Jumaat, 2 September 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Penipuan Utusan Bakal Bunuh UMNO, Sokongan Kepada Mat Sabu Semakin Meningkat

Posted: 01 Sep 2011 11:45 PM PDT

Ipoh – Pemuda Pas Negeri menyokong kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu yang mendakwa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan sebenar.

Ketuanya, Zawawi Yusoff berkata, kenyataan Mohammad Sabu atau Mat Sabu itu adalah situasi sebenar selain berdasarkan kepada fakta-fakta yang relevan berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, isu berkenaan juga telah disuarakan sejak sekian lama iaitu sejak sekitar 80-an tetapi ia senyap begitu sahaja sehinggalah ditimbulkan kembali waktu ini.

"Kita menyokong kenyataan berfakta daripada beliau (Mat Sabu) ini, malah ianya telah disuarakan sejak sekian lama, tetapi baru hari inilah pihak Umno nak putar belit isu ini.

"Cuba perhatikan betul-betul. Individu-individu yang disebut oleh beliau juga berjuang menentang British, bukannya menentang orang Melayu.

"Mungkin yang ditentang hanya segelintir yang menjadi tali barut kepada British di masa itu,"
katanya, semalam.

Berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran daripada Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri, Mohamad Annuar Ariffin yang mahukan pihak Pemuda Pas menyatakan pendirian terhadap isu berkenaan.

Sementara itu, Zawawi juga mendakwa wujud dua pihak Umno iaitu 'lama' dan 'baru' yang memiliki perjuangan berbeza.

Katanya, hanya Umno lama yang berjuang untuk orang Melayu manakala Umno baru pada hari ini dilihat banyak menyeleweng daripada perjuangan sebenar malah lebih menjurus kepada kepentingan diri sendiri.

"Perjuangan Umno baru ini dilihat tidak banyak memperjuangkan hak Melayu malah lebih kepada kepentingan politik semata-mata," katanya. -SH

Mat Sabu asak balik, dakwa Umno di ambang tumbang

Mat Sabu berkata sambutan bagi program ceramah anjuran PAS "sangat baik".

KUALA LUMPUR, 2 Sept — PAS semakin hampir untuk mengisytiharkan pihaknya "juara" kempen bersaing dengan Umno bagi mendapatkan undi orang Melayu kawasan luar bandar ketika sambutan Aidilfitri, dengan Timbalan Presidennya Mohamad Sabu yakin Umno bakal tumbang dalam waktu terdekat.

Meskipun berhadapan dengan siri kecaman dan kritikan berhubung kenyataan mengenai tragedi Bukit Kepong, Mohamad menegaskan kepada The Malaysian Insider, usaha mengedar bahan kempen Aidilfitri sudah cukup berjaya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu memihak kepada Pakatan Rakyat (PR).

"Ceramah-ceramah kami di surau dan masjid cukup baik. Respons daripada rakyat sangat baik," katanya.

Kedua-dua PR dan Barisan Nasional (BN) mengadakan kempen prapilihan raya umum ketika Ramadan, masing-masing dengan agenda dan mesej untuk memikat sokongan pengundi Melayu, khususnya mereka di luar kawasan bandar.

Bagaimanapun pada Sabtu lalu, PAS — komponen PR, berhadapan dengan serangan Utusan Malaysia kononnya Mohamad mempertikaikan pejuang kemerdekaan dan mengagung-agungkan komunis, ketika negara menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan Ke-54.

Mohamad telah menafikan ada menyebut nama komunis dalam ceramahnya di Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu.

The Malaysian Insider semalam membawa laporan, sama ada tafsiran Mohamad mengenai tragedi Bukit Kepong tepat ataupun sebaliknya, isu itu telah membuka ruang kepada BN untuk bertindak secara ofensif ketika ia bertungkus-lumus memperbaiki imejnya yang terjejas ekoran perhimpunan Bersih 2.0 dan isu kenaikan inflasi.

Meskipun ada peralihan sokongan orang Melayu kepada perikatan itu sejak pilihan raya umum 2008, Umno melihat Mohamad, timbalan presiden PAS yang dipilih Jun lalu, sebagai "pengasak" yang belum boleh memecahkan asas kekuatan mereka di kalangan kaum majoriti itu.

Bagaimanapun kenyataan kontroversi pemimpin itu telah membolehkan Umno menyemai benih keraguan di kalangan pengundi Melayu, yang masih menganggap komunisme sebagai satu momokan, khususnya di kalangan masyarakat luar bandar.

Meskipun begitu, Mohamad masih yakin dengan sokongan orang Melayu sambil menegaskan, Umno sudah mula rasa tertekan dan terdesak.

"Anda tengok, saya hanya seorang yang sangat, sangat kecil. Bukan orang besar pun, tetapi mereka menyerang saya... lima hari lima malam. Jadi, mereka sudah jelas terdesak," kata beliau.

Katanya, ketika kempen sempena cuti Aidilfitri yang diusahakan oleh PAS, pemimpin-pemimpin parti Islam itu menjelaskan mengenai tuntutan pilihan raya yang dibawa oleh Bersih 2.0 termasuk isu pengundi pos.

"Isu-isu lain termasuklah rasuah, skandal cincin RM24 juta melibatkan isteri perdana menteri... mereka belum lagi menjelaskan dengan betul," kata beliau.

Reaksi daripada orang ramai cukup menggembirakan kata Mohamad sambil menambah, PAS telah berjaya membawa mesej ke akar umbi.

"Apa pun, Umno akan tumbang dalam waktu terdekat. Anda akan lihat," kata beliau dengan yakin.

Ketika sambutan Aidilfitri kali ini, ahli-ahli PAS telah menyiarkan video berkaitan dengan perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai dan mengedarkan kira-kira 200,000 DVD. -TMI


Ulasan GB

Dah banyak kali GB ulas hal ini, sekadar megingatkan kepada pihak yang memutarbelit ucapan Mat Sabu seperti yang dilakukan oleh Utusan:

اسْتِكْبَاراً فِي الْأَرْضِ وَمَكْرَ السَّيِّئِ وَلَا يَحِيقُ الْمَكْرُ السَّيِّئُ إِلَّا بِأَهْلِهِ
فَهَلْ يَنظُرُونَ إِلَّا سُنَّتَ الْأَوَّلِينَ فَلَن تَجِدَ لِسُنَّتِ اللَّهِ تَبْدِيلاً وَلَن تَجِدَ لِسُنَّتِ اللَّهِ تَحْوِيلاً


Sambil bersikap sombong di bumi dan berusaha merancangkan rencana jahat, dan tidak ditimpakan dengan rancangan yang jahat itu melainkan orang yang menjalankannya. Maka tiada yang mereka tunggu melainkan seperti berlakunya kebinasaan ke atas orang yang telah lalu. Kerana engkau tidak akan mendapati perubahan bagi Sunnatullah, dan engkau tidak akan mendapati Sunnatullah itu menyimpang. Fathir: 43


Kemalangan Ambulans Meningkat, Kerajaan Kaji Tetapkan Hadlaju Untuk Ambulans

Posted: 01 Sep 2011 10:55 PM PDT

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pada masa ini tiada had laju ditetapkan untuk ambulans yang membawa pesakit ke hospital semasa kecemasan.

Walau bagaimanapun pihaknya akan menyiasat kejadian kemalangan yang melibatkan ambulans dan mendapatkan pandangan pelbagai pihak sebelum mengadakan sebarang had laju, katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis persaraan Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia Datuk Robiah Abdul Ghani di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur, semalam.

Ismail berkata pihak polis juga akan menyiasat kejadian kemalangan maut yang melibatkan ambulans Rabu lalu.

Seorang ibu, Norizah Bujang, 62, maut apabila ambulans yang dinaikinya bagi menemani anaknya untuk mendapatkan rawatan akibat terkena renjatan elektrik di Hospital Kuala Pilah terbabas ketika melalui satu selekoh di Jalan Felda Bukit Rokan di Tampin, Negeri Sembilan.

Anaknya, Nur Intan Suhana Ahmad, 30, terselamat tetapi kritikal akibat renjatan elektrik, sementara pemandu dan pembantu kesihatan dari Klinik Kesihatan Jelai mengalami cedera ringan di muka dan tangan.

Pada pertengahan Ogos lalu, pesakit Mariam Baba, 73, seorang mangsa samun maut dan jururawat Yuhanis Yasin, 30, meninggal dunia kerana cedera parah setelah ambulans yang mereka naiki untuk ke Hospital Kuala Lumpur dari Melaka terbalik setelah dirempuh oleh sebuah teksi. - Bernama

Seorang Ibu Terbunuh Apabila Ambulans Bawa Anaknya Terbabas

TAMPIN: Seorang ibu, yang menemani anaknya ke Hospital Kuala Pilah untuk mendapatkan rawatan akibat terkena renjatan elektrik, terbunuh apabila ambulans yang membawa mereka terbabas ketika melalui satu selekoh di Jalan Felda Bukit Rokan, pukul 8 malam Rabu.

Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah Norizah Bujang, 62, manakala anaknya, Moriem Tam Suhana Ahmad, 30, terselamat tetapi kritikal akibat renjatan elektrik yang dialaminya.

Jurucakap polis berkata ambulans, yang dipandu seorang petugas dari Klinik Kesihatan Jelai, bersama seorang pembantu membawa Allahyarham Norizah yang menemani anaknya di bahagian belakang ambulan ke Hospital Kuala Pilah.

Katanya semasa melalui satu selekoh dekat Jalan Felda Bukit Rokan, ambulans itu terbabas sehingga remuk di bahagian hadapan.

"Norizah meninggal dunia di bahagian belakang ambulans dan anaknya terselamat tetapi masih kritikal akibat renjatan elektrik yang dialaminya," katanya.

Kedua-dua pemandu dan pembantu kesihatan pula hanya mengalami kecederaan ringan di muka dan tangan.

Jurucakap polis itu berkata Moriem Tam Suhana terkena renjatan elektrik semasa menggunakan mesin jahit kira-kira pukul 7 malam di rumah mereka di Felda Jelai.

Allahyarham Norizah yang tinggal bersama anak perempuannya kemudian meminta bantuan seorang jiran untuk menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Jelai namun berikutan kecederaan Moriem Tam Suhana parah, mangsa terpaksa dihantar ke Hospital Kuala Pilah menggunakan ambulans.

Adik perempuan Norizah, Azami Bujang ketika dihubungi Bernama pagi Khamis memberitahu, kakaknya meninggalkan suami serta tujuh orang anak dan jenazah allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Felda Jelai 3.

"Anaknya yang terkena renjatan elektrik ini merupakan anak keempat yang telah kematian suami dan mempunyai dua cahaya mata," katanya.

Semasa melawat anak saudaranya itu di Hospital Kuala Pilah, Moriem Tam Suhana sudah mampu bercakap tetapi difahamkan mangsa akan dipindahkan ke Hospital Seremban kerana mendapat kecederaan tulang akibat kemalangan itu, katanya. -mstar

Kemenangan Libya Dipimpin Oleh Islam

Posted: 01 Sep 2011 08:53 PM PDT

Ramadhan 1432H telah menyaksikan satu kemenangan bersejarah dimana rakyat Libya telah berjaya menjatuhkan regim Muamar Ghaddafi yang memrintah secara kuku besi

Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata kebangkitan dan kemenangan rakyat Libya adalah dipimpin oleh Islam diketuai oleh Sheikh Mustafa Abd Jalil.

Beliau berkata, Sheikh Mustafa telah dapat menyatukan semua kumpulan-kumpulan Islam, termasuk kumpulan sekular di Libya.

Menurutnya, Sheikh Mustafa juga berjaya mengurangkan campurtangan Barat dalam kemenangan rakyat kerana menerima sokongan Barat secara bersyarat.

"Beliau (Sheikh Mustafa) berjaya mengurangkan campurtangan Barat dengan menerima sokongan bersyarat, hanya menerima bantuan serangan dari udara,

"(tetapi) tidak mahu bantuan serangan darat,"ujar Ustaz Hadi ketika berucap dalam Majlis Ijtima' Idul Fitri Anak-anak Terengganu di Perantauan, di Kuala Ibai dekat sini Khamis 1 September.

Menurutnya yang juga ahli Parlimen Marang, pihak Barat terdesak kerana bergantung kepada Libya membekalkan tenaga kepada Eropah.

Katanya 1/3 daripada tenaga dari Petroleum yang menjana industri di Eropah adalah disalurkan secara terus melalui paip dari Libya

Beliau menegaskan, Sheikh Mustafa juga mengulangi sejarah pemimpin Islam silam, apabila mensyaratkan kepada para pejuang suapay tidak bertindak membalas dendam dan berlaku zalim ketika menawan Tripoli.

"Apabila Tri;poli jatuh, Sheikh Mustafa memberi amaran supaya jangan melakukan kezaliman dan membalas dendam, sekiranya berlaku keganasan, beliau akan menletakkan jawatan sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Libya," jelasnya. -buletinonline

Tok Janggut Tikam Sarjan Sulaiman (Che Wan): UMNO Pilihlah Siapa Hero!

Posted: 01 Sep 2011 07:30 PM PDT

Nama sebenar Tuk Janggut ialah Haji Mat Hassan bin Panglima Munas. Beliau mendapat pendidikan di Mekah dan mahir bersilat.

Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran. Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan tradisional di negeri Kelantan.

Antara yang paling sensitif ialah mengenai pengenaan cukai kepala sebanyak RM1.00 seorang setiap tahun, pokok buah-buahn sebanyak 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung.


Pada 29 April 1915, pentadbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff iaitu seorang pegawai tadbir Pentadbiran British yang berasal daripada Singapura, menggantikan raja yang berkuasa di daerah itu. Pertelingkahan mengenai cukai dan pengurusan pengutipan cukai membuatkan Haji Mat Hassan (Tuk Janggut) enggan membayar cukai.

Encik Latiff mengarahkan satu pasukan polis yang diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib untuk menangkap Tuk Janggut pada 29 April 1915. Dalam satu pergelutan yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah ditikam oleh Tuk Janggut lalu terbunuh, Tuk Janggut telah menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff pula telah melarikan diri melalui ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915. Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh.


Kebangkitan Tuk Janggut menyebabkan Sultan Kelantan yang memerintah pada masa itu berasa terancam dan serba salah. Atas Desakan Pegawai Penasihat British pada masa itu Sultan Kelantan terpaksa menganggap Tuk Janggut sebagai seorang penderhaka. Pada hal Tuk Janggut bangkit menentang atau melawan pentadbiran British yang menggunakan undang-undang cukai baru di seluruh Kelantan, termasuk Pasir Putih.

Dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Tuk Janggut telah terkena tembak lalu meninggal dunia. Mayat Tuk Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang memakan masa satu hari. Mayat beliau digantung songsang (kaki di atas dan kepala di bawah)beberapa hari di Padang Bank (Padang Merdeka).Kemudian mayatnya itu telah ditembak oleh sepasukan pihak British sehingga putus dua badannya. Selepas itu mayatnya dibungkus dan dibawa dengan perahu ke Pasir Pekan untuk dikebumikan.


(Pak Teh telah menziarahi pusara Tok Janggut beberapa tahun lalu - mungkin UMNO menganggap beliau adalah pengkhianat kerana melawan Melayu barua British, namun Pak Teh tetap mengatakan beliau mati sebagai seorang syuhada - Al-Fatihah)

Peristiwa Bukit Kepong (1950) ada persamaan dengan peristiwa Tok Janggut (1915). Tok Janggut di tuduh penderhaka kerana menentang Pasukan Malay State Guide di Kampung Dalam Pupuh, Pasir Putih, sementara Mat Indera telah dituduh Komunis kerana menyerang Rumah Pasong, Bukit Kepong, Muar dan membunuh Mata-Mata. Kedua-dua peristiwa ini melibatkan pihak British sebagai dalangnya dan kejadian berlaku semasa zaman Penjajahan British. -arisawang


TOK JANGGUT PAHLAWAN KELANTAN

Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Mat Hassan bin Munas atau Panglima Munas lahir di Kampung Saring daerah Jeram, Kelantan pada tahun 1850. Ayahnya Panglima Munas berkhidmat sebagai panglima istana Tengku Seri Maharaja Jeram, kerana itu Tok Janggut dibesarkan dan dididik dalam istana. Apabila dewasa beliau dihantar menuntut ilmu di Mekah dan pulang ke tanah air pada tahun 1910 ketika berusia 60 tahun.

Setahun sebelum itu atau pada tahun 1909 telah diadakan perjanjian Inggeris-Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam.

Camputangan Inggeris di Kelantan tidak disenangi penduduk tempatan apatahlagi apabila Inggeris membuat perubahan yang ternyata bertentangan dengan adat istiadat Melayu dan undang-undang Islam.

Sebelum kedatangan Inggeris negeri Kelantan diperintah oleh Sultan Mansur yang memakai gelaran Sultan Muhammad III. Beliau seorang sultan yang taat beragama dan warak. Baginda mendampingi ulama yang terkenal pada masa itu antaranya Haji Abdul Malik Sungai Pinang, Tok Ku Syed Hakim@Syed Muhammad bin Syed Alwi, Imam Haji Nik Wan Daud, Imam Haji Abdullah, Imam Haji Mahmud Tuan Padang, Haji Muhammad Ta', Haji Ismail Langgar, Haji Daud Kampung Menuang, Haji Taib anak Tuan Padang dan Haji Nik Abdul Rahman Dakwat.

Sultan Mansur Syah atau Sultan Muhammad 111 telah menguatkuasakan undang-undang Islam. Antaranya perlaksanaan hukum hudud ke atas pencuri dan qisas ke atas pembunuh, baginda juga menguatkuasakan undang-undang ta'zir ke atas orang-orang yang tidak berpuasa dan mengenakan hukuman terhadap perempuan yang tidak menutup aurat.

Semasa pemerintahan Sultan Mansur atau Sultan Muhammad 111, negeri Kelantan berada pada zaman kegemilangannya dalam sejarah perundangan Islam dan kehidupan beragama di kalangan rakyat negeri Kelantan.

Tetapi segalanya berubah apabila Inggeris menghantar penasihatnya ke Kelantan. British telah memperkenalkan undang-undang mereka sendiri terhadap rakyat Kelantan antaranya merubah sistem pemilikan tanah yang mana secara otomatik menolak undang-undang tanah tradisional Melayu yang berlandaskan kepada undang-undang Islam yang berdasarkan prinsip Ihya (usaha) dan Tha'jir (tanda).

Itulah punca penentangan Tok Janggut yang sebenar, bukan hanya disebabkan enggan membayar cukai yang dipaksakan Inggeris seperti yang diuwar-uwarkan British.

Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada Ogos 1914 yang mana British berperang dengan Turki Uthmaniyah. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan 1910 dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu.

Keputusan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya.

Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi kemarahan penduduk Kelantan. Pada mulanya Tok Janggut dan pengikut turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati. Tetapi apabila terpaksa menunggu selama beberapa hari di pejabat tanah kerana tidak ada pegawai mengutip cukai yang melayannya akhirnya Tok Janggut memutuskan tidak mahu membayar cukai dan mempimpin gerakan menentang Inggeris pada tahun 1915.

Pada 29 April 1915, Haji Mat Hassan atau Tok Janggut bermesyuarat dengan para pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib. Mereka mengatur strategi menentang Inggeris, mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka atau memerintah sendiri mengikut undang-undang Islam.

Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui Pegawai Jajahan Pasir Puteh, Abdul Latif yang berasal dari Singapura, kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk menangkap Tok Janggut.

Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Tok Janggut menyerah diri. Kebetulan ketika itu, Tok Janggut sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata.

Bagi mengelakkan berlaku pertempuran Tok Janggut bersetuju mengikut anggota polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya. Tetapi sikap lembut dan mengalah Tok Janggut disalahartikan oleh Sarjan Che Wan yang memberi layanan seperti penjenayah lalu berlaku perbalahan.

Dalam usaha mempertahankan dirinya Tok Janggut telah menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya menyebabkan tercetusnya peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris. Tok janggut dan pengikutnya berjaya menawan Pasir Puteh lalu menubuhkan pentadbiran sendiri, beliau menjadi Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram sebagai Raja.

Inggeris yang ketika itu merupakan salah sebuah kuasa besar dunia berasa tercabar lalu menghantar pasukan tentera ke Kelantan.

Akhirnya pada 24 mei 1915 berlaku pertempuran sengit dikampong dalam pupuh yang berakhir dengan Tok Janggut gugur syahid bersama dengan sahabat-sahabatnya Tok Abas dan Tok Hussin.

Kemudian mayat Tok Janggut dibawa ke Kota Bharu, diarak dan digantung sonsang selama empat jam di padang bank atau Padang Merdeka sebelum dikebumikan di kampung pasir Pekan.

Apakah yang mendorong Tok Janggut yang ketika itu berumur 65 tahun menentang sebuah kuasa besar yang punya peralatan senjata yang lengkap, ada kapal perang, meriam dan senapang?.

Menasabahkah seorang lelaki tua memberontak hanya disebabkan tidak mahu membayar cukai?

Sesungguhnya Tok Janggut berjuang demi membela agama, bangsa dan tanah airnya...Dia seorang mujahid.... -Abdul Latip Talib




Karpal Bersama UMNO Hentam Mat Sabu Bila PAS Tonjol Agamawan Sebagai Pejuang Kemerdekaan

Posted: 01 Sep 2011 05:08 PM PDT

Bukit Kepong: Karpal mahu Mat Sabu tarik balik kenyataan

Pengerusi DAP Karpal Singh mahu rakan pemimpin parti pakatan Mohamad Sabu, menarik balik kenyataannya berhubung tragedi Bukit Kepong.

Pemimpin DAP (gambar) itu berkata rentetan peristiwa Bukit Kepong itu tidak boleh dipertikaikan dan mesti diterima kerana dokumen sejarah telah menyatakan bahawa anggota polis dan keluarga mereka berjuang menentang gerila komunis.

"Menyentuh tentang satu isu sensitif yang berusia lebih 61 tahun selepas ia berlaku adalah tidak adil dan saya fikir beliau (Mohamad Sabu) perlu secara serius mempertimbangkan untuk menarik balik kenyataannya memandangkan penerimaan negatif pelbagai pihak terhadapnya," kata Karpal dipetik Bernama Online.

Mohamad Sabu, yang juga Timbalan Presiden PAS, semasa berceramah di Tasek Gelugor di sini pada 21 Ogos lepas didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengganas komunis yang menyerang dan membunuh 25 anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Karpal berkata Mohamad sepatutnya segera bertindak meredakan keadaan dan menenangkan perasaan anggota keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan.

"Saya bukannya anti-PAS dan saya juga tidak anti-Sabu, tetapi saya tidak bersetuju dengan kenyataan beliau dalam perkara ini," katanya.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata kenyatan Mohamad tidak wajar dan ia boleh menjejaskan parti pakatan.

"Beliau seharusnya menarik balik kenyataan kerana saya tidak nampak mengapa beliau tidak harus melakukannya.

"Saya tidak fikir apa yang beliau katakan itu mempunyai penghuraian positif bagi pakatan; ia negatif," kata Karpal.

Dalam pada itu, Puteri Umno mendesak Mohamad supaya meminta maaf kepada rakyat negara ini atas kenyataannya berhubung tragedi Bukit Kepong.

Ketua pergerakan itu Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata ini kerana kehidupan dan keamanan yang dirasai oleh pemimpin berkenaan bersama keluarganya adalah hasil perjuangan pemimpin lampau yang memperjuangkan kemerdekaan negara.

Beliau berkata Puteri Umno kecewa dengan kenyataan Mohamad Sabu, atau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, dan mahu beliau menarik balik kenyataannya itu.

"Ini merupakan satu kenyataan yang sungguh tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan keluarga yang terlibat terutama sekali keluarga pejuang-pejuang kita yang telah pergi berasa sedih, lebih-lebih lagi kita berada dalam suasana kemerdekaan serentak dengan sambutan Hari Raya.

"Kenyataan begitu sewajarnya tidak dikeluarkan oleh mana-mana pihak atau mana-mana parti politik sekalipun," katanya di Papar. -TMI


Pemimpin PAS pertahan Mat Sabu, dakwa Umno padam agamawan nasionalis

Dua lagi pemimpin PAS pusat mempertahankan Mohamad Sabu sambil menegaskan kefahaman bahawa hanya Umno memperjuangkan kemerdekaan negara seperti dicanang pihak tertentu untuk mendapat sokongan orang Melayu sama sekali tidak benar.

Ahli jawatankuasa kerja parti itu, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata gologan agamawan nasionalis yang dicap sebagai penentang atau golongan kiri oleh British juga merupakan pejuang kemerdekaan sebenar, namun tidak diangkat dalam sejarah.

Semalam, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengeluarkan pendirian menyokong timbalan presiden itu.

Mereka seperti Tok Janggut yang menentang British di Kelantan, Tok Ku Paloh dan Abdur Rahman Limbong di Terengganu, Datuk Bahaman di Pahang dan beberapa pejuang lain yang sanggup menggadai nyawa menentang penjajah.

Selain itu tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan negara yang lain seperti Dr Burhanudin al-Helmi, Ibrahim Yaakob, Abu Bakar al Baqir dan Ahmad Boestamam juga seolah-olah dinafikan jasa mereka menentang penjajah.

"Pada saya, sebenarnya perlu kepada penziarahan semula sejarah kemerdekaan kita kerana sejarah yang ada pada hari ini hanya ditulis dari satu sisi pandang iaitu dari pihak Umno BN yang diberi kuasa oleh penjajah British," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

"Kita menerima nasionalis berunding meja bulat dengan British kemudiannya diberi kuasa, namun kita juga perlu mengiktiraf dan merakamkan perjuangan agamawan nasionalis dan golongan kiri yang turut berjuang memerdekakan negara dari British," katanya dipetik Harakahdaily hari ini.

Menurut sejarah, dalam pertempuran dengan British di Kampung Pupuh, Tok Janggut dibunuh dan mayatnya dibawa ke Kota Baru dalam kereta lembu yang menelan masa sehari.

Kemudian mayat beliau digantung secara terbalik beberapa hari di depan istana di Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir Pekan.

Abdur Rahman pula dilabel sebagai sebagai penderhaka kepada kerajaan Terengganu dan ditangkap dan dibuang ke Singapura dan selanjutnya di Mekah pada 1928 dan meninggal dunia selepas itu.

"Umno buat apa, berunding meja bulat sahaja, ini Tok Janggut, Abdul Rahman, Tok Ku Paloh, Datuk Bahaman berjuang angkat senjata lawan British bukan ikut telunjuk British," tambah beliau.

Mengulas kenyataan Mohamad yang dimainkan akhbar Umno berhubung serangan terhadap anggota polis di Bukit Kepong pula, Dzulkefly berkata, anggota polis tersebut terperangkap sebagai mangsa keadaan.

Biarpun serangan itu adalah terhadap British, namun anggota polis tersebut menjadi mengsa kerana mereka pada waktu itu berkhidmat untuk British dan memerangi mereka yang menentang British.

Dalam pada itu, seorang lagi ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof berkata isu serangan ke atas balai polis Bukit Kepong pada 1950 iaitu tujuh tahun sebelum Merdeka merupakan serangan ke atas sarang penjajah British dan bukannya kepada anak bangsa sendiri.

Mujahid berkata, serangan kira-kira pukul 5 pagi pada 23 Februari 1950 itu manifestasi kemarahan rakyat terhadap penjajah British ketika itu, namun sejarah itu telah diseleweng oleh Umno BN.

Katanya, ia termasuklah kemarahan terhadap anggota polis yang pada waktu itu menjadi tali barut British.

"Isu Bukit Kepong tahun 1950 adalah serangan ke atas sasaran penjajah bukan kepada anak bangsa sendiri.

"Polis waktu itu adalah apparatus penjajah, penyerang pula adalah mereka yang menentang penjajah, apakah kerana ini mereka menjadi komunis," soalnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, pada zaman British sesiapa sahaja yang menentang mereka akan dicap sebagai golongan berhaluan kiri atau komunis.

Golongan kanan atau konservatif pula adalah mereka yang mengikut telunjuk British, katanya.

"Golongan konservatif akan mengekalkan penguasaan British. Penentang keras dan mahu negara ini merdeka mengikut acuan sebenar dicap kiri atau komunis," jelasnya lagi.

Mengulas lanjut kecaman Umno terhadap Mohamad itu, Mujahid berkata, Umno adalah anak didik British yang diiktiraf sebagai golongan konservatif, sebab itu sehingga sekarang walaupun sudah 54 tahun merdeka, mereka masih bermati-matian mempertahankan British.

"Umno adalah golongan konservatif yang menjadi anak didik British, malangnya setelah 54 tahun merdeka Umno masih mempertahankan British.

"Cuma Umno tidak sedar mereka adalah 'radio buruk' hari ini di mata rakyat yang sudah merdeka," katanya. -TMI



Lagi Kes Polis Tembak Pelajar. 6 Ditahan Termasuk Tiga Polis Untuk Siasatan

Posted: 01 Sep 2011 09:45 AM PDT

Tiga anggota polis antara enam yang ditahan berhubung kejadian melepaskan tembakan yang mencederakan seorang pelajar kolej swasta di Taman Seri Rampai, Setapak, di Kuala Lumpur semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata ketiga-tiga anggota itu berpangkat Koperal dan Lans Koperal.

"Dua daripada mereka bertugas di Bukit Aman dan seorang lagi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pergeseran kenderaan, namun siasatan masih lagi dijalankan.

Selain tiga anggota polis itu, tiga lagi yang ditahan semalam adalah rakan mangsa berumur antara 20 dan 27 tahun.

Semua suspek ditahan reman sehingga 4 Ogos bagi membantu siasatan.

Pelajar lelaki berusia lingkungan 20-an itu dilaporkan cedera parah akibat ditembak di hadapan sebuah kelab malam pada 6 pagi.

Pelajar itu bersama tiga lagi rakannya baru sahaja memasuki kereta untuk meninggalkan kelab malam berkenaan apabila mereka didatangi sekumpulan lelaki. - Bernama

Mandat BN Sudah Hampiri Garis Penamat

Posted: 01 Sep 2011 07:45 AM PDT

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mengingatkan Datuk Seri Najib Razak mandat kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) menghampiri garisan penamat dan mahu perdana menteri menunaikan pembaharuan dijanjikan secepat mungkin atau menghadapi tamparan pengundi pada pilihan raya umum ke-13.

BN mempunyai 19 bulan lagi sebelum mandatnya berakhir awal 2013.

Populariti Najib telah menjunam enam mata dalam kajian terbaru kendalian Merdeka Center baru-baru ini.

"Rakyat Malaysia mengibarkan bendera kebangsaan semalam tetapi mempunyai satu persoalan yang sama - ke mana anda pergi, Malaysia?" kata penasihat DAP ini dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Lim berkata, pemimpin-pemimpin komponen perikatan dalam perutusan Hari Kemerdekaan Ke-54 semalam menyeru rakyat Malaysia yang berlainan latar belakang agama dan kaum agar bersatu, bersikap sederhana dan bertolak ansur antara satu sama tetapi ia kelihatan diterima dengan hambar.

Ini kerana, menurut Lim, landskap nasional yang "pecah belah dan berbalah", di samping ketidakupayaan Najib untuk memperlihatkan kepimpinan yang berkesan.

Ahli Parlimen Ipoh Timur ini menekankan, usaha-usaha yang tidak bertanggungjawab dan semberono cuba memecah belah negara mengikut garisan kaum dan agama.

Beliau memberikan contoh satu laporan menerusi saluran TV1 pada Ahad lalu - didakwa mengaitkan satu laman sosial Facebook menggalakkan murtad di kalangan Muslim dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Saluran milik kerajaan itu menyiarkan bahan berkaitan kumpulan Facebook "Murtads in Malaysia and Singapore" menerusi segmen berita perdana 8 malam mengaitkan pemimpin-pemimpin seperti Tan Kok Wai, Charles Santiago, Dr Boo Cheng Hau dan Ean Yong Hian Wah.

Malah, laporan itu mendakwa Presiden Parti Sosialis Malaysia Dr Nasir Hashim sebagai seorang penyokong kumpulan tersebut.

"Pembohongan menjadi hidangan utama disajikan oleh media arus perdana," kata beliau dengan merujuk kepada liputan bahawa DAP mahu mewujudkan sebuah negara Kristian dan mahukan perdana menteri kalangan penganut Kristian atau kecaman terbaru bahawa Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengagungkan komunis dan tidak menganggap Datuk Onn Jaafar dan Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman sebagai pejuang kemerdekaan sebenar.

Katanya, usaha-usaha sedemikian tidak membantu dalam menyatupadukan rakyat Malaysia, tetapi mewujudkan persekitaran sebaliknya.

Lim menegaskan bahawa jika Najib serius dan jujur sebagai perdana menteri bagi semua rakyat, maka beliau seharusnya menyediakan kepimpinan, bukan slogan-slogan kosong.

"Perhimpunan Bersih 9 Julai yang berjaya adalah bukti, jika Najib dan mereka dalam kuasa enggan bertindak, maka rakyat Malaysia sama ada orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau Orang Asli, sama ada yang beragama Islam, Buddha, Kristian, Hindu, pengikut Taoisme, Konfucius atau Sikh bersedia untuk bersatu bertindak menyelamatkan Malaysia," kata Lim lagi.

Bersih 2.0 menuntut pembaharuan pilihan raya dengan mengemukakan lapan tuntutan sebelum pilihan raya umum ke-13.

Awal bulan lalu, Najib mengumumkan pembentukan sebuah jawatankuasa pilihan khas untuk mengkaji pembaharuan pilihan raya.

UMNO Pesongkan Fakta Sejarah, Padam Jasa Perjuangan Para Agamawan

Posted: 01 Sep 2011 05:55 AM PDT

Pejuang sebenar cuba dipadamkan dari sejarah

Kesan akibat kerajaan BN menjadikan sambutan kemerdekaan negara seperti menyambut ulang tahun kelahiran Umno, maka rakyat hari ini dikatakan begitu hambar untuk menyambut kemerdekaan negara, dakwa AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.

"Bukan rakyat tidak patriotik, tetapi rakyat mual dengan Umno.

"Inilah yang terjadi apabila negara menyambut kemerdekaan, seolah-olah negara merdeka hasil perjuangan Umno sahaja," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, nama-nama tokoh pejuang kemerdekaan negara seperti Dr Burhanudin al-Helmi, Ibrahim Yaakob, Abu Bakar al Baqir, Ahmad Boestamam dan lain-lain lagi seolah-olah cuba dipadamkan dari sejarah.

"Kenapakah nama-nama mereka digelapkan daripada sejarah negara ini?"
soalnya.

Sebaliknya, menurut Idris, tokoh-tokoh Umno pula yang diagung-agungkan semasa menyambut kemerdekaan negara.

Pada hal, katanya, Umno hanya wujud kerana menentang Malayan Union pada 11 Mac 1946 dan malahan slogan Umno peringkat awal ialah Hidup Melayu.

Menurutnya, laungan 'Merdeka' hanya digunakan oleh Tunku Abdul Rahman pada 5 April 1953 semasa persidangan perhimpunan agung Pemuda.

Ini, kata Idris, membuktikan Umno begitu lambat untuk memperjuangkan kemerdekaan negara ini.

Tambahnya lagi, golongan yang enggan berkompromi dengan British sudah lama menyuarakan hasrat mendapatkan kemerdekaan seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (1945) dan Hizbul Muslimin (1948).

Menurut Idris, jika benar Umno memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu, rakyat tentunya bertanya siapa pemimpin Umno yang diburu oleh penjajah ketika zaman penjajahan British itu.

"Ini membuktikan Umno ialah anak emas penjajah," ujarnya lagi. -mk

Umno padam jasa agamawan nasionalis

Kefahaman bahawa hanya Umno memperjuangkan kemerdekaan negara seperti dicanang pihak tertentu untuk mendapat sokongan orang Melayu sama sekali tidak benar, kata Dr Dzulkefly Ahmad.

Malah kata ahli parlimen Kuala Selangor itu, gologan agamawan nasionalis yang dicop sebagai penentang atau gologan kiri oleh British juga merupakan pejuang kemerdekaan sebenar, namun tidak diangkat dalam sejarah.

Mereka seperti Tok Janggut yang menentang British di Kelantan, Tok Ku Paloh dan Haji Abdur Rahman Limbong di Terengganu, Datuk Bahaman di Pahang dan beberapa pejuang lain yang sanggup menggadai nyawa menentang penjajah.

Selain itu tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan negara yang lain seperti Dr Burhanudin al-Helmi, Ibrahim Yaakob, Abu Bakar al Baqir, Ahmad Boestamam juga seolah-olah dinafikan jasa mereka menentang penjajah.

Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestamam dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy


"Pada saya, sebenarnya perlu kepada penziarahan semula sejarah kemerdekaan kita kerana sejarah yang ada pada hari ini hanya ditulis dari satu sisi pandang iaitu dari pihak Umno BN yang diberi kuasa oleh penjajah British.

"Kita menerima nasionalis berunding meja bulat dengan British kemudiannya diberi kuasa, namun kita juga perlu mengiktiraf dan merakamkan perjuangan agamawan nasionalis dan golongan kiri yang turut berjuang memerdekakan negara dari British," katanya.

Menurut sejarah, dalam pertempuran dengan British di Kampung Pupuh, Tok Janggut dibunuh dan mayatnya dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang menelan masa sehari.

Kemudian mayat beliau digantung secara terbalik beberapa hari di depan istana di Padang Bank (Padang Merdeka) sebelum dikebumikan di Pasir Pekan.

Haji Abdur Rahman Limbong pula dilabel sebagai sebagai penderhaka kepada kerajaan Terengganu dan ditangkap dan dibuang ke Singapura dan selanjutnya dibuang ke Mekah dalam tahun 1928 dan meninggal dunia selepas itu.

"Umno buat apa, berunding meja bulat sahaja, ini Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Paloh, Datuk Bahaman berjuang angkat senjata lawan British bukan ikut telunjuk British," tambahnya lagi.

Bkt Kepong: Polis mangsa keadaan

Mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang dimainkan akhbar Umno berhubung serangan terhadap anggota polis di Bukit Kepong pula, Dzulkefly berkata anggota polis tersebut terperangkap sebagai mangsa keadaan.

Biarpun serangan itu adalah terhadap British, namun anggota polis tersebut menjadi mengsa kerana mereka pada waktu itu berkhidmat untuk British dan memerangi mereka yang menentang British.

Utusan dalam laporan muka depannya baru-baru ini menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Muhammad Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis yang menyerang Bukit Kepong adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Turut mengecam Mohamad termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, timbalannya Muhyiddin Yassin dan terbaru mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohamad dalam satu sidang akhbarnya di Perlis kemudiannya menafikan perkara itu dan mendakwa kenyataannya telah diputarbelitkan dan mendapati apa yang dilaporkan oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia berkaitan dengan tragedi Bukit Kepong adalah fitnah terhadap beliau dan PAS. -HD


Ulasan GB

Terus bongkar dan dedahkan kebenaran. Sepertimana GB telah utarakan sebelum ini di SINI. Petikan:

Teruskan buat kecoh mengenai isu video Mat Sabu. Kerana dengannya semakin ramai yang akan mengkaji sejarah dan akan semakin terdedah tembelang dan pekong bahawa UMNO itu sebenarnya talibarut penjajah dan ini akan merupakan satu titik-tolak baru untuk keruntuhan UMNO sebagai pemerintah negara ini.




Ingatan Untuk Menteri UMNO BN - Kerajaan Tumbang Jika Pinggirkan Suara Ilmuan

Posted: 01 Sep 2011 03:30 AM PDT

Allahyarham Hassan: Kerajaan boleh jatuh jika enggan dengar 'suara' ilmuan

Dilihat temu bual terakhir dengan media, bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Allahyarham Datuk Dr Hassan Ahmad berkata, protes atau gerakan diketuai oleh golongan ilmuan akan berterusan dan mendatangkan kesan buruk jika kerajaan mengambil pendirian tidak mahu mendengar langsung suara mereka.

"Saya fikir begitu, ya, ya," kata beliau ketika ditemui baru-baru ini, mengulas peranan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dalam tuntutan pembaharuan pilihan raya oleh Bersih 2.0.

Samad, 76, dilihat oleh banyak sebagai ikon sosiopolitik baru negara dan mengetuai perarakan Bersih 2.0 sehingga ke Stadium Merdeka pada 9 Julai lalu.

Sehubungan itu, tegas Hassan, jika kerajaan memutuskan untuk terus enggan mendengar suara golongan budayawan dan sasterawan, maka ia adalah petanda awal kejatuhan kerajaan.

Sebaliknya nasihat beliau, imej kerajaan yang tercalar boleh pulih jika pentadbiran Najib sanggup untuk mendengar suara mereka.

Hassan, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya semalam. Temu bual kira-kira sejam dirancang untuk disiarkan minggu ini.

Beliau sendiri pernah mengetuai perarakan Gerakan Anti PPSMI di ibu negara tiga tahun lalu.

Kata beliau, apa yang disaksikan dalam sejarah dunia sebelum ini sudah mula berlaku di Malaysia.

"... sebab kita tengok dalam sejarah, ini sudah berlaku di Malaysia sekarang ini, dalam sejarah, perubahan... revolusi ataupun perubahan besar, perubahan sosial sampai ke tahap revolusi, rakyat misalnya, mereka menggerakkan, diketuai oleh orang ilmuan termasuk ahli sains, pemikir saya sebutkan tadi, Noam Chomsky, ahli sains, ahli falsafah misalnya, Lord Bertrand Russel, dia antiperang, dia boleh berdiri di depan lori... bukan lagi masyarakat biasa, tapi ilmuan," kata beliau semasa ditemui di pejabatnya di Yayasan Karyawan, Pusat Bandar Damansara.

"Jadi ilmuan ini, seorang dua ilmuan ini pergi ke depan, (maka) orang lain pun ikut, terpengaruh sebab mereka (ilmuan) ini tiada kepentingan diri, dia tiada kepentingan politik macam Samad, dia seorang (orang) Melayu, tetapi dia punya perjuangan, dia punya idealisme atau dia punya prinsip memikat setiap orang," kata bekas Wakil Tetap ke Unesco ini.

Allahyarham Hassan juga berkata, beliau percaya yang pemimpin-pemimpin politik juga sedar mengenai perkara tersebut tetapi mereka tidak mahu mengakuinya.

"Saya percaya, malah Umno sendiri pun, kerajaan sendiri pun sudah insaf, tapi ia tak mahu cerita, ia malulah... ego, ego. Insaf bahawa orang-orang seperti Samad Said, Sasterawan Negara, yang dahulu kita bagi hadiah, anugerah sastera negara, dia sendiri berani ke depan, ditembak (dengan gas pemedih mata) dia pergi, ditangkap dia pergi... dia pergi juga," kata beliau sambil menambah, tentu "ada satu pendirian yang kuat, yang benar."

Bagaimanapun beliau menegaskan, pendirian itu bukan sesuatu yang bersifat emosional dan tidak mengikut emosi.

"Bukan emosional, tidak emosi. Jadi bagi saya, sudah sampai masa bagi kerajaan untuk mendampingi orang-orang, mesra dengan mereka, cakap dengan mereka, jangan menaikkan kemarahan mereka, maka kerajaan punya imej akan pulih, boleh pulih, libatkan mereka bersama," kata beliau.

Hassan seterusnya memberitahu, beliau merasakan sudah sampai masanya bagi kerajaan untuk memahami tulisan "pada dinding" yang hendak disampaikan oleh gerakan ilmuan dan cendekiawan.

"(Walaupun) mereka faham tetapi tidak mahu mengakui dan sebaliknya mahu bertindak bertentangan untuk mengekalkan kuasa mereka, maka itu adalah permulaan kepada kejatuhan kerajaan.

"Kalau mereka bertindak bertentangan dengan semua kebenaran, semua alasan dalam usaha melindungi dan mempertahankan kuasa mereka... kuasa politik, kuasa ekonomi, maka itu adalah permulaan kejatuhan mereka," katanya.

Hassan, 75, ketika menghembuskan nafas terakhir petang semalam berkata, beliau percaya rakyat biasa juga mula meragui dan membenci kerajaan apabila pihak berkuasa mengenakan tindakan keras ke atas personaliti-personaliti seperti Samad.

"Anda (kerajaan) mesti bertindak, jangan anda dilihat sebagai seseorang yang menjaga kepentingan diri, kuasa," katanya lagi.

Allahyarham Hassan juga berkata, individu yang memegang jawatan perdana menteri seharusnya bertindak sebagai ketua kerajaan untuk semua rakyat Malaysia, bukan parti yang diwakilinya.

"Anda menjadi perdana menteri Malaysia, mesti memisahkan antara jawatan awam dan presiden Umno, tetapi saya perhatikan kerajaan pertahan diri dan menyerang, anda bertindak sebagai presiden parti, (tetapi) sebagai pemegang jawatan awam, penyandang jawatan perdana menteri... perdana menteri untuk rakyat Malaysia. Dasar negara adalah dasar untuk kepentingan semua rakyat, bukan untuk kepentingan parti," ujar beliau.

Secara tradisi selama ini perdana menteri Malaysia merupakan presiden Umno dan bertindak sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN). Najib merupakan perdana menteri keenam dan menyandang jawatan ini sejak April 2009.

Perhimpunan Bersih 2.0 dilihat sebagai ujian terbesar dan kajian Merdeka Center yang dikendalikan susulan perarakan itu menunjukkan populariti Najib menjunam sehingga 59 peratus.

"... ini silapnya, silap ketua BN sejak dari dulu. Dia tidak dapat pisahkan antara tanggungjawab pemegang jawatan awam dan tanggungjawab politik parti. Tentu parti boleh kawal kerajaan... dasar parti mesti diikuti, tetapi apabila anda melaksanakan dasar negara, dasar parti tiada, dia pemegang jawatan awam. Menteri misalnya, menjawab keselamatan negara adalah soal negara, bukan soal Umno," tambah beliau.

Hassan seterusnya memberitahu, "saya nasihat, antara parti dan kerajaan, beliau (perdana menteri) adalah pemegang jawatan awam, dilantik oleh Agong, bercakap secara teori, Agong yang melantik beliau, bertanggungjawab kepada perlembagaan."

Oleh itu katanya, perdana menteri bukan lagi orang parti, tetapi mereka terus berhujah seperti "orang parti, parti Umno."

"Seolah-olah keseluruhan kerajaan milik Umno. Ini yang menjadi masalah, anda kata Umno, Umno, BN, BN," kata Hassan secara terbuka mengenai politik negara.

Hassan juga menyentuh panjang lebar mengenai perkembangan politik sejak pilihan raya umum 2008.

Katanya, beliau lazimnya memberitahu banyak pihak bahawa pemimpin-pemimpin politik negara pandai mencipta masalah daripada menyelesaikan isu-isu yang wujud.

"Jadi (itu sebabnya) dasar (sukar) nak jadi stabil, dasar kerajaan mengambil masa untuk stabil. Apabila penstabilan dasar mula memuncak, anda menjejaskan dasar (sedia ada)... menteri, pemimpin perdana menteri baru, anda merosakkan dasar-dasar yang ada... macam PPSMI," katanya.

Putrajaya memutuskan untuk mengubah dasar PPSMI atau Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris tahun lalu selepas dilaksanakan sejak 2003.

Selain itu kata Allahyarham Hassan, kerajaan juga perlu mengambil pendirian memberitahu perkara yang sebenar dan memberi maklumat betul kepada rakyat untuk membina keyakinan orang ramai.

"Satu lagi anda kena memberitahu yang benar kepada rakyat. Jangan sembunyikan... anda kena menyertakan bersama penglibatan rakyat, anda kena berhujah dengan rasional, bukannya mencetuskan masalah.

"Ada orang seperti, nanti kalau cakap akan marah, saya tak mahu sebut. Ada seorang menteri... bila dia bercakap, jadi isu, tak guna akal. Kalau pegawai cakap begitu, dia akan ikut. Saya tidak, saya pernah menjadi ketua banyak organisasi. Bukan saya kata saya ini pandai, tetapi sebagai ketua kena perlu berhati-hati," katanya lagi.

Ulasan GB

Terbaru, sindrom penafian dan penolakan TPM, Muhyiddin Mohd Yassin dan Rais Yatim terhadap kajian ilmiah oleh Merdeka Center adalah petanda kejatuhan awal UMNO BN.

Ia sekaligus membenarkan telahan Allahyarham Hassan Ahmad dimana sikap para menteri yang egoist itu bakal menumbangkan kerajaan UMNO BN sendiri - jangan dipersalahkan dan jangan berdolak-dalik terhadap kebenaran itu.

Terus hentam malah tangkap para ilmuan jika kamu mau, lebih cepat UMNO BN terhempas dan bersepai ke bumi.

Tiada ulasan: