Ahad, 25 September 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Terbongkar: Lynas Bina Logi Di Malaysia Kerana Kosnya Murah, Kerajaannya Bagus!

Posted: 25 Sep 2011 01:00 AM PDT

Nadir bumi: M'sia ada kelebihan berbanding China - Lynas

Malaysia mempunyai kelebihan dalam menarik aktiviti hiliran di dalam industri nadir bumi berbanding dengan China kerana ia mempunyai sistem perundangan dan harta intelek yang sangat baik, kata Naib Presiden Eksekutif Strategi dan Komunikasi Korporat Lynas Corporation Ltd Dr Matthew James.

Pada masa yang sama, kelebihan kos di segi kos buruh, tenaga dan kimia yang pernah disediakan China tidak lagi terpakai dan Malaysia dilihat sebagai lokasi yang sangat kompetitif berikutan kenaikan kos yang tinggi yang berlaku di China sejak sedekad lepas, katanya.

"Itulah yang dilakukan oleh kuota eksport China (mengenai nadir bumi) yang digalak (digunakan) di China. Mereka cuba menggalakkan industri hiliran berkenaan barpindah ke China dengan menghadkan akses terhadap nadir bumi.

"Terdapat banyak negara yang enggan memindahkan industri masing-masing ke China kerana mereka prihatin mengenai perlindungan harta intelek. Syarikat berkenaan lebih condong memindahkan industri masing-masing ke Malaysia," katanya kepada Bernama di ibu pejabat Lynas di Sydney, Australia.

China, yang mengeluarkan lebih 90 peratus daripada nadir bumi dunia dilaporkan telah mengurangkan kuota eksport yang menghadkan bekalan global, dan sebaliknya menaikkan harganya.

Sementara itu, kilang pemprosesan nadir bumi Malaysia telah merangsang minat apabila Lynas telah menandatangani satu surat hasrat dengan bahagian Teknologi Pemacu Siemens pada Julai bagi pengeluaran magnet dan usahasama itu dijangka dizahirkan pada akhir tahun ini, katanya.

James berkata lima lokasi telah dipertimbangkan bagi pembinaan kilang pengeluaran usahasama itu dan tiga daripadanya adalah di Malaysia.

Katanya Lynas juga telah mengadakan perbincangan komersil dengan syarikat lain mengenai pembinaan operasi aplikasi hiliran seiringan dengan kilangnya di Gebeng.

"Apabila anda melihat sesetengah industri elektronik hiliran Malaysia yang telah sedia ada, seperti komponen automotif hiliran, anda boleh menjangka pelaburan (kilang nadir bumi Lynas) boleh diterima bagi melengkapkan rantaian nilai antara bahan mentah yang akan disediakan oleh Lynas dan industri berkenaan," katanya.

Sementara itu, Kilang Material Canggih Lynas (LAMP) di Gebeng, Kuantan, akan mempunyai kapasiti awal untuk memproses 11,000 tan metrik oksida nadir bumi (REO) setahun, dengan pengembangan kepada 22,000 tan metrik setahun.

Kilang itu, yang sudah siap lebih 60 peratus sehingga akhir Jun, akan mengeluarkan produk nadir bumi bersama-sama satu siri Produk Galian Sintetik.

Kilang bernilai RM700 juta itu dilaporkan bergelut dengan kontroversi, yang dicetus oleh dakwaan bahawa ia akan mengeluarkan radiasi yang memudaratkan kesihatan orang ramai yang membawa kepada lawatan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dari 29 Mei hingga 3 Jun.

Di dalam laporannya, IAEA mengesahkan bahawa kilang itu, sebaik siap lewat tahun ini, dijangka selamat dan mematuhi sepenuhnya dengan standard antarabangsa tetapi lesen praoperasinya masih bergantung kepada kelulusan pengawal atur. - Bernama

Ulasan GB

Terselindung dengan ayat yang berpusing-pusing tetapi ternyata, Malaysia dipilih sebagai lokasi untuk pembinaan kilang nadir bumi adalah lantaran kos buruh, tenaga dan kimia di Malaysia adalah rendah berbanding di negara lain.

Di dalam erti kata lain kos pembinaan logi nuklear di Malaysia adalah MURAH.

Apatah lagi dengan sikap kerajaan yang memudahkan usaha mereka di dalam projek berkenaan dengan kenyataan dari Naib Presiden Eksekutif Strategi dan Komunikasi Korporat Lynas Corporation Ltd Dr Matthew James bahawa kononnya Malaysia mempunyai sistem perundangan dan harta intelek yang sangat baik!

Dipujinya Malaysia melambung tinggi kerana sikap kerajaan yang dilihat "positif" terhadap projek berkenaan sekali satu dunia telah menolaknya.

Rendahnya tahap mentaliti pemimpin kerajaan Malaysia yang mudah diperbodohkan oleh syarikat berkenaan!

Kanak-kanak Maut Jatuh Dari Tingkat 5 Kuarters Polis Marang

Posted: 25 Sep 2011 12:30 AM PDT

Marang - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut selepas terjatuh dari tingkat lima kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini semalam.

Gambar: Bangunan kuarters IPD Marang tempat Ahmad Safuan terjatuh dari tingkat 5.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Supritendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, mangsa, Ahmad Safuan Syafik Afandi yang mengalami sindrom down dan hiperaktif dipercayai terjatuh kira-kira pukul 7.45 pagi.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas tangan dan kaki kirinya patah dan mengalami kecederaan parah di kepala.

"Sebelum kejadian, ada seorang anggota polis terserempak dengan mangsa di tingkat enam di kuarters berkenaan dan bertanya kepada mangsa, dia hendak ke mana, tetapi mangsa terus berlari ke tingkat bawah," katanya kepada pemberita. -kosmo

Budak maut jatuh 6 tingkat

MARANG: "Walaupun masih terkejut dengan apa yang berlaku, saya reda dengan pemergian arwah," kata Koperal Shafik Afandi Ahmad, 44, bapa kepada seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima kuarters kediaman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, semalam.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi, Ahmad Safuan Shafik Afandi (gambar) dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebelum ditemui anggota polis wanita, Koperal Marina Jaafar, 37, yang dalam perjalanan menghantar anaknya ke rumah pengasuh yang tinggal di blok sama dengan mangsa.

Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di belakang kepala, patah tangan dan kaki kiri sebelum jenazahnya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HNSZ), Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut.

Jelas Shafik Afandi yang bertugas di Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam IPD Marang, kejadian dipercayai berlaku jam 7.50 pagi selepas arwah kali terakhir dilihat berada di lif tingkat enam sebelum turun melalui tangga ke tingkat lima, 10 minit sebelum ditemui jatuh di tingkat bawah kuarters.

"Saya tidak pasti bagaimana kejadian berlaku. Ketika kejadian, isteri, Roslina Mohd Yusof, 44, memasak manakala tiga anak lain menonton televisyen sebelum isteri dikejutkan dengan kejadian yang menimpa arwah," katanya ketika ditemui di Surau An Nur, IPD Marang, di sini, semalam.

Ketika ditanya sikap arwah di rumah, Shafik Afandi berkata, arwah tidak menunjukkan sikap pelik selain manja dan rapat dengan keluarga.

"Walaupun arwah anak istimewa yang menghidap Sindrom Down dan hyperaktif, dia tidak menyusahkan dan faham jika kita menyuruh dia melakukan sesuatu.

"Ketiadaannya pasti memberikan kesan mendalam terhadap kami sekeluarga," katanya yang tiga tahun menetap di tingkat lapan kuarters berkenaan.

Sementara itu, Marina berkata, dia menyedari kejadian itu ketika mendukung anaknya berusia tiga tahun untuk dihantar ke rumah pengasuh yang tinggal di blok sama dengan mangsa.

"Ketika itu saya terdengar bunyi kuat dan menyangka ia sampah yang dibuang memandangkan tidak mendengar bunyi jeritan.

"Sebaik menjenguk ke dalam longkang, saya tergamam melihat seorang kanak-kanak berlumuran darah sebelum memaklumkan kejadian itu kepada seorang rakan berhampiran yang kebetulan menghidupkan enjin motosikal.

"Saya tidak pasti mangsa masih bernyawa atau tidak, cuma matanya ketika itu tertutup sebelum orang ramai mengangkat mangsa ke atas kerusi berhampiran," katanya yang bertugas di Balai Polis Marang.

Ketua Polis Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa ditemui di tingkat enam jam 7.40 pagi dan mungkin jatuh sama ada dari tingkat enam, lima atau empat yang mana siasatan lanjut mengenai kejadian ini akan dijalankan bagi mengetahui punca kejadian," katanya. -hm



Satelit AS Jatuh Ke Bumi, Rakyat Malaysia Diminta Waspada

Posted: 24 Sep 2011 10:26 PM PDT

Satelit AS jatuh ke bumi

WASHINGTON - Sebuah satelit tamat tempoh seberat enam metrik tan milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berkecai semasa memasuki atmosfera bumi pagi semalam dengan serpihan-serpihannya jatuh bertaburan di rantau Lautan Pasifik.

GAMBAR UARS yang sempat dirakamkan di ruang udara Belanda pada 18 Jun 2010.

Pusat Operasi Bersama Angkasa Lepas AS dan NASA dalam satu kenyataan memberitahu, serpihan-serpihan satelit sebesar sebuah bas itu tidak semestinya menjunam ke dalam laut tetapi mengesahkan ia jatuh dalam kawasan seluas 800 kilometer persegi di rantau Pasifik.

Setakat berita ini ditulis, pihak berkuasa belum ada mengenal pasti lokasi yang tepat tempat serpihan-serpihan tersebut jatuh.

GAMBAR satelit UARS yang dikeluarkan oleh NASA selepas ia jatuh ke bumi kelmarin. - AFP

Menurut kedua-dua agensi AS itu, satelit sepanjang 11 meter itu jatuh antara pukul 1.23 petang (5.09 petang semalam waktu Malaysia).

Semasa menembusi atmosfera bumi, ia berkecai kepada lebih 100 kepingan tetapi cuma sekitar 26 kepingan logam berat dengan serpihan terbesar seberat 135 kilogram dijangka menjunam ke bumi.

NASA meramalkan kelajuan serpihan satelit itu apabila memasuki ruang udara ialah kira-kira 109 meter sesaat.

NASA sebelum ini meramalkan satelit yang dikenali sebagai Satelit Penyelidikan Atmosfera Amerika Syarikat (UARS) itu jatuh ke bumi seawal Khamis lalu. -kosmo

Orangramai Diingatkan Jangan Sentuh Objek Luarbiasa

KUALA LUMPUR: Agensi Angkasa Negara hari ini menasihatkan orang ramai agar tidak menyentuh, mengambil atau menyimpan objek luar biasa yang ditemui kerana berkemungkinan ia serpihan satelit milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Sebaliknya, agensi itu dalam satu kenyataan di sini meminta agar penemuan berkenaan dimaklumkan kepada mereka bagi tindakan lanjut.

Laporan NASA yang dipetik collectSPACE.com menyatakan satelit seberat enam tan yang dilancar pada 1991 itu jatuh ke bumi antara lewat Jumaat dan awal Sabtu.

Satelit itu dilapor memasuki atmosfera bumi dan jatuh melepasi Lautan Pasifik dengan waktu dan lokasi sebenar belum diketahui dengan tepat. - BERNAMA


Pak Lah Turut Selar Tindakan SKMM Sekat Klip Undilah

Posted: 24 Sep 2011 09:22 PM PDT

Pak Lah: Tiada sebab SKMM wajar sekat klip Undilah

KUALA LUMPUR, 24 Sept — Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan tiada sebab bagi pengawal selia stesen penyiaran menghalang penyiaran klip video Undilah kerana pengumuman khidmat awam seumpama itu ke udara demi kepentingan umum sejak pilihan raya umum pertama.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengarahkan agar stesen penyiaran lokal tidak lagi menyiarkan klip video itu, yang dilancarkan sempena Hari Malaysia minggu lalu. Arahan itu difahamkan dikeluarkan oleh SKMM awal minggu ini.

"Saya merasakan ia (klip video) baik. Saya seronok mendengar (klip video itu)," kata bekas perdana menteri (gambar) ini.

"Saya mendapati lagu ini bukan (memihak) mana-mana kumpulan atau parti, liriknya menggalakkan, merangsang orang ramai tentang kepentingan pilihan raya," kata beliau pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di sini hari ini, dengan merujuk kepada klip Marilah Mengundi yang lazimnya akan dimainkan ketika pilihan raya.

"Saya tidak melihat apa-apa sebab mengapa SKMM wajar ambil tindakan ini," katanya.

Dalam satu kenyataan awal hari ini, SKMM berkata klip video Undillah belum mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk siaran, dan oleh itu, ia tidak sepatutnya disiarkan menerusi televisyen sehingga ia telah mendapat kelulusan.

Agensi itu berkata, hasil pemantauan pematuhan secara rutin dibuat menunjukkan pengumuman khidmat awam yang dihasilkan oleh pemuzik Pete Teo belum mendapat kelulusan LPF.

SKMM menambah, di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, semua penyiar mesti menghentikan penyiaran klip video berkenaan.

Banyak pihak termasuk mereka yang menjayakan penerbitan klip itu mengkritik tindakan SKMM yang melarang stesen penyiaran lokal daripada menyiarkan bahan itu.

Selain Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dari Umno turut menjayakan klip itu ialah Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin.

Personaliti lain termasuklah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pelakon Afdlin Shauki dan penulis lirik kontroversial Namewee merupakan antara individu terpilih untuk mendendangkan lagu Undilah ciptaan komposer Pete Teo.

Video klip berdurasi 4.38 minit itu turut menampilkan 40 personaliti termasuk ahli politik Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, Abdullah yang melepaskan jawatan perdana menteri April 2009 bertanya sama ada lesen atau kelulusan diperlukan untuk menyiarkan klip pengumuman khidmat awam. -TMI

Ulasan GB

GB sudah mengulas hal ini semalam di SINI. Petikan:

Jawapan yang cukup kartun dari SKMM.

Apakah di dalam video klip itu ada ajakan kepada permusuhan dan pertentangan ras, atau ada adegan bogel dan seks sepertimana video seks yang sebelum ini disiarkan secara meluas di dalam berita-berita televisyen?

Hanya sekadar untuk memberikan alasan menegakkan benang yang basah semata-mata kerana klip video itu memaparkan beberapa wajah ddan ucapan beberapa pemimpin yang tidak disenangi oleh UMNO BN. Jika boleh klip video yang perlu ditayang di TV hanya perlu ada muka-muka Najib, Muhyiddin, Rais Yatim, Jamil Khir dan seumpamanya sahaja.

Rakyat bukan bodoh macam zaman 60an 70an. Ini zaman IT, zaman digital, zaman internet, zaman maklumat di hujung jari. Sungguh kasihan SKMM masih berada dan hidup di zaman batu
.



MCA: Pendakwaan Mat Sabu Untungkan Pakatan, Cemar Imej Pihak Kerajaan

Posted: 24 Sep 2011 07:00 PM PDT

MCA menyelar tindakan mengheret Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu ke mahkamah berhubung kenyataan berkenaan peristiwa Bukit Kepong kerana ia hanya akan meninggalkan imej buruk di pihak kerajaan dan membawa simpati kepada pembangkang.

Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu berkata, tindakan mengenakan tuduhan ke atas Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu hanya akan menimbulkan keraguan mengenai dasar pembaharuan dan kebebasan sivil yang cuba dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sejak kebelakangan ini.

Sebaliknya kata Gan, kerajaan seharusnya membiarkan Mohamad dan penyokongnya terus mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak masuk akal, bukannya menghadapkan mereka di mahkamah.

Katanya, kontroversi-kontroversi berkaitan fakta sewajarnya diselesaikan menerusi debat peringkat tinggi dan juga menerusi kajian akademik.

"Mengambil tindakan mahkamah hanya akan membawa gambaran negatif ke atas kerajaan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad dihadapkan di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 21 September lalu kerana dituduh membuat tohmahan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor.

Mohamad, 57, mengaku tidak bersalah dan minta dibicara terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan itu.

Beliau didakwa memfitnah anggota-anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, dengan mengetahui bahawa tohmahan yang dibuat akan merosakkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka.

Bagi pertuduhan alternatif, Mohamad didakwa telah memfitnah anggota-anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Konstabel Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong dengan membuat tohmahan dalam ucapan ceramah.

Meskipun tidak setuju dengan tindakan mengenakan tuduhan ke atas Mohamad, Gan berkata, beliau juga tidak setuju dengan kenyataan pemimpin itu kerana turut menyinggung perasaan keluarga mangsa. -TMI

Ulasan GB

Biarkan. Tindakan membawa Mohd Sabu akan hanya menyebabkan UMNO BN akan kalah bertambah teruk di dalam PRU13 akan datang ini.

Kerana? Tiada apa yang hendak di tuduh ke atas Mohd Sabu. Perkataan komunis pun tak disebutnya sewaktu ceramah itu. Dan seperti GB ulaskan sebelum ini, 1,000 laporan polis yang dibuat ke atas Mohd Sabu itu, mesemua mereka tak pergi pun mendengar ceramah Mohd Sabu, hanya bersandarkan kepada laporan fitnah Utusan Malaysia.

Dihodohkan lagi oleh tindakan-tindakan oleh para blogger UMNO di mana semua rakyat mengetahui bahawa blogger-blogger pencacai ini adalah dari kalangan tidak berakhlak.

Tindakan polis dan Peguam Negara mengheret Mohd Sabu ke mahkamah akan hanya mengundang kebencian rakyat kepada kerajaan. Pengikut Mohd Sabu bukan sedikit, bukan terhad hanya kepada ahli PAS. Kalau tak percaya, suruh rakyat buat pilihan di dalam satureferendum, di antara muka Mohd Sabu dengan muka Tan Sri Ismail Omar, KPN atau Gani Patail - si peguam negara yang durjana itu, siapa yang rakyat lebih suka dan gemar?

Jadi di penghujung hari, yang bakal ditimpa kehinaan nanti ialah si pemfitnah itu, Utusan. Menurut pemerhatian GB, Utusan bakal lenyap dari bumi Malaysia!


Kanak-kanak Dicabul Sepupu Semasa Main "Pondok-pondok"

Posted: 24 Sep 2011 05:45 PM PDT

Padah tiru aksi 'panas'

HULU SELANGOR: Gara-gara mahu meniru aksi melakukan hubungan seks ketika bermain 'pondok-pondok' bersama sepupunya, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan polis selepas mencabul kanak-kanak itu yang berusia empat tahun, kelmarin. Gambar hiasan.

Difahamkan, remaja lelaki terbabit ditahan polis selepas keluarga kanak-kanak itu membuat laporan dan pemeriksaan mendapati ada kesan cabul pada bahagian kemaluan mangsa.

Sumber menyatakan dalam kejadian tengah hari itu, kedua-duanya bermain di rumah mangsa.

"Ketika bermain, remaja terbabit dipercayai menyuruh mangsa membuka pakaiannya sebelum melakukan aksi tidak senonoh dan mencabul mangsa.

"Selepas selesai bermain, remaja itu pulang ke rumahnya. Namun, mangsa yang berasa sakit pada kemaluannya menangis dan memberitahu ibunya," katanya.

Kata sumber, ibu mangsa kemudian bertanyakan anak kecilnya yang menceritakan perbuatan remaja terbabit.

Terkejut mendengar cerita itu, wanita berkenaan pergi ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.

Mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut sebelum polis menahan suspek di rumahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy mengesahkan penahanan remaja itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul. -hm

Kuasa Allah: Ibu Menopause Lahirkan Anak Kembar

Posted: 24 Sep 2011 04:48 PM PDT

Seorang ibu berusia 58 tahun menjadi perempuan menopause kedua di Milan, Itali yang melahirkan bayi kembar. Peristiwa ini terjadi dua hari setelah pengadilan Itali mengkritik para pasangan tua yang melahirkan seorang anak.

"Kami sangat bahagia, ini adalah keajaiban dan oleh kerana itu, saya berterima kasih pada Tuhan," ujar perempuan berusia 58 tersebut, seperti dikutip AFP, Sabtu (24/9/2011).

Orangtua baru dari bayi kembar fraternal (laki-laki dan perempuan) sebelumnya gagal mengandung selama 27 tahun dan hanya berhasil mengandung ketika seorang wanita dari luar Itali mendermakan ovule. Praktik pendermaan ovule dilarang di Itali.

Kes yang sama juga terjadi di Itali. Pada minggu lalu, seorang pasangan di Kota Salero yang berusia 57 tahun dan 70 tahun melahirkan bayi kembar perempuannya.

Pengadilan Turin langsung mengadili kedua pasangan suami isteri tua tersebut karena mereka terlalu tua untuk membesarkan seorang anak. Pengadilan pun menyarankan anak kembarnya agar dijagai orang lain.

Ulasan GB

Allah Maha Berkuasa untuk mendatang bayi atau mengurniakan anak kepada sesiapa yang Dia kehendaki sekalipun jika tanpa pedermaan ovule.

Kisah Nabi Zakaria tertera indah di dalam Al-Quran:

قَالَ رَبِّ أَنَّىَ يَكُونُ لِي غُلاَمٌ وَقَدْ بَلَغَنِيَ الْكِبَرُ وَامْرَأَتِي عَاقِرٌ قَالَ كَذَلِكَ اللّهُ يَفْعَلُ مَا يَشَاءُ

Nabi Zakaria berkata: Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul? Allah berfirman: Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya. Al-i'Imran : 40



Yang Tersiksa Di Selangor Kini Ialah Kroni Dan Suku Sakat UMNO-BN

Posted: 24 Sep 2011 10:27 AM PDT

Hanya kroni dan suku sakat umno-BN tertekan di S'gor'

Kerajaan Selangor bersetuju dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa ada pihak yang tertekan sejak Pakatan Rakyat menerajui negeri tersebut dan mereka adalah kroni dan suku sakat Umno-BN.

Selama ini, kata setiausaha politik menteri besar Selangor, Faedah Husin, golongan tersebut telah mengaut kekayaan menerusi pemberian projek secara terus, menjadi orang tengah dan para pelobi.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang berharap rakyat Selangor memilih BN dalam pilihan raya akan datang setelah rakyat kini didakwa "terseksa" bawah Pakatan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Faekah berkata kenyataan timbalan perdana menteri itu membuktikan Umno-BN semakin terdesak untuk menagih simpati rakyat negeri ini.

"Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh perdana menteri yang orang Umno suka syok sendiri," tambahnya.

Menurutnya, yang tertekan ini juga adalah ahli perniagaan yang merasuah pegawai kerajaan dan orang politik untuk mendapatkan pertolongan dan pengecualian dari beberapa polisi dan syarat-syarat termasuklah melibatkan perumahan kos rendah bagi mengejar keuntungan berganda.

"Lebih malang lagi, projek disiapkan dengan ala kadar menjadikan golongan berpendapatan rendah semakin tertekan,"
tambahnya.

Ketika pentadbiran Umno-BN, tegasnya, ahli perniagaan berkenaan 'terlalu berkuasa'dan undang-undang tidak mampu menakutkan mereka, kerana mereka mendapat 'keizinan' dan 'dilindungi' orang politik.

"Golongan yang tertekan juga adalah individu atau kumpulan tertentu yang menjadi orang tengah untuk mendapatkan projek atau tender dengan cara membodek orang politik bagi mendapat bayaran komisyen tinggi," tegas Faekah.

Golongan ini, katanya, juga tidak mempunyai modal atau kepakaran tetapi sekadar cukup ''menjual air liur kepada ahli politik.

"Golongan ini tanpa segan silu berkunjung dan bersidai di pejabat orang politik," katanya sambil mendakwa, senario ini telah berlaku semenjak Muhyiddin menjadi menteri besar Johor dan ia masih berterusan sehingga sekarang.

Faekah mendakwa banyak projek besar bernilai jutaan dan bilion diberikan kepada kroni-kroni dan kemudian menjual tender tersebut kepada syarikat lain semata-mata untuk mendapatkan komisyen.

"Tinjauan pendapat mendapati rakyat Selangor gembira dengan corak pentadbiran dan pengurusan kita yang tidak membenarkan golongan tertentu bersidai di pejabat menteri besar atau pegawai kanan kerajaan. Fenomena ini begitu meluas dilihat ketika pentadbiran Umno sebelum ini," katanya.

Sudah tentu, tambahnya, kroni Umno-BN tersebut tertekan kerana tidak lagi boleh membodek orang politik dan pegawai kerajaan kerana Kerajaan Selangor mengamalkan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab.

Apa-apa pun, tambahnya, mereka yang tertekan di bawah Pakatan Rakyat hanyalah golongan kecil yang tidak menjejaskan sokongan padu rakyat Selangor dalam pilihan raya umum tidak lama lagi.

"Manakala bagi rakyat biasa bila ditanya, sudah tentu Muhyiddin dan pemimpin Umno-BN lain akan terlopong melihat sokongan rakyat terhadap Pakatan yang telah berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat dengan pelbagai bantuan menerusi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

"Dalam tempoh empat tahun, kita telah berbelanja lebih RM500 juta untuk rakyat dan sebahagian besarnya disalurkan untuk skim pemberian air percuma.

"Mana mungkin rakyat Selangor tertekan dengan pemberian air percuma ini dan program-program kebajikan lain yang diberikan kerajaan Pakatan Rakyat.

"Amat memalukan apabila Muhyiddin sebagai orang nombor dua dalam pentadbiran negara dan nombor dua dalam parti membuat kenyataan sebegini dan memalukan dirinya sendiri," katanya. -mk


Siapa Yang Sebenarnya 'Terseksa' Muhyiddin?

SHAH ALAM 24 SEPT : Dakwaan timbalan perdana menteri bahawa rakyat Selangor terseksa di bawah pentadbiran tiga tahun Pakatan Rakyat di negeri ini disifatkan sebagai tindakan terdesak Umno Barisan Nasional.

Ketua Penerangan Keadilan Selangor, Shuhaimi Shafie berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin kini semakin terpaksa melakukan perang saraf apabila mendapati rakyat Selangor sebenarnya sudah cukup selesa dengan pentadbiran PR yang lebih mengutamakan kebajikan rakyat.

"Rakyat Selangor hari ini bukan terseksa, yang terseksa sebenarnya adalah pimpinan-pimpinan kanan Umno dan Barisan Nasional kerana tidak dapat menipu duit rakyat untuk kepentingan mereka.

"Malah rakyat Selangor secara keseluruhan semakin selesa dan bukan terseksa," katanya pada satu majlis rumah terbuka DUN Sri Muda hari ini.

Tambah Shuhaimi yang juga ADUN Sri Muda, kisah dongeng betapa penting untuk Umno merampas kembali Selangor demi menyelamatkan rakyat di negeri ini tidak akan berjaya kerana warga Selangor sedia maklum apa yang mereka mahukan.

"Rakyat di Selangor hari ini cukup berterima kasih kepada kerajaan negeri dan juga di atas kepimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang sudah menjalankan terlalu banyak program-program yang memberikan manfaat terbaik kepada rakyat.

"Malah mereka cukup bersyukur apabila Umno BN kalah di negeri Selangor dan Insya-Allah sokongan yang kita terima semakin meningkat dari hari ke hari," tambahnya lagi.

Beliau dalam pada itu berkata, dakwaan songsang Muhyiddin itu semalam di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Klang disifatkan sebagai tindakan menggelabah beliau yang tidak sabar mahu merampas tampuk pemerintahan negara.

"Jadi kita lihat sejak akhir-akhir ini ada percanggahan pendapat di antara Muhyiddin Yassin dan Najib Razak dan ini menggambarkan wujud kecelaruan yang besar daripada segi agenda memajukan negara atau pun memastikan kemenangan Umno dan BN di seluruh negara," katanya.

Shuhaimi berkata malah beliau yakin pada pilihan raya umum ke 13, rakyat di negeri Selangor tidak akan berpaling tadah untuk mengundi BN sebaliknya lebih ramai yang akan menyatakan sokongan mereka kepada PR untuk menuju ke Putrajaya.

Dalam pada itu, dakwaan Muhyiddin turut dibidas oleh beberapa pimpinan lain PR yang turut sama menyifatkan beliau dan sekutunya semakin tertekan untuk merampas semula Selangor dengan menggunakan apa jua taktik.

Menurut ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali, Najib sebagai perdana menteri sendiri pernah menyatakan tekad akan merampas Selangor dengan apa cara sekali pun.

Justeru ujarnya yang juga timbalan presiden PKR, perkembangan negara mutakhir ini yang menyaksikan warga asing diberikan status kewarganegaraan sebagai bukti , pemerintah sanggup melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kuasa.

"Ini memang kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh Najib yang beliau akan merampas Selangor dengan apa jua cara sekali pun dan ini menunjukkan Umno sanggup
menggunakan cara-cara yang kotor dan jijik serta tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat negeri Selangor dan langsung tidak mempunyai komitmen untuk menyuburkan demokrasi di dalam negara dan di negeri Selangor.

"Sebab itu Umno terpaksa menggunakan cara kotor termasuk memberikan kad pengenalan kepada warga asing semata-mata untuk menjamin kelangsungan politik mereka," katanya.

Dalam pada itu, ADUN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar berkata, tindakan Umno-BN yang menggunakan bangunan-bangunan kerajaan seperti sekolah bagi tujuan berkempen hakikatnya tidak disenangi rakyat.

"Saya ingin tegaskan di sini, pada masa yang sama rakyat di negeri Selangor tidak sabar menantikan PRU 13 akan datang untuk tubuhkan kerajaan baru menuju ke Putrajaya," katanya. -tvsnews



Lamborghini Terbakar Di Bukit Damansara

Posted: 24 Sep 2011 07:45 AM PDT

Kuala Lumpur – Seorang ahli perniagaan menghadapi saat cemas setelah kereta mewah jenis Lamborghini miliknya yang dipandu terbakar di Jalan Beringin, Bukit Damansara, semalam.

Mangsa yang enggan dikenali, berumur 31 tahun, ketika itu sedang memandu untuk memanaskan enjin keretanya setelah seminggu kenderaan tersebut tidak digunakan.

Lelaki itu berkata, secara tiba-tiba, asap keluar daripada bahagian enjin di belakang kereta, kira-kira jam 11.50 pagi,

"Saya terus memberhentikan kereta untuk tujuan pemeriksaan tetapi apabila mendapati api mula keluar daripada bahagian belakang enjin, saya terus keluar menyelamatkan diri

"Saya tidak tahu apa yang berlaku. Kereta ini sudah seminggu tidak dihidupkan kerana saya berada di Shanghai, China atas urusan perniagaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian hampir RM1.2 juta.

Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan Dua, Shahrul Azizi berkata, satu jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas tiba tujuh minit kemudian setelah menerima panggilan daripada orang awam.

Beliau berkata, sebaik tiba, kenderaan itu didapati sedang terbakar dan api berjaya dikawal sepenuhnya, kira-kira jam 12.05 tengah hari.

"Kereta tersebut hangus sepenuhnya dan setakat ini Unit forensik masih menyiasat punca sebenar kejadian," katanya.

Katanya, bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada masalah teknikal ekoran kenderaan tersebut jenis berkuasa tinggi.

Ulasan GB

Sekadar bertanya, zakat dah tunaikan? Jika sudah alhamdulillah, itu mungkin ujian utk dikurniakan lagi kekayaan dariNya. Jika belum, itu peringatan dariNya supaya membersihkan harta yang ada.

Edisi Siasat Ntv7: Dokumentari Tentang Kemiskinan Sabah Dipancung!

Posted: 24 Sep 2011 07:20 AM PDT

Sementara Perdana Menteri Najib Razak dipuji kerana menjanjikan ruang kebebasan bersuara sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September baru-baru ini, satu dokumentari yang mengisahkan jurang kemiskinan rakyat Sabah telah "dipancung", dilarang ke ruang udara sebagaimana yang dijadualkan, semalam.

Dokumentari bertajuk "Saya nak ke sekolah" (I want to go to school) ini dijadualkan untuk disiarkan dalam rancangan Edisi Siasat di stesen televisyen ntv 7, jam 11.30 malam, pada 22 September 2011.

Menurut sumber, dokumentari ini telah dihantar untuk semakan Lembaga Penapisan Filem (LPF) pada awal minggu ini, dibenarkan dengan "nasihat" agar sedikit "suntingan" (tapisan) dibuat sebelum disiarkan.

Bagaimanapun, LPF memaklumkan secara lisan kepada pihak Edisi Siasat, sehari sebelum dokumentari ini ke udara, bahawa ianya perlu "ditarik", kata sumber kepada MerdekaReview. Maka pihak ntv 7 terpaksa menyiarkan dokumentari yang telah disiarkan sebelum ini, untuk menggantikan kekosongan yang wujud ekoran daripada keputusan tersebut.

Menurut maklumat yang diperolehi MerdekaReview, tiada notis rasmi daripada LPF kepada ntv 7 berhubung keputusan tersebut, tetapi hanya alasan yang tidak rasmi, seperti "khuatir menjejaskan imej negeri Sabah".

Menurut Editor Eksekutif Buletin dan Isu Semasa (Mandarin) ntv7, Tan Boon Kooi, yang sempat dihubungi MerdekaReview pada kira-kira jam 2 petang, dirinya pun "teringin nak tahu apakah yang telah berlaku sebenarnya" (yang menjurus kepada keputusan tersebut). Bagaimanapun, beliau berkata, pasukan penerbit telah menyempurnakan tugas mereka, sebaik rancangan dokumentari itu siap dibikin.

"Sama ada ia dibenarkan untuk disiarkan atau tidak, itu di luar kawalan kami. Bukan sesuatu yang boleh kami putuskan," katanya kepada MerdekaReview.

Menurut "promo" rancangan yang disiarkan pada minggu lalu, dan pengenalan di laman sosial rasmi Edisi Siasat, dokumentari ini mengisahkan jurang kemiskinan yang ketara di negeri Sabah.

"Pada 16 September 1963, Sabah dan Sarawak mengumumkan untuk bergabung dengan Semenanjung Tanah Malaya, membentuk Malaysia. 48 tahun kemudian, meskipun memiliki sumber semulajadi yang lumayan, namun Sabah dan Sarawak tetap ketinggalan secara perbandingan, dari segi pembangunan sosial ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan sebagainya."

Untuk 10 tahun ini, Sabah adalah negeri yang termiskin. Dari segi pendidikan, 21% daripada penduduk Sabah tidak berpendidikan. Apa masa depan anak-anak ini? Mengapa pula jurang kemiskinan antara desa dan bandar di Sabah begitu ketara? Sempena kita menyambut Hari Malaysia, marilah kita merenung masalah ini."


Edisi Siasat pernah terima Anugerah Seri Angkasa 2005

Ini bukan kali pertama rancangan Edisi Siasat "dipancung". Pada Oktober 2008, rancangan dokumentari berjudul "Kuasa Masyarakat Sivil" dilarang ke udara. Sebagaimana yang difahamkan MerdekaReview, rancangan tersebut mengandungi adegan-adegan demonstrasi dan keganasan polis. Malah sebelum ini, pada September 2008, satu rancangan dokumentari yang bertemakan pertikaian agama turut dilarang ke udara.

Edisi Siasat adalah rancangan hal ehwal semasa yang amat popular di kalangan masyarakat Cina, malah pernah menerima Anugerah Majalah TV Terbaik dalam Anugerah Seri Angkasa 2005.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

Ulasan GB

Ini adalah salah satu faktor yang menyumbangkan kepada tumbangnya kerajaan Barisan Nasional.

Kerana yang disukai oleh mereka hanya yang indah-indah, yang wangi-wangi dan yang muluk-muluk belaka. Hakikat yang ada cuba disorokkan dan disembunyikan.

Sama seperti kes dimana baru-baru ini Najib akui kena kencing dengan pemimpin UMNO Selangor dimana Najib menegur sikap pemimpin dan anggota Barisan Nasional (BN) berhubung pemberian 'laporan tipu' kepadanya semata-mata mahu menjaga hati tanpa bersandarkan kepada realiti sebenar, kini SKMM turut melakukan hal yang serupa.

SKMM mahu program-program yang syok sendiri - bersesuaian dengan selera menterinya untuk mengampu dan membodek sedangkan Najib sendiri sudah mengakui: penganjuran program 'syok sendiri' juga turut menyumbang kepada kekalahan BN di Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Baguslah, BN akan kalah lagi nampaknya pada PRU13 ini - disebabkan oleh faktor ampu bodek oleh SKMM yang bermenterikan seorang yg dikenali menang kuat darjah ampu dan bodeknya!

Pemimpin Chechnya Dakwa Perolehi Cangkir Rasulullah

Posted: 24 Sep 2011 06:03 AM PDT

Moscow: Pemimpin Chechnya, Encik Ramzan Kadyrov, mendakwa berjaya memperolehi bahan peninggalan Nabi Muhammad saw - cangkir yang berusia 1,400 tahun.

Gambar: Pemimpin Chechnya, Encik Ramzan Kadyrov (kanan), menaiki kereta Rolls-Royce yang membawa cangkir -- didakwa milik Rasulullah yang berusia 1,400 tahun -- dari lapangan terbang ke masjid utama di ibu kota Grozny, kelmarin. -- Foto AFP

Pemerintah wilayah Caucasus Utara itu berkata cangkir berkenaan sebelum ini dimiliki Nabi Muhammad saw.

Cangkir tersebut telah diterbangkan ke ibu kota Grozny dari London di tempat ia disimpan oleh keturunan sepupu Nabi Muhammad saw, Sayidina Ali ibn Abi Talib, yang merupakan khalifah keempat.

Rabu lalu, Encik Kadyrov dengan bangga membawa kotak yang mengandungi cangkir itu turun dari sebuah pesawat di lapangan terbang negara itu.

Beliau kemudian menaiki kereta Rolls-Royce, yang diiringi berdozen kereta mewah, untuk membawa cangkir itu ke sebuah masjid utama di Grozny.

Ketibaan Encik Kadyrov disambut meriah oleh beratus-ratus jemaah dengan diiringi laungan Allahuakbar.

Beliau kemudian mengeluarkan cangkir tersebut dan menangis teresak-esak selepas menciumnya.

Majlis itu telah disiarkan saluran televisyen setempat dan dimuat naik ke laman web Chechnyatoday.com.

Beberapa jemaah kelihatan meminum air daripada cangkir itu sambil berdoa.

Dalam satu kenyataannya di laman web, pemerintah Chechen berkata 'cangkir ini digunakan oleh Nabi Muhammad sebelum diberikan kepada supupunya, Ali ibn Abi Talib - khalifah keempat'.

Tiada butir lanjut mengenai kesahihan cangkir itu.

Menurut kenyataan itu lagi, sesiapa saja boleh minum air daripada cangkir tersebut sempena Maulud Nabi.

'Tiada siapa yang boleh memberi butir lanjut mengenai asal usul cangkir ini. Rundingan mendapatkan cangkir ini dipimpin oleh peniaga terkenal, Encik Ruslan Baisarov, dan perkara ini diumumkan Encik Ramzan Kadyrov,' kata seorang jurucakap pemerintah Chechen.

Encik Kadyrov telah memerintah wilayah Chechnya sejak 2007, dan dilantik semula pada awal tahun ini.

Sebelum ini beliau telah melaksanakan beberapa projek dan acara besar di Grozny, yang bertujuan meningkatkan lagi pengaruh politiknya.

Beliau juga menggalakkan kebangkitan Islam di wilayah tersebut, dengan merasmikan sebuah masjid pada 2008 - dikatakan yang terbesar di Eropah. -- AFP.

Najib Akan Halang Hudud Dilaksanakan Di Malaysia

Posted: 24 Sep 2011 04:24 AM PDT

Najib beri jaminan hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia

TANJUNG TUALANG: Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini.

Perdana Menteri berkata, hukum itu tidak sesuai dilaksanakan kerana berpaksikan kepada realiti yang ada di negara ini.

Najib berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival 1Malaysia Tanjung Tualang di pekan Tanjung Tualang sempena lawatan turun padang sehari beliau ke Perak, sebentar tadi. -BH


Ulasan GB

Terdedah kini bahawa Najib akan menghalang perlaksanaan Hudud di negara ini. Beliau berkata "hukum itu tidak sesuai dilaksanakan kerana berpaksikan kepada realiti yang ada di negara ini" menunjukkan KEJAHILAN beliau terhadap Islam dan hukum Islam. Cukup memalukan untuk mempunyai seorang PM sedemikian.

Dari awal lagi GB sudah meragui mengenai pengetahuan Islam manusia bernama Najib ini. Beliau tidak mahu membaca dan meperdalami Al-Quran dan Hadith, maka itu beliau begitu berani secara terangan-terangan menentang hukum Islam. Beliau tidak tahu apa itu "syumul", beliau amat jahil mengenai hudud. Lantaran itu beliau menghalangnya dari dilaksanakan di negara ini.

Sebelum ini GB sudah ulas:

Bukan sekadar Karpal Singh atau Lim Kit Sinag, tetapi kini UMNO kena penamparnya - MCA secara terus terang menyatakan bahawa ia akan keluar BN jika hudud dilaksanakan.

Ini membuktikan "kejayaan" UMNO memberikan gambaran buruk terhadap hudud dan hukum Islam selama ini kepada masyarakat bukan-Islam.

TPM, Muhyiddin Yassin cuba berkeluk-klek mengenai hudud menyatakan UMNO tidak tolak hudud tetapi hakikat sebenar tidak boleh ditutup.

PM-PM Malaysia silih berganti menghina hukum Allah semata-mata kerana takut kehilangan kuasa kepada PAS. Najib sendiri satu ketika pernah menghina dan menempelak hukum Islam dengan menyatakan "negara akan huru-hara jika Islam dilaksanakan". Inilah mentaliti PM Malaysia yang jahil terhadap agamanya sendiri yang memberikan imej buruk Islam kepada orang bukan Islam.

Izinkan GB beri peringatan bahawa kamu-kamu di dalam UMNO telah menghina hukum Allah maka kelak Allah akan menghinakan kamu-kamu semua apabila Dia menegakkan hukumNya di mukabumi ini.



Tiada ulasan: