Pahang Daily Online |
- Isu Mat Indera: PAS Mencadangkan, Debat Antara Mat Sabu Dan Muhyiddin Yassin Di Siarkan Secara Langsung (Live) Dari Stadium Melawati Shah Alam
- Panas: Majlis Perbandaran Kuantan Di Gesa Lebih Bertimbang Rasa Kuat Kuasakan Undang-Undang Saman Parking Di Kawasan 'Jalan Bank' Kuantan !
- Rakyat "Terus Bantah" Tindakan Perkenalkan 6% Cukai "Perkhidmatan" Pembelian Nilai Prabayar !
Posted: 09 Sep 2011 12:14 AM PDT SHAH ALAM 9 Sept - Susulan gesaan beberapa pihak agar debat antara Timbalan Presidennya Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu Mat Indera dan pejuang kemerdekaan diadakan, PAS hari ini mahu ia dibuat di stadium serta disiarkan secara langsung di televisyen. Ketua Penerangan PAS Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (foto) dalam satu kenyataan berkata, "demi keadilan" kepada semua, debat itu dicadangkan disiarkan di RTM atau televisyen swasta dan diadakan di Stadium Melawati Shah Alam. "Bagaimanapun pihak PAS bersetuju sekiranya pihak YAB Tan Sri Muhyiddin mencadangkan tempat lain yang lebih sesuai dan boleh dihadiri oleh sebahagian rakyat di negara ini," katanya. PAS sebelum ini mengutarakan cadangan itu selepas Mohamad diserang hebat bermula 27 Ogos apabila dilaporkan berkata Mat Indera dan penyerang balai polis Bukit Kepong wira sebenar dan bukannya "polis British". Muhyiddin setakat ini belum menyatakan sama ada beliau bersetuju atau menolak cabaran itu. Dalam pada itu, Tuan Ibrahim mengulangi keperluan debat itu menjadi kenyataan kerana ia penting merungkai polemik hangat dan menjawab semua persoalan berbangkit. "Debat ini diharap dapat membuka minda rakyat secara terbuka untuk rakyat menilai sendiri ketepatan hujah yang dikemukakan nanti, dan diharap isu ini tidak menjadi polemik yang berpanjangan," katanya. Tuan Ibrahim berkata, PAS juga bersedia menerima mana-mana NGO, persatuan akademik atau institusi pengajian tinggi yang bersedia bekerjasama menjayakan cadangan itu. "Pihak PAS mohon pertimbangan wajar daripada pihak Tan Sri Muhyiddin agar menyahut cabaran dan cadangan ini demi kebaikan kepada semua pihak," tambahnya. [Soalnya sekarang, apakah benar Muhyiddin Yassin berani untuk berdebat secara "anak jantan" dengan Mat Sabu dalam isu panas ini agaknya. Masih kita ingat, bilamana debat Anwar yang sepatutnya dengan Perdana Menteri tiba-tiba Shabery Chik yang dihantar. Akhirnya berbuih-buih mulut si Shabery mempertahankan "benang yang basah". Apakah senario yang sama boleh berlaku kali ini. Sewajarnya Muhyiddin selaku pemimpin nombor dua dalam UMNO berani untuk menyahut cabaran berdebat dengan pemimpin nombor dua PAS itu. Bukan Khairy Jamaluddin yang dipaksa menjadi "ayam sabung" untuk disembelih oleh Mat Sabu. Beliau hanya layak untuk berdebat dengan Ketua Pemuda PAS, iaitu Ustaz Nasharuddin Hassan Tantawi. Itu pun jika dia berani. Tapi, seperti biasa mereka yang akhirnya memberikan berbagai alasan untuk mengelakkan semua ini berlaku. Peliknya, dalam masa yang sama menuduh orang lain pula pengecut. Bukankah ini sesuatu yang tersangat melucukan sebenarnya]. |
Posted: 08 Sep 2011 04:08 PM PDT KUANTAN, 9 Sept - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) digesa supaya lebih bertimbangrasa terhadap mana-mana kenderaan awam yang diletakkan di Jalan Bank dekat sini. Ini kerana kawasan tersebut merupakan lokasi tumpuan dan tidak mempunyai tempat letak kereta yang mencukupi untuk kemudahan orang ramai. Tindakan Penguatkuasa MPK mengeluarkan saman terhadap kenderaan kenderaan dikawasan terbabit amatlah mendukacitakan sebenarnya. Tambahan pula bagi kenderaan yang jelas tidak menghalang lalu lintas dan diletakkan secara teratur di kawasan itu. Amat malang bila mana, penguatkuasa MPK sewenang-wenangnya menggunakan kuasa yang ada untuk menyaman kenderaan yang berada di situ tanpa mengambilkira situasi semasa. "Bayangkan, saya hanya masuk sekejap saja dalam bank untuk berurusan tiba-tiba bila keluar saja saman sudah dilekatkan pada kenderaan saya. Bukan saya tidak mahu meletakkan kereta di petak yang betul, masalahnya di kawasan ini kemudahan tersebut tidak mencukupi. Makanya saya duduk didalam kereta yang diletakkan diruangan bersebalah petak parkir berkenaan dengan harapan supaya tidak disaman. Seketika kemudian saya masuk sekejap ke dalam sebuah bank untuk mengambil wang dan terus berlari ke arah kenderaan saya. Namun, sungguh mengecewakan bila mana tidak sampai pun lima minit saya kembali, kelihatan penguatkuasa MPK sedang keluarkan notis saman parking". Jalan Bank jadi tumpuan orang ramai kerana ia dipenuhi dengan deretan institusi kewangan seperti HSBC, CIMB Bank, BSN dan juga Maybank "Saya merayu dan mengatakan kawasan itu kekurangan parkir, makanya saya terpaksa letak seketika disitu sambil menunggu dalam kenderaan sebelum mengambil wang. Saya juga merayu agar diberi pertimbangan berdasarkan situasi lokasi tersebut", kata seorang kakitangan Kerajaan Negeri Pahang yang menghubungi kami. Beliau turut mengeaskan, sikap sombong peguatkuasa berkenaan amatlah dikesali dan akhirnya beliau terpaksa menjelaskan saman sebanyak RM20 atas urusan selama lima minit sahaja. Bukankah ia tersangatlah tidak adil dan cukup membebankan sebenarnya. Penguat Kuasa MPK Perlu Lebih Bertimbang Rasa Pihak MPK sewajarnya lebih bertimbang rasa kepada orang ramai dalam urusan saman menyaman ini sebenarnya. Mereka tidak boleh mengarahkan pegawai mereka sewenangnya mengeluarkan saman jika mana-mana kenderaan itu tidak menghalang lalu lintas atau diletakkan pada lokasi yang bersesuaian. Malah, tindakan MPK menggunakan kupon letak kereta bergores seperti sekarang juga jelas sekali satu langkah yang cukup membebankan orang ramai. Jika dulu, jika mereka berurusan untuk tempoh beberapa jam maka hanya resit berwarna kuning akan diletakkan pada kenderaan berdasarkan kepada jam tertentu. Tetapi sekarang, keadaannya berbeza bila kupon gores digunakan. Mereka terpaksa membayar harga satu jam biar pun hanya berurusan sekitar dua atau tiga minit sahaja. Malah, jika mereka terlewat untuk menukarkan kupon tersebut maka saman akan terus dikenakan biarpun hanya beberapa minit sahaja kelewatan tersebut. Ini sesuatu yang tidak adil kepada rakyat. Secara logiknya, tidak ada mana-mana pihak akan terus letakkan beberapa keping kupon untuk urusan yang mereka lakukan. Makanya, hanya sekeping dua yang diletakkan. Mereka tidak tahu berapa lama urusan tersebut boleh selesai. Masakan jika terlewat setiap jam mereka harus berlari ke kenderaan masing-masing untuk menukarkan kupon gores tersebut, Bayangkan jika cuaca tidak mengizinkan seperti hujan dan sebagainya. Di sinilah, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) membuat duit secara mudah sebenarnya. Mereka menjana kewangan dengan hanya mengenakan saman kepada kenderaan terbabit. Amatlah tidak adil bagi orang ramai terutamanya bagi mereka yang datang dari luar Kuantan dan tidak mempunyai kupon gores. Ini amat membebankan serta cukup menguntungkan pihak berkenaan semata-mata. [Paling mengejutkan, bilamana pihak MPK telah berpesta saman pada malam menjelangnya Hari Raya Aidil Fitri baru-baru ini. Begitu ramai Pegawai Peguatkuasa telah dikerahkan menyaman mana-mana kenderaan yang diletakkan berhampiran Terminal Bas Kuantan (Terminal Makmur) semata-mata ketika mereka berurusan di kawasan Karnival Jualan yang terletak di situ. Bayangkan, malam raya pun MPK bertindak menyaman kenderaan. Bukankah ini amat zalim dan tidak berperikemanusiaan sebenarnya. MPK gagal membezakan hari biasa dengan hari peristiwa. Lantaran itulah kita tidak hairan mereka juga berpesta saman pada hari persitiwa terutamanya ketika Karnival Jom Heboh TV3 berlangsung di bandar ini. Dengan lagak sombong dan tidak mempunyai timbangrasa Penguatkuasa MPK menyaman mana-mana kenderaan yang diletakkan diluar petak parkir yang disediakan. Sudahlah mereka mendapat untung daripada sewaan tapak dan permit berkenaan, mereka bebankan pula orang ramai dengan tindakan saman. Justeru itu, Kerajaan Negeri Pahang digesa memantau perkara ini kerana terdapat maklumat pihak MPK memaksa pegawai Penguatkuasa mereka mencapai sesuatu target untuk mendapatkan seberapa banyak saman setiap hari. Secara tidak langsung, ia menggalakkan pegawai terbabit menjadi begitu angkuh dan sombong apabila membuat tindakan. Ini semata-mata kerana mereka mahu mencapai target tertentu. Kami akan mendedahkan isu ini jika senario tersebut tidak berubah. MPK tidak perlu berseronok membawa kakitangan mereka melancong ke sana ke mari dengan rintihan rakyat Kuantan. Jika ini terus berlaku nama Kerajaan Negeri Pahang sendiri bakal dipersalahkan]. |
Rakyat "Terus Bantah" Tindakan Perkenalkan 6% Cukai "Perkhidmatan" Pembelian Nilai Prabayar ! Posted: 08 Sep 2011 11:07 AM PDT KUALA LUMPUR 9 Sept - Persatuan-persatuan pengguna, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar senada membantah pengenalan enam peratus cukai perkhidmatan bagi pembelian tambah nilai prabayar bagi semua syarikat telekomunikasi. Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma'amor Osman (foto) berkata, cukai itu dilihat membebankan pengguna apatah lagi caj panggilan yang dikenakan ketika ini sudah mahal. "Keputusan itu tidak masuk akal dan kami membantah perlaksanaanya. Selama ini, jika kita membuat panggilan dan tidak berjawab, ia tetap dikenakan caj, inikan pula hendak perkenalkan cukai perkhidmatan. "Oleh itu, saya menyeru agar kerajaan membuat keputusan teliti dan jangan sewenang-wenangnya meluluskan permintaan syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut," katanya. Beliau mengulas kenyataan bersama yang dikeluarkan syarikat-syarikat telekomunikasi berhubung pengenalan cukai enam peratus itu termasuk pek atau kad SIM prabayar yang berkuatkuasa 15 September ini. Mengulas lanjut, Maamor berkata, selama ini syarikat-syarikat telekomunikasi di negara kita ini sentiasa mencatatkan keuntungan yang tinggi. Sepatutnya syarikat telekomunikasi yang dibebankan, bukannya rakyat [Tindakan kerajaan ini jelas sekali membelakangkan kepentingan rakyat sebenarnya. Bayangkang disaat syarikat telekomunikasi kini mengaut keuntungan lumayan tiba-tiba rakyat dibebankan dengan cukai sedemikian. Sepatutnya cukai dikenakan kepada syarikat terbabit dan tidak harus diletakkan atas bahu rakyat. Apa yang pasti, majoriti rakyat terutamanya generasi muda akan memprotes secara besar-besaran senario yang berlaku ini. Malah, sudah pasti jika kerajaan gagal bertindak mereka akan pastikan undi tidak untuk BN pada Pilihanraya Umum akan datang. Kerajaan harus berhati-hati dalam tindakan yang boleh menghilangkan kepercayaan rakyat seperti ini jika mahu terus mendapat sokongan. Jika tersilap langkah, mereka pasti menjadi korban kepada kesilapan sendiri]. |
You are subscribed to email updates from Pahang Daily Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan