Kelab Greenboc |
- Khairy Melopong Gagal Tumpang Populariti Mat Sabu
- Pelbagai Pihak Bantah 6% Cukai Tambah Nilai Prabayar [updated]
- Menyayat Hati: Anak Buang Bapa Tepi Masjid
- Tindakan Ghani Othman Label Mat Indera Semberono Dikecam
- Rakyat Disembelih Lagi: 6% Cukai Pek Permulaan & Tambah Nilai Prabayar
- Mat Indera Bukan Komunis, UMNO Di Ambang Kehancuran
- Kesatuan Pekerja MAS Akan Berpiket Bantah Pertukaran Saham MAS-Air Asia
- PAS Beri Amaran: Jangan Bubar Parlimen Sebelum Pulihkan Sistem Pilihan Raya
- Tiada Bukti Untuk Dakwa Mat Sabu, Tapi Ada Banyak Bukti Mat Sabu Untuk Dakwa Utusan
- Bukan Ayam, Tapi Rakyat Kena "Sembelih" Selepas Raya!
Khairy Melopong Gagal Tumpang Populariti Mat Sabu Posted: 09 Sep 2011 12:33 AM PDT Debat: Kelantan dakwa Khairy cuba raih populariti KOTA BHARU, 7 Sept: Kerajaan negeri Kelantan hari ini menafikan pernah membuat perancangan untuk mengadakan debat antara Timbalan Presiden PAS, Muhamad Sabu bersama dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr Mohmed Fadli Hassan (gambar) berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang surat rasmi menjemput mana-mana pihak untuk berdebat. "Kita (kerajaan negeri) tidak pernah mengeluarkan sebarang surat rasmi jemputan kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan debat," ujarnya. Beliau berkata, apa yang berlaku ialah, satu email telah dihantar oleh Ustaz Baihaqi Atiqullah, yang menanyakan pendapat kepada Khairy Jamaluddin, sekiranya diadakan satu perdebatan antara ketua pemuda Umno berkenaan bersama Timbalan Presiden PAS. "Ust Baihaqi adalah timbalan saya. Beliau hanya menanyakan pendapat pada Khairy melalui email, bukannya jemputan rasmi. "Ust Baihaqi dan Khairy telah pun mempunyai hubungan pribadi sebelum dari ini dan pertanyaan itu adalah bersifat peribadi," ujarnya lagi. Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Kelantan, berkata, PAS negeri Kelantan sanggup mengajurkan debat tetapi bukan Muhamad Sabu dengan Khairy, tetapi antara Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin. "Kita tidak mahu Khairy mengunakan Timbalan Presiden PAS sebagai batu loncatan untuk meraih populariti di dalam Umno. "Khairy sudah tidak diterima di dalam Umno dan kerajaan dan dia nak gunakan isu ini untuk meraih populariti," katanya. Katanya, salah faham ini timbul kerana Khairy menjawab email pertanyaan dari Ustaz Baihaqi melalui tiwetternya dengan mengatakan kerajaan negeri Kelantan menjemput beliau untuk berdebat dengan Muhamad Sabu.
Ulasan GB Petikan dari Ulasan GB di dalam entri di atas: Isk. Seorang Ketua Pemuda UMNO nak berdebat dengan Timbalan Presiden PAS? Buang masa dan buang tenaga, sedangkan kerajaan partinya sendiri tidak melantik dia walaupun sebagai timbalan menteri didalam barisan kabinet. Ertinya memang beliau terlalu mentah dan tidak layak, tanya Najib mungkin ada jawapan lain kenapa tak pilih Khairy tapi Mukhriz di dalam barisan kabinetnya. |
Pelbagai Pihak Bantah 6% Cukai Tambah Nilai Prabayar [updated] Posted: 08 Sep 2011 11:38 PM PDT Kad prabayar: Pemimpin politik, SAMM gesa Putrajaya batal caj enam peratus KUALA LUMPUR, 9 Sept — Pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan membantah tindakan syarikat telekomunikasi (Telco) mengenakan caj perkhidmatan enam peratus bagi pembelian tambah nilai perkhidmatan prabayar dan pek permulaan kad SIM mulai 15 September ini. Ketua Pemuda Barisan Nasional Khairy Jamaluddin berkata, keputusan mengenakan caj itu tidak munasabah dan mahu pentadbiran Najib membatalkan pendekatan tersebut. Dalam mesej yang dipanjangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi Twitter malam tadi, Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno berkata, "saya bantah." "Boss @NajibRazak, cukai kepada pengguna prabayar satu keputusan yang tidak munasabah dan membebankan rakyat. Saya bantah. Pohon dibatalkan," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau. Pendirian yang sama dilahirkan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mempersoalkan sama ada keputusan itu wajar. "Adakah wajar mengenakan caj enam peratus untuk setiap pembelian kad tambah nilai?" kata Mursyidul Am PAS, juga menerusi Twitter, merujuk kepada satu laporan media semalam. Dalam pada itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) juga membantah keras. "SAMM amat memandang serius dalam isu caj yang akan dikenakan ini, menunjukkan kerajaan tidak peka terhadap pengguna prabayar yang begitu ramai penggunanya. "Kerajaan juga harus sedar, para pengguna prabayar ini bukanlah mereka daripada golongan yang mampu," kata Pengarah Seketeriat SAMM Zulkifli Ibrahim dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini. Tambah beliau, kebanyakan pengguna prabayar terdiri daripada golongan pekerja kilang, buruh kasar, pelajar, golongan sederhana serta mereka yang berpendapatan rendah. "Mewajibkan caj enam peratus ini menunjukkan kerajaan hanya menjaga golongan korporat serta syarikat telekomunikasi yang sudah pastinya bebanan itu diletakkan kepada pengguna walaupun syarikat-syarikat ini menunjukkan keuntungan setiap tahun. "Mengenakan caj enam peratus ini juga menunjukkan kerajaan tunduk kepada syarikat gergasi telekomunikasi seperti mana kerajaan tidak melakukan apa-apa tindakan kepada Astro yang menaikkan caj kepada pengguna tanpa melalui proses untuk mendapatkan kebenaran kerajaan seperti dakwaan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia," katanya lagi. Dakwa beliau, kerajaan dilihat tunduk kepada kehendak syarikat-syarikat gergasi ini dengan tujuan mereka dapat melipat gandakan keuntungan dengan tidak memikirkan masalah yang akan dihadapi oleh para pengguna. "Bahkan kerajaan cuba memperbodohkan rakyat, menaikkan cukai-cukai perkhidmatan tanpa disedari oleh rakyat seperti penangguhan yang war-warkan oleh kerajaan seketika dulu untuk mengenakan GST kepada rakyat. "Justeru, SAMM menyeru kepada rakyat untuk membuka mata bahawa inilah bentuk-bentuk kezaliman serta bebanan kepada rakyat terutamanya golongan anak muda yang sedang membina kerjaya masa depan, dengan kenaikan harga barangan serta caj perkhidmatan yang dihadapi sekarang ini," kata beliau lagi. Katanya, jika kerajaan peka terhadap masalah yang dibebani rakyat sekarang ini, SAMM mendesak supaya dihapuskan caj enam peratus terhadap pengguna khidmat prabayar seperti yang diumumkan. "SAMM amat yakin jika kerajaan masih meneruskan dasar untuk membebankan rakyat ini, SAMM meminta rakyat agar menolak kerajaan pusat yang sedia ada kepada kerajaan baru yang lebih mesra rakyat dalam aspek kebajikan khususnya dalam perihal cukai," katanya. -TMI Kad Prabayar : SAMM Desak Putrajaya Batal Caj Enam Peratus |
Menyayat Hati: Anak Buang Bapa Tepi Masjid Posted: 08 Sep 2011 08:00 PM PDT Buang bapa, kebas wang LABUAN: Pilu hati seorang bapa berusia 71 tahun apabila kerinduan dipendamnya untuk bertemu anak berakhir dengan insiden tidak dijangka apabila dia dihantar 'orang suruhan' anaknya itu ke tepi sebuah masjid hanya beberapa jam melepaskan kepenatan di rumah orang kesayangan itu, semalam. Lebih menyedihkan Wahid Hussin yang tinggal bersendirian di Kuala Penyu dekat sini, sanggup menempuh perjalanan sejauh lebih 60 kilometer (km)menaiki bot dan pengangkutan awam lain sebaik keluar dari Hospital Kuala Penyu, semata-mata mahu meraikan Aidilfitri bersama anak lelaki berusia 40-an, di sebuah kampung di sini. MALANG...Wahid (tengah) ditemani Alias (kiri) dan Jamil sebelum dihantar ke pusat perlindungan sementara, semalam. Warga emas yang kematian isteri lebih 12 tahun lalu itu bukan saja 'dibuang' berhampiran Masjid Jamek An-Nur, malah wang tunai dimiliki termasuk yang disumbang orang ramai ketika dirawat di hospital turut dikebas anak derhaka terbabit. Warga emas itu bernasib baik apabila ditemui dalam keadaan lemah oleh pekerja masjid di tepi pokok bunga berhampiran masjid sebelum dibawa ke pekarangan rumah ibadat itu untuk diberi bantuan sebelum diserahkan kepada pengurusan untuk tindakan selanjutnya. Masih berbaju pesakit hospital, Wahid yang ditemui Harian Metro di pekarangan Masjid Jamek An-Nur di sini, tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan perbuatan anak kandungnya itu. -HM |
Tindakan Ghani Othman Label Mat Indera Semberono Dikecam Posted: 08 Sep 2011 07:30 PM PDT Pemuda PAS: MB Johor macam British, label Mat Indera semberono KUALA LUMPUR, 8 Sept — Pemuda PAS menyifatkan kenyataan Menteri Besar Johor semalam mengenai Ahmad Indera, individu yang dikaitkan dengan kontroversi terbaru mengenai tragedi Bukit Kepong, sebagai tidak rasional dan dibuat secara semberono. Sehubungan itu Pemuda PAS Johor juga mengajak Datuk Abdul Ghani Othman agar berdialog dengan mereka mengenai pendirian beliau, yang dilontar pada sidang media semalam dan juga menerusi rencana tulisannya dalam dua akhbar harian tempatan hari ini. "Dalam konteks peristiwa yang berlaku sekitar tahun 1948 hingga 1957, para sarjana masih sedang mengkaji dan masih tidak ada lagi (menurut kajian dan pembacaan saya) satu keputusan muktamad adakah pejuang-pejuang berhaluan kiri dikira sebagai pejuang atau pengkhianat. "Tindakan beliau (Ghani) melabel Mat Indera (Ahmad Indera) dengan semudahnya sebagai pengganas yang kejam dan zalim adalah sama sekali tidak rasional," kata Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat dalam satu kenyataan hari ini. Justeru, Suhaizan bertanya, jika tindakan Mat Indera menyerang rumah pasung Bukit Kepong 1950 yang pentadbirnya ketika itu adalah British dan benderanya masih lagi bendera Union Jack, "saya mahu beliau beritahu kepada saya apakah status Tok Janggut yang turut mengambil tindakan yang sama sewaktu menentang penjajah British di Kelantan?" "Yang ketiga, bagaimanakah Ghani (gambar) boleh bercanggah dengan penulisan berkaitan Mat Indera sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan dalam buku Pengukir Nama Johor yang beliau sendiri menjadi penaung dan penulis prakata bagi buku ini? "Bahkan buku itu merupakan terbitan Yayasan Warisan Johor yang merupakan agensi kerajaan negeri itu sendiri? Bagaimana selama ini semuanya OK dan baru kini beliau menyanggah buku yang beliau iktiraf sendiri?" kata beliau lagi. Suhaizan menambah, bahkan satu penemuan dan kajian baru tulisan Ismail Adnan berkaitan sejarah Bukit Kepong 1950 juga perlu dijadikan asas agar ruang kepada debat ilmiah dan kajian akademik dibuka semula, bukan dengan cara melabel secara semberono sepertimana dilakukan oleh Ghani. "Saya amat mempertikaikan kenyataan dikeluarkan Ghani pagi ini. "Saya sendiri sebagai anak jati negeri ini berasa amat kecewa dengan hujah-hujah dikemukakan beliau. Pada saya beliau seolah-olah berfikiran penjajah," kata Suhaizan lagi. Katanya, hujah-hujah yang beliau gunakan adalah saling "tak tumpah seperti alasan dan hujah dari seorang pagawai British untuk menentang kemaraan pejuang-pejuang kemerdekaan yang berjuang dengan darah dan air mata sewaktu negara kita masih dijajah dahulu." "Saya juga cabar Ghani untuk berdialog secara terbuka di daerah Muar, Johor." katanya lagi. Dalam tulisannya hari ini, Ghani menegaskan Mat Indera merancang serangan ke atas Bukit Kepong pada 1950 selain mendakwa beliau berusaha keras mempengaruhi orang Melayu menyertai kegiatan dalam Parti Komunis Malaya (PKM). Ghani berkata, berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera dengan sengaja dan sedar menjadi anggota gerakan pertubuhan besar pengganas komunis PKM, sebagai Ketua Rejimen Ke-10, yang kejam serta zalim serta mengancam keselamatan dan ketenteraman orang awam pada ketika itu. Semalam, keluarga Mat Indera mempertahankan beliau bukan merupakan komunis dan mahu kerajaan membersihkan namanya. "Dia bukan seorang 'pejuang' untuk mendapatkan kemerdekaan negara yang pada masa itu sedang diusahakan secara rundingan aman dan lebih berhemah serta bertamadun," kata Ghani lagi. -TMI
|
Rakyat Disembelih Lagi: 6% Cukai Pek Permulaan & Tambah Nilai Prabayar Posted: 08 Sep 2011 05:28 PM PDT Pengguna perlu bayar lebih KUALA LUMPUR - Seramai 26.2 juta pelanggan talian telefon mudah alih prabayar di negara ini bakal dikenakan caj bagi cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus berkuat kuasa 15 September ini. Jumlah tersebut meliputi tiga syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara iaitu Celcom (Xpax) seramai 9 juta pelanggan, DiGi seramai 7.7 juta orang dan Maxis (Hotlink) 9.5 juta orang. Menurut siaran akhbar yang dikeluarkan bersama oleh syarikat tersebut semalam, para pelanggan selepas ini dikenakan cukai bagi setiap pembelian tambah nilai prabayar dan pek permulaan prabayar baharu. Kenyataan akhbar syarikat telekomunikasi mengenai caj baharu pembeli kad prabayar. Dengan penguatkuasaan caj itu, seorang pelanggan yang membeli kad tambah nilai berjumlah RM10 perlu membayar RM10.60, dengan 60 sen adalah cukai perkhidmatan. "Para pelanggan prabayar akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) bermula tengah hari ini (semalam) mengenai cukai perkhidmatan baharu itu," kata kenyataan itu. -kosmo Kad prabayar: Perbit bantah Telco letak caj enam peratus Ulasan GB Tatkala negara tengah sibuk-sibuk membicarakan isu Mat Sabu, Mat Indera, Noramfaizul - tiba-tiba kita digegarkan dengan kenaikan harga kad tambah nilai telefon prabayar. Namun, bagi GB, kenaikan harga tersebut akan mempercepatkan keruntuhan kerajaan BN sendiri kerana rata-ratanya pengguna kad prabayar adalah rakyat miskin dan remaja yang terdiri dari pengundi-pengundi baru. Sepastinya tindakan tersebut memberi impak negatif di dalam pilihanraya yang akan datang ini. TRANSFORMASIKAN KERAJAAN DARI BN KE PR DI DALAM PILIHANRAYA YANG AKAN DATANG INI. RAKYAT AKAN BAHAGIA! |
Mat Indera Bukan Komunis, UMNO Di Ambang Kehancuran Posted: 08 Sep 2011 12:00 PM PDT Kajian 'terawal' simpul Mat Indera bukan komunis Oleh Dr Ahmad Zuhdi Marzuki Satu kajian yang dilakukan oleh Ayub @ Uiop Kassim pada tahun 1973 menyimpulkan Mat Indera bukan berfahaman komunis. Kajian tersebut latihan ilmiah untuk keperluan pengijazahan Sarjana Muda Sastera di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, bertajuk Peristiwa Berdarah Tahun 1950 di Bukit Kepong, Muar: Satu Post-Mortem. Tujuan tulisan itu untuk mengkaji keterlibatan golongan elit agama di Muar dalam perjuangan gerila bersenjata menentang penjajah dengan tumpuan khusus terhadap Mat Indera dan peristiwa berdarah Bukit Kepong. Meskipun kajian tersebut dilakukan di peringkat ijazah pertama, pengkaji berjaya melakukan wawancara dengan mereka yang terlibat langsung dengan peristiwa tersebut, termasuklah Nawi Idrus, ketua pengawal kampung (home guard) dan rakan-rakan Mat Indera yang menyertainya masuk ke hutan. Kaedah wawancara ini paling sesuai bagi mendapat maklumat sebenar disebabkan kebanyakan maklumat rasmi berkaitan dengan peristiwa Bukit Kepong disediakan oleh penjajah British melalui perisikan mereka. Setakat kajian Pusat Penyelidikan PAS (PPP), mungkin inilah satu-satunya kajian ilmiah yang paling awal tentang Mat Indera. Elit agama Dalam kajian tersebut, pengkaji menyimpulkan Mat Indera sebagai golongan elit agama sebagai: "Islam pada agamanya, demokrasi pada prinsipnya, nasionalis pada fahamannya, radikal dalam perjuangannya dan militant mengikut tindakannya." Selain itu, Ayub juga pada muka surat 71 menyimpulkan Mat Indera seorang nasionalis bukannya komunis, yang bergerila bersama komunis. Beliau menyatakan Mat Indera sebagai nasionalis dengan gerombolan komunis "seumpamanya tidak bercampur antara air dan minyak dalam satu bekas". Kajian ilmiah itu juga menyebut bahawa pendirian agama Mat Indera banyak dipengaruhi dua orang gurunya iaitu Ibrahim Jubah dan Muhammad Yassin Muhammad (bapa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin). Kedua-dua guru Mat Indera ini dikatakan seorang yang kritis terhadap perkembangan politik ketika itu. Malah, menurut pengkaji lagi, pada mukasurat 30, Muhammad Yassin begitu kritis dengan perkembangan politik tanahair. Ucapan 'subversif' Muhammad Yassin Dan kalaulah ucapan-ucapannya dilakukan di atas pentas politik nescaya ia akan dilihat berunsurkan subversif. Menurut kajian ini juga, Mat Indera pernah dilantik sebagai ketua cucuk tanam anjuran Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Fakta ini sekali gus menafikan dakwaan banyak pihak yang bersumberkan Memoir Abdullah CD (kiri, berkaca mata), bahawa Mat Indera menjadi komunis sejak Perang Dunia Kedua lagi. Semasa Perang Dunia Kedua ini komunis mengambil sikap berperang dengan Jepun melalui pertubuhan Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA), sedangkan golongan nasionalis Melayu terutama ahli-ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM) mengambil sikap yang lebih lunak dengan Jepun. Kecenderungan Mat Indera ini jelas bertentangan dengan dakwaan Abdullah CD dalam memoirnya. Berdasarkan kajian ilmiah tersebut, PPP berpandangan Mat Indera bukanlah Komunis tetapi seorang nasionalis radikal. Pemberontakan bersenjata Sebagaimana yang pernah dinukilkan oleh veteran Umno sendiri, Tan Sri Abdul Samad Idris dalam bukunya 25 Tahun Merdeka, pada muka surat 357-358: "Kita melihat beberapa orang Melayu terlibat dalam gerakan Komunis selepas pengisytiharan Darurat tahun 1948. Adakah mereka ini komunis atau didorong oleh semangat nasionalisme yang meluap-luap?" Perkara inilah menjadi teka-teki kepada kebanyakan pengkaji sejarah kita. Kalau kita mahu menganggap mereka berfahaman komunis disebabkan terlibat secara langsung dalam pemberontakan bersenjata komunis, bagaimanakah kita mahu memberi penilaian kepada tokoh-tokoh seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah Imam Rasu? Atau kepada perjuangan Datuk Dol Said di Naning, Datuk Maharajalela di Pasir Salak, Tok Janggut di Pasir Puteh dan Rosli Dhobi di Sarawak? Mereka juga melakukan pemberontakan bersenjata menentang Inggeris yang menjadi kerajaan di Tanah Melayu. PPP melihat kenyataan Samad ini hampir sama dengan intipati ucapan Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu dalam ceramahnya. Ulasan GB Di dalam satu entri terawal GB mengenai isu Mat Indera ini, iaitu di [Video] Isu Ceramah Mat Sabu - Lagi Dikecohkan Lagi Terdedah Tembelang UMNO [updated] GB mengulas begini: Yang penting ialah polis yang diserang ialah polis yang bekerja dengan penjajah British waktu itu iaitu pada tahun 1950 - Malaysia belum merdeka. Justeru itu tentangan terhadap polis waktu itu adalah sebenarnya tentangan terhadap penjajah British dimana polis waktu itu berkhidmat untuk penjajah, bukan untuk Malaysia kerana Malaysia BELUM wujud ketika itu. Jadi ucapan Mat Sabu adalah berkisar kepada kisah sebelum merdeka. Mengapa UMNO kecoh mengenainya? Apakah UMNO masih sayang penjajah British sampai sekarang? Mungkin. Itu sebab mengapa agaknya masih ada pencacai UMNO yang minum arak, malah, itu sebab UMNO masa kini masih mengikuti jejak langkah British untuk menjajah tetapi kali ini menjajah bangsa sendiri dengan merompak hak orang Melayu/Islam seperti merampas hak royalti rakyat Kelantan. Itu kenyataan. Itu kebenaran. Kini, alhamdulillah, pemerhatian GB itu menjadi kenyataan. Semakin dikecohkan isu video Mat Sabu mengenai kisah Mat Indera, semakin ramai yang mengkaji sejarah dan semakin terdedah tembelang dan pekong bahawa UMNO itu sebenarnya talibarut penjajah. Kelmarin, laporan enjin pencari Yahoo Malaysia meletakkan Mat Indera sebagai nama yang teratas di dalam Top Ten Trending. Bererti nama Mat Indera dicari dengan begitu banyak berbanding dengan nama-nama lain. Dan kini, masyarakat semakin ingin tahu pejuang-pejuang kemerdekaan yang sebenar, selain dari nama-nama mereka yang selama ini ditonjolkan oleh UMNO. MB Johor, Abdul Ghani Othman di dalam usaha untuk menyelamatkan diri kerana telah memberikan Kata Pengantar di dalam buku "Pengukir Nama Johor" yang menyenaraikan nama Mat Indera sebagai salah seorang tokoh yang telah menjadi pengukuir nama Johor, sejak beberapa hari lepas tiba-tiba memutarkan lidahnya menuduh Mat Indera bukan pejuang merdeka, tapi pengganas. Tetapi tanpa disedari beliau turut mengakui beberapa nama dari kalangan berhaluan kiri yang turut berjuang menuntut kemerdekaan: Ghani berkata tindakan Mat Indera menyertai PKM menyebabkan dia terpesong dan ianya berlainan daripada pemimpin haluan kiri lain seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad dan Ibrahim Yaakub yang tidak memilih untuk bertindak secara militan. -TMI Kekecohan yang dibikin oleh fitnah Utusan Malaysia terhadap ucapan Mohd Sabu telah menjulangkan nama Mat Indera selain dari nama Mohd Sabu sendiri. Dan Utusan seperti biasa, akan terus ditimpa kehinaan lantaran fitnah yang dilakukan itu sementara UMNO pula menunggu masa untuk dikuburkan bersama-sama Tugu Peringatan Negara (nama-nama askar British dicatatkan di Tugu Peringatan) yang disembah oleh pemimpin tertinggi UMNO pada setiap kali sambutan Hari Pahlawan. Dan terdedahlah tembelang bahawa UMNO itu sebenarnya talibarut penjajah. Inilah yang GB katakan: ini akan merupakan satu titik-tolak baru untuk keruntuhan UMNO sebagai pemerintah negara ini. |
Kesatuan Pekerja MAS Akan Berpiket Bantah Pertukaran Saham MAS-Air Asia Posted: 08 Sep 2011 08:30 AM PDT Tiga kesatuan pekerja-pekerja Malaysia Airlines (MAS) yang mewakili kira-kira 15,000 pekerja akan berpiket ekoran pertukaran saham syarikat penerbangan kebangsaan itu dengan AirAsia. Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja MAS (MASEU) Alias Aziz (gambar) berkata mereka berpendapat bahawa janji niaga itu tidak akan memberikan manfaat kepada MAS, dan percaya pengurusan baru syarikat penerbangan itu merancang mewujudkan satu jenama baru dalam syarikat penerbangan sebagai sebahagian daripada langkah menghapuskan kesatuan. "Kita tidak setuju dengan kerjasama itu atau langkah untuk menubuhkan penerbangan baru di bawah janji niaga itu," kata beliau. "Apa kita lihat daripada kerjasama itu akan memberikan manfaat kepada AirAsia dan juga ada khabar angin bahawa sebuah syarikat penerbangan baru akan ditubuhkan hasil daripada kerjasama itu. "Kita sudah ada MASwings Firefly dan MAS. Jadi, apa tujuan mereka mahu tubuhkan syarikat penerbangan baru," katanya pada persidangan akhbar di Pejabat Maseu di Subang Jaya, di sini. MASEU menyertai Kesatuan Pekerja Penerbangan Sarawak dan Kesatuan Sekerja Pengangkutan Udara Sabah mengancam untuk mengadakan tindakan perindustrian dalam usaha menghalang pertukaran saham itu diteruskan. Pada 9 Ogos lepas, MAS dan AirAsia mengadakan perjanjian kerjasama untuk menubuhkan satu rangka kerja bagi meneroka kemungkinan mengadakan kerjasama bersama. Untuk mengukuhkan kerjasama bagi kepentingan dalam MAS dan AirAsia, Khazanah Nasional dan Tune Air -- masing-masing pemegang saham utama MAS dan AirAsia, bersetuju memiliki antara satu sama lain saham yang ada dalam kedua-dua syarikat itu.-- BERNAMA |
PAS Beri Amaran: Jangan Bubar Parlimen Sebelum Pulihkan Sistem Pilihan Raya Posted: 08 Sep 2011 07:51 AM PDT PAS memberi amaran akan turun untuk perhimpunan Bersih 3 sekiranya kerajaan berhasrat membubarkan parlimen sebelum menyelesaikan kepincangan dalam sistem pilihan raya. Perkara ini dinyatakan Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda PAS, Suhaizan Kayat susulan pendedahan berterusan individu-individu yang berstatus bukan warganegara tetap mendapat mandat mengundi di negara ini. Beliau kemudian menyarankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merombak sistem pilihan raya sedia ada sebagai cara memulihkan demokrasi secara total selain mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada suruhanjaya itu. Dalam sidang media di ibu pejabat PAS tadi, Suhaizan mengemukakan lagi tiga nama layak mengundi yang berstatus Penduduk Sementara (Hijau). Individu yang dikesan adalah seorang wanita bernama Numi Syukri yang didaftarkan di DUN Hulu Besut dan layak mengundi di parlimen Besut. Seterusnya juga seorang wanita bernama Hasmidah Surahbil yang didaftarkan di DUN Semenyih, parlimen Hulu Langat dan seorang lelaki bernama Jamaluddin Tahir yang didaftarkan di DUN Bangi, parlimen Serdang. Tiga nama tersebut dikesan memegang kad pengenalan berwarna hijau di dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan berstatus layak mengundi dalam senarai daftar pemilih di laman web SPR. "Kita minta JPN jelaskan adakah benar tiga individu yang kita kemukakan ini adalah penduduk sementara. Kalau benar kemudian baru kita tanya kepada SPR kenapa mereka daftarkan nama penduduk sementara menjadi pengundi yang sah," kata Suhaizan kepada media. PAS sebelum itu membangkitkan isu seorang individu bernama Mismah yang memegang kad pengenalan Penduduk Tetap ditemui dalam senarai daftar pemilih. Namun status Mismah dalam laman web JPN bertukar sebagai warganegara selepas empat jam perkara tersebut didedahkan oleh media. Suhaizan berkata pihaknya terpaksa menggunakan pendekatan media kerana usaha membantah secara terus kepada SPR sering menemui kegagalan. "Sebab itu pemuda PAS mengambil pendekatan media. Maksudnya kita mahu rakyat sedar akan kesilapan itu dan biar rakyat yang menghukum," tambah beliau lagi. Dalam pada itu menurut laporan akhbar Sin Chew Daily, kabinet telah bersetuju untuk menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya umum akan datang. Laporan itu antara lain menyebut penggunaan dakwat kekal lebih sesuai berbanding sistem biometrik yang dicadangkan oleh SPR dan telah berjaya digunapakai di beberapa negara bagi mengelakkan pengundian berganda. Namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mendakwa beliau tidak mengetahui akan perkara itu selain menjelaskan bahawa keputusan kabinet adalah untuk menyerahkan tanggungjawab kepada Jawatankuasa Khas Pilihan Raya untuk memutuskan kesemua isu yang berkaitan reformasi pilihan raya. Ulasan GB Alhamdulillah, akhirnya PAS memberikan respons positif terhadap keresahan rakyat terhadap sikap dan membisu pimpinan Pakatan Rakyat terhadap keperluan BERSIH 3.0 digerakkan. Sebelum ini di dalam entri Pakatan Rakyat Perlu Bentuk "J/K BERS✔H"nya Sendiri GB menyatakan: Mengapakah BERSIH sudah mengendurkan perjuangan untuk pembersihan pilihanraya? Dan Pakatan Rakyat pula seperti lesu di dalam menangani isu ini dan malah sekarang ini lebih terjebak kepada isu-isu semasa yang lain? |
Tiada Bukti Untuk Dakwa Mat Sabu, Tapi Ada Banyak Bukti Mat Sabu Untuk Dakwa Utusan Posted: 08 Sep 2011 06:20 AM PDT Polis: Kertas siasatan kenyatan Mat Sabu siap Polis telah menyiapkan kertas siasatan terhadap timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu yang didakwa berkata pengganas komunis yang menyerang dan membunuh anggota polis dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar perjuangan kemerdekaan negara. Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata kertas siasatan itu dihantar ke Bukit Aman hari ini untuk diteliti dan akan dirujuk kepada pejabat pendakwa raya dalam tempoh terdekat. Katanya polis telah mengambil keterangan daripada timbalan presiden PAS itu, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, Ahad lalu. "Polis turut merekodkan 68 kenyataan daripada pemberita, saksi bebas serta mereka yang membuat laporan polis terhadap beliau bagi melengkapkan siasatan dan sama ada beliau akan didakwa atau tidak, ia bergantung kepada Pejabat Pendakwa Raya," katanya dalam sidang akhbar di Georgetown hari ini. Beliau berkata Mohamad Sabu turut disiasat menurut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menggemparkan masyarakat. Sehingga semalam, sebanyak 266 laporan polis terhadap Mat Sabu telah diterima di seluruh negara, kata Ayub. Mat Sabu dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lepas, dipetik sebagai berkata pengganas komunis yang membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara. Beliau enggan menarik balik kenyataannya dalam ceramah itu walaupun diminta berbuat demikian oleh pelbagai pihak termasuk rakan sekutunya yang juga pengerusi DAP Karpal Singh. - Bernama
Ulasan GB Sebelum ini GB menyatakan: Menteri-menteri UMNO termasuk media arus perdana (eletronik & cetak) membesar-besarkan isu ceramah Mohd Sabu disamping dilihat "menghasut" rakyat untuk menyaman Mohd Sabu hanya bersandarkan kepada laporan palsu & fitnah Utusan Malaysia. Ternyata, polis pasti gagal untuk dakwa Mat Sabu. Mereka kekurangan bukti. Sekalipun beratus laporan polis dibuat ke atas Mat Sabu, namun kesemuanya hanya bersandarkan fitnah dari akhbar Utusan Melayu. Malah hampir kesemua mereka yang membuat laporan polis berkenaan tidak dengar pun ceramah Mat Sabu. TETAPI, Mohd Sabu mempunyai banyak BUKTI KUKUH untuk mendakwa Utusan Malaysia yang memfitnahnya. Memang wartawan Utusan bakal terkencing terberak di mahkamah nanti jika kes ini diadili. Yang nyata, Utusan bakal ditimpa kehinaan lagi selepas ini... Benarlah janji Allah s.w.t. إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ Sesungguhnya orang-orang yang memfitnah kepada orang-orang mu'min (laki-laki) dan mukminah yang perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka neraka jahannam dan bagi mereka azab yang membakar. Al-Buruj:10 Dan laporan terbaru... Tak dapat tanduk, telinga dipulas, apabila mereka menyedari usaha untuk mendakwa Mat Sabu itu pasti gagal, maka kini dilakukan secara kekerasan pula:
|
Bukan Ayam, Tapi Rakyat Kena "Sembelih" Selepas Raya! Posted: 08 Sep 2011 04:24 AM PDT Harga ayam naik mendadak KUALA ROMPIN – Harga ayam standard di Pasar Awam Kuala Rompin mula dijual pada harga RM 8.80 sekilogram berbanding RM7.20 sekilogram selepas berakhirnya Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa, semalam. Kenaikan mendadak sebanyak RM1.60 itu sudah dijangka hingga mengundang rungutan dalam kalangan pengguna yang terpaksa membeli ayam jauh lebih mahal berbanding ketika harga kawalan dikuatkuasakan kerajaan bermula 23 Ogos lalu. Seorang pengguna, Abdullah Hasyim, 62, berkata, kenaikan harga ayam sudah tentu membebankan pengguna memandangkan barangan keperluan asas itu amat diperlukan pada musim perayaan ini. "Harga ayam dijual jauh lebih tinggi berbanding kebiasaannya dan keadaan ini sudah tentu menggusarkan kami yang selama ini dihimpit dengan kos kenaikan harga barang," katanya. Abdullah berkata, kenaikan harga barangan keperluan itu menyebabkan dia tiada pilihan lain melainkan terpaksa juga membeli ayam bagi meraikan Aidilfitri yang disambut setahun sekali itu. "Mahu tidak mahu kami (pengguna) terpaksa juga membeli ayam dengan harga tinggi kerana pada musim perayaan ini banyak rumah terbuka dan sebagainya bagi meraikan tetamu yang datang ke rumah," katanya. Saidi Ali, 53, berkata, kesan kenaikan harga barangan bukan hanya pada harga kawalan seperti ayam saja, malah barangan keperluan laut seperti ikan, udang dan sotong juga dipercayai naik mendadak. "Dahulu, jika bawa RM50 sudah boleh borong banyak barang di pasar, namun hakikat itu tidak sama dengan keadaan sekarang apatah lagi dengan kenaikan harga barang dan kos hidup yang makin meningkat," katanya. Khairuddin Ngah, 41, berkata, pengguna seharusnya bijak menggunakan 'kuasa beli' yang ada pada mereka supaya tidak membeli barangan keperluan yang dijual pada harga tinggi hingga membebankan pengguna. "Sebagai pengguna kita perlu gunakan kuasa yang ada pada kita dalam menentukan sama ada barangan itu mahu dibeli atau tidak kerana kita adalah kuasa besar dalam pasaran," katanya. Peniaga ayam, Khairul Azhar Syed Abdul Aziz, 36, berkata, peniaga tiada pilihan lain melainkan terpaksa menaikkan harga ayam berikutan membeli ayam hidup yang tinggi daripada pembekal. "Harga ayam hidup biasanya dijual pembekal pada harga RM5.50, tetapi bermula semalam (kelmarin) harga ayam hidup dijual RM6.50, jadi kami tiada pilihan selain menaikkan harga ayam selepas skim kawalan berakhir," katanya. Khairul Azhar berkata, harga ayam yang dijual itu adalah sama dengan harga sebelum skim kawalan harga dikuatkuasakan, namun tidak menolak kemungkinan harga itu akan naik pada masa akan datang. "Harga naik atau turun bergantung kepada pembekal, jika harga ayam hidup dari pembekal naik, maka harga ayam standard yang dijual kepada pengguna juga akan naik," katanya. |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan