Khamis, 22 September 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Gejala Sosial Baru: Trend Gadis Sekolah Ikut Boyfriend Menjadi-jadi...

Posted: 22 Sep 2011 01:56 AM PDT

Remaja hilang ikut teman lelaki

KUALA LUMPUR: Dua remaja perempuan berusia 16 tahun hilang dari rumah mereka di Felda Kemasul, Temerloh, Pahang sejak 12 September lalu dan sehingga kini, masih gagal dikesan.

Kedua-dua mereka iaitu Nurmuniera Farisha Nizam, dan Siti Noor Atika Hamzani (gambar), pelajar sebuah sekolah menengah di Felda Chemomoi, dipercayai mengikut teman lelaki Nurmuniera. Bapa saudara mangsa, Faizal Mohd Lazim, 30-an, berkata, anak saudaranya, Nurmuniera berkenalan dengan teman lelakinya yang belajar di sekolah sama sejak setahun lalu.

Katanya, mangsa tidak pernah berkelakuan pelik ketika berada di rumah dan dipercayai berjumpa teman lelakinya ketika keluar belajar bersama rakannya dikenali sebagai Atika yang turut hilang.

Menurutnya, pada hari kejadian, anak sauadaranya itu baru pulang dari rumah Atika kira-kira jam 4 petang sebelum keluar semula kira-kira jam 5.30 petang dengan alasan mengambil nota pelajaran.

"Kami hanya tahu dia berniat lari bersama teman lelaki selepas seorang jiran ternampaknya membawa beg sandang," katanya.

Faizal berharap dan merayu kepada teman lelaki anak saudaranya itu agar membebaskannya dan mereka mempunyai maklumat boleh hubunginya di talian 016-6745130 atau datuk mangsa, Muhamad Lazim Mat Sap di talian 011-2976711.

BERITA 2

Padah larikan teman wanita


KUALA KLAWANG - Kedegilan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang nekad melarikan diri bersama teman lelakinya akhirnya menerima padah apabila lelaki berkenaan ditahan polis di Balai Polis Kuala Klawang lewat petang, semalam.

Ketua Balai Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Setapa Yusoof berkata, remaja perempuan itu tidak pulang ke rumah setelah keluar bersama dua adik perempuannya ke Terminal One Seremban pada 10 September lalu.

Menurutnya, dia bersama dua adiknya pergi ke Terminal One. Namun hanya dua adiknya pulang ke rumah dan apabila ibu bapa mereka bertanya di mana kakaknya, mereka memaklumkan kakaknya mengikut teman lelaki.

"Selepas itu, bapanya membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Klawang sebelum menghubungi semua kawan-kawan anaknya.

"Semalam, ibu bapanya dapat mengesan anaknya berada di Selayang berdasarkan maklumat yang diberi rakan-rakan anaknya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Setapa berkata, ketika tiba di Selayang, ibu bapanya berjumpa dengan teman lelaki anaknya yang bekerja sebagai pembantu gerai buah di kawasan itu.

"Sejurus selepas itu, lelaki berkenaan memaklumkan bahawa anak mereka berada di sebuah pusat siber di kawasan berhampiran.

"Remaja perempuan dan teman lelakinya dibawa pulang ke rumah datuk mereka di Lenggeng sebelum lelaki berkenaan diserahkan di Balai Polis Lenggeng," katanya.

Beliau berkata, Balai Polis Lenggeng kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pihaknya dan lelaki berkenaan dibawa ke Balai Polis Kuala Klawang sebelum ditahan untuk siasatan.

"Suspek bagaimanapun tidak melawan semasa ditahan berikutan tahu kesalahan yang dilakukannya. Polis bagaimanapun membebaskan remaja perempuan terbabit.

"Remaja perempuan ini tidak bersekolah dan sememangnya bermasalah dan sukar dikawal. Sejak berkenalan dengan teman lelakinya, dia sering keluar rumah," katanya.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 361 Kanun Keseksaan dan suspek kini direman selama empat hari daripada tarikh ditahan untuk siasatan lanjut. -hm


BERITA 3

Nur Shafiqa gagal dikesan


KUALA KANGSAR – Tiada perselisihan faham mahupun pergaduhan berlaku di antara seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang gagal dikesan setelah keluar rumah awal pagi 12 September lalu dengan ahli keluarganya.

Nur Shafiqa Ismail, yang tinggal bersama keluarga ibu saudaranya di Kampung Talang Masjid, di sini, dikatakan keluar rumah sehelai sepinggang.

Ibu saudaranya, Zalina Shak, 43, berkata, dia menyangka Shafiqa ke sekolah seperti biasa tetapi tidak pasti sama ada kanak-kanak itu berpakaian sekolah kerana sibuk melakukan kerja rumah di dapur.

Menurutnya, dia mulai risau apabila anak saudaranya itu tidak pulang ke rumah sehingga lewat petang dan bertanya kepada pihak sekolah tetapi dimaklumkan Shafiqa tidak hadir pada hari tersebut.

"Shafiqa tinggal bersama saya sejak Januari tahun ini selepas ayahnya tinggalkan dia di rumah saya setelah berpisah dengan isterinya.

"Saya juga ada menghubungi ibu kandung Shafiqa yang tinggal di Chuar Kati dan dimaklumkan Shafiqa ada datang pada hari itu serta diberikan sedikit wang," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, kelmarin.

Zalina berkata, ibu kandung Shafiqa menyuruh pulang semula ke rumahnya tetapi sehingga sekarang gagal dikesan walaupun sudah mencari di merata tempat.

Menurutnya, tiada perselisihan faham atau bergaduh dengan pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Talang itu seorang sebelum kejadian.

"Jika keluar dia akan balik juga lewat petang tetapi saya hairan kenapa dia tidak pulang sehingga sekarang.

"Dia jenis yang matang dan suka membuat hal sendiri, kalau dia nakal saya tegur seperti anak sendiri tetapi dia tidak pernah seperti ini sebelum ini," katanya.

Katanya, berikutan itu satu laporan polis dibuat pada 16 September lalu dan dia turut mendapat khidmat bantuan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) kawasan itu untuk membantu mencari Shafiqa.

"Biasanya dia ke sekolah menaiki basikal tetapi ia masih ada ditinggalkan berhampiran masjid dan dia juga memakai pakaian biasa kerana baju sekolah serta peralatan lain ditinggalkan di rumah.

"Berdasarkan maklumat orang ramai, ada terlihat Shafiqa di kampung berhampiran tetapi apabila ke sana, kami tidak menemuinya," katanya.

Tambahnya, diharap orang ramai yang mempunyai maklumat atau pernah ternampak kanak-kanak itu segera menghubunginya di talian 012-465 1869 atau hubungi balai polis berhampiran. -hm

Isu Hantu Bonceng: Penerbit, Penulis Skrip & Pengarahnya Bersalah, Bukan Pelakun - Ust Azhar

Posted: 22 Sep 2011 12:14 AM PDT

Hantu Bonceng: Pandangan Ustaz Azhar Idrus

KUALA LUMPUR, 22 Sept: Pendakwah popular tanah air, Ustaz Azhar Idrus (gambar) berkata, kontroversi satu dialog dalam filem Hantu Bonceng tidak boleh diletakkan kepada pelakon sahaja.

"Tetapi kesilapan ini tidak terletak kepada pelakon. Pelakon jahil dan tidak tahu apa-apa," ujarnya sebagaimana yang dipetik daripada kuliah beliau yang disiarkan di dalam blog http://pulakdah.blogspot.com di bawah tajuk Zizan telefon Ust Azhar Idrus rujuk isu Hantu Bonceng.

Penulis blog itu menyatakan, menurut Ustaz Azhar Idrus, sebaik saja isu Zizan Raja Lawak mengucapkan 'Asyhaduanna Muhamadarr..Syaitan' di dalam satu babak filem Hantu Bonceng menjadi kecoh.

Berikut ialah petikan daripada blog tersebut.

Menurut Ust Azhar Idrus, sebaik saja isu Zizan Raja Lawak mengucapkan 'Asyhaduanna Muhamadarr..Syaitan' di dalam satu babak filem Hantu Bonceng menjadi kecoh. Beliau menerima panggilan daripada Zizan yang menggunakan 'private number' untuk merujuk permasalahan ini.

"Saya ni baru kena marah dengan orang kerana filem Hantu Bonceng. Saya kata 'Asyhaduanna Muhammadarr' lepas tu nampak syaitan datang..saya kata SYAITAN" kata Zizan.

Jawab Ust Azhar Idrus. Dia boleh jadi dua hujah. Boleh jadi ada niat untuk mempersendakan Islam dan boleh jadi tidak berniat untuk mempersendakan Islam. Dalam kes ini dia mengucap ketika di dalam ketakutan, dalam cerita kelakar maka dia buat dialog mengucap "Asyhadu an la ilaha ill-Allah, wa asyhadu ana Muhammadarr.....Syaitan! Syaitan!."

Jadi boleh dikatakan bahawa penulis skrip ini untuk menghina nabi, dan boleh juga dikatakan penulis skrip berniat untuk menggambarkan seseorang yang di dalam ketakutan tidak sempat menghabiskan lafaz syahadahnya kerana ternampak syaitan. Ia boleh jadi ada niat untuk mempersenda.

Tetapi kesilapan ini tidak terletak kepada pelakon. Pelakon jahil dan tidak tahu apa-apa. Pelakon bukannya (perlu) belajar pondok untuk berlakon filem. Tetapi Penerbit, Penulis skrip dan Pengarah sepatutnya kena rujuk dahulu perkara ini kepada Pejabat Agama atau Jabatan Kuasa Fatwa. Skrip ini boleh jadi untuk mempersendakan Islam dan boleh juga bukan berniat untuk mempersendakan Islam.

"Walaupun ia bukan untuk mempersendakan Islam, ia tetap juga HARAM sebab mendatangkan FITNAH" tambah Ustaz Azhar Idrus lagi. Fitnah ini yang perlu di jaga dan kita perlu berhati-hati. Zizan sendiri telah mengakui bahawa beliau tidak pernah terniat untuk mempersendakan Islam.

"Jadi kita ambil secara baik, dia (Zizan) tidak berniat mempersenda Islam, tetapi kerana kejahilan punya fasal ia memberi fitnah." rumus Ust Azhar Idrus. -HD





Zizan Mohon Maaf Kontroversi Hantu Bonceng

KUALA LUMPUR 21 SEPT : Pelakon filem 'Hantu Bonceng Mohd Razizan bin Abd Razak atau lebih dikenali sebagai Zizan telah memohon maaf secara terbuka dan menjelaskan isu dialognya yang dikatakan menghina Nabi Muhammad malam tadi.

Menerusi laman Twitternya, Zizan mengakui kesilapan beliau dan menjelaskan beliau langsung tidak berniat untuk menghina agama Islam dan menyatakan terdapat 4 ulama dalam Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang telah meluluskan tayangan filem tersebut.

Dua 'post' laman twitternya ialah

"Sy (saya) faham.apa yg salah..salah jugak.tp (tapi) pasal hina Islam mmg jauh dri otak pkiran sy la..xde(tiada) lgsung terniat.ini adalah Agama dan Rasul sy(saya)..Maaf skiranya sy(saya) silap.

"salam..xkan(takkan) la sy(saya) nk(nak) hina Rasul sy(saya) sendiri..kan dlm(dalam) babak perkataan setan 2(itu) di aju kan pada kunyit..dan dlm(dalam) penapisan film ade 4 ulama..dan telah pn(pun) di luluskan film ini.."

Pemuda PAS sebelum ini menyatakan filem 'Hantu Bonceng' yang diarahkan oleh Ahmad Idham Ahmad Nazri itu mengandungi satu babak yang dilakonkan secara jelas menghina Rasulullah SAW apabila Zizan menyebut "Asyhadu anna Muhammadar Syaitan" yang membawa maksud "Aku naik saksi bahawa Muhammad itu Syaitan".

Filem dengan durasi 90 minit itu ditayangkan di panggung wayang di Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 31 Ogos lalu dan dikatakan mencipta sejarah dengan kutipan terbesar dalam musim perayaan dengan jumlah RM 5 juta untuk lima hari tayangan.

Sementara itu Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan at Tantawi mengucapkan tahniah kepada Zizan kerana mengakui kesilapan lalu memohon maaf secara terbuka.

Bagaimanapun beliau mempersoalkan mengapa pengarah dan penerbit filem tersebut Ahmad Idham masih berdiam diri sehingga sekarang.

"Tahniah saya ucapkan kepada saudara Mohd Razizan bin Abd Razak yang telah mengakui kesilapan lalu memohon maaf secara terbuka. Saya sangat menghormati sikap sedemikian dan telah saya sebutkan sebelum ini didalam kenyataan saya bahawa sewajarnya pihak pengarah dan pelakon Filem Hantu Bonceng iaitu saudara Mohd Idham dan Zizan memohon maaf kerana mencetus kekeliruan kepada masyarakat awam," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Nasrudin turut menyatakan filem Malaysia sepatutnya dapat diangkat sebagai karya seni yang indah dan baik tanpa melanggar batas syariat dan mencacatkan keindahan Islam seperti filem dari Iran "Under The Moonlight" yang memenangi 6 award diperingkat antarabangsa pada tahun 2001 dan "Children of Heaven" pada 1997.

"Bebaskan industri filem negara dari serkap filem yang rendah mutu, terkepong dalam realiti masyarakat yang tidak sepatutnya dibanggakan dan filem yang mengeksploit batang tubuh wanita, keseksian, kelucahan dan ketahyulan sebagai azimat pelaris tayangan di pawagam," kata beliau lagi.




Pelajar Perempuan Dirasuk Nak Terjun Asrama

Posted: 21 Sep 2011 10:39 PM PDT

Alor Gajah: Gempar apabila seorang penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, yang dikatakan dirasuk cuba terjun dari tingkat dua kolej kediamannya, petang kelmarin.

Gambar: RAWAT...mangsa ketika menerima rawatan dan perubatan Islam di kolej berkenaan.

Dalam kejadian jam 6 petang, penuntut berusia 21 tahun itu memanjat tingkap dan duduk di balkoni dengan kedua-dua kakinya terjuntai ke bawah.

Perbuatan gadis dari sebuah negeri di utara tanah air itu, bagaimanapun disedari rakan sebiliknya yang cuba memujuknya turun.

Pujukan itu bagaimanapun gagal lalu mereka memanggil pengurusan kolej dan sekali lagi cuba memujuk penuntut itu supaya tidak terjun.

Usaha itu juga menemui kegagalan sebelum pasukan bomba dan penyelamat dipanggil bagi melakukan usaha menyelamat gadis yang dirasuk itu.

Menurut rakan sebilik mangsa yang enggan dikenali, dia terdengar suara seperti orang meracau di luar tingkap bilik lalu pergi memeriksanya.

"Saya terkejut selepas mendapati rakan sebilik berada di atas balkoni luar dan dia seolah-olah sudah bersedia untuk terjun. Bimbang perkara buruk berlaku, saya cuba memujuknya supaya turun, namun tidak diendahkan.

"Saya menghubungi kakitangan kolej memaklumkan perkara itu dan kami sekali lagi berusaha memujuknya, namun gagal," katanya.

Menurutnya, selepas gagal memujuk penuntut itu, mereka menghubungi pasukan bomba dan penyelamat yang datang tidak lama kemudian.

Katanya, rakan sebiliknya yang menuntut di tahun satu jurusan insurans itu dipercayai mengalami gangguan makhluk halus sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II Chee Hong Chuan berkata, pihaknya yang menerima maklumat mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa.

"Ketika tiba, gadis itu masih berada di balkoni tingkat dua kolej kediamannya dengan kedua-dua kakinya terjuntai sambil berdiam diri.

"Tanpa membuang masa, kami menariknya masuk ke bilik penginapan," katanya.

Menurutnya, gadis yang pengsan sejurus selepas itu diserahkan kepada pihak pengurusan kolej untuk tindakan selanjutnya. -hm

Ada Kondom Dalam Beg Sekolah Anak Gadisnya

Posted: 21 Sep 2011 08:50 PM PDT

Hulu Selangor: Luluh hati seorang ibu apabila menemui kondom dalam beg sekolah anak gadisnya yang berusia 15 tahun sebelum gadis itu membuat pengakuan ada melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya.

Difahamkan, pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di daerah ini terkedu dan menangis sebaik mendedahkan perkara itu kepada ibu bapanya.

Gadis terbabit yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjalin cinta dengan lelaki berusia 20 tahun dan dipujuk melakukan hubungan seks selepas beberapa bulan perkenalan.

Berikutan itu, ibu bapa mangsa membawa remaja terbabit membuat laporan di balai polis berhampiran selain dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan.


Menurut sumber, bertindak atas laporan dan keputusan pemeriksaan, polis menahan teman lelaki remaja itu di rumahnya di Ampang Pecah, di sini, semalam.


Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, mangsa keluar bersama teman lelakinya kelmarin sebelum dibawa pulang ke rumah lelaki terbabit.

"Kira-kira jam 6 pagi, mangsa diajak melakukan hubungan seks ketika keluarga teman lelakinya tiada di rumah.

"Selepas itu, teman lelaki mangsa menghantarnya pulang ke rumah kira-kira jam 2 petang tanpa diketahui keluarga mangsa," katanya.

Beliau berkata, suspek yang juga teman lelaki remaja itu ditahan di rumahnya dan direman mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy mengesahkan penahanan suspek dan siasatan lanjut dilakukan. -hm

Memalukan Negara: Pakar Kimia Bekerja Dalam Makmal Yang Tidak Mempunyai ISO 17025

Posted: 21 Sep 2011 07:00 PM PDT

Dakwa makmal kimia tiada sijil ISO

KUALA LUMPUR - Pakar DNA dari Australia, Dr. Brian Leslie McDonald menegaskan makmal di Jabatan Kimia yang menjalankan analisis DNA dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat sijil pengiktirafan ISO 17025.

McDonald yang disoal balas Peguam Cara Negara 11, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden berkata, ahli kimia, Dr. Seah Lay Hong sebelum ini menyatakan makmal tersebut menjalankan analisis DNA mengikut piawaian yang ditetapkan standard antarabangsa.

Sedangkan tegas saksi keempat pembelaan itu, perkara tersebut tidak benar sama sekali kerana makmal berkenaan tidak pernah mendapat sijil tersebut.

Yusof bagaimanapun berkata, Lay Hong tidak pernah merujuk makmal itu kepada ISO 17025 malah mendakwa, sijil itu tidak penting untuk menjalankan sebarang analisis DNA. McDonald bagaimanapun tidak bersetuju dengan pendapat itu.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor membuat permohonan supaya sapina yang menghendaki mereka menjadi saksi dalam kes liwat Anwar diketepikan.

Permohonan itu difailkan peguam pasangan itu, Hisyam Abdullah Teh Poh Teik, M. Athimulan, Datuk Salehuddin Saidin dan Datuk Ghazi Ishak.

Anwar, 64, sedang membela diri daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful, 26, tanpa kerelaan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.

Penasihat Parti Keadilan itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh menyebabkan Anwar dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Md. Diah bersambung hari ini. -kosmo

Sel Putik Mungkin Bukan Dari Dubur Saiful : Saksi Pakar

KUALA LUMPUR 21 SEPT: Saksi ke empat, konsultan Molekular Genetesis, Dr Brian Mcdonald terus memberi sebab mengapa DNA "lelaki Y" yang ditemui dalam dubur pengadu Saiful Bukhari Adzlan mungkin bukan Anwar.

Brian turut menegaskan kemungkinan bahawa sampel putik yang diberikan kepada pihak makmal tidak diambil dari dubur Saiful.

Ini berikutan katanya pakar kimia Jabatan Kimia Malaysia (JKM) Dr Seah Lay Hong dan pembantu Dr Nor Aidora Saedon mengabaikan prosedur 'differential extraction" dalam ujiannya hingga menimbulkan keraguan DNA yang ditemui mungkin berasal dari sperma sel 'epitelium' (kulit).

"Awak kata DNA dari B10 boleh datang dari sel kulit Saiful sendiri?" tanya Yusof.

"DNA itu tidak memberitahu kita bahawa tiada air mani dari pengadu dari putik kapas," kata Dr Brian.

Yusof kemudian bertanya balas kepada Brian akan dakwaan bahawa makmal JKM tidak mempunyai akreditasi ketika menjalankan ujian sampel DNA pada tahun 2008.

Katanya berdasarkan piawaian ISO17025 yang dikeluarkan agensi antarabangsa, akraditasi makmal JKM tamat pada 2011.

"Jadi apa isu yang anda cuba timbulkan dengan menyatakan makmal tidak ada akreditasi ketika melakukan ujian pada 2008?" soal Yusof.

Menurut Brian, proses 'differential extraction' perlu dilaksanakan untuk menyingkirkan sel-sel bukan sperma bagi memastikan DNA tersebut benar-benar datang dari air mani seseorang individu.

Justeru sekiranya pengasingan sel berjaya maka penggunaan slaid mikroskop juga perlu untuk memastikan sel sperma dan bukan sperma berjaya dipisahkan sepenuhnya kata beliau.

Namun Peguamcara Negara II, Datuk Yusof Zainal Abiden mencadangkan bahawa slaid tidak perlu digunakan sekiranya kesemua sel tersebut telah diasingkan melalui proses 'differential extraction'.

Beliau turut menunjukkan dokumen kepada mahkamah menyatakan "pencucian" sel epitelium tidak 'perlu' dilakukan tetapi hanya 'dicadangkan'.

"Awak mengkelaskan eksperimen Dr Seah cacat kerana beliau tidak 'membasuh' sel epitelium?" tanya Yusoff.

"Saya beri keterangan berdasarkan apa-apa yang diberitahu Dr Seah. Dia kata dia tidak melakukannya," jawab Brian.

Brian menyatakan pandangan bahawa terdapat dua akreditasi berbeza.





Ulasan GB

Amat mendukacitakan dan memalukan negara.

Bising-bising pasal DNA, rupa-rupanya pakar-pakar kimia Malaysia bekerja di dalam makmal yang tiada ISO 17025, maka dengan itu wujud kerauan di dalam atacara mereka melakukan kerja!

Maka dengan sebab itu jugalah dari awal minggu, telah terdedah "pakar-pakar" berkenaan tidak menjalankan kerja mengikut SOP, malah tidak mengikut kaedah saintifik yang sepatutnya mejadi amalan bagi seseorang yang bergelar atau hendak digelar "pakar". Pakar dari Australia Dr Brian McDonald dalam keterangannya juga berkata, kesemua ujian DNA perlu ada standard. Ia persoalan mengenai kredibiliti, kredibiliti makmal dan Dr Seah sebagai saintis. Natijahnya, wujud kepincangan-kepincangan di dalam membuat rumusan mengenai DNA lelaki Y yang tiba-tiba dirumuskan oleh mereka sebagai milik Anwar.

GB pernah mengulas isu ini di SINI. Petikan:

Jabatan Kimia masih GAGAL untuk memperolehi Sijil Akreditasi ASCLD/LAB - International Program yang membawa pengiktirafan ISO17025 bagi membolehkan makmalnya menjalankan ujikaji ke atas DNA.

Dan Dr Seah Lay Hong BERBOHONG di dalam mahkamah kerana mengaku makmal DNA Jabatan Kimia mempunyai akreditasi antarabangsa, sedangkan bukti dokumen yang ada menyatakan di sebaliknya.

Tentang blogger pencacai UMNO yang cuba nak membelitkan isu ini kononnya pakar Australia tak rujuk surat lanjutan tempoh semata-mata nak bela Saiful tu tak payahlah nak dijelaskan lagi sebab pakar Australia dah rujuk semua dokumen. Ayat ini buktinya : Namun, selepas lima tahun, Jabatan Kimia masih gagal memperolehi sijil itu dan mereka diberikan tempoh lanjutan sebanyak dua kali yang akan berakhir bulan Oktober ini. Hanya blogger pencacai UMNO itu tidak tahu membaca dengan betul dan sememangnya kerja mereka putarbelit.

Kebenaran tetap kebenaran walau cuba ditutup dengan pelbagai cara. Ia akan terserlah sendiri seperti terselahnya cahaya matahari sekalipun cuba dilindungi awan yang paling gelap.


Pendedahan sebelum ini:



Apa Mahu Jadi Malaysia? Lepas Polis, Anggota SPRM Pula Ditahan Merompak!

Posted: 21 Sep 2011 05:31 PM PDT

Rompakan: Tiga pegawai SPRM ditahan

Tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ditahan hari ini berhubung satu kes rompakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Turut ditahan berhubung kes rompakan berjumlah USD300,000 (RM900,000) itu ialah seorang pegawai kanan, menurut laporan the Star Online petang ini.

Ketiga-tiga pegawai yang ditahan berhubung rompakan ke atas seorang pengurup wang itu telah digantung kerja, kata ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar, menurut laporan itu lagi. -mk

Tiga Pegawai SPRM Samun KLIA Dilucut Tugas

KUALA LUMPUR: Tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan polis dipercayai terlibat dengan kes samun ke atas seorang pengurup wang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah dikecualikan dan dilucutkan daripada sebarang tugasan siasatan.

Ketiga-tiga mereka dilucutkan daripada sebarang tugasan sementara menunggu hasil siasatan polis, menurut kenyataan SPRM yang dikeluarkan di sini, Selasa.

Menurut SPRM ketiga-tiga pegawai itu bukan terdiri daripada pegawai kanan tertinggi suruhanjaya itu seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan hari ini, dan menganggap dakwaan yang dibuat oleh akhbar itu adalah sesuatu yang serius.

SPRM berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini yang mendakwa tiga pegawai kanan tertinggi SPRM ditahan polis Selangor kerana dipercayai terbabit melakukan samun ke atas seorang pengurup wang di KLIA pada 15 Sept lepas.

Menurut suruhanjaya itu, pihaknya sedang membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan yang dijalankan berkaitan kes berkenaan.

"Memandangkan siasatan ini adalah di bawah bidang tugas pihak polis, SPRM berkeyakinan dan percaya bahawa pihak polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus mengenai dakwaan tersebut," menurut suruhanjaya itu. - BERNAMA



Cuai & Salahguna Kuasa: Polis Diperintah Bayar RM900K, Ada Saman Lain Menunggu

Posted: 21 Sep 2011 11:27 AM PDT

Polis diperintah bayar RM900,000 akibat kecuaian

Seorang lelaki yang lumpuh akibat ditembak polis hari ini berjaya dalam tuntutan samannya apabila Mahkamah Tinggi memerintahkan pihak polis membayar ganti rugi berjumlah RM900,000.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Siti Khadijah S. Hassan Badjenid memerintahkan Lans Kopral Nadzri Ahmad dan Ketua Polis Negara membayar jumlah itu meliputi kos tambang ke hospital, kos ulang alik sebagai pesakit luar, kos beg kencing, kehilangan pendapatan dan lain-lain.

Dalam penghakimannya Siti Khadijah berkata perbuatan Nadzri yang melepaskan tembakan terhadap Johari Kasman, 28, (plaintif) jelas menunjukkan salah guna kuasa dan terdapat percanggahan antara keterangan pakar dan afidavit pembelaan berhubung jarak tembakan dilepaskan.

Katanya semasa kejadian Nadzri bertugas dengan memakai pakaian preman dan menahan plaintif kerana berkelakuan mencurigakan tetapi plaintif enggan berhenti hingga timbul pergelutan.

Siti Khadijah berkata walaupun kejadian tembakan itu berlaku, Nadzri tidak melepaskan tanggungjawabnya begitu sahaja malah bertindak membawa plaintif ke hospital.

"Defendan pertama telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Berat mata memandang, berat lagi memikul tanggungjawab. Plaintif mempunyai empat rekod jenayah lampau yang kesemuanya kesalahan mencuri kenderaan.

"Defendan berkata ketika kejadian (23 Oktober 2004) plaintif memandu menggunakan motosikal curi dengan nombor pendaftaran palsu, tetapi defendan tidak mempunyai bukti bahawa plaintif terlibat pada hari itu," katanya.

Pada 18 Oktober 2007, Johari mengemukakan saman terhadap Nadzri dan Ketua Polis Negara kerana cuai hingga menyebabkannya lumpuh setelah ditembak di belakang.

Johari mendakwa Nadzri tidak memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan gagal memberi amaran sebelum menembaknya.

Menerusi pembelaan, kedua-dua defendan berkata tindakan menembak itu bertujuan mempertahankan diri dan sebelum pergelutan berlaku plaintif bertindak menghayun topi keledar beberapa kali hingga terkena kepala Nadzri.

Katanya Plaintif juga cuba merampas pistol defendan.

Sepanjang prosiding Johari memanggil empat orang saksi manakala defendan seramai enam orang.

Peguam V Rajadevan mewakili Johari dan Peguam Kanan Persekutuan Mariam Hasanah Othman mewakili defendan. - Bernama


Polis disaman kerana didakwa seksa lelaki

Tiga tahun lalu, langsung tidak pernah terlintas di fikiran Prabakar Bala Krishna bahawa dia akan menderita kerana perkara-perkara yang dia sendiri tidak terfikir sanggup untuk melakukan

Apabila dia dicekup oleh polis pada malam 23 Dis, 2008 - bersama-sama dengan seorang lagi individu, Solomon Raj Chandran - beliau anggap bahawa ia hanya satu pemeriksaan anti-jenayah yang lazim dan tidak akan mengambil masa yang lama untuk selesai.

Walau bagaimanapun, menurut Prabakar, apa yang dialaminya pada hari-hari selepas itu telah meninggalkan dia dengan trauma dan ketakutan sehingga hari ini.

Selepas lima hari dalam tahanan polis, Prabakar dan Solomon akhirnya dibebaskan dengan kecederaan yang parah - badan mereka melecur. Mereka mendakwa polis mencurah air panas ke atas mereka semasa soal siasat.

"Apabila mereka tangkap saya, mereka hanya beritahu saya bahawa saya disyaki sebagai seorang penjenayah. Saya ikut mereka kerana saya fikir mereka hanya mahu periksa air kencing saya," kata Prabakar yang bertutur dalam bahasa Tamil.

"Tetapi apabila kami sampai (balai polis) Brickfields, mereka mula pukul saya. Bila saya tanya mereka mengapa, mereka arahkan saya supaya senyap dan paksa saya akui pelbagai tuduhan jenayah yang saya enggan lakukan."

Prabakar bersama Solomon berada di kompleks mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur hari ini, untuk bersama-sama memfailkan saman ke atas lapan anggota polis dan kerajaan berhubung dakwaan disiksa. Mereka diiringi peguam merea, N Surendran.

Selain melecur, mereka juga mendakwa polis telah berulang-kali membelasah mereka. Dalam kes Prabakar, dia mendakwa digantung dari kipas siling dengan seutas tali dan diugut akan dibunuh menggunakan tali berkenaan.

Prabakar mendakwa pada hari dia dibebaskan, pihak polis telah memberi amaran kepadanya supaya tidak memberitahu sesiapapun tentang penyeksaan itu, lebih-lebih lagi kerana terdapat parut di perut dan badannya.

"... dan jika sesiapa yang bertanyakan mengenai kesan melecur itu, hanya beritahu bahawa saya tertumpah sup mee panas ke atas diri sendiri," kata pemandu lori berusia 30 tahun itu.

Prabakar berkata, dia dalam ketakutan sejak kejadian itu dan terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri. Katanya, doktor yang merawatnya telah mengesahkan dia mengalami trauma yang teruk. -mk


Ulasan GB

Inikah yang KPN banggakan bahawa polis bersikap profesyenal?

Pendakwaan Mohd Sabu Dikecam Banyak Pihak, PR Anggap Niat Jahat

Posted: 21 Sep 2011 08:36 AM PDT

NGO, parti politik kecam Putrajaya dakwa Mat Sabu

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Sekumpulan 46 pertubuhan bukan kerajaan dan satu parti politik mempertikaikan tindakan pentadbiran membawa Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu ke mahkamah pagi tadi berhubung kenyataannya menyentuh tragedi Bukit Kepong bulan lalu.

Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan itu mendakwa pihaknya kecewa dengan pendakwaan ke atas Mohamad di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

"(Tindakan) mendakwa Mohamad Sabu ini bercanggah dengan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu mempromosikan keterbukaan dan demokrasi ketika (perutusan) Hari Malaysia," kata pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik terbabit dalam satu kenyataan hari ini.

Pertubuhan-pertubuhan itu juga menegaskan perkembangan terbaru hari ini menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan Najib, yang mengumumkan siri pembaharuan, sama ada beliau benar-benar ada kawalan penuh ke atas pasukan polis.

"Kami menggesa agar kerajaan dengan segera menggugurkan tuduhan bersifat politik ke atas Mohamad Sabu dan berhenti daripada menakut-nakutkan pihak yang mencabar kewibawaan fakta sejarah rasmi dan ideologi.

"Kami juga menggesa perdana menteri dan timbalan perdana menteri, daripada menggunakan jentera kerajaan untuk 'menjenayahkan' Mohamad Sabu, berhadapan dengan beliau dalam debat, menerusi TV berhubung isu Bukit Kepong,"
kata beliau lagi.

Kenyataan itu juga menambah, ahli-ahli politik, pegawai polis dan tentera yang sudah bersara selain Perkasa boleh berdebat dengan Mohamad ataupun mencabar pandangan di media atau forum-forum.

"Mereka harus menghormati hak Mohamad Sabu untuk memberikan pandangannya," kata kenyataan itu sambil menambah, menggunakan kuasa kerajaan untuk melenyapkan suara-suara yang berbeza adalah tindakan pengecut.

"Ia menunjukkan pendirian tidak selamat dan tidak yakin untuk menghadapi debat sceara fakta dan alasan kukuh," katanya lagi.

Pagi tadi, Mohamad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth kerana dituduh membuat tohmahan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, 21 Ogos lalu.

Mohamad, 57, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, dari Guar Petai, Tasek Gelugor, mengaku tidak bersalah dan minta dibicara terhadap pertuduhan.

Dia didakwa memfitnah anggota-anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, dengan mengetahui bahawa tohmahan yang dibuat akan merosakkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka.

Mohamad didakwa melakukan kesalahan itu dalam ucapan kepada orang ramai pada 10 malam hingga 12 tengah malam 21 Ogos di hadapan Pusat Asuhan Tadika Islam ) Al-Fahmi, Markas Tarbiyah Pas, Padang Menora, Tasek Gelugor.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan alternatif, Mohamad didakwa telah memfitnah anggota-anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Konstabel Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Feb 1950, dengan membuat tohmahan dalam ucapan kepada orang ramai pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan 27 Oktober sebagai tarikh sebutan semula dan 5 hingga 9 Disember sebagai tarikh perbicaraan kes. -TMI

Pendakwaan 'terpilih' Mat Sabu berniat jahat, kata Pakatan

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Pakatan Rakyat mendakwa Datuk Seri Najib Razak tidak mengotakan janji untuk meningkatkan tahap kebebasan awam apabila mendakwa Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berhubung kenyataannya menyentuh tragedi Bukit Kepong bulan lalu.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan itu sebagai "berniat jahat" dan merupakan pencabulan terhadap janji-janji pembaharuan yang diumumkan Najib minggu lalu.

"Kita juga prihatin apa yang berlaku di Mahkamah Sesyen Butterworth, keputusan kerajaan untuk mendakwa Mat Sabu bercanggah dengan apa yang diwar-warkan Najib sebelum ini.

"Kerajaan mengatakan mahu mansuhkan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) namun pendakwaan ke atas Mat Sabu adalah rakus dan berniat jahat," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini.

Pagi tadi, Mohamad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth kerana dituduh membuat tohmahan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, 21 Ogos lalu.

Mohamad, 57, dari Guar Petai, Tasek Gelugor, mengaku tidak bersalah dan minta dibicara terhadap pertuduhan.

Dia didakwa memfitnah anggota-anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, dengan mengetahui bahawa tohmahan yang dibuat akan merosakkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka.

Mohamad didakwa melakukan kesalahan itu dalam ucapan kepada orang ramai pada 10 malam hingga 12 tengah malam 21 Ogos di hadapan Pusat Asuhan Tadika Islam ) Al-Fahmi, Markas Tarbiyah Pas, Padang Menora, Tasek Gelugor.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan 27 Oktober sebagai tarikh sebutan semula dan 5 hingga 9 Disember sebagai tarikh perbicaraan kes.

Tambah Anwar, Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS-PKR-DAP menentang gerakan komunis.

"Pendirian kita tentang komunis tidak berbangkit kerana kita menentang gerakan komunis militan.

"Kita membantah pendakwaan terpilih Mat Sabu,"
katanya. -TMI


Mat Sabu Mengaku Tidak Bersalah, Bakal Dibicara

BUTTERWORTH 21 SEPT : Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, pada 21 Ogos lalu.

Beliau menyatakan demikian di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin di Mahkamah Seksyen Butterworth di sini sebentar tadi.

Ikmal menetapkan ikat jamin sejumlah RM 15 ribu dan tarikh sebutan kes ialah pada 27 Oktober hadapan dan perbicaraan akan dijalankan pada 5 hingga 9 Disember.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 2 tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu kelihatan tenang tiba di mahkamah dan diiring ratusan penyokong yang tiba sejak jam 8 pagi di perkarangan mahkamah tersebut.

Ketika ditanya komen beliau, Mat Sabu menyatakan kesediaan beliau menghadapi kes tersebut.

"Kes ini berkenaan intrepertasi sejarah dan sepatutnya diselesaikan menerusi dialog dan debat, bukan mahkamah.

"Namun, memandangkan (sudah) jadi kes mahkamah, kita akan hadapinya," kata beliau.




Polis Nak Buka Kertas Siasatan Video Seks II Tapi Tak Siasat Penyebarnya

Posted: 21 Sep 2011 06:53 AM PDT

Video Seks Versi Baru: Polis Akan Buka Kertas Siasatan

KUALA LUMPUR: Pihak polis akan membuka kertas siasatan baru berhubung klip video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana telah dimuatnaik pada Selasa di beberapa laman blog termasuk papagomo.com.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bagaimanapun berkata, ia hanya akan dibuat sekiranya terdapat laporan polis mengenai perkara itu.

"Kita perlu meneliti rakaman itu sebelum membuat siasatan baru.

"Prosedur siasatan yang sama akan dilakukan seperti kes (video seks dikaitkan dengan Anwar) sebelum ini bagi proses pendakwaan," katanya pada sidang media selepas Majlis Ulang Tahun Facebook PDRM dan Pelancaran Twitter PDRM di sini, Rabu.

Beberapa laman blog termasuk papagomo.com pada Selasa menyiarkan klip video berdurasi 16 minit 16 saat yang memaparkan adegan seks seorang lelaki yang didakwa mirip Anwar bersama wanita Cina.

Klip video tersebut dengan jelas menunjukkan aksi seks kedua-dua individu terbabit tanpa sebarang tapisan.

Sementara itu, Ismail berkata, setakat ini peminat Facebook rasmi PDRM mencecah seramai 85,000 orang.

"Facebook rasmi PDRM yang dilancarkan pada 21 September 2010 merupakan sebagai satu aktiviti kemasyarakatan PDRM.

"Melalui alam siber, Facebook PDRM juga bertindak sebagai wadah merapatkan jurang komunikasi dan mengikis persepsi negatif terhadap PDRM," katanya.

Mengenai Twitter PDRM, Ismail berkata, ia merupakan antara platform media sosial yang digunakan untuk menyalurkan maklumat dan hebahan terus kepada masyarakat dengan cepat, tepat dan ringkas.

"Twitter PDRM juga akan menjadi medium untuk mengetengahkan berita semasa PDRM seperti kejayaan tangkapan, program bersama masyarakat serta kenyataan atau siaran media oleh pucuk pimpinan.

"Ini termasuk hebahan umum seperti aktiviti PDRM yang akan dan sedang dijalankan serta laporan kesesakan lalu lintas secara harian terutama pada waktu puncak di laluan-laluan utama seluruh Malaysia," katanya. -mstar


Klip Video Baru Tanda Terdesak : Kak Wan

Semenyih 21 SEPT : Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menganggap tindakan pendedahan satu lagi klip video oleh blogger UMNO sebagai tindakan terdesak untuk memfitnah Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah episod 'sumpah laknat' yang cuba dijalankan sebelum ini gagal.

Wan Azizah menyatakan betapa tindakan itu diambil setelah kegagalan pihak tertentu cuba memburukkan nama Anwar yang juga suami beliau dengan pelbagai fitnah dan tohmahan selain berhadapan kes liwat di Mahkamah.

"Kenapa mereka keluarkan video seks, sekarang keluarkan sedutan keluar lif itu? Sebab kes ini tak menjadi. Rakyat tak percaya. Kes sumpah Datuk Trio itu juga tidak betul dan dapat kita menangkis dan beri hujah bahawa itu tidak benar dan fitnah semata. Mereka ibarat desperado yang nak mempertahankan kekuasaan mereka," kata beliau kepada TV Selangor semalam.

Kelmarin, negara sekali lagi dikejutkan dengan pendedahan terbaru keratan video menerusi rakaman CCTV yang menunjukkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah di media arus perdana setelah di muat-naik (upload) dalam blog pro-umno, Papa Gomo.

Papa Gomo menyiarkan rakaman bertarikh 13 Januari 2011 yang disebutnya sebagai rakaman "eksklusif", menunjukkan dua lelaki yang didakwa ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Anwar, masuk dan keluar lif bangunan Apartmen Ampang, yang dikatakan tempat berlaku aksi seks tersebut.

Menerusi blog tersebut, klip rakaman itu seakan disunting untuk menunjukkan rakaman CCTV itu dengan video seks di Carcosa selari dengan urutan tanda masa peristiwa tersebut.

Bagaimanapun, pendedahan itu menimbulkan keraguan apabila pakaian kedua-dua lelaki dalam CCTV itu, tidak kelihatan sepadan dengan kedua-dua lelaki yang ditunjukkan dalam video seks berkenaan.

Dalam pada itu, Wan Azizah turut mahu rakyat khususnya penyokong Pakatan terus berjuang dalam menentang kezaliman.

"Kita, rakyat mesti teruskan perjuangan. Contohnya ISA. Walaupun baru sebut ISA akan dimansuhkan, itu kemenangan rakyat tapi kita kena teruskan sebab kalau semangat kendur, (perjuangan) akan kedur juga," kata beliau lagi. -tvsnews



Ulasan GB

Dari kenyataan Ketua Polis Negara di atas jelas membuktikan bahawa pihak polis "bekerjasama" dengan blogger-blogger UMNO mengedarkan bahan lucah.

Malah pihak semacam tidak sabar-sabar hendak membuka kertas siasatan baru terhadap video seks itu sedangkan para penyebarnya didiamkan begitu saja, walhal laporan polis yang dibuat terhadap penyebar-penyebar klip video berkenaan sebelum ini tidak dihiraukan.

Sedangkan para penyebar-penyebarnya yang telah melakukan kesalahan yang nyata kerana

Klip video tersebut dengan jelas menunjukkan aksi seks kedua-dua individu terbabit tanpa sebarang tapisan.

Sungguh malang negara ini apabila polis mebiarkan mereka diperalatkan sebegitu rupa sehingga melupakan prinsip asas keadilan dan kebenaran.

Laporan sebelum ini




Dr.Asri: Pas Kelantan Tidak Bersalah

Posted: 21 Sep 2011 05:00 AM PDT

Pas Kelantan tidak bersalah jika gagal melaksanakan hukum hudud seperti yang dikehendaki sejak 1993 kerana suasana kondusif masih tidak mencukupi selain kuasa Kerajaan Negeri yang terhad.

Sehubungan dengan itu, Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin (gambar) menyarankan kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggiatkan kempen kebaikan undang-undang Islam itu terlebih dahulu bagi mengelak tanggapan negatif masyarakat khususnya bukan Islam.

"Kerajaan Negeri tiada kuasa penuh untuk laksanakan hukum ini.

"Jika dibuat ia akan terdedah kepada eksploitasi dan ini bahaya. Bagi saya Kelantan elok kempenkan keindahan hudud itu dahulu, tidak payah fikir dan buat hudud kerana melaksanakannya bukan bidang kuasa Kerajaan Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja "Hudud suatu Perbincangan Tanggapan, Suasana dan Keberkesanan" di seminar Undang-Undang Syariah Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Hari Hududullah Kelantan yang dirasmikan Nik Abdul Aziz.

Menurutnya, jika Pas Kelantan tidak melaksanakan hudud ia tidak melanggar syariat Islam kerana undang-undang itu gagal dibuat disebabkan suasana negeri itu yang tidak kondusif.

"Saya faham perasaan bimbang Menteri Besar Kelantan sebagai pemerintah untuk laksanakan hudud kerana beliau takut disoal Allah kelak, tetapi kuasa Kerajaan Negeri terhad dan ia ditentukan Kerajaan Pusat.

"Jika tidak laksanakan hudud, beliau tidak melanggar syariat Islam kerana faktor-faktor itu. Dalam isu ini ia harus dilihat dalam kerangka lebih luas," katanya.

Menurutnya, hukum hudud memerlukan ijtihad-ijtihad baru sebelum dilaksanakan kerana keadaan masyarakat majmuk di negara ini menyebabkan ia tidak boleh terikat dengan teks lama.

Dalam usaha itu, katanya, kerajaan perlu mempromosikan aspek keadilan dalam pemerintahan, kebajikan rakyat, kesaksamaan dan sebagainya secara habis-habisan supaya masyarakat benar-benar memahami syariat Islam itu.

Dr Asri berkata, Malaysia tidak kondusif melaksanakan hukum hudud setakat ini tetapi usaha ke arah itu perlu dilakukan supaya masyarakat bukan Islam dan antarabangsa mendapat gambaran jelas mengenai hukum berkenaan. -SH

Bekas Atlet Boling SUKMA Dipenjara 5 Tahun Perkosa Gadis Bawah Umur

Posted: 21 Sep 2011 03:30 AM PDT

Melaka: Bekas atlet boling Sukan Malaysia (Sukma) negeri, Nor Afizal Azizan, 20, yang sebelum ini dilepaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik selama lima tahun tanpa cagaran RM25,000 atas kesalahan merogol seorang gadis bawah umur tahun lalu, dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin membuat keputusan itu selepas meneliti secara terperinci fakta kes dan keseluruhan hujahan timbalan pendakwa raya (perayu) dan peguam tertuduh (responden) pada prosiding rayuan silang itu.

Beliau turut menegaskan mahkamah perlu berhati-hati menggunakan peruntukan Seksyen 294 Kanun Acara Jenayah (KAJ) bagi kes rogol.

"Mengikut fakta, kedua-dua pihak iaitu mangsa dan responden sepatutnya dipersalahkan kerana mangsa juga sukarela dalam kejadian rogol ini. Namun, ini kesalahan serius walaupun ada fakta responden seorang atlet Sukma dan punya masa depan cerah, ia tidak cukup untuk mahkamah memberi pertimbangan hukuman mengikut peruntukan Seksyen 294 KAJ.

"Kesalahan Seksyen 376 Kanun Keseksaan ini dilaporkan berlaku setiap hari ketika ini, sebab itu timbul isu buang bayi dan sebagainya.

"Jika mahkamah mengesahkan perintah seksyen berkenaan, bermakna ia mengizinkan kejadian (rogol) berlaku,"
katanya.

Ahmad Nasfy berkata, jika mahkamah meneruskan perintah Seksyen 294 KAJ akan menjadi rujukan yang tidak berpatutan (bad president) kepada mahkamah rendah dalam kes berkaitan selepas ini.

"Terpulang kepada mahkamah atasan menimbang keputusan ini. Atas semua sebab dinyatakan ini, saya mengubah keputusan hukuman dan perintah Seksyen 294 KAJ diketepikan dan diganti penjara lima tahun mulai hari ini (semalam)," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin merayu diketepikan keputusan hukuman Mahkamah Sesyen bertarikh 5 Julai lalu dan berhujah atas beberapa faktor, perbezaan umur responden dan mangsa, isu tiada paksaan atau suka sama suka serta status responden sebagai atlet boling bukan 'tiket'untuk mendapat hukuman ringan.

"Beza umur responden enam tahun dengan mangsa sepatutnya dia lebih matang memikirkan kesan dan akibat perbuatannya. Malah, sebagai pemain boling dia sepatutnya menjaga imejnya dan tidak melakukan perbuatan salah di sisi agama Islam dan undang-undang.

"Selain itu, dia tidak patut menggunakan statusnya untuk dapatkan hukuman rendah.

Adakah semua atlet mesti diberikan peluang seperti responden jika melakukan kesalahan?" katanya.

Tiada ulasan: