Isnin, 19 September 2011

.

.


Meneropong Kelantan

Posted: 18 Sep 2011 08:45 PM PDT

Betulkah Pas Tidak Beri Kerjasama
Kepada PKR Kelantan?


SERING saya mendengar keluhan hiba orang-orang PKR Kelantan kononnya Pas tidak memberi kerjasama kepada mereka. Kewujudan mereka di Kelantan relatif kecil itu seakan tidak dipandang oleh sesetengah ahli Pas. Malahan ada yang mencadangkan supaya meminggirkan langsung PKR? Betulkah?

Hak orang-orang PKR untuk menduduki atau memenuhi agensi kerajaan atau pun pembahagian kuota ahli Majlis Daerah juga tidak sepadan atau tidak dilakukan dengan adil dan mengikuti prioriti yang ada. Betulkah?

Saya tidak fikir pandangan itu akan menjadi konsensus Pas Kelantan. Harap pemimpin Pas Kelantan yang berkuasa membuat dasar dan polisi Pakatan Rakyat tidak mudah teruja dengan cadangan itu dan terikut dengan cadangan-cadangan bebas dari bawah yang kurang bijaksana dalam berpolitik.

Memang PKR Kelantan kecil dan tidak banyak membantu. Kewujudannya tidak ubah seperti melukut di hujung gantang saja. Saya tidak fikir pun ahli PKR Kelantan mencecah angka 10,000.

Tetapi harus diingat nama PKR itu sendiri adalah antara parti terbesar di negara ini. Bahkan kalau di pusat PKR dengan kehebatan pemimpinnya Anwar Ibrahim bakal dinobatkan sebagai parti tulang belakang PKR.

Justeru bukan bermakna Pas Kelantan boleh tidak untuk tidak layan PKR. Sebagai rakan sekutu di peringkat nasional Pas Kelantan kena mengambil pedulikan akan kewujudan parti itu. Jangan perkecilkan PKR. Pas Kelantan kena melihat dalam konteks lebih luas, konteks nasional.

Kerjasama yang diberikan kepada PKR Kelantan oleh Pas Kelantan akan dapat menjadi pemangkin kepada kerjasama diperingkat nasional. Misalnya kalau Pas Kelantan memantapkan hubungan, bertolak ansur dengan PKR, hal sama akan menjadi modal untuk hubungan di peringkat nasional. Ia akan dilihat Pas mempunyai understanding tinggi dengan PKR. Kebaikan kepada Pas, Pas di peringkat nasional khasnya di Pantai Barat juga akan dihormati.

Sebaliknya kalau Pas Kelantan meremehkan PKR, bimbang hal yang sama menimpa Pas dalam kawasan kuat PKR di peringkat nasional. Mungkin akan berlaku tindakan balas dendam. Jadi Pas jangan merasakan kekuatan yang ada kepadanya, berjaya memerintah Kelantan selama 20 tahun untuk tidak merasakan PKR yang kecil sebagai penting.

Saya menimbulkan ini bukan hendak membakar semangat, tetapi memberi peringatan kerana ada pemimpin Pas termasuk peringkat Exco liat untuk memberi kerjasama kepada pimpinan PKR peringkat cabang. Dalam satu kejadian, Exco berkenaan enggan memberi kerja sama dengan pemimpin PKR malahan cuba menghalang pemimpin lain memberi kerjasama. Ini perangai tidak baik.

Kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Exco berkenaan sepatutnya tahu dan pandai menilai penglibatan PKR dalam membantu pilihan raya. Walaupun jumlah undi dari PKR sedikit tetapi ia patut dihargai. Bukankah dengan berkibarnya bendera PKR dalam kawasan pilihan rayanya ia menunjukkan Pas tidak berjuang bersendirian tetapi mendapat kerjasama PKR.

Sikap Exco ini berbeza dengan tingkah laku dan perangai Tok Guru Nik Aziz. Nik Aziz tidak begitu lokek dalam membantu PKR. Sebutlah bila nak jumpa Nik Aziz sedia berjumpa dan berbincang. Inilah sikap pemimpin sejati. Cuma apabila Nik Aziz bagi masa dan ruang untuk berbincang pemimpin PKR yang hadir pula jadi kaku dan 'kenalin' tidak tentu pasal sehingga maksud asal yang dibawah terburai tengah jalan.

Misalnya baru-baru ini Nik Aziz walaupun sibuk tetap menghadirkan diri ke rumah terbuka rumah Ahli Parlimen PKR Tanah Merah, sdr Amran Abdul Ghani. Itulah bisa dan hemahnya Tok Guru. Walaupun sibuk dia akan cuba menyempatkan diri. Tidak kisah lama atau sekejap dia tetap akan hadir.

Kalau hendak dikira siapalah Amran tokoh muda yang kecil yang baru menang sepenggal dan masih ramai orang Kelantan tidak mengenalinya. Tetapi bila diundang dan diajak beliau (Tok Guru) sudi menyinggahi walaupun sekejap. Alhamdullilah katanya majlis rumah terbuka itu meriah juga walaupun diadakan secara kecil-kecilan di rumah Amran. Hampir 200 orang India turut hadir. Beberapa orang pemimpin PKR termasuk Pengerusi Perhubungan Abdul Aziz Kadir ikut sama hadir.

Sebanyak 1,200 batang aiskrim disediakan habis sebelum menjelang petang.

Sekali lagi disebut inilah teladan dan syaksiyah yang ada kepada Tok Guru Nik Aziz. Kalau semua pemimpin Pas bersikap seperti Tok Guru rasanya tidak timbul ada yang berkecil hati dan terkeduh rasa dengan Pas. Pemimpin PKR juga tidak ada yang sampai merungut dan merintih bab hal-hal pemimpin Pas yang tidak sporting dan suka menunjuk agah.

Makin dekatnya pilihan raya umum ini Pas hendaklah makin akrab dengan PKR. dalam pada itu PKR pula perlu memahami akan kedudukan dan insaf akan diri mereka. Kedudukan PKR hanya melukut di hujung gantang pada pandangan mata Pas hendaklah diinsafi. Kalau hendak menuntut itu biarlah berpadan patut, jangan yang bukan-bukan. Bak kata orang bila kita hendak pikul sesuatu ambilkan beban yang sepadan dengan 'ren' kita.

Menjelang pilihan raya umum ini formula terbaik di Kelantan dalam hubungan PKR dan Pas ialah kekalkan status quo yang ada. Maksudnya mana-mana kerusi yang PKR bertanding dulu berikan kepada PKR. Kecuali ada kerusi yang dirasakan perlu pertukaran untuk mencatat kemenangan, lakukan. Sepatah amanat Husam Musa, semua pihak harus memikirkan kemenangan bersama dan bukan kemenangan diri sendiri.

Apa juga yang terbaik untuk melihat Pas akrab dengan PKR, atau Pas ikhlas dengan PKR kali ini dalam pembentukan kerajaan pastikan ada wakil PKR sebagai Exco. Bagilah satu dari sembilan kerusi Exco...tidak rugi. Untuk itu Pas dan PKR kena pelan cari kerusi-kerusi Dun yang selamat untuk ditandingi oleh PKR. Jangan pula diserahkan kerusi-kerusi hulu yang sukar dimenangi atau kata orang kalah sebelum hari penamaan calon. Untuk melaksanakan ini formula bertukar kerusi atau kawasan demi mencapai kemenangan boleh diguna pakai.

Saya yakin PKR di bawah pimpinan Abdul Aziz Kadir yang sentimental ianya tidak banyak menyusahkan Pas. Aziz seorang bertolak ansur dan sedia menerima apa saja keputusan kerana dia juga ada sedikit sebanyak perangai Tok Guru mempercayai atas apa-apa yang dirasakan baik. Bayangkan macam mana kalau PKR dipegang oleh orang-orang macam Zaid Ibrahim atau Inchek Ibrahim, tentu jadi haru biru. Jadi Pas Kelantan sangat bernasib baik kerana ketuanya Aziz Kadir yang tidak langsung membebankan Pas.

Yang perlu dielakkan ialah jangan sampai berlaku pertelingkahan di saat-saat akhir nanti. Paling menakutkan ialah tercetus perbalahan kerana merebut kerusi. Jadi berpakatlah sebaik mungkin. Apa-apa keputusan dan tindakan biar adil dan jangan sampai ada yang sakit hati dan terkeduh rasa apa lagi sampai yang memendam hati. [wm.kl.11:56 am 19/09/11]

Susupan Pagi

Posted: 18 Sep 2011 07:19 PM PDT

Pemimpin Pakatan Jangan Jadi Pelanduk Melupai Jerat

IYA... semua pihak patut sependapat dengan pendapat Tuan Ibrahim Tuan Man (foto) soal hendak tukar bendera Malaysia tidak perlu diperbesarkan. Apa yang penting ialah tumbangkan kerajaan BN dahulu. Kalau BN tumbang bukan saja bendera boleh ditukar, sejarah boleh ditulis semula dan segala peraturan dalam negara ini boleh dipinda. Syaratnya BN tumbang Pakatan Rakyat mendapat majoriti dua pertiga.

Pada saya cadangan salah seorang Adun DAP M Monaharan itu untuk tukar bendera Malaysia jika Pakatan Rakyat memerintah agak melampau dan melebih-lebih. Tindakan itu umpama mabuk sebelum minum todi. Perbuatan yang dua kali rugi. Pertama sudah mabuk sebelum minum yang kedua meminum benda yang diharamkan.

Janganlah berfikir sejauh itu walaupun ia mungkin ada kebenarannya.

Apa yang kena ingat selagi Pakatan Rakyat tidak menang BN belum tumpang jangan berangan-angan membuangkan masa saja. Saya lihat dalam fikiran sesetengah pemimpin Pakatan Rakyat ini berkecamukan dengan berbagai-bagai agenda yang tidak masuk akal. Ada semcam tidak rasional atau pun obius khayal.

Mereka juga tidak tahu mendisiplinkan akal mereka. Cakap ikut sedap lidah sahaja tanpa memikkirkan kesan dan impaknya. Tidak memahami psikologi rakyat negara ini yang berbilang kaum dan ragam budaya. Paling menyedihkan bila kita persoalan mereka akan melenting macam gula kaca jatuh ke simen rata, ting...ting...ting.

Mengenang kepada mereka yang suka berangan-angan ini saya teringat macam mana kisah seorang pemburu yang begitu optimis dia akan membawa membawa balik hasil buruannya.

Sebelum turun meninggalkan rumah si pemburu itu sudah memesan kepada isterinya agar menyiapkan segala perkakas untuk memasak hasil buruannya. Dipesannya mencari lengkuas, kuniyit, garam, bawang, lada dan segala rempah ratus.

Dia yakin pemergiannya akan membawa balik hasil buruan untuk dimakan pada hari itu. Kesudahannya apa jadi, balik tangan kosong, buruan tidak dapat secubit pun. Isteri yang sudah menyiapkan segala perkakas kecewa dan meluat. Padahnya hari itu mereka anak beranak laki bini makan nasi dengan berlaukkan rempah ratus yang digiling tadi.

Apakah keadaan sama berlaku dalam Pakatan Rakyat? Masing-masing sudah berangan-angan untuk makan besar tetapi hasilnya entah ke mana. Kata orang-orang dahulu semuanya masih berada dalam laut lagi. Barang dalam laut tidak boleh diangan-angankan kerana semuanya masih bebas.

Perkara ini hendak dikurangkan. Hentikan angan-angan dan melontarkan cadangan yang boleh menyebabkan 'hawain buruan' melarikan diri atau jadi "celika". Ambil pendekatan lunak. Rakyat perlu digosok dan diyakini dengan sesuatu yang tidak menyinggung mana-mana pihak. Yang boleh menyenangkan hati mereka dan mendapaikan kepala mereka. Segala dakyah UBN yang dilemparkan hendak dibersihkan satu persatu dengan penuh fatanah.

Semua pemimpin kecil besar elak dari membuat kenyataan atau mengemukakan cadangan sensitif atau memberi ruang kepada musuh untuk menceduknya dijadikan isu. UBN hari ini sudah tidak ada isu. Mereka hanya menanti silap langkah dan tersalah cakap pihak Pakatan Rakyat sahaja. Mereka akan cekup dan taburkan kepada rakyat. UBN hanya mampu mengulang isu-isu atau tektik lama yang sudah pun usang dan tidak relevan lagi.

Tetapi kalau Pakatan Rakyat tidak bersedia, tidak peka dan tidak tahu menangkisnya segala isu itu tetap membawa hasil kepada mereka. Terutamanya generasi berusia 60 tahun ke atas mudah layu dan lemah dengan isu yang dimainkan oleh UBN. Mitos dan kepercayaan mereka kepada Umno cukup tinggi. Mereka ini masih menganggap pusu bernama Umno keramat dan boleh mendatangkan bahana kepada orang yang menganggunya.

Mulai sekarang semua pemimpin harus bijak memilih isu yang hendak ditimbulkan. Begitu juga dalam membuat ulasan dan sebagainya. Cukup penting juga jagalah keperibadian. Cuba elak dan jauhkan diri dari mendekati tempat-tempat maksiat. Jangan sesekali cuba pamerkan diri anda di situ kerana kalau diambil gambar dan ditagkan di Facebook nyanya.

Saya mendapat tahu masih ada sekerat dua pemimpin Pakatan Rakyat yang belum meninggalkan maksiat. Mereka bukan saja setakat bergelumang dengan perkara makruh, hisap rokok, dengar muzik berlebihan, atau berborak di kedak kopi sampai ke senjara, tetapi masih ada yang berurut dengan perempuan atau pun minum arak. Cuba tinggalkan dan jangan sesekali perbuatan anda itu ditagkan.

Pemimpin Pakatan Rakyat dalam berdepan dengan UBN ini kena waspada. Mereka harus senantiasa sedar kedudukan mereka dengan UBN umpama pelanduk dengan jerat. Pelanduk selalu melupai jerat tetapi jerat tidak pernah melupai pelanduk. Jerat akan memerangkap dan membidas bila mana pelanduk leka dan asyik berkhayal.

Angan-angan juga satu kegiatan yang meleka dan mengasyikkan...[mw.kl.10:39 am 19/09/11]

Ulasan Pagi

Posted: 18 Sep 2011 05:50 PM PDT

Pemansuhan ISA Udin anak Yassin Tidak Diberitahu?

SEMALAM semasa menghadiri satu majlis rumah terbuka seorang penyiasat politik telah membisikkan kepada Tengku Razaleigh Hamzah, katanya pemansuhan akta Isa oleh Najib Razak itu tidak diketahui oleh Muhyiddin Yassin - Udin anak Yassin. Najib katanya tidak sedikit pun memaklumkan kepada Muhyiddin mengenai pemansuhan itu.

Jadi Udin anak Yassin tidak dapat memberi apa-apa pandangan dan juga pendapatnya mengenai relevansi tindakan itu. Dalam kata lain keputusan itu bukan keputusan bersama perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Memang sebagai PM Najib boleh melakukan apa saja tanpa memberi tahu mana-mana MT Umno dan juga jemaah kabinetnya. Perdana Menteri berkuasa penuh dan apa yang beliau lakukan tidak perlu teguran dan pandangan anak buahnya. Apa lagi kalau anak buah itu hidupnya hanya 'menahan perut' untuk membuncitkan perutnya saja. Mereka tidak berani memberi pandangan dan menegur Najib. Kalau Najib kencing tengah jalan pun mereka tidak boleh berkata apa, sebaliknya akan dipuji itulah transformasi politik ala Najib.

Saya dengar saja apa yang dibisik oleh penyiasat politik itu kepada Tengku Razaleigh. Tengku Razaleig pula hanya 'mengisingkan' wajahnya saja tatkala mendengarnya.

Selepas dengar itu baru saya faham kenapa Udin anak Yassin kali ini macam ikan lapam bawah jamban terus memuji Najib atas tindakan itu. Sambil menyifatkan langkah Najib itu bijak kata Udin anak Yassin jangan ada prejudis buruk di atas tindakan Najib itu.

Kata Udin lagi, perkara itu sudah lama dibincangkan dan bukan benda baru. Kita faham kalau Udin anak Yassin berkata demikian bagi menggambarkan kononya Najib ada runding dengan beliau. Bahawa dia masih digunapakai oleh Najib dalam membuat sesutau keputusan besar untuk negara dan Umno.

Selalunya Udin anak Yassin lambat untuk memberi respon kepada sesuatu yang Najib buat. Peralihan dan transformasi Najib tidak 'semakan' dan secocok dengan Undin anak Yassin. Misalnya slogan 1 Malaysia yang diperkenalkan Najib disanggah secara halus oleh Udin anak Yassin. Najib mengutamakan 1 Malaysia, Undin anak Yaasin pula kata Melayu first Malaysia kemudian.

Apakah pujian Udin anak Yassin itu pujian membawa rebah atau pengejekkan kepada Najib? Nampaknya tindakan memansuhkan ISA itu tidak disenangi oleh Umno. Beberapa pemimpin Umno tidak mahu pemansuhan itu dibuat secara bersendirian oleh Najib hanya kerana tekanan dan desakan. Ini boleh diperhatinkan tidak ramai ketua-ketua bahagian Umno dan ahli MT yang memberi kupasan positif atas tindakan Najib itu. Menteri Pertahanan Zahid Hamid yang selalunya akan bersuara sebelum pun Najih menghabiskan kata-kata nampaknya masih membisu?

Pemimpin Umno termasuk Udin anak Yassin juga berpendapat kalau pun ISA mahu dihapuskan biarlah ianya datang dari Umno. Maksudnya biar Umno desak dalam persidangannya dulu kemudian dibuat pengumuman. Dengan cara barulah nampak pemansuhan itu datang dari akar umbi Umno dan ketika itulah baru Umno boleh menuntut pemansuhan itu atas kesedaran politik mereka. Kali ini Najib bertindak bersendiri tanpa ada endorsement dari parti.

Kalau ianya dibuat secara ad hoc oleh Najib tanpa pun berunding dengan Undin anak Yassin, ia menunjukkan akan ketakutan dan kegeruhan Najib terhadap pendesak agar ISA dihapuskan. Di sini menampakkan akan kelemahan Najib sebagai perdana menteri yang akur kepada suara mionoriti dari pembangkang.

Apakah pujian Udin anak Yassin itu untuk menyinis Najib? Kalau benar begitu ini menunjukkan bahawa pemansuhan ISA itu juga kurang disenangi oleh Mahathir Mohamd, seorang PM yang suka menggunakan akat dan kekerasan untuk mempertahankan kuasanya. Kita tunggu pula apa komen Mahathir dalam hal ini.

Sekiranya Mahathir pesimis bersabit perkara ini maka jelas agenda tersembunyi dari Mahathir dan kumpulannya mahukan Najib turun berterusan. Kalau tidak ada komen dari Mahathir ia menunjukkan Mahathir kini sudah kekenyangan dan merasa selesa dengan Najib setelah urusan pemberian projek oil dan gas Petronas bernilai RM2.4 billion kepada anaknya Muzani selesai dan beres? [wm.kl.9:03 am 19/09/11]

Susupan Malam

Posted: 18 Sep 2011 04:40 AM PDT

Rumah Terbuka Dan Cerita-Cerita Politik
Topik Paling Popular, Hasan Ali dan ISA

HARI ini ada beberapa jemputan rumah terbuka hari raya. Saya hanya memilih untuk hadir di tiga rumah terbuka saja. Pertama rumah bekas pegawai tinggi kerajaan yang kini berjinak dengan politik dan kerap menghadiri majlis politik bersama saya. Lokasinya di Lembah Keramat, Hulu Klang, jaraknya tidak sampai 2 km dari rumah saya.

Kedua ialah di Putrajaya di rumah baru bekas timbalan menteri Sumber Manusia, Rahman Bakar. Khabarnya selain dari rumah itu Rahman ada beberapa buah rumah lagi. Beliau juga dikatakan masih berminat untuk berhadapan dengan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang sekali lagi Parlimen Marang.

Dan ketiga ialah di rumah Pegawai Khas Tengku Razaleigh Hamzah di Bukit Jalil. Ada beberapa lagi jemputan tetapi tidak sempat memenuhinya, masa terhad, maaflah dan terima kasih atas jemputan baik langsung atau tidak.

Ceritanya bukan soal juadah yang dihidang oleh rumah-rumah terbuka berkenaan, tetapi cerita politik. Cerita politik nampaknya lebih sedap dan meralikan dari kuzi kambing dan roti jala di rumah kawan di Lembah Keramat itu.

Di rumah terbuka pertama saya jumpa dengan Zunar kartunis reformasi negara yang mana akan ke Sepanyol selama tiga bulan kerana menghadiri satu program di sana. Setiap kali saya hadir ke majlis kenduri kawan ini akan bersua dengan Zunar. Baru saya tahu bahawa isteri Zunar ada hubungan kekeluargaan dengan isteri kawan saya yang bekas pegawai tinggi kerajaan itu yang kini sudah berani mengkritik kerajaan selepas pencen.

Cerita yang mula tersembur dari mulut Zunar ialah soal Dr Hasan Ali. "Kau baik dengan Hasan Ali, macam mana dengan Hasan Ali ini betulkah dia nak masuk Umno?" begitulah Zunar memulakan cerita dan bersangka saya baik dengan Hasan Ali. Saya sedikit terperagah dengan pertanyaan itu. Dari sudut mana pula saya akrab dengan Hasan Ali?

"Dari mana kau dapat cerita ini?" tanya saya kepada Zunar. Sememang saya tidak tahu terhadap apa yang tersebar di sekitar diri Exco Selangor beberapa hari ini.

"Hishamuddin ada tulis dalam blognya, Tukar Tiub... betulkah Hasan Ali jumpa dengan Hishamuddin Hussein?" tanya dan soal dia lagi serius siap dengan mimik mukanya sekali menunjukkan penuh minat. Saya sedikit terkeliru Hishamuddin mana dimaksudkan Zunar, apakah Hishmuddin Tukar Tiub atau Hismauddin mana.

"Bila dia jumpa Hishamuddin?" tanya saya bersangka Hishmuddin Tukar Tiub yang jumpa Hasan Ali. Tetapi bila saya fikir tidak mungkin, saya ulangi lagi, di mana dia jumpa dan bila? Tanya saya.

"Hishmauddin (Rais) tulis dia dapat maklumat dari seseorang. Yang jumpa Hishamuddin hanya Hasan Ali seorang, seorang lagi Nasharudin Mat Isa tak jumpa.." jelasnya. Saya mulai faham apa yang dimaksudkan Zunar itu Hishamuddin yang dijumpai Hasan Ali ialah Hishamuddin Hussein, Menteri Dalam Negeri.

"Aku tidak tahu dan belum siasat lagi," balas saya.

"Kau tolong siasat.." katanya sambil menyambung, Hasan dah nafikan yang dia tidak masuk Umno dan akan kekal dalam Pas. Beritanya ada dalam Malaysiakini.

"Kalau Hasan sudah nafi terima sajalah penafiannya itu," kata saya tidak mahu perpanjangkan soal Hasan Ali. Dalam keadaan begini rasanya tidak elok kalau menyimpan prejudis kepada Hasan Ali. Masa akan berjalan hari akan berganti kalau desas desus itu betul ia akan diketahui juga.

Penafian yang dibuat Hasan Ali tidak boleh ditelan begitu saja. Sudah sifat orang politik dia tidak mudah mengaku apa lagi sesuatu yang menjadi negatif kepadanya. Tetapi orang politik tidak menyembunyikan body language, kerana dari gerak geri body language orang akan dapat menebak apa yang akan berlaku.

Jadi saya tidak akan menyiasat mengenai kedudukan dan pendirian Hasan Ali. Kita serahkan saja kepada keadaan. Tetapi bagi Pas kena hormat penafian yang dikeluarkan oleh Hasan Ali.

Di rumah Rahman Bakar lain pula ceritanya. Sewaktu saya sampai bekas timbalan Menteri Penerangan, Khalid Yunus yang dimesrai dengan Abang Aji sedang berkaraoke menyampaikan lagi A Ramlee kalau tidak salah Kenangan Mengusik Jiwa. Dalam majlis itu sempat dia menyanyikan empat buah lagu.

Ketika hendak berlalu pulang saya menemui dan bersalam dengannya. Dia agak terkejut dengan kehadiran saya. "Aik... lama mana mu hilang?" itulah pertanyaannya. Abang Aji ini memang becok dan kasar orangnya, tetapi hati baik.

"Kau tidak dengan Ibrahim lagi ke?" Tanyanya, maksdunya Inchek Ibrahim Ali.

"Malas Datuk, jenis manusia macam itu susah kita nak ikut...?" balas saya.

"Kenapa pulak..?" soalnya dengan wajah hampa.

"Ibrahim ni lebih pentingkan peribadi dia dari perjuangan, Perkasa dia jadikan alat untuk politiknya..." kata saya.

"Kepentingan macam mana pula..." Khalid semacam tidak senang dengan jawaban itu tetapi dia juga tidak mahu panjang bila terkesan telinga saya sudah menyirat dengan darah, marahkan Ibrahim.

Sebelum kami menaiki ke kereta masing-masing Khalid berharap akan dapat berjumpa dengannya dan meminta agar datanglah untuk minum kopi petang di rumahnya di Taman Tun Razak, Ampang.

Dari Putrajaya saya bergerak ke rumah Lokman di Bukit Jalil. Semasa saya sampai Tengku Razaleigh Hamzah sudah sedia ada di meja khas. Kelihatan sama Aspan Alias yang juga sudah lama dan kemudian meminta mohon diri untuk balik dan meninggalkan Tengku Razaleigh kepada saya, Dr Wan Suhaimi dan adiknya. Kami bertiga menemani Tengku Razaleigh. Inilah kelebihan Tengku Razaleigh walaupun dia sudah hendak bingkas pulang beliau tetap memberi ruang dan menghormati kami menemani kami minum sambil berbual.

Dalam kesempatan yang sedikit itu saya bertanya beliau mengenai pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh Najib. Tengku Razaleigh memberi pendapatnya tindakan itu tidak ikhlas dan buat kerana politik. "Pada ambo Najib bukan ikhlas sangat, pemansuhan itu lebih kepada politik.." ujarnya.

Pada Tengku Razaleigh akta itu bukan hari ini dimansuhkan tetapi sepatutnya sejak lama dulu. Akta itu sudah tidak relevan lagi begitu dengan akta darurat, buang daerah, akta mesin cetak yang dibuat pada zaman Mahathir. Semuanya patut dihapuskan.." katanya.

Sebaik Tengku Razaleigh melangkah keluar masuk pula bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Kamaruddin Ali bersama isterinya. Kamaruddin mengambil tempat di kerusi sebelah saya. Dalam kesempatan itu saya melontarkan beberapa persoalan dan ingin mengetahui pandangannya mengenai akta ISA yang dimansuhkan itu.

Bila saya mengatakan pemansuhan itu tidak berapa elok untuk keselamatan negara Kamaruddin seakan menyokong pendapat saya dengan mengatakan, "kita kena ingat bila ISA dihapuskan dua akta baru akan digubal. Silap-silap hari bulan akta yang akan digubalkan itu lebih kejam dari akta yang sedia ada."

Beliau berpandangan mungkin akta yang akan digubal untuk menggantikan akta ISA itu akan diambil atau berpandukan kepada akta anti keganasan yang dibubar oleh Amerika Syarikat selepas berlakunya peristiwa 11 September.

Kalaulah pandangan Kamaruddin itu benar maka betullah analogi yang dibuat oleh Lim Guan Eng, pemansuhan ISA itu yang akan diganti dengan dua akta baru tidak ubah seperti menuang arak ke dalam botol baru saja. Malahan apa yang lebih mengejutkan nanti mungkin arak di dalam botol baru itu lebih core lagi.

Perjalanan berakhir di kedai mamak di Taman Permata. Seorang kawan bersama anaknya sudah menunggu saya. Semasa minum di kedai berkenaan tiba-tiba masuk seorang lelaki bersongkok dan berjanggut. "Sheikh apa khabar, selamat hari raya.." dia bersalaman dengan saya dan menyambung... "semalam ana ke rumah Hasan Ali, dia buat rumah terbuka, enta tak pergi?"

"Tak... " jawab saya ringkas.

"Malam tadi saya tenguk Zulkefli Nordin dan Roslan Kasim juga ada. Dia masuk ikut tepi ana tenguk dia dia tak perasaan ana... duduk sekejap ana keluar meluat tenguk muka Zulkefli Nordin.." katanya. Saya hanya dengar dan diam, diam dan dengar.

"Nasib baik ana tak pergi rumah Hasan Ali, kalau terserempak dengan ana, ana akan lempang..." balas saya. Kawan yang sedang makan biji labu di sebelah terkejut ... dan memaling muka ke muka saya.

"Iya, kalau jumpa ana akan lempang, wakil rakyat pembohong itu..."

Kawan itu tergesa-gesa meninggal saya dan rakan dalam kedai. Sebelum melangkah keluar dia meninggalkan wang RM5 untuk bayaran kopi radik yang diminumnya. Kawan saya itu menolak kerana dia akan membayarnya, tetapi dia cepat-cepat keluar bimbang wang itu dimasukkan semula ke dalam poketnya.

"Tengok orang Pas, bukan macam orang Umno. Orang Umno kalau nampak kita dalam kedai mereka akan berderu masuk, jangankan hendak bayar, lepas kita bayar duit kita disenjah lagi.." keluh kawan saya itu yang dulu pemimpin nombor dua dalam Umno bahagian dan hari ini sudah berjihad dengan Pas. [wm.kl.8:56 pm 18/09/11]

Tiada ulasan: