Kelab Greenboc |
- Suami Isteri Maut Kereta Rempuh Bas Politeknik
- Kini Bukan Mat Sabu, Tapi UMNO Yang Nak Ubah Fakta Sejarah
- Isu Caj 6% Kad Prabayar: CAP & FOMCA Turut Bantah
- Penswastaan Indah Water: Najib Ulang Kerja Bodoh Mahathir
- Kisah Cinta Terhalang: Mati Dalam Pelukan Teman Wanitanya
- Gerakan Untuk Jatuhkan Najib Dalam UMNO Sudah Bermula
- [Bergambar] Isu Keluar Parti: Antara Pembohongan & Realiti
- UMNO Terpukul Sebagai Talibarut Penjajah, Zainal Kling Pusing Kata Malaya Tak Pernah Dijajah!
- Isu Mat Indera: Mentaliti Ghani Othman Dan UMNO Masih Terjajah
- Natasya Berjanji Untuk Jadi Lelaki Semula
- Pengampu Rosmah Sahkan Pembelian Berlian RM24 Juta
Suami Isteri Maut Kereta Rempuh Bas Politeknik Posted: 10 Sep 2011 01:00 AM PDT Sepasang suami isteri maut selepas kereta Proton Iswara yang dipandu si suami, Abu Saribi, 62, dipercayai terbabas sehingga memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas yang membawa 30 pelajar Politeknik Johor Bahru, di sini, semalam. Kejadian yang berlaku di Kilometer 47 Jalan Johor Bahru- Mersing itu berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika mangsa, bersama isterinya, Zaharah Giser, 57, dari Felda Lok Heng Barat di dalam perjalanan menuju ke rumah anaknya di Larkin Perdana, Johor Bahru. Saksi kejadian, Nurakashah Kassim,26, berkata, dia yang duduk di barisan dua dari hadapan bas tersebut melihat sendiri kereta berkenaan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas yang dinaikinya. "Saya terkejut apabila melihat kereta dari arah hadapan tiba-tiba memasuki laluan kami. Bas yang kami naiki sempat mengelak sedikit namun kereta tersebut terus meluru ke arah bas. "Kami yang begitu terkejut segera turun ke bawah sebelum pelajar di bawa menaiki bas yang lainnya untuk ke destinasi," katanya yang juga pensyarah di politeknik tersebut. Katanya, mereka ketika itu dalam perjalanan untuk ke Tanjung Leman bersama dua lagi bas yang lainnya membawa pelajar jurusan pelancongan mengikuti kursus selama tiga hari dua malam. Sementara itu, pemandu bas, Mohd Ismail Daud, 29, berkata, kereta yang dipandu mangsa meluru dari arah belakang sebuah lori sempat dielak namun tetap bertembung dengan bas yang dipandunya. "Keadaan terlalu pantas apabila kereta tersebut tiba-tiba muncul dari belakang sebuah lori lalu terus menuju ke arah bas. Saya juga sempat mengelak namun kenderaan kami tetap bertembung," katanya yang sudah mempunyai pengalaman selama 8 tahun membawa bas. Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Suhaimy Hashim, ketika dihubungi mengesahkan kemalangan maut yang melibatkan pasangan suami isteri itu. "Siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang bas yang lain terselamat dan tiada kecederaan dilaporkan. Penumpang bas juga dibawa ke destinasi yang ingin dituju dengan menaiki dua bas politeknik yang lainnya," katanya. -SH |
Kini Bukan Mat Sabu, Tapi UMNO Yang Nak Ubah Fakta Sejarah Posted: 10 Sep 2011 12:00 AM PDT Bukan dijajah: PAS cabar Majlis Profesor terbit bahan ilimiah PAS mencabar Majlis Profesor Negara (MPN) terutama jurucakapnya Profesor Zainal Kling agar menulis artikel atau buku ilmiah bagi mengemukakan cadangannya bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah dan pegawai yang berkhidmat semasa zaman kependudukan British tidak boleh disebut pegawai British. "Demikianlah sepatutnya seseorang ahli akademik apalagi yang bergelar profesor mengemukakan sesuatu pandangan supaya pandangannya dapat dinilai dan dibahaskan oleh ahli-ahli lain dalam komuniti akademik. Mengeluarkan sesuatu cadangan intelek atau tesis tidak memadai hanya melalui sehelai dua muka surat kenyataan akhbar," kata Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Ahmad Zuhdi Marzuki. Malah kata beliau, mengemukakan cadangan intelek melalui cara itu bukanlah kaedah ahli-ahli akademik, sebaliknya cara orang awam termasuklah ahli-ahli politik. "Sekiranya sesuatu pandangan ahli akademik termasuklah profesor dikemukakan melalui kaedah ini, maka ia tidak mempunyai nilai intelek, sebaliknya samalah seperti sembang-sembang politik orang awam di kedai kopi," tambah beliau mengulas mengenai pandangan beberapa ahli akademik sejak kebelakangan ini bahawa negara ini tidak pernah dijajah oleh British, sebaliknya hanya mendapat naungan Britain. "Sebaliknya, sekiranya seseorang ahli politik menggunakan kaedah akademik iaitu menerbitkan artikel atau buku ilmiah untuk mengemukakan pandangannya, maka pandangan itu adalah sarat nilai akademik. "Oleh sebab itu, PPP melihat tindakan MPN itu merendahkan martabat akademik mereka sendiri," katanya lagi. Ahmad Zuhdi juga menambah, cadangan yang dikemukakan oleh MPN khususnya beberapa profesor seperti Zainal Kling, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dan Prof Dr Ramlah Adam bukan satu perkara yang kecil, sebaliknya menyanggah tesis yang sudah diterima oleh ramai ahli akademik dalam mahupun di luar negara. "Kependudukan British sebelum 31 Ogos 1957 di Tanah Melayu, rata-rata diterima oleh para ahli akademik sebagai penjajahan sama ada di Negeri-negeri Selat, Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu tidak bersekutu manakala pentadbirannya disebut pentadbiran oleh British. "Di atas premis inilah, kajian-kajian sama ada di peringkat sarjana Muda, sarjana, doktor falsafah dan pasca kedoktoran telah dibuat sejak bertahun-tahun," katanya lagi. "Takrifan kolonialisme yang dipilih juga tidak dijelaskan kaedah pentakrifannya dan jauh sekali keabsahan sumbernya. Tidakkah istilah 'naungan' pada kurun ke-19 lazimnya adalah merujuk kepada 'colonial protectorate'. "Demikian juga dengan istilah 'lindungan' lazim merujuk kepada penjajahan sebagaimana status negara Brunei sebelum merdeka. Kalaulah kedua istilah ini tidak bermaksud jajahan, maka Empayar British adalah kecil iaitu hanya Australia, New Zealand, Kanada, India-Pakistan, Sri Langka, Nigeria, Papua New Guinea dan Negeri-negeri Melayu Selat. "Menyedari hakikat tersebut, tesis yang dikemukakan oleh MPN bukan hanya melibatkan Malaysia, bahkan status negara-negara lain seperti Uganda, Maldives, Palestin dan Mesir," kata Ahmad Zuhdi lagi. -TMI Khaled: Subjek Sejarah dikaji semula Ulasan GB Pada awalnya, sewaktu kisah Mat Indera menggegarkan negara, Mat Sabu dituduh ingin mengubahkan fakta sejarah. Namun setelah terbongkar beberapa kisah yang menunjukkan bahawa UMNO itu talibarut penjajah, terutama pihak "mata-mata" yang mempertahankan rejim kolonial, kini UMNO berhempas-pulas untuk menafikan "fakta sejarah" tersebut. Maka timbul kenyataan menyataan kononnya Malaya tidak pernah dijajah, hanya dinaungi dan dilindungi British. Kemudian timbul kenyataan bekas Ketua Polis Negara yang tersipu malu dengan kenyataan dan kebenaran bahawa anggota polis yang berkhidmat dahulu adalah polis kolonial tetapi sebaliknya beliau mendakwa "kami dari dulu bukan polis British, kami polis negara ini". Sedangkan seluruh dunia tahu, polis-polis di negara-negara kolonial British mempunyai identiti yang serupa, samada di Malaya, Afrika, India atau mana-mana tanah jajahan British - dari segi pakaiannya, "rumah pasongnya", tindakannya, modus operandinya - kesemuanya adalah tertakluk kepada apa yang diamalkan oleh polis British sendiri. Bukan sekadar polis, malah tentera, sistem kehakiman, kabinet, semuanya adalah diwarisi dari 'penjajah' British dengan sedikit "make-up" sana sini untuk identiti setempat. Malah saki-baki pegawai-pegawai kerajaan dengan mentaliti penjajah masih kedapatan di beberapa jebatan kerajaan. Termasuk para menteri kabinet juga. Malah ada diantaranya lebih inggeris daripada penjajah sendiri. Itu fakta, itu kenyataan, itu kebenaran yang tidak boleh dipadam dari lembaran sejarah. Tetapi kini UMNO terasa begitu malu kerana sudah terbongkar bahawa mereka adalah talibarut penjajah, maka fakta sejarah itu hendak diubahnya sesuka hati untuk memadamkan rekod berkenaan. Sejarah sebenar itu tetap wujud, seperti matahari yang bersinar sekalipun awan mendung hitam pekat cuba melindungi cahaya berkenaan. Baca juga: |
Isu Caj 6% Kad Prabayar: CAP & FOMCA Turut Bantah Posted: 09 Sep 2011 09:54 PM PDT Pendapatan syarikat telekomunikasi merosot tidak benar Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya menangguhkan terlebih dahulu langkah oleh syarikat telekomunikasi yang akan mengenakan cukai perkhidmatan 6% terhadap pengguna telefon prabayar. Presiden CAP, SM Mohamed Idris (gambar) berkata, syarikat telekomunikasi mendakwa mereka telah menyerap cukai itu sejak ia dikenakan pada 1998 dan disebabkan oleh kemerosotan hasil pendapatan, mereka kini mahu melepaskannya kepada pengguna. "Untuk mengatakan bahawa pendapatan mereka telah merosot adalah jauh daripada benar," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Katanya, pengguna telefon prabayar telah menghadapi pelbagai syarat dan terma yang tidak adil yang dikenakan oleh syarikat telekomunikasi terutama sekali apabila syarikat menelan/merampas baki dalam akaun mereka apabila mereka tidak menambah nilai akaun mereka dalam tempoh yang sah. Untuk mengekalkan nombor prabayar, ujarnya pelanggan perlu menambah nilai dengan jumlah minimum RM5.00. Bagaimanapun, kata beliau menambah nilai dengan jumlah RM30 akan memberikan tempoh sah selama 30 hari. Menurutnya, selepas tamat tempoh 30 hari, pelanggan akan disekat daripada membuat panggilan tetapi panggilan masuk sah untuk 90 hari. Pelanggan, ujarnya boleh mengaktifkan talian dengan menambah nilai bila-bila masa dalam tempoh 90 hari. Beliau berkata, jika talian tidak ditambah nilai dalam tempoh 90 hari talian akan dibatalkan dan baki kredit yang masih ada akan dirampas dan tiada bayaran semula diberikan. Contohnya, kata beliau jika pengguna prabayar mempunyai talian yang bakinya RM100 tetapi tempoh sahnya telah tamat, syarikat telekomunikasi akan merampas baki yang ada. "Adakah ini sah di sisi undang-undang? "Jika ianya sah, di bawah undang-undang dan peraturan apakah syarikat ini dibenarkan untuk merampas baki yang ada," ujarnya. Menurutnya, negara seperti England telah menghentikan pengendali telekomunikasi daripada menggunakan amalan ini. Seharusnya, tambah beliau terdapat sistem di mana nombor perlu mempunyai kesahan sepanjang masa dan bila-bila masa pelanggan yang mahu mengaktifkan talian (malah selepas tempoh tamat) hanya perlu menambah nilai talian dan perlu diaktifkan. Contohnya, ujar beliau ahli perniagaan asing yang datang ke Malaysia, katakan tiga atau empat kali setahun dan memerlukan nombor telefon tempatan tetapi tidak mahukan talian pascabayar yang dikenakan caj bulanan kira-kira RM30 perlu untuk mendapatkan talian prabayar yang mempunyai kesahan sepanjang masa tetapi dengan tempoh tamat selaras dengan jumlah tambah nilai pelanggan. Ujarnya, apabila mereka kembali semula ke Malaysia dan kesahannya telah tamat, apa yang perlu dilakukan hanyalah dengan menambah nilai talian dan perkhidmatannya boleh disambung semula daripada talian menjadi tidak sah dan terpaksa mendapatkan talian baru serta memulakannya semula. Pengguna, katanya mungkin tidak menyedari bahawa pengguna prabayar dan pascabayar dikenakan bayaran bagi panggilan yang tidak dijawab atau bagi panggilan yang dialihkan ke kotak mel suara. Caj yang dikenakan pada masa ini ialah 10 sen. Pengguna sebenarnya, kata beliau boleh mendapatkan semula bayaran daripada pengendali telekomunikasi bagi caj yang dikenakan sekiranya mereka boleh menyerahkan penyata sebagai bukti. Bagaimanapun dalam kes pengguna prabayar, penyata tidak disediakan melainkan pengguna meminta untuk mendapatkan penyata itu. "Memandangkan kepada hakikat bahawa terdapat beberapa juta pengguna dan beberapa juta panggilan yang dibuat, pengendali telekomunikasi boleh mengaut sejumlah besar setiap bulan daripada caj yang dikenakan ini. "Ini jelas satu pencatutan dan tindakan perlu diambil terhadap syarikat ini," katanya. Sehubungan itu, katanya CAP menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menangguhkan terlebih dahulu setiap usaha yang dibuat oleh pengendali telekomunikasi daripada pengenakan cukai perkhidmatan ini dan sebagai ganti menangani semua kekurangan dan terma yang tidak adil yang dikenakan terhadap pengguna telefon bimbit. -HD Teliti Semula Caj Perkhidmatan 'Call Block' Bukan Naikan Caj Kad Prabayar |
Penswastaan Indah Water: Najib Ulang Kerja Bodoh Mahathir Posted: 09 Sep 2011 08:02 PM PDT Langkah kerajaan mahu menswastakan syarikat pembetungan Indah Water Konsortium (IWk) kepada sebuah syarikat pelaburan strategik 1MDB dengan membabitkan Puncak Niaga, merupakan satu tindakan kurang bijak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam mengulangi kegagalan regim Mahathir Mohamad kira-kira 10 tahun lalu. Langkah itu menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad akan menyebabkan pembaziran wang rakyat dan ia tidak sepatutnya berlaku. "Ini kerja kurang bijak. Kerja Najib yang mengulangi kerja "bodoh" regim Mahathir. Najib mengulangi Mahathirisme. "Penswastaan begini dengan diberikan langsung, tidak dibuka tender, tidak dicari oang yang layak, tidak ditentukan kepakarannya, kebolehan kewangannya. Apa yang merseka lakukan ialah untuk beri kepada kroni kerana dalam waktu terdekat ini akan berlakunya pilihan raya," kata Dr Dzul. Portal The Malaysian Insider semalam memetik sumber-sumber dari Kementerian Kewangan memberitahu bahawa IWK bakal diambil alih oleh 1MDB dengan membabitkan Puncak Niaga. Difahamkan juga, ia telah diberikan lampu hijau oleh Najib. "Penswastaan dan berakhir dengan kegagalan... Dalam penswastaan yang kita saksikan (pada) zaman Mahathir, ia berakhir dengan cerita-cerita duka yang membebankan wang rakyat untuk syarikat-syarikat ini di bail-out. Hari ini setelah Najib membentangkan model ekonomi baru, ETP, EPP, NKRA, NKEA, berakhir dengan begini jugak, cara dan modes operandi urus tadbir sektor-sektor utiliti ini kembali kepada swasta. Esok bila gagal, ambil balik dan selamatkan balik. Jadi sampai bila kita harus macam ini? " Sampai bila rakyat dan dana rakyat akan diperguna cara begini," soalnya ketika dihubungi Tv Selangor hari ini. Kira-kira 11 tahun lalu, kerajaan terpaksa menyelamatkan syarikat itu selepas syarikat terdahulu berhadapan dengan masalah kewangan. Menurut Dr Dzul lagi, projek yang diberikan kepada 1MDB dan Puncak Niaga secara terus juga menggambarkan ketidaktelusan pihak yang terbabit dalam pemberian projek ini. "Kenapa diberi kepada Puncak Niaga, pihak paling tak layak nak uruskan tentang pembetungan dan sebagainya. Sebab terbukti mereka gagal di Selangor ini dalam industri air Selangor, dalam Syabas. Jadi kalaulah Najib bercakap tentang merit daya saing, mengapa terus-terusan beri kepada 1MDB dan Puncak Niaga," soalnya lagi. Bagaimanapun menurut Dr Dzul, beliau memahami helah kerajaan di sebalik pemberian projek ini. "Sebab inilah syarikat-syarikat yang didakwa memberikan dana politik kepada Umno-Barisan Nasional. "Ini bukan saya cakap.. ini tokoh-tokoh akademik dalam buku-buku mereka mengenai ekonomi politik. Saya tak perlu mengungkap sendiri, saya tak perlu buat dakwaan kerana mereka telah banyak buat dakwaan tentang perhubungan sumbang antara orang bisnes dan elit politik tertinggi negara," tegas Dr Dzul. Malah ujar Dr Dzul, sehingga kini tiada sebarang pembaharuan dari sudut ekonomi yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. "Dengan kata lain, apa yang baru di Malaysia ni, apa yang dikatakan dengan nafas baru, ekonomi baru, model ekonomi baru. Apa yang baru? Tidak ada apa yang berubah. Apa yang baru? Tiada. Dalam bahasa ekonomi di kata "doing more of the same thing" .Mengulangi kembali cara lama," tambah beliau lagi. IWK kini merupakan syarikat dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan. Sejak itu, IWK telah mengambil alih perkhidmatan pembetungan daripada semua pihak berkuasa tempatan kecuali Kelantan, Sabah, Sarawak dan Majlis Perbandaran Johor Baru. Di bawah cadangan itu, konsortium 1MDB akan memperoleh IWK dengan bayaran RM1 dan mengambil alih kesemua hutangnya termasuk pinjaman lebih RM1.5 bilion yang ia perlu selesaikan kepada Kementerian Kewangan. Konsortium itu mahukan konsesi selama 60 tahun. Ia juga mempunyai rancangan untuk mengaitkan caj-caj pembetungan dengan bil air. Rancangan itu boleh mencetuskan kontroversi pusingan baru ekoran kurangnya ketelusan berkaitan perundingan itu, dengan pengguna bimbang mengenai perjanjian membabitkan IWK. Sejak dari hari pertama, IWK berhadapan dengan masalah menyakinkan rakyat yang skeptikal untuk membayar bil berasingan, yang sebelum itu diselesaikan bersama bil air. Pada 2000, pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad membayar hampir RM200 juta untuk memiliknegarakan IWK demi menjaga kepentingan awam dan mengelakkan gangguan perkhidmatan. Langkah itu diambil untuk menangani masalah hutang syarikat tersebut ketika itu dianggarkan RM700 juta. Malah, rancangan baru kerajaan pentadbiran Najib ini dilihat kemungkinan mencetuskan kritikan yang sama sebab membabitkan 1MDB dan Puncak Niaga, sebuah syarikat yang berhubung kait secara politik dengan Putrajaya. -tvsnews |
Kisah Cinta Terhalang: Mati Dalam Pelukan Teman Wanitanya Posted: 09 Sep 2011 07:20 PM PDT Riwayat cinta SEREMBAN: Kecewa apabila cinta dihalang keluarga, sepasang kekasih nekad minum racun menyebabkan seorang lelaki maut manakala teman wanitanya kini koma di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) di sini. Dalam kejadian jam 8 pagi semalam di rumah di Taman Bunga Sejati, Nyatoh, Rantau, di sini, Muhammad Faizal Raj Abdullah, 28, mati di tempat kejadian manakala Zuzziana Rahmat, 18, ditemui kritikal. Seorang jiran, Suthir Baba, 26, menemui pasangan kekasih itu dalam keadaan berpelukan di ruang tamu rumah dengan mulut dan hidung masing-masing berbuih. Suthir berkata, dia menyedari kejadian itu ketika pulang dari bekerja jam 8.20 pagi selepas melihat wanita membuka pintu pagar dan kemudian masuk semula ke dalam rumah. Menurutnya, selang beberapa minit dia terdengar bunyi orang bernafas kuat dari dalam rumah itu sebelum dia dan seorang lagi jiran meninjau untuk melihat apa yang berlaku. -HM
|
Gerakan Untuk Jatuhkan Najib Dalam UMNO Sudah Bermula Posted: 09 Sep 2011 05:30 PM PDT Kempen 'Bersihkan Najib' dari dalam Umno? PETALING JAYA, 9 Sept: Satu gerakan tersusun yang dinamakan 'Bersihkan Najib' di dalam Umno untuk menolak Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan mula dijalankan oleh pihak tertentu di dalam parti itu. Selain serangan terus terhadap Najib sendiri, gerakan tersebut juga dikatakan banyak menumpukan serangan ke atas isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor bagi melemahkan kredibiliti Najib sebagai pemimpin nombor satu negara itu. Demikian menurut sebuah blog pro Umno terkenal, www.umno-reform2.com yang dikendalikan oleh Anuar Mohd Nor yang juga merupakan Ketua Eksekutif Institut Kajian Asas Kemasyarakatan, lapor Free Malaysia Today. "Paling ketara usaha ini menjalankan serangan ke atas Rosmah untuk memperkecil kredibiliti Najib dan mendesak beliau supaya berundur," menurut petikan entri dari blog terbabit. Penulis blog terbabit juga percaya pihak-pihak di dalam Umno akan membuat penafian sekaligus menyatakan ikrar taat setia terhadap presiden Umno itu. "Setakat ini realiti program untuk menjatuhkan dan mendesak Najib untuk melepaskan jawatan adalah benar dan wujud walaupun mungkin penafian akan timbul tetapi Najib harus tahu realiti yang ada ini," tulis beliau lagi. Bagaimanapun, beliau yang mendakwa mengetahui beberapa nama terlibat dengan gerakan ini masih belum mahu mendedahkan pihak -pihak yang memainkan peranan menjalankan agenda 'Bersihkan Najib' dari Umno ini. "Suara yang menamakan mereka yang terbabit sudah ada sungguhpun www.umno-reform2.com belum berhajat untuk memaklumkannya," tambah beliau lagi. Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan seorang pemimpin Umno di peringkat bahagian dari negeri Selangor turut percaya kewujudan gerakan 'Bersihkan Najib' tersebut. Beliau yang enggan mendedahkan identitinya itu mendakwa, gerakan untuk menjatuhkan Najib itu diketahuinya apabila diberitahu oleh seorang pemimpin peringkat negeri kira-kira tiga bulan lalu. "Benda ni agak dah lama saya tahu, lebih kurang tiga bulan lepas bila seorang pemimpin peringkat negeri memaklumkan kepada saya," ujar beliau ketika ditemui di sini. Najib gagal kawal tindak-tanduk isteri? Menurutnya antara sebab utama berlakunya penolakan kepimpinan Najib dari dalam Umno sendiri berpunca daripada Najib yang dikatakan gagal mengawal tindak-tanduk isterinya. (Rosmah mendapat slot khas untuk memberikan ucapan hari raya di tv menimbulkan banyak tanda tanya) "Najib bukan sahaja nampak lemah dalam beberapa aspek kepimpinannya, imejnya, tapi lebih teruk lagi tindak-tanduk isterinya semakin memberatkan agenda Umno dan Barisan Nasional untuk meraih keputusan yang baik dalam pilihan raya akan datang. "Walaupun Najib dan pemimpin Umno yang lain memang berusaha memberikan persepsi positif di mata rakyat terhadap penglibatan Rosmah dalam urusan kerajaan, orang ramai tetap menganggap sebaliknya. "Dalam isu isteri PM ini, apa yang dilihat oleh ahli-ahli Umno khususnya golongan akar umbi tidak menunjukan apa yang dikatakan oleh Najib mahupun pemimpin-pemimpin Umno sendiri. "Lebih menghairankan, saya dan kebanyakan rakan-rakan lain dalam Umno percaya Najib sendiri sedar kesan negatif dari tindak-tanduk isterinya itu, tetapi malangnya Najib seolah-olah tidak dapat berbuat apa-apa tentangnya," ujarnya. -HD Ulasan GB Jika laporan dari blogger UMNO di atas adalah benar maka ia menepati pemerhatian GB sebelum ini. GB pernah menyatakan di SINI bahawa: Jika sebelum ini diketahui, dahulu, Najib begitu beriya-iya ingin mengambil-alih tampuk pemerintahan dari tangan Pak Lah, kini, Najib akan merasakan hal yang sama malah mungkin lebih dasyat. GB difahamkan, pelbagai tekanan dilakukan oleh pihak Najib ke atas pentadbiran Pak Lah supaya Pak Lah berundur dan terpaksa melambaikan tangan mengucapkan sayonara kepada Jabatan Perdana Menteri lebih awal... tidak dapat memenuhi hasratnya menjadi PM selama dua penggal (Tempoh Pak Lah sebagai PM ialah 31 Oktober 2003 – 3 April 2009). Dan diantara penyebab kejatuhan Najib adalah kerana perangai isterinya yang bernama Rsomah Mansor itu. Di dalam satu tulisan GB sebelum ini iaitu Najib Bakal Jatuh Tergolek Kerana Rosmah, GB menyatakan:
Kesemuanya kini semakin hampir menjadi kenyataan. |
[Bergambar] Isu Keluar Parti: Antara Pembohongan & Realiti Posted: 09 Sep 2011 09:41 AM PDT Kenyataan Rasmi : Isu 50 Ahli PAS Keluar Parti - pt_kedah Merujuk kepada berita Bernama pada 8 Sept 2011 bertajuk Lebih 50 Anggota Pas Padang Terap Keluar Parti Marah Kenyataan Mat Sabu, kami Dewan Pemuda PAS Padang Terap ingin menyatakan UMNO sanggup menipu rakyat, sudah kehabisan modal dan ketandusan isu untuk menyerang PAS. Itu kesimpulan tepat berkaitan isu 50 orang lompat parti di Padang Terap. Ada beberapa isu yang perlu dijawab oleh Umno dan difikirkan oleh rakyat. 1. Berapa ramai sebenarnya yang melompat parti. Menurut berita RTM1, yang masuk UMNO TUJUH orang. Berita Bernama dan akhbar Sinar Harian melaporkan 50 orang. Dalam gambar yang ditayangkan hanya DUA orang. Apapun seperti biasa akhbar akan bagi jumlah yang besar dan memanipilasi angka untuk meraih sokongan rakyat. Tidak mungkin Umno sanggup masuk berita tajuk utama muka hadapan dengan tajuk: "DUA ORANG MASUK UMNO DI PADANG TERAP", sedangkan Dato Seri Mahawangsa Mahadzir Khalid adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno dan ketua pembangkang UMNO Kedah yang jugak Ketua Bahagian Umno Padang Terap. Siapakah yang menipu dalam isu ini? Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Padang Terap mencabar Dato' Seri Mahawangsa Mahadzir Khalid menyenaraikan nama-nama "ahli PAS" yang melompat itu dan daripada mana cawangan keahlian mereka. Sekiranya beliau gagal buktikan dalam masa tiga hari, maka benarlah bahawa beliau hanya cuba menipu rakyat Padang Terap. Kami akan sedarkan rakyat dengan segala mekanisma yang ada untuk buktikan bahawa beliau bulan setakat menipu rakyat Padang Terap, tetapi rakyat Kedah dan juga Malaysia. 2. RTM 1 menyiarkan rakaman temubual wartawan dengan En Ismail Abdullah atau dikenali sebagai "Ismail Yamaha". Siapa yang menonton televisyen akan memahami isu sebenar iaitu beliau tidak puashati dengan Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Kg tandop Besar iaitu saudara Omar Bin Mat Zain yang dilantik oleh kerajaan negeri. Kononnya MKK, PAS dan kerajaan negeri tidak berperanan sewajarnya dalam membantu En Ismail yang ditimpa musibah. Bumbung rumahnya diterbangkan ribut. Ahli Parlimen Padang Terap YB Ustaz Mohd Nasir bin Zakaria merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan sendiri turun bersama pengerusi MKK menyampaikan sumbangan dan diterima oleh isterinya. Gambar dilampirkan adalah buktinya. Malah, beliau menyerahkan sumbangan melalui PAS cawangan untuk disampaikan kepada En Ismail. 3. Temubual wartawan berkenaan isu Timbalan Presiden PAS dan Mat Indera telah dijawab oleh anak beliau En Yusuf Ismail. Sekali lagi berlaku kekeliruan laporan akhbar dan tv. Isu komunis atau isu bantuan? Sekiranya mahu bantuan sila ambil, namun memutarkan isu adalah sangat tidak beretika dan memalukan. Tiada isu majlis penyerahan borang UMNO kerana protes kepada Timbalan Presiden PAS.Isu sebenar ialah isu tidak puas hati kepada beberapa pihak. 4. Isu ini sebenarnya sengaja ditimbulkan untuk menutup penyelewengan yang dilakukan terhadap amanah rakyat. Isu sebenar ialah kegagalan dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin politik tetapi yang menjadi mangsa ialah rakyat yang tidak berdosa. Sila lihat dan sebarkan penyelewengan DSM Mahadzir Khalid sebagai Pengerusi Seri Temin Development SDN BHD yang menggunakan wang GLC untuk parti UMNO.Ini rekod penyelewengan yang berlaku di Padang Terap. Duit rakyat diambil ini diambil untuk program parti. Sungguh menjijikkan. Jumlah ini tidak termasuk RM130,000.00 yang diagih pada Pilihanraya Umum 2008. Semua ini diambil dari rekod Audit: 1) Membiayai Pergerakan Pemuda UMNO padang Terap untuk pembelian T Shirt dan wang saguhati aktiviti konvoi bermotorsikal sebanyak RM4.000.00. 2) Sumbangan untuk UMNO Cawangan Kerasak, Padang Terap menjalankan aktiviti parti sebanyak RM5,000.00. 3) Bayar cenderahati bagi mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap sebanyak RM26,150.00. 4) Bayar pemasangan billboard sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Padang Terap sebanyak RM10,000.00. 5) Persiapan tempat Mesyuarat Perwakilan UMNO Padang Terap RM10,000.00 6) Sewa khemah dan meja untuk Mesyuarat Perwakilan UMNO Padang Terap RM10,000.00 7) Makan dan minum Mesyuarat Perwakilan UMNO Padang Terap RM21,700.00 Justeru itu, pihak Dewan Pemuda PAS padang Terap berpandangan, isu kemasukan beramai-ramai ini hanya gimik bagi menutup segala persoalan besar berkaitan masalah yang dihadapi oleh UMNO dan segala penyelewengan termasuk SPR yang kini dipersoalkan oleh rakyat. Rakyat akan terus meneliti maklumat yang tepat dan berfakta dan akan membuat keputusan yang bijak. (Keterangan Gambar- YB Ustaz Mohd Nasir Zakaria menunjukan atap yang terkena ribut.Sebelah belaiu ialah isteri kepada En Ismail.Turut bersama ialah MKK Tandop Besar Sdr Omar Mad Zain ( Berbaju Hijau) Dan Pengarah Majlis Tindakan Dun Pedu saudara Shukri Abdullah.) YB USTAZ MOHD NASIR ZAKARIA KETUA PEMUDA PAS PADANG TERAP AHLI PARLIMEN PADANG TERAP.
|
UMNO Terpukul Sebagai Talibarut Penjajah, Zainal Kling Pusing Kata Malaya Tak Pernah Dijajah! Posted: 09 Sep 2011 08:20 AM PDT Zainal Kling: Malaya tak pernah terjajah Berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British, dakwa sejarahwan Profesor Datuk Dr Zainal Kling. "Fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British). Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik," katanya. Katanya lagi, sejak Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi. "Dinaungi tidak sama dengan kolonial... Hanya tiga negeri sahaja yang merupakan tanah jajahan iaitu, Singapura, Melaka dan Pulau Pinang. "(Negeri-negeri) yang lain adalah dinaungi (atau) dilindungi... Sejak mula Tanah Melayu bukan tanah jajahan atau koloni. Ini fakta sejarah dan perspektif sejarah (itu) perlu diubah. "Jangan kita sebut, kita terjajah selama 400 tahun. Itu adalah kesalahan yang amat besar," katanya di Putrajaya hari ini. MKN: Kesan pentadbiran British satu bentuk penjajahan Katanya, Tanah Melayu hanya terjajah selama dua tahun sewaktu pemerintah Malayan Union pada awal 1946 hingga akhir 1947 dan di zaman penjajahan Jepun. Sementara itu, Majlis Profesor Negara (MPN) dalam kenyataannya berkata, zaman pentadbiran British yang disamakan dengan "penjajahan British" sebenarnya tidak sahih dan tidak wajar digunakan. Bagaimanapun, menurut majlis itu "kesan pentadbiran British itu merupakan satu bentuk penjajahan". "British diberi kuasa untuk 'mentadbir' dari segi pengurusan am dan kewangan serta eksploitasi khususnya sumber alam. "Penilaian pengkaji sejarah kolonialisme British terhadap perilaku 'penjajahan' British itu disifatkan sebagai 'breach of trust' atau 'indirect rule'. "Mereka kelihatan melakukan penjajahan walaupun tidak sahih, walaupun hal ehwal Persekutuan Tanah Melayu terletak bawah pentadbiran Pejabat Tanah Jajahan di Britain tetapi kedaulatan Melayu tetap terpelihara," kenyataan itu dipetik. Ulasan GB Sekarang siapa yang mahu cuba pesongkan fakta sejarah? Apakah kerana UMNO terpukul dengan label talibarut penjajah maka sekarang seorang professor diminta untuk menyatakan bahawa pendudukan British di tanahair bukan berstatus penjajah? Jika demkian halnya, mengapakah Tunku Abdul Rahman menjerit-jerit perkataan MERDEKA sebanyak tujuh kali di Padang Kelab Selangor pada 31 Ogos 1957 yang disaksikan oleh 20,000 orang hadirin? Merdeka dari apakah itu? Bukankah merdeka dari penjajahan? Lagi besar sejarah hendak diputarbelitkan, lebih besar dari sejarah mat Indera yang dituduh komunis yang hanya bersandarkan sekeping buku seorang komunis Abdullah CD namanya. Namanya "naungan British". Hakikatnya itulah penjajahan. Jika "dinaungi" atau "dilindungi" semata-mata, maka kita tidak sebut MERDEKA selepas selepas bebas daripadanya. Mari kita tinjau erti kemerdekaan seperti yang diterbitkan di portal SAMBUTAN 54 TAHUN KEMERDEKAAN. "Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara." Di situ sudah jelas terungkap perkataan PENJAJAHAN dan membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing! Nak putar macam mana lagikah wahai UMNO tentang hakikat bahawa kamu adalah talibarut penjajah dan bahawa sesungguhnya kamulah sekarang ini yang hendak mengubah fakta sejarah? |
Isu Mat Indera: Mentaliti Ghani Othman Dan UMNO Masih Terjajah Posted: 09 Sep 2011 06:09 AM PDT Apa pula status penulis buku Pengukir Nama Johor? KUALA LUMPUR, 8 Sept: Jika benar apa yang dikatakan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman bahawa Mat Indera adalah komunis, apakah kedudukan penulis dan buku yang dinaungi beliau yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor. Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membangkit perkara itu ekoran tindakan Ghani menafikan taraf Mat Indera yang diherokan oleh buku itu sebelum ini namun apabila bertembung dengan sikap Umno yang mengkomuniskan Mat Indera, ia berubah. Bahkan, kerana Mat Indera turut dibela timbalan presiden PAS Haji Mohamad Sabu, beliau kini menjadi sasaran bahkan ada cadangan agar digugurkan kerakyatannya. (Mohamad Sabu menunjukkan buku Yayasan Warisan Johor yang nyatakan Mat Indera adalah hero...kini MB Johor bertukar arah mengatakan Mat Indera Komunis pula) Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Datuk Onn. Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Datuk Abdul Ghani Othman. Soal Tuan Ibrahim, sekiranya perlu Mohamad digugurkan kerakyatan kerana menganggap Mat Indera sebagai seorang hero, bagaimana pula dengan penulis dan pakar sejarah yang menerbitkan buku Pengukir Nama Johor, terbitan Yayasan Warisan Johor (YWJ) yang juga mengangkat Mat Indera sebagai hero? "Bagaimana pula dengan kerakyatan Abdul Ghani apabila beliau tetiba bercanggah dengan buku yang dinaungkannya sebagai 'bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik' pada 2004 dengan menggelar Mat Indera sebagai pengganas untuk meneruskan hujah Umno yang semakin menikam Umno sendiri?" soal beliau lagi. Walaupun menjadi penaung kepada buku Pengukir Nama Johor, Abdul Ghani semalam menidakkan tulisan buku tersebut dengan berkata Ahmad Indera atau Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim. Di sebalik kenyataan tersebut, Abdul Ghani secara ironisnya turut dipetik Bernama sebagai berkata penulisan dan catatan tersebut dalam buku tersebut boleh "menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan." Desakan menggugurkan kerakyatan, kata Tuan Ibrahim juga sebenarnya menggambarkan betapa rakusnya kerajaan pemerintah dalam mengekalkan kuasa sehinggakan soal perundangan boleh diabaikan. "Kalau diikutkan kehendak Umno, rakyat langsung tak boleh bersuara menentang apa yang dilakukan oleh kerajaan – asalkan bercanggah dan menyebabkan kerajaan pemerintah tidak gembira, anda boleh disaran untuk dibuang kerakyatan. Sedangkan pada waktu yang sama, kerajaan pula beri warga asing kerakyatan walaupun mereka langsung tidak mempunyai apa-apa jasa kepada negara. "Inilah contoh terbaik untuk mengunkapkan kata-kata P.Ramli fening, fening," bidas beliau. Berbangga dengan penjajah Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim berkata, menghalau penjajah lebih mudah berbanding membuang pemikiran penjajah – itulah ungkapan untuk menggambarkan walaupun negara telah merdeka 54 tahun, namun pemikiran penjajah masih kukuh dan utuh dalam pemikiran sesetengah golongan. Bahkan, kata beliau, ada yang masih berbangga dengan apa yang ditinggalkan penjajah. Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim berkata perkara yang paling menyayatkan hati pada zaman ini ialah kebutaan golongan yang masih dikongkong mentaliti penjajah dalam membakulkan golongan yang ikhlas berjuang menghalau penjajah kini sebagai komunis. Manakala golongan yang sanggup bersekongkol dengan penjajah dan taat menerima segala arahan penjajah sehingga membidas, mencedera dan malah ada yang sanggup membunuh orang sendiri yang melawan penjajah didewa-dewakan oleh golongan ini sebagai hero, katanya dengan kesal. Seluruh fakta sejarah yang bersama Inggeris dikekalkan, bahkan, kata beliau nama-nama parti politik masih menggunakan bahasa penjajah seperti Umno, MIC, MCA – semua adalah singkatan bahasa Inggeris. "(Mereka) masih bangga mendabik dada dan berulang-ulang menyebut "Kamilah pejuang bangsa, Kamilah pembela tanahair" sehingga bertukar menjadi "Kami sahajalah pejuang bangsa, Kami sahajalah pembela tanahair" sehingga mengabaikan dan menggugurkan jasa para pejuang lain yang tidak diiktiraf pihak Inggeris dalam sejarah," bidas beliau. Tegas Tuan Ibrahim, dalam bab menjaga Islam, rekod kerajaan Barisan Nasional adalah lagi menyedihkan. Selepas 54 tahun negara merdeka, kata beliau, nama Islam bukan sahaja tidak bertambah harum, malah kian dilihat sebagai agama yang menghalalkan rasuah dalam pentadbiran, penyalahgunaan kuasa demi kekal berkuasa, rakyat didahulukan untuk disembelihkan apabila ekonomi negara disalahtadbir dan perundangan Islam hanya berlegar soal peribadi dan kekeluargaan. "Bukan itu sahaja, malah majoriti institusi-institusi agama turut dikongkong untuk mengembangkan ajaran Islam dengan pelbagai enakmen yang direka bukan sahaja menyusahkan dan pada masa yang sama menyebabkan agama Islam ditertawakan," selar beliau lagi. Disebabkan masih dibelenggu mentaliti penjajah, kata Tuan Ibrahim sehingga sekarang isu-isu utama seperti soal perpaduan kaum, soal agama dan dasar pendidikan nasional dan soal memartabatkan bahasa kebangsaan masih tidak mempunyai penyelesaian. Malah katanya, setiap kali menjelang pilihanraya umum, isu agama dan kaum akan digunakan sebagai senjata sewenang-wenangnya oleh parti pemerintah untuk dijaja kepada kaum masing-masing bagi meraih undi. "Inilah nasib bilamana negara dipimpin oleh mereka yang pemikiran masih dibelenggu oleh elemen penjajah," kata beliau. Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut menyelar kewujudan budaya baru seperti gesaan untuk melucutkan kerakyatan dan memperbanyakkan laporan polis dan saranan seseorang agar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya kerana bercanggah pendapat dengan pihak pemerintah. "Segalanya dibuat seolah-olahlah merekalah undang-undang, dan merekalah pendakwa dan merekalah jugalah hakim," terang beliau. Mengenai isu terbaru di mana timbul desakan menggugurkan kerakyatan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu semata-mata kerana beliau mengangkat Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan, Tuan Ibrahim menyoal mengapa saranan yang sama tidak kedengaran kepada mereka yang terlibat dalam konspirasi memberikan kerakyatan kepada warga asing dengan sewenang-wenangnya, yang terang-bederang khianat kepada negara selepas 54 tahun merdeka. "Ini bukan ke satu lagi mentaliti penjajah – di mana mereka sanggup mengelirukan orang Tanah Melayu sendiri untuk melawan orang Tanah Melayu sendiri, tapi masa yang sama menjual negara ke tangan warga asing untuk mengundi mereka supaya boleh kekal berkuasa? Penjajah turut melakukan perkara yang sama, orang Tanah Melayu diambil sebagai pegawai, polis dan juga askar untuk melawan orang Tanah Melayu yang menentang penjajahan mereka supaya mereka boleh kekal berkuasa," terang beliau. -HD MB Johor contoh terbaik talibarut British? Ulasan GB Sebelum ini GB telah ulas isu ini. Petikan: Jika hujjah Mohd Sabu lemah kerana bersandarkan kepada buku yang diterbitkan oleh sebuah anak syarikat kerajaan negeri Johor sendiri, Yayasan Warisan Johor (YWJ), maka sewajarnya buku itu diharamkan atau dibakar saja.. Dan di dalam satu ulasan yang lain pula GB menyatakan: MB Johor, Abdul Ghani Othman di dalam usaha untuk menyelamatkan diri kerana telah memberikan Kata Pengantar di dalam buku "Pengukir Nama Johor" yang menyenaraikan nama Mat Indera sebagai salah seorang tokoh yang telah menjadi pengukuir nama Johor, sejak beberapa hari lepas tiba-tiba memutarkan lidahnya menuduh Mat Indera bukan pejuang merdeka, tapi pengganas. Tetapi tanpa disedari beliau turut mengakui beberapa nama dari kalangan berhaluan kiri yang turut berjuang menuntut kemerdekaan: Ghani berkata tindakan Mat Indera menyertai PKM menyebabkan dia terpesong dan ianya berlainan daripada pemimpin haluan kiri lain seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad dan Ibrahim Yaakub yang tidak memilih untuk bertindak secara militan. -TMI |
Natasya Berjanji Untuk Jadi Lelaki Semula Posted: 09 Sep 2011 04:35 AM PDT Kangar: "Natasya Farisya sudah dipanggil untuk diberi kaunseling dan dia memberi jaminan akan mengubah penampilan termasuk memotong pendek rambutnya," kata Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips), Abdul Malik Hussin. NATASYA...beri jaminan potong pendek rambut Menurut Abdul Malik, beberapa pegawai Jaips sudah mengadakan pertemuan dengan Natasya, 28, lelaki berperwatakan wanita itu yang menjadi teman istimewa mangsa simbahan asid, Mohd Hafizuddin Johari, 20, apabila memanggilnya untuk diberi kaunseling, semalam. Menurutnya, pertemuan terbabit diadakan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perlis di sini, hampir satu jam dan pihaknya mengambil pendekatan dakwah dengan memberi khidmat kaunseling kepadanya supaya kembali ke pangkal jalan. "Kami tidak mengambil tindakan terburu-buru menahannya kerana pendekatan itu memerlukan bukti ketika ditahan. Bagaimanapun, dalam pertemuan terbabit dia sudah berjanji untuk mengubah corak kehidupannya. "Kami akan memantau penampilannya selepas ini dan usaha berdakwah ini akan dilakukan berterusan. Mengulas lanjut, Abdul Malik berkata, Natasya atau nama sebenarnya, Tabri Rashid Abu Hassan sebelum ini pernah dua kali ditahan anggota penguat kuasa Jaips iaitu pada 1997 dan 2010 lalu. "Kami tidak boleh terburu-buru menahan kerana subjek (Natasya Farisya) kini dalam keadaan tertekan dan menyatakan hasrat untuk membunuh diri," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. Natasya yang juga bekas model sambilan dari Taman Sri Bakau di sini, ditahan selepas dikesan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Dalam Syarak Negeri Perlis 1991 kerana berpakaian seperti wanita pada 2007. Selain ditahan, kediaman Natasya pernah diserbu Jaips pada 2010 lalu, namun tindakan undang-undang mengikut peruntukan enakmen terbabit tidak dapat diambil kerana sebab tertentu. Beliau berkata, selepas ditahan pada 2007 lalu, Natasya yang diberikan kaunseling dan nasihat oleh kaunselor Jaips memang berada dalam pemerhatian kerana dia sebelum ini pernah berjanji untuk berubah. Katanya, pihaknya memandang serius penularan aktiviti pondan terutama membabitkan lelaki yang berperwatakan wanita di Perlis, namun tindakan mengikut Seksyen 7 enakmen sama bukan mudah untuk diambil. Seksyen 7 memperuntukkan mana-mana lelaki yang berlagak seperti perempuan (tasyabbuh) di mana-mana tempat awam adalah bersalah dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. Harian Metro semalam, melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim mahu Jaips bertindak segera menahan Natasya sekali gus menghukumnya mengikut peruntukan undang-undang sewajarnya. Abdul Malik berkata, walaupun Seksyen 7 tidak dapat diaplikasikan, namun pihaknya masih ambil tindakan terutama kaunseling dan pemantauan termasuk mahu memberinya peluang untuk berubah ke pangkal jalan. Menurutnya, jika kesalahan itu dilakukannya di khalayak ramai atau ditahan ketika sedang menggoda lelaki atau bersekedudukan yang boleh menimbulkan syak, maka tindakan juga boleh diambil selepas mempunyai bukti. -hm Natasha berjanji jalani kehidupan normal Ulasan GB Jika sungguh apa yang dikata, sama-sama kita berdoa untuk kejayaannya. |
Pengampu Rosmah Sahkan Pembelian Berlian RM24 Juta Posted: 09 Sep 2011 03:16 AM PDT Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berbohong apabila menafikan pembelian cincin bernilai RM24.4 juta yang dibawa masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Menurut Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin yang dipetik Keadilan Daily berkata, 'pengampu-pengampu' Rosmah sendiri mengesahkan pembelian cincin berkenaan. Badrul merujuk kenyataan Anuar Shaari, bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mendakwa cincin itu kepunyaan bakal besan Rosmah, Maira Nazarbayez yang dipesan masuk dari New York, Amerika Syarikat. "Kini rakyat tertanya-tanya sama ada cincin itu kepunyaan Rosmah, mahu diberikan kepada Rosmah dan pergi ke mana selepas dibawa keluar dari KLIA. "Pengampu-pengampu Rosmah menyebabkan Rosmah lebih terperangkap," kata Badrul atau lebih dikenali dengan Chegu Bard. Menjawab dakwaan Anuar Shaari, Chegu Bard berkata, serbuan SPRM ke bahagian kargo KLIA mengesahkan dokumen yang mengiringi kemasukan cincin itu ke Malaysia adalah sah. "Apa yang saya dapat, dokumen itu sahih. Dalam kotak tertera nama Datin Seri Rosmah Mansor," kata beliau. SAMM sebelum ini mendedahkan pembelian berlian dikenali sebagai "Natural Fancy Gray Cushion Cut Diamond" yang diterbangkan melalui KLIA dan bebas daripada cukai import. Selain itu, NGO itu turut mendakwa mempunyai salinan cetakan dokumen dari skrin komputer bagi membuktikan pembelian cincin berkenaan. Rosmah pada 29 Julai lalu menafikan pembelian berlian berkenaan selepas dua minggu isu itu didedahkan dan menyifatkannya sebagai satu fitnah, sementara penulis blog pro-Umno mula menyebarkan berita cincin itu dibawa keluar dari KLIA ke Singapura. Airoceanic Express Sdn Bhd – yang didakwa agen bagi urusniaga tersebut sebelum ini juga enggan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu. Lanjutan dari itu, pada 18 September ini SAMM akan melancarkan kempen risalah mendedahkan rentetan skandal itu yang masih belum didedahkan kepada umum, kata Chegu Bard. Ia akan dilancarkan di Pekan, Pahang jika masih tiada sebarang hasil siasatan yang memuaskan daripada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM), tambahnya lagi. Menurutnya, Pekan dipilih sebagai lokasi pelancaran kempen itu kerana ia merupakan kawasan Parlimen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. "Orang Pekan harus beri penilaian yang tepat tentang seorang Ahli Parlimen yang mereka undi yang akhirnya menjahanamkan negara melalui isterinya," kata Chegu Bard. -tvsnews |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan