Isnin, 22 Ogos 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Fitnah Liwat II : Najib dan Isteri Disepina

Posted: 22 Aug 2011 06:26 PM PDT



KUALA LUMPUR 22 OGOS : Pasukan peguambela perbicaraan kes fitnah liwat II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil keputusan mengemukakan notis sepina kepada tujuh orang saksi termasuk Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor.

Antara lain termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Mohd Rodhwan Mohd Yusof.

Peguambela Karpal Singh memaklumkan kepada media bahawa perintah mahkamah itu telah dikeluarkan Jumaat lalu.

Katanya pihaknya turut memohon sepina dikeluarkan kepada doktor Hospital Pusrawi, Dr Mohamad Osman Abdul Hamid, jururawat Yazihan Jusoh dan seorang pembantu rumah dari Indonesia yang dikenali sebagai 'Suliati'.

Najib dan Rosmah sebelum ini hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk ditemuramah pasukan pegumabela.

Pada sesi tersebut mereka menyatakan keengganan untuk memberi keterangan sebagai saksi dan perkara yang sama dilakukan oleh Musa dan Mohd Rodwan.

Karpal yakin kesemua mereka akan hadir ke mahkamah dan sekiranya enggan waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mereka.

Sementara itu, Anwar menyatakan keputusannya untuk memberi keterangan dari kandang tertuduh adalah disebabkan ketidakyakinan beliau terhadap proses undang- undang akan berlangsung secara adil.

Katanya, integriti perbicaraan yang kini masuk ke peringkat membela diri masih dipertikaikan termasuk keputusan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah yang sering dilihat mengabaikan prosiding mahkamah.
"Saya harap hakim mempertimbangkan kerana ianya kenyataan utama. Saya melihat tidak ada sebab untuk berserah kepada sistem melainkan dikeluarkan secara paksa.

"Pandangan saya pada prosiding mahkamah, konspirasi oleh Perdana Menteri dan isteri, bukti yang diubahsuai dan penaklukan media. Jadi ianya jelas merupakan kelemahan warganegara terhadap kuasa pemerintah," ujar beliau kepada media.

Pada tahun 1998, peguam Anwar pernah membuat cubaan untuk membawa Tun Mahathir Mohamed yang memegang jawatan sebagai perdana menteri pada ketika itu ke mahkamah untuk memberi keterangan.

Walau bagaimanapun permintaan tersebut diketepikan oleh hakim sendiri dengan alasan bahawa Mahathir bukan seorang saksi yang penting.

Dalam pada itu, Pakar forensik dan ahli patologi, Dr David Wells dan pakar DNA, Dr Brian Mc Donald akan mengambil tempat di kandang saksi esok, memberi keterangan diikuti dengan doktor Hospital Pusrawi, Mohd Osman Abdul Hamid.

Mahkamah bersambung jam 9 pagi ini.


Chegubard : Tidak Sedia Jadi Calon, Khairy Pengecut

Posted: 22 Aug 2011 01:28 AM PDT




SHAH ALAM 22 OGOS : Tindakan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyatakan kesedianya menerima keputusan kepimpinan untuk tidak meletakkannya sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang jika bukan dianggap calon boleh menang disifatkan sebagai tidak wajar.

Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin berkata, ini kerana apa yang dilakukan Khairy adalah amalan lazim dalam parti Umno yang tidak memahami demokrasi dan kehendak rakyat sebenar.

"Sebenarnya mereka tidak memahami demokrasi dan kehendak rakyat, seharusnya selaku ketua Pemuda Umno dan bertaraf Naib Presiden Umno, Khairy sepatutnya menunjukkan sikap bahawa Umno itu menghormati demokrasi akar umbi"katanya memberitahu Tv Selangor.

Menurut Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard, Khairy sepatutunya yakin dengan kuasa akar umbi dalam menentukan dirinya kekal bertanding di kerusi Rembau dan bukannya membuat kenyataan akur dengan segala keputusan pucuk pimpinan sekaligus menafikan amalan demokrasi akar umbi.

"Dia (Khairy)tidak seharusnya menunjukkan sikap akur dengan teruja pada kedudukan presiden Umno dengan keadaan sedemikian rupa, sebaliknya dia harus memberi kenyataan bahawa dia yakin dengan jentera akar umbi di peringkat Rembau yang mahukan dia bertanding dengan khidmat yang dilakukan selama ini,"ujarnya.

Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata beliau sanggup menerima keputusan kepimpinan untuk tidak meletakkannya sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang jika bukan dianggap calon boleh menang.

Beliau berkata keputusan mengenai calon terletak di tangan Presiden Umno merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempunyai kata putus berhubung siapa calon yang membolehkan Umno dan Barisan Nasional (BN) menang.

"Jika Presiden Umno memutuskan saya bukanlah calon yang boleh menang, saya terima keputusan itu," katanya kepada pemberita pada satu majlis di Kota Bharu malam tadi, lapor Bernama Online.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Chegubard menjelaskan kenyataan seumpama itu adalah amalan lazim calon Umno dalam memastikan kedudukan mereka terus kekal walaupun menafikan hak akar umbi dalam sistem demokrasi yang sihat.

"Ini hanyalah pengulangan episod-episod lama yang mana kisahnya terpulang kepada presiden, "putih bagi presiden, putihlah kepada kami", hitam bagi presiden, hitamlah bagi kami", tetapi kepada rakyat apa jadi, kepada orang bawahan Umno apa jadi? Apa yang jelas pihak tertinggi tidak akan dengar dan peduli dengan suara mereka," jelasnya.

"Inilah yang pada akhirnya apabila selepas pilihanraya semua perkara adalah betul dan tidak boleh ditegur oleh akar umbi, saya lebih saya lebih suka menarik perhatian rakyat kearah itu daripada menyetuh isu polimik dalam Umno yang tidak pernah sudah da semakin meruncing sejak multakhir ini." tambahnya.

PR Adakan Mesyuarat Tergempar Bincang Ketidakikhlasan Najib

Posted: 22 Aug 2011 01:22 AM PDT



SHAH ALAM 22 OGOS : Satu perbincangan mengenai ketidakikhlasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Umno-Barisan Nasional (BN) melakukan reformasi sistem pilihanraya sebelum pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pada Rabu ini.

Pakatan Rakyat membuat keputusan tersebut ekoran kenyataan perdana menteri bahawa pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa dan ia tidak perlu menunggu keputusan jawatankuasa khas parlimen mengenai reformasi pilihan raya.

Ketua penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi menimbang penyertaan dalam Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC).

Katanya, ini kerana beliau berpendapat, ianya tidak membawa sebarang makna setelah perdana menteri membuat kenyataan sedemikian sambil menyuarakan kekesalan PAS.

"Kenyataan tersebut membuktikan sikap sebenar kerajaan terhadap tuntutan rakyat agar sistem pilihanraya yang bersih dan adil dapat diwujudkan, sebelum PRU akan datang.

"Tujuan utama Jawatankuasa Khas ini ialah merumus satu sistem pilihanraya yang adil dan bersih, setelah pelbagai kelemahan dibongkar.

"Apa guna dibentuk jawatankuasa Khas, sekiranya kerajaan sudah memberikan bayangan jelas bahawa pilihanraya umum akan diadakan sebelum jawatankuasa itu menyiapkan laporan dan sekaligus memberikan petanda yang jelas bahawa sememangnya kerajaan BN tidak bersedia untuk menerima dan memperbaiki kelemahan yang ada," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Tuan Ibrahim, adalah mustahak bagi rakyat bahawa inisiatif mengatasi kelemahan dan hilangnya keyakinan mereka terhadap sistem pilihanraya yang ada kini diperbetulkan terlebih dahulu supaya satu perjalanan sistem pilihanraya yang bersih dan adil di Malaysia dapat dijalankan.

"Sekiranya tidak, apa gunanya rakyat mengundi sekiranya keputusan pilihanraya bukan keputusan yang membayangkan hasrat mereka sebenar di akar umbi, tetapi hasrat pengundi hantu dan warga asing yang berlambak untuk memenangkan calon parti tertentu," tambahnya.

Tegasnya, kerajaan harus menyedari kemarahan rakyat dan tuntutan dalam perhimpunan aman BERSIH 2.0 baru- baru ini.

"Sikap kerajaan yang menolak diadakan pilihanraya sebelum sistem diperbaiki sudah tentu akan mengundang kemarahan rakyat dan tahap kebolehpercayaan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan terus merosot.

"Keadaan ini sangat tidak baik bagi negara, dan terutamanya kerajaan memerintah dan tidak mustahil parti- parti dalam Pakatan Rakyat akan menarik diri ekoran kenyataan Perdana Menteri.

"Ketidakikhlasan kerajaan Barisan Nasional ini juga dijangka akan mempercepatkan bantahan rakyat, justeru menyemarakkan semangat untuk himpunan BERSIH 3.0 diadakan," tambahnya.

Ujarnya lagi, PAS menegaskan bahawa kerajaan tidak patut dan sememangnya "ia amat tidak bertanggungjawab untuk membubarkan Parlimen dalam keadaan mereka sedar bahawa sistem pilihanraya negara kita sememangnya tempang berhadapan dengan kelemahan dan kepincangan yang pelbagai.

"Sila perbaiki dahulu beberapa kelemahan yang utama, barulah diadakan pilihanraya ke 13, demi rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat," katanya.

Isu Gereja : Saya Tidak Akan Minta Maaf, Kata Mustafa

Posted: 22 Aug 2011 01:21 AM PDT


KUALA LUMPUR 22 OGOS : Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali hari ini menegaskan beliau akan tetap dengan pendirianya bahawa Umno terlibat dalam pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya awal bulan ini.

Malah, beliau bersedia untuk bertemu parti Melayu terbesar itu di mahkamah.

Menurut Mustafa, beliau juga tidak akan memohon maaf atau menarik balik dakwaan dilemparkan terhadap Umno sebelum ini.

Sebaliknya, beliau tetap bertegas untuk mempertahankan dakwaannya itu.

"Kita jumpa di mahkamah, kalau nak saman itu hak dia (Umno Selangor), saya tidak akan minta maaf dan saya kekal dengan pendirian saya sebelum ini, kita jumpa di mahkamah," katanya dipetik The Malaysian Insider.

Tegasnya lagi, beliau akan mengemukakan bukti itu ke mahkamah.

"Saya akan kemukakan bukti ke mahkamah jika dibawa ke mahkamah," ujarnya.

Hari ini, Umno Selangor berkata pihaknya akan memfailkan saman RM10 juta terhadap Mustafa berhubung dakwaan kononnya parti itu memainkan peranan dalam tindakan Jais ke atas pemeriksaan di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.

Menurut Setiausaha Umno Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed, selain Mustafa, pihaknya juga akan mempertimbangkan pihak-pihak lain dalam saman yang akan difailkan selepas Aidilfitri.

Awal minggu lalu, Mustafa dalam satu sidang media di Kuala Terengganu mendakwa Umno berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan oleh Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama.

Beliau juga mengatakan Umno memainkan peranan dalam mempolitikkan isu itu ekoran tindakan Jais yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas gereja itu.

Tambah Mustafa, beliau sedia mendedahkan maklumat campur tangan Umno kepada Pengarah Jais Marzuki Hussin pada satu pertemuan yang dijadual untuk diadakan minggu lalu.

Tetapi ia ditangguhkan buat sementara waktu sehingga siasatan Jais selesai.

Gereja Methodist Damansara Utama menjadi tumpuan sejak beberapa minggu lalu selepas Jais melakukan pemeriksaan ke atas satu majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti di premis itu.

Jais berkata tindakan mereka hanya bersifat pemeriksaan tetapi pengurusan gereja mendakwa agensi itu melakukan serbuan.

Kes liwat kedua konspirasi Najib, kata Anwar

Posted: 22 Aug 2011 01:20 AM PDT

Kes liwat kedua konspirasi Najib, kata Anwar

August 22, 2011

KUALA LUMPUR, 22 Ogos — Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keterangan dari kandang tertuduh dengan mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengikut langkah Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menamatkan kerjaya politiknya agar Barisan Nasional (BN) dapat terus berkuasa.

Bekas timbalan perdana menteri ini menegaskan demikian dalam keterangan yang dibuat dari kandang tertuduh pagi tadi.

Anwar, kini Ketua Pembangkang, merupakan saksi utama pada prosiding peringkat pembela yang bermula hari ini.

Katanya, beliau memilih untuk memberi keterangan dari kandang tertuduh sebab tiada keyakinan akan diberi perbicaraan yang adil.

Kata Anwar, keseluruhan proses mahkamah tidak lain tidak bukan satu konspirasi Najib untuk menghantar beliau semula ke penjara dan mengakhiri kerjaya politik.

"Sebagaimana saya telah saya katakan, ini bukan perbicaraan jenayah. Ia diatur oleh kuasa-kuasa yang mahu saya tidak lagi dapat bergerak, agar mereka boleh kekal berkuasa," katanya dengan berkata Dr Mahathir, bekas perdana menteri, telah mengambil tindakan yang sama pada akhir 1990an.

Dr Mahathir memecatnya pada September 1998 dan kemudian berhadapan dengan tuduhan salah guna kuasa dan kes liwat.

PRU-13 Tidak Boleh Diadakan Sebelum PSC Laksana Tugas - Dr Abu Hassan

Posted: 22 Aug 2011 01:10 AM PDT


KUALA LUMPUR 22 OGOS : Pilihan raya umum ke- 13 tidak boleh diadakan selagi Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) belum selesai melakukan reformasi terhadap sistem pilihan raya negara ini, menurut Pensyarah di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah.

Dr. Abu Hassan berpandangan Perdana Menteri Najib Razak harus menyelesaikan segala tuntutan rakyat dan apa sahaja isu berbangkit termasuk mencapai matlamat penubuhan PSC terlebih dahulu, sebelum mengadakan pilihan raya.

"Proses pilihan raya tidak boleh berlaku setelah penyelesaian-penyelesaian dan kritikan pilihan raya di negara ini diselesaikan terlebih dahulu oleh jawatankuasa khas parlimen (PSC) ini kerana itu adalah matlamat yang sebenarnya.

"Kita harus melihat proses transformasi politik dan juga melihat pihak kerajaan mengatakan setiap perkara harus melakukan transformasi sama juga dengan suruhanjaya pilihan raya (SPR) setiap perkara harus mempunyai transformasinya," katanya ketika dihubungi TV Selangor tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendirian Najib bahawa pilihan raya umum boleh diadakan bila- bila masa dan tidak akan bergantung pada kata sepakat yang akan dicapai dalam prosiding PSC, bersabit sistem pilihan raya negara.

Jawatankuasa seliaan Parlimen itu yang akan dibentuk Oktober depan sudahpun menerima pelbagai kritikan setelah Najib dilihat seolah- olah tidak serius dalam menambahbaik ketempangan sistem pilihan raya.

Ketidakseriusan Najib terhadap penubuhan jawatankuasa itu dikuatkan lagi dengan kenyataanya bahawa PSC akan terbubar dengan sendirinya jika berlakunya pembubaran Parlimen.

Ini bermakna, jika Parlimen dibubarkan sebelum jawatankuasa PSC melakukan sebarang perubahan, segala cadangan penambahbaikan itu akan terkubur begitu sahaja.

"Jawatankuasa khas parlimen (PSC) ini harus dihormati, dan proses penambahbaikan pada sistem pilihan raya di negara ini melalui perbincangan PSC hendaklah dilakukan secara akademik.

"Saya berpendapat sebaik-baiknya proses pilihan raya ini berlaku selepas PSC ini berjaya menyelesaikan beberapa krisis dan desakan yang sangat penting ini," katanya.

Dalam pada itu, Dr. Abu Hassan turut menggesa ahli panel yang menyertai jawatankuasa ini agar meletakkan aspek kematangan berpolitik sebagai asas dan tidak berat sebelah dalam mencari penyelesaian kearah memperbaiki sistem pilihan raya.

"Kedua-dua pihak harus jujur, harus budiman untuk duduk membicangkan permasalahan ini dan kemungkinan diketuai oleh ketua akademiknya, tokoh-tokoh dan pihak-pihak tertentu kalau sekiranya mempunyai masalah untuk melantik ahli politik sebagai pengerusi kepada jawatankuasa ini.

"Maka secara akademiknya ialah kita mahu lihat kematangan demokrasi kedua-dua pihak, pihak memerintah (BN) dan pihak alternative (PR), kerana apa yang penting sekarang ialah untuk menghasilkan dan mewujudkan peradaban demokrasi yang jauhari lagi budiman iaitu yang mempunyai ruang kepada semua orang."

Tiada ulasan: