Khamis, 15 September 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Pemegang Saham SGM Meneruskan Mogok Lapar Jika Kerajaan Negeri Gagal Membayar Ganti Rugi

Posted: 15 Sep 2011 02:39 AM PDT

KUALA LUMPUR, 15 Sept - Sepuluh pemegang saham sebuah syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd meneruskan mogok lapar sebagai protes terhadap kegagalan Kerajaan Negeri Pahang membayar ganti rugi kepada mereka. Mereka bertekad akan meneruskan mogok lapar sehingga Menteri Besar Pahang, Dato' Seri DiRaja Adnan Yaakob (foto) melunaskan bayaran saman berjumlah RM70 juta. Seruan Gemilang memfailkan saman tersebut terhadap Kerajaan Negeri Pahang dan Pengarah Perhutanan Negeri pada Disember 2002 kerana didakwa melanggar perjanjian kontrak konsesi pembalakan berhubung pengeluaran kayu balak di atas tanah milik UMNO di Mukim Bebar, Daerah Pekan seluas 4,000 hektar. Seruan Gemilang menamakan Kerajaan Negeri Pahang sebagai defendan pertama dan Pengarah Perhutanan Negeri, defendan kedua. Salah seorang pemegang saham, Johnson Chong berkata, mereka terpaksa membuat tindakan nekad itu bagi menuntut keadilan dan hak mereka. "Kami tidak mementingkan jumlah saman ini tapi apa yang kami mahukan ialah keadilan kerana kami mengikut undang-undang dalam saman ini," kata beliau yang sudah bersedia menghadapi sebarang kesan daripada mogok tersebut. Seruan Gemilang ketika ini mengalami masalah yang kritikal dari segi kewangan untuk meneruskan operasi mereka manakala para pekerja sudah ramai yang berhenti akibat tidak mendapat gaji. Dalam pernyataan tuntutan, Seruan Gemilang mendakwa pada 31 Julai 2000, defendan kedua (Pengarah Perhutanan Negeri) memberi kelulusan kepadanya bagi mengeluarkan kayu balak dari mukim itu bagi kawasan seluas 3,200 hektar.

Mogok lapar terus diadakan mereka di hadapan sebuah tokong di Segambut

[Pada 13 Mei 2002, defendan kedua telah memberi kelulusan kepada Seruan Gemilang bagi mengeluarkan kayu balak dari baki kawasan seluas 800 hektar di tanah yang sama. Ini bermakna Seruan Gemilang telah diberi kelulusan untuk mengeluarkan kayu balak dari kawasan seluas 4,000 hektar. Bagaimanapun defendan kedua hanya membenarkan Seruan Gemilang mengeluarkan kayu balak dari kawasan seluas 2,800 hektar sahaja manakala baki selebihnya telah diberikan kepada beberapa pihak ketiga untuk mengeluarkan kayu balak dari tanah tersebut. Kedua-dua defendan dalam pernyataan pembelaan mereka menyatakan bahawa Seruan Gemilang hanya diberi lesen untuk menjalankan kerja pembalakan secara pemindahan bagi kawasan seluas 2,800 hektar sahaja manakala bagi baki 1,200 kektar itu pula, defendan mendapati Seruan Gemilang Makmur Sdn. Bhd tidak berminat untuk menjalankan kerja di kawasan itu].

Isu Felda: ANAK Lancarkan Kempen Secara Besar Besaran Tuntutan Mansuhkan Hutang Peneroka!

Posted: 15 Sep 2011 02:02 AM PDT

JERANTUT, 15 Sept - Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu akan melancarkan kempen besar-besaran Tuntutan Mansuhkan Hutang Peneroka Felda pada 7 Oktober depan di Felda Tenang, Johor. Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (ANAK), Mazlan Aliman (foto) berkata, kempen tersebut sebahagian usaha untuk menyelesaikan persoalan antara peneroka dan Felda yang tidak pernah selesai. "Para peneroka Felda yang sepatutnya hidup senang menurut idea dan perancangan Allahyarham Tun Razak selepas tanah ladang masing-masing menjadi hak milik, kini dihambat mimpi ngeri dibebani dengan hutang yang tidak pernah selesai. "Yang sedihnya peneroka sentiasa dipotong hutang melalui pendapatan hasil sedangkan Felda gagal mengeluarkan Penyata Kira-Kira Pendapatan dan Tanggungan Peneroka-Peneroka. "Hutang yang ditanggung peneroka pula bukan seribu dua tetapi menjangkau sehingga berpuluh-puluh ribu. Sebab itu bermula sahaja kempen itu kita akan desak perisytiharan hutang tak munasabah membabitkan kos tanam semula yang membelenggu peneroka," ucapnya pada satu majlis di Felda Kota Gelanggi 2, baru-baru ini. Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pusat berkata, untuk itu pihaknya akan melancarkan borang semakan untuk mengetahui jumlah sebenar hutang peneroka dan bukannya berdasarkan penyata dari Felda semata-mata. "Kita akan kumpul data-data yang diperolehi seterusnya berbincang dengan panel yang akan membuat semakan terperinci daripada jumlah wang sara hidup yang mereka terima dan gambaran sebenar berapa pendapatan yang mereka patut dapat. "Panel itu akan membuat imbangan di antara hutang yang dikenakan ke atas peneroka dan pendapatan yang sepatutnya diterima oleh mereka," tegas Mazlan Aliman lagi. sumber.


[Jelasnya lagi, selain masalah hutang peneroka turut tidak berpuas hati dengan Kadar Perahan Gred (KPG) yang diisytiharkan Felda jauh lebih rendah daripada kadar sebenar yang dibuktikan di banyak makmal. Katanya, akibatnya di Jengka sahaja seramai 1,040 peneroka tampil menyaman pihak Felda dan selepas raya ini dijangka beribu-ribu peneroka seluruh Pahang akan mengambil tindakan serupa. "Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu ketika memberi kemenangan kepada peneroka Felda Kemahang yang menyaman Felda atas isu KPG ini, berkata ada konspirasi antara Felda Kilang dengan pengurus rancangan," katanya. Mengenai borang Felda Plantation yang diagihkan oleh Anak sejak tiga bulan lalu, Mazlan berkata ia mendapat sambutan hebat kerana merupakan tawaran menarik dan bakal memberi impak ekonomi di kawasan Felda. Tambahnya, jika tanah rancangan tersebut dibukakan kepada umum 80,000 terutamanya anak peneroka akan mendapat manfaat dengan kewujudan 200 Felda baru].

Pengarah JAIS Tegaskan Tiada Lagi Ahli Politik Di Berikan Tauliah Berceramah Di Seluruh Selangor

Posted: 15 Sep 2011 01:25 AM PDT

SHAH ALAM 15 Sept - Ahli politik tidak lagi diberi tauliah untuk berceramah di semua 2,081 surau dan 380 masjid di seluruh Selangor, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Marzuki Hussin (foto). "Mana-mana ahli politik yang mempunyai tauliah sebelum ini tidak boleh memperbaharuinya sebaik ia tamat dan mereka tidak lagi dibenarkan memberikan ceramah di semua surau dan masjid di negeri ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata, larangan terhadap ahli politik itu adalah bagi mematuhi titah perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui surat pekeliling bertarikh 22 Jun lepas. Marzuki berkata, Sultan Selangor tidak berkenan untuk memberikan tauliah kepada semua ahli politik untuk berceramah di semua surau dan masjid di seluruh Selangor. Beliau berkata, mereka yang melanggar arahan itu (menyampai ceramah tanpa tauliah) boleh didakwa di bawah Enakmen Pentadbiran Jais, Seksyen 119 (1) yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Katanya, kini terdapat 2,601 penceramah agama yang bertauliah di Selangor. Awal bulan ini JAIS telah memanggil Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad bagi disiasat terhadap dakwaan bahawa beliau memberi tazkirah tanpa tauliah dengan perbicaraan berhubung perkara itu telah ditetapkan diadakan di Mahkamah Syariah Shah Alam 24 November depan. Khalid didakwa sampaikan kuliah agama tanpa permit pada 16 Ogos lalu dekat Surau Taman Seri Sementa di Kapar, Klang.

[Melihat kepada senario ini, kemungkinan perkara yang sama akan diikuti oleh negeri-negeri lain selepas ini. Tindakan menghalang ahli politik menyampaikan kuliah dan tazkirah agama merupakan satu penghinaan terhadap agama Islam sebenarnya. Bukankah dizaman Rasulullah SAW dulu, baginda selaku Ketua Negara (politik) turut menyampaikan tazkirah dan ceramah agama kepada penduduk Madinah. Maka kenapa kini mahu dihalang. Bukankah ia membuktikan ketakutan pihak tertentu terhadap agama Allah. Melihat kepada latar belakang Pengarah JAIS maka wajarlah dia ambil tindakan itu. Ini kerana dia bukan dari golongan agama untuk diangkat ke jawatan sepenting itu sebenarnya. Apabila orang yang bukan ahli menjaga agama, sememangnya tindakan seperti ini dilakukan. Samalah juga dengan Pengarah Jabatan Agama di negeri lain termasuk Pahang ini. Orang yang bukan arif hal-hal agama dilantik, akibatnya agama tidak dijaga tetapi kepentingan politik pihak tertentu yang lebih dipelihara mereka].

Warta Pahang: Kehadiran 'Mantan PM' Mahathir Ke UMP Petang Ini Pasti Dapat Sambutan Hangat

Posted: 14 Sep 2011 04:50 PM PDT

KUANTAN, 15 Sept - Mantan Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad (foto) dijangka berada di Komplek Sukan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Gambang pada jam 2.00 petang ini. Beliau dipercayai akan memberikan syarahan umum yang tertemakan "Cabaran Masa Depan Dari Kaca Mata Dr.Mahatir". Kehadiran beliau pasti akan mendapat sambutan hangat daripada pada warga Kuantan dan sekitarnya, tambahan pula beliau kini sedang kontroversi dengan isu sejarah kemerdekaan negara. Baru-baru ini, Mahathir sependapat dengan Profesor Zainal Kling dari Majlis Profesor Negara (MPN) yang mengatakan bahawa Malaysia tidak pernah dijajah oleh British tetapi menegaskan, penasihat-penasihat mereka telah bertindak seolah-olah pihak itu adalah pemerintah yang sebenar berbanding Raja-raja Melayu. Bekas perdana menteri berkata British telah bertindak seolah-olah "kita dijajah". Sultan-sultan telah memutuskan untuk mengundang British datang dan menasihati mereka bagaimana untuk mentadbir negara ini. Kenyataan beliau itu jelas sekali mengundangkan kontoversi buat rakyat Malaysia kerana beliau seolah-olah "mudah lupa" ke atas apa yang telah berlaku kepada negara kita.

[Justeru itu orang ramai adalah dijemput hadir bagi memeriahkan program ini nanti. Apa yang pasti banyak maklumat berguna dapat diperolehi dari hasil perbincangan ilmiah itu nanti. Soalnya, apakah kenyataan Mahathir itu dapat diterima atau bakal menjadi bahan ketawa. Tambahn pula beliau kini dilihat semakin "merapu" dalam mengeluarkan kenyataan mutakhir ini. Terbaru beliau mengatakan tarikh pilihan raya umum (PRU) adalah hak mutlak kerajaan yang memerintah yang tidak perlu dikongsi bersama pakatan pembangkang. Beliau juga berkata, di mana-mana negara pun sememangnya tidak ada perbincangan berkenaan tarikh PRU antara kerajaan yang memerintah dengan parti-parti pembangkang. Persoalannya, memang ia tidak dibincangkan tetapi ia dimaklumkan lebih awal supaya masing-masing boleh membuat persediaan. Lihat apa yang berlaku di negara jiran seperti Singapura, Thailand, Indonesia malaha di Amerika, Israel serta negara-negara bukan Islam dan demokrasi sekali pun akan mewar-warkan tarikh itu lebih awal. Tapi anehnya di negara Islam dan demokrasi seperti Malaysia Mahathir kata ia hak mutlak kerajaan. Bukankah ini menunjukkan negara kita lebih teruk dari negara lain di seluruh dunia. Apakah ini namanya demokrasi?].

Mat Sabu Akui Dia Tidak Tahu Tentang Video Seks Dan Yakin Musuh Kini Makin Agreasif Menyerang

Posted: 14 Sep 2011 12:00 PM PDT

KUALA LUMPUR, 15 Sept - Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata beliau tidak tahu menahu berhubung rakaman perbualan intim yang dimuat di internet dan diperkatakan di blog dan laman web pro-Umno yang mendakwa melibatkannya dan seorang wanita. "Saya tidak tahu. Saya tidak pernah dengar," katanya ringkas sambil tersenyum ketika diminta mengulas dakwaan terdapat rakaman antaranya dan wanita yang dikatakan Normah Abdul Halim. Ditanya sama ada beliau mengenali wanita tersebut, Mohamad (kiri) hanya menjawab beliau tidak beminat melihat rakaman sebegitu. "Video (seks presiden MCA) Soi Lek pun saya tidak tengok. "Saya video-video macam ini memang tidak pernah suka," katanya. Persoalannya sekarang apakah apa yang berlaku kepada Mat Sabu ini satu fitnah yang sengaja direka setelah "pihak musuh" tidak terdaya menahan asakan beliau dalam isu "Pejuang Mat Indera"nya?.



[Gara-gara keberanian Mat Sabu mempertahankan isu Mat Indera, Komunis, Bukit Kepong dan Sejarah Kemerdekaan Negara maka akhirnya beliau bakal dijadikan mangsa skandal sama seperti apa yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini. Persoalannya, kenapakah rakaman suara seperti itu boleh dilakukan oleh pihak terbabit?. Mana mungkin rakaman yang sama seperti yang berlaku kepada Anwar dulu, kini berulang kembali terhadap Mat Sabu. Banyak kemuskilan yang belum terjawab dengan pendedahan terbaru ini. Namun, ramai yang berjaya semua ini adalah satu amaran buat beliau agar tidak menjadi juara untuk mengembalikan fakta sejarah yang telah terbuang dan dipinggirkan selama ini. Mat Sabu bakal berhadapan dengan tindakan yang lebih teruk selepas ini terutamanya disaat menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-13 ini nanti].

Aziz Bari: Lima Syarat PR Relevan, Kerajaan Tidak Ada Sebab Menolak "Demi Keadilan" Pilihanraya !

Posted: 14 Sep 2011 10:11 AM PDT

SHAH ALAM 15 Sept - Lima syarat yang diletakkan Pakatan Rakyat (PR) untuk turut serta dalam Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) demi membawa pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara harus disambut baik oleh kerajaan demi keadilan sistem pilihan raya itu sendiri dan kebaikan bersama. Menurut pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari (foto), syarat atau permintaan yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat itu tidak menyalahi undang-undang malah memenuhi tuntutan rakyat. "Mengapa tidak...dan apa salahnya kerana pilihan raya adalah satu proses dan permintaan yang munasabah kerana pilihan raya mesti adil dan saya rasa tidak melanggar pun undang-undang. "Malah saya rasakan dari segi perspektif keadilan.. ia adalah satu perkara yang saya rasa tidak akan menimbulkan masalah kerana negara-negara lain pun sebenarnya sudah ada yang berbincang menetapkan tarikh pilihan raya secara bersama," katanya semalam. Pakatan Rakyat menetapkan lima syarat untuk menyertai PSC, antaranya ialah penetapan tarikh pilihan raya umum akan datang mestilah dengan persetujan bersama di antara Pakatan Rakyat dan BN. Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub, sekiranya syarat itu diterima, maka ia menjadi sejarah apabila tarikh pilihan raya umum dipersetujui bersama untuk mengelakkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak. Sementara itu, menurut Aziz Bari, Barisan Nasional yang juga pemerintah pada hari ini mempunyai kelebihan dalam mengetahui tarikh pilihan raya memandangkan Perdana Menteri yang akan memutuskan bilakah tarikh parlimen akan dibubarkan. sumber


[Apa yang pasti, dek kerana relevan itulah yang menyebabkan UMNO BN akan terus menolaknya. Ini kerana mereka tahu, jika pilihanraya dibuat secara adil dan saksama maka sudah lama mereka gulung tikar dan kerajaan sudah pun bertukar. Lantaran itulah, mereka pasti akan memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus mengekalkan sistem yang ada sekarang. Alasan yang diberikan kononnya sistem sedia ada sudah menjadi antara yang terbaik di dunia. Rakyat dipaksa percaya dengan pembohongan itu, sedangkan mereka jadi saksi atas segala penipuan serta penyelewengan semasa pilihanraya oleh UMNO BN itu sejak sekian lama].

Tiada ulasan: