:: @ AL-BAKISTANI @ :: |
[CADANGAN] KELANTAN JUARA DEMOKRASI SEGAR !! Posted: 22 Sep 2011 03:31 PM PDT [1] Dalam sejarah khilafah islam yang empat, didapati cara perlantikan keempat-empat tokoh itu tidak sama antara satu dengan yang lain. Perjalanan perlantikan yang paling menarik dari perlantikan semua khalifah ini adalah saat perlantikan Saidina Osman. Dalam hadis riwayat Al-Bukhari, didatangkan satu hadis yang cukup panjang. Iaitu dari seorang sahabat bernama Amru bin Maimun. Dalam hadis tersebut, diceritakan tentang sejarah perlantikan Saidina Osman bin Affan sebagai Khalifah. Diceritakan bahawa Saidina Umar telah menamakan enam orang sebagai calon Khalifah selepas kemangkatan beliau. Enam orang itu adalah Ali bin Abi Talib, Osman bin Affan, Az-Zubair bin Al-Awwam, Talhah, Saad dan Abdur Rahman bin Auf. Setelah ditapis dikalangan para sahabat terhadap keenam-enam sahabat tersebut, yang kekal layak untuk menjadi khalifah adalah dua orang, iaitu Saidina Ali bin Abi Talib dan Saidina Osman bin Affan. Lalu bagi memastikan siapakah yang lebih layak dari kedua-dua tokoh ini, Abdur Rahman bin Auf telah menghimpun pandangan rakyat berdasarkan kepada pandangan ketua-ketua dan orang-orang mulia dari kalangan mereka. Usaha Abdur Rahman menghimpunkan pandangan tersebut berlanjutan selama tiga hari tiga malam. Kesungguhan Abdur Rahman bin Auf itu sehingga beliau tidak cukup tidur, malahan sempat menunaikan solat dan berdoa meminta bantuan Allah SWT bagi member keputusan yang baik. Setelah selesai menghimpun semua pandangan-pandangan manusia ketika itu, didapati orang yang lebih layak menjadi Khalifah selepas Saidina Umar adalah Saidina Osman bin Affan. Makanya, tertaballah Saidina Osman sebagia Khalifah yang ketiga. (Al-Bukhari dalam kitab Fadhail Sahabat dan Kitab Ahkam). [2] Dari hadis ini, kita dapati Saidina Umar tidak menamakan seorang sahaja tokoh calon untuk Khalifah selepasnya. Sebaliknya, beliau mencalonkan beberapa nama untuk diserahkan kepada para sahabat untuk menentukan khalifah yang terlantik. Namun begitu, para sahabat hanya berjaya menapiskan kelayakan itu sehingga mereka sukar untuk menentukan antara dua, iaitu Saidina Ali dan Saidina Osman, manakah yang lebih layak untuk jawatan Khalifah. Ekoran itu, Abdur Rahman bin Auf telah mengambil sikap menyerahkan pemilihan dua tokoh ini kepada rakyat jelata sehingga keputusan menyatakan bahawa Osman adalah Khalifah yang terlantik. Cara ini agak unik dan amat sesuai dengan pengamalan dalam budaya politik demokrasi pada hari ini. Di amerika, seseorang presiden Negara mereka dipilih oleh rakyatnya. Begitujuga diamalkan di Indonesia dan beberapa Negara yang lain. Keadaan ini agak berbeda dengan Malaysia. Ini kerana, perlantikan seseorang Perdana Menteri atau Menteri besar, ia tidak melalui saluran rakyat jelata, tetapi tertumpu kepada keputusan parti yang menang dalam pilihanraya. Dalam kes Kelantan, aku mencadangkan PAS memulakan langkah demokrasi segar di Malaysia. Iaitu, tertumpu kepada perlantikan Menteri besar selepas Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Dengan maksud, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menamakan beberapa orang calon untuk jawatan tersebut, kemudian keputusannya itu diserahkan kepada rakyat Kelantan. Atau dalam erti kata yang lain, selepas kemenangan PAS di Kelantan kelak, diadakan pilihanraya diperingkat negeri dalam menentukan siapa yang layak menjadi Menteri Besar. [3] Ataupun, dicadangkan kepada Kelantan dan negeri-negeri Pakatan rakyat yang lain, agar melakukan tindakan yang agak sama, tetapi berlainan sikit dari sudut mekanisma. Dengan maksud, setelah kemenangan pakatan rakyat memerintah Malaysia/negeri nanti, setiap parti-parti dari pakatan rakyat mencalonkan Perdana Menteri/menteri besar masing-masing, kemudian berlaku pilihanraya sekali lagi dalam menentukan Perdana Menteri/menteri besar mengikut undian rakyat jelata. Ini sekadar cadangan sahaja, tidak semestinya ia adalah yang terbaik. Namun, sebagai rakyat Malaysia, aku berharap budaya demokrasi segar sebegini dapat diamalkan. Sekian Wallahu 'Alam |
You are subscribed to email updates from :: @ AL-BAKISTANI @ :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan