Selasa, 27 September 2011

BRIGED MP SEGAMBUT

BRIGED MP SEGAMBUT


BARANG NAIK SUDAH PASTILA.....?

Posted: 26 Sep 2011 10:54 PM PDT

PETALING JAYA: KEADILAN mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan tarikh pelaksanaan Cukai Barangan dan perkhidmatan (GST).
Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, kenyataan Najib berhubung isu itu masih samar, malah tidak menetapkan tarikh pelaksanaan cukai tersebut.
Justeru itu, katanya, Pilihan raya Umum 13 perlu dijadikan referendum untuk mengambil kira pandangan rakyat mengenai pelaksanaan cukai baru itu.
"Oleh yang demikian, KEADILAN menyeru Barisan Nasional supaya menjelaskan pendiriannya mengenai pelaksanaan GST termasuklah tarikh pelaksanaan sebelum  pilihanraya umum ke-13 (PRU13) diadakan, untuk membolehkan rakyat membuat keputusan yang telus dan tepat,".
"Di kebanyakan negara-negara yang telah melaksanakan GST, isu ini telah dibawa menjadi isu utama pilihanraya dan keputusan pilihanraya menjadi referendum sama ada rakyat mempersetujui pelaksanaan GST atau tidak," katanya.
Menurut Rafizi lagi, pelaksanaan GST dalam keadaan inflasi masih tinggi, akan menambah bebanan sara hidup rakyat di mana 10 juta rakyat Malaysia yang selama ini tidak layak membayar cukai, terpaksa menanggung bebanan cukai baru.
"Ini akan menambah beban mereka yang terpaksa berdepan dengan persoalan gaji yang rendah, inflasi yang meningkat dan bebanan cukai yang baru," kata beliau ketika sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini.
Turut hadir dalam sidang media itu Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi
Nik Ahmad.
KEADILAN  kata Rafizi, tidak menolak GST sebagai satu kaedah percukaian, tetapi mempertikaikan kesesuaian pelaksanaannya pada ketika hanya 1.7 juta rakyat  Malaysia dianggarkan layak membayar cukai pendapatan.
"Sebahagian besar rakyat Malaysia tergolong di dalam kategori yang dikecualikan dari membayar cukai pendapatan kerana gaji yang rendah," ujarnya.
"Di negara-negara yang telah melaksanakan GST, cukai ini diperkenalkan sebagai ganti kepada cukai pendapatan,".
"Kadar cukai pendapatan diturunkan serta merta apabila GST diperkenalkan, lantas rakyat tidak mengalami bebanan cukai tambahan kerana sumbangan cukai dari rakyat hanya dialihkan dari cukai pendapatan kepada GST," katanya

Hudud yang baik berjaya diburukkan

Posted: 26 Sep 2011 08:12 PM PDT

Dalam demokrasi, perlaksanaan sesuatu undang-undang atau dasar tertakluk kepada suara majoriti. Tanpa sokongan ramai, ia melahirkan penolakan. Hasilnya, kejayaan yang diimpi, tetapi kegagalan menjadi realiti.

Kita tidak boleh sekadar berharap sesuatu impian yang baik sekadar tercapai. Tetapi, lebih dari itu, impian yang baik hendaklah kekal diamalkan. Inilah tuntutan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Oleh sebab itu, dalam kitab al-Muwafaqat tulisan Imam As-Syatibi, dinukilkan tindakan Umar Abdul Aziz yang tidak terus melaksanakan Islam secara total sejurus mengambil tampuk pemerintahan.

Apabila Abdul Malik, anak kesayangannya bertanya tentang hal itu, beliau menjawab:

"Jangan kamu gopoh wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya Allah mencela arak dalam al-Quran sebanyak dua kali, dan mengharamkannya pada kali yang ketiga.

"Sesungguhnya aku bimbang dilaksanakan kebenaran (Islam) secara total, menjadikan rakyat menolaknya pula secara total. Ia merupakan fitnah".

Umar menjawab sebegitu kerana mementingkan kejayaan perlaksanaan Islam yang bersifat kekal, bukan sementara. Umar tidak berfikir untuk mencapai sesuatu impian sahaja.

Umar berfikir lebih dari itu, iaitu bagaimana impian itu kekal diamalkan. Kebaikan pada Umar, bukan sekadar impian, tetapi kejayaan perlaksanaan.

Perlaksanaan dalam syubhat

Dalam sejarah Islam, diceritakan Saidina Umar al-Khattab pernah menangguhkan perlaksanaan hukuman potong tangan - salah satu hukum hudud yang termaktub dalam al-Quran.

Ia ditangguhkan kerana ketika itu tertimpa tahun kelaparan. Kelaparan merupakan syubhat, kerana dibimbangi keadilan yang ingin dicapai, tetapi kezaliman yang terlaksana.

Melaksanakan hukuman potong tangan terhadap pencuri adalah keadilan. Tetapi, memotong tangan pencuri yang mencuri di kala tiada makanan, dan sang pencuri mencuri itu pula dalam keadaan terpaksa, maka tindakan memotong tangan pencuri itu merupakan kezaliman.

Ekoran itu, Saidina Umar menangguhkan perlaksanaan salah satu hukuman hudud tersebut.

Di Malaysia, hukuman Hudud sudah menjadi buah mulut. Sejak 20 tahun dahulu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melontarkan idea ini. Dan ia diteruskan ketika PAS membentuk kerajaan di Terengganu dahulu.

Namun, kelemahannya dari sudut penerangan kepada rakyat. Lebih-lebih lagi, propaganda Umno/BN agak kuat menyebabkan hudud yang baik berjaya diburukkan oleh Umno/BN.

Makanya, kerajaan PAS yang mempunyai hasrat yang baik, tidak berjaya melaksanakan hasrat itu, malahan kalah dalam pilihan raya umum selepas itu.

Dilema tidak memahami kebaikan hudud, melahirkan masalah yang cukup besar. Jika yang tidak memahami itu sebilangan kecil rakyat, ia tidak memberi kesan yang buruk, tetapi jika majoriti rakyat tidak memahaminya, perlaksanaan hudud melahirkan kesan yang amat bahaya.

Dibimbangi, hudud yang baik itu bakal dilihat buruk oleh masyarakat. Walhal, ia tidak sepatutnya berlaku sama sekali.

Padang demokrasi


PAS berada dalam padang demokrasi, bukan padang monarki mutlak. Ia melibatkan suara majoriti rakyat dalam menentukan kejayaan perlaksanaan hudud diterima dan terus diamalkan.

Tidak ada faedahnya hudud hanya berjaya dilaksanakan dalam jangka lima tahun sahaja, tetapi selepas itu hudud dibuang oleh rakyat jauh ke laut.

Tetapi yang paling baik, hudud dilengahkan selama lima tahun, tetapi selepas lima tahun hudud itu diterima rakyat, dan berjaya dilaksanakan. Perlaksanaan itu berterusan sehingga bumi ini dibinasakan oleh Allah.

Ekoran itu, tindakan yang perlu dilakukan (dicadangkan sasaran selama lima tahun sahaja) seperti berikut:

Pertama:
Menggerakkan usaha memahamkan hudud secara lebih berkesan. Ia tidak sekadar berlingkar di Kelantan sahaja, tetapi hendaklah meliputi seluruh Malaysia.

Bentuk penerangan itu seperti mengadakan seminar, wacana dan sebaran risalah. PAS dan kerajaan PAS wajib mengambil peranan ini.

Kedua:
Mewujudkan NGO yang memfokuskan usaha memahamkan rakyat tentang hudud. Golongan ini terdiri dari kalangan mereka yang berkepakaran tentang hudud, dan mempunyai kebijaksanaan dalam menerangkan hudud dalam bentuk yang berhikmah.

Mereka yang terlibat dalam NGO ini, hendaklah dilatih tentang cara dan pendekatan yang baik dalam mendepani sasaran yang belum memahami tentang hudud, agar penyampaian kandungan hudud kepada rakyat benar-benar memberi impak yang baik.

Ketiga:
Dianjurkan Seminar dan wacana yang berkaitan dengan hudud, dengan tidak boleh diabaikan wakil-wakil parti selain PAS. Jika PAS bentang kertas kerja tentang hudud, maka diminta wakil dari DAP dan PKR mengulas kertas tersebut. Seperti kertas kerja dibentang oleh Nik atau Datuk Seri Abdul Hadi Awang, maka Karpal Singh atau Lim Guan Eng pula yang mengulasnya.

Himpunan suara rakyat

Sebelum kita bercakap soal perlaksanaan, seharusnya kita menyedari bahawa Malaysia sebuah negara demokrasi. Apabila rakyat secara majoriti mahukan hudud, DAP tidak bersetuju pun terpaksa akur dengan kehendak rakyat.

Ini kerana, parti mereka juga parti yang mendokong demokrasi, sesuai dengan namanya Democtratic Action Party.

Selagi kefahaman rakyat tidak diusahakan secara menyeluruh, dibimbangi perlaksanaan hudud tidak melahirkan kejayaan. Yang paling bimbang, sebaliknya melahirkan kegagalan dan dibimbangi dilihat buruk oleh rakyat.

Sesuatu perlaksanaan hudud, jangan sekadar berfikir untuk tercapai impian sahaja, tetapi hendaklah difikirkan kejayaan perlaksanaan itu tanpa melahirkan penolakan yang merupakan mudarat lebih besar.

Hanya berfikir untuk mencapai impian tanpa memikirkan kejayaan perlaksanaan yang baik merupakan tindakan yang gopoh, sedangkan gopoh itu dibenci oleh Allah SWT.

Sabda Nabi SAW: "Gopoh itu sebahagian dari Syaitan".

Kaedah fekah ada menyebut: "Barangsiapa yang bergopoh terhadap sesuatu sebelum masa yang sesuai, ia akan diakibatkan pengharamannya".

Jadi, dalam hal ini, perlu diambil kira padang demokrasi dalam perlaksanaan Islam. Iaitu, PAS perlu mengambil himpunan suara rakyat untuk melaksanakan hudud.

Ia bukan bermakna mendahulukan rakyat berbanding keputusan Allah, tetapi bertujuan mencapai kejayaan perlaksanaan yang jitu, baik dan harmoni, tanpa melahirkan penolakan dan pemburukan pada hukum Allah SWT itu./ENDS

Tiada ulasan: