Kelab Greenboc |
- Populariti Najib Memang Telah Merudum. Merdeka Centre Pertahan Kajiannya.
- Kebenaran Terdedah: Siapa Yang Tidak Patriotik? Najib Ke Luarnegara "Sambut Kemerdekaan"
- Isu Komunis Cuba Alih Perhatian Rakyat Daripada Tuntutan BERS✔H
- Jurukamera BERNAMATV Maut Di Somalia
- Spender UMNO Pun Terlucutlah... Tuduh Mat Sabu, Sedangkan UMNO Sebenarnya Yang Pro-Komunis
- Utusan Malaysia Pemfitnah Berlesen, Penyambung Lidah Fitnah Di Pagi Syawal
- UMNO Terkedu, Mat Sabu Tak Sebut Kominis, Pakatan Rakyat Pertahankan Mat Sabu
- Gagal Dengan Menu Babi Masa Ramadhan, TheStar Kini Cuba Huruharakan K'jaan Kedah Pula
- PAS Akan Anjur Seminar Khas Kaji Sejarah Mat Indera
- Dianiaya Dan Dimanipulasi, Penulis Bidas Sikap Membisu Muhyiddin
Populariti Najib Memang Telah Merudum. Merdeka Centre Pertahan Kajiannya. Posted: 03 Sep 2011 01:00 AM PDT Populariti Najib: Merdeka Center pertahan kajian, bukan 'pendapat peribadi kami' KUALA LUMPUR, 3 Sept — Merdeka Center mempertahankan hasil kajian pihaknya mengenai populariti kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, yang diumumkan Isnin lalu, sambil menegaskan reaksi 'dingin' pemimpin-pemimpin Umno memang sudah dijangkakan. Hasil kajian terbaru itu menunjukkan populariti Najib terus merosot, antara lain disebabkan isu inflasi dan cara menangani perhimpunan Bersih 2.0 pada Julai lalu. Sehubungan itu Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata, "kami sememangnya menjangka akan ada pihak yang akan mempertikai penemuan kajian tersebut, oleh yang demikian kami telah meneliti dan menyemak keputusan tersebut beberapa kali sebelum menyiarkannya." Kata beliau, pihaknya reaksi sedemikian sebagai satu proses di mana mutu perdebatan awam dapat dipertingkatkan menerusi penyiaran hasil penjejakkan pendapat umum sebagai suatu input berasaskan penemuan dan bukannya pendapat peribadi semata-mata. Ibrahim diminta mengulas mengenai pendirian sebahagian pemimpin Umno yang melahirkan rasa tidak senang dan tidak dapat menerima hasil kajian tersebut. Sebagai contoh, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim (gambar) berkata, kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri diterima majoriti rakyat di negara ini. Rais berkata kajian yang dijalankan oleh Jabatan Penerangan Malaysia mendapati kepimpinan Perdana Menteri amat kukuh di kalangan rakyat di negara ini terutamanya daripada segi penerimaan program pembelaan rakyat. Sehubungan itu, beliau menganggap laporan kajian Merdeka Centre yang mengatakan populariti Perdana Menteri semakin menurun sebagai tidak berasas. "Mereka hanya mengambil beberapa sampel yang tidak menyentuh komuniti luar bandar, masyarakat India yang tidak menyeluruh, masyarakat yang berada di sekitar kuala Lumpur yang mempunyai sokongan kuat dan padu kepada Perdana Menteri," katanya. Kajian terbaru Merdeka Centre mendakwa aliran populariti Najib terus mengalami penurunan daripada 72 peratus pada Mei 2010 kepada 69 peratus November lalu, 67 peratus pada Mac tahun ini dan seterusnya ke paras 65 peratus Mei lalu dan yang terbaru 59 peratus. Ibrahim berkata, bagi menjawab persoalan berhubung ketepatan dan metodologi kajian, ia merupakan kaedah yang sentiasa Merdeka Centeri gunakan - persampelan strata secara rawak — yang memastikan pemilihan responden dilakukan secara rawak agar dapat mengurangkan bias, tetapi dikawal bagi memastikan ia mencerminkan profil pemilih berasaskan daftar pemilih Disember 2010 menurut kaum, negeri, jantina dan kumpulan umur. "Ketepatan kajian sebenarnya berasaskan sejauh mana sampel mewakili taburan penduduk yang dikaji dan bukannya jumlah responden. "Oleh itu kami sangat cermat dalam memastikan para responden yang ditemu bual mewakili taburan pengundi setelah mengambil kira batasan kaedah temu bual (telefon)," kata Ibrahim sambil menambah, ia kaedah yang telah "kami gunakan semenjak tahun 2003 lagi dan merupakan pendekatan yang menemui tahap puas hati kepada perdana menteri (Najib) adalah 72 peratus pada bulan Mei 2010." Ibrahim juga berkata, pihaknya juga memahami tentang keperluan politik dalam kenyataan-kenyataan yang dibuat dan hasil kajian ini tidak mencerminkan apa-apa melainkan sentimen rakyat terhadap subjek tersebut sewaktu kajian dilakukan. ". . . apa yang perlu diambil dari penemuan tersebut adalah merangka kaedah bagaimana keadaan tersebut dapat diubah seperti contoh, meningkatkan tahap puas hati serta mutu perkhidmatan kepada rakyat," kata Ibrahim lagi. Malah katanya, secara umum, hasil kajian yang menunjukkan tahap puas hati pada Najib berada pada 59 peratus merupakan kedudukan yang masih positif dan selesa. "Tetapi adalah agak sukar serta tidak berpatutan untuk memikirkan bahawa tahap puas hati boleh kekal tinggi ketika kadar inflasi, ketidaktentuan ekonomi semasa berserta isu-isu sosiopolitik semasa mengasak pengundi secara berterusan. "Ini ialah kerana sentimen pengundi sentiasa berubah-ubah terlebih sekali apabila berlakunya sesuatu peristiwa besar yang diberi liputan meluas oleh media," katanya. Ibrahim menjelaskan, jika dilihat pada penemuan Merdeka Center masa lalu, penemuan kajian sememangnya mencerminkan sentimen semasa seperti contoh kajian pada pertengahan 2006, yang telah pun menunjukkan bahawa sokongan pengundi Cina telah beralih pada pembangkan, serta sentimen pengundi sebelum pilihan raya umum 2008. -TMI Ulasan GB Biarkan UMNO bersama pemimpinnya tenggelam dengan sindrom penafian. GB sudah mengulas di SINI. Petikan:
|
Kebenaran Terdedah: Siapa Yang Tidak Patriotik? Najib Ke Luarnegara "Sambut Kemerdekaan" Posted: 03 Sep 2011 12:00 AM PDT PM bercuti di luar negara pada Hari Kebangsaan? Ketika negara meraikan perayaan berkembar - Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan pada Rabu lalu, kelibat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikatakan langsung tidak kelihatan. Kali terakhir, Perdana Menteri dikesan ialah pada 30 Ogos lalu di Istana Negara untuk acara rumah terbuka Aidilfitri dan Rumah Terbuka Jemaah Menteri di Seri Perdana, Putrajaya. Beliau hanya mengeluarkan kenyataan Hari Kebangsaan melalui Facebook dan Twitter pada hari berikutnya. Dalam tweet itu, beliau mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak melupakan perjuangan pemimpin terdahulu dalam usaha membebaskan Malaysia dari penjajah. "Selamat Menyambut Hari Merdeka ke-54," tulisnya dalam laman Twitter. Bagaimapun dengan bercuti di luar negara pada hari kebesaran negara seperti Hari Kebangsaan, Najib menjadi bidasan pelbagai pihak ketika pemimpin BN dan Umno berterusan menyerang pemimpin pembangkang yang didakwa tidak patriotik kerana mempersoalkan peranan dan sumbangan beberapa wira negara. Dalam satu emel, semalam, seorang pembaca Malaysiakini berkata beliau percaya bahawa perdana menteri berada di Perth, Australia. Andaiannya berdasarkan jet peribadi yang dikhaskan untuk kegunaan perdana menteri didapati mendarat di sana pada Rabu lalu. Ketika dihubungi, seorang pembantu Najib enggan mendedahkan di mana secara tepatnya perdana menteri berada semasa Hari Kebangsaan, mahupun mengesahkan sama ada bosnya itu sedang berada di luar negara. "Beliau sedang bercuti dan akan kembali minggu depan, sama seperti orang lain," kata pembantu itu yang enggan mendedahkan kedudukan perdana menteri pada Rabu lalu. Setiausaha akhbarnya, Datuk Tengku Sariffudin Tengku Ahmad semata-mata menjawab, "Dia sedang bercuti" sebanyak tiga kali apabila ditanya mengenai lokasi perdana menteri. Menurut pembaca, yang menghubungi Malaysiakini, beliau mengandaikan perdana menteri berada di Australia berdasarkan dua laman web yang memaparkan gambar dan mencatatkan masa ketibaan pesawat-pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth. 'November Romeo 1' Mengikut laman web AviationWA, sebuah pesawat Airbus A319-11X yang memaparkan logo 1Malaysia di ekor pesawat berkenaan mendarat pada jam 5:04 petang hari Rabu. Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, di Singapura dan mempunyai nombor pendaftaran 9M-NAA. AviationWA melaporkan pesawat itu mendarat semalaman dan menggunakan 'nama panggilan' "November Romeo 1" atau NR1, yang kebetulan sama dengan pangkal nama perdana menteri. Kedua-dua laman web AviationWA dan blog Perth Airport Spotter melaporkan bahawa ini adalah lawatan pertama kapal terbang itu ke Perth. Pesawat itu dikenalpasti milik Jet Premier One (M) Sdn Bhd, yang dipercayai sebuah anak syarikat Penerbangan Malaysia Bhd (PMB), yang dimiliki oleh badan pelaburan kerajaan, iaitu Khazanah Nasional Bhd. Semasa tahun 2007, perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi menafikan bahawa pentadbiran beliau membeli pesawat itu pada harga RM200 juta dan berkata keputusan tersebut adalah semata-mata keputusan PMB. Sementara itu, seorang pembantu Najib berkata orang ramai masih boleh mengunjungi perdana menteri itu semasa majlis rumah terbuka di rumahnya Pekan, Pahang pada 18 September ini. -mk PM: Jangan lupa perjuangan pemimpin terdahulu Ulasan GB Memang dasar hipokrit! Menuduh orang lain tidak patriotik tetapi rupa-rupanya beliau sendiri terbang ke luarnegara tatkala negara menyambut Hari Lebaran dan Hari Merdeka. Malang bagi rakyat Malaysia berperdana menterikan NR (Najib Razak). Apa lagi dalih dan pembohongan yang hendak dilakukan oleh Wisma Putra kali ini? Dahulu GB pernah menyatakan: Anak Najib Bertunang Malam Tadi: Tiada Siapa Percaya Wisma Putra Lagi Selepas Ini! |
Isu Komunis Cuba Alih Perhatian Rakyat Daripada Tuntutan BERS✔H Posted: 02 Sep 2011 09:49 PM PDT Mohamad Sabu menyifatkan isu komunis sengaja ditimbulkan bagi mengalih pandangan rakyat terhadap kepincangan pengurusan pilihan raya dan kenaikan harga barangan keperluan sekarang. Timbalan Presiden PAS berkata, isu tersebut sengaja ditimbulkan akhbar milik Umno bagi menutup kelemahan pemerintah. "Pemimpin Umno dilihat merasa gusar dan panik apabila sejarah perjuangan kemerdekaan mulai diketahui rakyat khususnya generasi muda. "Perjuangan menuntut kemerdekaan bukan hanya dimiliki dan dipelopori pemimpin Umno sahaja," katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan di sini, petang ini. Hadir sama Setiausaha Perhubungan PAS Negeri, Zulkifli Mamat. Baru-baru ini dalam laporan muka hadapan sebuah akhbar milik Umno mendakwa Mohamad Sabu menganggap Mat Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis sebagai hero sebenar. Kenyataan itu dipetik ucapan Timbalan Presiden PAS itu dalam satu ceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu. Mohamad berkata, Mat Indera diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan seperti pernah disiarkan dalam Berita Harian pada 13 Ogos 2010. Menurutnya juga laporan disiarkan Utusan Malaysia berkaitan ucapannya di Pulau Pinang jelas cuba mengelirukan fakta sebenar. "Ini kerana semua orang sudah tahu ketika zaman penjajah, sesiapa sahaja yang menentang British akan dianggap sebagai pengkhianat. "Sama seperti Tok Janggut yang bangkit melawan Inggeris bagi menuntut kemerdekaan dianggap sebagai penderhaka, sedangkan mereka pejuang sebenar menuntut kemerdekaan," ujarnya. Ditanya pemberita apakah beliau juga menganggap Rashid Maidin juga sebagai pejuang apabila masih menentang kerajaan selepas kemerdekaan dicapai, katanya cara itu tidak betul. "Saya tidak setuju selepas negara mencapai kemerdekaan masih ada yang melawan kerajaan seperti melawan British," tambahnya. Kata beliau peristiwa Bukit Kepong ada anggota polis yang terkorban merupakan satu fakta sejarah terhadap apa yang berlaku. Begitu juga katanya dalam peristiwa Memali ada empat anggota polis yang terkorban. "Cuma dalam setiap peristiwa yang berlaku hanya pemimpin Umno yang selamat. Begitu juga dalam kes Memali pihak yang mengarahkan serbuan iaitu pemimpin Umno masih lagi selamat," katanya. Mohamad juga menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya sebagai mendewakan fahaman komunis sebagai amat keterlaluan dan menjijikkan. Kata beliau segala tomohan tersebut tidak lebih bagi memburukkan beliau dan PAS. "Tuntutan Bersih 2.0 terhadap lapan perkara telah membongkar penyelewengan daftar pemilih dan lain-lain kepincangan. SPR dan kerajaan BN sedang berada di kandang orang salah menurut pandangan rakyat," ujarnya. Beliau menjelaskan juga perayaan sambutan ulangtahun kemerdekaan negara sekarang tidak lebih sebagai merayakan pemimpin negara dan bukannya tokoh pejuang kemerdekaan sebenar. Katanya apabila ada fakta menyebut penglibatan tokoh lain ketika menuntut kemerdekaan negara, pemimpin Umno mulai menjadi gelabah. "Maka tidak hairanlah semangat menyambut kemerdekaan sudah mulai luntur di Malaysia sekarang. Kita boleh lihat sendiri berapa buah kenderaan atau rumah yang sanggup memasang Jalur Gemilang. "Berlainan dengan apa yang berlaku di Indonesia semangat rakyat begitu tinggi ketika perayaan ulangtahun kemerdekaan mereka," katanya. Beliau juga menjelaskan sedia berbincang dengan sesiapa sahaja mengenai sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan bagi membolehkan generasi muda mendapat maklumat lebih tepat. Zulkifli yang juga Adun Pulai Chondong pula berkata, generasi muda sekarang mulai tahu tokoh-tokoh yang benar-benar terbabit dalam perjuangan menuntut kemerdekaan negara. Menurutnya pendedahan itu dibimbangi pemimpin Umno kerana sebelum ini setiap kali sambutan ulangtahun kemerdekaan hanya pemimpin negara yang diketengahkan, sedangkan pejuang sebenar disisihkan. -HD |
Jurukamera BERNAMATV Maut Di Somalia Posted: 02 Sep 2011 07:40 PM PDT Mogadishu: Jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, 41, terbunuh selepas ditembak ketika membuat liputan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di sini, malam tadi. Allahyarham meninggal dunia jam 11.15 malam tadi (jam 6.15 petang di Somalia) iaitu kira-kira sejam selepas terkena tembakan curi dipercayai dilepaskan kumpulan pemberontak. Dalam kejadian serang hendap itu, seorang jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan turut dilaporkan cedera di tangan terkena tembakan yang dipercayai dilepaskan secara rambang. Wartawan Harian Metro, Mohamad Apendy Issahak ketika dihubungi di Mogadishu lewat malam tadi memberitahu, ketika kejadian kira-kira jam 5.15 petang waktu tempatan, Allahyarham bersama petugas media Malaysia sedang dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan di sini selepas melawat kem penempatan dalaman (IDPs) Waveri, dekat sini. Seramai 53 lagi anggota misi bantuan kemanusiaan dari Malaysia termasuk petugas media bagaimanapun terselamat dalam serangan itu dan mereka kini dalam proses pemindahan ke lokasi selamat. IBU Jurukamera BERNAMATV, Noramfaizul Mohd Nor (gambar kecil), Naemah Abdul Majid ditenangkan ahli keluarga selepas mengetahui anaknya meninggal dunia terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI di Mogadishu, Somalia di rumahnya di Taman Serdang Jaya di Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto BERNAMA Ketika kejadian kedua-dua mangsa berada dalam kenderaan yang sedang menuju ke hotel. Sementara itu, wartawan BernamaTV, Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata, kejadian itu berlaku ketika Noramfaizul bersama rakan media elektronik yang sedang menaiki trak dalam perjalanan ke sebuah pusat komersial untuk menghantar laporan berita apabila terkena tembakan curi yang mengenai bahunya dan menembusi paru-parunya. Mangsa yang dibawa masuk ke dalam hotel sejurus selepas kejadian, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 11.07 malam waktu Malaysia. Khairulanuar berkata, tembakan itu ditujukan kepada trak tentera kerajaan yang mengiringi pasukan media Malaysia, tetapi tersasar dan mengena Noramfaizul yang duduk berdekatan tingkap. Misi berkenaan yang berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur dijangka pulang pada 8 September ini. Wartawan Astro Awani Tan Su Lin yang membuat liputan langsung di Astro malam tadi memberitahu Aji Saregar cedera ringan di bahu kanan terkena serpihan peluru. Beliau berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira 5.40 petang waktu tempatan (Malaysia lima jam lebih awal dari Somalia) ketika mereka seramai enam orang sedang menaiki pacuan empat roda dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia. "Tiba-tiba saya terdengar dua bunyi kuat dari sebelah kanan dan ada bau asap. Saya tidak menyangka kenderaan kami terkena tembakan apabila menoleh ke belakang, Aji dalam kesakitan dan Faizul dalam keadaan pucat," katanya. Noramfaizul meninggalkan seorang isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki, Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3. Sementara itu, Norazrina, yang sedang dalam perjalanan balik dari Johor ke rumah mentuanya di Serdang Raya, dekat sini, terkejut dan sedih dengan pemergian Allahyarham. Norazrina berkata sebelum suaminya berlepas ke Somalia, Allahyarham berpesan supaya menjaga diri dan anak mereka dengan baik. "Dia turut berpesan dia pergi kerana berkhidmat untuk negara dan jangan bimbang dengan keselamatan dirinya," kata eksekutif perhubungan awam sebuah agensi kerajaan di Kuala Lumpur. Dalam pada itu, Tan berkata mereka pulang ke tempat penginapan untuk berkemas kerana dijangka pulang ke Malaysia pada kira-kira 5.30 pagi waktu tempatan hari ini. -hm |
Spender UMNO Pun Terlucutlah... Tuduh Mat Sabu, Sedangkan UMNO Sebenarnya Yang Pro-Komunis Posted: 02 Sep 2011 06:13 PM PDT Siapa sebenarnya pro-komunis? PETALING JAYA: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengucapkan tahniah kepada Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu kerana berjaya menarik perhatian umum untuk memasuki ruang perbahasan yang selama ini dianggap taboo untuk dibincangkan. "Malaysia sebenarnya begitu terasing dengan sejarah perlawanan penjajah. Kita selalu disajikan oleh cerita sejarah yang telah disunting untuk kepentingan pihak tertentu yang mewarisi kepentingan penjajah dan pemodal British. "Malah dalam beberapa hal pewaris itu lebih melampau dari penjajah asal khususnya dalam bab pembodohan minda," kata presidennya Badrul Hisham Shaharin dalam satu kenyataan media hari ini. Badrul Hisham atau CheguBard berkata, setiap kali kemerdekaan maka disajikan hanya Dato' Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman hinggalah Najib Tun Razak… adakah ini saja hero negara? Sajian sejarah yang disunting ini menjadikan anak muda hilang minat dengan sejarah negara. "Namun kemerdekaan kali ini yang awalnya dijangka tidak menarik perhatian kerana ditenggelami suasana 1 Syawal telah menjadi begitu menarik. Sejarah yang selama ini taboo telah dibincangkan secara terbuka," kata beliau yang juga Pengerusi PKR Cabang Rembau. Ujarnya, "jika benar polemik ini dianggap menghina bekas polis dan tentera maka bagaimana pula dengan pentadbiran kerajaan Umno-Barisan Nasional pimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi lesen penerbitan kepada lidah rasmi Parti Komunis China?" 'The People's Daily' Katanya, mengikut laporan Malaysiakini pada 10 Januari 2005, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah meluluskan untuk penerbitan suara rasmi Parti Komunis Malaya bernama 'The People's Daily.' "Mengikut Wikipedia 'The People's Daily ialah sebuah akhbar Republik Rakyat China. Akhbar ini merupakan suara rasmi Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, yang diterbitkan diseluruh dunia dengan edaran sebanyak tiga hingga empat juta naskhah," katanya lagi. "Yang menghairankan katanya, akhbar Harakah diterbitkan dengan 1001 satu syarat, Suara Keadilan tak diberi permit dan banyak lagi terbitan tidak dibenarkan tetapi lidah parti komunis dibenarkan. "Kalaulah permit ini dibawah urusan kerajaan negeri dan ada negeri Pakatan Rakyat yang memberikan kelulusan maka muncullah tuduhan seperti satu penghinaan kepada bekas-bekas tentera kita yang telah terkorban menentang PKM satu masa dahulu?," terangnya. Bukankah PKM bernaung di bawah Parti Komunis China di mana segala kelengkapan mereka datang dari Parti Komunis China? Tidakkah tindakan seperti ini juga seperti meludah di atas pusara mereka yang terkorban dalam peristiwa Bukit Kepong juga?," soal beliau. Menurut CheguBard, Umno sendiri menjalinkan hubungan istimewa dengan Parti Komunis China, sehingga ada program pertukaran latihan dan malahan ramai yang tidak sedar Ramadhan yang lepas regim Najib telah menghantar pulang pelarian-pelarian politik Uighur China secara paksa. "Menghantar pulang pelarian Uighur tersebut akan mendedahkan mereka kepada siksaan, kezaliman dan juga kepada kematian. Bangsa Uighur ini ialah kelompok Islam yang bermasalah dengan Beijing, mereka punya sejarah perjuangan untuk membentuk sebuah negara Islam yang merdeka. "Menghantar pulang mereka ke China seperti menghantar mereka untuk mati, ini merupakan satu kezaliman yang dilakukan oleh regim Najib lebih-lebih lagi ketika Ramadhan," jelasnya. Beliau menyoal, "adakah tindakan Umno ini adalah disebabkan hubungan formal di antara Umno dan Parti Komunis China yang terjalin sejak lama dulu dan diformalkan beberapa tahun lepas. Hubungan Umno-Parti Komunis China "Barang diingat, hubungan ini bukan hubungan Kerajaan dengan Kerajaan. Ia adalah hubungan antara parti Umno dengan Parti Komunis China," tegasnya. Ujar beliau, "kalau nak kata menghormati pejuang-pejuang yang menentang komunis, ratusan ribu kaum Uighur gugur syahid menentang kebangkitan komunis sekitar tahun 30an dan 40an dahulu." Menurut beliau, sebaik sahaja dasar Apartheid di Afrika Selatan 'runtuh' maka pada tahun 1994 dibawah kabinet bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dasar kerajaan telah diubah dengan meluluskan pindaan Akta Larangan Import (pindaan bil.7). "Perubahan ini bukan sahaja menarik balik sekatan larangan dagang dengan Afrika Selatan tetapi kesempatan diambil untuk menjalin hubungan dagang dengan Israel," kata CheguBard. Sejak itu katanya, Malaysia menjadi antara rakan dagang utama dan penyumbang kekuatan ekonomi kepada negara haram Israel ketika kebanyakan negara memboikot Israel. Katanya, di Perpustakaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan jelas terdapat banyak bahan untuk mempromosi produk Israel seperti majalah Israel-Asia Trade, Israel Review, buku Advantage Israel, Trade Policies Review (Israel), Advance Technology From Israel, Opportunity Israel, The Economics of Israel, Douanes (Buku kod tarif perdagangan Israel) dan beberapa lagi. "Oleh itu kita tidak hairan, jika Dr Mahathir membayar berjuta-juta ringgit kepada sebuah syarikat Yahudi, Satchi & Satchi untuk membantunya merangka strategi pilihan raya umum (PRU) 1986. Najib pula mengunakan Apco Worldwide untuk persediaan PRU 13," katanya. -FMT |
Utusan Malaysia Pemfitnah Berlesen, Penyambung Lidah Fitnah Di Pagi Syawal Posted: 02 Sep 2011 03:55 PM PDT Utusan Malaysia terus kekal dengan agenda membonsaikan fikrah orang Melayu seawal pagi 1 Syawal. Tanpa mengira umat Muslim yang baru sahaja selesai menjalani ibadah puasa di bulan yang penuh barakah dan juga merayakan kemenangan mereka melawan hawa nafsu, Utusan Malaysia terus-terusan cuba mengelirukan orang Melayu dengan menerbitkan kenyataan dangkal berhubung isu cincin berlian Rosmah Mansor. Utusan Malaysia cuba untuk mengelirukan orang-orang Melayu di kampung-kampung yang tidak mempunyai akses internet telah dengan sengaja menerbitkan kenyataan dari Anuar Shaari dengan membayangkan seolah-olah Che'gu Bard (gambar kiri) seorang penakut yang tidak berani untuk melaporkan isu cincin ini kepada SPRM. Sedangkan hakikat yang diketahui oleh semua dan sudah pasti Ketua Pengarang Utusan Malaysia maklum mengenai perkara ini adalah Che'gu Bard melalui Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah pun membuat satu laporan SPRM pada 13 Julai 2011. SAMM Negeri Johor sangat kesal dengan laporan Utusan Malaysia yang seolah-olah seperti "pencuri di siang hari", penyambung lidah fitnah sehinggakan pada ketika umat Islam sedang merayakan perayaan besar Aidilfitri mereka terus-terusan tergamak menjadi penyambung lidah fitnah dan memperbodohkan masyarakat Melayu tanpa rasa bersalah. Sebagai sebuah akhbar yang sepatutnya memainkan tanggungjawab sosial membentuk fikrah masyarakat, tetapi sikap Utusan Malaysia yang tanpa segan silu terus menyebarkan berita yang tidak benar semata-mata untuk menutup pekung di dada pimpinan Pemerintah Negara adalah sangat pahit. Tambahan pula, dalam keadaan negara sedang menyambut ulangtahun Kemerdekaan, artikel terbitan Utusan Malaysia tersebut telah secara jelas menjajah pemikiran masyarakat melalui penulisan picisan. Adakah Utusan Malaysia hari ini merupakan pengkagum Joseph Goebbels, Menteri Propaganda Hitler yang terkenal dengan prinsip "The Big Lie" iaitu satu prinsip yang menyatakan bahawa sesuatu fitnah, jika diulang berkali-kali dengan lantang, akan dipercayai rakyat jelata. Sesuatu yang amat dahsyat, di sebalik 54 tahun Kemerdekaan tanahair dan kredibiliti miliknya yang ditubuhkan pada tahun 1939 dengan hasrat dan tujuan asal untuk membangkitkan pendapat penduduk Tanah Melayu terhadap penjajah British, namun kini Utusan Malaysia seolah-olah hilang jatidiri dalam membentuk fikrah rakyat khususnya masyarakat Melayu. Sehubungan dengan itu, SAMM Negeri Johor diatas rasa tanggungjawab memperjuangkan "apa jua yang Haq, menolak yang batil" akan mengeluarkan risalah untuk diedarkan di seluruh negeri Johor untuk memperjelaskan keadaan sebenar isu berkaitan pembelian Cincin Berlian oleh "First Lady" Malaysia, Rosmah Mansor. PERJUANGAN ADALAH PERLAKSANAAN KATA-KATA *Kenyataan Ahmad Anwar Asyraf bin Ismail selaku Penyelaras Negeri Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor. |
UMNO Terkedu, Mat Sabu Tak Sebut Kominis, Pakatan Rakyat Pertahankan Mat Sabu Posted: 02 Sep 2011 08:50 AM PDT Pakatan pertahan Mat Sabu, dakwa Umno-BN palsukan sejarah Pakatan Rakyat mempertahankan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam isu kontroversi berkaitan kenyataan mengenai tragedi Bukit Kepong, sebaliknya mendakwa Umno-BN secara sistematik 'memalsukan' sejarah Malaysia. "Kami juga mempersoalkan naratif sejarah yang ditulis oleh 'pihak yang menang', yang dalam kes ini ditulis oleh Kerajaan Umno-BN dan perkakas propaganda mereka. "Dalam hal ini, kami ingin memberikan kritikan tegas terhadap usaha sistematik berdekad-dekad lamanya untuk 'memalsukan' sejarah Malaysia, agar hanya sumbangan Umno dan sekutu mereka yang diiktiraf sementara sumbangan jelas dari nasionalis Malaysia dan pejuang kemerdekaan yang lain dipadamkan," kata kepimpinan Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini. Kenyataan dikeluarkan oleh ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Komunikasi Nik Nazmi Nik Ahmad dan setiausaha antarabangsa DAP Liew Chin Tong. Dengan memetik kenyataan Winston Churchill pernah berkata bahawa "sejarah ditulis oleh pihak yang menang", kata mereka, di Malaysia, bukan sahaja sejarah malah berita semasa juga ditulis mengikut skrip mereka yang berkuasa. "Beberapa hari kebelakangan ini, media milik BN telah menyerang Mat Sabu secara berterusan sebagai seorang simpatisan komunis. "Mereka telah memfitnahnya sebagai mengagung-agungkan pengganas komunis yang menyerang polis di dalam tragedi Bukit Kepong," kata mereka dalam kenyataan itu. Pemimpin Pakatan Rakyat ini berkata kedua-dua dakwaan itu tidak benar sama sekali. "Kami percaya Saudara Mat Sabu tidak berkata demikian dan secara tegas mengutuk putar belit yang tidak bertanggungjawab oleh pimpinan dan media Umno. "Pertama sekali, Mat Sabu tidak sekali-kali menyebut tentang komunis ataupun PKM. Kedua, usahanya untuk menarik perhatian terhadap sejarah sebenar yang luas telah diputarbelitkan," katanya lagi. Justeru kata mereka, pihaknya mahu menegaskan bahawa mereka tidak mempersoalkan sebab Mohamad cuba menimbulkan persoalan terhadap naratif sejarah negara. "Tetapi kami secara serius mempersoalkan laporan cuai dan berniat jahat Utusan Malaysia, yang sekali lagi menggunakan hujah palsu dan tipu helah dengan niat yang jahat," kata kenyataan mereka. Kata mereka, apa sudah jadi kepada tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Mohamed (Pak Sako) dan ramai lagi? "Bagaimana dengan pertubuhan dan gerakan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)? Mereka merupakan peneraju sebenar aktivisme politik Melayu. "Kita juga mempunyai Perlembagaan Rakyat yang terhasil 10 tahun sebelum Merdeka oleh Pusat Tenaga Rakyat dan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA). "Usaha PUTERA-AMCJA ini bukan sahaja bersejarah dari segi usaha mereka, malah merekalah pakatan politik pelbagai kaum pertama negara," tambah kenyataan. Ketiga-tiga pemimpin ini berkata, harus diingat perjuangan kemerdekaan bukanlah usaha Perikatan semata-mata. Perjuangan murni ini berlangsung di pelbagai medan dan lapangan, dipimpin pelbagai tokoh dan menerusi pelbagai cara, kata beliau. "Bukankah pengorbanan tokoh-tokoh menentang penjajah seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Paloh dan ramai lagi juga mesti disertakan? "Tetapi pemimpin Utmno idak mampu menerima kepelbagaian ini. Sejarah yang ditulis Umno ialah hanyalah satu versi yang tiada ruang untuk berbeza pandangan," kata kenyataan mereka. Malah tambah mereka, "hakikatnya, jika kita membaca sejarah Malaysia menerusi tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin, Boestamam, Pak Sako dan lain-lain lagi, kita akan mendapati kisah aktivisme sosial, pejuangan kebangsaan, antikolonialisme dan kemudian ketakutan institusi dan penindasan yang menyaksikan mereka dan ramai lagi ditangkap dan ditahan di bawah ISA oleh kerajaan Perikatan/BN setelah difitnah, antara lain, menjadi talibarut komunis." Tegas mereka, buku-buku sejarah negara bukan sahaja kehilangan satu atau dua bab, tetapi satu sejarah yang selari tetapi telah berjaya dipadamkan daripada rekod rasmi negara. "Jelas sekali lagi bahawa Umno mempunyai kepentingan untuk mengekalkan versi sejarah mereka memandangkan ini menjadi asas kepada pemimpin serta kekuasaan mereka, malah menutup tipuhelah mereka untuk menindas pihak lawan dan penentangan sah setelah lima dekad berkuasa. "Sekali lagi kami menegaskan bahawa Mat Sabu tidak salah dalam usaha mempersoalkan persepsi yang wujud tentang sejarah negara," kata mereka sambil menambah, yang menjadi kesalahan ialah hakikat bahawa rakyat Malaysia telah dimanipulasi sekian lama oleh perkakas propaganda Kerajaan Umno-BN. -TMI Mohamad Sabu tak sebut komunis |
Gagal Dengan Menu Babi Masa Ramadhan, TheStar Kini Cuba Huruharakan K'jaan Kedah Pula Posted: 02 Sep 2011 07:50 AM PDT Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan beliau dan pimpinan PAS Pusat menyuruh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) meletakkan jawatannya. Menurut beliau, tada desakan baik daripada beliau atau mana-mana pimpinan PAS Pusat supaya Azizan meletakkan jawatannya. Ustaz Azizan terus kekal sebagai Menteri Besar. Namun buat masa ini beliau masih berehat disebabkan masih dalam rawatan," katanya. Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, The Star yang mengatakan beliau dan pimpinan PAS Pusat meminta Datuk Seri Azizan meletakkan jawatan atau berhenti berkhidmat sebagai Menteri Besar. Selain The Star, dakwaan tersebut turut dilaporkan bebertapa portal berita, sehingga ia menjadi tanda tanya pelbagai pihak terutama mengenai kesahihannya. Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Mohd Nasaie Ismail ketika menghubungi Harakahdaily, di sini, hari ini, berkata perkara itu telah dirujuk kepada Abdul Hadi dan Abdul Hadi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu. Sebaliknya, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut hairan bagaimana dakwaan itu muncul, sedangkan beliau dan pimpinan PAS Pusat tidak pun mendesak Azizan berbuat demikian. "Jadi dengan itu ditegaskan, Presiden PAS menafikan perkara tersebut. Ustaz Azizan tidak pun didesak atau dinasihat pimpinan pusat khususnya Presiden PAS supaya meletakkan jawatan atau berhenti berkhidmat sebagai Menteri Besar. "Tiada desakan baik daripada Presiden atau mana-mana pimpinan pusat supaya Ustaz Azizan meletakkan jawatan," tegasnya. Sebaliknya, tegas beliau, Presiden PAS memaklumkan bahawa Ustaz Azizan terus kekal sebagai Menteri Besar Kedah, tetapi masih berehat buat masa ini disebabkan masih dalam rawatan. Sehubungan itu, beliau berharap supaya orang ramai tidak terpengaruh dengan laporan tersebut kerana ia jelas tidak berasas. -HD
Ulasan GB Petanda "niat busuk" THESTAR sudah terdedah semenjak siaran menu masakan babi untuk berbuka puasa beberapa minggu lalu. Sekarang "menu babi" yang simbolik itu terzahir di alam realiti - berita palsu dan fitnah mengenai kerajaan PAS negeri Kedah, kononnya MB Kedah Datuk Seri Azizan diminta oleh pimpinan PAS Pusat untuk meletakkan jawatan. THESTAR sebenarnya sudah terpukul hebat dengan isu penyiaran menu babi satu ketika dengan telah diberikan AMARAN KERAS oleh Kementerian Dalam Negeri, kini cuba untuk memperbaiki imejnya depan UMNO dengan melontarkan fitnah dan kontroversi untuk hancurkan kerajaan PAS Kedah. But these idiots of THESTAR think that PAS members are all stupid like them. Nevertheless, they forget one thing: God is Ever-Watching whatever they do and whatever they write. |
PAS Akan Anjur Seminar Khas Kaji Sejarah Mat Indera Posted: 02 Sep 2011 05:10 AM PDT Mad Indera dapat tauliah agama dari kerajaan Johor Mat Indera adalah seorang guru agama yang mendapat tauliah agama dari kerajaan negeri Johor, kata AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar). "Umno dan penjajah yang tuduh Mad Indera komunis," kata beliau ketika bercakap kepada kira-kira 500 perantau Terengganu yang pulang beraya di kampung semalam. Beliau mengulas serangan Umno dan medianya yang bertubi-tubi terhadap timbalan presiden PAS, Haji Mohamad Sabu yang mancadangkan agar sejarah negara dikaji semula. Ini berikutan dari dakwaan bahawa Umno melakarkan sejarah negara berdasarkan kepentingannya tetapi bukan cerita yang sebenar. Mohamad Sabu berkata, isu serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950 telah diceritakan Umno sebagai penjahat menyerang hero iaitu polis yang mempertahankan balai itu. Ia menjadi satu kepercayaan ramai apabila Jins Samsudin membuat filem Bukit Kepong pula berdasarkan persepsi itu. Antara yang menyerangnya adalah kumpulan yang dipimpin oleh Mat Indera di samping komunis yang juga melawan penjajah British ketika itu. Polis ketika itu adalah bertugas dengan penjajah Inggeris yang menjajah Tanah Melayu pada waktu itu. Antara pihak yang menentang Inggeris adalah pejuang Islam yang dipelopori oleh Abu Bakar Al Bakir, kumpulan Nasionalis Melayu pimpin Ahmad Boestaman dan juga komunis. Namun kesemua mereka tidak menjadi hero yang memperjuangkan kemerdekaan dan melawab bagi pengkisah sejarah negara yang dipimpin Umno tetapi yang menjadi hero adalah Datuk Onn Jaffar dan Tunku Abdul Rahman. Padahal Datuk Onn adalah menteri besar yang dilantik Inggeris untuk mentadbir Johor. Tunku Abdul Rahman pula adalah pegawai British. Seminar sejarah Akibat salah faham ini, Abu Bakar Chik yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat berkata, pihaknya akan menganjurkan satu seminar khas bagi mengkaji balik sejarah ini. "Kita akan adakan seminar untuk mengkaji balik sejarah ini, antaranya kes Mat Indera yang akan kita kaji semula. "Kita akan kaji dan nilai siapa pejuang kemerdekaan sebenarnya," kata beliau dalam majlis itu. Bagi beliau, apa yang cuba dikatakan oleh Mohamad Sabu adalah meminta rakyat negara ini mengkaji semula sejarah yang ditulis selama ini oleh kerajaan Umno untuk kepentingan politik parti itu. |
Dianiaya Dan Dimanipulasi, Penulis Bidas Sikap Membisu Muhyiddin Posted: 02 Sep 2011 03:05 AM PDT Penulis dizalimi, Muhyiddin membisu Kumpulan Sasterawan Kavyan kecewa kerana Menteri Pelajaran belum berbuat apa-apa berikutan kes lima penulis dikatakan dinafikan hak royalti bagi teks Komsas. PETALING JAYA: Penulis sepenuh masa dari Johor, Rohani Deraman (gambar) layak menerima royalti sekitar RM55,878.50 daripada antologi Gema Sepi Gadis Genius (DBP: 2010) yang dijadikan teks Komsas bagi pelajar Tingkatan Dua. "Cerpen 'Warkah Daripada Ibu' karya Rohani mula-mula termuat dalam antologi Hanya Kita Yang Tinggal (Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd: 2001) dan dia hanya dibayar RM40. "Cerpen sama dimuatkan dalam sebuah antologi terbitan Edu Quest Publisher pada 2007 dan penulis tidak dibayar walau satu sen," kata Uthaya Sankar SB yang merupakan pemilik 'Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya' dan presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan). Beliau yang sedang menangani isu lima penulis yang dikatakan dinafikan hak royalti teks Komsas berkata, data di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menunjukkan bahawa Edu Quest Publisher pernah menerbitkan beberapa buku kanak-kanak dan remaja pada 2000, 2005, 2006, 2007 dan 2008. "Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd adalah ahli Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) tetapi Edu Quest Publisher umpama sebuah syarikat misteri dan tiada banyak maklumat mengenainya. "Saya mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd yang memiliki Nur-Ilmu Sdn Bhd juga memiliki Edu Quest Publisher," katanya dalam catatan di blognya. Uthaya turut mendedahkan bahawa pada 31 Mac lalu, Kementerian Pelajaran Malaysia sudah membuat pembayaran secara elektronik kepada para penerbit asal bagi karya-karya yang termuat dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius. "Royalti yang dibayar kepada Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd sebagai penerbit asal bagi cerpen 'Warkah Daripada Ibu' dipercayai adalah RM11,175.70 dan jumlah itu hanyalah royalti bagi cetakan pertama (2010)," kata Uthaya. Penulis prolifik yang sebelum ini dilantik sebagai anggota Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok Edisi Murid berkata, orang ramai mempunyai alasan munasabah untuk beranggapan bahawa Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd "mencuri" duit royalti Rohani bagi cerpen "Warkah Daripada Ibu" sebanyak RM5,587.85 setahun. "Isu mengenai penindasan dan penganiayaan terhadap Rohani serta beberapa penulis lain sudah diceritakan dalam Surat Rayuan Terbuka Kepada Menteri Pelajaran pada 26 Ogos lalu tetapi tiada apa-apa reaksi daripada pihak berkenaan," kata Uthaya. Dianiaya dan dimanipulasi Surat rayuan terbuka itu ditulis oleh Rohani bersama-sama Amy Suzani Mohd Ainuddin (Kelantan), Hazama Harun (Kuala Lumpur), Mohd Izan Abd Hazes (Kuala Lumpur) dan Erda Roslan Khairi (Putrajaya) serta turut disiarkan di FMT. "Mereka berlima secara terang-terangan dianiaya dan dimanipulasi sekumpulan penerbit yang mempamerkan sikap tidak berwibawa, tidak beretika, tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan. "Malah, orang ramai mendapat gambaran seolah-olah para penerbit terbabit lebih berkuasa daripada Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri," katanya. Uthaya mula-mula mendedahkan isu itu menerusi artikel bertajuk "Komsas Abai Hak Cipta?" di FMT pada 15 Ogos lalu. "Berdasarkan apa yang berlaku, orang ramai kini mempunyai alasan munasabah untuk mula tertanya-tanya, apalah gunanya 'kuasa' pada tangan Tan Sri Muhyiddin Yassin jika beliau tidak mampu menggunakan kuasanya dan kuasa-kuasa khas yang ada padanya untuk membela lima penulis yang dizalimi," kata Uthaya sambil menambah: "Tepuklah dada, tanyalah selera." -FMT |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan