Ahad, 25 September 2011

:: @ AL-BAKISTANI @ ::

:: @ AL-BAKISTANI @ ::


PERLAKSANAAN HUDUD : SATU PERSATU, BUKAN SEKALI HARUNG

Posted: 25 Sep 2011 01:08 PM PDT

[1]

Aku kadang-kadang berfikir tentang sikap kita yang terlalu cepat sangat mahu terlaksana satu benda yang mendapat tentangan yang begitu kuat dalam keadaan kita tidak berfikir melaksanakan perkara yang kita mampu dahulu berbanding yang kita tidak mampu lagi.

Ekoran itu, aku lebih mencadangkan kita melaksanakan kebajikan rakyat terlebih dahulu berbanding berfikir melaksanakan hudud dalam sesebuah negara. Namun begitu, bukan bermakna melaksanakan kebajikan kepada rakyat, lalu diabaikan terus usaha ke arah perlaksanaan hudud. dengan erti kata lain, disamping melaksanakan kebajikan kepada rakyat, usaha penerangan tentang keadilan dan kebaikan hudud tetap dilakukan dengan serius.

[2]

Aku rasakan, penerangan tentang hudud yang mahu kita laksanakan tidaklah serius. Kelantan mengadakan program seminar setahun sekali. Peliknya, wakil DAP dan PKR, malahan UMNO dan konco-konco mereka tidak dijemput hadir untuk mendengar kupasan tentang hudud, ataupun meminta wakil mereka itu memberi pandangan terhadap hudud yang dicadangkan, walhal sejak sekian lama kita telah mengetahui bahawa hudud ini sering ditentang oleh sebilangan pimpinan mereka.

Karpal Singh yang dikenali sejak sekian lama sebagai orang yang anti-hudud, tidak pernah kedengaran sekalipun bahawa beliau dijemput majlis tersebut untuk memberi komentar terhadap undang2 Islam yang dicadangkan. Jika ini tidak dilakukan, sampai bila-bila pun penentangan terhadap hudud tetap akan berlaku.

[3]

secara peribadi, aku tidak menganggap sebagai hikmah atau bijaksana sekiranya mendesak perlaksaaan hudud secara total. Tetapi, aku lebih merasakan bijaksana sekiranya didesak perlaksaaan hudud ini berperingkat-peringkat. Dengan maksud, dengan mendesak perlaksanaan undang-undang Qazaf terlebih dahulu. Selepas kejayaan perlaksaaan undang2 Qazaf, didesak pula perlaksaan hukuman terhadap penzina. Setelah itu, didesak pula hukuman terhadap pencuri dan seterusnya kejayaan perlaksanaan Islam secara total berjaya.

Aku kira, kalau cara ini yang dilakukan, mungkin penolakan terhadap hudud tidak akan berlaku.

sekian

Wallahu 'Alam



MASYARAKAT MAJMUK TIDAK BOLEH LAKSANAKAN ISLAM?

Posted: 24 Sep 2011 09:39 PM PDT

[1]

Dalam tahun lepas, masjid "terapung" di Puchong Perdana adalah menganjurkan satu forum. Aku dijemput menjadi panel untuk digandingkan bersama Bekas Pengarah Yadim yang merupakan agamawan ternama dalam UMNO. Beliau adalah bekas Naib Presiden PAS di suatu ketika masa dahulu. Di zaman Tun Dr Mahathir menjadi PM, boleh dikatakan penasihat agama yang terpenting. Beliau adalah Dato' Haji Nakhaie Haji Ahmad.

Dalam forum tersebut, antara perkara yang dibangkitkan oleh Dato' Nakhaie adalah tentang sukar perlaksanaan Islam di Malaysia dengan alasan masyarakat majmuk. Alasan lapok ini pernah aku dengar semasa sedang menuntut di Pondok dahulu.

Apabila sampai kepada giliranku, kejayaan perlaksanaan Islam di Madinah menjadi focus ulasanku. Dalam hujjahku, Madinah berjaya dilaksanakan Islam berbanding makkah, walhal masyarakat majmuk itu berada di Madinah, bukan di Makkah. Hujjahku itu tidak dibalas oleh Dato' Nakhaie, tetapi dikupas oleh beliau tentang perselisihan di kalangan umat Islam dalam beberapa isu kecil, seperti isu wahabi dan sebagainya.

[2]

Aku secara peribadi, meyakini kebaikan dan keadilan hudud. Non Muslim juga tidak perlu takut dengan hudud, malahan mereka sepatutnya juga sokong hudud ini.

Aku sering mengumpamakan orang yang tidak mahu hudud ini seperti seorang yang tidak pernah makan cili atau lada. Ia sering dimomokkan bahawa lada itu pedas sehingga menyebabkan dia bukan sekadar tidak mahu makan, tetapi terlalu takut dengan lada. Lalu, apabila dia termakan sekali, dia mula merasakan betapa sedapnya lada itu. Akhirnya, dia sendiri akan mencari lada apabila hendak makan.

Hudud ini ditakuti kerana dimomokkan jahat oleh orang Islam yang tidak bertanggungjawab. Ia tidak mahu dilaksanakan, tetapi dijadikan perkara yang dipolitikkan. Ia digunakan sebagai modal untuk menundukkan musuh politik.

Rakyat jadi takut dengan hudud, kerana perkara yang dibangkitkan adalah keburukkan yang sedikit berbanding kebaikan yang banyak. Apabila keburukkan yang sedikit itu sering dibangkitkan sehingga kebaikan yang banyak itu dikaburkan, menyebabkan hudud yang baik sudah dilihat buruk oleh masyarakat.

Ia seperti orang yang hendak membeli kereta, tetapi sering dimomokkan dalam pemikiran pembeli itu bahawa tayar kereta yang bakal dibeli akan pancit atas bukit grik yang gajah, harimau dan berbagai-bagai lagi binatang buas ada. Disebabkan momokkan itu terlalu banyak, memberi kereta pun tak jadi.

Keadaan yang sama juga berlaku pada hudud. Pihak yang memomokkan itu membesarkan keburukkan yang kecil, seperti sakit potong tangan, sakit kena sebat dan itu dan ini, tetapi mereka abaikan keadilan sejagat dalam masyarakat, pengurangan kadar jenayah, menyelamatkan perasaan dendam dalam diri keluarga mangsa jenayah dan sebagainya. Apabila ini dilakukan, tidak pelik keadilan hudud semakin malap. Ekoran itu, ia dibenci sekian lama.

Tiada ulasan: