Rabu, 21 September 2011

.

.


Hujan Sore

Posted: 21 Sep 2011 12:24 AM PDT

Najib - Rosmah Takut Untuk Hadir Ke Mahkamah?

KALAULAH betul maklumat mengatakan Najib Razak dan Rosmah Mansor akan memohon untuk menolak sapina ke atasnya dari hadir ke mahkamah dalam perbicaraan kes liwat membabitkan Anwar Ibrahim maka makin jelas dan nyatalah apa yang tidak nyata sebelum ini.

Sebelum ini sudah diagak Najib dan Rosmah tidak akan berani untuk berhadapan dengan Anwar di mahkamah bagi menjawab segala persoalan di sebalik tuduhan liwat ke atasnya.

Permohonan Najib laki bini itu juga menjawab sejauh siapa Najib sebenarnya kerana kurang seminggu beliau mengatakan tidak akan takut berhadapan dengan Anwar. Katanya Najib; saya tidak gentar untuk berhadapan dengan Anwar. Cabaran itu menyebabkan orang ramai merasakan Najib adalah anak jantan Tun Razak.

Najib membuat kenyataan cabaran itu selepas mengumumkan pemasuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kenapa Najib dan Rosmah takut untuk hadir ke mahkamah? Kalau benar beliau tidak terbabit seperti mana yang dinafikan kenapa takut untuk hadir ke mahkamah menjawab persoalan yang akan ditimbulkan. Hanya ada beberapa persoalan di sekitar Najib dan Rosmah yang ingin diketahui oleh peguam dan disampaikan kepada mahkamah.

Najib dan Rosmah tidak perlu takut kerana di mahkamah ada peguam, ada pendakwa dan juga ada hakim. Rasanya hakim tidak mudah bengong untuk membuat keputusan. Apakah Najib dan Rosmah takut kepada Karpal Singh dan para peguam Anwar lain. Apa nak takutnya mereka adalah profesional kalau mereka menyoal mereka tidak akan tergelecah dari rilnya.

Pada saya dengan tindakan Najib itu walaupun "relevan' bagi hakim tetapi ia bakal memberi kesan buruk kepada Najib. Orang ramai boleh membuat tanggapan bahawa Najib mungkin terlibat. Orang ramai juga akan berpegang kepada pepatah berbunyi,berani kerana benar takut kerana kalah.

Kalau pun Najib dan Rosmah memang tidak mengetahui akan perkara itu tetapi bila mereka menolaknya dengan tektikal itu menyebabkan orang akan menuduh mereka memang terlibat. [wm.kl.3:30 pm 21/09/11]

Celoteh Murai 86

Posted: 20 Sep 2011 08:34 PM PDT

Pati KITA Sudah Jadi Parti Dia

Semalam ada seorang tetamu rumah bertanya ke mana perginya Murai. Dia cukup rindu dengan celoteh Murai yang menyinis dan menghibur. Katanya, kenapa Murai diam? Kenapa Murai tidak berkicau apakah Murai sudah habis modal atau Murai kena warning?


Murai nak jawab, Murai tidak diam, Murai masih bergerak dan menjalani aktiviti harian. Murai juga tidak habis modal malahan modal semakin banyak. Dekat pilihan raya lagi banyak modal. Kadang kala tidak payah cari lagi, tetapi orang yang bagi. Bagi pula macam-macam cara surat, sms, ditag di wall Facebook atau email.

Murai juga tidak ada kena warning kepada sesiapa? Kalau ada sikit sikit itu biasa, Murai tak peduli dengan siapa. Murai cukup yakin apa yang Murai perkatakan adalah kebenaran dan masih dalam lingkungan fair and square. Ada juga sekali orang bagi warning siap nak pukul sekali, Murai jawab yang menggerak tangan anda ialah Tuhan. Kalau Tuhan tak izinkan ucaplah seribu kali ia tidak akan jadi. Murai yakin dengan takdir Allah.

Kebetulan hari ini Murai berkicau kerana 'sergahan' tetamu semalam jadi naklah Murai ulas sikit fasal parti Kita yang kini sudah jadi parti Dia. Belum apa-apa nampaknya parti klon itu sudah pun punah ranah. Presidenya sudah bertindak pecat ahli dan pemimpinnya. Dulu ketuanya itu kata Anwar tidak boleh jadi pemimpin, tetapi apa jadi dengannya, pimpin parti tak sampai seminggu sudah berpecah dan bergaduh.

Setakat ini tiga orang pimpinan tertingginya dipecat. Mereka ini juga merupakan pengasas dan orang yang siang malam bersama nya. Malahan tidur pun di rumah ketua parti itu. Mereka ialah Muhammad Firadus Chirstoper, Rashid Khan dan juga seorang lagi yang Murai lupa namanya. Razak dan Firdaus kalau tak salah Murai pernah jumpa.

Mereka bertiga itu adalah pengasas kepada Kita dan orang bertanggungjawab dalam proses mengklonkan parti itu. Mereka banyak membantu dan sebahagian enjin kepada Kita. Jadi kalau enjin sudah dicabut macam mana Kita hendak berjalan. Nampaknya belum apa-apa, belum nafirin pilihan raya dibunyikan Kita sudah roboh.

Murai tiak mahu nak kata apa dan tidak tahu macam mana dengan nasib Presidennya Zaid Ibrahim. Tetapi apa yang berlaku itu menjelaskan sikap dan perangai sebenarnya Zaid. Dia seorang ego, sombong dan berbangga dengan dirinya sendiri sampai tidak mendengar kata orang lain.

Percayalah ke mana dia pergi dan di mana dia berada dia tidak akan senang. Dia tidak betah atau boleh duduk bersama orang ramai. Dulu dia bersama Umno digantung kemudian dipecat. Selepas itu menyertai PKR, tidak sesuai keluar dan tubuh Kita. Orang macam Zaid ini ada regunya di sebelah Timur negeri Kelantan. Jenisnya lebih kurang sama saja. Namanya juga sama cuma songsang sikit, Zaib bin Ibrahim, orang itu namanya macam nama bapa Zaid.

Murai rasa elok kalau Zaid berkawan dengan orang itu. Buat parti baru. Ahli tidak payah ramai cukup dua orang saja. Presiden boleh tertukar, pagi bagi kat Zaid petang bagi kat orang itu. Malam Zaid pula dan pagi esok orang itu. Rasanya orang yang tidak boleh duduk bersela, duduk dalam jemaah elok kalau duduk seorang-seorang tidak siapa nak peduli. Duduklah...mereka serasi dan ngam. Kalau perhatikan gelagat mereka juga sama, cakap besar suka merendah orang sedang diri sendiri ..(politik) bau hampak macam kambing neruk.

Murai: Duduk berdua sahaja bila anak sudah ke sekolah dan kerja.

Tazkirah Subuh

Posted: 20 Sep 2011 04:07 PM PDT

Tanpa Kerjasama Umno - Pas
Hudud Tidak Akan Tertegak?


MENTERI Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat kesal dengan sesetengah orang yang memberi gambaran buruk mengenai hudud sehingga usaha menegakkanya menjadi sukar. Tindakan itulah katanya menyebabkan hukum hudud - hukum yang disebut dan dituntut dalam al-Quran dilihat sebagai menggerikan dan ditentang.

Ini berlaku katanya disebabkan oleh mereka jahil mengenai hukum tersebut dan juga jahil mengenai Islam tetapi bercakap mengenainya. Sudah tentulah kejahilan membawa keruntuhan dan kelemahan.

Memang benarlah apa yang dikatakan Nik Aziz itu. Sesetengah orang Islam sendirilah yang memberi gambaran negatif dan buruk mengenai hudud. Mereka jahil tetapi cuba juga hendak bercakap dan menghuraikan apa yang mereka tidak faham. Apa pun tidak akan menjadi baik dan mencapai natijahnya kalau ia dilakukan oleh si jahil. Bagi si jahil satu-satu kegiatan atau perbuatan mereka yang sempurna ialah makan, tidur dan berak saja, sesekali melompat!

Setengah orang mentafsir hudud mengikut akal sendiri dan tidak menggali hikmah di sebalik sesuatu hukum yang ditetapkan oleh Allah. Tidak cuba mendalami sejarah atau sebab musabab kenapa hukum itu ditetapkan. Apa juga sesuatu kejadian dan perintah Allah kalau dikaji dengan akal susah untuk diterimanya kerana ada sebahagian tuntutan itu bersifat ghaib - spiritual.

Memang Allah memberi akal fikiran untuk menguruskan kehidupan ini. Tetapi bukan semua akal dapat menjawab segala permasalahan hidup. Banyak perkara yang diluar logik akal yang berladum di sekitar diri kita, yang tidak munasabah tetapi kita dapat merasai akan kewujudannya. Salah satu rukun imam, mempercayai kepada malaikat dan hari khiamat. Kedua perkara itu tidak dapat dicapai dengan deria fizikal melainkan ianya perlu diyakinkan dengan iman (kepercayaan) kerana ia bersifat spiritual dan tidak berjisim dan berjirim.

Begitu juga dengan hukum hudud yang dilihat menyeksa dan menyusahkan itu. Tetapi ia tidak ganjil dan pelik kalau manusia membuka akalnya seluas-luasnya dan menggali segala hikmah di sebalik yang dikendung al-Quran. Dalam hal-hal seperti hukum hudud ia dapat diterima oleh keimanan dan ketakwaan sahaja.

Selagi manusia tidak beriman dan bertaqwa atau menambah iman dan taqwa agar iman dan taqwanya penuh, maka selama itulah hal-hal yang memerlukan penglihatan dengan mata batin (basirah) tidak akan dapat dicapai. Ia tidak akan meresap dalam hati dan jiwa manusia. Kemunasabahan hukum hudud yang melibatkan penyeksaan fizikal tidak dapat diterima oleh fizikal yang amat terhad ilmu untuk mengenali maknawiNya. Ia memerlukan pencapaian deria yang boleh berhubung dengan cara ghaib.

Saya tidak yakin hudud dapat dilaksanakan selagi manusia tidak mencapai peringkat iman yang tertinggi, memiliki sifat-sifat mahmudah. Lagi pun jelas, bahawa segala hukum hakam dan tuntutan Allah hanya berlaku kepada manusia yang beriman dan bertakwa saja.

Semisalnya sembahyang, puasa, zakat, haji dan segala macam kebaikan hanya tertakluk kepada mereka yang beriman saja atau mereka yang ada iman saja akan terbuka hati untuk berbuat demikian. Mereka tidak beriman - yakin dan percaya mereka terkecuali daripada mempercayai dan menerimanya.

Di dalam al-Quran Nur Karim Tuhan tidak mengatakan; wahai orang-orang kafir hendaklah kamu berpuasa, atau solat atau mempercayai hudud dan lain-lain perintah mutlak. Tetapi Tuhan kata; wahai orang-orang beriman. Kerana begitu kedudukan dan hakikatnya maka solat, puasa, zakat, haji serta hudud tidak akan berlaku atau diterima oleh orang yang tidak percayai atau mempunyai ketauhidan yang tinggi.

Justeru kalau hendak laksanakan hukum Tuhan itu, maka biarlah semua manusia terlebih dahulu beriman dan bertaqwa. Atau majoritinya sudah mempercayai dan yakin. Makanya untuk itu dakwah, ajak, panggil, seru dan berilah kesedaran Islam dulu kepada mereka baru hukum Islam boleh ditegakkan. Payungi mereka dengan Nur Islam terlebih dahulu, baru hukum-hukum itu dilaksanakan. Sebab itu Allah berpesan supaya manusia berdakwah ke jalannya, memberi kesedaran kepada manusia.

Dalam hal ini kesedaran bukan saja kepada orang Islam, tetapi orang kafir juga perlu diberi kefahaman mengenai Islam. Bila mereka sudah faham dan jika dilaksanakan ia tidak akan menolaknya. Bukan bermakna mereka perlu bersyahadat, tetapi cukup biar mereka memahami akan sebab musabab dan hikmah di sebaliknya. Biar mereka mengetahui hukum itu adalah untuk kepentingan sejagat. Perbandingan di antara hukum hudud dengan hukum ciptaan manusia hendaklah dibuat dengan jelas dan tuntas dalam usaha memberi kefahaman ini.

Tidak salah kalau Karpal Singh, Lim Kit Siang atau kumpulan-kumpulan NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia tolak hudud kerana mereka tidak faham dan tidak arif mengenai Islam. Keindaan dan kecantikan Islam mereka tidak pandang dan merasai macam mana mereka boleh menerimanya. Mereka tidak salah tetapi yang salah ialah kita yang tahu tetapi malas atau gagal dalam usaha menyedarkan mereka.

Bukan saja Karpal Singh (yang pernah mengatakan kalau Pas hendak laksanakan hudud langkah dulu mayatnya) hatta orang Melayu sendiri yang tidak tahu kecantikan Islam tidak akan dapat merasai kecantikan itu kandati hudud itu adalah ajaran agamanya. Disebabkan kejahilan itulah maka mereka "tepu" untuk menerima dan melaksanakan hudud. Mereka akan tentang dan akan berbahas dan berhujah dengan dalil akal berlandaskan ilmu profesional mereka untuk menolak.

Jangan marah kepada mereka, sebab mereka tidak hampir dan menghayati Islam maka terjadilah begitu. Dalam hal ini yang perlu dikesal dan dimahasabah ialah diri kita sendiri (Islam Melayu) mencari sebab musabab kenapa kelemahan ataupun ketidaksempurnaan itu terjadi? Dalam hal ini bukan salah ibu mengandung, atau keadaan tetapi salah diri sendiri (Islam Melayu).

Dalam hal ini, saya melihat politik telah menyulitkan keadaan. Politik banyak memisahkan juzuk-juzuk agama didalam kehidupan, dan politik juga sudah menjadi doktrin yang menyesat dan mensasaukan. Maka wajar kalau perkara ini dulu diselesaikan. Buang mata politik dari memandang setiap juzuk kehidupan tetapi ambil mata hati untuk merenungnya kerana mata hati lebih jilah dari mata politik.

Mata politik tidak bersifat bundar (bulat tetapi ia bersifat dimensi, berbentuk). Jadi kalau pandangan itu dari satu bentuk (arah) saja maka ia akan melihat dari sudut itu saja. Kalau ia melihat dari kiri maka pemandangan kiri saja yang dapat dilihatnya dan ternafilah segala panorama indah lain yang berada di sebelah kanan dan dimensi-dimensi lain.

Sebaliknya kalau ia berbentuk bundar (bulat), sifatnya maka pandangan itu menyeluruh. Makanya mata politik atau doktrin-doktrin politik sangat bahaya dalam kehidupan dan inilah yang menyebabkan hidup ini celaru haru biru dan terpisah-pisah laksana kiambang di kolam.

Formula paling mudah dalam konteks orang Islam Melayu, kalau benar mereka (Islam Melayu) ada hajat dan usaha untuk melaksanakan hudud, Pas dengan Umno perlu duduk sekali. Keterpisahan dua puak inilah yang menyebabkan keadaan hudud itu 'berkonfrontasi'. Pas hendakkan hudud, Umno menolak hudud kerana Umno melihat hudud sebagai agenda politik dan bukan satu kewajiban yang ikhlas. Pandangan mata politik Umno melihat begitu. Pandangan politik menyebabkan dua tafsiran ke atas satu objek.

Justeru se
lagi mata politik digunakan ia tidak akan menseragamkan pandangan di antara Umno dan Pas. Hatta kalau mereka melihat objek yang jelas kepada umum tetapi belum tentu lagi mereka mempunyai tafsiran yang sama. Selalu terjadi Pas kata lembu, Umno kata kerbau walhal apa yang dilihat itu hanya kambing Japnapari.

Sebaliknya kalau Pas duduk sekali dengan Umno menyebabkan Umno perlahan-lahan melihat juzuk-juzuk kehidupan termasuk agama itu dari kaca mata Pas dan lama kelamaan mereka akan mempunyai pandangan sama, ketika itulah hudud diterima. Keperluan untuk Pas bersama itu juga demi memberi kesempatan menambah 'ainun' agama kepada Umno.

Selagi Pas duduk berasingan dengan Umno yang juga dilihat ada power dan autoriti untuk bercakap agama walaupun parti itu bersemangat kebangsaan, maka selama itulah kepentingan agama seperti hukum hudud dan lain-lain itu tidak dapat menjadi kenyataan kerana ia akan terus ditentang. Adalah kurang bijak kalau Pas untuk membiarkan ia ditentang sedangkan ada jalan untuk ia diterima.

Terima atau tidak kedua parti politik itu mempunyai kuasa besar ke atas Islam Melayu di negara ini.

Pandangan Dr Asri Zainul Abidin bahawa hudud perlu ditafsirkan atau ada ijtihad baru dalam persiapan untuk melaksanakannya tidak akan ke mana. Tafsir dan ijtihad itu pada saya bukan menjadi titik tolak kepada penerima dan kesuksesan perlaksanaan hudud. Selagi dua kumpulan ini Pas dan Umno tidak duduk dalam satu saf maka hudud itu tetap akan berlaku penentangan di antara satu sama lain. Sedarlah mata politik sangat merbahaya dan berbisa untuk memusnahkan apa-apa juga kebaikan yang diturunkan Allah. Badar lahum... [wm.kl.7:12 am 22/09/11]

Tiada ulasan: