Jumaat, 16 September 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


PM Bangladesh Akui Rakyatnya Dapat Hak Mengundi di Malaysia

Posted: 16 Sep 2011 01:16 AM PDT

Keratan laman web rasmi Pejabat PM Bangladesh

Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh mendesak siasatan dibuat terhadap pengakuan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wajed mengenai rakyatnya di Malaysia, mudah memperoleh status penduduk tetap (PR) dan layak mengundi.

"Kita desak tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kenyataan Perdana Menteri Bangladesh berkenaan perkara ini.

"Jika perkara ini berlaku, Najib perlu bertanggungjawab dan berani tampil memberikan penjelasan," katanya kepada Keadilan Daily, hari ini.


Beliau berkata demikiana apabila diminta mengulas pengakuan Sheikh Hasina yang dipetik dari www.ngoab.gov.bd – laman rasmi Hal Ehwal badan bukan kerajaan (NGO) Jabatan Perdana Menteri negara itu.

Mengikut laman itu, Sheikh Hasina berkata pekerja Bangladesh di Malaysia diberi kewarganegaraan dengan mudah asalkan mengundi parti yang mewakili kerajaan pemerintah.

Beliau juga mengesahkan sebilangan pekerja Bangladesh dalam beberapa sektor di Malaysia, diberi taraf kewarganegaraan sejak tahun lalu.

Katanya, mereka juga diberi hak sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Keadilandaily




Pakatan Jangan Syok Dahulu Dengan Pengumuman Najib

Posted: 15 Sep 2011 11:33 PM PDT

Aziz Bari: Inisiatif Najib terhad, 'terlalu awal raikan' langkah Putrajaya

KUALA LUMPUR, 16 Sept — Pakar Perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari menegaskan terlalu awal untuk meraikan inisiatif yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak malam tadi memandangkan langkah-langkah disenaraikan Putrajaya sebenarnya tidak menyeluruh.

Kata beliau, banyak lagi undang-undang yang diharapkan pemansuhan ataupun sekurang-kurangnya dipinda tidak disebutkan langsung dalam perutusan yang disampaikan secara langsung kepada rakyat.

"Najib tidak kata apa-apa tentang pembaharuan pilihan raya, membisu mengenai kontroversi membabitkan (daftar pemilih SPR dan) Jabatan Pendaftaran Negara.


"Beliau juga tidak berkata apa-apa tentang akses kepada RTM, saluran (TV dan radio) pembayar cukai. Mengambil kira kesemua ini, apa yang disaksikan (semalam) hanya satu bentuk pengumuman... oleh itu pilihan yang ada hanyalah (kita kena) tunggu dan lihat... terlalu awal untuk kita meraikan," kata beliau.

Kata Aziz (gambar), sementara langkah mahu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan membatalkan tiga deklarasi darurat satu perkara yang baik tetapi tuntutan berkenaan perkara itu telah lama diketengahkan oleh Pakatan Rakyat dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

"Jadi, Najib dan Umno-BN, sebagaimana ketika (menuntut) kemerdekaan pada 1957, mereka tidak boleh mengambil kredit (atas perkembangan ini)," kata ahli akademik ini.

Justeru jelas Aziz, perkembangan semasa ini juga menunjukkan pentadbiran Najib kelihatan bertindak kepada tuntutan dan permintaan pihak lain berbanding mengusahakan sendiri pendekatan-pendekatan yang diumumkan semalam, demi kepentingan rakyat.

"Oleh itu sedangkan beliau memegang jawatan (perdana menteri) tetapi tidak kelihatan berada dalam kuasa (sebenar)," kata Aziz lagi.

Sehubungan itu Aziz juga memberitahu, Umno-BN secara tiba-tiba telah mengetepikan falsafah politik mereka sendiri.

"Hanya semalam (kelmarin) (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri) Hishammuddin Hussein datang dengan kenyataan menafikan (laporan media bahawa) ISA akan dimansuhkan," kata Aziz lagi.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia semalam, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Katanya, dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah "semangat serta payung" Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan, kata Najib.


Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Mengambil kira perkembangan terbaru ini, Aziz berkata, kerajaan perlu mengadakan satu suruhanjaya diraja untuk menyiasat salah guna kuasa di bawah ISA dan deklarasi-deklarasi darurat sejak lima dekad lalu.

"Dalam sistem demokrasi, kerajaan sewajarnya bertanggungjawab atas tindakan dan keputusan-keputusan yang diambilnya," kata beliau.

Aziz juga berkata, sementara pengumuman Najib malam tadi kelihatan baik bagi masyarakat, kerajaan juga perlu mengkaji undang-undang lain seperti Akta Pertubuhan dan Akta Universiti dan Kolej Universiti serta Seksyen 27 Akta Polis.

"Cadangan mengenai Seksyen 27 telah diketengahkan oleh suruhanjaya diraja yang diketuai oleh bekas ketua hakim negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah pada 2005," kata beliau sambil menambah, laporan suruhanjaya itu mendapati pihak pois telah salah guna kuasa untuk menafikan hak untuk berhimpun secara aman.

"Suruhanjaya juga mengetengahkan pembentukan dan operasi Cawangan Khas yang tidak telus dan tidak ada elemen akauntailiti," kata beliau.

"Dan, bagaimana pula dengan Akta Rahsia Rasmi 1971 yang digunakan selama ini? Undang-undang ini menjadi halangan kepada ketelusan dan akauntabliti dalam masyarakat," kata Aziz.

Selain itu Aziz bertanya, adakah Perdana Menteri ada mengatakan apa-apa tentang Akta Hasutan 1948 yang menyebabkan rakyat berhadapan dengan ancaman perundangan.

"Sebenarnya, ahli-ahli Parlimen yang merupakan anggota dewan perundangan boleh dikenakan tindakan di bawah akta ini. Keistimewaan Parlimen juga tidak boleh membantu mereka," kata beliau.



Tak Pernah Dijajah - UMNO Tak Habis-Habis Membelit

Posted: 15 Sep 2011 08:16 PM PDT

Saya mengikuti perbalahan tentang sejarah negara yang sedang hebat diperkatakan oleh banyak pihak dan individu. Majlis Professor Negara (MPN) menyatakan yang negara kita tidak pernah dijajah, tetapi hanya merupakan negara 'protectorate' Inggeris sahaja.

Saya pun pernah bersekolah sikit-sikit dan boleh lah membaca dan menulis sikit-sikit serta faham sikit-sikit isu yang sedang hebat diperkatakan oleh mana-mana pihak termasuk isu sejarah yang luas diperbincang dan diperkatakan oleh orang ramai sekarang ini.

Bagi saya isu tentang samada negara kita pernah dijajah atau tidak ini merupakan isu sensitif yang tidak tertera kerana setelah kita mempunyai kerajaan tadbiran rakyat sendiri kita belum lagi ada sejarah yang kekal untuk dibaca oleh generasi kita.


Kalau kita tidak ada sejarah kita bolehlah di samakan seperti haiwan di hutan. Saya amat kesal dengan kenyataan wakil MPN Zainal Keling yang menyatakan negara kita tidak pernah dijajah dan perkara ini timbul hanya setelah kita mencapai kemerdekaan lebih dari setengah abad.

Jika apa yang diperkatakan oleh Zainal Keling itu maka saya kesal dengan Che' gu saya yang bernama Miss Lim semasa saya darjah 5 dahulu kerana memberitahu saya dan murid sedarjah dengan saya yang kita menyambut hari kemerdekaan pada setiap 31 Ogos kerana memperingati saat negara kita terlepas dari penjajahan kuasa asing ke atas negara kita.

Saya juga menyampah dengan Joginder Singh kerana dalam buku beliau yang menjadi buku teks sejarah semasa itu menyatakan dengan jelas yang Malaya terlepas dari penjajahan Inggeris pada 31 Ogos 1957. Hendak berhujah dengan Joginder Singh pula masalahnya beliau sudah meninggal dunia. Atau pun saya persalahkan Kementerian Pelajaran semasa itu yang memilih buku sejarah karangan Joginder Singh ini sebagai buku teks semasa itu.

Kenapa baru sekarang ada yang memberitahu yang kita adalah seperti negara Thai yang tidak pernah dijajah. Kenapa semua pensyarah dan semua rakyat mengatakan yang kita tidak pernah dijajah oleh sesiapa?

Kenapa buku-buku sejarah dan sejarawan kita menulis cerita dongeng yang mengatakann kita bukan negara yang pernah dijajah? Betul kah cerita Tun Razak pernah menjadi ahli 'force 136' untuk mencapai kemerdekaan. Bila datang cerita mutakhir dari Zainal Keling ini ingin pula saya bertanya benar kah Tun Razak menyertai 'force 136' dan wujud kah sebenarnya 'kumpulan 136' itu?

Nasib baiklah saya sudah masuk umur 60 tahun. Kalaulah saya baru berumur 10 tahun mungkin saya tidak percaya wujudnya seorang pemimpin kita yang bernama Tunku Abd Rahman Putra seperti yang ditulis oleh penulis buku sejarah negara kerana buku sejarah sekarang itu semuanya tidak betul.

Jika semuanya tidak betul maka segala isi kandungann buku-buku sejarah yang ada sekarang adalah cerita fiction lama sahaja.

Yang peliknya Mahathir yang tidak kering mulut mengingatkan kita yang bangsa Melayu kini lesu ialah kerana akibat dijajah oleh Inggeris dan penjajah lain selama lebih dari 400 tahun, kini bersetuju dengan pandangan Prof Zainal yang kita tidak dijajah. Beliau seterusnya kenyataan PAS akhir ini untuk mengkritik UMNO itu ialah semata-mata untuk menafikan dan memperkecilkan Tunku Abd Rahman. dengan menafikan UMNO sebagai pejuang kemerdekaan.

Di sini lah kelihatan percanggahan politik dan pemikiran Dr Mahathir di dalam satu nafasnya sendiri. Sedarkah Dr Mahathir jika beliau mengakui yang negara tidak pernah dijajah ianya adalah kata-kata yang menidakan UMNO (TUNKU) sebagai pejuang kemerdekaan. Jadi elok kita bertanya, cakap Dr Mahathir yang mana yang hendak kita pakai sekarang?

PAS hanya menyatakan bahawa perjuangan kemerdekaan itu bermula sebelum UMNO itu wujud dan UMNO hanya menyudahkan perjuangan yang belum diselesaikan oleh perjuangan sebelum itu. Ini bermakna PAS sendiri menyenaraikan yang UMNO juga adalah pejuang kemerdekaan.

Tetapi apa yang dikesalkan oleh PAS ialah UMNO mengambil semua kredit perjuangan kemerdekaan itu sendiri dan tidak mahu mengakui ada banyak pihak lain yang telah bersusah payah untuk melepaskan negara dari cengkaman Inggeris penjajah itu.

Sekarang yang amat penting untuk UMNO lakukan sekarang ialah untuk menentukan sikap secara formal; 1) samada kita pernah dijajah atau pun tidak 2) Samada mengakui yang sebelum UMNO wujud ada atau pun tidak pihak-pihak yang telah berjuang untuk memerdekakan negara.

UMNO mesti tegas untuk menentukan sikap dan pendirian, terutamanya TS Muhyiddin yang kenyataannya cuba menafikan peranan pihak lain yang telah lama bertindak melepaskan negara dari jajahan Inggeris.

Jika UMNO mempunyai maruah sebagai parti orang Melayu parti ini mesti menentukan sikapnya secara jelas dan formal supaya rakyat dapat menilai samada parti ini masih relevan atau pun sebaliknya.

Rakyat tidak mahu lagi mereka di 'kelentong' dengan kata-kata yang berbelit-belit semata-mata kerana keperluan politik mereka yang hanya menagih kuasa tetapi tidak mahu bertanggungjawab mempertahankan maruah politik mereka.

Tidak habis-habis membelit.

http://aspanaliasnet.blogspot.com



Tuduhan liwat dan kaitannya dengan 16 September

Posted: 15 Sep 2011 07:58 PM PDT

ISU 16 September 2008 masih banyak diperkatakan. Ada yang percaya, ada yang tidak percaya. Barangkali ramai juga yang keliru mengenainya.

16 September bukan isu politik antara Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional semata-mata. Ia lebih besar dari itu. Ia merupakan hari ulang tahun pembentukan Malaysia yang mencakupi Semenanjung Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah. Manakala 31 Ogos adalah hari ulang tahun kemerdekaan Semenanjung daripada penjajahan British.

Namun 16 September tidak pernah dijadikan cuti umum berbanding 31 Ogos. Hanya selepas diperjuangkan Pakatan Rakyat, barulah diisytihar tarikh tersebut sebagai cuti umum. Sekurang-kurangnya rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak harus berterima kasih kepada Pakatan Rakyat kerana lebih dahulu mengiktiraf mereka berbanding Umno-BN.


Sudah tentu apabila menyentuh isu 16 September, subjek utama yang diperkatakan adalah Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Ada rakan bertanya, mengapa hendak dibangkitkan perkara yang sudah tidak jadi. Tidak kurang juga ada pihak yang menghentam dan mengkritik Anwar, termasuk kalangan pemimpin BN yang mempermain-mainkan isu 16 Septemder.

Pada hemat penulis, ianya wajar ditulis semula sebagai satu bahan rujukan penting dalam menganalisis kecenderungan ahli-ahli politik Malaysia, khususnya Ahli Parlimen (MP). Persoalan utama yang harus difikirkan adalah, apakah Anwar yang mencari MP BN ini aau mereka yang datang mencari Anwar?

Apakah Anwar yang didakwa kemaruk dan gila kuasa ataupun mereka yang takut segala jawatan, kuasa, harta dan sebagainya akan lenyap jika Pakatan Rakyat menerajui negara.

Selepas hampir tiga tahun sejak Pilihan Raya Umum 2008, laman Wikileaks mula mendedahkan fakta-fakta mengenai mengenai kecenderungan besar MP BN untuk menyertai Pakatan Rakyat bagi menubuhkan kerajaan baru pada 16 September 2008.

Isu ini timbul kembali apabila Wikileaks mendedahkan, ia mempunyai maklumat yang sahih mengenai rundingan beberapa pihak dalam BN, khususnya dari Sabah dan Sarawak untuk keluar BN, masuk Pakatan Rakyat.

Dalam satu laporan, ia memetik kata bekas Ketua Menteri Sabah, Dato' Salleh Tun Said Keruak, memberitahu pegawai kerajaan kedutaan Amerika Syarikat bahawa lebih dari separuh dari 25 Ahli Parlimen BN Sabah, sedia untuk meninggalkan BN.

Malah kabel tersebut memperkukuhkan bukti, dalam banyak pertemuan pemimpin-pemimpin Umno-BN Sabah, antaranya pada 18 hingga 20 Jun 2008, yang menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak menyokong Perdana Menteri ketika itu, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun Salleh yang kini Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah mendakwa laporan Wikileaks tersebut tidak berasas. Namun Salleh menyatakan, beliau ketika itu masih ingat pihak tertentu berusaha keras untuk memujuk MP Sabah, tetapi mereka gagal.

Pada waktu itu (selepas PRU Mac 2008), semua orang kelam kabut dan terkejut. Pakatan Rakyat terkejut kerana tidak menjangkakan akan mendapat sokongan besar rakyat, manakala BN kelam kabut dan hampir meroyan apabila hilang majoriti dua pertiga di Parlimen serta hilang kuasa di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor (selain Kelantan yang BN hilang kuasa sejak 1990).

Habis semua tersentak. Terutamanya MP BN yang faham 'pencak silat' politik. Mereka tahu dan sangat-sangat sedar bahawa Pakatan Rakyat adalah suatu force yang amat besar. Mereka memahami soal ini, sekaligus dengan beberapa petunjuk politik yang jelas menunjukkan kerajaan BN sudah hampir dipenghujung hayat.

Justeru selaku ahli-ahli politik yang sedar, mereka tidak ada pilihan lain. Mereka tahu jika mahu terus berpolitik, Pakatan Rakyat adalah future platform, bukannya BN.

BN hanya tinggal 140 kerusi, manakala Pakatan Rakyat menang 82 kerusi. Pakatan Rakyat hanya perlu 30 kerusi untuk mendapatkan simple majority. Jika Wikileaks mendedahkan separuh dari 25 MP BN Sabah sudah sedia untuk menyeberang, selebihnya dari mana?

Saya percaya, Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Razak dan juak-juak di sekelilingnya tahu apa yang saya maksudkan. Selain Sabah, wakil-wakil BN dari Sarawak, komponen BN di Semenanjung, malah MP Umno juga turut sama berminat untuk menyeberang.

Jika fakta ini betul, soalnya berapa orang yang hendak menyeberang ke Pakatan Rakyat? Siapa yang hendak defect? Ataupun harus juga dipersoalkan mengapa mereka tidak menyeberang?

Sebelum Wikileaks membuat pendedahan lebih menggemparkan, elok juga dianalisis isu 16 September ini dengan lebih mendalam.

Persoalan pertama adalah jumlah. Daripada pengamatan saya, lebih 40 orang MP BN yang cenderung kepada Pakatan Rakyat. Hal ini disedari dan pernah diperkatakan oleh mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu majlis di London, semasa isu ini hangat diperkatakan.

Nama mereka tidak perlu didedahkan. Mereka daripada Sabah, Sarawak, Semenanjung. Terdiri daripada kalangan pemimpin utama dan bekas pemimpin utama parti komponen BN. Lebih mengejutkan ada kalangan mereka Menteri, Timbalan Menteri dan MP biasa.

Mereka-mereka ini mengadakan perundingan dengan Anwar di beberapa tempat. Dalam dan luar negara. Antaranya di Singapura, Hong Kong, Bangkok dan beberapa tempat lain. Malah ada yang berani berjumpa secara terbuka di beberapa tempat dalam negara.

Saya teringat kata seorang Timbalan Menteri kepada seorang pemimpin utama Pakatan Rakyat di Parlimen. Beliau mengatakan, "Jika Pakatan Rakyat sudah mempunyai 29 orang MP, you masukkan nama I untuk cukupkan 30 orang."

Pada ketika itu Pakatan Rakyat sudah boleh menubuhkan kerajaan. Tetapi disekatn dengan serangan siang malam terhadap Anwar dan tuduhan liwat kedua yang dihadapkan kepada beliau oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dakwaan liwat terhadap Anwar dibuat pada 28 Jun 2008. Tetapi plot untuk mengenakan beliau sudah dirancang lebih awal.
Plot ini diberitahu oleh seorang bekas Menteri yang paling berpengaruh kepada Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa sekitar April 2008.

Kata beliau kepada Husam ketika itu,"Tidak ada jalan lain untuk menyekat kemaraan Anwar. Jika Umno-BN mahu kekal berkuasa, Anwar harus dikenakan tuduhan liwat (kali kedua) dan Anwar harus disumbat dalam penjara."

Jelas daripada kata-kata pemimpin ini. Plot atau konspirasi untuk mengenakan Anwar sudah dirancang berbulan lebih awal daripada dakwaan dibuat oleh Saiful?

Soalnya Mengapa Saiful terbabit? Saya tidak mahu mengulas lanjut hal perbicaraan dalam mahkamah. Tetapi yang jelas, apabila tuduhan seorang itu meliwat seseorang, ia harus dibuktikan secara klinikal. Secara klinikal, kes ini tidak harus wujud, kerana doktor pertama yang memeriksa Saiful selepas dakwaan meliwat dibuat, secara konsisten mengatakan, tiada kesan tusukan di dubur Saiful.

Logiknya, jika dubur Saiful tidak ditusuk, mana mungkin kejadian liwat berlaku. Kes ini tidak seharusnya wujud, tiada bukti kukuh dan kes ini harus dibuang.

Berbalik kepada Saiful. Mengapa beliau terlibat dan apa pembabitannya dengan 16 September? Mengapa Najib menemuinya pada 24 Jun 2008, dua hari sebelum kejadian liwat didakwa berlaku atau empat hari sebelum laporan polis terhadap Anwar dibuat?

Hakikatnya ialah ,Saiful bertugas mengikuti majikannya (Anwar) dan merekod banyak pertemuan Anwar dengan pemimpin-pemimpin Umno-BN di banyak tempat. Dalam dan luar negara. Secara tidak langsungnya, nama, lokasi dan butiran pertemuan diadakan, ada dalam pengetahuan Saiful.

Oleh itu Najib tidak boleh kata (pada 24 Jun), bahawa beliau tahu Anwar akan meliwat Saiful pada 26 Jun, kerana pada tarikh beliau menemui Saiful, kejadian belum lagi berlaku.

Najib harus tahu dan sepatutnya sudah diberitahu Saiful tentang butiran pertemuan Anwar dengan MP-MP Umno-BN. Walaupun mungkin semua perundingan tidak diketahui Saiful, tetapi dipercayai sebahagian daripada nama-nama pemimpin berkenaan, ada pada pengetahuan Saiful.

Justeru, jika hendak diperincikan lebih ramai yang berhasrat hendak meninggalkan BN. Tetapi hasrat dan usaha mereka tersekat apabila Anwar dikenakan pertuduhan kedua.

Dalam keadaan kuasa penuh menguasai polis dan kehakiman ada pada tangan PM, maka kedudukan Anwar pada ketika itu tidak kukuh jika mereka hendak berhijrah ke Pakatan Rakyat. Lagipun kebanyakan MP ini banyak kepentingan yang hendak mereka lindungi. Mereka tidak sanggup mengambil risiko. Mereka tidak mahu gamble.

Umno-BN tiada pilihan lain untuk terus berkuasa selain terpaksa 'memenjarakan' Anwar. Jika Anwar masuk ke 'dalam' Umno-BN berharap, Pakatan Rakyat akan berpecah.

Walaupun rencana 16 Septembert 2008 gagal diteruskan. Ia tidak berjaya memperkukuhkan BN, jauh sekali untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat.

Hasrat 16 September akan tetap diteruskan. Bukan semata-mata untuk menantikan penghijrahan MP BN, tetapi ia akan dirayakan dalam erti kata kemerdekaan yang sebenar bersama seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, tanpa ada perasaan rasis dan diskriminasi.

Dipetik dari Harakahdaily



Hishamuddin - Akta Baru Ganti ISA Tak Akan Ambil Masa Lama Untuk Digubal

Posted: 15 Sep 2011 07:52 AM PDT

Proses menggubal undang-undang baru menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang telah dimansuhkan tidak akan mengambil masa yang lama kerana kerajaan tidak perlu membentangkan sebarang pindaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata undang-undang baru itu akan merujuk undang-undang di negara lain sebagai contoh.

"Undang-undang yang berhubung kait dengan keganasan, contohnya Akta Patriot di Amerika Syarikat, Akta Anti Keganasan di United Kingdom dan Australia, semua ini boleh dijadikan contoh dalam kita hendak memerangi keganasan," katanya.


Beliau ditemui pemberita selepas ucapan khas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena sambutan Hari Malaysia di Auditorium Perdana Angkasapuri malam ini.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan terus ISA selain kajian komprehensif pihak kerajaan terhadap beberapa undang-undang lain, antaranya Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Polis 1967.

Kajian itu akan dimulakan dengan mengambil kira pandangan pihak dan agensi yang berkaitan, katanya.

Hishammuddin juga berkata fokus utama kerajaan selepas ini ialah mencari keseimbangan antara kepentingan dan keselamatan, serta kepentingan suasana demokrasi semasa dalam menggubal undang-undang baru itu.

Selepas pemansuhan ISA, kerajaan perlu lebih matang menangani risiko dengan pewujudan dua undang-undang baru yang bakal digubal.

"Risikonya berhubung kait dengan mencari keseimbangan antara keselamatan dan kepentingan negara, selaras dengan tuntutan dan suasana demokrasi semasa, jadi risiko dalam apa jua keadaan sentiasa wujud.

"Saya yakin dengan apa yang diumumkan malam ini, perjalanannya bermula dua tahun dahulu, dan ia telahpun mengambil kira pandangan pihak berkuasa seperti polis, tentera dan agensi yang terlibat dengan ISA," katanya.

Kira-kira 700 wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kakitangan awam menghadiri acara khas itu, yang diakhiri dengan nyanyian lagu sempena sambutan Hari Malaysia bersama-sama perdana menteri.

- Bernama



Pelbagai reaksi ucapan khas Najib

Posted: 15 Sep 2011 07:12 AM PDT

Walaupun dilihat sebagai langkah positif, pengumuman mengejutkan Datuk Seri Najib Razak, antaranya pemansuhan akta ISA, masih terdapat pihak yang masih meragui keikhlasan perdana menteri.

Berikut reaksi segera terhadap ucapan Najib yang ketika menyampaikan perutusan khas sempena Hari Malaysia yang akan disambut esok:

Pemansuhan ISA

Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee
Majlis Peguam Malaysia memuji perdana menteri yang maju jauh dan berjanji memansuhkan dan mengkaji semula cebisan undang-undang yang ketinggalan zaman dan menekan.

Ini langkah utama ke arah mengembalikan kedaulatan undang-undang dan menghormati Perlembagaan Persekutuan. Ini tindak balas yang betul perdana menteri kepada suara rakyat. Majlis Peguam bersungguh-sungguh menanti butiran lanjut proses ini.


Presiden Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh
Apakah benar ISA dimansuh dan bilakah tempoh akan dimansuh? Kita tentang ISA sebab peruntukan tahanan tanpa bicara. Tetapi jika dibentuk dua lagi undang-undang yang juga mempunyai peruntukan tahan tanpa bicara, kita anggap perjuangan kita belum selesai.

Betul mansuh dan kita sedikit lega. Tetapi mansuh satu (akta) dan masuk dua (undang-undang baru), sebab itu kita tidak mahu terlalu gembira lagi.

Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman
Isu sebenar kebebasan media di Malaysia bukan pembaharuan permit tahunan. Isunya, susah atau senang mendapatkan permit penerbitan dan percetakan. Dari segi prinsipnya, konsep mengenakan permit untuk media itu sendiri satu halangan besar kebebasan.

Sepatutnya, media tidak memerlukan permit, sudah memadai mendaftar akhbar, majalah, portal berita seperti kita mendaftar sebuah syarikat atau mendaftar kenderaan.

Keputusan mutlak menteri untuk memberi atau menarik balik permit (dan tidak boleh dicabar di mahkamah) seperti dalam Akta Penerbitan dan Mesin Cetak sekarang masih kekal dan tidak disentuh sama sekali dalam ucapan perdana menteri. Sepatutnya perkara ini dihapuskan.

Perdana menteri juga menyentuh beberapa lagi akta yang mengekang kebebasan pengamal media seperti Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi.

Jadi, pengumuman Datuk Seri Najib Razak hanya sebagai di permukaan, banyak hal asas (fundamental) tidak diusik (dipinda).

Isteri mangsa bekas tahanan ISA Norlaila Othman
Kami tidak tahu hendak (kata) alhamdulilah atau bersorak "yahoo" sebab sudah banyak kali kena tipu. Selagi Kem Kamunting tidak ditutup, selagi semua tahanan tidak dibebaskan dan selagi ISA tidak lagi menjadi akta baru kami akan percaya.

Walaupun ISA dimansuh, dia boleh buat akta baru pada bila-bila masa saja. Kita tidak mahu akhirnya cuma tukar nama sahaja.

Presiden MIC Datuk G Palanivel
Ia pengumuman yang tepat pada masanya dan menunjukkan bahawa kita berubah dari masa ke semasa. Ia juga menunjukkan kerajaan mendengar suara rakyat.

Pengerusi BERSIH 2.0 S Ambiga
Apabila kamu longgarkan tali kekangan, ia sentiasa selangkah ke arah yang betul. Saya tidak jelas apa beliau (Najib) maksudkan, tetapi saya tidak setuju tindakan berterusan menentang demonstrasi jalanan.

Demonstrasi jalanan ada nilainya, yang tertakluk bawah kebebasan berhimpun. Dengan membezakan demonstrasi jalanan dengan bentuk demonstrasi lain sepenuhnya tersasar daripada hak kebebasan terhimpun.





Najib Umum Mansuh ISA Tapi Ganti Akta Baru

Posted: 15 Sep 2011 06:12 AM PDT


KUALA LUMPUR, 15 Sept — Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dimansuhkan sama sekali dan kerajaan akan memperkenalkan dua akta baru untuk mengekalkan keselamatan negara, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu kerajaan juga mengumumkan tiga proklamasi berkenaan dengan darurat yang berkuat kuasa sejak beberapa dekad lalu akan ditamatkan.


"Seperti mana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) akan dikaji secara komprehensif.

"Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa ISA akan dimansuhkan terus," kata beliau dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia malam ini.

Kata beliau, untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

"Pokoknya, akta-akta ini nanti bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara," kata Najib.

Perdana Menteri menambah, kerajaan akan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara.

"Apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

"Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri," kata beliau.

Di sudut lain, katanya, kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Malah menurut beliau, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu.

"Dalam konteks ini juga, selain memansuhkan ISA, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa," kata beliau sambil menambah, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan.

Selain itu Najib juga mengumumkan bahawa:

- Kajian semula komprehensif akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933

- Mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan

- Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Kata Najib, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Namun, katanya, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambilkira norma-norma di peringkat antarabangsa.

The Malaysia Insider



Hahaha.. Lawak Gila.. Pecah Perut Ketawa..

Posted: 15 Sep 2011 06:07 AM PDT

Mantan Polis Syak "Rakan" Mat Sabu Cuba Sebar Fahaman Komunis

KUALA LUMPUR 15 SEPT: Bekas pengarah cawangan khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Zulkefli Abdul Rahman mengesyaki golongan yang mendampingi Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu cuba menerapkan semula fahaman komunis di negara ini.

"Mat Sabu bukan komunis. Saya tidak percaya dia komunis. Tetapi adakah dia akan memperkenalkan siapa orang disekeliling dia. (Orang) yang menyampaikan idea untuk membangkitkan Mat Indera," ujar beliau.

Beliau berkata pendekatan terkini Parti Komunis Malaya (PKM) yang dipercayai masih bergiat aktif di Selatan Thailand menggunakan ahli-ahlinya yang terpelajar untuk menerapkan ideologi parti itu dalam masyarakat.


"Pergerakan komunis tidak akan mati walaupun kita sudah menandatangani perjanjian tidak bererti ia sudah habis. Walaupun pergerakan komunis sudah habis tapi pemahaman masih ada," katanya ketika berucap di dewan Kelab Sultan Sulaiman malam tadi.

Zulkefli bersama tiga panel lain dijemput khas oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dalam sebuah forum bertajuk'Kekejaman Komunis, Mat Indera dan Kemerdekaan' di mana presidennya Datuk Ibrahim Ali bertindak sebagai moderator.

Inisiatif forum itu dianjurkan bagi menjawab spekulasi yang dicetuskan oleh Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dalam ucapannya di Tasik Gelugor 21 Ogos lalu menyentuh perjuangan Mat Indera yang dianggap sebagai pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Dalam ucapannya Zulkefli menyifatkan ideologi komunis mengatasi agama.

Menurut beliau, mana-mana individu yang telah menawarkan diri untuk menjadi pengikut komunis maka 'segala yang diperjuangkan demi kepentingan manusia'.

"Komunis tidak akan meninggalkan objektif dan matlamat untuk menkomuniskan (masyarakat). Masa tidak menjadi sebarang masalah," katanya lagi.

Tambahnya lagi komunis hanya menunggu masa untuk mengambil kesempatan atas masalah yang melanda negara termasuk sosial, budaya dan perkauman.

Kerajaan Malaysia telah menandatangani Perjanjian Damai dengan negara Thailand dan PKM di Haadyai pada 2 Disember 1989.

Persetujuan yang dimeterai ketiga-tiga pihak itu menyebut agar PKM menghentikan perjuangan bersenjata selain perlu berikrar taat setia kepada Yang diPertuan Agong Malaysia.

Turut dinyatakan kerajaan Malaysia sedia membantu mana-mana ahli PKM yang telah meletakkan senjata untuk menetap di negara Malaysia untuk memulakan hidup baru.

Namun permohonan Setiausaha Agung PKM, Chin Peng untuk kembali ke tanah air pada tahun 2009 ditolak kerajaan Malaysia kerana beliau masih memegang jawatan setiausaha agung parti itu.

Beliau yang telah hidup dalam buangan selama 22 tahun pernah memohon untuk kembali ke tempat kelahirannya di Setiawan, Perak.



Jamil Khir Sanggup Sumpah.. Kenapa Gelabah? Siapa Suruh Sumpah Pulak??

Posted: 15 Sep 2011 04:34 AM PDT

Menteri sanggup sumpah tak guna zakat besar rumah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menafikan dakwaan portal pembangkang kononnya beliau menggunakan wang zakat untuk mengubah suai kediaman di Kampung Batu Muda, Batu Caves di ibunegara.

Beliau berkata wang yang digunakan untuk mengubahsuai rumah yang dihuni anggota keluarganya sejak 1994 itu, adalah hasil titik peluh sendiri ketika berkhidmat dalam angkatan tentera dan menyifatkan dakwaan itu sebagai 'politik terdesak'.

"Ini perbuatan politik terdesak... Saya dulu bukan penganggur. Jawatan terakhir saya dalam tentera ialah Mejar Jeneral. Jadi, tidak mungkin seorang Mejar Jeneral tidak mampu ada rumah.


"Dia kena faham, saya tentera yang berpencen dan ada ganjaran, tetapi tiadalah sampai RM1 juta... anak-anak seramai enam orang juga tinggal bersama, jadi sebab itu banyak kereta di rumah," katanya kepada pemberita hari ini.

Jamil Khir berkata pinjaman perumahan bagi rumah yang didiami sejak 17 tahun itu, masih lagi berbaki malah lebih 10 anggota keluarga tinggal sebumbung, termasuk kedua orang tuanya.

"Rumah, hutang kerajaan, itupun tak habis lagi, hutang sejak dari 1994, (anda) boleh rujuk, dan bukan hutang masa saya jadi menteri ni," katanya.

Jamil Khir sanggup bersumpah bagi membuktikan beliau tidak menggunakan wang zakat untuk membesarkan rumahnya.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Khairul Anuar Ahmad Zainuddin hari ini dilapor menggesa menteri berkenaan menjelaskan tentang pengubahsuaian rumahnya yang didakwa menelan belanja jutaan ringgit.

- Bernama



Lawak Mahathir - Hanya Orang Yang Bermoral Sahaja Boleh Jadi Perdana Menteri..

Posted: 15 Sep 2011 04:19 AM PDT

Mahathir: Sudah pasti saya pecat Anwar jikapun Mufti Perak kata jangan

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan sudah pasti beliau akan memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria ada menasihatkan beliau supaya tidak berbuat demikian.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata kemungkinan mufti terbabit boleh menerima seorang yang tidak bermoral sebagai pemimpin, tetapi bukan beliau.

"Meskipun jika mufti menasihati saya, dan saya menafikan beliau ada berbuat demikian, saya tidak dapat menerima nasihat seperti itu," kata bekas perdana menteri (gambar) sambil menambah, beliau akan didapati menutup cerita jika tidak mengambil sebarang tindakan.


"Biar mahkamah yang memutuskannya," kata beliau lagi dengan merujuk kepada keputusan mahkamah ke atas bekas timbalannya.

Dr Mahathir memecat Anwar daripada jawatan timbalan perdana menteri pada September 1998. Kemudian beliau dipecat daripada jawatan timbalan presiden Umno.

Dr Mahathir yang juga bekas presiden Umno berkata, mufti itu mungkin boleh menerima seorang yang tidak bermoral untuk menjadi perdana menteri enagar ini.

"Maafkan saya, saya memegang tanggungjawab sebagai satu amanah, kepercayaan dan saya tidak bersedia untuk menerima seorang yang tidak bermoral sebagai Perdana Menteri.

Akhir bulan lalu, Harussani mendedahkan beliau pernah cuba untuk bertemu dengan Dr Mahathir agar tidak memecat dan juga tidak mengenakan tuduhan liwat ke atas Anwar.

Namun jelas Mufti Perak. bekas perdana menteri itu enggan menemui beliau.

"Saya, banyak perkara suruh Dr Mahathir berhenti (tidak lakukan), tapi ada tiga perkara beliau tidak mahu berhenti, yang pertama bila nak pecat, Anwar saya ditahan daripada jumpa perdana menteri.

"Saya kata kepada pembantu (Dr Mahathir) pecat Anwar pengaruh bukan sikit boleh pecah Melayu... bila nak buat tuduhan liwat, saya kata kalau nak pecat Anwar (dari timbalan perdana menteri) buat rombakan Kabinet, letak di kementerian lain... tapi saya tidak dibenarkan jumpa perdana menteri," katanya.

Tegas Harussani, tindakan Dr Mahathir memecat Anwar telah menyebabkan perpecahan orang Melayu.

Selepas dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, Anwar berhadapan dengan kes salah guna kuasa dan liwat.

Anwar, kini Ketua Umum PKR, menghadapi tuduhan liwat kali pertama pada 1998 yang dikaitkan dengan beberapa individu yang rapat dengannya seperti Azizan Abu Bakar dan Sukma Darmawan.

Kes itu telah mencetuskan kegemparan di seluruh negara dan dunia terutamanya masyarakat Melayu kerana tokoh itu dijatuhkan dengan tuduhan yang terlalu serius.

Anwar kini berdepan dengan satu lagi tuduhan liwat yang melibatkan pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan - kes masih dalam perbicaraan.

Dr Mahathir juga berkata beliau tidak dapat ingat sama ada Harussani ada memberikan nasihat sedemikian sama ada secara peribadi ataupun ketika ditemui pada mana-mana majlis awam.

Bekas perdana menteri itu berkata kes mahkamah ke atas Anwar diambil oleh pegawai-pegawai yang bertanggungjawab.

"Tetapi katakan tiada kes mahkamah diambil, bagaimana saya boleh menjelaskan bahawa Anwar perlu dipecat sebab beliau tidak sesuai untuk menggantikannya sebagai perdana menteri?

"Jika saya menggugurkan beliau dan saya tiada pilihan tetapi untuk menggugurkannya disebabkan sikap tidak bermoralnya, bagaimana saya boleh menjelaskan kepada rakyat?" kata beliau dan menambah, orang akan menuduh tindakan itu diambil disebabkan faktor politik.



Tiada ulasan: