledah sesebuah premis tanpa kehadiran atau pengetahuan pemilik dan kuasa untuk memintas komunikasi telefon, emel atau rekod kewangan tanpa waran mahkamah, katanya.

Harus dinyatakan di sini bahawa Mahkamah Persekutuan telah beberapa kali membuat keputusan bahawa tindakan yang dibuat oleh agensi berkenaan adalah salah dan bercanggah dengan perlembagaan, kata Ahmad Zamri.

Di United Kingdom, langkah yang sama telah diambil oleh kerajaannya kira-kira dua bulan selepas serangan September 11, 2001, katanya.

Kerajaan telah memperkenalkan Anti-Terrorism, Crime and Security Act 2001. Ciri penting akta ini adalah kuasa untuk menahan warga asing yang menjadi suspek dalang pengganas untuk ditahan tanpa bicara tanpa had masa.

Namun, suspek itu boleh dibebaskan dengan syarat beliau meninggalkan United Kingdom. Pihak Kerajaan mendakwa bahawa kebanyakan bukti yang ada ke atas suspek ini tidak dapat digunakan di mahkamah kerana factor-faktor keselamatan.

Beliau menegaskan bahawa penggunaan akta ini telah dicabar di Mahkamah dan 'House of Lords' pernah memutuskan bahawa penahanan suspek tanpa bicara adalah bertentangan dengan Akta Hak Asasi Manusia 1998.

Akta itu bersifat diskriminasi memandangkan ia membezakan tindakan ke atas warga asing dan warga UK sendiri, katanya.

Kerajaan UK telah memperkenalkan satu akta baru iaitu, 'Prevention of Terrorism Act 2005' bagi meremedikan masalah diskriminasi itu.

Jangan tiru USA-UK

"Sungguhpun langkah Najib memansuhkan ISA namun, pengumuman kerajaan untuk menggantikan ISA ini dengan dua model iaitu Patriot Act di USA dan Anti-Terrorism Act di UK adalah sangat tidak tepat," katanya.

Seharusnya kerajaan Umno-BN tidak meniru akta yang dilaksanakan di USA dan UK itu kerana ternyata keadaan di negara tersebut tidak sama dengan di Malaysia, katanya.

"Jika kerajaan ingin juga meniru kedua-dua akta tersebut seharusnya Kerajaan juga mesti memperkenalkan undang-undang yang boleh mengimbangi sifat arbitrari kedua-dua akta itu dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat,"katanya.

Sekiranya, prinsip hak asasi tidak diperkukuhkan maka tiada guna ISA itu dihapuskan dan digantikan dengan dua akta baru yang lebih menekan dan bersifat opresif, ibarat pepatah Melayu "Keluar mulut buaya, masuk mulut singa".

Beliau turut memaklumkan kerajaan kini telah membuat beberapa pindaan telahpun dibuat ke atas Kanun Kesiksaan dan beberapa akta lain berhubung dengan kesalahan berkaitan terorisme ini.

Juham berpandangan adalah wajar kerajaan mempelajari falsafah perundangan Islam yang tidak membenarkan kebebasan seseorang itu disekat melainkan dengan bukti yang nyata.


Jangan menzalimi kerana berbeza politik


Penahanan seseorang tanpa bicara adalah zalim dan telah terbukti semenjak beberapa dekad bahawa ISA telah digunakan untuk menahan tahanan semata-mata kerana perbezaan fahaman politik, katanya.

Penahanan atas dasar perbezaan politik adalah amat kejam dan melainkan terdapat unsur-unsur terorisme dalam perjuangan politik itu maka barulah tindakan penahanan dan pendakwaan patut dibuat, katanya.

Selagi penyebaran fahaman politik itu masih dalam batasan demokrasi, tidak seharusnya kerajaan berasa terancam. Semoga demokrasi terus subur di Malaysia, katanya.

'Jus Soli Versi Baharu' Umno vs 'Jus Soli versi British'

Posted: 19 Sep 2011 08:37 PM PDT

WAN NORDIN WAN YAACOB

Analisis

Jus Soli diterima sebagai antara syarat yang seharusnya di terima oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan rakan-rakannya sewaktu rundingan mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah British.

Dari segi sejarahnya, Malaysia atau dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu merupakan kawasan geografi yang majoriti penduduknya adalah kaum Melayu.

Kehadiran pemastautin bangsa lain bermula pada era penjajahan British ke atas Tanah Melayu pada lewat kurun ke-19 dan awal kurun-20.

Ketika itu British membawa masuk ramai tenaga buruh asing seperti rakyat China dan India kononnya menampung kekurangan pekerja dalam industri perlombongan bijih timah dan perladangan getah.


Sebelum British meninggalkan Tanah Melayu, ramai daripada buruh ini diberi pilihan sama ada untuk terus menetap di Malaya atau kembali ke negara asal mereka. Ramai yang memilih untuk tinggal di sini. Tidak kurang juga yang memilih untuk kembali.

Apabila Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, buruh imigran ini diterima sebagai warganegara Malaysia melalui konsep jus soli dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Bahagian III-Kewarganegaraan; 3.1 Bab 1-Pemberian Kewarganegaraan; Artikel 14-22).

Pemberian kewarganegaraan ini ditimbalkan dengan penerimaan balas beberapa syarat utama yang meliputi hal ehwal berkaitan perlindungan dan penjagaan status dan hak bangsa Melayu sebagai penduduk asal.


Aturan timbal balas atau quid pro quo penerimaan syarat-syarat ini dikenali sebagai 'kontrak sosial.' Kontrak inilah yang dijadikan asas kepada pembentukan Perlembagaan Malaysia dan penubuhannya sebagai sebuah negara.

Kontrak ini turut dipanjangkan kepada penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 yang membabitkan status dan hak kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.

Namun dalam membincangkan bagaimana Umno mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah, tidak boleh tidak ianya perlu juga meliputi strategi British pada ketika itu untuk terus menjadikan Tanah Melayu sebagai 'jajahan' secara tidak rasmi walaupun kemerdekaan diberikan.

Antara perkara besar yang dituntut British sebagai syarat menyerahkan kemerdekaan kepada Tanah Melayu ialah menerima konsep 'Jus Soli'.

Mengapa Jus Soli menjadi suatu perkara besar yang kini dianggap menjadi beban hari ini dalam melingkari hubungan antara kaum yang diheret Umno dalam tindak-tanduk sentimen perkauman?

British menjadikan jus soli sebagai galang ganti kepada usaha mereka menggali hasil mashul bumi Melayu terutama dalam sektor perladangan dan lombong bijih.

Cuma British menggunakan alasan kononnya tanah Melayu harus menerima dua kaum buruh terbesar yang dibawanya pada kurun ke-19 dan 20 untuk memajukan negara ini setelah mencapai kemerdekaan, walhal ianya suatu helah yang akhirnya Umno terpaksa mengalah.

Namun hari ini Umno menjadikan propaganda ultras-Melayu dengan mencanang perkauman kononnya hak Melayu tergadai kerana PAS berlembut dengan Cina dan India.

Kemenangan DAP (yang dikuasai kaum Cina) dan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dimomokkan oleh Umno dan NGO sekutunya kononnya negeri tersebut kini sudah tergadai kepada bangsa Cina hanya kerana Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri.

Bukankah Tan Sri Koh Tsu Koon yang sebelum ini menjadi Ketua Menteri itu juga adalah kaum Cina?Mengapa harus mempertikaikan kedudukan Guan Eng selaku Ketua Menteri, dan terus mencanang Pulau Pinang kini tergadai kepada Cina.

Berbalik kepada Jus Soli, ketika orang-orang Melayu mempertahankan hak ketuanan Melayu di negara ini sebelum merdeka dahulu, siapakah yang mendesak hak sama rata diberikan kepada orang bukan Melayu?

Bukankah Umno dahulu bermati-matian mahu orang bukan Melayu diterima kerakyatan mereka secara jus soli?

Dato' Onn Jaafar pernah meletakkan jawatan dalam Umno apabila ada ahli Umno menolak dasar jus soli ini dan akhirnya beliau keluar Umno apabila cadangannya untuk membuka keahlian Umno kepada orang bukan Melayu ditolak.

Kemudian, dalam 'National Convention' yang dipimpin oleh Umno pada 1954, cadangan PAS tentang kerakyatan dan hak mengundi untuk orang bukan Melayu telah ditolak kerana Umno mahu orang-orang bukan Melayu diterima sebagai rakyat negara ini.

Suasana politik pada masa itu dalam semangat kebangsaan telah membentuk kesedaran orang Melayu ke atas hak ketuanan mereka.

Parti-parti kiri berjuang terus supaya hak ini dibela, tetapi dinodai oleh Umno. Raja-raja Melayu sendiri tidak berpuas hati dengan pendekatan Umno ketika itu sehingga Umno bermasalah dengan beberapa istana.

Tetapi segalanya telah selesai apabila kita menerima orang bukan Melayu sebagai rakyat negara ini secara sah melalui Perlembagaan 1957.

Ini adalah kontrak sosial yang memberikan kedudukan sama taraf antara orang Melayu dan bukan Melayu, walaupun dalam hal tertentu orang Melayu diberikan hak keistimewaan.

Namun lebih dibimbangi hari ini, 'Jus Soli' versi baharu sedang mula diaplikasi Umno-BN untuk merakyatkan pendatang asing hanya untuk mempertahankan kuasa mereka pada pilihan raya umum akan datang.

Kad Pengenalan dam taraf kerakyatan ' mee segera' diberikan kepada pendatang dari Indonesia, Myammar dan Bangladesh serta Filiphina menjadi strategi 'jus soli versi baharu' untuk Umno terus berkuasa.

Tiada ulasan: