Selasa, 16 Ogos 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Tiada PRU hingga panel Parlimen selesai misi, Najib susun strategi

Posted: 16 Aug 2011 06:42 PM PDT


August 17, 2011

ANALISIS, 17 Ogos — Di sebalik Himpunan Bersih 2.0 yang menuntut pembaharuan sistem pilihan raya ekoran dakwaan terlalu banyak kepincangan dan kekurangan terutama menyentuh daftar pemilih, pentadbiran Najib yang pada awalnya menolak tuntutan itu akhirnya cuba melakukan perubahan.

Walaupun cuba tidak melaksanakan tuntutan Bersih 2.0 secara langsung, namun pengumuman Datuk Seri Najib Razak kelmarin dilihat usaha memperbaiki "kesilapan" pentadbirannya mengendalikan perhimpunan bulan lalu.

Bagaimanapun langkah Najib itu dilihat masih belum memberi isyarat jelas sama ada pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Penganalisis politik melihat ia bergantung kepada gerak kerja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menjawab teka-teki ini, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya Prof Dr Redzuan Othman berpandangn, Najib akan memanggil pilihan raya umum sekiranya "suasana sokongan" tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Jelas beliau, pilihan raya umum ke-13 tidak mungkin akan diadakan tahun ini kerana suasana politik negara tidak memihak kepada BN.

"Langkah Perdana Menteri mahu menubuhkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen wajar kerana agenda mahu bersihkan sistem pilihan raya adalah agenda semua parti baik BN atau Pakatan Rakyat, termasuk juga rakyat.

"Kalau anda tanya bila pilihan raya umum akan diadakan, pada saya Perdana Menteri akan lihat suasana sokongan, kalau sokongan itu ada sudah pasti beliau akan mengadakan pilihan raya umum ke-13 secepat mungkin tapi saya tidak lihat ia akan diadakan tahun ini," katanya kepada The Malaysian Insider.

Kelmarin, Najib mengumumkan penubuhan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang syak wasangka wujudnya manipulasi oleh kerajaan.

Jelas Redzuan, "suasana sokongan" pada Najib dan BN pada masa ini tidak memihak kepada pemerintah dan sudah tentu ia akan memberikan kesan sekiranya pilihan raya umum ke-13 diadakan dalam tempoh terdekat.

"Bergantung kepada suasana sokongan itu, buat masa sekarang ia tidak memihak dan saya tidak nampak pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam tempoh terdekat.

"Saya percaya kalau suasana itu memihak kepada beliau (Najib), pilihan raya umum ke-13 akan dipanggil," katanya.

Di sebelah lain, pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berpendapat pilihan raya umum berkemungkinan akan diadakan pada suku pertama tahun depan. Namun ia bergantung kepada pembaharuan yang dilakukan SPR, katanya.

Jelas beliau, adalah wajar Najib tidak memanggil pilihan raya umum sehingga SPR melaksanakan pembaharuan yang sepatutnya.

"Kalau nak kata pilihan raya umum ke-13 awal tahun saya rasa ia bergantung kepada SPR, kalau proses penambahbaikan itu mengambil masa saya tidak nampak ia akan diadakan pada awal tahun.

"Tapi kalau betul nak buat perubahan, saya rasa kalau SPR cepat lakukan pembaharuan dan penambahbaikan sistem yang ada baru pilihan raya umum boleh diadakan awal tahun depan, semuanya bergantung kepada SPR," katanya.

Sehubungan itu kata Azizuddin, pentadbiran Najib perlu serius dan membuktikan kepada rakyat bahawa BN benar-benar komited mahu melakukan perubahan sistem pilihan raya.

"Kerajaan perlu tunjukkan bahawa kerajaan betul-betul telus mahu lakukan pembaharuan sistem pilihan raya, kerajaan perlu tunjukkan kerajaan betul-betul komited dan saya percaya kerajaan cuba pulihkan imej," katanya.

Jelas beliau, pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan pada suku pertama tahun depan, namun ia tetap bergantung pada SPR.

"Boleh diadakan pada suku tahun pertama tapi sekurang-kurangnya SPR dapat selesaikan isu-isu yang penting, jika tidak kerajaan kena tunggu.

"Kalau tidak selesai apa maknanya kerajaan panggil pilihan raya," katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Ghazali Mayhuddin berkata, banyak perkara yang perlu diselesaikan oleh SPR dan Najib tidak boleh memanggil pilihan raya umum ke-13 sekiranya ia belum selesai.

Justeru beliau percaya, pilihan raya umum ke-13 tidak akan diadakan pada suku pertama tahun depan.

"Mungkin tidak juga kerana kalau kita lihat banyak pembaharuan yang perlu dilakukan dan ia mengambil masa... dan sudah tentu masa yang akan diambil itu agak panjang.

"Ia juga bergantung kepada bentuk pembaharuan itu, kalau nak buat secara menyeluruh sudah tentu pilihan raya umum tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat kecuali kalau ia melibatkan perkara-perkara yang kecil," katanya.

Bersih 2.0: SKMM panggil jurufoto Suara Keadilan bantu siasatan

Posted: 16 Aug 2011 06:02 AM PDT

Bersih 2.0: SKMM panggil jurufoto Suara Keadilan bantu siasatan

August 16, 2011

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Seorang jurugambar Suara Keadilan milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) dipanggil memberi keterangan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung gambar yang dirakamkan semasa perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, jurugambar itu Yusriah Yusof, 50, mengesahkan perkara itu dan akan hadir memberi keterangan kepada SKMM pada Jumaat ini.

Dalam arahan kehadiran yang difakskan kepada Yusriah, dia diminta hadir bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Ya... saya telah diminta hadir untuk memberikan keterangan mengenai gambar pada Himpunan Bersih 2.0 tapi saya tidak diberitahu gambar yang mana satu.

"Pegawai (SKMM) mengatakan gambar kecederaan tapi tidak nyatakan gambar yang mana satu, saya kata banyak gambar cedera tapi pegawai itu minta saya hadir ke pejabat SKMM," katanya.

Kata Yusriah, dia tidak menolak kemungkinan gambar yang dimaksudkan itu adalah gambar kecederaan yang melibatkan pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Fayyadh Afiq Albakqry.

"Mungkin ia gambar pembantu peribadi Anwar semasa Himpunan Bersih 2.0," katanya.

Pada Himpunan Bersih 2.0, Fayyadh mengalami kecederaan teruk di muka dan hancur tulang pipi selepas terkena kanistes gas pemedih mata.

Sebanyak lima plat besi dimasukkan di tulang pipi Fayyadh di mana hampir 12 kanister gas pemedih mata dilepaskan di dalam terowong di KL Sentral dan tiga terkena di mukanya dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang cedera di kepala.

Pertanyaan sesi Parlimen terakhir untuk anak seorang bangsawan

Posted: 16 Aug 2011 05:49 AM PDT

Ooi Heng

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-12 (2011) berkemungkinan besar merupakan sesi Parlimen terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ketiga Belas (PRU Ke-13) diadakan. Mengikut takwim Parlimen, Dewan Rakyat dijadualkan untuk bersidang mulai 3 Oktober 2011 sementara Perdana Menteri (PM) merangkap Menteri Kewangan Najib Razak akan membentangkan Belanjawan Negara 2012 pada petang 7 Oktober 2011.

Ramai yang menjangkakan bahawa Belanjawan akan datang merupakan "belanjawan pilihan raya" di mana pelbagai "gula-gula PRU Ke-13" akan diumumkan untuk menawan hati para pengundi. Belanjawan pilihan raya lumrahnya juga dianggap sebagai mempunyai kecenderungan bersifat populis. PM sendiri, seawal bulan Mei tahun ini, sebelum gelombang tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya menguningkan sebahagian besar halaman Facebook sebelum dan selepas perhimpunan besar-besaran BERSIH 2.0 pada 9 Julai, telah menyatakan bahawa Belanjawan 2012 "adalah inklusif, bertumpukan rakyat dan meningkatkan langkah-langkah transformasi", seakan-akan cadangan yang dibentangkan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) berhubung pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB) telah diterima pakai dan kuota Bumiputera yang termaktub dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) semenjak tahun 1970 telah dimansuhkan. Seolah-olah sifat inklusif telah mencorakkan keseluruhan langkah-langkah transformasi dan memanfaatkan segenap rakyat jelata tanpa dipengaruhi faktor-faktor seperti politik naungan, budaya rent-seeking dan perbezaan etnik.

Tatkala itu, agensi penarafan Standard & Poor (S&P) masih belum menurunkan penarafan kredit Amerika Syarikat daripada AAA kepada AA+, trend jualan saham masih belum menyaksikan pasaran saham sedunia, serantau dan dalam negara jatuh secara drastik melibatkan kehangusan nilai berpuluh-puluh bilion, bank pelaburan Goldman Sachs masih belum mengkaji semula dan menurunkan anggaran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini dan tahun depan.

Tatkala itu juga, PM masih mimpikan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan mencapai sasaran 6% tahun ini. Dasar "rasionalisasi subsidi" Kerajaan UMNO-BN yang pro-korporat dan membebankan rakyat masih mendominasi dunia buzzword dan hangat dipertahankan oleh ahli politik, badan pemikir dan ahli akademik yang tidak tergolong dalam kategori isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2300 atau secara purata RM1500.

Selepas Buku Jingga Pakatan Rakyat (Pakatan) menyarankan untuk "merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat", dan dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu, kini, Najib sebagai "anak seorang PM" yang berlatar belakangkan golongan bangsawan dan menjalani kehidupan mewah sedang berbicara tentang bagaimana kerajaan "akan terus menyediakan subsidi bagi mengurangkan beban rakyat antaranya seperti pemberian subsidi minyak, makanan, bil perubatan", lantas memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) baharu dan ketujuh iaitu "Perangi Kos Kehidupan". Kakitangan kerajaan pula diberikan bonus setengah bulan atau sekurang-kurangnya RM500 pada bulan Ramadhan setelah tiga tahun berturut-turut tidak diberikan bonus.

Ciplak atau kebetulan? Buku Jingga Pakatan juga menjanjikan pemberian RM500 yang didakwa ahli politik dan badan pemikir kerajaan kononnya akan membangkrupkan negara! Buku Jingga "mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru pendidik bangsa." Kalau begitu, apakah pemberian bonus, gula-gula pilihan raya dan subsidi berbentuk insentif kepada syarikat kroni oleh kerajaan tidak membangkrupkan negara? Kalau begitu, apakah pemberian "duit raya" sejumlah RM42.6 juta kepada seramai 112,635 peneroka akan membangkrupkan FELDA?

Tentu tidak! Sebab pemberian-pemberian sedemikian bukan punca kepada kelembapan ekonomi negara. Yang menjadi penghalang kepada pertumbuhan ekonomi ialah masalah struktur seperti yang dibangkitkan oleh Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Rafizi Ramli (gambar kiri) dalam kenyataannya bertajuk "Prestasi ekonomi mutakhir menjadi petanda kegagalan dasar ekonomi Najib" pada 10 Ogos 2011, bahawa setakat ini, 77% daripada 10 projek terbesar yang menelan pelaburan RM142 bilion, yang diumumkan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) akan dilaksanakan dan dibiayai oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), lantas "membuktikan bahawa sasaran 92 peratus pembiayaan swasta itu tidak lebih dari angka-angka untuk kempen politik yang sudah tentu tidak akan dicapai".

Yang menjadi penghalang kepada transformasi ekonomi dan negara ialah budaya berbau monopolistik seperti yang dibangkitkan oleh Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dalam kenyataannya bertajuk "Pakatan Malaysia Airlines dan AirAsia: Berbau monopolistik atau selamatkan ekonomi negara?" pada 12 Ogos 2011, yakni wacana baharu di sebalik penggubalan Akta Persaingan 2010 yang diluluskan pada bulan Mei 2010 dan berkuatkuasa pada 1 Januari 2012 adalah bahawa, negara perlu memainkan peranan untuk menyediakan suasana persekitaran ekonomi yang menggalakkan persaingan yang sihat untuk membangunkan ekonomi negara dan bukannya menggalakkan amalan berbau monopolistik yang membantutkan semangat persaingan kompetitif. Tetapi sehingga hari ini kita masih menyaksikan realiti yang sebaliknya dalam banyak kes.

Apabila diteliti Belanjawan Negara yang dikemukakan semenjak Najib, anak seorang bangsawan, memegang jawatan Menteri Kewangan, trend projek mega yang bersifat membazir dan pro-kroni besar serta kekurangan ketelusan yang sewajarnya dalam kebanyakan tatakelola dan urusan kewangan masih mencorakkan kerangka pengurusan dan pembangunan ekonomi. Lantaran itu, defisit fiskal tahun ini yang disasarkan pada 5.4% oleh anak seorang bangsawan pasti menghampakan rakyat yang prihatin terhadap status kewangan negara. Dalam konteks ini juga, dakwaan wang zakat digunakan untuk membiayai kos guaman pegawai tinggi kerajaan ekoran ketidaktelusan pentadbiran wang zakat masih tidak dijawab sepenuhnya.

Begitu juga, kemelut yang melanda Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Dawama Sdn. Bhd, yang melibatkan pekerja Dawama tidak dibayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan seumpamanya, masih menanti-nanti jawapan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan "anak seorang PM dan bangsawan" berhubung pertanyaan-pertanyaan berkisar sekitar nisbah agihan perkongsian keuntungan tidak masuk akal iaitu 80:20 (Dawama-DBP) untuk judul umum dan 70:30 untuk buku teks.

Banyak isu dan persoalan yang menanti jawapan kementerian-kementerian berkaitan dalam siding Parlimen akan datang. Jangan pula wakil rakyat terlupa kepentingan isu-isu berkaitan kerana terlalu asyik dengan soal sama ada diri mereka akan menjadi calon pada PRU Ke-13.

Semasa bulan Merdeka tahun 2009, Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen merayu kepada rakyat bahawa "semua parti korup negara-negara seperti Indonesia, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan telah digantikan, hal ini wajar seterusnya berlaku di Malaysia". Kini menjelang kemerdekaan tahun ini, Sasterawan Negara A. Samad Said (gambar kiri) pula menyeru rakyat Malaysia khasnya golongan muda bahawa, "Saya merasakan sudah tiba masanya kerajaan ini ditukar, cukuplah 54 tahun untuk mereka", semasa beliau merasmikan kempen 'Jom Baca Media Alternatif' pada 8 Ogos 2011. 【Baca: A.Samad: Sudah tiba waktunya untuk "regime change"

Tarikh akhir menghantar soalan Parlimen untuk sidang Dewan Rakyat bulan Oktober nanti ialah 9 September 2011, saya sedang merenungkan persoalan ini: Apakah reaksi anak seorang PM dan bangsawan, apabila beliau diajukan dengan soalan parlimen berikut.

"Minta Menteri menyatakan usaha kerajaan untuk meyakinkan Generasi 709 termasuk Pak Samad, bahawa masih belum tiba masanya kerajaan ini ditukar."

*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.

Laporan Pembaharuan Sistem P/Raya Boleh Siap Sebelum Mac 2012-Bersih

Posted: 16 Aug 2011 05:41 AM PDT



PETALING JAYA 16 OGOS : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 mahu jawatankuasa pilihan khas Parlimen (PSC) mengenai reformasi proses pengundian yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam, untuk mengimplementasikan tuntutan rakyat dalam himpunan aman Bersih 9 Julai lalu.

Justeru, Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 membentangkan garis panduan yang boleh diikut oleh PSC terbabit.

Menurut Maria Chin Abdullah, Bersih 2.0 mengesyorkan agar jawatankuasa pilihan khas membentangkan dua laporan – pertama berkaitan dengan pembaharuan segera untuk diumumkan sebelum Mac depan manakala laporan jangka panjang dalam tempoh setahun.

"Laporan pertama mengenai perubahan segera mesti dibuat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan jawatankuasa PSC mesti menyiapkan laporan itu dalam tempoh 3 bulan," tegas Maria dalam satu sidang media di Pejabat Sekretariat Bersih 2.0 hari ini.

Semalam, Najib mengumumkan penubuhan jawatankuasa pilihan khas parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang syak- wasangka wujudnya manipulasi oleh kerajaan.

Najib berkata panel itu yang akan dianggotai oleh anggota parti kerajaan dan pembangkang akan membincangkan apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kata sepakat ke arah itu.

Bersih 2.0 sebelum ini mengememukakan lapan tuntutan iaitu membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Gabungan itu juga turut meminta agar pendaftaran automatik pengundi diadakan kerana SPR dan agensi berkaitan mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian.

Malah menurut seorang lagi Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Wong Ching Huat, pendaftaran automatik mampu menyelesaikan masalah SPR sebelum ini berkaitan pendaftaran bertindih dan pengundi hantu.

"Pendaftaran automatik pengundi tiada masalah sepatutnya untuk diimplementasikan. Bila seseorang sudah cukup umur, secara automatik nama dia dimasukkan dalam daftar pemilih mengikut komputer...ini tak bertentangan dengan perlembagaan. Kini ada ramai pengundi tidak berdaftar...ini boleh jadi satu NKRA kepada agensi terbabit," kata beliau.

Bagaimanapun Bersih 2.0 menyeru agar Najib menangguh pilihan raya sehingga implementasi PSC dapat dilakukan sekurang-kurangnya bagi laporan pertama.

"Ia boleh dilakukan sebelum Mac ini. Kalau cadangan PSC tidak dilakukan untuk PRU akan datang, sia-sia apa yang rakyat minta pada 9 Julai lalu," tegas Maria.

Laporan kedua pula menyentuh kepada isu besar lain yang membelenggu Pilihan Raya di Malaysia.

Bersih 2.0 memberi tempoh 2 tahun agar PSC dapat meneliti dan menyelesaikan masalah ini.

Isu tersebut ialah kajian mengenai isu 'gerrymandering' SPR, pembiayaan pilihan raya parti politik, penggubalan akta Neutrality bagi kerajaan 'caretaker', implementasi semula Pilihan Raya Tempatan (PBT) bagi PNT dan penduduk kampung, pengenalan referendum sebagai satu cara demokrasi, review kepada masalah pilihan raya serta petisyen pilihan raya dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti secara penuh isu pilihan raya di Malaysia.

PR Ingatkan Najib Jangan Mengelak, Desak Inkuiri Awam

Posted: 16 Aug 2011 05:40 AM PDT


KUALA LUMPUR 16 OGOS : Lantaran tidak menerima sebarang respon balas dari Perdana Menteri berhubung sidang khas parlimen yang dituntut, Pakatan Rakyat hari ini mendesak supaya Putrajaya mengadakan inkuiri awam bersabit isu pilihan raya.

Bercakap pada satu sidang media, ahli parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya memberi tempoh tujuh hari kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkuatkuasa esok selepas beliau gagal memanggil satu sidang tergempar parlimen.

"Pada 8 Ogos lalu kita telah menghantar satu surat rasmi kepada Perdana Menteri untuk memanggil satu sidang tergempar parlimen yang berkaitan isu pemastautin tetap menjadi warganegara dan pengundi dengan kadar segera dan kita telah serahkan surat itu melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz dan tempoh tujuh hari itu telah tamat semalam yang mana Perdana Menteri mengumumkan untuk menubuhkan jawatankuasa khas Parlimen.

"Tapi beliau (Najib) hanya nyatakan ia (jawatankuasa khas Parlimen) itu hanya fokus kepada pembaharuan pilihan raya, jadi saya tegaskan Perdana Menteri jangan lari daripada tajuk asal, jangan lari dari perkara asas yang kita anggap satu pengkhianatan dan penyelewengan khususnya mendaftarkan pemastautin tetap jadi warganegara dalam tempoh beberapa jam," katanya.

Semalam Najib mengumumkan penubuhan jawatankuasa pilihan khas parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang syak-wasangka wujudnya manipulasi oleh kerajaan.

Najib berkata panel itu juga akan turut dianggotai oleh anggota parti kerajaan dan pembangkang akan membincangkan apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kata sepakat ke arah itu.

Walau bagaimanapun kata Salahuddin yang juga naib presiden PAS, kepimpinan Pakatan Rakyat tidak akan berkompromi dan mahu Putrajaya mengadakan inkuiri awam.

"Isu ini kita tidak boleh berkompromi dan kita berpandangan Perdana Menteri harus memanggil sidang tergempar parlimen dan bukan mengambil tindakan menubuhkan jawatankuasa khas Parlimen tetapi perkara yang besar, berlaku penyelewengan yang berlaku dalam urus tadbir yang mana pemastautin tetap bertukar status kewarganegaraan dalam tempoh beberapa jam.

"Kita, hari ini mendesak Perdana Menteri mengadakan inkuiri awam iaitu satu sesi bertemu rakyat di seluruh negara untuk rakyat tampil dan kemukakan bukti-bukti mengenai penipuan dan penyelewengan yang kita anggap mengancam keselamatan negara," katanya.

Menurut salahuddin, penubuhan jawatankuasa khas ini juga tidak dapat menyelesaikan masalah daftar pemilih yang jelas bercelaru dan diragui kesahihannya.

"Adakah kita rela orang luar, orang asing yang tidak faham negara kita boleh menentukan masa depan negara yang kita anggap sangat memberi kesan, ini isu sebenar yang gagal di jawab Najib, sebaliknya beliau berdalih untuk menubuhkan jawatankuasa pilihan Parlimen ini tidak memadai untuk selesaikan isu yang besar.

"Sebab itu, kita desak inkuiri awam diadakan untuk rakyat kemukakan bukti-bukti, kalau tidak dipenuhi kita tidak akan teragak-agak untuk bertemu Yang di-Pertuan Agong dan kita akan minta suruhanjaya diraja ditubuhkan, ini yang kita mahu...Perdana Menteri jangan lari dari isu sebenar," katanya.

Dalam pada itu setiausaha publisiti DAP, Tony Pua ketika dihubungi Tv Selangor hari ini berkata, beliau khuatir sekiranya penubuhan jawatankuasa itu hanya helah Najib untuk lari dari masalah sebenar.

"Oleh sebab itu kita harap, penubuhan satu jawatankuasa ini bukan untuk membisukan suara rakyat dalam pilihan raya akan datang. Dan buat masa ini, mungkin mereka hendak tubuhkan jawatankuasa ini supaya kita tidak buat bising lagi dan dalam jangka masa pendek mereka akan panggil pilihan raya sebelum apa-apa rombakan dibuat ke atas pilihan raya kita,"katanya.

Bersih : 'Ajak' Tuntut RM10j Dari Berita Minggu

Posted: 16 Aug 2011 05:38 AM PDT



TEMERLOH, 16 Ogos: Seorang Pemuda Unit Amal yang pernah digambarkan oleh akhbar Berita Minggu sebagai 'perusuh yang membawa pisau' dalam himpunan Bersih 9 Julai lalu, menghantar notis tuntutan fitnah terhadap akhbar berkenaan.

Abdul Razak Endot, 33, dalam notis yang difailkan melalui syarikat guaman Sazali & Lim dan ditujukan kepada Ketua Pengarang Berita Minggu serta penerbit dan pencetak syarikat The New Strait Times Press (M) Bhd., meminta pihak berkenaan membayar ganti rugi sebanyak RM10 juta.

Dalam notisnya, pihak berkenaan juga diminta memberhentikan penyebaran fitnah dan menerbitkan permintaan maaf tanpa syarat.

"Tindakan ini perlu bagi membersihkan imej saya yang tercemar teruk akibat penyiaran gambar dan ulasan akhbar berkenaan," katanya kepada Harakahdaily.

Akhbar Berita Minggu bertarikh 10 Julai iaitu sehari selepas perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur di halaman muka depannya telah menyiarkan gambar seorang pemuda bertubuh sasa dan bertopeng sambil memegang pisau.

Abdul Razak atau lebih dikenali sebagai Ajak, berkata tangannya memegang bendera jalur gemilang bukannya pisau sebagaimana kapsyen di bawah gambar akhbar berkenaan tetapi gambar tersebut telah diubah suai.

Bercerita lanjut, Abdul Razak berkata beliau turun ke Kuala Lumpur pada perhimpunan tersebut sebagai anggota Unit Amal PAS yang diajar dengan disiplin tinggi. Beliau diarahkan mengawal keselamatan puluhan ribu rakyat di hadapan menara Maybank.

Katanya, pada masa itu Polis Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan gas pemedih mata. Bagi mengawal pemimpin, beliau sempat mengutip kelongsong gas yang masih berasap itu lalu membalingnya ke atas rumput bukannya ke arah polis," ujarnya.

Tambahnya lagi, gambar yang disiarkan akhbar berkenaan seolah-olah memegang pisau dan membaling batu sedangkan beliau memegang bendera jalur gemilang dan membaling kelongsong gas ke tepi.

Serentak dengan itu, beliau menganggap akhbar kawalan Umno itu berniat jahat dan fitnah sehingga merosakkan nama baik serta reputasinya serta dipandang rendah oleh masyarakat.

"Saya merupakan seorang peniaga dan imej yang dipaparkan oleh akhbar berkenaan amat negatif menyebabkan saya boleh dipandang serong oleh masyarakat dan pelanggan. Sebab itu saya mahukan keadilan dan imej saya dibersihkan.

"Saya juga sering terlibat dengan kerja-kerja amal dan kemasyarakatan. Jadi jika gambaran ganas itu tidak ditarik akan terus merosakkan imej saya di mata masyarakat," ujarnya.

Sementara itu, Abdul Razak memberitahu notis yang telah dihantarnya itu memberi tempoh 21 hari kepada pihak akhbar berkenaan untuk dipatuhi. Jika tidak, tindakan undang-undang seterusnya akan diambil.



Tiada ulasan: