Ahad, 4 September 2011

labun KulupSakah...

labun KulupSakah...


BARUa

Posted: 03 Sep 2011 11:06 AM PDT

Ini kampung kita. Kampung kau dan aku. Kampung Damai namanya dan panoramanya memang mendamaikan. Tanahnya subur tumbuhan menghijau, kekayaan hasil buminya melimpah. Di sinilah kita hidup bersama, kau dan aku bekerja di kampung ini.
Suatu hari kedamaiannya diragut. Sekumpulan manusia rakus yang menggelarkan diri mereka Geng Asap telah menceroboh dan menjadi tuan di tempat ini. Kita tiba-tiba diperas. Hasil kerja kita dicukai, kita dipaksa mengikut arahan mereka. Mereka kuat dan sangat berkuasa.
Tapi kau melawan. Kau bangun memberontak. Mengumpul teman-teman sekampung menentang penindasan ini. Penceroboh yang memeras dan merampas ini ingin kau usir dan kedamaian kampung ini mahu kau kembalikan seperti dulu. Menurutmu, orang lain tak berhak mencampuri urusan kampung tercinta kita. Kita mesti berjuang katamu.
Aku memilih jalan selamat. Cukuplah sekadar boleh hidup. Aku tak mahu susah. Gerakanmu menggugat kedudukan Geng Asap dan ternyata mereka risau. Geng Asap menghebahkan seluruh kampung yang kumpulan kau berbahaya, mengancam sesiapa saja. Kumpulan kau dianggap pengganas yang akan mengancam keselamatan siapa saja. Geng Asap mengajak penduduk kampung bersatu memerangi kau. Mereka menawarkan bayaran upah yang baik untuk penduduk kampung bekerja dengan mereka, menjadi tentera mengawal keselamatan mereka agar tidak digugat kamu.
Aku menyertai tentera Geng Asap untuk mencari nafkah. Aku tidak mahu kampung kita kacau bilau. Kedamaian mesti dipelihara dari sebarang gangguan termasuk dari kumpulan kamu. Aku membantu Geng Asap memelihara keamanan ini.
Geng Asap memerintahkan aku dan kawan setugasku memburu kau dan kawan-kawanmu yang mengganas. Aku menangkap beberapa kerat kawan kita yang kami syaki memberikan bantuan kepada kau.
Kau marah. Tak sangka kita bertemu di sini dan kau meminta aku membebaskan kawan-kawanmu. Aku enggan kerana aku sedang menjalankan tugas yang diamanahkan kepadaku. Kau memberi amaran akan menyerang aku dan menghapuskan Geng Asap dari kampung kita.
Dan kita berperang. Akhirnya dengan bantuan kawanmu yang kami bayar untuk menangkapmu, kau terkorban. Kumpulanmu juga kami berkas dan bunuh. Tiada lagi gangguan dari kamu.
Geng Asap akhirnya setuju meninggalkan kampung kita dan menyerahkan pemerintahan ini kepada aku setelah aku bersetuju akan tetap menjalankan pemerintahan mengikut apa yang mereka telah gariskan.
Akhirnya kampung ini merdeka dan aku terus memelihara kedamaian ini mengikut acuan mereka. Inilah kejayaan yang bijak. Tanpa sebarang keganasan seperti yang cuba kau anjurkan.
Kamilah wira. Bukan kamu. Kamu pengganas.

Selamat hari kemerdekaan!


Tiada ulasan: