Ahad, 4 September 2011

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


MP BN dapat dana khas hingga RM2.5 juta dari Kerajaan Pusat?

Posted: 03 Sep 2011 05:09 PM PDT

Wakil rakyat Barisan Nasional dilaporkan telah disediakan dana wang tunai khas berjumlah sehingga RM2.5Juta oleh kerajaan pusat untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan prasarana secara langsung di bahagian Parlimen masing-masing.

Ini baru dana untuk aktiviti membeli jiwa rakyat... belum lagi duit poket untuk calon bagi menghadapi pilihanraya..

Itulah antara sebab utama ahli-ahli UMNO yang mempunyai jawatan berebut-rebut untuk menjadi calon bagi setiap pilihanraya, selain dana bagi membeli jiwa rakyat, duit poket yang disediakan untuk mereka menjadikan mereka jutawan segera..


Dulu.. masa PRK Permatang Pauh jumlah yang aku lihat tertera pada salinan cek yang di photostat yang dibayar oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri kepada calon menentang DSAI memang boleh membuatkan calon itu tidak perlu risau samada menang atau kalah.. pasal dah jadi jutawan..

Itu duit poket ya.. bukan dana untuk menggerakkan jentera pilihanraya, pencacai UMNO jangan kata duit poket itu adalah dana untuk menggerakkan jentera pilihanraya pula.. pasal aku tahu ramai pencacai UMNO tak tahu duit poket dan dana peruntukan pilihanyara ini dua perkara berbeza.

Kalau nak lebih jelas tentang perkara ini pencacai-pencacai UMNO boleh berjumpa dengan Ariff Shah YB Seberang Jaya, tanya dia sendiri berapa dia dapat masa PRK Permatang Pauh dulu.

Lagi satu... Dana RM2.5Juta yang disediakan oleh kerajaan pusat itu mengapa yang diperuntukkan kepada Ahli Parlimen dari BN sahaja, sedangkan Ahli Parlimen dari PR juga adalah sebahagian dari Kerajaan?

Jika untuk Ahli Parlimen BN saja, seharusnya yang digunakan ialah sumber dari BN sendiri bukannya sumber dari Kerajaan Pusat..


MP BN dapat dana khas hingga RM2.5 juta hadapi PRU-13
Oleh G Manimaran dan Boo Su-Lyn
September 04, 2011

KUALA LUMPUR, 4 Sept ─ Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) disediakan dana wang tunai khas oleh kerajaan pusat untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan prasarana secara langsung di bahagian Parlimen masing-masing ─ ketika pilihan raya umum ke-13 semakin dekat sudah hangat diperkatakan.

BN menang 140 daripada 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 2008.

Akhbar harian Sin Chew Daily melaporkan bahawa peruntukan yang disediakan boleh mencecah sehingga RM2.5 juta bagi sesetengah bahagian.

Bagaimanapun tiada dana bagi kawasan yang dikategorikan sebagai "hitam", di mana BN hilang kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-12 tiga tahun lalu.

Beberapa ahli Parlimen yang dihubungi mengesahkan mereka telah disediakan peruntukan khas, yang dibayar antara RM500,000 dan RM2.5 juta ─ bergantung pada jumlah pemilih dan sama ada kerusi terbabit dimenangi BN ataupun sebaliknya.

Seorang wakil rakyat berkata, pembayaran sudah mula dikeluarkan sejak sebelum sambutan Aidilfitri dan akan terus dibayar secara berperingkat sehingga akhir tahun ini.

Mengambil kira perkembangan itu, The Malaysian Insider difahamkan pilihan raya umum ke-13 dijangka akan berlangsung akhir suku pertama ataupun awal suku kedua tahun depan.

"Peruntukan ini membolehkan wakil rakyat mengadakan aktiviti mengikut keperluan kawasan dan pengundi masing-masing," kata wakil rakyat itu sambil menambah, "malah ia memudahkan kami menjalankan aktiviti dengan cepat dan segera, yang menggembirakan pengundi."

"Itu kelebihan. Pengundi dapat melihat permintaan mereka ditunaikan dengan segera. Mereka dapat respons positif," kata sumber itu.

The Malaysian Insider difahamkan, jika seorang ahli Parlimen diperuntukkan RM2 juta, mereka sudah pun menerima peringkat pertama peruntukan sebanyak RM400,000 sebelum Aidilfitri. Difahamkan, mereka yang diperuntukan RM1 juta telah disalurkan RM250,000.

"Kawasan yang BN kalah pada pilihan raya umum lalu hanya disalurkan RM500,000. Kepimpinan BN telah mengadakan satu taklimat khas mengenai peruntukan ini pertengahan bulan lalu," kata seorang lagi wakil rakyat.

Katanya, pada taklimat itu tujuan dan kaedah penyaluran dana telah diperjelaskan kepada ahli-ahli Parlimen BN.

"Bagaimanapun jika kawasan BN yang pengundinya melebihi 60,000 orang, misalnya, wakil rakyat akan dibayar lebih RM2 juta. Ini yang dijanjikan, mungkin RM2.5 juta dan sebagainya," kata pemimpin itu lagi.

Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan BN Datuk Bung Mohtar Radin menafikan adanya peruntukan sedemikian.

"Tidak ada, tidak. Kami tidak menerima apa-apa peruntukan seperti ini," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Dalam laporannya malam tadi, Sin Chew Daily menyebut BN mengklasifikasikan sesuatu bahagian seperti "hitam", "kelabu" dan "putih" - di mana BN dan Pakatan Rakyat menguasai kerusi atau BN menang dengan majoriti kecil - akan menerima antara RM1 juta dan RM2 juta.

Peruntukan akan diagihkan mengikut kawasan "putih" di mana BN memegang kedua-dua kerusi persekutuan dan negeri.

Akhbar itu juga melaporkan bahawa wakil-wakil BN di Selangor menerima peruntukan bulan lalu.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah memperuntukkan RM1 juta kepada setiap Adun Janauri lalu tetapi tidak kepada wakil rakyat BN.

The Malaysian Insider membawa laporan Julai lalu bahawa Putrajaya telah meluluskan geran segera RM100,000 bagi setiap bahagian ekoran aduan ahli-ahli Parlimen BN mendakwa pentadbiran Najib hanya memfokus projek-projek besar di Lembah Klang, langkah yang menurut mereka tidak akan membantu perikatan itu dalam pilihan raya umum ke-13.

Difahamkan, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjanjikan setiap ahli Parlimen BN RM100,000 pada satu pertemuan dengan sekitar 100 wakil rakyat BN di PWTC.

Laporan itu menyebut dana itu dijangka disalurkan sebelum sambutan Aidilfitri akhir Ogos.

Ahli-ahli Parlimen memberitahu Muhyiddin dan menteri-menteri yang lain bahawa kerajaan seharusnya memstikan lebih banyak dana disalurkan kepada bahagian-bahagian diwakili mereka berbanding tumpuan ke atas projek mega seperti Transit Rapid Massa (MRT) sekiranya BN mahukan mandat kukuh dalam pilihan raya umum ke-13.

Beberapa ahli Parlimen yang menghadiri majlis makan malam itu memberitahu The Malaysian Insider bahawa rakan-rakan mereka mempersoalkan nilai projek MRT ke atas kempen BN dalam pilihan raya umum ke-13.

Menurut mereka, Kuala Lumpur merupakan 'kubu' pembangkang sekarang dan menerima peruntukan pembangunan dalam jumlah yang begitu besar.

Justeru ramai ahli Parlimen mahukan lebih banyak peruntukan dana awam khususnya di bahagian masing-masing.


The Malaysian Insider

Mat Indera, ketokohannya diiktiraf Kerajaan UMNO Johor.

Posted: 03 Sep 2011 10:10 AM PDT

Mat Indera dikatakan pernah berguru dengan Haji Yassin, ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Mat Sabu supaya bertaubat baru-baru ini.

"Adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? ...Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya. Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang, bukan seorang petualang"


Oleh : Mohamed Hadi al-Majwi

Sebelum kita disesatkan lebih jauh lagi oleh media-media parti pemerintah, eloklah kita semua kembali ke pangkal jalan, mengkaji dan memahami semula sejarah.

Sebetulnya tatkala kali pertama saya menonton klip video ceramah Mohamad Sabu (Mat Sabu) mengenai tragedi Bukit Kepong itu, hati saya telah terdetik "Apa sajalah yang UMNO akan merapu lepas ni".

Dan memang saya mahu saksikan, label apakah yang hendak dicop kepada Mat Sabu rentetan daripada ceramah beliau. Sememangnya ucapan Mat Sabu telah diputarbelitkan oleh Utusan Malaysia dan kalau salah bacaan, kita juga akan terperangkap dengan permainan Utusan Malaysia.

Mat Sabu tidak pernah menyebut komunis, tetapi hanya menyebut nama Mat Indera, pejuang yang telah mengetuai serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.

Inti ucapan Mat Sabu ialah ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan yang peranannya digelapkan oleh parti pemerintah, tetapi di tangan Utusan Malaysia, tiba-tiba Mat Sabu pula yang sokong komunis!

Yayasan Warisan Johor iktiraf Mat Indera

Saya tidak perlu membuat rujukan daripada pelbagai sumber untuk membuat pendirian bahawa Mat Indera ialah seorang pejuang kemerdekaan, seperti yang disebutkan oleh Mat Sabu.

Saya hanya merujuk kepada buku biografi Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004. Di dalam buku ini terdapat 22 biografi ringkas tokoh-tokoh ternama Johor dan salah seorang daripadanya ialah Mat Indera sendiri.

Jangan tak percaya, Yayasan Warisan Johor meletakkan nama Mat Indera sebaris dengan Almarhum Sultan Ismail dan Tun Sulaiman Ninam Shah, bekas pengerusi tetap UMNO.

Malah foto Mat Indera juga menjadi sebahagian daripada kulit hadapan buku ini. Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato' Onn.

Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Dato' Abdul Ghani Othman.

Pendek kata, penerbitan buku ini mendapat restu kerajaan Johor.

Nah, saya tak pasti adakah selepas ini nama-nama ini pula akan dilabelkan sebagai pengkhianat tetapi merekalah yang bertanggungjawab mengangkat ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan.

Siapa Mat Indera

Mat Indera, atau Ahmad bin Indera lahir di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor pada tahun 1920. Beliau pernah bertugas sebagai guru agama di Parit Setongkat, Muar pada tahun 1937.

Diceritakan juga Mat Indera pernah berguru dengan Haji Yassin, ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Mat Sabu supaya bertaqwa baru-baru ini.

Di dalam peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama, Mat Indera pernah menerima anugerah butang perak daripada kerajaan Johor di atas kecemerlangannya di dalam peperiksaan tersebut. Selepas lulus peperiksaan Darjah Khas, beliau bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama.

Sewaktu pendudukan Jepun, Mat Indera bekerja sebagai peniaga beras. Setelah British kembali, Mat Indera bertugas pula sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar.

Di waktu inilah Mat Indera membabitkan diri di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada awalnya, Mat Indera dilantik menjadi Setiausaha Angkatan Pemuda Insaf (API) daerah Muar sewaktu API dipimpin oleh Ahmad Boestamam.

Ketika British menguatkuasakan undang-undang darurat pada tahun 1948, semua parti politik berhaluan kiri diharamkan, termasuklah API (UMNO masih halal ketika ini dan hanya pernah haram sekali sahaja pada tahun 1988). Secara tidak langsung, Mat Indera menjadi buruan penjajah British.

Oleh kerana hanya komunis sahaja yang berjuang menentang British di dalam hutan, tidak dapat tidak Mat Indera terpaksa menjalinkan hubungan dengan komunis.

Tindakan Mat Indera bersatu tenaga dengan komunis mencetuskan kemarahan British yang menawarkan hadiah sebanyak $25,000.00 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera.

Ibu bapa Mat Indera, adiknya Johan Shah serta datuk dan nenek Mat Indera terpaksa keluar masuk penjara selama beberapa bulan kerana disoal siasat oleh pihak British, namun Mat Indera masih gagal diberkas oleh penjajah.

Mat Indera dan Bukit Kepong

Peranan Mat Indera di dalam tragedi Bukit Kepong juga hangat diperdebatkan. Banyak teori yang dikemukakan, ada yang mengiyakan, tapi tak kurang juga yang menafikan.

Namun hampir kesemuanya bersetuju Mat Indera terbabit secara langsung menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong. Misalnya, anggota polis marin yang terselamat di dalam tragedi itu, Abu Bakar Daud menafikan bahawa Mat Indera turut menyerang anggota polis, sebaliknya Mat Indera melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada menjadi mangsa pihak komunis.

Seorang komunis Melayu, Shahran Abdul Ghani yang pernah aktif di kawasan Yong Peng mengesahkan bahawa serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong diarahkan oleh Mat Indera.

Adik Mat Indera, Johan Shah pula mendedahkan bahawa abangnya mengaku bahawa beliau (Mat Indera) bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong tetapi tidaklah sehingga ke tahap membunuh dan membakar balai polis.

Apa yang berlaku ialah orang-orang bawahannya yang berbangsa Cina telah melanggar arahan Mat Indera dan membuat pakatan rahsia tanpa pengetahuan Mat Indera.

Apa pun peranan sebenar Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong itu, pihak British telah melabelkan Mat Indera sebagai pengganas dan tawaran dinaikkan kepada $75,000.00 untuk sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera.

Rancangan demi rancangan diatur, akhirnya pada 1952, Mat Indera tertangkap setelah diperdayakan oleh rakan yang dipercayai olehnya.

Beberapa pemimpin Melayu, antaranya Kadi Haji Ahmad Shah Haji Abdul Jabar cuba memujuk Mat Indera supaya bertolak ansur dengan penjajah sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, tetapi semua ini ditolak oleh Mat Indera.

Akhirnya, Mat Indera didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953.

Tafsiran sejarah bukannya pengkhianatan

Buku ini turut memuatkan biografi tokoh yang terlibat secara langsung menangkap Mat Indera iaitu Bajuri Haji Siraj atau Sarjan Bajuri. Beliau merupakan pegawai yang terlibat untuk memberkas Mat Indera dan menerima habuan $75,000.00 seperti yang ditawarkan oleh pihak British.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Pontian dan pernah bertanding sebagai calon bebas setelah tidak terpilih sebagai calon Perikatan di dalam pilihanraya kecil Dun Pontian Kecil pada tahun 1961.

Di bahagian Pendahuluan buku ini, Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid menyifatkan bahawa kedua-dua versi cerita (Mat Indera dan Sarjan Bajuri) merupakan subjek yang amat menarik untuk terus diperbincangkan dan dibuat kajian lebih lanjut.

Ada yang menganggap Mat Indera sebagai wira dan ada pula yang menganggap Sarjan Bajuri sebagai wira. Menurut beliau, sejarah ialah apa yang ditafsirkan dan dikemukakan oleh para sejarawan berdasarkan bukti yang mereka dapati.

Katanya lagi, "proses pembuktian dan pentafsiran ini berjalan terus menerus tanpa henti selagi manusia mampu menggali dan berfikir untuk mencari 'kebenaran'".

Kebenaran inilah yang dicari oleh setiap pengkaji sejarah. Apa yang dipohon oleh Mat Sabu ialah pihak parti pemerintah memberikan gambaran yang seadil-adilnya kepada para pejuang kemerdekaan dan tidak hanya memberi fokus kepada UMNO sahaja.

Golongan kiri, golongan alim ulama' dan golongan yang "bukan UMNO" turut terbabit memperjuangkan kemerdekaan, hatta Dato' Onn Jaafar yang pernah dicop oleh UMNO sebagai boneka British juga turut berhasrat memperjuangkan kemerdekaan.

Berikanlah kepada mereka penghormatan yang sewajarnya berdasarkan neraca intelek, bukan bidasan jelik. Tidak dapat difahami mengapa tafsiran sejarah yang berbeza berasaskan hujah-hujah akademik boleh dilabel sebagai pengkhianatan, petualang dan entah apa-apa lagi.

Rasional bukan emosi

Apabila seorang tokoh politik seperti Mat Sabu memberi tafsiran sejarahnya (yang bukannya tiada asas), mengapa reaksi-reaksi yang timbul langsung tidak ilmiah malah disulami kecaman demi kecaman yang penuh emosi? Berfikirlah secara rasional dan selak kembali lembaran-lembaran sejarah yang mungkin kita terlepas pandang.

Bacalah biografi Mat Indera di dalam buku ini, betapa keperibadian Mat Indera disanjung. Latar belakangnya juga mengagumkan.

Secara jelas Ismail Adnan menukilkan bahawa "Pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negara, membelakangkan ajaran agama Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan".

Di akhir biografi ringkas Mat Indera, penulis ada menyebut "Adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? ...Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya.

Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang, bukan seorang petualang".

Kenyataan ini saja sudah membuatkan saya tertanya-tanya, adakah Yayasan Warisan Johor juga mahu menjadi pengkhianat seperti Mat Sabu? Bilakah pula agaknya Utusan Malaysia ingin mengisytiharkan Yayasan Warisan Johor sebagai pengkhianat?


http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/analysis-a-opinion/5201-kerajaan-johor-iktiraf-ketokohan-mat-indera

Tiada ulasan: